Ahad, 20 April 2014

.

.


Pak Habib: Raja penulis buku politik Malaysia

Posted: 19 Apr 2014 05:17 AM PDT

RESENSI                                                                                            

Syed Hussein Alattas (S.H. Alattas) atau Pak Habib masih istiqamah dengan kerjaya- kekhalifahanya sebagai penulis atau penghasil buku-buku politik. Walaupun usianya sudah mencecah 74 tahun, tetapi beliau masih cergas dan produktif melahirkan buku-buku politik ala atau stailnya tersendiri. Buku-buku hasilan Pak Habib, ada rupa dirinya tersendiri serta unik yang tidak dapat diciplakan oleh mana-mana penulis atau karyawan segolongan dengannya.
Pak Habib menunjukkan bukunya ke 69.

Selain istiqamah dengan kerjayanya, daya kreativitinya juga tidak pernah habis. Ideanya sentiasa ada, dan tinta juangnya terusan mengalir bagaikan mata air dari puncak gunung. Setiap peristiwa dan isu yang mengusarkan masyarakat dirakam dan tafsirkan dengan daya akal imaginasi (firasat kerohanian) yang sungguh mengugahkan. Sebab itu sesetengah spekulasi beliau menjadi kenyataan atau tidak jauh meleset.

Salah satu keunikkan buku-buku Pak Habib yang tidak kedapatan kepada penulis lain ialah caption gambarnya. Buku-bukunya akan sarap dengan gambar dan keratan akhbar yang dikuatkan dengan caption. Caption adalah penceritaan dan penyampai mesej sebenar dalam buku-buku Pak Habib bukan neratif. Inilah kelebihan dan keunikan, yang pada sesetengah sarjana dan akademis mengatakan buku Pak Habib tidak tergolong dalam sebuah buku yang ideal rukun-rukunnya. Tetapi Pak Habib tidak peduli soal-soal rukun itu, yang penting mesej dan cerita yang hendak disampaikan berjaya dan bukunya memberi impak kepada dunia politik negara.

Lebih penting buku-bukunya menjadi perhatian dan bahan bacaan bukan sahaja oleh ahli politik peringkat cawangan, atau bahagian, tetapi setiap buku yang dihasilnya mesti akan sampai atau berada di atas meja menteri atau pun perdana menteri atau pun akan menjadi penelitian pihak KDN. Itulah kelebihan yang ada kepada Pak Habib. Bukunya menggerun dan menakutkan.

Dewasa ini semasa dunia siber meledakkan maklumat dan orang awam 'kebahan' maklumat secara percuma menyebabkan kehadiran buku-buku politik tidak semeriah dahulu. Ia boleh dianggap era buku politik sudah mahu menutup kegemilangannya. Namun fenomena itu tidak menjadi halangan kepada Pak Habib dan melemahkan semangatnya. Beliau masih konsisten dan terus "ce'kat" untuk kerjanya itu. "Kerja ini tidak akan berakhir selagi nafas masih dibadan," begitulah pernah Pak Habib tegaskan bila ditegasnya mengenai kerjayaan.

Melihat kerajinan dan istiqamahnya bekerja, Pak Habib tidak peduli kepada perubahan masa dan peralihan tumpuan umum dalam mencari maklumat daripada buku atau akhbar kepada media baru atau alam siber. Beliau tetap galak dan rajin menerbitkan buku seperti 45 tahun lalu.

Ladin ikut sama dihadiah buku oleh Pak Habib.
Kenapa beliau konsisten dengan kerjayanya, alasan Pak Habib, buku sesuatu yang boleh dipegang dan dipercayai berbanding dengan maklumat dalam alam siber yang tidak boleh dipegang. Maklumat atau gambar dalam media siber, hanya bertahan beberapa saat sahaja, tetapi bukan seperti sebuah buku, ia akan kekal selamanya dan boleh dipegang rasa. Hakikat dan keistimewaan itulah beliau terus betah menulis buku dan mencapai nikmat daripadanya.

Kelebihan lain yang ada kepada Pak Habis ialah pantas melahirkan buku. Mungkin bagi penulis lain baru hendak memikir atau berkira-kira mengenai relevan atau tidak sesuatu isu dibukukan, tetapi beliau sudah separuh menggarap isi buku berhubung isu berkenaan. Terbaru isu mengenai kehilangan pesawat MAS, MH370, yang menjadi misteri hingga ke hari ini. Ketika penulis lain sudah melupai alam penulisan atau sedang berkira-kira untuk merancang menulis buku mengenai kehilangan pesawat itu, tetapi Pak Habib sudah siap menerbitkan buku berkenaan yang mengandungi 389 dengan 222 keping gambar yang disertai caption penuh sinikal dan bersahaja.

Dan Pak Habib tidak akan pernah melupakan saya. Setiap buah buku yang diterbitnya akan dihadiahkan kepada saya dengan autograf yang istimewa. Satu untuk saya dan satu untuk isteri saya. Hampir semua 69 buah buku Pak Habib ada dalam simpanan saya. Pak Habib mulai menulis pada tahun 1969 sewaktu saya masih di sekolah rendah.

Pagi tadi saya minum bersamanya dan dua rakan penyair, Ladin Nuawi serta Md Radzi Mustapa. Pak Habib menghadiah dua naskah buku terbarunya itu yang berkisar isu kehilangan pesawat MH370. Judul yang diberi ialah; MH370 Hilang, Kemana Najib Nak Menghilang. Saya rasa inilah satu-satu buku yang membicarakan mengenai kehilangan pesawat MH370 itu, yang disertai kronologi dan beberapa pandangan mengenai kemisterian itu dari aspek kerohanian dan juga saintifik. Paling menarik topik dibicarakan dalam buku ini Pak Habib cuba memberi firasat mengenai nasib politik Najib Razak dan Hishamuddin Hussein yang baginya mereka berdua ini sedang dihadapi masalah.

Bayangkan dalam tempoh tidak sampai sebulan, Pak Habib berjaya menerbit dan menghasilkan buku berkenaan. Inilah yang saya katakan keistimewaan yang dimiliki Pak Habib dan tidak ada tolak banding dengan rakan-rakan penulis yang lain. Bila membicarakan Pak Habib dengan penghasilan buku-buku politik, ternyata beliau bukan sekadar menulis untuk mendapatkan wang atau komersial. Tetapi dia menulis lebih kepada tuntutan perjuangan demi agama bangsa dan negara.

Kenapa saya kata begitu, kalau ianya untuk cari makan (komersial), beliau tidak akan menulis buku di era kekuncupan industeri buku politik di negara ini, kerana dia boleh berpaling kepada bidang lain yang lebih lumayan. Dewasa ini jumlah jualan buku-buku politik tidak sehebat tahun-tahun 80-an dan 90-an lagi. Kalau dahulu cetakan pertama mencecah angka 10,000 atau 30,000 tetapi hari ini kalau cetak 3,000 pun belum tentu habis terjual. Sebab itu kata Pak Habib hari ini beliau mencetak hanya 1,000 atau 2,000 naskah sahaja dan membuat pasaran secara langsung.

Apa yang penting katanya buku itu adalah untuk merekodkan isu-isu semasa yang berlaku. Perakaman atau dokumentasi isu dan peristiwa itu penting kerana ia menjadi bahan sejarah. Saya bersetuju sangat kerana mungkin apa yang berlaku hari ini ia tidak penting, tetapi ia menjadi bahan berharga untuk masa depan, 10 atau 20 tahun akan datang.

Berbalik kepada buku baru Pak Habib yang saya terima pagi tadi, saya tidak mahu mengulas lanjut mengenai buku berkenaan. Ia bergantung kepada penerimaan dan persepsi umum untuk menilai dan menghukum buku berkenaan. Tetapi apa yang saya tahu Pak Habib adalah penulis yang berani dan tidak mempedulikan kepada sesiapa. Dia menulis kerana dia hendak menulis dan tidak ada agenda bertindih di sebaliknya. Dan bukunya tetap tidak menghilangkan identiti dan keunikannya.

Atas keistimewaan dan kehebatan itulah juga, maka beliau boleh disifatkan sebagai Raja Buku-Buku Polik di negara ini. Bukan saja sebagai pemegang rekod menghasilkan buku paling banyak, (69) tetapi keberaniannya dan juga keunikan pada buku-buku yang dihasilkan olehnya tidak terbuat dek orang lain.

Masa berbicara sambil minum pagi tadi, Pak Habib ada merungut yang ada orang menyifatkan bukunya sabagai sampah sarap sahaja di mana ia tidak dinilai dari sudut akademik. Tetapi saya mengatakan kepadanya, biarlah sampah sarap pun, yang penting orang menilai dan mengambil iktibar darinya. Mereka yang menganggap buku-buku politik sampah sarap, adalah si penuduh itu sebenarnya berfikiran sampah. Selamat maju jaya dan terus berjuang kepada Raja Buku Politik Malaysia, SH Alattas. [wm.kl.8:15 pm 19/04/14]

Tiada ulasan: