MASIH DALAM INGATAN
Saya masih ingat lagi kali pertama melihat wajah Wan Azizah. Tempatnya dalam panggung DBKL di Jalan Ampang. Waktunya: ketika menonton sandiwara Melayu yang bernama Lantai T Pinkie. Johan Jaafar yang pada ketika itu penjaga imej Anwar Ibrahim di Utusan telah meminta saya datang ke panggung. Pada hemat saya si Johan ini cuba menampakkan Si Anwar ini sebagai peminat teater.
Sama ada Anwar Ibrahim meminati teater atau tidak bukan congak saya. Ianya tak pernah masuk dalam kamus dan jadual saya.Apa yang saya nak labonkan disini ialah tentang Wan Azizah bukan tentang Anwar Ibrahim.
Biasanya, kalau menonton sandiwara Melayu saya suka mengambil kerusi paling belakang. Jika sandiwara membosankan saya akan akan mencelah keluar dengan senyap-senyap. Sayangnya ketika menonton Lantai T Pinkie saya gagal berbuat demikian kerana saya duduk betul-betul dihadapan Wan Azizah. Maka saya tidak ada pilihan – saya terpaksa terus menonton hingga tamat.
Apa yang menarik pada malam itu bukan sandiwara dipentas. Sandiwara yang amat menarik telah berlaku diluar pentas. Kawan saya Halim Sabir yang duduk disebelah saya telah terdengar Wan Azizah memanggil Anwar : abang. Bila Halim berseloroh tentang 'sandiwara' ini kami berdua terbahak-bahak ketawa. Ini berlaku pada ketika Anwar masih yakin dan percaya kepada Ketuanan Melayu dalam United Malays National Organisation. Ini terjadi dalam tahun 1997.
Kemudian Anwar ditangkap. Saya melihat wajah Wan Azizah dari jauh. Saya perhatikan bagaimana Parti Pas telah mengosong Wan Azizah ke hulu ke hilir berkempen tentang 'Abang Anwar'. Ini sebelum wujudnya Parti Keadilan Nasional. Ini ketika anak muda sedang turun berdemo mendobrak dan menuntut Anak Lelaki Iskandar Kutty meletak jawatan.
Kali kedua saya melihat Wan Azizah di Hotel Federal. Ketika itu amat susah mendapatkan tempat atau dewan untuk berforum mendengar pendapat. Semua ruang kosong telah ditutup oleh Anak Lelaki Iskandar Kutty. Dewan hotel mungkin boleh disewa tetapi bukan semua hotel bersedia untuk dilanggan. Banyak tuan empunya hotel diberi tekanan. Kezaliman United Malays National Organisation sedang mengganas.
Saya ingat lagi pada malam itu – antara yang berucap ialah Mahfuz Omar. Si Mahfuz yang ketika itu memimpin Pemuda Pas telah berucapa dengan hebat. Suasana politik ketika ini sedang menggelora. Setiap hari Sabtu ribuan anak muda Melayu akan turun berdemo di Jalan Tunku Andul Rahman. Pertemporan sering berlaku. Polis semakin dilihat jelas sebagai jentera untuk mempertahankan kezaliman United Malays National Organisation. Justeru ucapan Mahfuz memang membakar.
Saya ternanti-nanti untuk mendengar apa isi butir dan pandangan Wan Azizah. Wan Azizah penyampai ucapan terakhir. Cukup mengecewakan. Mengikut istilah anak muda: ucapan Wan Azizah telah potong stim. Saya tidak ingat langsung apa isi kandongan ucapan Wan Azzizh pada malam ini. Apa yang saya ingat hanya... Abang Anwar ini..Abang Anwar itu .. Abang Anwar dan dan.. semuanya tentang Abang Anwar.
Walau pun ucapan Wan Azizah amat-amat mengecewakan tetapi saya masih ingat bagaimana Wan Azzizh telah turun dengan keretanya untuk memberikan tanda sokongan terhadap gerakan jalan raya. Wan Azizzh telah mengharung Jalan Tunku Andul Rahman ketikan ribuan anak muda Melayu sedang mengempur Anak Lelaki Iskandar Kutty. Imej Wan Azizah melambaikan tangan tanda sokongan ke jalan raya ini memaksa saya memberi penilaian kedua kepada si Perempuan ini.
Dalam PRU10 pada tahun 1999 Wan Azizah telah bertanding dan memenangi kerusi Pematang Pauh. Kemudian Wan Azizah dipilih untuk menjadi Ketua Pembangkang dalam Barisan Alternatif.
Diawal zaman Refortmasi demo dijalan raya berlaku sepontan. Tidak ada garis politik. Tidak jelas arah tuju. Walau pun tanpa pimpinan yang jelas, demo jalan raya pada ketika ini telah menjemput puluhan ribu anak muda ke jalan raya. Mereka turun ke jalan raya kerana melihat kezaliman telah berlaku. Kesedaran anak anak muda semakin melonjak naik. Inilah zaman kebangkitan dan kesedaran politik para mahsiswa dan pelajar sesudah Gerakan Baling 1974. Anak muda 1974 dan Anak Muda Reformasi mahu menggulingkan United Malays National Organisation.
Lama kelamaan Gerakan Reformasi turun ke jalan raya semakin tersusun dan dirancang. Saya masih ingat lagi bagaimana telah disusun berberapa perhimpunan besar-besaran untuk terus menghasut orang ramai membenci United Malaya National Organisation. Hasilnya amat lumayan: Parti Ketuanan Melayu ini dilihat semakin sesak nafasnya. Wan Azizah ketika ini jelas dilihat sebagai simbol penggerak Reformasi.
Saya masih ingat lagi di Lebuh Raya Kesas. Di Perhimpunan Jalan Kebun Panglima Garang, Wan Azizah telah datang dengan kereta roda. Dia ditunda oleh Pembantu kerana kakinya cedera bersimin. Walau pun dikerusi roda tapi masih gigih berdemo.
Pada petang itu di Lebuh Raya Kesas dikabusi oleh asap tembakan gas pemedeh mata. Ini tidak lagi menakut Wan Azizah. Kini gas pemedih mata dan pancutan air kimia bukan satu yang baru untuk Wan Azizah. Wan Azizah berada di barsian hadapan berarak dijalan raya di Lebuh Raya Kesas. Kini Anwar Ibrahim bukan lagi Abang Anwar. Wan Azizah adalah suara Anwar Ibrahim diluar penjara. Inilah sejarah perjuangan Wan Azizah yang gigih berpolitik untuk menggulingkan United Malays National Organisation.
Ketika Anwar dibicarakan saya melihat wajah Wan Azizah dimedia dalam negara dan luar negara. Saya ternampak Sang Ibu ini memimpin anak-anak untuk melihat Sang Ayah yang sedang dizalimi. Mahathir Muhamad menjadi ikon kezaliman bila mana rakyat dunia melihat Wan Azizah dan keluarga yang diinyaya.
Pada bulan April 2001 – saya bersama 9 Reformis telah ditangkap dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri. Dua bulan kemudian 6 orang kami dihantar ke Kamunting. Hubungan diluar putus. Dari tembok penjara saya kadang-kadang dapat terbaca bagaimana Wan Azizah telah meneruskan perjuangan. Dari tembok penjara saya merasakan Wan Azizah semakin mendewasa untuk memberi harapan kami yang dalam penjara.
Beberapa kali apabila Tian, Dr Badrul, Lokman Adam, Mat Ezam dan saya telah dibawa ke Kuala Lumpur untuk bicara kes ' demonstrasi'. Ketika itu Mahkamah kami sebelah Masjid Jamek. Sesekali di Mahkamah Wan Azizah turun hadir. Saya hanya menganggukkan kepala tanda berterima kaseh kerana dia sanggup meluangkan masa datang bersetiakawan ke mahkamah. Kami dilarang berbual. Sesekali hanya berupaya bertanya khabar tidak lebih dari itu.
Dari tembok penjara saya mengikuti perbincangan Parti Keadilan Nasional dan Parti Ralyat yang ingin bergabung. Saya bukan ahli mana-mana parti. Tetapi saya menyokong pergabungan ini sebagai usaha untuk menggalang satu front perjuangan yang luas. Pergabungan berlaku - Wan Azizah dinobatkan sebagai Presiden Parti Keadilan Rakyat dan Syed Husin Ali sebagai Timbalan Presiden Parti.
Saya dibebaskan pada tahun 2003. Beberapa bulan kemudian saya dijemput untuk berceramah di Kamunting. Untuk pertama kalinya saya dapat sapentas dengan Wan Azizah. Kami berceramah di Markas Pas Kamunting. Sungguh ironi – markas Pas ini tidak jauh dari pintu masuk ke kem Kamunting. Malah saya selalu melihat daerah ini terutama apabila saya dibawa keluar ke hospital Taiping atau keluar bicara.
Malam itu Wan Azizah Yang Berhormat dari Permatang Pauh tidak menjadi peceramah terakhir. Ini kerana Wan Azizah perlu bergerak awal dalam perjalanan ke Pualu Pinang. Wan Azizah bertucap lebih awal dari saya. Aduh! Hari ini, saya masih ingat lagi nada ucapan pertama Wan Azizah di Hotel Federal pada tahun 1998. Dan nada ucapan di Markas Pas Kamunting pada tahun 2003.
Saya mendengar ucapan Wan Azizah dengan penuih hormat. Saya memasang telinga untuk mendengar hujah yang keluar dari mulut Dr Wan Azizah. Untuk saya apa yang keluar dari mulut adalah tahap fikrah seseorang. Jelas pada malam di Kamunting itu ucapan Wan Azizah penuh berisi. Penuh bersemangat. Mungkin tidak sahebat ucapan Mahfuz Omar tetapi pada hemat saya Wan Azizah kini telah mendewasa sebagai pemimpian politik bertaraf antara bangsa. Sama setaraf dengan Megawati atau Curazon Aquino.
Malah dalam ceramah malam itu Wan Azizah secara bijak telah berjaya 'menduku' saya kerana saya masih lagi belum mendaftar sebagai pengundi. Secara berseloroh dan berjenaka dia bertanya kenapa saua msih belum mendaftar. Markas Pas Kamunting terbarai ketawa pada malam itu. Sayangnya sesudah berucap Wan Azizah minta diri untuk meneruskan perjalanan. Tanpa saya berpeluang ' menduku' kembali.
Hanya itu sekali sahaja saya sapentas dengan Wan Azizah. Justeru saya masih lagi belum dapat menerangkan kenapa hingga hari ini saya masih lagi belum mendaftar sebagai poengundi.
Dua hari dulu dunia diberitahu bahawa Wan Azizah akan bertanding di Kajang. Media United Malays National Organisation cuba memperlekehkan Wan Azizah. Sikap United Malays National Organisation cukup memgumbirakan saya. Saya berharap musuh politik Wan Azizah juga memiliki pandangan yang sama.
Untuk sesiapa sahaja yang belum mengenali Wan Azizah – saya ingatkan – jangan tersalah baca. Yang bertanding ini bukan Wan Azizah Lantai T Pinkie. Bukan Wan Azizah Federal Hotel. Ini Wan Azizah berhati cekal yang telah melintasi dunia politik antarabangsa. Justeru, kepada anak semua bangsa, terutama kepada warga Selangor bersedia untuk memecah tradisi. Bersedia untuk merayakan MB Perempuan yang pertama. (TT)
NOTA
tulisan ini telah disiarkan
dalam akhbar mingguan SUARA KEADILAN
sesiapa ingin melanggan sila pukul talipon
03-92-21-10-45
NOTA
kapal terbang dah bergerak
----------
Tiada ulasan:
Catat Ulasan