Sabtu, 12 April 2014

"BERANI KERANA BENAR!"

"BERANI KERANA BENAR!"


Firaun baru perintah Mesir

Posted: 12 Apr 2014 06:15 AM PDT

Oleh Abd Shukur Harun

SETELAH 3,000 tahun berlalu, sejak berakhirnya pemerintahan tirani Firaun di bumi Mesir, kini suasana dan bentuk pmerintahan Firaun kelihatan telah kembali menguasai bumi anbiya itu.

Kini kerajaan tentera Mesir pimpinan Jeneral Abdel-Fattah As-Sisi yang dianggap Firaun baru, mengganas dengan membunuh puluhan ribu rakyat Mesir, khususnya pendukung Ikhwanul Muslimin sejak setahun lalu ketika mereka melakukan solat-solat maghrib, isyak, tarawih dan subuh di sejumlah tempat di Kaherah dan kawasan lain.

 

As-Sisi melakukan ini ketika beliau mengetuai rampasan kuasa oleh tenteranya, menggulingkan Presiden Dr Mohamed Morsi yang sah dipilih oleh rakyat Mesir dalam pilihan raya dua tahun lalu.

Tentera Mesir telah melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Mesir yang pro-Morsi di banyak tempat di Mesir. Mereka yang masih hidup dipenjara dan diseksa oleh rejim tentera sejak setahun lalu itu.

Maka penghujung episod kekejaman ini ialah pada minggu lalu, Mahkamah Tentera Mesir menjatuhkan hukuman mati ke atas 529 ahli Ikhwan Muslimin, termasuk Mursyidul Amnya, Prof Dr Mohamed Badie yang semuanya kini dalam penjara. Dalam masa yang sama diberitakan, ribuan anggota Ikhwan yang ditahan di pelbagai penjara di negara itu telah dihukum penjara yang panjang masanya, dengan kerja berat.

Tindakan rejim tentera As- Sisi ini bertentangan dengan demokrasi dan kebebasan serta hak rakyat untuk memilih pimpinan mereka, sesuatu yang tidak pernah dinikmati oleh rejim dunia Arab sendiri selama ini.

Adapun semua tindakan rejim tentera Jeneral As-Sisi ini adalah dalam usaha tenteranya untuk menghapuskan sama sekali anggota Ikhwan-Muslimin, di mana menurut laporan tindakan ini ialah atas arahan kerajaan Israel sendiri kepada As-sisi.

Beliau sendiri yang tangannya berlumuran darah ribuan syuhada Ikhwan, diberitakan akan mencalonkan dirinya sebagai Presien Mesir dalam pemilihan Presiden tidak lama lagi.

Selain As-Sisi, pemimpin gerakan kiri Hamdeen Sabahi – yang popularitinya di tempat ketiga dalam pilihan raya 2012 – sudah mengisytiharkan akan juga bertanding sebagai calon presiden.

Amerika Syarikat, sumber bantuan utama ketenteraan ke Mesir, dikatakan tidak menyokong mana-mana pihak atau parti dalam pilihan raya Presiden ini.

Sungguh malang apabila pihak negara Islam, Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), termasuk Malaysia sendiri dan Liga Arab - kecuali Qatar dan Bahrain - membisu seribu bahasa terhadap hukuman mati yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tentera Mesir terhadap 529 anggota Ikhwan itu.

Bagaimanapun Kesatuan Afrika menggantung keahlian Mesir sebagai anggotanya kerana negara itu menceroboh demokrasi dan secara jelas membunuh rakyatnya sendiri.

Turki yang yang dipimpin oleh Perdana Menteri Reccep Tayyip Erdogan, muncul sebagai pemimpin dunia yang gagah berani kerana membantah sekeraskerasnya hukuman mati terhadap anggota Ikhwan itu.

Sementara itu, sejak dulu lagi, As-Sisi berpura-pura kononnya hendak menyelamatkan Mesir, sebagai wira negara itu, tetapi ia sebenarnya merancang hendak memecahbelahkan Mesir supaya negara itu lemah dan tidak akan mengancam Israel. Inilah perancangan Israel yang meminta beliau melaksanakannya.

Sebab itu dilaporkan, seorang diplomat kanan Israel di Mesir, Yaakov Amitai memberitahu tentera Mesir suatu masa dulu bahawa, “rakyat Israel menganggap Abdel-Fattah As-Sisi adalah pahlawan nasional Israel kerana tindakannya terhadap Ikhwan Muslimin.”

Selepas ini, kata diplomat kanan itu, Israel dan Mesir akan bekerjasama lebih erat di bidang pertahanan, ekonomi, pertanian dan sebagainya. Ini yang dikehendaki Israel di mana Amerika mengetahui hal ini.

Tidak lama dulu, ada laporan di media dunia Arab yang mengatakan bahawa beberapa hari sebelum rampasan kuasa oleh tentera itu, As-Sisi telah berkunjung ke Tel Aviv dan mengadakan rundingan dengan pemimpin kanan Israel di mana Israel mendesak As-Sisi segera melumpuhkan kerajaan Ikhwan Muslimin pimpinan Dr Morsi.

Jika ini tidak dilakukan oleh tentera Mesir, pemimpin Israel menyatakan kebimbangan amat sangat kerana Ikhwan menjadi ancaman besar kepada Israel.

Sementara itu, menurut laporan, Zionis sedang bersekongkol dengan tentera Mesir untuk menjadikan Mesir-Israel itu negara dwi kembar yang akan menjalin kerjasama lebih erat lagi di semua bidang.

Usaha As-Sisi hendak menghapuskan Ikhwanul- Muslimin adalah dalam rangka rancangan Israel dan tentera Mesir sendiri untuk mengembalikan semula pemerintahan diktator Hosni Mubarak dan menjadikan Mesir bukan lagi sebagai musuh Israel, tetapi sebagai sahabat erat.

Mesir adalah sebuah negara tua yang telah melahirkan demikian ramai tokoh ulama besar dan di sana berdiri gagah Universiti Al-Azhar, salah sebuah universiti tertua di dunia yang ditubuhkan di zaman pemerintahan Dinasti Fatimiyah.

Universiti itu telah melahirkan demikian ramai ulama yang telah memberi sumbangan besar kepada perkembangan ilmu Islam seluruh dunia.

Tetapi ketika berlaku pergolakan setahun lalu, ada sebahagian kecil mahaguru dari universiti itu sendiri menyokong pihak tentera, sementara sebahagian besar mahaguru yang lain menyokong Ikhwanul-Muslimin dan mempertahankan Dr Morsi.

Pemerintahan tentera Mesir sangat ‘cemburu’ dengan Universiti Al-Azhar dan tenaga pengajar serta mahasiswa/mahasiswinya.

Sebab itu tentera mengawasi dengan ketat universiti itu serta kampusnya yang di luar Kaherah.

Pemerhati percaya, Mesir yang penuh sejarah itu tidak akan aman lagi untuk masa yang lama jika tentera menguasai negara yang miskin itu. Ia menjadi sebuah pintu laluan kepada Israel, malah ia akan menjadi negara yang akan mempertahankan Israel, bukan menentang negara Yahudi itu.

Bahkan ia seperti mengembalikan semula pemerintahan Firaun di zaman dahulu kala. Bekas Presiden Anwar Sadat pernah berkata bahawa “Firaun itu adalah raja kita yang mesti dihormati.”

Sebab itu jika kita mengunjungi Mesir dan ketika melalui lebuh raya menuju ke bandar raya Kaherah, kita akan bertemu dengan pintu gerbang yang berbunyi, ‘Welcome to the land of Pharaoh’ – ‘Selamat Datang Ke Bumi Firaun.’ Maka itu nampaknya sejarah beruang kembali.

Kini Jeneral As-Sisi dan tenteranya sedang mengganas.

Firaun dahulu kala bukan saja membunuh musuhnya, tetapi juga membunuh semua kanak-kanak lelaki di Mesir supaya tidak ada peluang kanak-kanak lelaki itu merampas takhta kekuasaannya nanti. Kini Jeneral As-Sisi menangkap dan membunuh semua musuhnya, termasuk membunuh wanita, lelaki tua atau muda. Inilah Firaun baru yang kini menguasai Mesir.

Tekad Firaun moden hancurkan Ikhwan

Posted: 12 Apr 2014 06:12 AM PDT

Oleh USTAZ ZAINUDIN HASHIM

PILIHAN raya presiden Mesir akan berlangsung dalam sebulan dua ini, ia disifatkan oleh banyak pihak termasuk para ulama yang konsisten dengan ajaran Islam terutama ulama al-Azhar sebagai tidak lain sebagai satu tindakan gila kuasa oleh Jeneral Abdel Fattah as-Sisi yang amat membenci Islam dan semua yang membabitkan Islam termasuk gerakan Islam seperti mana kenyataannya dalam satu wawancara dengan sebuah media tempatan Mesir.

Justeru, baginya rampasan kuasa pada 3 Julai 2013 tiada kaitan langsung dengan dosa pahala, halal dan haram, syurga atau neraka, kerana baginya apa sahaja yang menjurus kepada Islam pasti akan ditentangnya habis-habisan.

Maka tidak mustahil beliau mengarahkan tenteranya agar membuat kepungan terhadap institusi pengajian Islam tertua dunia, malah melepaskan tembakan dengan peluru hidup kepada mana-mana individu yang cuba menghalang.

Keputusan Mahkamah Mesir menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap 529 para pimpinan dan anggota malah penyokong al-Ikhwan al-Muslimun disifatkan banyak pihak sebagai tindakan terdesak as-Sisi untuk menghilangkan pengaruh al-Ikhwan al-Muslimun menjelang pilihan raya presiden akan datang.

Sesungguhnya rampasan kuasa di Mesir disifatkan oleh kebanyakan golongan profesional seperti pensyarah di jabatan undang-undang di pelbagai universiti seluruh Mesir termasuk para peguam dalam persatuan peguam serta yang lain, para ulama di semua peringkat, para pemerhati politik serta beberapa bekas menteri dalam Kabinet Hosni Mubarak dan Dr Mohamed Morsi sebagai satu pengkhianatan sebuah revolusi dan demokrasi.

Tipu helah tentera pada 25 Januari 2011

Sebenarnya tentera Mesir sejak penggulingan kuasa yang dilakukan oleh mantan presiden, Gamal Abdel Nasser mempunyai hubungan erat terhadap anggotaanggotanya, begitu juga pada era pemerintahan Anwar Saddat dan Mubarak memperlihatkan bagaimana anggota-anggota tentera memberi tabik hormat yang tidak berbelah bagi mengekalkan kuasa tentera menguasai tampuk pemerintahan.

Rakyat Mesir yang sudah bosan dengan pelbagai larangan sudah mula menunjukkan kebangkitan dan kesedaran mereka dan merasakan puluhan tahun diperbodoh dengan undangundang tentera yang menyekat kebebasan hingga tidak boleh berhimpun dalam satu-satu masa lebih dari lima orang, himpunan lebih jumlah tersebut dianggap satu usah untuk menggulingkan kerajaan, jadi pelbagai peraturan diperkenalkan bagi menakutnakutkan mereka.

Golongan anak-anak muda khususnya yang berpelajaran tinggi di menara gading sudah mula muak dengan karenah tentera yang menyusahkan mereka. Mubarak yang merupakan presiden ketiga dalam kalangan tentera mula disanggah hingga membawa kepada perhimpunan besar-besaran di Dataran Tahrir pada 25 Januari 2011.

Pada peringkat awal revolusi itu memperlihatkan seolah-olah tentera Mesir di belakang anak-anak muda untuk menghadapi pasukan keselamatan, ia sebenarnya satu helah untuk menunjukkan bahawa tentera bersama rakyat, walau bagaimanapun himpunan itu telah berjaya menuntut Mubarak meletakkan jawatannya sebagai presiden. Satu demi satu helah dan tipu muslihat tentera yang kononnya berdiri teguh di belakang rakyat hingga anggota Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) yang dipengerusikan oleh Morsi menguasai parlimen Mesir yang menang dalam pilihan raya parlimen dengan majoriti lebih dua pertiga kerusi.

Perkembangan di Mesir menjadi berita utama dunia hingga banyak pihak bercakap mengenainya. Mengapa Mesir? Kerana satu-satunya negara yang disebut dalam al-Quran secara jelas adalah Mesir seperti dalam ayat 99 surah Yusuf atas lidah ayahandanya Nabi Yaakub menyebut kepada anak-anaknya; “Masuklah kamu akan Mesir, pasti kamu akan merasa aman (di dalamnya).”

Begitu juga isyarat Rasulullah s.a.w. menerusi hadisnya yang bermaksud: “Sesungguhnya kamu akan membuka (menduduki) negara yang disebut Kinanah (Mesir). Maka hendaklah kamu berwasiat kepada penduduknya dengan kebaikan. Sesungguhnya bagi penduduk Mesir adalah kehormatan serta kebenaran dan Sayidatina Hajar, ibu Nabi Ismail adalah sebahagian daripada kalangan mereka.” (HR Muslim: 4614)

Maka tidak hairan apabila ulama tersohor dunia masakini, iaitu Prof Dr Yusuf al-Qaradhawi ada menegaskan melalui pancaran satelit oleh rangkaian Aljazeera yang berpangkalan di Emiriyah Arab Bersatu mengumumkan sokongan padunya terhadap revolusi atau himpunan besar-besaran bagi menjatuhkan kerajaan Mubarak yang jelas menindas rakyatnya sendiri dengan pelbagai bentuk kezaliman.

Sokongan padunya dibukukan dan dijadikan sandaran kepada gerakan Islam di tempat lain, beliau berpendapat tunjuk perasaan yang dilakukan oleh rakyat Mesir pada 25 Januari 2011 itu adalah mengikuit saluran yang betul setelah sekian lama rakyat menderita dan suara mereka tidak didengari oleh pemerintah termasuklah suara-suara lantang ahli-ahli parlimen dalam kalangan al-Ikhwan al-Muslimun dan yang lain.

Apabila tentera bertindak merampas kuasa daripada Presiden Morsi yang sah pilihan rakyat pada 3 Julai 2013, al-Qaradhawi sekali lagi menggunakan saluran satelit dan youtube menegaskan bahawa tindakan tentera itu adalah haram kerana Morsi menang secara sah dalam pilihan raya yang dipantau oleh wakil-wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa bersatu (PBB).

Dua pandangan berbeza al- Qaradhawi mengenai tunjuk perasaan dan rampasan kuasa

Kita perlu sedar bahawa al-Qaradhawi yang mempengerusikan Persatuan Ulama Islam Sedunia diktiraf kelimuannya dalam bidang keagamaan hingga pernah menerima beberapa anugerah tokoh sarjana Islam peringkat di Arab Saudi, Qatar dan negaranegara Arab yang lain.

Beliau telah memberikan pandangannya dalam dua keadaan berbeza mengenai perhimpunan orang ramai, pertama tunjuk perasaan rakyat hingga membawa kepada perletakan jawatan Mubarak sebagai presiden, tunjuk perasaan ini menurut tata cara hukum syarak yang dibenarkan oleh Islam, kerana pemerintahnya yang zalim berkuasa dengan penuh penipuan termasuklah proses undi dalam pilihan raya, jika tidak menipu mereka tidak akan menguasai negara sebagai pemimpin, justeru himpunan menentangnya adalah sah.

Sementara rampasan kuasa tentera terhadap pemerintahan Morsi iaitu presiden pertama dalam kalangan rakyat biasa dianggap sebagai haram kerana, pertamanya Morsi menang secara sah, keduanya himpunan tentera yang berbekalkan segenap peralatan senjata seperti kereta kebal, mortar, senapang serta pistol dengan menggunakan peluru hidup bagaikan dalam satu bentuk peperangan.

Ketiga, tentera menganggap ia satu peperangan hingga sanggup membunuh wanita, kanak-kanak, orang-orang tua termasuk para wartawan dan jurugambar media serta memusnahkan harta benda awam yang dilarang oleh Islam.

Keempat, pihak tentera telah membubarkan parlimen yang majoriti dimenangi oleh anggota al-Ikhwan al-Muslimun dan kelima penangkapan para pemimpin dan anggota gerakan Islam tersebut yang disifatkan sebagai mencabul demokrasi dan hak asasi manusia

Usaha murni al-Qaradhawi dengan pelbagai siri penjelasan termasuk medium khutbah Jumaat, fatwa serta kenyataankenyataan rasminya yang menyokong himpunan jutaan belia di Dataran Tahrir 25 Januari 2011 memang tidak disenangi terutama Pusat Kajian Zionis yang berdiri di belakang Mubarak yang disifatkan sebagai pelaksana kepada impian dan rancangan seteru Islam dan ummahnya.

Ini merupakan satu dokumen sejarah penglibatan ulama dalam satu babak kebangkitan umat. Al-Qaradhawi menginginkan bahawa kebangkitan ini dicatat dengan sejujurnya bagi mengekang interpretasi liar musuh Islam yang sekian lama cuba menyisihkan peranan ulama dalam mana-mana perjuangan rakyat.

Kesan rampasan kuasa

Bukan sahaja Morsi digulingkan secara kejam dengan tidak mengiktiraf kemenangannya, malah beliau ditangkap dan dipenjara di sebuah penjara yang tidak diketahui lokasinya, yang mengikuti sejarah penyeksaan tentera sejak Gamal Abdel Nasser terhadap anggota al-Ikhwan al-Muslimun amat memaklumi, bahawa mereka yang ditangkap akan menerima layanan yang paling buruk sekali tanpa ada perhitungan belas kasihan dan perikemanusiaan, seolah-olah mereka yang dizalimi sebagai warganegara asing.

Segenap media massa yang dikuasai tentera saban hari melaporkan berita bohong mengenai tindakan mereka menzalimi rakyat, ini termasuk berita terkini yang tidak dilaporkan ialah pembunuhan tentera ke atas para mahasiswa terutama mereka yang berada di Universiti al-Azhar.

Ikhwanonline melaporkan bahawa pada awal pagi Isnin 31 Mac 2014, seorang pelajar al-Azhar yang dikenali sebagai Abdellah bin Ahmed telah ditembak di mukanya dengan peluru hidup hingga membawa kepada kesyahidannya.

Apa pun penulis berharap agar pembaca dapat memiliki buku Rampasan Kuasa Mesir tulisan Muhammad Kamal Sulaiman yang menyorot kronologi 25 Januari 2011 hinggalah kepada rampasan kuasa tentera pada 3 Julai 2013 dengan bahan hujah dan bukti lengkap agar kita dapat menilai apakah sebenarnya terjadi yang terkini di bumi Mesir.

Bercahaya pada hari kiamat

Posted: 12 Apr 2014 05:53 AM PDT

Oleh Ustaz Idris bin Sulaiman (Ahli Syura Ilmuwan Malaysia)

WUDUK adalah perbuatan menggunakan air untuk membasuh anggota badan tertentu dengan niat untuk mengangkat hadas. Adapun wuduk dengan difathahkah huruf waw, yang dimaksudkan dengannya adalah air yang  digunakan untuk wuduk.

Al-Hafiz Ibnu Hajr rahimahullah berkata, “Perkataan wuduk diambil daripada pecahan perkataan al-wadha-ah yang bererti bercahaya. Ia dinamakan demikian kerana orang yang mengerjakan solat menyucikan dirinya (dengan wuduk) sehingga menjadi bercahaya.”

Hal yang semakna dengannya disebutkan juga oleh Imam Al-Syaukaani rahimahullah dalam Nailul Authar, Bab Sifat wuduk.

Keutamaan wuduk

1. Cahaya pada hari kiamat. Orang yang berwuduk sempurna akan mendapat cahaya pada wajah, hujung kedua tangan dan kedua kakinya pada hari kiamat kesan daripada dia berwuduk ketika di dunia.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya umatku akan dipanggil pada hari kiamat dalam keadaan wajah dan hujung kedua anggota tangan dan kaki mereka bercahaya hasil daripada kesan-kesan wuduk.” (Bukhari Muslim)
Apabila dikatakan umatku atau umat Nabi Muhammad, ia membawa dua maksud;

1. Umat Al-Dakwah (umat yang diseru yakni seluruh manusia), 2. Umat Al-Ijabah (umat yang menerima seruan yakni kaum Muslimin).

Yang dimaksudkan dengan umatku dalam hadis ini adalah umat Al-Ijabah iaitu umat Islam yang telah menerima dakwah Nabi Muhammad.

Pada hari akhirat kelak, mereka ini yang akan diseru dan mereka akan datang dalam keadaan wajah serta hujung kedua tangan dan kaki mereka bercahaya kerana hasil daripada ibadah wuduk yang mereka kerjakan ketika di dunia. Kesan anggota badan yang telah dibasuh atau disapu untuk wuduk itu akan menjadi tanda umat Nabi Muhammad pada hari kiamat kelak.

 Manusia pada hari kiamat tidak memakai tanda nama yang menunjukkan mereka Muslim, tetapi cahaya kesan daripada wuduk ini menjadi tanda yang tidak boleh dipalsukan.

Dengan cahaya-cahaya ini umat Nabi Muhammad dikenali pada hari kiamat. Umat yang lain, jauh sekali orang kafir, mereka tidak ada cahaya ini.

2. Setengah daripada iman. Ini sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Bersuci (berwuduk) adalah setengah daripada iman.” (Riwayat Muslim)

3. Menghapuskan dosa kecil dan meninggikan darjat. Nabi Muhammad SAW bersabda: “Apabila seorang hamba Muslim itu berwuduk dan dia membasuh wajahnya, maka keluarlah semua kesalahan-kesalahan hasil daripada pandangan matanya bersama air sehinggalah ke titisan air yang terakhir.

Dan apabila dia membasuh kedua tangannya, maka keluarlah dari tangannya semua kesalahan yang dilakukan kedua tangan itu bersama air sehinggalah titisan air yang terakhir. Dan apabila dia membasuh kedua kakinya, keluarlah semua kesalahan kaki yang telah digunakan untuk berjalan bersama air sehinggalah ke titisan air yang terakhir. Sehinggalah akhirnya dia keluar (selesai wuduk) dalam keadaan dia suci daripada dosa-dosa.” (Riwayat Muslim)

Uthman RA berkata, “Aku melihat Rasulullah SAW berwuduk seperti wudukku ini, kemudian Baginda bersabda: “Barang siapa berwuduk seperti wudukku ini maka diampuni dosa-dosanya yang telah lalu. Manakala solat dan langkah kakinya menuju masjid menjadi tambahan (pahala).” (Muslim)

Rasulullah SAW bersabda, “Tidaklah seorang Muslim berwuduk dengan membaguskan wuduknya lalu mengerjakan solat, melainkan ALLAH akan mengampuninya antara solat itu dan solat berikutnya.” (Bukhari dan Muslim)
Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Mahukah kalian aku tunjukkan sesuatu yang dengannya ALLAH akan menghapus kesalahan dan mengangkat darjat?” Mereka menjawab, “Tentu, wahai Rasulullah".

Baginda bersabda, “Menyempurnakan wuduk pada keadaan yang dibenci (misalnya keadaan sangat sejuk), banyak berjalan ke masjid, dan menunggu solat berikutnya setelah solat. Maka itulah ribath, itulah ribath.” (Riwayat Muslim)

Ribath adalah amalan berjaga di daerah perbatasan antara daerah kaum Muslimin dengan daerah musuh. Maksudnya pahala amalan tersebut disamakan dengan pahala orang yang melakukan ribath.

4. Wuduk adalah amalan yang membawa ke syurga. Daripada Umar RA, Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah seseorang daripada kalian berwuduk secara sempurna lalu mengucapkan: Asy-hadu an laa ilaaha illallah wahduu laa syarika lah wa asy-hadu anna Muhammadan ‘abduhu wa rasuuluh (Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan kecuali ALLAH semata yang tiada sekutu bagiNya dan bahawa Muhammad adalah hamba dan utusanNya) melainkan kelak akan dibukakan untuknya lapan pintu syurga yang kepadanya dipersilakan untuk masuk melalui pintu mana saja yang dia sukai.” (Riwayat Muslim)

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW berkata kepada Bilal RA setelah solat fajar: “Sesungguhnya aku mendengar suara terompahmu di hadapanku di syurga.” Bilal berkata, “Tidaklah aku mengamalkan suatu amalan yang lebih aku harapkan di sisiku, melainkan berwuduk pada malam atau siang hari dan terus mengerjakan solat yang dapat aku lakukan setelah itu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis disebutkan ini menunjukkan kelebihan wuduk. Keutamaan ini hanya dimiliki apabila wuduk dilakukan secara sempurna. Kesempurnaan wuduk ini tentu dikembalikan kepada dua syarat diterima ibadah secara mutlak; iaitu ikhlas kerana ALLAH, dan ittiba (mengikuti contoh daripada Rasulullah SAW), sebagaimana sabda Baginda: “Sesiapa yang berwuduk seperti wudukku ini, nescaya dosanya yang telah lalu akan diampuni.” (Riwayat Muslim)

Maka wajarlah kita mempelajari serta mengerjakan wuduk itu dengan sebaik dan sesempurna mungkin. Semoga kita tergolong dalam kalangan mereka yang mendapat fadilat ini.
Perkara mewajibkan wuduk

Ibadah wuduk hanya diwajibkan dalam dua keadaan;

1. Solat. Wuduk adalah di antara syarat sah solat, di mana solat adalah ibadah yang paling utama bahkan ibadah pertama yang akan disoal kepada seseorang itu pada hari akhirat kelak.

Sekiranya solatnya diterima dan baik maka baiklah seluruh amalannya, mudahlah urusannya yang berikut. Adapun jika solatnya tidak baik maka sukarlah perjalanan yang akan dihadapi selepas itu di Padang Mahsyar kelak.
Wuduk menjadi syarat sah untuk apa jua solat yang ingin dikerjakan, baik solat fardu mahupun solat sunat."

Hal ini sepertimana keumuman firman ALLAH SWT: “Wahai orang beriman, apabila kamu bangkit untuk solat maka basuhlah wajah kamu, dan kedua tangan kamu sehingga ke siku, dan sapulah kepala kamu, dan kedua kaki kamu sehingga dua buku lali.” (Surah Al-Maaidah: 6)

Antara hadis Nabi Muhammad SAW mengenai  wuduk sebagai syarat sah untuk solat adalah Baginda SAW bersabda: “Tidak akan diterima solat seseorang yang berhadas sehingga dia berwuduk.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Seseorang yang mengerjakan solat dalam keadaan berhadas maka solatnya tidak diterima sehingga dia mengangkat hadas tersebut dengan berwuduk. Bahkan kalau dia sengaja solat tanpa wuduk, dia berdosa kerana solat dalam keadaan tidak suci (berhadas).

Hadas adalah satu sifat berbentuk hukum, di mana keberadaan hadas menyebabkan ibadah yang disyaratkan taharah (bersuci) menjadi tertolak. Jika seseorang melakukan juga ibadah yang disyaratkan taharah dalam keadaan berhadas, maka ibadah itu tidak diterima dan tidak sah.

2. Tawaf di Baitullah Al-Haram. Ini berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Tawaf di Baitullah sama seperti solat, kecuali ALLAH membolehkan berbicara di dalamnya.” (Sahih. Riwayat At-Tirmidzi)

Hanya dalam dua keadaan ini sahaja kita diwajibkan berwuduk. Bagaimanapun, umat Islam disunnahkan untuk sentiasa dalam keadaan berwuduk demi meraih kebaikan yang boleh diperoleh kesan daripada ibadah wuduk tersebut.

Bahkan Rasulullah SAW tidak berzikir yakni menyebut nama ALLAH kecuali dalam keadaan Baginda berwuduk. Dan kita dituntut untuk sentiasa mengingati ALLAH dalam setiap keadaan.

Ini sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Al-Muhajir bin Qunfudz ra, dia pernah mendatangi Nabi Muhammad SAW ketika Baginda SAW sedang buang air kecil.

Dia mengucap salam kepada Baginda SAW namun Baginda tidak menjawab salamnya sehingga Baginda berwuduk lalu Baginda SAW berkata, “Sungguh aku tidak suka menyebut nama ALLAH melainkan dalam keadaan bersuci.” (Sahih. Abu Daud)

Jangan lelong murah nama Nabi SAW

Posted: 12 Apr 2014 05:47 AM PDT

Oleh Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri zainul abidin

SAYA tertarik dengan Twitter Imam dan khatib Masjidil Haram, al-Syeikh Su’uud al-Syuraim yang menyebut: (terjemahan) dakwaan bermimpi Nabi Muhammad SAW menyuruh membunuh banyak nyawa adalah satu kejahatan yang nyata”.

Beliau mungkin menjawab satu ucapan seorang tokoh agama di Mesir dalam videonya yang mendakwa bahawa beliau bermimpi berjumpa dan Nabi Muhammad SAW menyuruh membunuh penunjuk perasaan yang membantah kerajaan tentera.

Salah guna

Demikian nama Nabi SAW sering digunakan untuk pelbagai kepentingan. Oleh kerana nama Baginda SAW begitu laku, ramai yang cuba mengambil kesempatan untuk pelbagai kepentingan diri dan puak.

Mendakwa mimpi berjumpa Nabi SAW, di samping untuk kepentingan tertentu, ia juga bertujuan untuk menunjukkan diri kepada orang ramai bahawa diri yang bermimpi itu sangat istimewa. Inilah yang cuba ditonjolkan sesetengah guru agama dalam membina pengaruhnya dalam masyarakat. Hal ini berbeza dengan golongan salaf terdahulu yang sentiasa merendah diri dalam memperkatakan tentang kedudukan mereka di sisi ALLAH SWT.

Imam Ahlus Sunnah wal Jama’ah al-Imam Ahmad bin Hanbal adalah sarjana hadis yang agung ketika seseorang berkata kepadanya: “Ibu saya telah bermimpi bagi engkau syurga”. Jawab al-Imam Ahmad: “Wahai saudara!

Dahulu Sahl bin Salamah telah diberitahu perkara yang sebegini kemudian dia melakukan pertumpahan darah manusia”. Kata Ahmad bin Hanbal lagi: “Mimpi itu menggembirakan orang mukmin, bukan memperdayakannya”. (al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala, 11/227. Beirut: Muassasah ar-Risalah).

Namun apabila agama menjadi bahan untuk kepentingan diri, maka mimpi dijadikan hujah, sedangkan nas yang terang diketepikan. Betapa banyak nas yang Nabi SAW melarang kezaliman, kesombongan, mengambil kesempatan atas harta orang ramai dengan menggunakan nama agama dan lain-lain penyalahgunaan dan penindasan.

Masakan Nabi SAW muncul dalam mimpi seseorang yang akhirnya mencetus kesemua hal itu. Masakan ALLAH mengiktiraf insan tertentu dengan diberikan kurniaan bermimpi Nabi Muhammad SAW sedangkan dia akhirnya membuat perkara yang dilarang oleh Baginda SAW.

Sesiapa yang mendakwa bermimpi Nabi Muhammad SAW dengan satu mesej yang mencanggahi ajaran Baginda SAW, dia sebenarnya berbohong. Jika pun dia bermimpi, itu sebenarnya syaitan yang menyerupai orang lain, lalu kerana dia tidak kenal Nabi Muhammad SAW maka dia menyangka itu Baginda SAW.

Syaitan tidak boleh menyerupai Nabi Muhammad SAW tetapi boleh menyerupai orang lain dan yang tidak tahu menyangka itu Nabi SAW. Syaitan boleh menipu sesiapa sahaja sekalipun yang berserban besar.

Kaut keuntungan

Hari ini ramai yang membuat pelbagai majlis atas nama Nabi Muhammad SAW. Pada asasnya mengingati Nabi SAW dalam usaha mengamalkan ajaran Baginda SAW memanglah sesuatu yang baik.

Bernasyid dan berqasidah untuk hiburan hati juga tidak salah. Memuja dan memuji Nabi SAW dalam puisi dan syair juga baik. Namun, jika Nabi SAW itu sekadar satu upacara dalam menaikkan golongan tertentu ataupun mengaut keuntungan tertentu maka itu tidak akan membawa masyarakat kepada Nabi SAW.

Ada pula yang mendakwa kononnya Nabi SAW itu hadir ke dalam majlis mereka secara jaga atau yaqazah. Ada yang melambai kononnya Nabi SAW itu hadir. Sekadar lambai suka-suka maka itu sekadar hiburan.

Namun apabila melibatkan dakwaan tertentu berkaitan agama maka itu perlukan dalil syarak. Takrif sahabat Nabi SAW di sisi ahli hadis ialah ‘sesiapa yang berjumpa dengan Nabi SAW, beriman dengan Baginda SAW dan mati dalam iman’.

Soalannya, apakah mereka yang berjumpa Nabi SAW dalam majlis-majlis di Malaysia ini telah menjadi sahabat Nabi SAW sehingga mereka ini nanti kita sebut selepas nama mereka radiyalLahu ‘anhu.

Dakwaan yang seperti ini mempunyai kesan yang bukan mudah. Jika kita masih ingat dahulu Ashaari Muhammad pengasas Pertubuhan al-Arqam yang membawa ajaran sesat yang berasaskan mimpi dan pertemuannya secara yaqazah (jaga) dengan Nabi SAW. Akhirnya pelbagai dakwaan pelik dikeluarkannya dengan bersandar kepada dialognya dengan Nabi Muhammad SAW yang dia dakwa itu.

Golongan sahabat Nabi SAW telah menghadapi pelbagai krisis dan masalah. Mereka tidak pernah menggunakan mimpi berjumpa Nabi SAW dalam pertikaian antara mereka.

Tidak pernah ‘Ali ataupun ‘Aishah ataupun al-Zubair ataupun Talhah dalam krisis antara mereka yang telah membawa kepada penumpahan darah itu mendakwa bermimpi berjumpa Nabi SAW dalam menentu kebenaran.

Padahal mereka lebih perlukan dan lebih layak untuk bermimpi berjumpa Baginda SAW. Maka, kita kena ingat apa yang Nabi SAW ingatkan kita: “Pada akhir zaman akan ada para dajal lagi pendusta.

Mereka membawa kepada kamu hadis-hadis yang tidak pernah kamu dan bapa-bapa kamu mendengarnya. Kamu hendaklah berhati-hati dengan mereka agar mereka tidak menyesatkan kamu dan memfitnah kamu (menipu kamu sehingga yang batil disangka benar). (Riwayat Muslim)

Cinta keluarga nabi SAW

Ramai orang suka menyandarkan diri mereka kepada Nabi SAW dengan dakwaan mereka keluarga Baginda SAW ataupun pencinta keluarga Nabi SAW. Paling hebat dalam hal ini golongan Syiah dan mereka yang mendekati jalan yang diambil Syiah.

Kita tidak boleh nafikan bahawa kita semua dituntut menyayangi keluarga Nabi SAW (ahlul bait). Saban hari kita berselawat buat mereka. Namun, bukan semua ahlul bait itu mendapat kemuliaan ALLAH.

Hanya ahlul bait yang mengikuti jejak langkah Nabi SAW sahaja. Iman bukan warisan keturunan. Anak Nabi Nuh AS menjadi penderhaka kepada beliau.

Maka tidak mustahil ada keturunan Nabi Muhammad SAW juga yang tidak mengikuti jalan Baginda SAW. Perkataan ‘habib’ dan ‘sayyid’ bukan jaminan seseorang itu berada atas jalan Nabi SAW.  

Nabi Muhammad SAW menegaskan: “Sesungguhnya binasa mereka yang sebelum kamu kerana mereka itu apabila seorang yang dianggap ‘mulia’ dalam kalangan mereka mencuri dia dibiarkan.

Apabila seorang yang lemah mencuri, mereka laksanakan hukuman ke atasnya. Demi ALLAH! Jika Fatimah binti Muhammad mencuri nescaya aku potong tangannya” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
telaga di syurga

Dalam keghairahan mendakwa sebagai pengikut Nabi Muhammad SAW ataupun pencinta Nabi SAW, kita janganlah lupa bahawa dalam hadis banyak golongan yang  Nabi SAW tidak mengaku mereka sebagai pengikut Baginda SAW.

Mendakwa itu mudah, tetapi untuk mendapat pengiktirafan dari Baginda SAW memerlukan usaha kita semua agar berada atas panduan Baginda SAW.

Antara golongan yang Nabi SAW tidak mengaku sebagai pengikut Baginda SAW ialah golongan menipu umat Islam terutama dari segi harta benda. Suatu ketika, Rasulullah SAW melintasi satu bekas makanan (untuk dijual), lalu Baginda SAW memasukkan tangannya ke dalamnya. Tangan Baginda SAW menjadi basah. Baginda SAW pun bersabda: “Apakah ini wahai empunya makanan (peniaga)?.

Dia menjawab: “Terkena hujan, wahai Rasulullah!”. Baginda SAW bersabda: “Mengapa engkau tidak jadikan bahagian yang basah itu di atas makanan supaya orang boleh nampak? Sesiapa yang menipu, dia bukan dari pengikutku” (Riwayat Muslim)

Pencinta dan keluarga Nabi SAW tidak boleh bersama dengan penipuan. Nabi SAW tidak mengaku sebagai pengikut Baginda SAW. Bahkan pencinta wajar tegas dalam memperkatakan kebenaran.

Sesiapa yang menipu hakikat dan menyelewengkan kebenaran maka dia tidak diiktiraf sebagai pengikut Nabi SAW. Sabda Nabi SAW: “Sesungguhnya selepasku ini akan adanya para pemimpin yang melakukan kezaliman dan pembohongan.

Sesiapa masuk kepada mereka lalu membenarkan pembohongan mereka dan menolong kezaliman mereka maka dia bukan dariku dan aku bukan darinya dan dia tidak akan mendatangi telaga (di syurga).

Sesiapa yang tidak membenar pembohongan mereka dan tidak menolong kezaliman mereka, maka dia dari kalanganku dan aku daripada kalangannya dan dia akan mendatangi telaga (di syurga)” (Riwayat Ahmad, al-Nasai dan al-Tirmizi. Sahih)

 Moga kita semua sayangkan Nabi SAW. Berusaha mengikuti jalan Nabi SAW. Menggalakkan orang ramai ke arah cinta Nabi SAW dengan pelbagai pendekatan. Namun, jangan murah-murah lelong nama Nabi SAW untuk kepentingan yang tidak diiktiraf oleh Nabi SAW!

Tiada ulasan: