Selasa, 4 Mac 2014

MIMPI SENJA

MIMPI SENJA


Kabinet Sarawak umpama kereta buruk dicat semula

Posted: 04 Mar 2014 07:29 PM PST

KUALA LUMPUR: Majlis Istiadat Angkat Sumpah Pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Menteri-menteri Muda Negeri Sarawak menyaksikan tiada rombakan besar berlaku dalam portfolio penting kerajaan negeri.

Dengan senarai muka-muka lama sejak era Taib Mahmud masih lagi mendominasi jawatan penting dalam pentadbiran negeri.

Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem sendiri mengumumkan beliau menerajui portfolio Kewangan dan Perancangan Sumber dan Alam Sekitar.

Pelantikan baru ini menyaksikan juga seorang menteri menjawat lebih dari satu kementerian malah ada yang menjawat 3 kementerian sekaligus.

Bagi PAS negeri, ia sesuatu yang nampak tempang menandakan betapa ketandusannya kepimpinan kerajaan BN Sarawak dalam melahirkan pemimpin muda.

"Seharusnya wakil-wakil rakyat muda perlu digilap bakatnya dalam BN Sarawak dan diberi peluang agar mempersiapkan diri mereka untuk memikul tanggungjawap besar nanti," ujar Ketua Penerangan PAS negeri, Andri Zulkarnaen Hamden (gambar).

Menurutnya, menteri kanan yang sudah berkhidmat berpuluh tahun seharusnya peka dengan kelemahan diri dan membuka ruang serta laluan kepada generasi muda bagi menggantikan mereka.

Tambahnya, tiada apa yang boleh dibanggakan oleh rakyat Sarawak atas rombakan kecil kabinet baru yang diumumkan itu.

"Kabinet baru ini umpama kereta buruk yang hanya dicat semula," ujarnya lagi.

Katanya, kalau diamati perkembangan BN Sarawak terutama parti PBB, ia sudah tidak mendapat tempat di hati generasi muda.- Harakah Daily

"Sebab itulah mereka gagal melahirkan kepimpinan muda yang berwibawa kalau ada pun masih belum layak dan tidak mampu untuk menggugat yang tua," katanya.

BERSIH lancar kempen sokong Mejar Zaidi

Posted: 04 Mar 2014 08:40 AM PST


Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) melancarkan kempen untuk menggesa Majlis Angkatan Tentera Malaysia menggugurkan kesemua pertuduhan ke atas seorang pegawai pasukan tersebut Mejar Zaidi Ahmad berhubung isu dakwat kekal dalam pilihan raya umum lalu.

Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah berkata NGO itu juga akan mengemukakan tuntutan rasmi kepada Majlis Angkatan Tentera agar kesemua tujuh pertuduhan ke atas juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu.


Katanya, "Kempen Rakyat Sokong Mejar Zaidi" itu meminta pengguna media sosial memuatkan gambar dengan slogan sokongan kepada Mejar Zaidi melalui laman Facebook dan Twitter.

Katanya, kempen itu bermula pada bulan April apabila TUDM memulakan perbicaraan ke atas pegawai berusia 45 tahun itu.

"Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sendiri telah mengaku dalam laporan media mengenai kegagalan dakwat kekal, yang turut dilaporkan oleh ratusan pengundi.

"Jadi kenapa pula tindakan ini diambil terhadap Mejar Zaidi yang berkata apa yang benar demi kepentingan awam?

"BERSIH 2.0 percaya bahawa ramai rakyat Malaysia merasakan Mejar Zaidi tidak seharusnya dihukum tetapi disanjungi kerana kejujuran dan keberaniannya untuk menegakkan kebenaran," kata Maria dalam kenyataannya.

Zaidi mungkin kehilangan pencen dan faedah lain sekiranya didapati bersalah, katanya lagi yang menganggap perkara itu sebagai ketidakadilan yang tidak boleh diterima oleh rakyat

Beliau meminta pengguna media sosial menggunakan slogan "Gugur Pertuduhan Mejar Zaidi" atau "Hukum SPR, bukan Mejar Zaidi" dan juga hashtag #sokongzaidi.

Maria turut menyeru orang awam agar menunjukkan sokongan kepada Mejar Zaidi dengan menghadiri perbicaraan pada 8 April hingga 10 April 2014 di Mahkamah Tentera TUDM Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Pegawai yang bertugas di Pengkalan Udara Butterworth itu pada 7 Februari lalu mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan mengikut Seksyen 50(2) Akta Angkatan Tentera 1972 atas tuduhan memberi kenyataan media berkenaan isu dakwat kekal.

Beliau juga mengaku tidak bersalah atas dua lagi tuduhan menghantar khidmat pesanan ringkas berbaur politik dan hasutan, mengikut di bawah Seksyen 50(2) Akta Angkatan Tentera 1972. - mkini

Subhanallah, Al-Quran tetap utuh dalam kereta yang hangus terbakar

Posted: 04 Mar 2014 02:35 AM PST

Salinan Al-Quran tetap utuh dalam kereta hangus terbakar
KUALA LUMPUR- Subhanallah, salinan Al-Quran tetap dalam keadaan utuh dalam kereta yang hangus terbakar di wilayah Jazan selatan Arab Saudi.
"Pemandu itu berkata kepada saya, kereta itu adalah milik ayahnya yang selalu menyimpan salinan Al-Quran di dalamnya," kata seorang saksi, harian Emirates melaporkan pada 2 Mac lalu.
Pengakuan dari pemiliknya menurut harian Saudi, dia sedang memandu keretanya di wilayah selatan Jazan Saudi dan secara tiba-tiba kereta terbakar, sehingga memaksa dia menyelamatkan diri dengan melompat keluar dari keretanya.
Beberapa saksi memeriksa pemandu tersebut dan keadaan keretanya, mereka menjumpai salinan Al-Quran satu-satunya barang yang tetap utuh dalam kereta yang hangus terbakar.
"Ketika saya melihat ke dalam kereta yang hangus tersebut, saya terkejut melihat semuanya hancur dan hangus kecuali salinan Al-Quran yang masih utuh," katanya dipetik blog Detik Islam.
"Saya memutuskan untuk mendokumentasikan keajaiban ini dengan telefon bimbit saya."
Al-Quran adalah wahyu dari Allah, Pencipta alam semesta dan dunia beserta isinya. -Harakahdaily

GOSIP : Erra Fazira rapat dengan Ku Nan pula?

Posted: 03 Mar 2014 11:45 PM PST


Aktres terkenal tanahair, Erra Fazira menafikan mengenali secara rapat Menteri Wilayah Persekutuan dan ahli parlimen Putrajaya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Terkejut dengan perkara itu, Erra menyifatkan desas desus yang mengatakan hubungannya dengan Tengku Adnan itu hanya gosip semata-mata, lapor Berita Harian hari ini.




"Tolong jangan kaitkan saya dengan mana-mana lelaki hanya kerana dengar gosip. Saya tiada masa untuk berfoya-foya," katanya seperti dilapor akhbar itu.

Laporan itu juga menyebut, bekas ratu cantik Malaysia menjelaskan beliau tiada masa untuk menjalin hubungan istimewa apatah lagi untuk diri sendiri juga tidak mencukupi.

"Selalunya, Januari atau Febuari adalah masa untuk saya bawa kakitangan bercuti. Namun, disebabkan terlalu sibuk, saya tidak sempat berbuat demikian.

"Jadi, bila masa untuk saya jalin hubungan, sedangkan untuk diri sendiri pun saya tidak cukup masa?," kata Erra yang baru bercerai talak satu dengan Engku Emran Engku Zainal Abidin pada 18 Febuari lalu.

Laporan itu juga menyebut, sejak bercerai, ini kali pertama Erra dikaitkan dengan lelaki lain.


Berita Harian semalam melaporkan Tengku Adnan turut menafikan mempunyai hubungan dengan bintang filem Sembilu itu, bahkan menegaskan dirinya cukup bahagia dengan perkahwinan sekarang. mkini

Tiada ulasan: