Isnin, 14 April 2014

.

.


Tahap pengetahuan Islam, bukan Islam masih lemah

Posted: 14 Apr 2014 02:35 AM PDT

SUARA SENJA                                                                                  

Tahap kefahaman orang bukan Islam di negara "tigatujuhlima" terhadap hak dan kewajiban orang Islam kepada agamanya masih jauh dan cetek lagi. Lantaran itu agama masih menjadi penghalang kepada solidariti sebenar di negara ini. Walaupun negara ini sudah merdeka lebih 57 tahun dan keberadaan orang bukan Islam terutamanya Cina dan India di neara ini hampir 100 tahun, tetapi ia tidak memberi markah tinggi ke arah kefahaman itu.

Sebaliknya jarak itu nampak seperti kefahaman dan budi tolak ansur semakin rumit dan payah. Perkara ini semakin jelas apabila bukan Islam mula merasai mereka juga berkuasa ke atas negara ini menerusi perikatan politik. Penubuhan Perikatan pada tahun 1951 dan didaftar 1957 tidak memberi kelebihan kepada umat Islam negara ini dalam memartabat dan mendaulatkan hak agama mereka. Perikatan itu tidak diguna sepenuhnya oleh orang Islam (Umno) untuk mentarbiah rakan bukan Islam mereka.

Sepatutnya perikatan itu diambil kesempatan oleh parti Umno untuk memberi kefahaman kepada bukan Islam mengenai hak-hak dan kewajiban mereka sebagai parti milik orang Melayu beragama Islam. Ia tidak perlu diletakkan diatas bahu raja dan sultan semata-mata, kerana raja dan sultan itu sudah pun  diperlembagakan. Atau pun Pas yang wujud tahun 1951 iaini kira-kira lebih 60 tahun lalu memainkan peranan memberi kefahaman Islam kepada bukan Islam. Pas lebih bertanggungjawab kerana ia bukan sahaja badan siasah tetapi gerakan dakwah.

Tetapi peranan Pas juga mengecewakan. Pas lebih dominan dalam kempen dan meluaskan propaganda menggunakan jenama Islam untuk mendapat kuasa. Peluang Pas mendapat sebuah negeri pada tahun 1959 (Kelantan) tidak diguna sepenuhnya sebagai pengkalan dakwah untuk umat Islam di negara ini. Kegagalan ini adalah kelemahan atau ketidakcekapan pemimpin Pas yang mengemudikan parti itu untuk menyemarakkan Islam.

Kesia-sian peluang itu menjadikan Pas lebih kurang sama sahaja dengan Umno dalam kepedulian terhadap agama. Kesan dari itu menyebabkan kefahaman tentang Islam di kalangan bukan Islam berada ditahap lemah sekali.

Ketidak fahaman ini semakin jelas dan mendukacitakan. Apakah ketidakfahman ini sebagai satu perang psikologi oleh bukan Islam terhadap bangsa Melayu yang rata-rata beragama Islam? Mereka sengaja buat-buat tidak mengerti mengenai kewajiban itu untuk menguji sejauh mana suara dan bantahan mereka dipedulikan atau didengar. Mereka melakukan begitu kerana mahu terus melihat umat Islam negara ini dipisahkan dengan dua mazhab?

Atau pun pelaksanaan tuntutan agama ini menjadi menjadi lebih rumit apabila ada kalangan orang Islam sendiri secara tidak langsung memberi ruang kepada mereka (bukan Islam) agar menentang dengan memperkirakan kalau Islam berjaya didaulatkan menyebabkan ada pihak lain mendapat sanjungan dan sokongan? Jadi untuk menghindarkan perkara itu maka lowongan harus diberikan kepada bukan Islam supaya menentang apa-apa juga agenda Islam.

Ketidak fahaman bukan Islam ini ternyata apabila timbul setiap kali ada ura-ura mana-mana pihak hendak melaksanakan tuntutan Islam. Mereka akan menentang dan membuat bising. Terbaru ialah mengenai cadangan kerajaan Pas Kelantan hendak melaksanakan hukum hudud. Cadangan kerajaan Pas Kelantan itu ditentang oleh bukan Islam walaupun mereka yang duduk dalam satu ikatan dan pakatan dengan Pas. Ini membuktikan bahawa ketidakfahaman itu disengajakan.

Gesaan yang dibuat oleh pihak tetentu terhadap ahli parlimen bukan beragama Islam menolak undang-undang persendirian (private bill) yang akan dikemukakan oleh pihak Pas bagi membolehkan mereka diberi kuasa oleh Pelembagaan melaksanakan hukum hudud di Kelantan, menunjukkan bukan Islam tidak bersama Pas dalam hal ehwal Islam. Jelas mereka seiya sekata dalam hal-hal keduniaan tetapi bukan dalam memberi sokongan terhadap tuntutan beragama.

Tidak sepatutnya mereka menghalang cita-cita Pas itu. Kalau pun tidak mahu menyokong mereka perlu mendiamkan diri kerana hasrat hendak dilakukan Pas itu adalah urusan peribadi Pas berhubung tuntutan agamanya.

Mungkin protes terhadap cadangan Pas itu masih boleh dimaafkan kalau ianya datang daripada MCA atau MIC, dua rakan bukan Islam di dalam BN itu. Tetapi apabila ia disuarakan sendiri oleh ahli parlimen dalam DAP dan PKR, yang bergabung dengan Pas menerusi PR, menunjukkan mereka tidak menyokong Pas dan hukum hudud. Penentangan ini jelas bahawa mereka masih membatasi dalam soal agama ataupun mereka benar-benar tidak faham?

Kempen dijalan oleh seroang ahli parlimen DAP agar semua wakil rakyat Cina tidak menyokong private bill itu sesuatu yang vokal penentangan bukan Islam kepada Pas. Berilah apa juga alasan penentangan itu, hakikanya begitu. Bahawa Cina tidak akan menyokong hukum hudud. Barang kali kalau gabungan Pakatan Rakyat terpaksa dirombak kerana penentangan mereka, mungkin DAP bersetuju dilakukan begitu. Dan kalau DAP bersetuju seharusnya Pas juga mengambil keputusan sama, tinggalkan DAP atas prinsip Islam.

Penolakan bukan Islam terhadap hudud ini bukan perkara kecil. Ia memberi implikasi politik dan juga kepada negara "tigatujuhkosong". Sekiranya Umno tiba-tiba menyatakan sokongan terhadap private bill dikemukakan Pas itu, politik akan melihat semua orang Islam berada dalam satu agenda. Keadaan ini akan memwujudkan suasana yang bahaya kepada keselamatan Malaysia. Umno yang kini memerintah dan dalam keadaan sedang mencari MH370 serta kekuasaanya menurun, sudah pasti tidak sedia menanggung risiko. Sejauh mana hasrat Pas untuk melaksanakan hukum hudud tergantung kepada sejauh mana dan seikhlas mana sokongan Umno. Protes bukan Islam itu adalah perkara sipil sahaja.

Justeru seperti mana saya kata cadangan kerajaan Pas Kelantan untuk membawa usul persendirian bagi meminta peruntukan dalam Perlembagaan dan dan menambah bidang kuasa Mahkamah Syariah tidak akan berjaya. Umno sama sekali tidak akan mnyokong bill perkenaan dan Najib Razak boleh mengusahakan taklik penolakan di bilik Speaker lagi.

Menyimpul semua itu, apa yang berlaku sekali lagi hukum hudud menjadi isu hangat yang tidak akan ada kesudahan dan Pas Kelantan terus dalam keadaan tergantung dengan hukum hudud ini. Apa yang Pas Kelantan perolehi hanya lesen baru untuk ditunjukkan kepada rakyat bahawa mereka sudah berusaha tetapi gagal. Lesen ini adalah penyambung kepada surat penentang Hudud oleh Dr Mahathir sebelum ini yang digunakan Pas sebagai alasan untuk tidak melaksanakannya.

Tentang hudud ini ia tidak ubah seperti orang yang melihat ikan di dalam akuarium dan hendak mengorengnya. Itu sahaja. [wm.kl.5:34 pm 14/04/14]

Pemandangan tebing sungai Kelantan dirosaki aktiviti perlombongan

Posted: 13 Apr 2014 08:05 AM PDT

NASIB NEGERIKU                                                                           

Semasa menyusuri sungai Kelantan dari Kuala Krai ke Dabong semalam, (Sabtu) apa yang bermain dan tergamit-gamit dalam kepala saya ialah suasana indah dan kehijauan alam semulajadi di sungai Kelantan sepanjang 248km. Itulah yang saya mahu nikmati dan ingini.

Bukit Jenggi dari jauh sudah kelihatan ia ditarah.
Di samping mahu mencari ketenangan darinya, kepingin juga melihat kepelabagian flora dan fauna. Masih kedapatan pelbagai spesies bunga dan juga burung di hutan sepanjang sungai itu. Khabarnya orkid hutan adalah antara species yang sangat menarik dan mempesonakan.

Kian dekat makin nampak keparahannya.
Tentang airnya, umum sudah mengetahui bahawa air sungai Kelantan sudah tidak jernih lagi. Sungai Kelantan sudah kesekian dekad telah mengalirkan "susu", "kopi O" atau pun "nascefe" ataupun "milo". Semua itu wujud kerana aktiviti pembalakan dan perlombongan atau aktiviti-aktiviti sosio ekonomi seperti perladangan yang lain di Hulu atau di sepanjang berdekatan tebingnya.

Bukit ini yang menjadi tebing konkrit sungai akan lenyap.
Begitu juga dengan habitat di dalamanya. Ikan, etok, undang, dan lain-lain yang dahulunya dapat diperolehi dengan mudah, sudah tidak ada lagi, sesetengahnya sudah pupus sama sekali. Kejernihan air sungai sehingga dapat melihat dasar yang cetak yang dipenuhi dengan pelbagai habitat terutamanya ikan sudah lama sirna dan hilang dari sungai berkenaan. Keindahan dan keistimewaan itu tidak mungkin akan kembali lagi dan ia juga bukan lagi menjadi penghias mahkota sungai berkenaan. Ia tidak akan kembali semula selagi manusia tidak mengubah sikap dan tibiat hidupnya.

Biarlah, namun saya berharap dapat melihat dan menyaksikan keindahan lain. Misalnya aktivti masyarakat yang tinggal di tebing-tebing sungai atau di perkampungan di wujud di kiri kanan sungai. Saya berdoa semoga penghuni atau mereka yang mendiami kawasan tebing sungai akan tetap menghormati alam dan mengekalkan keindahan anugerah Allah.

Justeru walaupun rasa letih masih membelenggu diri kerana baru balik dari memantau pilhan raya (pemilu) di Indonesia, saya paksakan juga diri untuk berekspidisi. Apa lagi dengan harapan keletihan semasa di Indonesia akan terawat di sepanjang sungai Kelantan berkenaan. Alam merupakan penawar paling mujarab untuk menerapi diri kita.

Bagaimanapun, malang apa yang saya bayangkan itu tidak menjadi realiti. Ia hanyalah sebuah angan-angan yang sudah lama hilang rupa-rupanya. Bahkan ia mengejutkan saya sama sekali apabila belum sampai separuh perjalanan, selepas meninggalkan pengkalan di Tangga Krai (Bradley), satu pemandangan yang menyedihkan sudah menyocok ke dalam kedua belah mata saya. Ia sungguh menyenak dan menyedihkan.

Selepas melalui Tanjung Dak, kira-kira 60 meter menyimpang ke sungai Gris, terpampang dihadapan mata sebuah bukit yang sudah "bubus" dan botak. Kakinya yang menjadi tubir sungai sudah musnah dan berantakan. Kehijauan yang dilihat sebelum ini semacam terganggu dengan pemandangan 'berdarah' berkenaan. Kawasan itu di kenali bukit Pasir Jenggi. Pandangan ini benar-benar mengejutkan kerna saya tidak fikir keindahan tebing sungai itu turut sama dibongkar dengan rakus.

Kawasan yang dikorek rapat ke sungai.
Secara amliahnya keindahan di tebing sungai itu sudah rosak. Walaupun ada hutan yang ditebal untuk tujuan penempatan, membuka ladang dan sebagainya, tetapi apa yang terpandang itu sangat menjolok mata. Saya lantas bertanya kepada rakan seorang penduduk tempatan yang mahir dengan seluk beluk sungai Kelantan, terhadap apa yang berlaku itu.

Jalan lori untuk mengangkut pasir/batu ditenggami.
Mulanya saya mengira mungkin sebuah lagi jambatan akan dibinakan merentangi Sungai Kelantan untuk memudahkan penduduk berhubung. "Projek apa itu?" tanya saya kehairanan. "Apakah kerajaan hendak buat sebuah lagi jamatan?" Tanya saya lagi.

"Eh bukan, itulah salah satu kawasan perlombongan biji besi," katanya. Kawasan perlombongan? Saya terkaget. Pelombongan sebeginilah menjadi faktor kepada penambahan pencemaran sungai Kelantan.

Penjelasan itu benar-benar mengejutkan saya. Apakah perlombomgan dibenarkan berhamprian dengan sungai? Hati tiba-tiba merasa panas dan marah, entah kepada siapa.

Bukit ini akan hilang akhirnya dek kerakusan manusia.
Walaupun pencemaran sungai Kelantan adalah rentetan projek pembalakan, perladangan di sepanjang tebingnya yang berpusat di Lojing secara besar-besaran, tetapi perlombongan di bukit Pasir Jenggi itu memberi sumbangan kepada pencemaran sungai Kelantan. Saya tidak dapat membayangkan berapa banyak tebing sungai itu akan termusnah oleh perlombongan itu.

Kelihatan lori dan jentera pengorek di dalam lubang.
Saya teringin sekali untuk mendekati kawasan lombong berkenaan, tetapi kerana menumpang bot menyebab ia hanya dapat dilihat dari jarak 60 meter dan merakam gambarnya dari beberapa sudut. Saya percaya mereka yang berada atas bot bersama saya tidak merasakan apa yang dilihat itu sebagai penting dan mengejutkan. Pengorekan batu atau pasir di terbing sungai itu sudah merobohi sempadan dibenarkan.

Dari apa yang disaksikan jelas, kawasan perlombongan itu sudah memasuki ke dalam sungai. Kesempatan air sungai yang surut akibat kemarau, diambil peluang untuk mencerobohi hingga ke tubir sungai. Kerja-kerja pengorekan dilaku hingga memasuki ke dalam sungai, di mana tebingnya sudah pun roboh. Beberapa buah lori untuk memungguh pasir atau batu kelihatan benar-benar berada di atas tubir sungai. Bukankah JPS telah mensyaratkan rizeb sungai di kiri dan kanan, dimana rezab itu menjadi bahu kepada sungai? Memberi ruang kepada aur dan tebing untuk memadukan keutuhan sungai. Kenapa ia dicerobohi?

Perlombongan itu katanya akan berakhir pada tahun 2017. Entah seluas mana tebing sungai itu akan diruntuh dan dikorek dalam tempoh itu? Dan apa yang lebih mengejutkan lagi saya (kalau ini benar) lombong di bukit Pasir Jenggi itu ada kaitan dengan seorang wakil rakyat?

Saya percaya apa yang terdapat di Pasir Jenggi itu bukan tunggal, satu-satu kawasan berkeadaan seperti itu. Ia juga mungkin berlaku di kawasan-kawasan lain atau pun dipinggir sungai lain. Pelombogan yang tamak dan tidak pernah simpati kepada alam sekitar akan melakukan apa sahaja, yang penting duit. Mereka tidak akan peduli kepada nyawa alam tempat mereka menumpang hidup.

Mengenang lombong di Pasir Jenggi itu menjadi persoalan, apakah tidak ada pihak penguatkuasaan memantau perlombongan? Rasanya alasan tidak ada penguatkuasa tidak menjadi alasan munasabah dan relevan lagi. Kalau pihak PTG atau PBT atau mana-mana pihak tidak mampu untuk memantau, kenapa bersedia mengeluarkan lesen atau permit? Apakah ada rasuah disebalik hal ini? Elok juga kalau laporan kepada SPRM dibuat terhadap perlombongan-perlombongan seperti berkenaan yang dicurigai melakukan kesalahan.

Pihak kerajaan terutamanya MB Kelantan Ahmad Yaakub yang juga Pengerusi Jawatankuasa Galian dan Mineral Kelantan perlu membuat tinjauan dan siasatan diudara melihat aktiviti semua kawasan perlombongan atau pun pembalakan yang ada di Kelantan pada masa ini untuk memastikan ia dijalankan secara menurut peraturan yang ditetapkan. Khabarnya lebih 30 buah syarikat diberikan lesen atau permit perlombongan sedang menjalankan kerja terutamanya di Hulu Kelantan pada masa ini. 

Perkara mustahak diberi perhatian oleh kerajaan negeri bukan saja menambahkan pendapatan untuk negeri, tetapi juga keselamatan alam sekitar. Tidak ada guna kalau kerajaan dapat menambahkan kewangan negeri, tetapi negeri jadi rosak binasa. Seperkara lagi, ada juga sesetengah pihak cuba menyelamatkan diri dengan berdolak dalih menggunakan nama sultan. 

Jangan kira apakah ianya lombong melibatkan sultan atau istana, tetapi kalau ia menyalahi undang-undang atau boleh mendatangkan kerosakan kepada negeri, ia perlu juga dikenakan tindakan. Jangan ada mana-mana kuasa imuniti di dalam hal ini. Tindakan harus menyeluruh dan tidak memilih bulu. Apa yang perlu diutamakan bukan manusia tetapi alam dan negeri. [wm.kl.9:43 pm 13/04/14]

Tiada ulasan: