Isnin, 21 April 2014

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Mahkamah Tinggi kekal sabitan, hukuman anggota polis cedera tahanan

Posted: 21 Apr 2014 05:31 AM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER

Mahkamah Tinggi mengekalkan sabitan dan hukuman penjara empat tahun dua anggota polis berpangkat Sarjan yang didapati bersalah mencederakan dua tahanan enam tahun lepas.

Hakim Amelia Tee Hong Geok Abdullah membuat keputusan selepas menolak rayuan Sarjan Mohd Shafiee Abdul Halim, 51, dan Sarjan Mohd Diah Sulaiman, 51, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.

Beliau memerintahkan Mohd Shafiee dan Mohd Diah, yang kini digantung tugas, menjalani hukuman penjara mulai hari ini.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan peguam Adenan Ismail, yang mewakili Mohd Shafiee, dan peguam Amer Hamzah Arshad bagi pihak Mohd Diah, untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu dengan menaikkan jaminan daripada RM10,000 kepada RM20,000 bagi setiap tertuduh sementara menunggu rayuan selesai didengar.

Dalam penghakiman setebal 36 muka surat, Amelia berkata beliau berpuas hati bahawa Hakim Mahkamah Sesyen Abu Bakar Katar tidak terkhilaf ketika memutuskan kes itu.

Beliau turut mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang melepas serta membebaskan lima anggota polis lain daripada pertuduhan mencederakan tahanan sama tanpa dipanggil membela diri.

Mereka ialah Sarjan Zulkiplly Taib, Koperal Abdullah Musa, Koperal Zamrin Zaid, Lans Koperal Matila @ Saudi Ismail dan Lans Koperal Nizam Abdul Wahab dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Brickfields.

Amelia juga mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang melepas serta membebaskan Mohd Diah daripada satu lagi pertuduhan iaitu membuat kenyataan palsu selepas memutuskan rayuan pendakwaan dalam kes itu tiada merit. 

Mohd Shafiee dan Mohd Diah didakwa bersama-sama lima lagi anggota polis menyebabkan kecederaan kepada B.Prabakar, 34, dan C.Solomon Raj, 24, bagi mendapatkan pengakuan daripada mereka di pejabat detektif IPD Brickfields antara 10.15 malam pada 23 Disember dan 3.30 pagi 24 Disember 2008.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan. – Bernama

Parlimen Bukit Gelugor: Mesyuarat khas SPR Khamis ini

Posted: 21 Apr 2014 05:28 AM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER

 
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas untuk membincangkan perkara berkaitan kerusi Parlimen Bukit Gelugor, Pulau Pinang pada Khamis ini.

Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh (gambar) berkata SPR menerima makluman rasmi daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat pada 11 pagi ini berhubung kekosongan kerusi Parlimen Bukit Gelugor berikutan kematian penyandangnya, Karpal Singh.

Mesyuarat khas itu akan diadakan di ibu pejabat SPR di Putrajaya dan diikuti sidang media oleh Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, katanya dalam kenyataan hari ini.

Karpal Singh, 73, maut dalam kemalangan pada 1.10 pagi di Km 306.1 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Gua Tempurung di Kampar, Perak. Turut terbunuh dalam kemalangan itu ialah pembantu peribadi mendiang, Michael Cornelius.

Pada pilihan raya umum Mei 2013, Karpal Singh menang kerusi itu dengan majoriti 41,778 undi menewaskan calon Barisan Nasional, Teh Beng Yeam. – Bernama

Mahkamah ‘gopoh’ buat keputusan penghakiman Liwat II, kata bekas polis

Posted: 21 Apr 2014 05:22 AM PDT

OLEH MOHD FARHAN DARWIS


























Penghakiman Mahkamah Rayuan terhadap kes Liwat II Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dibuat secara tergopoh gapah, kata Datuk Mat Zain Ibrahim.

Bekas ketua pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur itu menegaskan, selain mahkamah melakukan kesilapan, prosiding rayuan berkenaan turut dicemari campur tangan kerajaan, terutamanya Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail (gambar).

"Hakim Mahkamah Rayuan membuat keputusan tersebut secara tergopoh-gapah, tanpa memberi pertimbangan yang mendalam dan menyeluruh kepada keterangan-keterangan yang dibentangkan kedua-dua pihak sejak mula prosiding tersebut diadakan.

"Selain Mahkamah Rayuan sendiri ada membuat tafsiran silap menyentuh fakta mustahak, prosiding rayuan tersebut dicemari tindakan pihak kerajaan dan khasnya Peguam Negara," kata Mat Zain dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata, kerajaan dan peguam negara juga mengemukakan beberapa kenyataan tidak benar, dan/atau membenamkan keterangan mustahak atau yang memihak kepada tertuduh daripada pengetahuan mahkamah.

Dalam penghakiman setebal 85 muka surat yang diedarkan kepada media minggu lalu, mahkamah memutuskan adalah selamat untuk mahkamah mensabitkan  Anwar terhadap pertuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan kerana terdapat cukup keterangan untuk mengesah dan membuktikannya.

Mahkamah berkata, sekiranya diandaikan tiada bukti menyokong keterangan Mohd Saiful tentang fakta berlakunya penetrasi, adalah selamat untuk mensabitkan Anwar.

Panel tiga hakim Mahakmah Rayuan diketuai Hakim Datuk Balia Yusof Wahi dalam penghakiman bertulis bertarikh 11 April berkata, terdapat cukup keterangan lain yang membolehkan elemen pertuduhan dapat disah dan dibuktikan.

Penghakiman mahkamah itu turut memutuskan isu kemungkinan sampel DNA diambil daripada Mohd Saiful diusik oleh pegawai penyiasat kes Superitenden Jude Blacious Pereira dan tercemar juga tidak dapat dibuktikan.

Mat Zain berkata, sekiranya mahkamah rayuan tidak tergopoh-gapah membuat keputusan, sebaliknya meneliti mendalam keterangan yang dibentangkan oleh kedua-dua pihak, semenjak prosiding bermula pada 2008, mereka sendiri akan menemui fakta dan banyak lagi keterangan yang menunjukkan salah laku terancang pihak pendakwaan dan penyiasatan dalam prosiding kes tersebut.

"Pada pendapat saya, perkara yang terpenting dalam hal ini ialah Gani Patail hilang kelayakan dari sudut moral dan undang-undang, untuk terlibat dalam apa kapasiti pun, bersangkutan dengan pertuduhan yang dikenakan terhadap Anwar dalam kes ini.

"Apa-apa keputusan yang beliau ambil atas sifat Peguam Negara berkaitan perkara ini dan termasuk melantik Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengepalai pasukan pendakwaan di peringkat rayuan ini, boleh dipertikaikan dan wajar disemak semula," katanya.

Beliau turut berpendapat, hakim Mahkamah Rayuan bergantung bulat-bulat kepada hujah yang dibentangkan Shafee sahaja, tanpa menghiraukan semua bantahan dan laporan polis yang dibuat berkaitan pemalsuan yang diikrarkan oleh Shafee, dalam afidavitnya.

"Hakim Mahkamah Rayuan sendiri mendedahkan tingkah laku dan tindakan mereka untuk orang ramai menyimpulkan mereka memang berada di bawah tekanan dan pengaruh yang kuat daripada tangan-tangan tersembunyi,untuk mensabitkan kesalahan ke atas Anwar dengan apa cara sekalipun," katanya

Tukar MB: Tiga nama dalam senarai teratas?

Posted: 21 Apr 2014 05:13 AM PDT

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Selepas isu dua Menteri Besar BN bakal ditukar, dispekulasikan Mingguan Malaysia (Utusan) semalam, beberapa blog tampil membuat andaian negeri manakah yang akan berlaku pertukaran itu.

Dalam beberapa blog pro Umno, beberapa negeri disebut sebagai 'paling beresiko' untuk ditukar dengan menteri besar yang baru.

"Paling berisiko akan diganti ialah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob yang berada dalam senarai atas pertukaran menteri besar sejak sebelum pilihan raya lalu.

"Selain itu, Menteri Besar Terengganu dan Ketua Menteri Sabah juga mungkin berhadapan risiko digantikan berikutan masalah dalaman negeri yang tidak berkesudahan.

"Namun mungkin juga kejutan akan berlaku di utara Semenanjung Malaysia, Perlis," tulis blog mykmu.net yang buat telahan.

Isu pertukaran menteri besar diulas dalam satu tulisan Bisik-bisik Awang Selamat di akhbar Umno itu semalam.

Tanpa menamakan nama mana-mana menteri besar yang dimaksudkan, tulisan dalam akhbar itu turut mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga sudah mempunyai senarai nama sebagai pengganti.

Umno kini menguasai pentadbiran di tujuh negeri dengan menteri besar dari parti tersebut – Perlis, Kedah, Perak, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan dan Johor.

Selain itu, ketua menteri Umno turut mengetuai pentadbiran di dua negeri, Melaka dan Sabah.

Anwar dedah lagi maklumat kekayaan Daim

Posted: 21 Apr 2014 04:25 AM PDT

KEADILANDAILY 


KUALA LUMPUR: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau mempunyai bukti penyelewangan besar bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin.

"Siapa Daim Zainuddin? Bekas Menteri Kewangan yang jadi jutawan paling kaya. Projek jalan raya utara selatan (PLUS) dia sapu ratus juta (ringgit).

"Apa sahaja projek dia sapu. Begitu banyak komisen, tapi ada siasatan? kata Anwar dalam ceramah di Lembah Pantai malam tadi.

Kata Anwar, selain mengambil dana negara melalui pengambilan komisyen projek secara melampau, beliau mempunyai bukti Daim menyimpan duit di Tanzania, salah sebuah negara di Afrika Timur.

Anwar mengesyaki kekayaan luar biasa Daim apabila gabenor bank negara menyebut bahawa Daim ada menyimpan wang di Tanzania.

"Saya diundang semasa saya Profesor di George Town University dan menjadi perunding di Bank Dunia.

"Saya pergi ke Tanzania dijemput jumpa Presiden, Menteri Kewangan dan gabenor bank negara Tanzania.

"Gabenor kata Tun Daim punya bank ada sini (Tanzania). (Gabenor) kata Daim simpan di International Bank of Malaysia.

"Saya tanya (Daim) buat apa. Kemudian gabenor jawab Daim tidak buat apa-apa. Daim simpan duit sahaja.

"Ada sebarang operasi? Tidak, ini bank 'istimewa'. Kemudian saya berkata kepada gabenor bank negara Tanzania, kamu tahu tak ini tidak cara yang sepatutnya.

"Duit dari mana? Daim ambil dari Malaysia, simpan di sini," kata Anwar menceritakan kandungan  pertemuannya.

Kata Anwar, salahguna kuasa Daim terbukti apabila orang yang dipertanggungjawab menguruskan bank di negara tersebut ditahan di sebuah Lapangan Terbang Heathrow, London.

"Saya bawa perkara ini SPRM tidak tanya pun saya. Daim pun tidak ditanya.

"Kerana di Malaysia ini, kalau kamu pemimpin Umno kamu kebal. Kamu curi banyak mana pun, bagi bukti banyak mana pun," kata Anwar.

Syarikat telekomunikasi untung terlalu banyak?

Posted: 21 Apr 2014 04:21 AM PDT


Pengguna juga perlu peka Pengguna perlu peka terhadap sebarang pembelian pakej dan pelan telekomunikasi agar tidak tertipu. - Gambar hiasan


GESAAN Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek supaya syarikat telekomunikasi di negara ini menurunkan caj penggunaan telefon ialah kenyataan yang menarik perhatian, terutama apabila beliau menyebut syarikat-syarikat gergasi ini 'untung besar'.

Ahmad Shabery mempersoal keuntungan besar diumumkan syarikat telekomunikasi, dan mengingatkan mereka patut menjalankan tanggungjawab sosial lebih besar dengan mengurangkan kos penggunaan telefon kerana lesen mereka diberikan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM).

"Saya seru supaya mereka ini cuba duduk dan berfikir, bagaimana dapat kurangkan kos penggunaan berkaitan telefon (perbualan dan SMS) yang ada. Dulu mahal, kini patut makin murah.

"Sepatutnya ada tanggungjawab sosial korporat lebih besar (kepada masyarakat) selain membina menara komunikasi di luar bandar, pada masa sama mereka mesti umumkan pengurangan kos," katanya, Februari lalu seperti dilaporkan Bernama.

Berapa besar keuntungan syarikat telekomunikasi seperti dimaksudkan Ahmad Shabery?

Memang besar, jika mengambil contoh tiga syarikat telekomunikasi negara iaitu Maxis Bhd, Celcom Axiata Bhd (Celcom) dan Digi.com Bhd (Digi).

Untuk tahun kewangan berakhir 2013, Maxis mencatat untung selepas cukai RM2.1 bilion, Celcom RM2.4 bilion dan Digi RM1.7 bilion.

Ketiga-tiga syarikat ini secara purata mengenakan caj panggilan suara 15 sen seminit dan 5 sen bagi setiap SMS.

Celcom menjelaskan syarikat itu sentiasa menawarkan pelan telekomunikasi pada harga terendah kepada pelanggannya terutama melalui pelan prabayar.

Ketua Pegawai Pemasaran Celcom, Zalman Aefendy Zainal Abidin sebelum ini berkata, Celcom sentiasa prihatin terhadap isu semasa terutama membabitkan kenaikan kos sara hidup.

Katanya, menerusi pelbagai pakej prabayar, Celcom adalah syarikat telekomunikasi yang menawarkan pelan prabayar termurah berbanding syarikat telekomunikasi lain.

Usaha mendapatkan maklum balas daripada Maxis dan Digi berhubung isu ini tidak berjaya setakat ini.

Fenomena asatizah segera

Posted: 21 Apr 2014 04:19 AM PDT



KEBELAKANGAN ini sering kedengaran perkara yang pelik-pelik dibangkitkan selebriti agamawan segera, berikutan publisiti media, program realiti TV serta penampilan yang dibuat-buat bagi menarik perhatian.

Ada yang kerjanya mengkafirkan orang. Orang lain semua tidak betul, dia sahaja yang betul. Ada juga memberikan pendapat yang pelik tanpa melakukan penyelidikan atau rujukan lebih mendalam.

Lebih teruk lagi, ada yang membawa cerita Israeliat, cerita tidak masuk akal, semata-mata untuk menarik perhatian orang ramai dan menjadikan mereka menangis. Lebih menyeramkan ada yang buat-buat suara 'gatal' dan mendayu-dayu. Lebih dahsyat lagi, ada sudah berani demand dengan meletakkan sekian harga untuk ceramah yang 'biasa-biasa je'. Kami yang lama ini pun tidak sebegitu berani.

Terbaharu, ada kalangan mereka yang terlebih berani memberikan pandangan mengenai Bani Tamim, kononnya terdiri daripada kalangan orang Melayu atau merujuk kepada Tanah Melayu, hasil kombinasi huruf 'ta' dan 'mim'. Saya terkejut. Ini belum lagi kontroversi menghalalkan darah Ikhwanul Muslimin, pimpinan Mohamed Mursi, dengan menyokong tindakan kejam dan zalim Abdel Fattah al-Sissi, di Mesir.

Kontroversi isu ini menjadikan saya berminat untuk membuat pembacaan mendalam mengenai Bani Tamim. Hasilnya, saya tidak berani untuk membuat kesimpulan atau menyokong mana-mana teori yang dikemukakan. Ia memerlukan kajian mendalam dan pengkhususan.

Kita tidak boleh begitu obsesif membuat kesimpulan simplistik. Apatah lagi untuk mengaitkan dengan huruf 'ta' dan 'mim'. Justeru, nasihat saya kepada asatizah 'segera' ini, jangan terlalu obses untuk menjadi selebriti, sabar. Latih diri dahulu dengan permainan politik lensa.

Kurangkan bercakap jika ia bukan bidang kita. Jika kurang pasti, perlu merujuk kepada pakar. Tidak boleh memberi pendapat semberono. Akhirnya menjadi bahan ketawa dan menjatuhkan reputasi sendiri. Kemudian, terhegeh-hegeh untuk membela diri.

Saya bukanlah berlatar belakangnya agama seperti asatizah yang lain, apatah untuk menjadi pakar. kecuali dalam bidang saya. Apatah lagi, saya ini mualaf sahaja. Namun, saya sentiasa sentiasa berhati-hati ketika mengeluarkan pandangan.

Untuk lebih selamat, saya cadangkan beberapa perkara. Pertama, buat penyelidikan dan pembacaan mendalam dahulu sesuatu fakta. Jika tidak tahu, bertanya kepada yang tahu dan pakar. Paling selamat, jawablah, "saya tidak tahu, tanyalah kepada yang pakar".

Kedua, sambung mengaji ke peringkat lebih tinggi. Buat pengkhususan dalam bidang tertentu. Bagi yang tiada ijazah, berpada-pada apabila bercakap atau menulis. Bukan apa, apabila mendengar ceramah yang penuh dengan cerita tidak masuk akal atau cerita pelik-pelik, Nampak sangat orang sebegini tidak mengaji, kemudian mengaku mendapat ijazah dari al-Azhar.

Ketiga, kadangkala kita terlalu taksub dengan pandangan mereka yang mengaku diri mereka keturunan Rasulullah SAW. Benar, tidak dinafikan keturunan nabi itu adalah mulia dan hebat. Kita sayang kepada keturunan Nabi.

Namun, ia tidak boleh terhenti sekadar keturunan. Keturunan Nabi mesti disertai dengan akhlak mulia dan jejak langkah Nabi. Saya masih teringat seorang keturunan Syed mengaku dia keturunan Nabi, sanggup mendera dan menceraikan isterinya mualaf Cina yang dikahwininya sekian lama, hanya kerana setelah mendapati dirinya keturunan Nabi dan mulia, maka dia tidak layak untuk berkahwin dengan mualaf Cina. Maka, diceraikanlah isteri tuanya dan dicari isteri baharu bernama Sharifah.

Ingat, tidak semesti keturunan Rasulullah semuanya baik-baik dan bakal penghuni syurga. Naik muak juga apabila pendakwah dari seberang yang sedang aktif berdakwah di negara kita, maka dibesar-besarkan isu beliau adalah keturunan Nabi.

Ramai keturunan Syed dan Sharifah yang saya kenali, perangai dan akhlak mereka tidak macam Nabi. King Jordan juga keturunan Nabi, tetapi menjadi tali barut Yahudi.

Imam As-Shafie pernah berpesan, yang berbunyi, apabila seseorang baru belajar tergesa-gesa ke hadapan (kerana mahu menjadi tokoh),  maka akan terluput daripadanya ilmu yang banyak.

Tidak ada masalah untuk beraksi di media, malah ia amat dituntut dalam perjalanan dakwah moden hari ini. Tetapi cerminlah diri dahulu, kemudian baharulah beraksi.

Himpunan 1 Mei tetap di Dataran, tiada perubahan

Posted: 21 Apr 2014 04:10 AM PDT

MUHAMMAD FAIZAL 


KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat hari ini menegaskan himpunan 1 Mei ini tetap diadakan di Dataran Merdeka seperti yang dirancang sebelum ini.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata persiapan menjelang perhimpunan itu berjalan lancar dan tiada sebarang perubahan dibuat.

"Tidak ada perubahan tentang himpunan 1 Mei, ia berjalan lancar seperti dirancang.

"Himpunan tetap di Dataran Merdeka setakat ini tidak berubah, tetap mengikut jadual," katanya kepada pemberita sejurus keluar dari  ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi.

Beliau dipanggil polis bersama Naib Presiden PKR, Tian Chua untuk membincangkan rundingan berkait himpunan itu.

Memperincikan himpunan itu beliau berkata, beberapa lokasi ditetapkan kepada peserta himpunan sebagai tempat perkumpulan awal sebelum bergerak ke Dataran Merdeka.

Menurutnya, kumpulan NGO akan berhimpun di KLCC, manakala penyokong parti akan berada di sekitar Kuala Lumpur.

"Ini perhimpunan aman. tidak ada apa-apa kekacauan akan berlaku.

"Selepas mendengar ucapan pimpinan, kita akan bersurai," sambung beliau.

Sementara itu, Tian Chua menyatakan pihak polis tidak ada sebarang halangan untuk perhimpunan tersebut.

"Mereka jemput kita untuk berbincang supaya perhimpunan tersebut berjalan dengan baik.

"Secara prinsip mereka (polis) tidak ada halangan, ada beberapa pandangan diberikan dan kita akan berbincang jika perlu kita akan ubah mengikut cadangan tersebut," katanya.

Beliau memberitahu, Pakatan Rakyat memberi komitmen akan bekerjasama dengan pihak polis dalam memastikan kelancaran penganjuran himpunan itu nanti.

Selangor kawal projek terbengkalai

Posted: 21 Apr 2014 04:08 AM PDT


Iskandar Abdul Samad  
Iskandar Abdul Samad


SHAH ALAM – Kerajaan negeri Selangor memperkenalkan beberapa dasar baru bagi memastikan pelaksanaan projek terbengkalai tidak berulang lagi di negeri itu.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Peneroka Bandar Iskandar Abdul Samad berkata, pihaknya melalui kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah meningkatkan penguatkuasaan di bawah Akta Pemaju Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118) melalui pemantauan enam bulan sekali.

Menurutnya, pemaju diwajibkan menghantar Borang 7F bagi memaklumkan status terkini kedudukan projek yang sedang dibina.

"Pihak berkuasa tempatan (PBT) juga perlu memantau secara dekat Jadual Kedua Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 yang menghendaki pemaju untuk mengemukakan borang-borang A, B, C, D dan E kepada PBT.

"Salinan borang-borang berkenaan perlu dikemukakan kepada Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) bagi tujuan pemantauan. Dengan mengemukakan salinan-salinan borang.

"LPHS akan dapat mengenal pasti sekiranya berlaku masalah terhadap sesebuah projek dan tindakan awal akan dapat dijalankan," katanya kepada Sinar Harian.

Sehubungan itu katanya, pemaju dikehendaki berdaftar dengan LPHS sekiranya ingin membuat sebarang pembangunan perumahan dalam tepoh 30 hari dari tarikh kebenaran merancang yang diluluskan PBT.

Selain itu katanya, mereka dikehendaki mengemukakan laporan status projek berserta perjalanan kerja bagi setiap projek pembangunan di Selangor bagi tujuan pemantauan dan setiap projek dijalankan mengikut jadual.

"Melalui sistem pendaftaran pemaju ini, LPHS juga akan bertindak sebagai 'one stop centre' di mana semua maklumat dikumpulkan dan diedarkan kepada PBT dan KPKT sebagai sistem amaran awalan sekiranya berlaku projek terbengkalai.

"Kita akan mengadakan lawatan ke tapak projek akan dijalankan dari masa ke semasa bersama pihak perunding projek dan PBT sekiranya projek itu menunjukkan ciri-ciri projek akan bermasalah," katanya.
Jelasnya, konsep 'Bina dan Jual' sedang dilaksanakan dengan lebih meluas demi melindungi rakyat daripada dianiaya oleh pemaju.
"Melalui konsep ini masalah projek terbengkalai tidak akan berulang," katanya.

Iskandar berkata, bagi tempoh Mac 2008 hingga Oktober 2013 sebanyak 42 buah projek dari keseluruhan 140 projek perumahan terbengkalai di negeri Selangor telah berjaya diselesaikan oleh kerajaan negeri.

Daripada jumlah keseluruhan 42 projek katanya, separuh daripadanya adalah projek yang tidak berlesen.

"Walaupun bidang kuasa kerajaan negeri terhad dalam memulihkan projek terbengkalai yang mana kuasa ini terletak di bawah KPKT melalui Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966, dari Mac 2008 sehingga 31 Oktober 2013 Kerajaan Negeri telah berjaya menyelesaikan sebanyak 42 projek terbengkalai yang melibatkan 19,958 unit," katanya.

Bagi mengelakkan diri menjadi mangsa projek terbengkalai jelasnya, pembeli hendaklah memastikan pemaju yang dipilih mempunyai lesen pemaju perumahan daripada Kementerian Perumahan.

"Kerajaan negeri menerusi LPHS boleh mengeluarkan surat mengesahkan sesuatu projek itu terbengkalai supaya pembeli boleh membawa kepada pihak perbankan untuk mendapatkan pengurangan pembayaran ansuran pinjaman," katanya.

Isu air kumbahan: Mufti bincang dalam Majlis Fatwa

Posted: 21 Apr 2014 04:01 AM PDT


Sheikh Muhamad Baderudin Ahmad  

Mufi Kedah, Datuk Sheikh Muhamad Baderudin Ahmad


ALOR SETAR - Fatwa mengenai penggunaan air kumbahan manusia terawat akan dibincangkan dalam Majlis Fatwa Kebangsaan sebelum keputusan mengenainya dikeluarkan.

Mufti Kedah, Datuk Syeikh Muhamad Baderudin Ahmad berkata, ia memerlukan kajian terperinci bagi mengelakkan sebarang kekeliruan kerana ia berkaitan dengan hukum syarak berikutan penggunaannya untuk tujuan landskap oleh Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS).

Bagaimanapun, jika air kumbahan manusia itu dirawat dengan betul sehingga mencapai sukatan yang ditetapkan syarak, beliau berkata ia adalah suci.

"Kita perlu teliti perkara ini terlebih dahulu dan perlu ada perbincangan dengan 10 ahli Majlis Fatwa Kebangsaan sebelum mengeluarkan sebarang fatwa.

"Namun kalau air kumbahan dirawat dengan cara betul dan cukup dua kolah, ia boleh jadi air suci," katanya kepada Sinar Harian.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan MBAS akan menggunakan air kumbahan manusia yang terawat dan biosolid di sekitar bandar raya itu yang dibekalkan Indah Water Konsortium (IWK).

Kerajaan negeri pula akan memperluaskan penggunaannya untuk tujuan landskap yang dilihat lebih praktikal berbanding baja kimia.

Malah penggunaan air sisa dirawat ini menjimatkan kos.

Bukan ganjil tayar pesawat pecah

Posted: 21 Apr 2014 03:57 AM PDT

MH192 Pesawat penumpang Malaysia Airline MH192 dilihat pada landasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang, Malaysia, semalam. - Foto EPA


KUALA LUMPUR - Insiden tayar pecah pada gear pendaratan pesawat seperti yang dialami oleh penerbangan MAS MH192 bukanlah sesuatu yang ganjil, malah ia pernah berlaku kepada pesawat komersial lain, kata pakar industri penerbangan.

Sambil menjelaskan perkara itu boleh berlaku kepada mana-mana pesawat, Peter Talalla, bekas penasihat khas Ketua Pegawai Eksekutif Air Asia, berkata apa yang penting, kejadian itu tidak menjejas dan membahayakan operasi penerbangan secara keseluruhannya.

"Hakikatnya, walaupun ini tidak berlaku setiap hari, pesawat sering mengalami masalah gear pendaratan tetapi ramai yang tidak menyedarinya.

"Kenapa? Kerana ia (tayar pecah) jarang mengakibatkan kematian atau kecederaan, jadi ia tidak menjadi isu kepada mana-mana pihak," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Talalla yang berpengalaman hampir 34 tahun dalam industri penerbangan, berkata beliau sendiri pernah melalui detik itu di mana pesawat yang dikendalikannya mengalami masalah kegagalan tayar berfungsi semasa pendaratan.

"Sebenarnya, apa yang lebih penting ialah semasa pesawat berlepas kerana sejurus selepas berlepas, roda ditarik balik dan putaran roda yang menghasilkan api 'boleh berlaku'.

"Tetapi, ada alat pengesan kebakaran pada roda yang memberi isyarat kepada juruterbang. Jika kebakaran berlaku, senarai semak kecemasan akan mengarahkan juruterbang untuk menurunkan gear pendaratan (roda) dan berpatah balik untuk mendarat," jelas beliau.
  
Talalla turut memuji kecekapan juruterbang penerbangan MH192 Kapten Nor Adam Azmi dan pembantu juruterbang Prakash Kumar dalam mengendalikan situasi cemas itu.

"Bagi saya, mereka telah melakukan yang terbaik. Juruterbang MH192 telah mengendalikan situasi ini dengan sangat profesional dan mematuhi prosedur operasi standard serta manual senarai semak dan operasi penerbangan," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Aeroangkasa Universiti Putra Malaysia Prof Madya Dr Kamarul Arifin Ahmad menjelaskan tiada punca spesifik bagaimana kejadian itu boleh berlaku, namun ia dapat dirungkai setelah siasatan terperinci dilakukan.

"Antaranya faktor yang mendorong tayar gear pendaratan sesuatu pesawat itu pecah adalah faktor cuaca, jangka hayat dan kadar tekanan angin. Semua itu perlu diambil kira dengan merujuk kepada rekod penyelenggaraan pesawat terbabit," jelasnya.

Pesawat MH192 itu, yang membawa 159 penumpang dan tujuh anak kapal, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa K di Sepang pada 10.09 malam tadi ke Bangalore, India.

Ia kemudian mengesan gear pendaratan sebelah kanannya tidak berfungsi, menyebabkan juruterbang berpatah balik untuk melakukan pendaratan kecemasan di KLIA pada 1.56 pagi tadi.

Pada 3.30 petang tadi, pesawat lain MAS yang membawa kesemua penumpang berkenaan berlepas dari KLIA ke Bangalore.

Presiden Lembaga Kesedaran Pencegahan Jenayah Malaysia Datuk Seri Dr Saharuddin Awang Yahya pula berpendapat MAS  perlu mengkaji semula prosedur pemeriksaan kejuruteraan terhadap pesawat-pesawatnya.- Bernama

Waris di China masih sangsi dengan M'sia

Posted: 21 Apr 2014 12:42 AM PDT

MALAYSIAKINI



 


Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin berkata para waris penumpang MH370 di China masih sangsi dengan keikhlasan Malaysia dalam menyediakan maklumat berhubung kemalangan pesawat tersebut.

Katanya, sejak awal lagi pasukannya yang berurusan dengan keluarga tersebut perlu menyediakan jawapan yang "disahkan" dan berulang kali menyampaikan persoalan dari pasukan teknikal dan juga memberitahu jawapan tersebut kepada waris berkenaan.

"Apabila kami beritahu mereka (waris), mereka akan tanya satu lagi soalan, untuk kami, kami perlu mengemukakannya kepada jawatankuasa teknikal untuk dijawab, dan kami berikan jawapan (kembali kepada waris).

"Masalahnya setiap masa – setiap kali kami kami sebut mengenai jawapan yang diberikan – mereka akan kata kami menyembunyikan sesuatu," katanya dalam satu sidang media sebagai pengerusi jawatankuasa hal ehwal waris penumpang tersebut.

Hamzah berkata, pihaknya faham jika waris berkenaan berasa kecewa, lebih-lebih lagi memandangkan keadaan tersebut sukar dipercayai kerana tidak pernah berlaku sebelum ini.

Katanya, pasukan teknikal MAS kini berada di Beijing dan akan menyediakan taklimat kepada waris berkenaan dan Malaysia akan meminta bantuan kerajaan China untuk menguruskan segala salah faham yang mungkin timbul.

Kes MH370: Penyiasat lihat kemungkinan baru

Posted: 21 Apr 2014 12:34 AM PDT

MALAYSIAKINI



 


Pasukan penyiasat antarabangsa dilaporkan sedang melihat semula kemungkinan bahawa penerbangan Malaysia Airlines pesawat MH370 mungkin mendarat di satu lokasi tertentu dan tidak berakhir di Lautan Hindi.

Laporan New Straits Times yang memetik satu sumber tidak dinamakan menyebut, ia merupakan antara kemungkinan baru yang sedang diteliti.

Ia memandangkan pencarian yang dijalankan sehingga hari ini masih belum menemui sebarang serpihan pesawat, lapor akhbar itu.

Sumber-sumber yang tidak dinyatakan itu juga menyebut, pesawat tersebut juga mungkin terhempas di satu lokasi terpencil.

Bagaimanapun, pencarian di selatan Lautan Hindi yang masuk hari ke-45 hari ini masih perlu diteruskan, kata sumber tersebut dalam laporan NST.

Selain itu, pasukan penyiasat juga sedang mempertimbangkan untuk menggunakan lebih banyak aset dalam pencarian, dan meliputi kawasan lebih luas di Lautan Hindi.

Menurut laporan berkanan, pencarian tersebut mungkin dijalankan di kawasan yang salah.

"Kita mungkin terpaksa berkumpul semula untuk melihat kemungkinan ini jika tiada hasil positif dalam tempoh beberapa hari lagi... tapi pada masa sama, pencarian di Lautan Hindi mesti diteruskan.

"Sangkaan bahawa ia mendarat di satu tempat itu tidak mustahil kerana kami masih belum menemui sebarang serpihan yang mungkin berkaitan dengan MH370.

"Bagaimanapun, kemungkinan bahawa terdapat negara tertentu menyembunyikan pesawat tersebut ketika lebih 20 negara mencarinya nampak tidak masuk akal," kata sumber tersebut seperti dipetik NST.

Sumber berkenaan turut menimbulkan kesangsian terhadap pengiraan saintifik ke atas data komunikasi satelit – yang memberi kesimpulan bahawa penerbangan tersebut berakhir di Lautan Hindi.

"Satelit komunikasi hanya dimaksudkan untuk komunikasi... namanya itu sendiri menjelaskannya.

"Penyiasat terpaksa mengguna algoritma untuk mengira lokasi terakhir MH370 yang diketahui kerana tiada sistem GPS selepas transponder pesawat dimatikan 45 minit dalam penerbangan," kenyataan sumber itu dipetik.

Karpal gagal hiasi muka depan akhbar BM, BI

Posted: 21 Apr 2014 12:30 AM PDT

MALAYSIAKINI



 


Perarakan besar menghantar mayat tokoh DAP Karpal Singh ke tempat pembakaran semalam nampaknya gagal menghiasi muka depan harian berbahasa Melayu dan Inggeris negara ini.

Sebaliknya, kesemua harian berbahasa Cina menyiarkan laporan berkaitan yang dianggarkan 15,000 memberikan penghormatan terakhir dalam perarakan 2 kilometer yang menyebabkan kesesakan teruk jalan raya.

Berita Harian, sebagai contoh, memaparkan acara tangkapan 88 orang dalam "pesta liar" di George Town.

Laporan berkaitan Karpal dimuatkan di halaman ke-13 dengan gambar acara penghormatan itu.

Akhbar Umno Utusan Malaysia pula memilih insiden nahas bas di Pekan yang mengakibatkan seorang pelancong meninggal dunia.

Manakala laporan berkaitan penghormatan terakhir kepada Karpal di halaman 8.

Harian berbahasa Inggeris seperti NST dan the Star pula memuatkan laporan itu di halaman 12, lapan dan enam.

Sebaliknya, kesemua akhbar berbahasa Cina memberikan halaman penuh bergambar di muka depan berkenaan kematian Karpal, malah, dengan gambar-gambar menarik hari penghormatan terakhir di dalamnya.

Untuk ketiga-tiga harian berbahasa Cina, kesemua 19 halaman didedikasikan untuk mendiang.

Penulis biografi: Karpal mahu anak ganti tempatnya

Posted: 21 Apr 2014 12:28 AM PDT


MALAYSIAKINI




 
 
 
Penulis buku biografi Karpal Singh, Tim Donoghue mendakwa mendiang pernah menyatakan hasrat agar anak lelaki peguam tersohor tersebut Ramkarpal akan menjadi pengganti sebagai MP.

Penulis buku 'Karpal Singh – Tiger of Jelutong' itu mendakwa Karpal memberitahunya beberapa kali ketika berbual mengenai kes hasutan terhadap Sultan Perak, yang dihadapi mendiang.

Menurut Donoghue, Karpal memberitahunya bahawa Ramkarpal akan menggantikan tempatnya sebagai MP sekiranya sabitan kes hasutan itu berakhir dengan hukuman penjara.

"Karpal memberitahu saya banyak kali, jika beliau dikenakan boleh pemerintah apabila tewas rayuan hasutan itu, penggantinya tentu sekali Ramkarpal," kata wartawan veteran itu.

Donoghue juga mendakwa, beliau menyaksikan sendiri rancangan Karpal ketika mendiang hadir untuk berucap dalam satu ceramah pada malam sebelum pilihan raya umum, Mei 2013.

"Terdapat kira-kira 100,000 orang di padang di Pulau Pinang. Atas sebab tertentu, si bapa memberitahu anaknya, 'kamu patut bangun dan berucap'.

"Saya fikir beliau cuba mengatakan, dalam fikirannya, beliau sangat berharap agar penggantinya untuk kawasan parlimen Jelutong adalah anaknya, Ramkarpal," katanya.

Menurut Donoghue, Ramkarpal bersama ibunya Gurmit Kaur dan adiknya Sangeet, mengatur strategi untuk kempen Bukit Gelugor yang membolehkan Karpal meraih majoriti 41,000 undi.

 

PAS: Menara Warisan rugikan pasaran harta tanah

Posted: 21 Apr 2014 12:24 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Pembinaan Menara Warisan Merdeka setinggi 118 tingkat di Kuala Lumpur tidak diperlukan kerana ia hanya menyumbang ke arah lebihan penawaran harta tanah di Lembah Klang, kata Pemuda PAS Wilayah Persekutuan.

Ketua Pemudanya Khairil Nizam Khiruddin berkata, menara itu yang dikatakan turut menempatkan kondominium mewah itu tidak diperlukan dalam keadaan lebihan penawaran harta tanah setempat.

"Maka kami menolak projek pembinaan ini yang dijangka tiada keperluan serta tidak memberikan limpahan ekonomi khususnya kelompok ini.

"Malah berdasarkan satu laporan kajian pihak swasta hartanah, kawasan Lembah Klang menghadapi lebihan penawaran," katanya.

Khairil Nizam berkata, laporan itu menjelaskan segmen kediaman kondominium mewah merekodkan lebihan paling tinggi sekitar 32 peratus daripada 27,000 unit yang ditawarkan.

Tambahnya, ia tidak termasuk jangkaan lebih kurang 5,204 unit baru pada tahun ini.

"(Oleh itu) masih ada ruang-ruang untuk dipenuhi. Pemuda PAS Wilayah mahu slot-slot (yang kosong) diisi sebelum pembinaan menara itu," katanya.

'Terkejar-kejar nak bangunan tinggi'

Dalam sidang media di Kuala Lumpur hari ini, Khairil Nizam juga membangkitkan dakwaan-dakwaan lain berkaitan pembinaan menara itu, antaranya:

  1. Membazirkan berbilion ringgit wang rakyat, pemborosan dan tidak relevan tatkala rakyat berdepan masalah ekonomi, inflasi dan ketidakmapanan pendapatan boleh guna isi rumah.
     
  2. Isu lalu lintas di kawasan pembinaan apabila jalan berdekatan seperti Jalan Hang Tuah, Jalan Maharajalela dan Jalan Stadium di kawasan 'segitiga emas' sentiasa sesak.
     
  3. Isu hakisan sejarah negara kerana Taman Merdeka Negara dimasukkan ke dalam zon penampan kepada stadium merdeka dan stadium negara.
Khairil Nizam berkata, pihaknya akan menyerahkan memorandum dan mahu berbincang dengan Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang akan membina menara itu.

Selain kondominium mewah, menara itu dikatakan akan turut memuatkan kompleks perniagaan dan hotel.

Memorandum menentang pembinaan menara itu, kata Khairil Nizam, akan diserahkan pada 24 April kepada Pengerusi PNB Tan Sri Hamad Kama Piah.

"Kenapa nak terkejar-kejar untuk bina bangunan ketiga tertinggi di dunia. Oleh sebab itu mungkin, mereka ada rasional (akan diberikan kepada kami kelak).

"Kami akan minta maklum balas dan akan maklumkan kepada media," kata Khairil Nizam lagi.

Isma: Malaysia perlu kekal identiti Melayu-Islam, bukan berbilang kaum

Posted: 21 Apr 2014 12:21 AM PDT

OLEH HASBULLAH AWANG CHIK


Umat Islam di Malaysia perlu kuat dan tabah dalam mempertahankan agama Islam dan Malaysia sebagai negara beridentiti Melayu-Islam. Gambar fail The Malaysian Insider.Umat Islam di Malaysia perlu kuat dan tabah dalam mempertahankan agama Islam dan Malaysia sebagai negara beridentiti Melayu-Islam. Gambar fail The Malaysian Insider.


























Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) mahu identiti Melayu dan Islam dikekalkan di Malaysia dan bukannya identiti berbilang kaum, selaras dengan apa yang dinyatakan Perlembagaan Persekutuan.

Naib Presiden Isma, Abdul Rahman Mat Dali, berkata Malaysia yang asalnya dikenali sebagai Tanah Melayu adalah wilayah besar yang sudah lebih 60 ribu tahun didiami masyarakat beridentiti kaum Melayu dan sudah beratus tahun memeluk agama Islam.

"Sanggupkah anak bangsa Melayu bertahan menentang perjuangan mendiang Karpal Singh,DAP, MCA dan lain-lain yang bermati-matian berjuang untuk menukar identiti Malaysia kepada negara pelbagai kaun dan agama," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Semalam, bekas timbalan naib canselor Universiti Malaysia Pahang, Prof Datuk Dr Badrulhisham Abdul Aziz menggesa umat Islam jangan terlalu apologetik dan gentar bersuara untuk menegakkan Islam.

Katanya, umat Islam di Malaysia tidak perlu takut untuk bersuara dan terlalu memikirkan perasaan masyarakat bukan Islam di negara ini.

"Kita tidak perlu apologetik, ramai di antara tokoh kita yang selalu memohon maaf dan takut bukan Islam berkecil hati jika berkata tentang Islam.

"Lihat Perlembagaan. Islam adalah agama Persekutuan bermakna Islam di atas dan bukan sebaris (agama lain)," katanya dalam satu forum di Kuala Lumpur kelmarin.

Abdul Rahman berkata, adakah orang Melayu sanggup dalam sejarahnya menjadi satu bangsa yang tiada tanah air sendiri dan hidup merempat di tanah asing.

Katanya, apa yang diperjuangkan berkait rapat dengan fahaman Islam dan tanggungjawab membangunkan umat Islam bagi mengatur urusan hidup umat mengikut ketentuan agama.

"Islam tidak pernah restu bangsa Islam berfikrah dangkal sedemikian. Semua orang Islam khususnya orang Melayu perlu sedar sebelum terlewat.

"Mereka perlu faham dan ambil peduli betapa pentingnya hal identiti negara. Malaysia mesti kekal dengan identiti Melayu dan Islam, dan dipertahan sebagai warisan hingga akhir zaman," katanya.

Rakyat tolak media utama, BN nak guna macai

Posted: 21 Apr 2014 12:07 AM PDT


Oleh ZULKIFLI YAHAYA


PENGERUSI Biro Publisiti dan Penerangan BN, Dato' Ahmad Maslan berkata, parti itu bercadang mewujudkan unit tentera siber, 'Blue Wave Army' (BWA) dalam usaha melawan serangan daripada 'Red Bean Army (RBA)'.

RBA adalah sebuah rangkaian siber yang tercetus daripada khayalan para pemimpin BN selepas kecewa kerana ditolak oleh majoriti pengundi Cina dalam PRU13 lalu.

Hakikatnya tidak wujud pun apa yang dikatakan RBA.

Menurut Ahmad, BWA akan menggalas peranan penting dalam mengemukakan fakta sahih dan penjelasan terbaik kepada masyarakat bagi menjawab serta mematahkan sebarang hasutan RBA di ruang siber.

Penubuhan unit seperti itu bukan baharu bagi Umno atau BN.

Pasca PRU12 di mana buat pertama kalinya BN hilang majoriti dua pertiga di Parlimen, parti pemerintah tua itu telah menubuhkan pelbagai unit siber pro BN dengan mendapat peruntukan besar menggunakan dana kerajaan.

PM Dato' Seri Najib Razak sekurang-kurangnya sudah dua kali mengadakan pertemuan dengan tentera sibernya untuk melancarkan serangan propaganda dan tohmahan terhadap Pakatan Rakyat sebelum PRU13 lalu. Sebahagian mereka dibekalkan dengan elaun dan gajet ICT. Walaupun mereka menggelarkan diri sebagai pahlawan siber, penggiat alam maya lebih senang memanggil mereka sebagai macai.

Ribuan macai yang hanya menggunakan akaun Facebook atau Twitter hanya diberi imbuhan sekali-sekala. Manakala macai pada tahap yang lebih atas, biasanya pengendali laman web atau blog akan mendapat elaun tetap yang lumayan. Mereka dilatih untuk melakukan kerja jahat di bidang propaganda secara berkesan melalui kursus-kursus profesional.

Perkara ini didedahkan kepada saya oleh seorang bekas macai yang mungkin telah insaf daripada kegiatan songsang mereka suatu masa dahulu. Para macai yang bertebaran seluruh negara ini pula tidaklah berada di bawah satu kumpulan tetapi pelbagai kumpulan.

Saya sangat yakin bahawa dana yang digunakan untuk menyara para macai ini adalah daripada duit kerajaan. Maksudnya duit daripada poket rakyat yang membayar cukai kepada kerajaan.

Pelik, takkanlah Ahmad Maslan selaku Ketua Penerangan Umno tidak tahu mengenai kegiatan macai mereka bekerja sepenuh masa di alam siber, tiba-tiba mengumumkan pula untuk menubuhkan BWA. Atau pengumuman itu bertujuan menagih dana daripada Najib supaya terus dapat membaham duit rakyat demi kepentingan para macai BN.

Dalam situasi media-media utama dalam negara dikongkong sepenuhnya oleh BN, sepatutnya mereka tidak perlu khuatir sebarang maklumat daripada pihak pembangkang. Malaysia menduduki tangga ke-147 dalam dunia dari aspek kebebasan akhbar. Apa nak dikhuatirkan apabila 100 peratus media elektronik bukan siber dalam negara adalah pengampu BN dan anti-Pakatan Rakyat?

Mutakhir ini BN terpaksa menerima hakikat bahawa media elektronik (radio dan televisyen) sudah tidak berupaya menjadi agen propaganda mereka yang berkesan. Perkembangan terbaru MH370 memberi pukulan maut terhadap integriti para pemimpin kerajaan Malaysia dalam penyampaian maklumat. Bayangkan kaji selidik oleh penyelidik profesional Merdeka Center terhadap rakyat Malaysia sendiri menunjukkan 54 peratus yakin kerajaan BN menyembunyikan maklumat mengenai kejadian sebenar kehilangan MH370, hanya 26 peratus yang percaya kerajaan bercakap benar.

Saban hari media-media utama negara menjalankan propaganda dengan baik sekali bagi menunjukkan bahawa kerajaan bertindak betul dan bercakap benar, walhal majoriti rakyat tidak mempercayainya sebaliknya menganggap kerajaan berbohong. Dakwaan bahawa kerajaan menyembunyikan maklumat ini banyak tersebar di alam siber.

Penyebar maklumat tak semestinya profesional tetapi apabila terdapat kalangan yang berjaya mengemukakan bukti meyakinkan bahawa kerajaan tidak bercakap benar maka maklumat itu dikongsi dengan pantas oleh para pemilik akaun alam siber.

Bukan sahaja isu MH370 tetapi pelbagai isu lain seperti Panda RM25 juta, kangkong, dakwaan salah laku Rosmah Mansor TPM Muhyiddin Yassin dan sebagainya tersebar dengan pantas di alam maya
Bilangan pengguna internet di Malaysia kini menghampiri 25 juta orang menjelang 2015 berbanding 18 juta orang pada 2012.

Menurut laporan Kementerian Kewangan kadar penembusan jalur lebar isi rumah pula meningkat kepada 66.8 peratus pada akhir Jun 2013 manakala dengan kadar penembusan telefon mudah alih melebihi 100 peratus, kini terdapat 42.6 juta langganan.

Laporan itu menyebut rakyat Malaysia semakin banyak menghabiskan masa melayari internet berbanding media lain seperti televisyen, radio dan surat khabar dengan penggunaan internet yang meluas untuk rangkaian sosial. Nah, masakan BN tidak 'pening kepala' kerana bencana yang paling besar bagi BN ialah apabila rakyat mendapat maklumat yang betul.

Cadangan BN untuk menggunakan atau lebih tepat lagi, membesarkan penggunaan macai tidak harus dipandang sepi oleh Pakatan kerana mereka boleh menyalahgunakan duit rakyat untuk menyediakan peruntukan ke arah itu.

Pahlawan maya penyokong Pakatan sudah terlalu ramai di alam siber. Mereka bekerja de ngan sukarela. Pihak berkenaan dalam Pakatan cuma perlu mantapkan dengan sentuhan dan pengemblengan, supaya gerak kerja mereka lebih berkesan maka insya-Allah, BWA ciptaan Ahmad Maslan akan lenyap macam MH370.

Mengapa hanya Kelantan dipaksa tunjuk kesungguhan?

Posted: 21 Apr 2014 12:01 AM PDT



Oleh MOHD ARIF JUHANI


UMAT Islam tentunya teruja menyaksikan buat pertama kalinya usul rang undang-undang persendirian (Hukum Hudud) akan dibawa oleh Ahli Parlimen PAS untuk dibentangkan dan dibahaskan di Parlimen pada penggal akan datang.

Sekiranya PAS berjaya memperoleh persetujuan sokongan dua pertiga di Dewan Rakyat, maka pelaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 boleh dibuat di Kelantan selewatlewatnya pada penghujung tahun hadapan.

Selain terpengaruh dengan tindakan kerajaan monarki Brunei yang sudah melaksanakan hukum hudud, kesungguhan kerajaan PAS Kelantan turut didorong oleh kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Dato' Seri Jamil Khir Baharom bahawa kerajaan pusat sedia membantu jika Kelantan ingin melaksanakan undangundang berkenaan.

Jamil Khir berkata demikian dalam Dewan Rakyat pada 23 Mac lalu.

Referendum lebih berkesan berbanding undi parlimen Umumnya kita maklum bahawa hudud sememangnya sinonim dengan perjuangan PAS sejak sekian lama.

Apatah lagi ketika Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menjadi Menteri Besar, kesungguhan untuk melihat hukum Allah ini tertegak semakin jelas tetapi menerima bantahan keras selepas itu oleh kerajaan persekutuan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Soal hudud sememangnya rumit untuk dirungkai dan dijelaskan kepada rakyat sama ada Islam dan bukan Islam. Kerumitan ini bukan sebab mereka tidak mahu faham tetapi kerana kerajaan Umno-BN pun tidak bersungguh-sungguh untuk memastikan pelaksanaannya berjaya.

Dari satu segi, sukar dinafikan bahawa PAS memang dalam dilema.

Walaupun hudud adalah perjuangannya, namun Pakatan Rakyat tidak pula meletakkan hudud sebagai matlamat perjuangan bersama.

Jadi, apabila Jamil Khir mula menyatakan kesediaan untuk membantu Kelantan, maka kelihatan PAS semakin berhati-hati mengatur tindakan.

Kalau boleh PAS mahu kedua-duanya berlaku iaitu hukum hudud berjaya dilaksanakan dan hubungan dengan parti komponen Pakatan Rakyat terus kukuh terjalin. Ibarat kata pepatah 'tarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak'.

Memang beberapa pimpinan PAS juga ada menjelaskan bahawa pembentangan undang-undang hudud di parlimen nanti tidak akan menjejaskan kerjasama politik dalam Pakatan Rakyat. Tetapi, respon segera oleh rakan komponennya menunjukkan sebaliknya.

Sebenarnya bukan pimpinan Pakatan sahaja yang bersikap negatif terhadap hudud, rakyat jelata juga masih menaruh syak yang tinggi terhadap hudud, apatah lagi dengan sikap beberapa institusi Islam yang gagal memastikan hak dan kebajikan umat Islam termasuk golongan mualaf dalam negara ini terbela.

Mungkin cadangan oleh Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad agar sebuah referendum berhubung isu hudud diadakan sedikit sebanyak boleh membantu PAS melihat pandangan sebenar rakyat terbanyak terhadap hukuman hudud.

Referendum ini juga sebenarnya lebih besar kesannya berbanding mengharapkan sokongan dua pertiga di Parlimen seperti yang dilontarkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Dato' Razali Ibrahim. Katanya, jika mahu sokongan dua pertiga, PAS perlu memastikan 40 anggota Dewan Rakyat bukan Islam turut menyokong usul tersebut.

Tetapi, melalui referendum, bukan sahaja membuktikan PAS terus bijaksana memanfaatkan saluran demokrasi, bahkan boleh dianggap sebagai simbolik penghormatan PAS terhadap kemajmukan rakyat dalam negara ini. Jika benar Umno-BN pun sokong hudud, desak juga mereka bersamasama adakan referendum ini diseluruh negara.

Umno cuba hancurkan tunjang kekuatan Pakatan Tidak boleh tidak, kita memang kena melihat persoalan ini dari pelbagai dimensi yang berbeza. Cuba kita baca kenyataan Jamil Khir ini dari kaca mata manipulasi dan propaganda Umno- BN. Kita tidak nafikan bahawa apa yang disebut itu adalah peluang tetapi ada masanya peluang boleh menjadi perangkap kepada kita.

Mungkin dalam kerangka pemikiran Umno-BN sudah sedar bahawa kekuatan Pakatan Rakyat terletak pada parti komponennya iaitu PAS dan Ke- ADILan.

Jika kekuatan KeADILan tunjangnya terletak kepada pengaruh Ketua Umumnya, Dato' Seri Anwar Ibrahim, maka PAS pula dilihat hubungan eratnya dengan kesungguhan untuk melaksanakan hukum hudud.

Bila mahkamah rayuan pada 7 Mac lalu menjatuhkan hukuman penjara kepada Anwar Ibrahim atas kesalahan moral yang tidak dilakukan, pemikiran kita secara spontan terus melihat hukuman itu sebagai dendam politik bagi mematikan 'Langkah Kajang'.

Maka apakah pula dalam soal Hudud ini tidak terlintas bahawa berkemungkinan ianya juga satu perangkap bagi memastikan hubungan erat Pakatan Rakyat bukan sahaja renggang, bahkan terus berpecah sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Bukan susah pun untuk kita anggap kenyataan Jamil Khir itu sebagai propaganda politik. Sebabnya, kalau benar Umno-BN boleh menyokong hudud, mengapa tidak mereka sahaja yang mengusulkannya ke Parlimen? Kita pasti bukan susah pun untuk PAS menyatakan sokongan penuh terhadap hukum itu.

Tetapi, belum apa-apa lagi, sudah terbukti yang Umno-BN memang tidak berminat pun dengan hudud.

Lihat sahaja apa yang berlaku dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu pada 15 April lalu apabila Yang Dipertuanya, Mohd Zubir Embong menolak usul Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu yang dibawa oleh Ustaz Mohd Nor Hamzah (PASBukit Payong).

Usul tersebut yang dibentang dibawah peraturan mesyaurat Fasal 30 Peraturan-peraturan dan Perintah Tetap Dun pernah mendapat kelulusan oleh Dun pada 7 Julai 2002. Ketika itu, menteri besarnya adalah Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Cara usul itu ditolak pun sudah membuktikan lebih awal bahawa Umno-BN memang tidak mempunyai roh dan kesungguhan untuk mengorak langkah yang sama seperti Kelantan.

Sehubungan itu, mengapa hanya negeri Serambi Makkah itu sahaja yang dipersalahkan?

Pemandu Bas Mengaku Tak Bersalah Pandu Bawah Pengaruh Dadah

Posted: 20 Apr 2014 11:58 PM PDT




Pemandu bas, Wan Khairul Afendi yang sebelum ini terlantar di hospital didakwa kerana menyebabkan kematian tiga penumpang.

MSTAR ONLINE


BENTONG: Pemandu bas ekspres yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 11, Jalan Baru Bentong-Raub pada 12 April lalu  mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, Isnin terhadap pertuduhan memandu di bawah pengaruh dadah hingga menyebabkan kematian tiga penumpang.

Tertuduh, Wan Khairul Efendi Wan Mustapa, 35, yang berasal dari Bachok, Kelantan didakwa melakukan perbuatan itu pada pukul 12.30 tengah malam itu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda maksimum RM20,000 jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Inspektor Anuar Afendi yang menawarkan jaminan RM10,000 ke atas tertuduh.

Bagaimanapun, peguam tertuduh Azizzul Shariman Mat Yusoff merayu supaya jaminan tertuduh kepada RM4,000 dengan seorang penjamin.

Beliau berkata, tertuduh tidak mempunyai wang yang cukup untuk membayar wang jaminan, selain menanggung lima orang anak yang berumur dalam lingkungan 7 hingga 17 tahun.

Majistret Mohd Isa Mohd Nor kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes itu selesai.

Mohd Isa kemudian menetapkan 19 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Dalam nahas pukul 12.30 tengah malam itu, tiga orang termasuk sepasang suami isteri maut manakala 10 lagi cedera selepas sebuah bas ekspres dua tingkat terbabas dan terbalik.

Mangsa yang maut dalam kejadian itu ialah Suhaisam Che Abdulla, 33, dan pasangan suami isteri, Saeed Mohamad Mohamud Abdalla, 31 (warga Somalia), dan isterinya Zarifah Alias, 26.

Polis Siasat Kemungkinan Wujud Unsur Sabotaj Insiden Libatkan MAS

Posted: 20 Apr 2014 11:49 PM PDT

Khalid Abu Bakar
Khalid Abu Bakar.

Oleh: BERNAMA 


PUTRAJAYA: Polis akan menjalankan siasatan terperinci termasuk kemungkinan wujud unsur sabotaj terhadap semua insiden yang melibatkan Penerbangan Malaysia (MAS), kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Ia ekoran insiden terbaharu melibatkan pesawat MAS MH192 yang membuat pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) awal pagi Isnin pada saat misteri kehilangan pesawat MAS MH370 masih belum terjawab, katanya.

"Kita akan mengambil langkah yang sepatutnya untuk menyiasat semua perkara berkaitan," katanya dalam sidang media selepas pelancaran Persidangan Akademi Persatuan Polis Antarabangsa (Interpa) kali ketiga di sini, Isnin.

Majlis tersebut dilancarkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan turut dihadiri Presiden Interpa, Prof. Dr. Remzi Findikli.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan kenyataan pemangku Menteri Pengangkutan yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, yang meminta pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya Cawangan Khas Bukit Aman, untuk menyiasat sebarang kemungkinan berlakunya sabotaj terhadap MAS.

Pesawat MH192, yang bertolak ke Bangalore, India, dengan membawa 159 penumpang serta tujuh anak kapalnya melakukan pendaratan kecemasan selepas pesawat itu mengalami masalah pada gear pendaratan.

Pesawat itu yang berlepas dari KLIA pada 10.09 malam Ahad dan mendarat dengan selamat pada 1.56 pagi Isnin.

Kecekapan juruterbang pesawat itu yang melakukan pendaratan dengan baik dan lancar mendapat pujian penumpang pesawat berkenaan.

Pesawat MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal itu, pula hilang daripada radar kira-kira sejam setelah berlepas dari KLIA pada pukul 12.41 tengah malam 8 Mac lepas ketika berada di Laut China Selatan.

Ia dijadual mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama.

Bayi Dibuang Atas Bumbung

Posted: 20 Apr 2014 11:47 PM PDT


MSTAR ONLINE


SANDAKAN: Lagi kes buang bayi. Kali ini ada individu sanggup memanjat bumbung rumah seorang pesara kerajaan melalui tangki air yang terletak di bahagian belakang kediamannya semata-mata untuk tujuan itu.

Bagaimanapun, bayi lelaki itu, yang cukup sifat dengan tali pusat dipercayai baru dilahirkan dan diletak dalam bungkusan plastik, bernasib baik apabila tangisannya didengar pesara berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Rowell Marong berkata pesara kerajaan berusia 59 tahun itu, yang tinggal di Taman Merpati Batu 7 dekat sini, membuka tingkap selepas mendengar bunyi tangisan bayi dari atas bumbung dan melihat satu bungkusan berada di situ.

Ketika itu, tangisan bayi berkenaan sudah berhenti.

Rowell berkata pesara itu kemudian ke rumah iparnya di kawasan berhampiran dan pemeriksaan ke atas bungkusan terbabit mendapati ada bayi di dalamnya sebelum memaklumkan penemuan berkenaan kepada polis pada 11.15 malam, Sabtu.

Beliau berkata bayi malang itu dihantar ke Hospital Duchess Of Kent dan kini dalam keadaan sihat.

Katanya, polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan dan mereka yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan.

Bas persiaran masuk gaung, seorang pelancong warga Singapura maut

Posted: 20 Apr 2014 05:23 PM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER

 
Seorang pelancong warga Singapura maut selepas bas persiaran yang dinaiki terjunam ke dalam gaung di KM70 Jalan Kuantan-Segamat hari ini, iaitu nahas kedua membabitkan bas dalam tempoh tidak sampai 24 jam di Pahang.

Menurut Ketua Polis Daerah Pekan Supt Yahaya Othman mangsa yang terbunuh ialah seorang lelaki berusia dalam lingkungan 30-an, manakala 37 penumpang lain serta dua pemandu bas itu cedera.

Kejadian berlaku pukul 4.30 petang ketika bas dua tingkat yang membawa 38 pelancong Singapura itu dalam perjalanan pulang dari Pulau Redang, Terengganu, katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

"Bas berkenaan dipandu oleh pemandu kedua yang dipercayai warga tempatan.

"Apabila sampai di tempat kejadian bas itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kiri bahu jalan sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam 10 meter," katanya.

Selepas menerima laporan, 10 buah ambulans dari Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA),
Hospital Pekan dan Hospital Muadzam Shah serta tiga jentera bomba dari Kuantan, Pekan dan Chini digegas ke lokasi kejadian, katanya.

Beliau berkata kesemua penumpang berjaya dikeluarkan dalam tempoh dua jam dan operasi menyelamat ditamatkan pada 6.45 petang tadi.

Katanya mereka yang cedera dibawa ke HTAA.

Untuk rekod ini nahas bas yang ketiga dalam tempoh seminggu di negeri ini.

Pada 12 April lepas, tiga maut selepas bas ekspres dua tingkat dari Putrajaya ke Kota Baru, Kelantan, terbabas dan terbalik di KM11, Jalan Bentong-Raub.

Dalam kejadian 12.30 malam itu, 10 penumpang turut cedera parah.

Nahas kedua pukul 1.15 pagi semalam turut membabitkan bas ekspres yang menyebabkan tiga cedera parah dan 13 lagi cedera selepas bas yang dinaiki terbabas dan terbalik beberapa kali sebelum terjatuh dan tersangkut di dalam longkang dalam kejadian di KM116 Lebuhraya Pantai Timur.

Bas ekspres itu membawa 27 penumpang. – Bernama

Dedah senarai kargo MH370 - Anwar

Posted: 20 Apr 2014 05:20 PM PDT

 

HARAKAHDAILY 


IPOH: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak disaran mendedahkan senarai barangan yang dibawa dalam ruang kargo MH370 dan tidak menyembunyikannya daripada pengetahuan umum, ujar Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Anwar, banyak persoalan berhubung misteri kehilangan pesawat berkenaan belum dijawab Kerajaan Malaysia termasuk penjelasan mengenai kandungan kargo.

"Setiap kapal terbang yang berlepas mesti ada 'cargo manifest', maknanya keterangan barangan yang dibawa dan semuanya direkodkan, (tapi) yang ada (dalam MH370) hanyalah empat tan manggis dan bateri (lithium ion).

"Sampai sudah Kerajaan Malaysia dan MAS belum bagi maklumat dan masih lagi berahsia. Kenapa takut sangat? Benda apa yang nak dicuri?

Apa sebenarnya barang yang nak dibawa ke China? Najib tolong beritahu," kata Anwar dilapor KeadilanDaily.

Gesaan Anwar itu dibuat ketika berucap di hadapan lebih 4,000 hadirin pada ceramah Jelajah Reformasi 2.0 di Wisma KEADILAN, Bandar Ipoh Raya, Jumaat lalu.

Sehingga kini tiada laporan bahawa kerajaan menyerahkan butiran mengenai kandungan kargo itu kepada Kerajaan Australia seperti diminta.

Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya pada 18 Mac menafikan MH370 membawa barangan berbahaya, sebaliknya menyatakan hanya terdapat tiga hingga empat tan manggis dalam pesawat itu.

Namun empat hari kemudian, beliau mengesahkan pesawat itu membawa muatan bateri lithium ion dan juga platform kayu untuk muatan kargonya.

Anwar selanjutnya, mempersoal kelemahan ketara yang cuba ditutup kerajaan iaitu keupayaan sistem radar milik negara mengesan MH370.

Menurut Ahli Parlimen Permatang Pauh itu, radar Malaysia sepatutnya mampu mengesan MH370 kerana kerajaan membeli sistem radar daripada Marconi untuk kawasan utara Malaysia.

"Radar Marconi dipasang di Pangkalan Udara (PU) Gong Kedak dibeli dengan kos RM1.2 bilion adalah canggih.

Lalu lintas pesawat pelbagai saiz semua boleh nampak dan pesawat negara boleh memintas untuk tindakan segera jika ada pesawat misteri yang dikesan melalui ruang udara.

Macamana radar boleh tak nampak? Kenapa rahsiakan maklumat ini dan tidak disampai kepada rakyat?" soal beliau.

Anwar turut membangkitkan kehadiran dua penumpang warga Iran yang menggunakan pasport curi semasa menaiki penerbangan itu.

"Bagaimana pasport curi dari Itali boleh dipakai oleh orang Iran dan bolos masuk Imigresen sedangkan kita ada sistem canggih, dan hal ini terlebih dahulu diberitahu oleh Interpol sekiranya ada berlaku kecurian pasport," kata Anwar.

Tegasnya, tiga persoalan penting ini yang masih belum dijawab, menguatkan dakwaan bahawa kerajaan BN cuba menyembunyikan maklumat kehilangan MH370.

Pemuda PAS bantu anak JKKKP terlantar sakit

Posted: 20 Apr 2014 05:15 PM PDT


 
YAAKUB DASAN 


RANTAU PANJANG: Biar pun ayahnya, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP), namun tidak menghalang pemuda PAS turut membantu anaknya Ezzat Nor Azam, 21, kini terlantar sakit.

Pelajar semester empat ijazah bidang pertanian di UiTM Kangar Perlis, terlantar di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian akibat jangkitan kuman di bahagian otak sejak hampir setahun lalu.

Ibunya Latipah Yusof ketika ditemui berkata, anaknya dibawa ke HUSM bagi mendapat rawatan lanjut pada 12 April 2014.

"Ini kerana jahitan pada lubang yang ditebuk di bawah pusatnya terbuka. Kami bimbang dan terus membawanya ke HUSM," katanya ketika ditemui di wad.

Ezzat anak sulung dari enam adik beradik pada awalnya demam selepas menyertai perkhemahan pelajar UiTM di Perlis sehingga dimasukkan ke wad Hospital Kangar.

"Dan selepas dimasukkan ke wad di sana dia tidak sedarkan diri. Selepas itu kami membawanya pulang ke rumah di Kampung Baruh Pial, Rantau Panjang," ujar Latifah.

Ketika Ezzat terlantar sakit di rumah beliau dilawati isteri Menteri Besar, Datin Siti Zabidah Abdul Hamid dan isteri Adun Gual Periuk.

Sebelum itu beliau juga diziarahi anggota parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof. Dan terbaru rombongan Pemuda PAS Kelantan diketuai Shazuwan Che Hamid.

Shazuwan juga memberitahu Pemuda PAS merancang mengadakan solat hajat dan jamuan teh bagi mengumpul dana membantu Ezzat di rumahnya.

Latifah berkata, pada kunjungan itu mereka menghulur bantuan kewangan bagi meringankan bebanan keluarga untuk keperluan harian Ezzat.

Menurutnya juga Ezzat diberi susu debu jenis Peptamen sebagai diet harian. Setiap setin seberat 430 gm berharga RM81.90.

Kata beliau memandangkan kos begitu tinggi keluarganya tidak mampu bagi menyediakan keperluan harian Ezzat termasuk lampin pakai buang.

Oleh itu dermawan yang bersimpati boleh membantu keluaga terbabit dengan menyalurkan sumbangan melalui Bank Rakyat (220301198268 – Abdullah Hadi Yusoff) atau menghubungi di talian 013-9378100

Tiada ulasan: