DIALOG RAKYAT |
- Demi rakyat saya rela gaji dipotong, kata MB
- Cukuplah dabik dada dengan pengurangan miskin tegar
- Air: Selangor adakan sidang Dun khas jika perlu
- AIU Ditutup, Satu Pengajaran Buat Syed Bukhary
- Polis sita telefon bimbit Tian Chua, bantu siasat kes hasutan
- Tim Saifuddin: Nak menang PRU, sokong kami
- CNN: Telefon Fariq buat sambungan ke menara
- Pakatan ke Sabah tinjau Esscom jadi gajah putih atau harimau tidak bertaring
- Ke mana dana geran R&D Mosti dibelanjakan, soal PKR
Demi rakyat saya rela gaji dipotong, kata MB Posted: 14 Apr 2014 11:22 PM PDT HARAKAHDAILY KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau tidak kisah dipotong separuh dari gaji barunya kerana ia demi kepentingan rakyat. Bercakap kepada pemberita selepas persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) semalam, Abdul Khalid menjelaskan beliau secara rela hati bersetuju dengan langkah pemotongan itu walaupun tidak sempat menikmati kenaikan baru itu. "Kita setuju dengan pemotongan sebab hendak tunjuk kepada rakyat bahawa kita juga sanggup potong gaji demi kepentingan rakyat," katanya dipetik Selangorkini. Sewaktu bacaan Rang Undang-Undang (RUU) Pembekalan Tambahan, Abdul Khalid mengumumkan sebahagian gaji dan kenaikan elaun Menteri Besar, anggota Exco, Speaker dan Timbalan Speaker dipotong dan disumbangkan ke Tabung Agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES). Sebelum ini, persidangan DNS meluluskan kenaikan gaji dan elaun kesemua 56 Adun Speaker dan Timbalan Speaker dengan Menteri Besar menerima kenaikan 51.54 peratus menjadikan jumlah gaji baru beliau RM29,250. Bagaimanapun, dengan pemotongan yang mula dibuat Januari lepas, Menteri Besar sekadar menerima gaji RM14,175.15, iaitu pada kadar gaji lama. Jumlah itu adalah lebih rendah berbanding gaji anggota Exco dan Speaker yang menerima RM15,000 selepas pemotongan. Pemotongan gaji bagaimanapun tidak melibatkan gaji Adun yang tetap menerima bayaran penuh gaji baru RM11,250 selepas dinaikkan daripada gaji lama RM6,000. |
Cukuplah dabik dada dengan pengurangan miskin tegar Posted: 14 Apr 2014 11:18 PM PDT HARAKAHDAILY KUALA LUMPUR: Ukuran kemiskinan dengan menggunakan garis kemiskinan tidak lagi mencukupi untuk menerangkan dengan jelas tentang kemiskinan, kata Nurul Izzah Anwar. Malah, kata Ahli Parlimen Lembah Pantai itu, ia memberikan gambaran yang salah, terutamanya dalam keadaan kerajaan enggan menakrifkan kembali garisan kemiskinan itu. Justeru, ujarnya cukuplah dengan mendabik dada berbangga dengan pengurangan golongan miskin tegar kepada 1.7 peratus (2012). "Tiba masanya kita menaiktaraf cara menilai kadar kemiskinan yang setaraf dengan negara-negara berpendapatan tinggi lainnya. "Sekiranya tidak, kita hanya akan terus menggelapkan harapan serta kesejahteraan masa depan rakyat," ujarnya yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat dalam satu kenyataan, seperti di bawah. Parti Keadilan Rakyat menekankan peripentingnya prinsip keadilan sosial; yang dilihat menerusi kelangsungan program jaringan keselamatan sosial mempersiap rakyat menangani masa depan ekonomi yang semakin mencabar. Dengan 'household debt' yang begitu besar, itu pada 140 peratus berbanding dengan pendapatan, rakyat Malaysia terus dicengkam dengan beban yang begitu besar. Untuk setiap RM1 yang diperolehi, seorang rakyat menanggung RM1.40 hutang. Hutang ini sebahagian besarnya datang daripada menanggung hutang perumahan dan kereta yang begitu tinggi di Malaysia. Tambahan, pekerja juga sengsara dengan pulangan sedia ada. Sebanyak 28 peratus sahaja daripada KDNK Malaysia disumbangkan oleh gaji dan upah pekerja sementara lebih 67 peratus disumbangkan oleh keuntungan perniagaan. Tambahan dengan kenaikan gaji sebenar sejak sepuluh yang tahun lepas adalah negatif, bermakna jika dibandingkan dengan kadar inflasi, gaji semakin menurun. Pun begitu, kerajaan BN masih menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap kejayaan-kejayaan seperti; jumlah penurunan golongan miskin tegar yang semakin kecil iaitu sebanyak 1.7 peratus pada tahun 2012 dibandingkan dengan 49.7 peratus pada 1970; dan pemberian wang BR1M tahun ini kepada seramai 7.9 juta orang. Sebenarnya, perancangan masa depan rakyat di bawah BN amat menakutkan. Pertama, peratus gaji pekerja yang dibawa pulang daripada KDNK bakal jatuh daripada 28 peratus seperti yang disebut, hingga sekadar 21 peratus menjelang 2020! Perangkaan inilah yang disasar PEMANDU dalam Program Transformasi Ekonomi mereka, sedangkan di Korea Selatan pekerja membawa pulang gaji sebanyak 45.8 peratus; walhal Singapura sebanyak 42 peratus. Kedua, seperti dinyatakan oleh Professor Fatimah Kari dari Pusat Kajian Kemiskinan dan Pembangunan UM; menerusi potongan subsidi kerajaan secara berperingkat, rakyat, terutamanya isirumah Melayu dan Bumiputra yang miskin adalah golongan yang paling terkesan kelak, sama ada di bandar atau di luar bandar; kadar kemiskinan ini dijangkakan akan kembali seperti pada tahun 1970 dalam tempoh terdekat atau sederhana sekiranya isu jurang pendapatan tidak dikawal menerusi polisi-polisi kerajaan. Model ekonomi yang digunapakai Dr Fatimah juga menunjukkan bahawa pemotongan subsidi tersebut juga meningkatkan kadar kemiskinan bangsa Cina dan India di bandar dan luar bandar, walaupun kesannya tidak begitu mendadak dibandingkan dengan golongan Bumiputra. Yang terpenting, BR1M dikenalpasti sebagai pemberian yang tidak mampu menyelamatkan rakyat daripada perangkap kemiskinan yang bakal menanti! Pada ketika ini indeks GINI Malaysia berada pada 0.43, salah satu tertinggi di dunia dan bilamana kita berada di tangga 45 bersebelahan negara Botswana dan Belarus dalam laporan gaji purata International Labor Organisation, maka nyata sekali pendapatan rakyat rendah. Kesan pemotongan subsidi bahan api, kajian itu telah mendapati bahawa pertambahan sebanyak 37.5 peratus daripada bumiputra bandar dan 23.3 peratus daripada bumiputra luar bandar akan berada dalam risiko miskin tegar oleh kerana pemotongan subsidi itu. Mereka ini dikategorikan sebagai berisiko tinggi sekiranya terjadi kejadian yang tidak disangka seperti bencana alam atau kematian pencari nafkah. Justeru, dalam mengenalpasti golongan berisiko tinggi ini, KeADILan mencadangkan kaedah baru buat Malaysia dalam memastikan masa depan kita terjamin menerusi penggunaan Indeks Kemiskinan Multidimensi (Multidimensional Poverty Index) atau MPI. MPI mengukur tahap kekurangan pada tahap individu, iaitu pada dimensi kesihatan, pendidikan dan taraf kehidupan. Indeks ini boleh digunakan untuk memberikan gambaran yang lebih jelas mengenai kehidupan orang miskin, dan perbandingan antara bandar dan luar bandar; antara etnik dan pelbagai lagi demografik masyarakat. Ukuran kemiskinan dengan menggunakan garis kemiskinan tidak lagi mencukupi untuk menerangkan dengan jelas tentang kemiskinan, malahan ianya memberikan gambaran yang salah, terutamanya dalam keadaan kerajaan enggan menakrifkan kembali garisan kemiskinan itu. Cukuplah dengan mendabik dada berbangga dengan pengurangan golongan miskin tegar kepada 1.7 peratus (2012)! Tiba masanya kita menaiktaraf cara menilai kadar kemiskinan yang setaraf dengan negara-negara berpendapatan tinggi lainnya. Sekiranya tidak, kita hanya akan terus menggelapkan harapan serta kesejahteraan masa depan rakyat. |
Air: Selangor adakan sidang Dun khas jika perlu Posted: 14 Apr 2014 11:13 PM PDT SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor tidak menolak untuk mengadakan sidang Dun khas bagi menerangkan keputusan yang telah diambil dalam isu penyelarasan industri air. Menter Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjelaskan perkara tersebut ketika sesi jawab lisan pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini. "Kita tidak ada masalah dan jika perlu sidang dewan khas ia boleh diadakan bagi kita menerangkan apa keputusan yang telah kita lakukan. "Dalam pada itu kita boleh mendapat pandangan dari ahli-ahli dewan dalam isu tersebut," jelas beliau. Khalid turut memberitahu mengenai kesan-kesan yang dihadapi daripada pembinaan Langat 2 akan turut dibentangkan. "Ahli-ahli dewan inginkan ketelusan dan penerangan tentang penyelarasan penyusunan semula industri air Selangor. "Kita akan bentang apa yang kita setuju serta kesan-kesan dalam pembinaan Langat 2 termasuk juga harga kenapa ia memberi kebaikan kepada rakyat," sambung beliau. Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa, Mohamed Azmin Ali ketika ditemui menyambut baik cadangan tersebut. Beliau berharap sidang dewan khas itu diadakan segera sebelum perjanjian antara kerajaan negeri dan pusat itu ditandatangani bagi memudahkan isi kandungan perjanjian itu diubah. |
AIU Ditutup, Satu Pengajaran Buat Syed Bukhary Posted: 14 Apr 2014 10:58 PM PDT KELAB GREENBOCKementerian Pendidikan menyatakan mereka sudah menerima surat penutupan operasi daripada Universiti Antarabangsa Albukhary (AiU) yang beroperasi di Alor Setar, Kedah. Bagaimanapun, Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh ketika ditemui sebentar tadi tidak dapat menjelaskan punca sehingga membawa kepada penutupan operasi universiti milik penuh hartawan Malaysia, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary itu. Idris berkata, pihaknya kini sedang memantau supaya kebajikan pelajar dan kakitangan universiti berkenaan mendapat pembelaan sewajarnya. Menurutnya, pihaknya sedang melakukan tinjauan dan perbincangan dengan pihak universiti itu terutama membabitkan masa depan pelajar dan kebajikan kakitangan termasuk pensyarahnya. "Apa lebih mustahak nasib setiap pelajar dan pensyarah mendapat pembelaan. "Semua pelajar akan ditempatkan ke universiti lain berdasarkan kursus diambil," katanya pada sidang media selepas menyaksikan penyerahan sumbangan dana pendidikan Persatuan Alumni UiTM di sini sebentar tadi. Difahamkan seramai 600 pelajar kebanyakannya pelajar antarabangsa sedang mengikuti pengajian di universiti berkenaan. -Bernama
ULASAN GB Demikian Hukum kebenaran dan keadilan berjalan. Pertamanya, Syed Bukhary, anda mungkin gembira kerana telah banyak memperolehi keuntungan daripada pembolotan kekayaan kerana menjadi kroni UMNO. Rakyat marhaen terpaksa menanggung kos yang tinggi terhadap bahan keperluan seperti gula dan beras kerana "membantu" anda menjadi lebih kaya. Walaupun pun Al-Bukhary kaya-raya, tetapi Allah Maha Kaya. Anda tidak akan dapat menguasai kesemuanya. Kekayaan yang disebabkan oleh kronisma tidak akan mempunyai keberkatannya. Justeru itu, ada "kos" lain yang ditanngung oleh Bukhary - universitinya ditutup dan ia merupakan satu tamparan dan pencemaran terhadap namanya sendiri. Keduanya, kita hairan, apabila UNISEL kerugian RM37 juta, hiruk-pikuk para macai UMNO mengkritik kerajaan PR Selangor. Tetapi apabila Universiti Syed Al-Bukhary DITUTUP, mereka tiba-tiba menjadi batu dan diam membisu... |
Polis sita telefon bimbit Tian Chua, bantu siasat kes hasutan Posted: 14 Apr 2014 10:48 PM PDT THE MALAYSIAN INSIDER Polis mengesahkan menyita telefon bimbit milik Ahli Parlimen Batu, Tian Chua di sebuah hotel di Petaling Jaya kira-kira jam 8 malam tadi. Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa, berkata telefon bimbit naib presiden PKR itu disita bagi membantu siasatan polis di bawah Akta Hasutan 1948. "Maklumat lanjut mengenai kes ini akan disiarkan melalui siaran media nanti, yang dilakukan (Bahagian) Hal Ehwal Awam Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur," katanya. Sementara itu, Setiausaha Politik kepada Tian Chua, Rozan Azen Mat Rasip, berkata ketika didatangi 10 anggota polis berpakaian biasa, Tian Chua sedang bertemu dengan kenalannya di hotel terbabit. "Mereka hanya menunjukkan waran untuk menyita telefon bimbit berkenaan, namun tidak menyatakan pula untuk tujuan apa. Mereka cuma kata untuk siasatan di bawah Akta Hasutan," katanya ketika dihubungi. – Bernama, |
Tim Saifuddin: Nak menang PRU, sokong kami Posted: 14 Apr 2014 10:45 PM PDT MALAYSIAKINI Kumpulan "Menuju Masa Depan" yang diketuai Datuk Saifuddin Nasution Ismail hari ini memberi tawaran untuk memenangi Pilihan Raya umum ke-14 (PRU14). Saifuddin berkata gagasan yang dibentangkan beliau dan sekutunya calon naib presiden Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar bakal membaris tiga tumpuan khusus bagi mencapai matlamat itu. Antaranya adalah untuk menarik golongan muda pelbagai latar belakang menyertai parti kerana berdasarkan data pengundi, majoriti pengundi pada PRU14 bawah 30 tahun. "Hanya 35 hingga 38 peratus anggota PKR di bawah umur 35 tahun. Kita mahu lebih 50 peratus golongan muda. "Kunci kejayaan parti kelak adalah barisan pimpinan yang boleh mendekati dan menjiwai kumpulan pengundi muda ini," kata beliau dalam sidang media hari ini. |
CNN: Telefon Fariq buat sambungan ke menara Posted: 14 Apr 2014 10:33 PM PDT MALAYSIAKINI Satu laporan rangkaian CNN melaporkan, telefon bimbit milik pembantu juruterbang penerbangan MH370 membuat sambungan dengan menara telekomunikasi di Pulau Pinang, tetapi tiada tanda menunjukkan panggilan dibuat. Satu sumber rasmi Amerika Syarikat yang tidak dinamakan dalam laporan itu memetik maklumat didakwa dikongsi oleh penyiasat Malaysia. Sumber itu mendedahkan, menara komunikasi itu mengesan telefon bimbit Fariq Ab Hamid membuat carian perkhidmatan selama 30 minit selepas pesawat tersebut dilencongkan dari haluan asalnya pada 8 Mac. "Jarang sekali, pada fikiran saya bagi seseorang dengan telefon bimbit berada dalam kokpit... Ia tidak sepatutnya berlaku langsung. "Ia sebahagian dari senarai semak setiap syarikat penerbangan yang saya tahu," kata David Soucie, seorang penganalisis keselaman yang dipetik dalam laporan tersebut. Akhbar New Straits Times pada hari Sabtu lalu melaporkan mengenai sambungan telefon bimbit Fariq ke menara komunikasi yang disifatkan sebagai "panggilan terdesak untuk meminta bantuan". Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menafikan bahawa Fariq membuat apa-apa penggilan dalam penerbangan MH370. |
Pakatan ke Sabah tinjau Esscom jadi gajah putih atau harimau tidak bertaring Posted: 14 Apr 2014 10:30 PM PDT Empat ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) termasuk Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang mengadakan lawatan ke Sabah hari ini bagi melihat sendiri Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom). Lim berkata, kunjungannya ke Semporna turut disertai Ahli Parlimen Lumut, Mohamad Imran Abdul Hamid; Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Jimmy Wong dan Ahli Parlimen Sandakan, Stephen Wong. "Ahli parlimen PR dan Barisan Nasional (BN) tidak mahu Esscom menjadi lawak termahal April Fool kerana dengan kos lebih RM300 juta, ia menjadi harimau tidak bertaring atau gajah putih yang tidak membawa makna kepada keselamatan timur Sabah. "Jika Esscom bertanggungjawab dalam hal ehwal keselamatan, Ketua Pengarah Esscom, Datuk Mohamad Mentek perlu diberi kuasa eksekutif dan bukan hanya kuasa untuk mengkoordinasi," katanya dalam satu kenyataan hari ini. Lim pada minggu lalu menggelar kenyataan Mohamad sebagai lawak April Fool kerana kurang daripada 24 jam kenyataannya berhubung Esscom, dua mangsa diculik dan berjaya dilarikan dari Semporna. - |
Ke mana dana geran R&D Mosti dibelanjakan, soal PKR Posted: 14 Apr 2014 10:26 PM PDT PKR mempersoalkan perbelanjaan geran Penyelidikan & Pembangunan (R&D) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) yang menelan perbelanjaan RM1.152 bilion, namun tidak memberikan pulangan yang sewajarnya. Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli, berkata hanya 20 hasil kajian R&D yang dikomersialkan setiap tahun, dan jumlah itu terlalu kecil berbanding perbelanjaan R&D yang besar. "Kita tidak tahu pun apa hasil R&D yang kita komersialkan, kita tidak pernah nampak. "Siapa fikir projek R&D akan jadi sarang penyalahgunaan dana awam," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya, hari ini. Rafizi bagaimanapun berkata, PKR tidak menentang R&D, tetapi tatakelola kewangan yang baik harus dilaksanakan bagi memastikan dana yang diberikan setimpal dengan hasilnya. "Jumlah RM1.152 bilion bagi tempoh terkini bukan jumlah kecil. Jumlah ini sudah tentu menimbulkan kontroversi jika tidak memberikan pulangan sewajarnya. "Kerajaan Barisan Nasional (BN) terus memotong subsidi untuk menjimatkan perbelanjaan, tetapi jumlah yang dijimatkan itu dibelanjakan pula kepada geran R&D," katanya. Ahli Parlimen Pandan itu mendakwa, semakan yang dilakukannya dalam Laporan Ketua Audit Negara 2013 mendapati Mosti memberikan geran dengan jumlah besar dan menimbulkan tanda tanya mengenai campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. "Saya harap pendedahan ini dapat membuka mata rakyat agar kaedah pemberian geran dan peruntukan dana berbilion ringgit yang tidak telus dikaji kembali," katanya. Beliau turut memberikan komitmen untuk terus membuat pendedahan terhadap penyalahgunaan dana geran R&D sepanjang bulan ini. "Ia menimbulkan persoalan, ke mana sebenarnya dana ini digunakan? Benarkah ia digunakan sepenuhnya bagi tujuan pengkomersialan R&D atau ia digunakan bagi tujuan lain," katanya. Rafizi berkata, pemberian geran R&D oleh Mosti ini lebih teruk berbanding pinjaman mudah yang diberikan kerajaan seperti isu Pusat Fidlot Nasional (NFC), kerana dana yang disalurkan tidak perlu dipulangkan kembali kepada kerajaan. |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan