DUNIACACAMARBA |
Hukuman Mati terhadap 529 Anggota Ikhwan Dikecam dan Dikutuk Posted: 24 Mar 2014 11:06 PM PDT PAS Kecam Keras Hukuman Mati 529 Ahli Ikhwanul Muslimin [HD] KUALA LUMPUR: PAS mengecam keras hukuman mati yang dijatuhkan mahkamah Mesir terhadap 529 ahli Ikhwanul Muslimin termasuk Mursyid Amnya, Dr Mohammad Badie atas pelbagai tuduhan yang di reka cipta dan menggesa demokrasi dan keamanan dipulihkan di negara tersebut dengan menarik balik pengharaman Ikhwan Muslimin, tegas Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Yang berikut adalah kenyataan rasmi Presiden PAS yang dikeluarkan hari ini: Parti Islam SeMalaysia (PAS) mengecam dengan sekeras-kerasnya keputusan sebuah mahkamah Mesir yang menjatuhkan hukuman mati ke atas 529 ahli-ahli Ikhwanul Muslimin termasuklah terhadap Mursyid Am Ikhwan Dr Mohammad Badie atas pelbagai tuduhan yang di reka cipta. Ini dilihat sebagai salah satu tindakan mendadak secara keras ke atas pergerakan Ikhwanul Muslimin. Kes ini melibatkan perbicaraan paling pantas dalam sejarah kehakiman moden dengan skala tertuduh sebegitu ramai bagi pertuduhan bunuh. Apa yang berlaku menunjukkan tatacara perbicaraan mahkamah dan peraturan undang-undang tidak dipatuhi. Kami menggesa agar demokrasi dan keamanan dipulihkan dengan menarik balik pengharaman Ikhwan Muslimin, sebuah organisasi politik yang telah mendokong dan menyertai piliharanya dalam sistem demokrasi di Mesir. Kami menggesa badan kerjasama antarabangsa seperti PBB, Liga Arab dan OIC mencontohi tindakan Afrika yang menggantung keahlian Mesir sebagai anggota kesatuan Afrika kerana menceroboh demokrasi dan secara jelas membunuh rakyatnya sendiri. PAS mengutuk perancangan terlaknat ini. Walaupun berlainan geografi, namun kita tetap bersolidariti dengan saudara-saudara seangkatan kita di Mesir. Inilah realiti cabaran kita, gerakan Islam akhirnya pasti menjadi sasaran utama golongan pengkhianat. Insiden ini jika tidak ditangani dengan sewajarnya boleh berkembang menjadi krisis yang lebih besar dan berterusan termasuk ke peringkat antarabangsa kerana Terusan Suez di Mesir merupakan antara laluan utama perkapalan dunia. Jika krisis dalaman yang boleh mengganggu perjalanan kapal sudah tentu keperluan utama seperti makanan dan minyak akan tersekat dan memberikan impak terhdap pasaran dunia. Abdul Hadi Awang Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS) Berkaitan: Hukuman Mati terhadap 529 Anggota Ikhwan Dikutuk [HD] KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mengutuk sekeras-kerasnya mahkamah di Mesir yang menjatuhkan hukuman mati kepada 529 penyokong bekas presiden Islamis Dr Mohammed Morsi kelmarin. "Keputusan ini merupakan hukuman mati kolektif yang terbesar dalam sejarah moden Mesir. "Ia bukan sahaja menghukum mati kumpulan yang didakwa bersalah akan tetapi merupakan hukuman mati ke atas demokrasi dan keadilan," ujar Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid dalam satu kenyataan sebagaimana di bawah. Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mengutuk sekeras-kerasnya mahkamah di Mesir yang menjatuhkan hukuman mati kepada 529 penyokong bekas presiden Islamis Dr Mohammad Morsi kelmarin. Keputusan ini merupakan hukuman mati kolektif yang terbesar dalam sejarah moden Mesir. Ia bukan sahaja menghukum mati kumpulan yang didakwa bersalah akan tetapi merupakan hukuman mati ke atas demokrasi dan keadilan. Pendakwaan sepatutnya dikenakan ke atas pegawai tentera yang bertindak mengarah pembunuhan ke atas rakyat awam yang berdemonstrasi menentang kudeta. Kami yakin hukuman yang dijatuhkan ke atas mereka adalah atas arahan tentera dan ia merupakan suatu konspirasi menyeluruh untuk menghapuskan gerakan Ikhwan Muslimin di Mesir sekaligus membunuh demokrasi yang dituntut oleh rakyat Mesir. Setakat ini Ikhwan Muslimin adalah satu-satunya gerakan yang boleh menggugat kuasa tentera. Gerakan itu berjaya memimpin rakyat menentang kudeta tentera merampas kuasa yang menggulingkan Dr Mohammad Morsi sebagai Presiden Mesir yang sah dipilih oleh rakyat dalam pilihanraya yang bebas pada 2012. Sudah dijangka Ikhwanul Muslimin yang diharamkan oleh regim tentera menjadi sasaran. Dalam usaha tentera mengekang kebangkitan rakyat, rakyat tetap tidak berganjak. Sejak Julai tahun lalu sehingga kini rakyat terus melancarkan penentangan terhadap kezaliman regim yang merampas kuasa rakyat. Rakyat Mesir berhak untuk bangkit menentang regim tentera yang bertindak zalim menahan ribuan orang awam dan membunuh ratusan lagi. Jelas perbicaraan itu adalah bertujuan hanya sebagai proses formaliti untuk mengabsahkan tindakan tentera padahal peguam defendan mengadu tiada peluang untuk membentangkan kes mereka. Para hakim tidak membenarkan hujah balas dan peguam defenden tidak pun dipanggil untuk berhujah bagi pihak mereka yang dituduh. Perbicaraan itu dilaksanakan di mahkamah yang tidak bebas malah di bawah telunjuk tentera untuk memastikan penentang regim tentera itu dihapuskan. Mahkamah Mesir telah diperalat oleh pemerintah tentera untuk bertindak ke atas anggota Ikhwan dan semua penentang regim tentera itu. Kesan keputusan mahkamah ini dan bakal diteruskan ke atas ratusan lagi dalam senarai tentera, akan pasti mencetuskan kebangkitan rakyat bukan sahaja di Mesir malah diseluruh negara-negara Asia Barat. Ia membawa implikasi besar kepada revolusi dan kebangkitan rakyat Arab yang tercetus sejak awal 2011. Gerakan Ikhwan Muslimin dikambinghitamkan oleh regim yang mengambil alih kuasa bagi memastikan kelompok Islam tidak berpeluang menampilkan alternatif kepada regim sebelumnya yang ditumbangkan oleh Arab Spring. Dalam analisis global, pihak Barat sememangnya tidak mahu kebangkitan rakyat Arab berakhir dengan kuasa beralih ketangan kelompok Islam. Lantaran itu tidak mengejut segala tindakan menindas kelompok Islam terutama gerakan Ikhwan Muslimin tidak didukung oleh kuasa Barat walaupun atas nama hak demokrasi rakyat Mesir. Sebab itu tindakan regim tentera tidak dikecam oleh kuasa Barat walaupun jelas ia melanggar hak asasi manusia, undang-undang antarabangsa serta hak demokrasi rakyat Mesir. Hukuman yang tidak pernah berlaku seumpama ini pasti akan merangsang regim yang lain yang masih berkuasa seperti di Arab Saudi, Kuwait dan UEA akan turut mengambil langkah yang sama untuk bertindak menghapuskan sebarang anasir Ikhwan Muslimin yang bergerak di negara-negara tersebut. Masyarakat antarabangsa tidak boleh bersikap hipokrit dengan membisu ke atas keputusan mahkamah tersebut. Keputusan menjatuhkan hukuman mati ke atas mereka adalah keputusan politik semata-mata bukan keputusan keadilan. Kami menuntut agar keputusan mahkamah itu dibatalkan dan kedudukan Presiden Republik diserah kembali kepada Dr Mohammad Morsi yang pilih rakyat dengan sah. Kami menggesa seluruh gerakan Islam di dunia mengutuk keputusan mahkaman tersebut dan menuntut supaya mereka yang didakwa diberi peluang membela diri dengan adil atau dibebaskan. Keputusan ini hendaklah disanggah di peringkat antarabangsa seperti yang dilakukan ke atas Perdana Menteri Bangladesh Syeikh Hasina yang menggunakan mahkamah tribunal yang tidak diterima oleh antarabangsa untuk menghukum mati pemimpin Jamaat Islami. Kami juga menggesa suatu persidangan gerakan Islam sedunia diadakan segera untuk menentukan tindakan ke atas kerajaan tentera yang tidak sah di Mesir itu dan menuntut ia menghentikan kezaliman, penindasan dan pelanggaran hak asasi manusia yang dihidupkan kembali selepas revolusi 2011. -25/3/14 |
Posted: 24 Mar 2014 08:26 PM PDT [Bernama] Misteri kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370 terjawab pada hari ke-17 operasi mencari dan menyelamat yang disertai pelbagai negara, apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penerbangan itu berakhir di selatan Lautan Hindi. Yang berikut kronologi insiden kehilangan MH370: 8 Mac Pesawat MH370, jenis Boeing 777-200, membawa 239 penumpang dan anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12.41 pagi dan dijadual mendarat di Beijing, China pada 6.30 pagi hari yang sama. 8 Mac Pesawat MH370 dilaporkan hilang daripada radar awam Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) pada 1.30 pagi 120 batu nautika di timur perairan Kota Bharu, Kelantan. 8 Mac Operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerak pada 5.30 pagi melibatkan 15 pesawat TUDM, termasuk empat Hercules C130, sebuah CN 235, empat EC 725, dua helikopter Augusta serta enam kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan tiga kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM). 8 Mac Kenyataan media Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS Ahmad Jauhari Yahya pada 7.30 pagi mengesahkan kehilangan pesawat itu dan kesemua keluarga penumpang dimaklumkan; pecahan kerakyatan penumpang MH370 iaitu 38 rakyat Malaysia, 153 rakyat China, Indonesia (12), Australia (7), Perancis (3), Amerika Syarikat (3), New Zealand (2), Ukraine (2), Kanada (2), Rusia (1), Itali (1), Taiwan (1), Belanda (1) dan Austria (1). 9 Mac Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata kawasan pencarian diperluas di Laut China Selatan dan Selat Melaka. 9 Mac Ketua Pengarah DCA Datuk Azharuddin Abdul Rahman mengesahkan hanya dua penumpang yang menggunakan pasport palsu Itali dan Austria, menaiki pesawat MH370. 10 Mac Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berikrar kerajaan akan melakukan yang terbaik dalam operasi mencari dan menyelamat MH370. 10 Mac APMM menerima keputusan ujian sampel tompokanminyak yang ditemuidi perairan Vietnam, yang negatif minyakpesawat dan disahkan sebagai minyak bagi kapal kargo. 11 Mac Misteri dua penumpang terjawab apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan ibu pejabat Interpol mendedahkan identiti mereka iaitu warga Iran yang dikenali sebagai Pouria Nour Mohammad Mehrdad, 19, dan Delavar Seyed Mohammad Erza, 29. Kedua-dua mereka disahkan tidak mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas dan dipercayai cuba berhijrah ke Eropah. 12 Mac Hishammuddin memperjelas beberapa isu termasuk ada sedikit kemungkinan MH370 melewati Selat Melaka, kerjasama dengan pakar penerbangan luar negara dan semua orang yang mendaftar dalam penerbangan MH370 menaiki pesawat. Empat penumpang tidak muncul semasa mendaftar. Mereka diganti dengan penumpang daripada senarai menunggu. Penumpang berkenaan menaiki pesawat. Tiada bagasi yang tidak dimuatkan. Dua lelaki rakyat Iran, yang memasuki dan meninggalkan Malaysia menaiki pesawat MH370, menggunakan pasport yang sama. 13 Mac Hishammuddin menafikan dakwaan bahawa pesawat itu mungkin terbang kira-kira empat sejam selepas ia hilang dari skrin radar. 13 Mac China menyatakan bahawa tiada bukti objek terapung yang dikesan satelit di Laut China Selatan pada Ahad mempunyai hubung kait dengan pesawat MAS yang hilang. Pihak berkuasa China juga berkata berlaku kesilapan ketika mengeluarkan imej itu. 14 Mac Pencarian diperluas sehingga ke Lautan Hindi. Armada Ketujuh Tentera Laut Amerika Syarikat USS Kidd tiba di Selat Melaka untuk membantu pencarian. 14 Mac Pihak berkuasa mengkaji empat hingga lima kemungkinan bagaimana transponder pesawat ditutup. 15 Mac Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak dapat mengesahkan laporan kemungkinan pesawat dirampas. Najib berkata komunikasi terakhir pesawat dengan satelit dikesan di satu daripada dua koridor; koridor utara merentangi kawasan dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan ke bahagian utara Thailand atau koridor selatan yang merentangi kawasan dari Indonesia ke bahagian selatan Lautan Hindi. Najib berkata operasi mencari dan menyelamat di Laut China Selatan ditamatkan. 16 Mac Hishammuddin berkata tiada sebarang tuntutan dibuat berhubungkehilangan pesawat. 16 Mac Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata insiden kehilangan MH370 disiasat mengikut Seksyen 130(C) Kanun Keseksaan bagi kesalahan merampas, keganasan dan sabotaj, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 dan Akta Kesalahan Penerbangan 2003. 16 Mac Polis mengambil simulator penerbangan dari rumah juruterbang MH370 Kapten Zaharie Ahmad Shah. 17 Mac Hishammuddin berkata operasi pencarian multinasional membabitkan 26 negara di koridor utara dan selatan bermula. 18 Mac Hishammuddin berkata tiga juta orang mungkin terbabit dalam usahamencari pesawat itu dengan dibantu pengusaha satelit DigitalGlobe. 19 Mac Hishammuddin menafikan laporan bahawa pesawat itu dilihat terbangrendah di ruang udara Maldives. 20 Mac Perdana Menteri Australia Tony Abbot menghubungi Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak pada 10 pagi untuk memaklumkan bahawa objek yang dikesan satelit negara itu mungkin ada kaitan dengan pesawat yang hilang Satelit Australian Maritime Safety Authority (AMSA) mengesan imej dua objek di bahagian selatan Lautan Hindi terletak kira-kira 2,500 kilometer barat daya Perth. Hishammuddin berkata operasi pencarian pesawat itu diteruskan dan objek yang dikesan di Australia akan ditentukan sama ada sebahagian daripada MH370. 21 Mac Malaysia masih menunggu maklumat daripada pihak berkuasa Australia sama ada objek yang dikesan di selatan Lautan Hindi pada Khamis ada kaitan dengan MH370. Hishammuddin berkata agensi perisikan antarabangsa tidak menemui sebarang keganjilan berdasarkan manifes penumpang pesawat itu. Hishammuddin berkata siasatan terhadap penumpang tunggal warga Ukraine yang dijalankan oleh pihak berkuasa negara itu juga mengesahkan latar belakang penumpang berkenaan bersih. 22 Mac transkrip komunikasi yang didakwa antara pesawat MH370 dan pusat kawalan trafik udara pada malam pesawat dilapor hilang diklasifikasi sebagai tidak tepat dan tidak sah, kata DCA. Hishammuddin berkata satelit China mencerap imej objek terapung berukuran 22.5 meter x 13 meter. Hishammuddin berkata pihak berkuasa Australia tidak mengesan sebarang objek dalam pencarian di kawasan berkedudukan kira-kira 2,500 km dari barat daya Perth. 23 Mac Hishammuddin berkata Malaysia menyerahkan imej baharu yang dicerap oleh satelit pihak berkuasa Perancis kepada pusat koordinasi menyelamat Australia. Hishammuddin berkata setakat 2.30 petang waktu Malaysia, pihak Australia memaklumkan mereka tidak menemui sebarang petunjuk baharu berhubung MH370. 24 Mac Hishammuddin berkata polis sudah mengambil keterangan lebih 100 orang termasuk keluarga juruterbang MH370. Pada 10 malam, Najib mengumumkan kedudukan terakhir penerbangan MH370 dikesan di tengah-tengah Lautan Hindi, di barat Perth. MAS meluahkan rasa duka penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi. - 25/3/14 |
You are subscribed to email updates from DUNIACACAMARBA (DCM) To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan