Khamis, 10 April 2014

DUNIACACAMARBA

DUNIACACAMARBA


Isu Memali: Dr. Mahathir Jawab Musa Hitam

Posted: 10 Apr 2014 01:38 AM PDT


[AA] KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengatakan beliau tidak ingat apakah bekas timbalannya, Tun Musa Hitam ada menasihati beliau supaya menangguhkan lawatan kerja ke China susulan insiden berdarah di Memali pada 19 November 1985.

"Saya tidak ingat yang Tun Musa datang berjumpa saya untuk saya tidak pergi ke Beijing tetapi beliau berada di lapangan terbang bersama dengan ramai orang yang ingin ucap selamat pemergian saya ke Cina.

"Di waktu itu pun saya tidak ingat yang Tun Musa menasihat supaya saya tidak pergi luar negeri," katanya dalam satu makalah di blognya, chedet.cc.

Dr. Mahathir berlepas ke Beijing sehari selepas kejadian Memali untuk mengepalai rombongan swasta yang amat besar untuk katanya, meninjau peluang dagang dengan negara China yang baru sahaja dibuka untuk penyertaan peniaga luar.

Beliau juga yakin Musa sebagai Timbalan Perdana Menteri dapat menangani keadaan "sehingga saya lantuk beliau sebagai Pemangku Perdana Menteri" dan sepanjang berada di luar negara, tidak ada apa-apa yang berlaku yang tidak boleh ditangani oleh Timbalan Perdana Menteri yang memangku jawatan Perdana Menteri.

Dr. Mahathir menulis makalah itu sebagai menjawab kenyataan Musa baru-baru ini bahawa bekas Perdana Menteri itu berada di tanahair semasa kejadian Memali dan beliau bukan memangku tugas Perdana Menteri.

Isu siapa yang ada dan tidak ada di dalam negara pada masa kejadian itu timbul semula selepas Musa dalam satu forum di Kota Bharu, Kelantan pada 27 Mac lepas mendedahkan bahawa Dr. Mahathir berada di Kuala Lumpur "dua tiga hari" selepas insiden itu berlaku.

Dalam satu penjelasan lebih kurang seminggu selepas forum itu, Musa berkata beliau memohon Dr Mahathir supaya menangguhkan lawatan ke China selepas kejadian tersebut atas tiga alasan: kejadian itu melibatkan orang Melayu beragama Islam, kejadian berlaku di Kedah, negeri Dr. Mahathir sendiri dan ketiga, dengan menangguhkan lawatan ke China, Dr Mahathir memperlihatkan sifat mengambil berat terhadap peristiwa yang telah berlaku di dalam negeri.

Menurut Dr. Mahathir, soal beliau kononnya tidak ada dalam negeri semasa kejadian itu berlaku bukan disebarkan oleh dirinya sendiri. Malah dalam bukunya pun, beliau tidak sebut perkara itu, katanya yang dilihat merujuk kepada memoirnya,A Doctor in the Houseyang juga diterjemahkan dengan judulDoktor Umum.

Jelas Dr. Mahathir, apa yang diketahui umum ialah Musa pada masa itu merupakan Menteri Dalam Negeri yang juga Timbalan Perdana Menteri.

"Sebagai Menteri Dalam Negeri rundingan dan laporan oleh Ketua Polis Negara dibuat kepadanya. Menteri Dalam Negeri juga terlibat dalam memutuskan tindakan yang diambil.

"Jika hanya apabila semua berjalan dengan baik pengakuan bertanggungjawab dibuat, tentulah ini kurang manis," katanya.

Menurut Dr. Mahathir, semasa beliau jadi Perdana Menteri, masalah keselamatan negara dipikul bersama oleh beliau dengan Timbalan Perdana Menteri dan antara mereka, masing-masing memegang jawatan sebagai Menteri Pertahanan atau Menteri Dalam Negeri.

"Amalan ini disebabkan soal keselamatan negara begitu penting," katanya.

Dr. Mahathir juga menarik perhatian kepada tugas Menteri Dalam Negeri yang bertanggungjawab atau sekurang-kurangnya merestui tindakan terhadap ancaman keselamatan negara yang besar.

"Tun Musa telah akui beliau bertanggungjawab. Dalam sistem kabinet yang kita amalkan semua anggota kabinet, terutama Perdana Menteri bertanggungjawab," katanya.

Dr. Mahathir juga mempertahankan Musa apabila berkata beliau tidak fikir Musa telah meramalkan akan berlaku kehilangan nyawa dalam kejadian di Memali hasil keputusannya sebagai Menteri Dalam Negeri.

Pada pagi 19 November 1985 itu, polis membuat operasi di Memali untuk menahan Ibrahim Mahmood atau lebih dikenali dengan nama Ibrahim Libya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana didakwa terlibat dalam kegiatan memecah-belahkan umat Islam.

Dalam serbuan itu, empat anggota polis terbunuh bersama-sama 14 penduduk kampung termasuk Ibrahim.

"Harus diingat bahawa anggota polis dibunuh sebelum polis menembak balas. Amat malang sekali sementara kematian Ibrahim dan pengikutnya diingati, bahkan dilaung sebagai syahid, kematian anggota polis yang menjaga keselamatan kita dilupakan," kata Dr. Mahathir.

Bekas Perdana Menteri itu juga mengakui kejadian itu tidak sepatutnya berlaku tetapi beliau bertanya apakah ia harus dibiarkan melarat sebelum diambil tindakan. - 10/4/14



Penculikan di Semporna: Penculik Tuntut RM36.4 Juta Sebagai Tebusan

Posted: 10 Apr 2014 01:30 AM PDT


[Mstar] KUALA LUMPUR: Penculik dua wanita di Semporna tampil menuntut RM36.4 juta sebagai tebusan untuk membebaskan seorang daripada mereka iaitu pelancong dari China.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan, pihaknya telah menerima nota daripada penculik yang meminta tebusan sebanyak 500 juta peso atau RM36.4 juta.

"Kami telah menghantar satu pasukan untuk melakukan rundingan dengan orang tengah yang telah dipanggil ketika ini," katanya kepada pemberita di sini Khamis.

Zahid berkata, bagaimanapun pihaknya belum menerima sebarang bentuk tebusan bagi membebaskan wanita warga Filipina terbabit.

Pada 2 April, pelancong China Gao Hua Yuan (gambar), 29, dan pekerja resort warga Filipina Marcy Darawan, 40, diculik dari Singamata Reef Resort di Semporna oleh tujuh lelaki bersenjata dipercayai kumpulan militan Abu Sayyaf. -10/4/14

Pakar Motivasi Terkenal Didakwa Mencabul Pelajar Minta Direhatkan

Posted: 10 Apr 2014 01:12 AM PDT



[HM] Kuala Lumpur: Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perlis mengesahkan pensyarah yang juga pakar motivasi terkenal sudah meminta pihak pengurusan institut pengajian tinggi itu untuk 'merehatkannya' buat sementara waktu.

Tindakan itu dibuat oleh pensyarah berkenaan berikutan kontroversi yang tersebar meluas di media sosial mengaitkan dirinya dengan perbuatan salah laku dengan seorang pelajarnya.

Rektornya Prof Datuk Dr Ahmad Redzuan Abd Rahman berkata, sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu, pihaknya bertindak memanggil pensyarah berkenaan demi reputasi universiti itu. 

"Sebagai ketua, saya bertindak memanggil pensyarah berkenaan untuk berbincang sebelum beliau meminta untuk bercuti bagi menenangkan diri sehingga kes selesai. 

"Malah, pelajar yang membuat laporan polis berkenaan juga kini sedang bercuti semester di kampungnya," katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam. 

Menurutnya, tindakan pelajar berkenaan membuat laporan polis mendakwa dirinya dicabul kehormatan oleh pensyarah berusia 40-an itu ketika di bilik lelaki berkenaan adalah hak individu masing-masing.

"Itu hak pelajar berkenaan untuk membuat laporan polis, sebagai rakyat Malaysia tiada seorang pun dihalang untuk berbuat demikian.

"Malah, saya tegaskan di sini, pihak UiTM tidak pernah berdiam diri dan sentiasa menjaga imej baik institusi pengajian ini, kita juga sudah mengambil tindakan yang sepatutnya dan yang lain serah kepada polis untuk menjalankan siasatan," katanya. 

Bagaimanapun, beliau berkata, tidak sepatutnya laporan polis dan maklumat peribadi pelajar berkenaan disebar meluas ke dalam laman sosial Facebook dan blog. 

"Saya kesal dan sedih perkara ini tersebar begitu cepat berikutan membabitkan maruah kedua-dua mereka. Apa yang saya boleh katakan, perkara ini masih dalam siasatan pihak polis," katanya.-10/4/14

"Saya dipaksa" Kata Awek Kantoi Khalwat

Posted: 09 Apr 2014 11:42 PM PDT

ANTARA pasangan yang ditahan kerana disyaki berkhalwat di hotel, kelmarin.
[HM] Butterworth: "Saya dipaksa," demikian helah seorang remaja perempuan ketika ditahan selepas disyaki berkhalwat dengan pasangannya di sebuah hotel di sini, jam 11 malam, kelmarin.

Bagaimanapun, gadis berusia 17 tahun itu mengaku mengikut rakan lelaki berusia 19 tahun itu ke hotel selepas beberapa jam berkenalan dengan alasan untuk suka-suka serta melepaskan tekanan. 

Pemeriksaan dijalankan sepasukan pegawai penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) mendapati pasangan itu dalam keadaan mencurigakan, malah gadis berkenaan hanya berselimut ketika bilik hotel itu diserbu. 

Ketua Unit Operasi JHEAIPP Khairul Azman Azizan berkata, dua remaja berkenaan antara empat pasangan berusia 17 dan 25 tahun yang ditahan dalam pemeriksaan di sekitar daerah Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT) bermula jam 8 hingga 12 malam kelmarin.

"Walaupun baru berkenalan dan langsung tidak mengetahui latar belakang pasangannya, remaja perempuan itu berani mengikut lelaki terbabit hingga ke bilik hotel, sedangkan perkara ini tidak berlaku dan sebagai gadis dia perlu lebih berhati-hati dengan orang baru dikenali. -Salman Hamat/10/4/14


[Video] Raja Bomoh Akan Ke Australia, Cari MH370

Posted: 09 Apr 2014 08:58 PM PDT


[Suara TV] Kuala Lumpur – Raja Bomoh Sedunia, Datuk Mahaguru Ibrahim Mat Zin berkata, beliau akan berangkat ke Australia bagi membantu misi mencari pesawat MH370 yang hilang baru-baru ini.

Beliau yang ditemui petang tadi menegaskan, ia adalah merupakan sebahagian daripada usaha yang ingin dilakukan agar semua penumpang di dalam pesawat yang hilang itu dapat ditemui.

"Dalam teropong saya di atas gelap dan gelita (ritual yang dilakukan sebelum ini), berkelip-kelip. Dia ada menghampiri 3 pulau. Pulau itu saya tidak tahu di mana, tapi mengikut pandangan saya ia (mungkin) berada di Australia atau US.

"Saya telah usaha pergi ke Pulau Sembilan, (bersama peralatan) kerantong, buluh dan (melakukan) azan. Masa saya tarik buluh itu (ketika ritual dilakukan) tiada ada balasan, (contohnya) seperti menarik besi berani (magnet), sekiranya ada di laut (kebiasaannya saya dapat merasakan seperti ada tarikan)," jelasnya.

Ibrahim berkata, menurut pandangannya sebagai Raja Bomoh semua mangsa yang terlibat masih hidup.

"Saya akan bertolak ke Australia atau kawasan yang berdekatan dengan tempat carian (untuk turut sama membantu usaha mencari yang dilakukan). Saya (juga akan turut) meminta (berdoa) kepada Allah swt," katanya.

Ibrahim turut menjelaskan usaha yang dijalankan ini, adalah merupakan inisiatif beliau sendiri tanpa dibiayai oleh mana-mana pihak.

Beliau turut menyeru agar semua masyarakat di negara ini teruskan berdoa agar misi mencari pesawat ini berjaya dan berhenti menuding jari menyalahkan orang lain.

"Sains dan teknologi serta amalan traditional Melayu (perlu) berganding bahu, seperti tangan kanan dan kiri (agar) benda yang berat (sukar) dapat ditolong (dipermudahkan)" jelasnya lagi. - 9/4/14



Legenda Gusti The Ultimate Warrior Meninggal Dunia

Posted: 09 Apr 2014 07:11 PM PDT



[Kosmo] LOS ANGELES - Bintang gusti terkenal, Jim Hellwig atau lebih dikenali sebagai Ultimate Warrior meninggal dunia kelmarin selepas dia terjatuh ketika berjalan ke keretanya di sebuah hotel di Arizona. 

World Wrestling Entertainment (WWE) dalam satu kenyataan kelmarin mengumumkan kematian ahli gusti berusia 54 tahun itu. 

Hellwig meninggal dunia selepas dia diiktiraf antara jaguh gusti terhebat di WWE Hall of Fame di New Orleans pada Sabtu lalu. 

Portal hiburan. TMZ.com melaporkan, dia pengsan kira-kira pukul 5.50 petang waktu tempatan ketika berjalan ke keretanya di sebuah hotel di Arizona pada Selasa lalu. 

Dia kemudiannya disahkan meninggal dunia ketika dirawat di sebuah hospital berhampiran. 

Hellwig memulakan kariernya pada tahun 1987 dan menjadi antara bintang gusti terkenal apabila menjadi Juara WWE selepas menewaskan Hulk Hogan pada tahun 1990. 

Ahli gusti yang mempunyai ketinggian 1.88 meter dan berat 127 kilogram itu terkenal dengan aksi rambutnya yang panjang dan muka yang dicat ketika berada di dalam gelanggang. - 10/4/14/Agensi


Manfaat GANJA untuk PERUBATAN

Posted: 09 Apr 2014 06:49 PM PDT



[SH] SEORANG penghidap kanser otak dan paru-paru berumur 80an mengambil minyak ganja setelah doktor mengesahkan dia boleh hidup hanya beberapa minggu.

Dia disahkan bebas daripada kedua-dua kanser tersebut dalam tempoh sembilan bulan. Hari ini setelah lebih tiga tahun mengambil minyak ganja, dia hidup sihat serta menjalani aktiviti harian seperti orang lain.

Ikuti kisahnya berjudul Culture Exclusive: Cannabis Cures Cancer - The Stan Rutner di Youtube.

Kajian makmal pada 2008 dalam laporan The Journal Of Clinical Investigation mendapati sejenis cannabinoid iaitu tetrahydrocannabinol (THC) berupaya menyembuhkan kanser otak.

Golongan saintis yang menjalankan penyelidikan itumembuat kesimpulan, dengan menggunakan proses biokimia yang serupa THC berupaya menyembuhkan pelbagai jenis kanser lain.

Kajian lain mendapati cannabinoid mampu berfungsi menggunakan pelbagai mekanisme termasuk merencatkan pertumbuhan sel kanser, menyebabkan kematian sel kanser dan menghalang metastasis (perpindahan sel kanser ke organ lain).

Undang-undang dua puluh negeri di Amerika Syarikat membenarkan penduduknya menggunakan ganja untuk tujuan perubatan.

Golongan aktivis dan badan bukan kerajaan merupakan penggerak utama dalam berkempen di mana akhirnya mereka menjalankan pungutan suara.

Pungutan suara yang ditangani oleh sebilangan penduduk sesuatu negeri kemudiannya di hantar kepada pihak berkuasa untuk diteliti. Usaha yang dilakukan mengambil masa yang panjang dan terpaksa menempuh pelbagai rintangan.

Kawal penggunaan

Mungkin apabila tiba masa sesuai, negara kita juga membenarkan orang awam menggunakan ganja untuk tujuan perubatan. Sebelum kebenaran dilaksanakan, sudah tentu kajian terperinci perlu dijalankan. 

Antara lain yang utama ialah mengeluarkan lesen kepada pengeluar (penanam) dan pengedar/peruncit. Pengguna perlu mendapatkan kad yang mengandungi butir-butir kebenaran daripada pihak berkuasa contohnya doktor perubatan tanpa prejudis.

Sebagaimana dilaksanakan di negeri-negeri Amerika Syarikat yang membenarkan penggunaan ganja untuk tujuan perubatan, setiap penduduk boleh memiliki misalnya sebatang pokok dan beberapa gram ganja kering pada satu-satu masa.

Maksudnya jika seseorang didapati memiliki pokok atau ganja kering lebih daripada kuantiti yang dibenarkan maka ia boleh didakwa pihak berkuasa. Pastikan terdapat klaus yang membenarkan penghidap menggunakan produk ganja seperti minyak ganja atau krim.

Berikut ialah rumusan utama berkaitan bancian bersifat tinjauan yang dijalankan mantan Presiden American Herbalists Guild (AHG), Aviva Romm, berkaitan penggunaan ganja oleh golongan responden tinjauan yang bertaraf herbalis profesional berdaftar dengan AHG.

Untuk pengetahuan pembaca, penulis ialah satu-satunya herbalis Malaysia yang menerima pengiktirafan sebagai herbalis profesional oleh AHG dan berdaftar dengannya.

Namun penulis sendiri tidak terlibat langsung dengan tinjauan tersebut.

Tinjauan berjudul AHG Professional Member Survey: Medicinal Use of Cannabis itu menunjukkan ganja (Cannabis Sativa) digunakan hampir separuh responden untuk tujuan perubatan.

Pada masa sama 55 peratus responden tidak pernah menawarkan penggunaan ganja kepada klien untuk tujuan perubatan.

Sebahagian besar responden tidak menawarkan penggunaan ganja dengan alasan ia adalah bahan diharamkan oleh undang-undang.

Lebih kurang 80 peratus responden menyatakan mereka akan menawarkan penggunaan ganja jika penggunaannya tidak dikekang undang-undang.

Tinjauan tersebut mendapati golongan responden menggunakan ganja secara menyendiri tanpa digabungkan dengan herba lain dalam sebahagian besar rawatan.

Kaedah utama penggunaan ganja untuk tujuan perubatan oleh responden ialah menyedut asap, menyedut wap dan dimakan/minum.

Penulis sendiri tidak pernah menggunakan ganja untuk tujuan perubatan sama ada untuk kegunaan sendiri atau menawarkannya kepada klien.

Namun penulis mengetahui minum rebusan daun ganja adalah antara kaedah utama yang dapat dijadikan penawar untuk redakan penyakit tertentu.

Pengambilan tincture iaitu sediaan herba yang disediakan dengan merendam herba dalam arak contohnya Vodka adalah amalan yang paling kurang dicadangkan oleh responden tinjauan.

Untuk pengetahuan pembaca, tincture halal boleh disediakan dengan merendam herba dalam cuka atau gliserin berasal daripada pemprosesan minyak sawit.

Tincture terutama tincture arak dikatakan adalah sediaan herba yang paling mujarab dibandingkan dengan sediaan jenis lain seperti rebusan dan sediaan jenis teh (herba direndam dengan air panas selama beberapa minit) atau serbuk herba kering. Tincture cuka dan gliserin juga sebenarnya berguna sebagai bahan rawatan walaupun kuasanya kurang sedikit berbanding tincture arak

Kegunaan terapeutik

Apakah jenis penyakit yang boleh dirawat oleh ganja seperti yang telah diamalkan oleh responden bancian berbentuk tinjauan yang dijalankan oleh Aviva Romm?

Laporan tinjauan beliau menunjukkan responden paling kerap mencadangkan penggunaan ganja terhadap penyakit seperti kanser, glaucoma, keresahan (kerisauan), kurang/hilang selera makan, rasa sakit dan insomnia.

Sebanyak 56.4 peratus responden menganggap ganja menyebabkan ketagihan, manakala 74.9 peratus menganggap ia selamat digunakan golongan dewasa. Bagi 78.4 peratus responden percaya ia tidak selamat digunakan oleh kanak-kanak. Tiga perempat responden percaya ganja tidak selamat digunakan oleh ibu mengandung.

Data tinjauan tersebut juga menunjukkan responden menggunakan ganja untuk merawat Amyotrophic lateral sclerosis (ALS), penyakit Alzheimer, anorexia, attention deficit hyperactivity disorder, atritis, sindrom Asperger, sakit pinggang, gangguan bipolar, body dismorphic disorder, penyakit Crohn, ketagihan dadah, asma, tidak datang haid, endometriosis, sawan (epilepsi), masalah ereksi, fibromyalgia, glaucoma dan sakit kepala.

Beberapa penyakit seperti bronkitis, diabetes dan hepatitis C juga boleh dirawat menggunakan ganja. Namun data tinjauan menunjukkan tiada seorang pun responden yang menggunanya untuk tujuan tersebut.

Pangkalan data Natural Standard memaparkan bukti sains berdasarkan kategori jelas, baik dan tidak jelas terhadap manfaat ganja untuk tujuan perubatan. Manfaat yang disenaraikan oleh Natural Standard hanya adalah sedikit berbanding dengan pelbagai kegunaan yang digunakan dalam tinjauan AHG. 

Sebahagian herbalis mengamalkan penggunaan sesuatu herba secara empiris iaitu berdasarkan keputusan daripada pengamalan yang tidak semestinya didahului oleh penemuan sains.

Menurut mantan pengarah Perubatan Tradisional dan Komplementari (T&CM) dalam sebuah bengkel penerangan beberapa tahun dahulu, hanya pengamal perubatan alternatif yang berdaftar dengan T&CM dibenarkan menggunakan herba yang dikategorikan sebagai bahan narkotik. Untuk keterangan lanjut sila ajukan soalan anda kepada pegawai T&CM. - DR. BAHRAIN SAMAH/9/4/14


Tiada ulasan: