Khamis, 27 Mac 2014

MIMPI SENJA

MIMPI SENJA


Kawasan Carian MH370 Dianjak Berdasarkan "Petunjuk Baharu, Boleh Dipercayai"

Posted: 27 Mar 2014 11:09 PM PDT

Diterbitkan: Jumaat, 28 Mac 2014 10:14 AM
Leftenan Jayson Nichols dari kokpit pesawar Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) AP-3C Orion melakukan operasi mencari pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang, di selatan Lautan Hindi. Foto EPA

PERTH: Kawasan pencarian pesawat MH370 pada Jumaat dianjakkan ke satu kawasan kira-kira 1,100 kilometer (685 batu) ke timur laut dari lokasi operasi mencari di selatan Lautan Hindi, selepas mendapat "petunjuk baharu, boleh dipercayai", kata pihak berkuasa Australia.
"Maklumat baharu itu berdasarkan analisis yang berterusan dari data radar antara Laut China Selatan dan Selat Melaka sebelum radar terputus hubungan," kata Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA).
"Ia menunjukkan bahawa pesawat itu terbang lebih laju dari yang dianggarkan sebelum ini, yang menandakan terdapat peningkatan dalam penggunaan bahan api dan mengurangkan kemungkinan jarak pesawat itu terbang ke selatan sehingga ke Lautan Hindi."
Nasihat yang baharu itu diperoleh dari pasukan penyiasatan antarabangsa di Malaysia dengan Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) yang menetapkan "bahawa ia merupakan petunjuk paling boleh dipercayai terhadap lokasi berkemungkinan serpihan pesawat akan ditemui".
Kawasan pencarian baharu itu dianggarkan berkeluasan kira-kira 319,000 kilometer persegi, kira-kira 1,850 ke barat Perth. 
"ATSB menasihatkan bahawa potensi laluan pesawat itu mungkin disebabkan kajian lebih terperinci apabila pasukan penyiasatan antarabangsa yang membantu pencarian itu meneruskan analisis mereka," kata AMSA, sambil menambah bahawa Australia telah mengubah semula kedudukan satelitnya ke arah lokasi baharu.
Ia diikuti Thailand pada Khamis melaporkan satu imej satelit menunjukkan ratusan objek terapung. Jepun turut mengumumkan analisis satelitnya menunjukkan kira-kira 10 objek terapung di kawasan yang sama.
Kedua-dua negara itu menunjukkan imej kemungkinan dari serpihan pesawat MH370, yang hilang dalam penerbangannya dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac lalu. -AFP

1000 hadiri bacaan Yasin,tahlil dan Solat Hajat di Masjid Negara

Posted: 27 Mar 2014 05:50 AM PDT

Teks dan foto oleh Rizanizam Abdul Hamid
Kuala Lumpur: Kira-kira 1,000 umat Islam menghadiri majlis bacaan Yasin, tahlil dan solat hajat anjuran Jabatan Perdana Menteri di Masjid Negara di sini, sebentar tadi.
Majlis yang bermula selepas solat Maghrib itu diadakan bagi memohon petunjuk Allah agar penerbangan MH370 yang membawa 239 penumpang termasuk 12 kru menaiki pesawat Boeing 777-200ER segera ditemui. 
Ia susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak Isnin lalu penerbangan itu disahkan berakhir di selatan Lautan Hindi, selepas 17 hari kehilangan pesawat berkenaan. 

Jemaah dipimpin Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Ismail Muhammad.
Foto
JEMAAH dipimpin Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Ismail Muhammad.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Othman Mustapha.Teks dan foto oleh Rizanizam Abdul Hamid

MH370 : Satelit Thailand kesan 300 objek

Posted: 27 Mar 2014 01:51 AM PDT


Satelit Pemerhatian Bumi Thailand (Thaichote) mengesan 300 objek di Lautan Hindi, kira-kira 200 kilometer daripada Barat Daya tempat carian pesawat hilang MH370.

Thailand menjadi negara kelima mendedahkan imej satelit objek terapung di kawasan sama selepas Australia, Perancis, United Kingdom dan China.

Akhbar Thailand The Nation melaporkan, imej itu diserahkan kepada perdana menteri sementaranya sebelum dimajukan kepada pihak Malaysia. - mkini

Papa pergi work, tapi kapal terbang papa rosak, papa tak balik - Pujuk Intan pada anaknya

Posted: 27 Mar 2014 12:20 AM PDT

 Papa pergi work, tapi kapal terbang papa rosak,papa tak balik,papa di syurga,kalau nak papa kena baca doa selalu...'' 
Bait-bait ayat Intan Maizura Othman, isteri kepada pramugara Hazrin Mohamed Hasnan kepada anaknya, Iman ketika di tangga rumahnya benar-benar meruntun jiwa. 

Iman yang berusia dalam lingkungan tiga tahun mengangguk-angguk seakan benar-benar faham keperitan ditanggung ibunya sejak hari pertama pesawat MH370 hilang 8 Mac lalu.

Sebelum itu anak kecil ini dilihat hanya berdiri di tangga dan tidak berkelip matanya memandang ramainya tetamu di rumahnya sepanjang semua membaca surah Yassin dan menunaikan solat hajat.



Kuatnya hati, jiwa dan semangat Intan yang mengandung anak ketiga yang bakal melihat dunia dalam masa kurang dua bulan lagi tidak dapat dizahirkan dengan apa-apa perkataan juga di dunia ini.

Semua yang menghadiri majlis bacaan Yassin dan solat hajat di kediamannya di Kota Kemuning kagum dengan ketabahan ditunjukkan Intan juga rakan-rakan Hazrin yang lebih senang dipanggil Rain.

Sepanjang majlis, Intan tidak lepas didakap rakan-rakan yang memberi semangat serta kata-kata menuntut ketabahan wanita ini berterusan.

Utuhnya kepercayaan wanita ini kepada realiti serta qada dan qadar yang ditentukan Allah.

"Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.

"(Kamu diberitahu tentang itu) supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu dan tidak pula bergembira (secara sombong dan bangga) dengan apa yang diberikan kepada kamu dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri."
 - Al-Hadid 22-23.

Esakan perlahan Intan yang duduk di bahagian belakang pada saat bacaan Yassin bergema di rumahnya masih dapat didengari. Allah maha mendengar permintaan hamba-Nya yang meminta dan seluruh negara memohon serta mengharapkan pengakhiran yang baik pada tragedi MH370 ini.

"Saya akan move on, saya redha apa yang terjadi, saya akan besarkan anak-anak dan jika benar dia (Hazrin) bersemadi di Lautan Hindi, tenanglah dia di sana.''

Duka Intan sama sedihnya dengan semua keluarga penumpang MH370 lain. Pilu Intan tidak ada bezanya dengan mereka yang terlibat dalam tragedi ini.

Menceritakan saat-saat akhir Intan menghantar Hazrin ke tempat kerja pada hari kejadian, katanya tidak ada sebarang kelainan yang ditunjukkan.

Seperti biasa bersalaman dan ungkapan "I love you" menjadi tiga perkataan terakhir sebelum berpisah seolah-olah masih terngiang-ngiang di telinganya.

Intan mengakui sejak malam sidang media khas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penerbangan MH370 berhenti di Lautan Hindi, fasa baru hidupnya bermula.

Melalui detik paling pedih dalam hidup, kehilangan suami yang juga `buddy' (kawan baik) menjadikan Intan menjadi lebih tabah dalam membesarkan anak selain jauh di dalam hati, masih ada sekelumit harapan menanti kepulangan Hazrin.


Rentetan meluahkan sejujur-jujurnya apa yang dirasa di dalam media sosial termasuk impian menjadi ketua bidadari di syurga, itu sudah cukup meruntun hati jutaan rakyat negara ini yang tidak berhenti berdoa masih menyimpan ada harapan untuk sesuatu perkara positif di akhir kisah tragedi ini.

"Tidakkah diakui dan tidakkah dipercayai bahawa Tuhan yang telah menciptakan langit dan bumi (yang demikian besarnya) - berkuasa menciptakan semula manusia sebagaimana Ia menciptakan mereka dahulu? Ya! Diakui dan dipercayai berkuasa! Dan Dia lah Pencipta yang tidak ada bandinganNya, lagi Yang Maha Mengetahui.

"Sesungguhnya keadaan kekuasaanNya apabila Ia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Ia berfirman kepada (hakikat) benda itu: " Jadilah engkau! ". Maka ia terus menjadi.."
- Yaasin 81-82.

Hanya kira-kira lima soalan yang dilontar pemberita pada malam solat hajat di kediaman Intan pada malam Khamis ini.

Soalan yang diaju lebih berkisar menuntut jawapan peribadi dan tabahnya Intan menjawab satu demi satu pertanyaan dengan cukup menyakinkan, wanita ini benar-benar sudah bersedia mengharung fasa demi fasa masa dan apa juga yang akan berlaku di hadapannya.

Cuma pada soalan keempat yang bertanya apa penjelasan diberi kepada anaknya terhadap kehilangan papa, tiba-tiba Iman datang dan duduk di pangkuan, pada saat dikatakan `aeroplane' papa rosak dan papa tidak akan balik rumah, mata Intan mula berkaca kembali dengan jernih air mata kasih seorang mama.
 -astroawani 


Tiada ulasan: