Abdul Aziz Mohd Yusof 
SHAH ALAM – Persoalan sama ada Datuk Seri Anwar Ibrahim masih berpeluang untuk bertanding di Dun Kajang hanya boleh dibuat selepas Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) mengkaji undang-undang pilihan raya dengan teliti.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, langkah tersebut diambil agar dapat memberikan keadilan kepada semua pihak.

"Keputusan mahkamah baharu sahaja membuat keputusan petang ini. Keputusan tidak boleh dibuat secara terburu-buru.

Kita kena kaji semua undang-undang di peringkat negeri dan Pusat. SPR akan membuat kajian lebih mendalam, beri kami masa," ketika dihubungi Sinar Harian Online, hari ini.

Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini menjatuhi hukuman penjara lima tahun ke atas Ketua Pembangkang itu sebentar tadi atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Saiful Bukhari Azlan, enam tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Balia Yusof Wahi yang bersidang bersama Datuk Aziah Ali dan Datuk Mohd Zawawi Salleh membuat keputusan sebulat suara itu terhadap Anwar, 67, selepas mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi.

Pihak pendakwaan kemudiannya memfailkan rayuan berhubung keputusan itu dengan melantik Tan Sri Muhammad Shaefee Abdullah mengetuai pihak pendakwa raya.

Sementara itu, keputusan terbaru Mahkamah Rayuan membenarkan penangguhan hukuman ke atas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijatuhi lima tahun penjara selepas didapati bersalah meliwat bekas pembantunya.

Mahkamah membenarkan permohonan peguam Karpal Singh, yang mewakili Anwar untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Mahkamah turut membenarkan Anwar untuk menangguhkan bayaran jaminan sebanyak RM10,000 sebelum jam 11 pagi, Isnin ini.

Mengulas perkara sama, Abdul Aziz sebelum ini berkata, Anwar masih berpeluang bertanding di kerusi Dun Kajang sekiranya pihak pembelaan membawa kes itu ke Mahkamah Persekutuan sebelum 11 Mac ini.

Menurutnya lagi, bagaimanapun, perkara tersebut tertakluk kepada hukuman yang dikenakan terhadap Anwar.

"Kes ini boleh dibawa ke Mahkamah Persekutuan sebelum 11 Mac ini, tetapi sekiranya Anwar didenda lebih daripada RM2000 serta lebih setahun penjara mungkin hasrat tersebut akan terhenti.

"Apa-apa pun kami di pihak SPR akan merujuk kepada penasihat undang-undang SPR terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan," katanya.