Jumaat, 7 Mac 2014

DUNIACACAMARBA

DUNIACACAMARBA


PKR Isytihar Reformasi 2.0, Gesa Kejatuhan BN

Posted: 07 Mar 2014 01:58 PM PST


[MK] Beberapa jam selepas Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim disabitkan atas tuduhan liwat dan dijatuhkan lima tahun penjara, para penyokongnya berhimpun di Kajang menggesa kejatuhan BN.

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali mengisytiharkan permulaan Reformasi 2.0 di hadapan 500 orang di pusat gerakan pilihan raya parti itu di Kampung Sungai Sekamat, Kajang.

Beliau bertanya kepada hadiran sama ada mahu berjuang melalui pilihan raya atau turun ke jalanan, dan mereka bersorak tanda bersetuju.

"Walaupun kita menang dengan 52 peratus undi, tapi mereka masih berkuasa," katanya.

Azmin berkata Majlis Presiden Pakatan Rakyat akan membuat keputusan esok sama ada untuk turun ke jalanan.

"Jika kita umumkan esok jam 9 malam di Dataran Merdeka, adakah anda bersedia? Jika kita umumkan esok jam 3 petang di Jalan Tuanku Abdul Rahman, adakah anda bersedia?" tanya Azmin dengan disambut oleh hadirin. - 7/3/14


[PANAS] Liwat II: Anwar Didapati BERSALAH, Hukuman Penjara 5 Tahun

Posted: 07 Mar 2014 01:14 AM PST


[MK] Rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes Liwat II bersambung hari ini dengan peguam Ram Karpal meneruskan penghujahannya mengenai sampel air mani yang diambil daripada pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Ram membayangkan kepada mahkamah semalam bahawa beliau memerlukan dua jam lagi untuk mengakhiri hujahnya. Beliau dijangka menyediakan hujah selanjutnya mengenai isu integriti sampel air mani itu dan kemungkinan sampel itu telah diganggu.

Tumpuan utama pihak pendakwa dan pembela bergantung kepada integriti sampel itu kerana hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah semasa membebaskan Anwar, mendapati ia tidak selamat untuk membuat sabitan kerana sampel itu mungkin telah diganggu.

Ia telah didedah di mahkamah bahawa pegawai penyiasat Supt Jude Blacious Pereira telah membuka beg plastik yang tertutup dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan meletakkan 12 sampel dalam sampul surat berasingan sebelum menyerahkannya kepada ahli kimia untuk dianalisis.

Walaupun peguam yang dilantik kerajaan, Datuk Muhammad Shafee Abdullah bertegaskan bahawa rantaian bukti tidak terjejas walaupun beg plastik dari HKL dibuka, Ram pula menyatakan sebaliknya berkaitan "keaslian" sampel air mani, walaupun diperiksa empat hari selepas kejadian yang dikatakan itu.

Selepas kejadian liwat yang dikatakan pada 26 Jun 2008 di kondominium Desa Damansara, Saiful memberi keterangan bahawa dia tidak mandi dan tidak membasuhnya dalam usaha "untuk menyimpan bukti". Dia membuat laporan polis dua hari kemudian dan sampel itu diambil pada malam 28 Jun dan awal pagi 29 Jun.

Sampel itu kemudiannya disimpan oleh Pereira, bukan dalam peti sejuk seperti yang diarahkan oleh doktor HKL, tetapi dalam kabinet logam di pejabatnya dan kemudian diserahkan kepada ahli kimia pada malam 30 Jun.

Shafee juga telah membuat hujah teknikal bahawa ujian mahkamah hendaklah di atas imbangan kebarangkalian, manakala peguam kanan Karpal Singh berkata itu salah kerana mahkamah perlu menerima pakai pendekatan 'melampaui keraguan yang munasabah'.



Dalam prosiding jenayah, pihak pendakwaan sering diperlukan untuk
membuktikan kesnya melampaui keraguan yang munasabah manakala imbangan kebarangkalian biasanya diguna pakai dalam kes-kes sivil.

Selepas penghujahan pihak pembela pagi ini, Shafee akan meneruskan penghujahan balas. Beliau mengambil dua setengah jam dalam berhujah kes pendakwaan semalam.

Adalah menarik untuk melihat sama ada panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Balia Yusof Wahi, akan menyampaikan keputusannya hari ini atau sebaliknya mengumumkannya pada tarikh yang lain.

Bagi Anwar, keputusan itu boleh menjejaskan usahanya untuk bertanding dalam pilihan raya kecil DUN Kajang di mana tarikh pencalonan telah ditetapkan pada Selasa depan.

Malaysiakini membuat laporan langsung hari kedua prosiding rayuan pendakwa terhadap penghakiman dalam Liwat II.

LAPORAN LANGSUNG

7pm: Anak-anak dan isteri memeluk Anwar. Seorang anaknya turut membawa cucu beliau ke mahkamah.

6:57pm: Mahkamah membenarkan ikat jamin dibayar selewat-lewatnya 11 pagi, Isnin.



Seorang penyokong mengumumkan kepada kumpulan penyokong lain di luar mahkamah bahawa Anwar boleh pulang ke rumahnya.

"Okay, okay Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh balik,"katanya.

Para penyokong berkenaan menyambut berita tersebut dengan gembira dan bersalaman dengan individu yang menyampaikan berita berkenaan.

Kumpulan itu sekali lagi melaungkan "reformasi" dan "bebas Anwar".

6.52pm: Mahkamah membenarkan penangguhan hukuman dan menetapkan ikat jamin sebanyak RM10,000.

6.46pm: Kumpulan penyokong Anwar berhimpun sambil mengangkat tangan dan melaungkan slogan "Bebas bebas Bebas Anwar!", "reformasi" dan "turun Najib!".



Seorang penyokong, Amir Hamzah memberi ucapan menaikkan semangat penyokong dan mengimbas kembali sejarah 1998.

Laungan itu, disambut penyokong yang tidak berpuas hati walaupun Anwar belum keluar dari mahkamah.

6.46pm: Balia: Mahkamah menerima rayuan pendakwaan dan menjatuhkan hukuman lima tahun penjara ke atas Anwar.

6.25pm: Hakim Balia selepas berunding dengan dua lagi hakim menyoal sekiranya pembelaan selesai merayu untuk meringankan hukuman.

Karpal berkata beliau tidak mengenepikan hak untuk membuat rayuan tersebut.

Shafee pula berkata, sekiranya terdapat keadaan tertentu, pendakwaan tidak akan membantah.

6.20pm: Pendakwaraya Shafee berkata laporan perubatan boleh dijadikan "pengurusan selanjutnya" untuk kes tersebut.

Katanya, hukuman adalah ke atas ke atas kesalahan terbabit.



Balia menyoal sekiranya terdapat mitigasi lain.

Karpal menegaskan bahawa pembelaan memerlukan masa untuk menyediakan laporan perubatan.

"Kesemua perkara ini perlu dimasukkan ke dalam rekod. Tiada gunanya menggesa-gesa perbicaraan ini," katanya.

Balia: "Kami akan memberikan hak anda"

Karpal: Yang Arif, apabila anda mengambil kira hukuman, laporan perubatan itu akan menunjukkan responden dan hukuman yang dikenakan, Apa yang digesa-gesakan?

Balia: Kami tidak tergesa-gesa.

Karpal: Saya tidak dapat mendapatkan arahan dari anak guam saya.

Balia: Anda tidak boleh menjalankan mitigasi?

6.17pm: Persidangan mahkamah bersambung semula. Mitigasi bermula. Peguam Karpal berkata Anwar mengalami sakit belakang, tekanan darah tinggi dan masalah jantung.

"Saya perlu mengemukakan laporan perubatan berhubung perkara ini dan berharap agar diberikan masa."

6.01pm: Para pemimpin kanan PKR yang hadir ke mahkamah hari ini termasuk timbalan presiden Azmin Ali, MP Kuantan Fuziah Salleh, MP Batu Tian Chua dan MP Padang Serai N Surendan.

Anwar menghadapi kemungkinan dijatuhi hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun.

5.47pm: Beberapa orang MP terkandas di luar mahkamah dan tidak dibenarkan masuk antaranya MP Wangsa Maju Tan Kee Kwong dan MP Lumut Imran Abdul Hamid.

5.39pm: Persidangan mahkamah dijangka bersambung semula pada jam 6.10 petang untuk memutuskan hukuman untuk Anwar.

5.35pm: Polis mengawal ketat pintu belakang bangunan mahkamah dan hanya membenarkan individu tertentu termasuk wakil rakyat untuk melaluinya.



Seramai 10 orang lagi yang cuba memasuki bangunan itu dihalang oleh polis yang menutup pintu berkenaan.

Polis juga menghalang MP Bukit Katil, Syamsul Iskandar Mohd Akim dan dua peguam Anwar, tetapi membenarkannya selepas para penyokong lain berundur dari kawasan pintu masuk tersebut.

5.23pm: Wan Azizah dan anak-anaknya dilihat mengalirkan air mata.

Anwar berkata kejadian pada 1998 kini berulang apabila mahkamah juga mendapati beliau bersalah pada jam 5 petang.

"Ia berulang lagi, mereka mahu letak saya dalam lokap, sebab itulah mereka tidak mahu teruskan dengan mitigasi," katanya.

5.15pm: Penyokong Anwar semakin ramai berkumpulan di perkarangan pintu belakang. Kalangan penyokong itu melaungkan "reformasi" dan "bebas Anwar!" beberapa kali ketika Tian Chua dan Azmin Ali tiba.

Kira-kira 40 orang penyokong berkumpul manakala anggota polis kawal ketat laluan masuk pintu belakang itu.

5.11pm: Justice Balia berkata, "Kami akan memberi masa dan kembali dalam tempoh satu jam."

Anwar bangun dan berkata, "Kita jalankan (mitigasi) sekarang."

5.08pm: Karpal membalas, sekiranya Shafee berada di pihaknya, beliau akan meminta agar rayuan untuk mengurangkan hukuman itu dijalankan pada hari lain.

"Dia bercakap dengan lidah bercabang dan sebab itulah DPP upahan tidak harus dilantik," katanya.

5.06pm: Shafee membantah dan berkata rayuan telahpun tertangguh.

5:03pm: Karpal memohon agar mitigasi dilakukan pada minggu depan.

4.57pm: Hakim Balia berkata pendakwaan mendapati hakim membuat kesilapan dalam keputusannya.

"Hakim membuat tafsiran salah berhubung integriti sampel. Beliau memutuskan bahawa beg plastik HKL telah diganggu.

"Kami meneliti bukti oleh IO Jude Blacious, apa yang dia buat adalah memotong bahagian bawah plastik dan memasukkan bekas itu kedalam setiap sampul.

"Gangguan itu pada beg plastik dan bukannya bahan bukti. Materi sampel tersebut masih utuh dan tidak menjejaskan sampel.

Katanya, hakim berkenaan menyimpulkan bahawa gangguan itu hanya ke atas beg plastik, dan telah memeriksa alasan penghakiman berkenaan.

"Kami mendapati hakim tiada alasan untuk menyimpang dari dapatan awalnya (ketika memerintah membela diri)."

Tambahnya, hakim itu juga membuat kesilapan dalam mendengar kenyataan pakar asing.

"Kami membenarkan rayuan dan mendapati (tertuduh) bersalah atas pertuduhan".

4.55pm: Hakim Balia Yusof berkata ini adalah keputusan sebulat suara panel hakim. Mahkamah mendapati Anwar bersalah.

4.52pm: Persidangan mahkamah bersambung semula selepas rehat selama satu jam, dan dijangka akan menyampaikan keputusan.



MP Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar duduk bersama tiga orang adiknya berhampiran ibu mereka Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Hakim Datuk Balia Yusof Wahi mengetuai panel hakim, yang dianggotai Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Aziah Ali dan Datuk Mohd Zawawi Mohd Salleh.

4.26pm: Kira-kira 10 anggota polis beruniform dan pegawai unit khas berada di tingkat 2 banugnan mahkamah untuk mengawal kumpulan penyokong Anwar yang berada di luar, di luar kamar Mahkamah Rayuan.

4pm: Suasana dalam ruang mahkamah agak tegang memandangkan keputusan panel hakim masih tidak dapat dijangka. - Hafiz Yatim/ 7/3/14

Sambung di sini.

P/s: Gila!!!!

Segala-galanya terjawab: Mengapa Shafee Abdullah menjadi Pendakwa Raya, mengapa SPR menetapkan PRK Kajang dalam tempoh 2 bulan.






Khalid Menghadap Sultan Selangor, Tetap Pendirian...

Posted: 06 Mar 2014 11:30 PM PST



[TMI] Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini mengakui beliau sudah menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk memaklumkan berhubung pendiriannya untuk tidak meletakkan jawatannya.

Pengakuan Khalid itu mengesahkan spekulasi bahawa menteri besar itu menghadap sultan sejurus selepas menerima surat arahan peletakan jawatan daripada partinya pada awal Februari lalu.

Khalid juga mengakui memberi penjelasan bahawa beliau tidak berganjak daripada keputusannya untuk terus memegang jawatan menteri besar Selangor kepada exco serta barisan kepimpinannya.


"Saya memaklumkan kepada Sultan Selangor dan barisan exco mengenai tindakan saya," katanya pada sidang media selepas program bersama rakyat Selangor di Dewan Taman Mesra Kajang, Selangor.

Beliau berkata demikian dipercayai sebagai merujuk kepada pendiriannya untuk tetap menjadi pemerintah negeri Selangor.

Minggu lalu, Khalid mengumumkan akan bertanding jawatan timbalan presiden PRK dalam pemilihan parti itu April nanti.

Cakap-cakap menyatakan keputusan beliau bertanding itu adalah untuk memberi amaran kepada pimpinan parti bahawa beliau tidak akan berundur daripada pentadbiran kerajaan negeri Selangor.

Khalid juga sekali lagi menegaskan tidak akan menandatangani surat peletakan jawatan biarpun dipaksa untuk berbuat demikian.

"Tidak. Saya tidak akan tandatangan (jika) ada surat untuk saya meletakkan jawatan sampai ke pejabat saya.

"Saya tidak pernah melihat kalau betul saya tandatangani surat tersebut barisan exco pasti sudah dimaklumkan dulu," katanya.

Peletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang, Lee Chin Cheh dikatakan bagi memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) untuk dilantik sebagai menteri besar sekiranya memenangi PRK tersebut.

Kepimpinan parti itu juga sebelum ini berkata bahawa akan menetapkan pendirian rasmi berhubung kedudukan Khalid selepas PRK Kajang.

Kemelut politik dalaman antara parti dan kerajaan negeri memuncak dengan tindakan Khalid menandatangi memorandum persefaham dengan Putrajaya untuk mengatasi krisis air sebagai pertukaran Selangor membenarkan kerajaan pusat meneruskan pembinaan Loji Rawatan Langat 2.

Khalid dilihat sebagai bertindak balas apabila meminggirkan Anwar dan kepimpinan PKR dengan menandatangani memorandum persefahaman dengan Putrajaya untuk mengatasi krisis air di negeri itu.

Ia mendapat kritikan daripada pimpinan kerajaan negeri di mana pengarah strategi PKR membuat andaian berlakunya kos kenaikan sebanyak RM20 bilion dalam penstrukturan semula air selain menyaksikan kenaikan tarif air.

Bagaimanapun sebelum ini, Anwar dan kerajaan pakatan lain bersetuju untuk kerajaan negeri menubuhkan jawatankuasa khas terdiri daripada peguam bebas untuk meneliti kandungan Perjanjian Persefahaman (MoU) air antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri tersebut.

Mengulas mengenai perkara itu Khalid menyifatkan penubuhan jawatankuasa tersebut menunjukkan kerajaan negeri mengamalkan ketelusan dalam pentadbiran.

"Itu cara kerajaan negeri yang mesti ada penilaian profesional kalau hendak beri nasihat tetapi tidak reti mengira air maka susahlah kita," katanya.

Antara lain beliau berpendapat kritikan daripada pimpinan parti mengenai perjanjian air bersama Putrajaya yang dilemparkan kepadanya kerana kecewa ekoran kerajaan negeri tidak membawa bersama dalam perbincangan itu.

"Ini ialah demokrasi, rakyat setuju dan pelaksanaannya mesti betul‎ mereka perlu berasa sebagai tulang belakang dalam usaha tersebut.

"Namun orang parti terkilan kerana tidak dibawa mengangkat bendera bersama," katanya.

Ditanya mengenai spekulasi mengenai rancangan parti menggunakan pelan sokongan dengan memilih Rafizi menggantikan Anwar jika didapati bersalah oleh Mahkamah Rayuan, beliau hanya berkata tidak mencampuri urusan berkenaan.

"Itu taktik yang menteri besar tidak akan campur kalau saya beritahu anda maksudnya saya sudah membantu Umno mengenai strategi parti," katanya. – 7 Mac, 2014.

Suami Isteri ke Tali Gantung Bunuh Pembantu Rumah Warga Indonesia

Posted: 06 Mar 2014 11:14 PM PST

Foto: China Press

[Bernama] SHAH ALAM: Sepasang suami isteri dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini Khamis selepas didapati bersalah membunuh pembantu rumah warga Indonesia mereka, Isti Komariah.

Hakim Datuk Noor Azian Shaari menjatuhkan hukuman itu selepas berpuas hati pihak pembelaan gagal membangkitkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

Fong Kong Meng, 58, bekas perunding pendawaian dan isterinya Teoh Ching Yen, 56, suri rumah, didakwa bersama-sama membunuh Isti Komariah, 26, di rumah No 90, Jalan SS 2/6, Sea Park, Petaling Jaya dekat sini, di antara 14 Mei 2010 hingga 5 Jun 2011.

Pasangan suami isteri yang mempunyai anak kembar berumur 17 tahun itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Dalam penghakimannya, Noor Azian berkata di akhir kes pendakwaan sebelum ini, pendakwaan berhujah bahawa punca kematian mangsa adalah disebabkan tindakan kedua-dua tertuduh yang tidak membekalkan makanan mencukupi serta tidak memberi rawatan perubatan kepada mangsa.

Beliau berkata mangsa semasa mula bekerja mempunyai berat badan 46 kilogram tetapi ketika meninggal dunia hanya mempunyai berat badan 26 kilogram.

"Pembelaan gagal menyangkal hujahan pihak pendakwaan berhubung sebab kematian serta fizikal mangsa dan mahkamah dapati pembelaan kedua-dua tertuduh hanya penafian semata-mata.

"Sehubungan itu, kedua-dua tertuduh didapati bersalah dan dijatuhi hukuman gantung sampai mati," katanya.

Fong dan Teoh yang berdiri di kandang tertuduh kelihatan tenang sejurus mahkamah menjatuhkan hukuman.

Sepanjang perbicaraan yang bermula 30 Julai 2012, pendakwaan memanggil 16 saksi sementara pembelaan mengemukakan enam saksi.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Nordin Ismail, Suzana Abdul Latif dan Muhammad Asyraf Md. Kamal mewakili pendakwaan sementara kedua-dua tertuduh diwakili peguam Zaleha Al-Hayat dan Thong Seng Kong.

Akhbar sebelum ini melaporkan pembantu rumah yang berasal dari Jawa Timur itu dibawa oleh majikannya ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya, pada 6 Jun 2011 tetapi disahkan meninggal dunia sebaik sahaja tiba di hospital itu.

Mangsa bekerja dengan pasangan suami isteri itu sejak Disember 2008. - 6/3/14




Malaysia Hilang Hak Semak Harga Air Selepas Gagal Berbuat Demikian pada 1987

Posted: 06 Mar 2014 11:10 PM PST


[Bernama] SINGAPURA: Menteri Luar Singapura K. Shanmugam berkata berdasarkan Perjanjian Air, selepas Malaysia memutuskan untuk tidak mengkaji semula harga air pada 1987, maka ia tidak lagi berhak untuk berbuat demikian selepas itu.

"Pendirian Singapura ialah Malaysia sudah kehilangan haknya untuk menyemak harga air. Perjanjian Air memperuntuk kajian semula selepas 25 tahun. Secara khusus, terdapat hak untuk melakukan semakan harga air bersama pada 1987.

"Bagaimanapun, Malaysia secara sedar memilih untuk tidak melakukan semakan semula harga air dan mempunyai alasan yang baik tidak berbuat demikian," katanya ketika menjawab satu soalan di Parlimen.

Ellen Lee dari Kawasan Perwakilan Berkumpulan (GRC) Sembawang menyoal menteri berkenaan sama ada Malaysia berhak mengkaji semula harga air mentah yang dijual kepada Singapura berdasarkan perjanjian air dua hala pada bila-bila masa sebelum tarikh luputnya pada 2061.

Shanmugam berkata Singapura sudah menyatakan pendiriannya berhubung isu ini dan juga memaklumkannya secara rasmi kepada kerajaan Malaysia beberapa kali.

Beliau berkata Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Anifah Aman pada 17 Feb 2014 berkata: "Perjanjian adalah perjanjian dan kita akan menghormatinya.

"Jika ada keperluan untuk semakan, kami akan memaklumkannya dan jika maklum balas mereka adalah positif, kita akan memulakan rundingan."

Shanmugam berkata jika Malaysia menggunakan haknya untuk menyemak harga air pada 1987, Singapura mungkin akan membuat keputusan pelaburan yang berbeza bagi membangunkan Sungai Johor, contohnya projek Empangan Linggiu pada 1990.

Sebaliknya, beliau berkata Malaysia memilih untuk tidak menyemak harga air pada 1987, dan atas dasar itu, Singapura mengambil beberapa tindakan yang turut memanfaatkan Malaysia.

Ini termasuk pembinaan Empangan Linggiu pada kos lebih S$300 juta (RM750 juta), yang boleh mempertingkat kuantiti air di Sungai Johor membolehkan Johor dan Singapura mendapat bekalan air ketika musim kemarau. - 7/3/14


P/s: Bijak sungguh pemimpin BN mengurus negara.




Samakan Ultraman dengan Allah Punca Tindakan KDN

Posted: 06 Mar 2014 11:06 PM PST


[AA] KUALA LUMPUR: Terjemahan komik Ultraman The Ultra Power yang menyamakan watak adiwira itu dengan nama Allah dipercayai menjadi alasan tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan komik tersebut.

Sejak berita pengharaman itu disiarkan oleh Bernama pada petang Khamis, foto halaman komik berkenaan mula tersebar melalui beberapa blog dan di jaringan media sosial.

Terjemahan perkataan 'god' kepada "Allah" itu berbunyi: "Dalam 2009 filem Mega Monster Battle:. Ultra Galaxy Legend The Movie, dia dianggap sebagai, dan dihormati sebagai, "Allah" atau Elder semua wira Ultra."

Ayat berkenaan diterjemahkan daripada ayat asal yang berbunyi:"In the 2009 film Mega Monster Battle: Ultra Galaxy Legend The Movie, he is considered to be, and respected as, the "God" or Elder of all Ultra heroes."

CubaanAstro AWANImenterjemahkan teks asal berkenaan dengan menggunakan sistem terjemahan dalam talian Google Translate juga mendapatkan hasil terjemahan yang sama seperti yang terkandung dalam foto halaman komik yang tersebar di blog dan media sosial itu.







Komik berkenaan diterbitkan oleh Resign Publications dan dicetak oleh Network Printers.

Laporan Bernama pada Khamis menyebut KDN mewartakan Perintah Larangan Penerbitan terhadap buku 'Ultraman The Ultra Power', yang didapati mengandungi unsur-unsur mungkin memudaratkan ketenteraman awam.

Warta larangan itu berkuat kuasa pada 18 Februari lepas mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

"Adalah menjadi satu kesalahan mengikut subseksyen 2 Seksyen 8 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 sekiranya mana-mana orang mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengeliling, menawarkan untuk menjual, mengedar atau ada dalam miliknya bagi apa-apa jua maksud seperti itu apa-apa hasil penerbitan larangan," menurut kenyataan itu.

Mereka yang disabitkan melakukan kesalahan itu boleh dikenakan penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.


Laporan Bernama itu bagaimana pun tidak menyebut dengan terperinci alasan tindakan KDN. Laporan pengharaman yang tidak jelas itu kemudiannya cepat menjadi bahan jenaka di media sosial.

Pensyarah kanan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr. Zaharuddin Abd Rahman dalam komentarnya di Facebook berkata, beliau bersetuju dengan pengharaman itu walaupun tindakan itu mungkin tidak popular dan dilucukan oleh orang ramai.
Beberapa komen lain di jaringan media sosial Twitter juga berkongsi pandangan yang sama yang bersetuju sekiranya pengharaman ini ada kaitan dengan tindakan menyamakan watak adiwira itu dengan Allah. -7/3/14









Tiada ulasan: