Rabu, 30 April 2014

Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


Himpunan 1 Mei diteruskan depan Dataran Merdeka..

Posted: 30 Apr 2014 03:00 AM PDT


Himpunan 1 Mei yang diadakan untuk membantah pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) akan diteruskan di Jalan Raja berhadapan Dataran Merdeka.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, hasil perbincangan dengan pihak polis, persetujuan dicapai supaya himpunan tersebut diadakan di lokasi berkenaan dan tiada perarakan dibuat. 

"Hasil pertemuan dengan OCPD Dang Wangi semalam, keputusan telah dicapai bahawa Himpunan 1 Mei akan dibuat di Jalan Raja, tempat sambutan hari kemerdekaan selalu dibuat.

"Tiada perarakan menuju ke Jalan Raja dibenarkan, jadi orang ramai akan berada di lokasi-lokasi yang telah dimaklumkan dan berjalan menuju ke tempat himpunan," katanya pada sidang media di bangunan Himpunan Cina Selangor dan Kuala Lumpur (KLSCAH), di sini, hari ini.

Katanya, perkara tersebut dipersetujui dalam perbincangan jawatankuasa himpunan itu dengan Ketua Polis Daerah (OCPD) Dang Wangi, Zainuddin Ahmad semalam.

Mereka juga bersetuju supaya kawasan padang di Dataran Merdeka itu tidak dimasuki oleh peserta himpunan kerana ia sedang dibaik pulih.

Selain itu, peserta akan berkumpul di empat lokasi yang telah ditetapkan, iaitu Masjid Negara, Sogo, Dataran Maybank dan KLCC. Peserta himpunan akan berjalan secara aman berjalan secara aman menuju ke Jalan Raja, lokasi himpunan membantah GST diadakan.

Mohamad memberitahu, jalan berhadapan Bangunan Sultan Abdul Samad itu akan ditutup bagi tujuan perhimpunan tersebut yang dijadual berlangsung jam 2 petang esok.

Himpunan membantah GST itu kata MOhamad akan menggunakan warna merah sebagai warna tema sebagai simbolik perjuangan buruh.

Sementara itu di sidang media yang sama, Naib Presiden PKR, Tian Chua memberi jaminan perhimpunan membantah cukai yang akan diperkenal April 2015 itu akan berlangsung mengikut lunas undang-undang.

"Kita harap seramai mungkin akan keluar dan menyatakan pendirian tentang GST dan dasar ekonomi yang membebankan rakyat.

"Kita juga ingin menyampaikan penghargaan kepada polis yang mengikut arus, sedar tugas utama polis ialah menyediakan kemudahan dan sentiasa bersedia membantu orang awam melaksanakan aktiviti mengikut undang-undang dan hak perlembagaan," katanya.

Manakala, Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), S Arutchelvan, berkata perjalanan perhimpunan itu esok akan dipantau wakil Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Beliau juga memaklumkan, satu himpunan anjuran 95 Badan Bukan Kerajaan (NGO) sempena Hari Pekerja akan diadakan di KLCC dan satu deklarasi akan dibacakan mendesak agar GST dibatalkan.

"Ini mesej kepada kerajaan rakyat sudah muak dengan janji menangani isu kos sara hidup tetapi setelah genap setahun kerajaan cuma melaksanakan dasar yang menindas rakyat," katanya lapor AstroAwani

S/U Agung PAS diperintah bayar ganti rugi RM100K kepada FELDA

Posted: 30 Apr 2014 01:19 AM PDT


Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, dan empat lagi diperintahkan membayar ganti rugi RM100,000 kepada FELDA selepas didapati memfitnah konglomerat itu.

Kenyataan fitnah itu adalah berhubung dakwaan FELDA menjual minyak sawit mentah kepada Israel. 

Hakim Mahkamah Tinggi Lee Heng Cheong membuat perintah itu selepas membenarkan tuntutan saman FELDA terhadap semua defendan.

Beliau turut memerintahkan defendan membayar kos sebanyak RM30,000 kepada FELDA lapor Berita Harian di SINI


Sebelum ini pada 21 April lalu kes samam sama terhadap PKR selesai bila Setiausaha Agung PKR Datuk saifuddin Nasution  menyatakan rasa kesal, serta mengakui dan menerima hakikat bahawa FELDA tidak pernah menghantar minyak atau menjalankan sebarang urusniaga dengan Israel atau mana-mana syarikat milik regim berkenaan.

Sebaliknya, parti itu juga akur urusniaga penghantaran minyak mentah oleh FELDA ke rantau berkenaan dilakukan dengan negara Palestin.

Itu adalah kandungan terna-terma penghakiman persetujuan antara FELDA selaku plaintif dengan defendan, iaitu Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution, kata Penasihat Undang-Undang UMNO, Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili FELDA dalam kes samannya  terhadap PKR.

"PKR telah menyatakan rasa kesal dengan dua artikel yang ditulis dan dicetak itu yang merujuk kepada Felda.

"PKR juga mengakui dan menerima bahawa FELDA IFFCO Oil Product Sdn Bhd telah pada Mac 2010 menghantar minyak sawit mentah ke Palestin dan bukan Israel serta mengakui bahawa FELDA tidak pernah menjual minyak mentah kepada Israel atau mana-mana syarikat milik Israel," kata Hafarizam di Kompleks Mahkamah Jalan Duta paxda hari itu.

Untuk rekod, pada 2012 akhbar milik PKR, Suara Keadilan telah mencetak dan menerbitkan dua artikel bertajuk 'Dua Ribu Himpun Bantah FELDA Jual Minyak Ke Israel' dan 'BN Jangan Tipu Rakyat' pada edisi Suara Keadilan bertarikh 27 November tahun berkenaan yang menuduh FELDA menjual minyak sawit mentah kepada Israel.

"PKR juga telah menarik balik segala imputasi yang telah dibuat dan akan dibuat oleh artikel berhubung perkara tersebut yang telah diterbitkan di dalam Suara Keadilan pada 27 November 2012 yang lalu," jelas beliau.

Tambah Hafarizam, ini adalah selaras dengan kenyataan menteri yang bertanggungjawab menjaga FELDA ketika itu, Datuk Ahmad Maslan yang menjelaskan FELDA menghantar minyak mentah untuk kegunaan masyarakat Palestin dan bukan Israel seperti yang dituduh Suara Keadilan.

"Dengan adanya penghakiman persetujuan hari ini maka ia jelas membuktikan bahawa segala tuduhan FELDA menjual minyak kepada Israel hanyalah semata-mata fitnah yang dilakukan pembangkang dan akhbar-akhbar milik pembangkang," tegas beliau.

FELDA bagaimanapun meneruskan saman terhadap enam defendan lagi iaitu Mazlan Aliman, Datuk Mustapha Ali, Ahmad Lutfi Osman, Taufik Yahya, Mohamad Arif Atan dan Angkatan Edaran Enterprise Sdn Bhd berhubung kes fitnah yang sama tetap diteruskan.

Keenam-enam defendan terbabit adalah ahli dan pemegang jawatan dalam parti PAS, serta penerbit, ketua pengarang dan juga pencetak akhbar Harakah, lidah rasmi PAS.

Kecoh di Pemilihan PKR Kemaman, Ini jawapan Rafizi kepada Khairy..

Posted: 29 Apr 2014 10:13 PM PDT


Semalam, Ketua Pemuda UMNO yang juga Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin telah menyebarkan satu gambar insiden kekecohan yang didakwanya sebagai berlaku di Kemaman, Terengganu.

Gambar tersebut dipercayai diperolehinya dari blog-blog Pro UMNO, ditujukan gambar tersebut kepada Pengarah Strategi PKR, saudara Rafizi Ramli melalui laman Twitter.

Dalam Tweet nya kepada Rafizi, Khairy berdasarkan gambar insiden kekecohan itu mempersoalkan bagaimana PKR mahu mentadbir negara sedangkan Pemilihan Parti sendiripun kecoh.

Tulisnya.. "huhu... how to lead a nation meh?"

Rafizi hari ini menjawab sindiran Khairy itu, juga melalui laman Twitter dengan membidas tindakannya menyebarkan gambar tersebut tanpa usul periksa.

Menurut Rafizi, Khairy telah menyebarkan gambar-gambar yang tidak ada kena mengena dengan Pemilihan PKR Kemaman.

Tambahnya lagi Khairy telah ditipu oleh Blogger Pro UMNO tentang gambar terebut.

Kita boleh berbeza pandangan tentang politik, tetapi jangan rendahkan standard dengan menyebarkan berita yang tidak betul nasihat Rafizi kepada Khairy.

Tegas Rafizi lagi "Kertas undi pun lain warnanya. Lagipun Pemilihan di Kemaman dibuat di pejabat tingkat 1, bukannya dewan sebab UMNO tidak membenarkan Dewan digunakan...


Ok.. tentang gambar itu.. ianya adalah gambar semasa pemilihan 2010.. dan disahkan oleh seorang sahabat aku yang bertugas dengan JPP semasa Pemilihan 2010 dan 2014..


MH370 ditemui di Teluk Benggal dinafikan JACC..

Posted: 29 Apr 2014 08:19 PM PDT


Ketua pasukan mencari pesawat MH370 menafikan dakwaan sebuah syarikat yang memaklumkan menemui bangkai pesawat hilang itu yang dipercayai terhempas di Lautan Hindi.

Ini berikutan syarikat GeoResonance itu menyatakan kawasan penemuan ialah di Teluk Bengal, yang terletak beberapa ribu batu jauhnya daripada kawasan pencarian sekarang iaitu di selatan Lautan Hindi.

Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) yang menguruskan pencarian antarabangsa itu menolak dakwaan berkenaan, lapor CNN.

"Australia yang mengetuai pasukan pencari bergantung kepada maklumat daripada satelit dan data lain untuk menentukan kawasan pesawat yang hilang itu.

"Lokasi yang disebutkan oleh laporan GeoResonance itu di luar kawasan pencarian yang ditentukan oleh data. Pasukan bersama antarabangsa yakin pesawat ini berada di selatan kawasan pencarian, " kata JACC.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, Malaysia sedang bekerjasama dengan rakan kongsi antarabangsa untuk menilai kredibiliti maklumat itu.

GeoResonance berkata, analisis medan elektromagnet super lemah dirakamkan oleh imej multispektral udara.

"Syarikat tidak mengisytiharkan ia adalah MH370, bagaimanapun ia perlu disiasat," kata GeoResonance dalam satu kenyataan.

Pengarah syarikat itu, David Pope, berkata beliau tidak mahu memberitahu kepada umum maklumat itu pada mulanya, tetapi maklumatnya tidak diendahkan.

"Kami sekumpulan besar ahli sains dan kami diabaikan, dan kami fikir kami mempunyai kewajipan moral untuk memberitahu penemuan kami kepada pihak berkuasa," katanya kepada CNN dalam program New Day pada Selasa.

Pope berkata, teknologi GeoResonance diwujudkan bagi mencari senjata nuklear, biologi dan kimia di bawah laut atau dalam kubu di bawah bumi.

Beliau berkata, syarikat itu memulakan carian empat hari selepas pesawat itu hilang dan menghantar penemuan awal pada 31 Mac dan ia disusuli dengan laporan penuh pada 15 April.

Katanya, dengan mendedahkan perkara itu kepada umum, syarikat itu berharap ia akan mendorong pegawai untuk mengambil dakwaan itu secara serius.

Pope berkata, GeoResonance menghubungi pihak berkuasa Malaysia semalam dan mereka "sangat berminat, sangat teruja" dengan penemuan itu.

Inmarsat, syarikat satelit yang dikatakan mempunyai hubungan terakhir dengan MH370, masih "amat yakin" dalam analisisnya iaitu pesawat itu berakhir di selatan Lautan Hindi, kata sumber yang rapat dengan penyiasatan MH370 kepada CNN.

Analisis Inmarsat adalah "berdasarkan fizik yang boleh diuji dan matematik," kata sumber itu, dan disemak oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat, Britain dan Malaysia serta sebuah syarikat satelit bebas lapor The Malaysian Insider

Tiada ulasan: