. |
Timbalan Presiden, pilih berdasarkan perjuangan, bukan ringgit Posted: 14 Apr 2014 09:10 PM PDT ULASAN PERTANDINGAN Semasa minum di Kuala Krai sebelum berlepas ke Kuala Lumpur malam kelmarin saya ditanya oleh seorang calon yang akan bertanding merebut jawatan peringkat cabang PKR di situ mengenai apakah alasan Anwar Ibrahim bertanding merebut jawatan presiden yang kini disandang oleh isterinya Dr Wan Azizah Wan Ismail. Pertanyaan itu disebabkan dia merasa bingung dengan apa yang berlaku.
Ini kerana kalau Anwar benar-benar ingin kepada jawatan itu, beliau boleh membisikkan ke telinga Azizah sewaktu berada di atas katil atau meja makan, agar berundur dan memberi laluan kepadanya. Tidakkah sebelum ini Azizah banyak memberi laluan dan kelagaan kepada Anwar? Saya tidak fikir Azizah akan berkeras untuk memegang jawatan itu. Jadi apabila lakibini berlawan ramailah orang jadi pening. Ibrat kepada sebuah rumah tangga kalau suami berlawan dengan isteri, tidak amanlah rumah tangga berkenaan. Mulanya ramai pemerhati mengira apabila menjelang berakhir tempoh penarikan diri, salah seorang daripada mereka akan tidak meneruskan hajat. Kalau tidak Anwar, tentulah Azizah yang menarik diri. Tidak mungkin suami isteri merebut satu jawatan dalam parti yang sama. Kalaupun PKR hendak mencipta sejarah, sejarah itu bukan sesuatu yang istemewa sangat. Tetapi tidak begitu, Anwar dan Azizah masing-masing menyatakan pendirian untuk terus berlawan di antara satu sama lain. Azizah tidak mengundurkan diri. Tempoh untuk beliau menarik diri sudah habis. Begitu juga dengan Anwar. Salah satu faktor kenapa beliau tidak berundur mungkin juga kerana kedudukannya kini selaku Adun Kajang yang baru menang baru-baru ini. Faktor itu menyebabkan Azizah tidak jadi berundur untuk menjaga cucu sepenuh masa. Boleh jadi juga dia merasakan projek Kajang Move akan dilangsungkan olehnya? Kipas Cina yang digunanya menjadi kipas hikmah. Azizah boleh mendinginkan badannya dan hatinya dengan kipas berkenaan. Apakah beliau mengira boleh menang dan akan bersetuju kalau diacahkan menjadi MB sebagai mengganti Abdul Khalid Ibrahim? Yang pastinya kesediaan Azizah untuk berlawan dengan suaminya, adalah atas kehendak suaminya juga. Saya sendiri tidak mengira, Azizah serius, ataupun Anwar yang serius. Dan demokrasi sepenuhnya tidak mungkin diamalkan Anwar Ibrahim dalam rumah tangga dan familinya. Tetapi kalau Anwar dan Azizah tidak mengumumkan penarikan diri sebelum 26 April, (hari mula mengundi) bermakna mereka berdua serius. Keserisuan itu bagi saya adalah satu kebodohan, atau pun kalau ia strategi, ianya menyusahkan ahli dan orang bawahan. Justeru bagi saya langkah Anwar itu tidak serius Langkah Kajang, dan ia adalah untuk memberi mesej kepada ahli PKR yang lain. Tujuan beliau beriya bertanding jawatan presiden kerana tidak mahu isterinya dilanda oleh orang lain, biarlah dia sendiri melandanya. Apabila Anwar bertanding, maka ura-ura orang hendak mencabar Azizah terhenti dengan sendirinya. Siapa di dalam PKR yang berani melawan Anwar kecuali Azizah? Makanya, perlawanan mereka berdua adalah "sandiwara hidup" dan satu tektik yang perlu ditafsirkan secara mendalam. Tindakan ini kena diperhalusi oleh ahli PKR sebaik mungkin dan tidak boleh diterima secara lahiriah. Anwar tidak akan melarang sesiapa sahaja untuk bertanding apa saja jawatan. Prinsipnya bila ada orang hendak lawan, harus lawan. Bukankah slogan Anwar "Lawan Tetap Lawan". Sebagai penasihat Anwar sesekali tidak akan berpihak kepada sesiapa, hatta kepada orang yang beliau percaya dan yakin akan dapat menyambungkan tugas perjuangannya. Itulah Anwar. "Sir" politik Anwar dapat difahami orang yang makrifat dengannya sahaja. Apabila Anwar tidak mahu orang melawan isterinya, dan beliau sendiri menentang Azizan, apa yang perlu ditafsirkan ialah Anwar mahukan seseorang untuk mewakili ke jawatan itu sekiranya beliau diringkokkan dalam penjara. Anwar sudah menghidu perkara ini. Dia sudah membuat persiapan kalau dia terpaksa ke penjara, maka sudah ada orang yang akan membelanya dia luar. Inilah sifir-sifir politik Anwar yang perlu difahami. Jadi siapakah di antara ketiga calon timbalan presiden yang menjadi harapan Anwar. Ini yang perlu dikenali secerap mungkin. Mungkin ia dilihat satu delima kepada Anwar. Tetapi sebenarnya ia mudah dan Anwar sudah mencaturkannya. Apa yang Anwar lakukan itu, berlawan dengan Azizah, adalah untuk menghalang Azmin dari terus mara. Tindakan Anwar itu untuk menjaga dan selamatkan Azmin. Kalau dibiarkan, ahli PKR melihat Azmin sebagai biadab atau tidak tahu menghormati ketua walaupun ahli PKR dapat menyukat setakat mana keupayaan Wan Azizah dengan kipasnya itu. Natijah buruknya akan tetimpa kepada Azmin. Seandaianya Anwar berihat dan terhalang untuk memegang jawatan presiden kerana hukuman dijatuhi mahkamah terhadapnya, Anwar memerlukan seorang pembantu yang gigih, strategis serta penuh kesetiaan kepadanya. Inilah yang sedang Anwar sandiwarakan. Orang yang beliau maksudkan tidak lain melainkan Azmin Ali. Azmin sudah dikenali Anwar sejak sewaktu beliau menjadi menteri Kabinet dizaman Mahathir, sampai Anwar ditangkap dan sehidup semati dalam reformasi. Siapa berada dikiri dan kanan Anwar kalau bukan Azmin dan Ezam Mohamad Nor. Di mana Khalid Ibrahim ketika itu? Pengorbanan Azmin terhadapnya tidak terlupa oleh Anwar. Kesetiaan dan kejujurannya tidak akan dialpai Anwar. Azmin boleh memilih jalan lurus dan terang kalau dia mahu, tetapi dia memilih jalan gelap dan berliku bersama Anwar. Azmin adalah umpama Musa kepada Firauan yang sanggup meninggal kekayaan dan melawan Firauan (Mahathir) demi kebenaran dan keadilan bersama Anwar. Apakah jasa Azmin itu akan dilupuskan begitu saja oleh Anwar hanya kerana Khalid dapat menyimpan aset untuk kerajaan Selangor? Walaupun Khalid adalah kawan kewangannya, tetapi Anwar tahu sejauh mana keupayaan Khalid dalam politik. Khalid hanya tahu menyusun dan menyimpan duit tetapi tidak tahu untuk berdepan dengan serangan Umno dan membangkitkan semangat rakyat untuk menentang kezaliman. Kedua mereka ini penting bagi Anwar sebab itu dia tidak menghalang kalau Khalid untuk mencabar Azmin. Tetapi yakinlah di dalam sanubarinya Anwar ada pilihan tersendiri. Seadil mana mirzan Anwar ia tetap senget sebelah juga. Agen kempen untuk Khalid ada mengatakan Anwar merestui Khalid untuk mencabar Azmin. Restu bukan bermakna membenarkan perbalahan. Dalam konteks politik Anwar akan merestui sesiapa sahaja. Kalau sudah diajukan pandangan dan cadangan, Anwar tidak akan menghalangnya. Sebagai seorang ahli politik Anwar sangat demokratik Anwar tidak akan berkata "jangan" kerana untuk mempertahankan seseorang yang lain. Jadi alasan mengatakan Anwar yang menyuruh Khalid menentang Azmin adalah dongengannya sahaja atau terjemahan oleh si nujum Pak Belakang yang mencari makan dengan sedikit habuan. Malanglah kalau rapat dan baik dengan Anwar tetapi tidak dapat membaca perbendaharaan politiknya. Bagaimana pula dengan Saifuddin Nasution? Wajahnya dia juga dihitung dalam pertandingan merebut jawatan timbalan presiden ini dalam rangka menjadi peneraju PKR selepas Anwar dipenjara? Kerana markahnya tidak setinggi mana, rasanya elok soal Saifuddin dilupakan begitu sahaja. Bagi saya Saifuddin sengaja mahu mencari kekecewa di sebalik pertandingan itu untuk beliau mendapat sesuatu yang diingini selama ini tetapi agak sukar beliau capaikan. Jadi sekiranya orang memahami mesej Anwar, apabila dia ikut sama bertanding merebut jawatan presiden dari isteirnya itu orang tidakakan merasa pelik. Dari segi tindak tanduk politik ya, ia memang ganjil tetapi dari segi strateginya ia adalah realistik. Sama ada Anwar atau Azizah yang menang sebagai presiden nanti, sudah pasti orang yang memainkan peranan besarnya ialah timbalan. Kedudukan timbalan dalam periode menjelang pilihan raya ke-14 sangat penting bagi PKR dan juga Pakatan Rakyat. Apa lagi tertakdir Anwar sekali lagi dirihatkan di penjara, maka peranan timbalan cukup penting sekali. PKR akan lumpuh tanpa Anwar di luar dan tanpa ada pembantu yang setia, berani dan rela berkorban. PKR akan menjadi lemah kalau ianya diserahkan kepada orang yang hanya tahu membilang wang tetapi tidak tahu bagaimana hendak dilaburkan bagi menggerakkan jentera parti. Umno dan musuh PKR tahu akan kelemahan dan nasib bakal dilalui PKR tanpa Anwar berada di luar. Justeru mereka sedang memberi sokongan kepada bakal pengganti Anwar yang dkira berpolitik tanpa prinsip dan merasa seronok dengan longgokkan wang. Sesiapa yang bersifat demikian mereka akan disokong oleh Umno. Kepada ahli PKR buatlah pilihan berdasarkan perjuangan seseorang bukannya berdasarkan kepada kedudukan dan kuasa yang dimiliki kini. Jangan lacurkan moral politik anda dengan sedikit wang yang dibayar untuk mengangkut perwakilan keluar mengundi. Jangan menyesal dikemudian hari kerana ia tidak akan berguna. [wm.kl.11:46 am 15/04/14] |
You are subscribed to email updates from . To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan