DUNIACACAMARBA |
- [Takziah] Penerbangan MH370 Berakhir dan Terhempas di Selatan Lautan Hindi
- Australia Sahkan Temui Dua Objek, Kemungkinan Milik MH370 - Hishammuddin
- Fuh, Kos untuk Laksana GST RM365 Juta!
- Selepas Kehilangan MH370, MAS Ditimpa Dua Musibah Lain
[Takziah] Penerbangan MH370 Berakhir dan Terhempas di Selatan Lautan Hindi Posted: 24 Mar 2014 07:24 AM PDT Penerbangan MH370 Disahkan Berakhir di Selatan Lautan Hindi - Najib [TMI] Penerbangan MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu disahkan berakhir di sebuah kawasan terpencil di selatan Lautan Hindi. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mengumumkan perkembangan terbaru ini kepada pemberita sebentar tadi berkata beliau telah dimaklumkan perkara ini oleh wakil Cawangan Siasatan Nahas Udara (AAIB) dari Britain. Sementara itu, ahli keluarga penumpang yang terlibat telah menghadiri sesi taklimat tergempar malam ini, dan mereka dijangka akan diterbangkan dengan pesawat khas ke Australia, menurut Sky News. Sumber yang dipetiknya berkata ahli keluarga yang terlibat akan dibawa terlebih dahulu ke Beijing sebelum diterbangkan ke Australia, setelah beberapa serpihan dipercayai milik pesawat MH370 dikesan di sebuah kawasan terpencil di selatan Lautan Hindi. - 24/3/14 P/s: Takziah. Bagi yang beragama Islam, moga roh mereka dicucuri Allah rahmat. |
Australia Sahkan Temui Dua Objek, Kemungkinan Milik MH370 - Hishammuddin Posted: 24 Mar 2014 02:49 AM PDT [TMI] Perdana Menteri Australia, Tony Abbott menelefon Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak hari ini mengesahkan penemuan dua objek di kawasan pencarian, kemungkinan serpihan milik penerbangan MH370 yang hilang, kata Datuk Seri Hishammuddin Hussein. Pemangku menteri pengangkutan itu mengesahkan perkara itu pada sidang media hari ini di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur hari ini. "Hari ini, Perdana Menteri Australia telah menghubungi Perdana Menteri memberitahu mengenai penemuan dua objek di kawasan pencarian. "Dua objek tersebut berbentuk bulat dan segi empat," kata Hishammuddin. – 24 Mac, 2014. |
Fuh, Kos untuk Laksana GST RM365 Juta! Posted: 24 Mar 2014 12:15 AM PDT [MK] Kos dan perbelanjaan yang diperuntukkan untuk kempen dan iklan cukai perkhidmatan dan perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan pada 1 April 2015 mencecah RM365 juta. Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Razak dalam jawapan bertulisnya bagi menjawab pertanyaan Khalid Samad (PAS-Shah Alam) berhubung kos kempen dan iklan cukai itu. Dalam jawapan bertulisnya, Najib yang juga perdana menteri berkata perbelanjaan yang telah dan akan dilakukan kerajaan berhubung kempen itu merangkumi: i) RM98 juta untuk sistem perkomputeran GST yang siap dibangunkan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi 2013/2014. ii) RM150 juta penyediaan perisian perakaunan bersubsidi kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) sedang diuruskan oleh kastam - meliputi RM125 juta pada 2014 dan RM25 bagi tahun berikutnya. iii) RM100 juta bagi geran latihan kepada peniaga yang diuruskan oleh Kementerian Kewangan yang meliputi RM50 juta pada 2013 dan RM50 juta untuk tahun ini. iv) RM17 juta bagi program publisiti melalui media arus perdana dan media sosial - akhbar, televisyen, radio dan papan tanda, laman web, blog, Twitter dan Facebook - yang diuruskan oleh Kementerian Kewangan pada 2012-2014. Sebelum ini, Khalid yang juga ahli jawatankuasa Pusat PAS membangkitkan perkara sama dalam sidang medianya pada Februari lalu. -24/3/14 |
Selepas Kehilangan MH370, MAS Ditimpa Dua Musibah Lain Posted: 24 Mar 2014 12:11 AM PDT Pesawat MH066 Dilencongkan ke HK [MK] Satu penerbangan Malaysia Airlines ( MAS) pesawat Airbus A330-300 yang dijadualkan ke Incheon, Korea Selatan, terpaksa dilencongkan dan mendarat di Hong Kong hari ini kerana "generator pesawat tidak beroperasi ". Dalam satu kenyataan, MAS mengesahkan perkara itu, dan menjelaskan bahawa ia melibatkan generator yang membekalkan kuasa elektrik kepada pesawat. "Bagaimanapun, kuasa elektrik terus dibekalkan oleh unit kuasa elektrik tambahan, " kenyataan itu dipetik. Penerbangan MH066 berlepas dari Kuala Lumpur pada jam 11.37 malam, semalam dan dijadual tiba di Incheon pada 06:50 pagi ini. Menurut kenyataan tersebut, MAS memindahkan seramai 271 penumpang dalam penerbangan berkenaan ke penerbangan yang diusahakan syarikat lain. "Penerbangan pulang, MH067 dari Incheon ke Kuala Lumpur, dibatalkan, dan penumpang telah dipindahkan (ke) syarikat penerbangan lain serta penerbangan MAS berikutnya ke Kuala Lumpur." Semalam dilaporkan kapal terbang MAS telah melanggar itik kira-kira 10.45 malam, Jumaat lepas ketika mendarat di lapangan terbang Kathmandu di Nepal. Bagaimanapun, pesawat itu hanya mengalami kerosakan kecil. MAS juga masih belum menemui pesawat penerbangan MH370 yang hilang tidak lama selepas berlepas dari Kuala Lumpur, dalam perjalanan ke Beijing pada 8 Mac lalu. Operasi mencari dan menyelamat besar-besaran yang dijalankan masih belum berjaya mengesan pesawat tersebut. -24/3/14 Pesawat MAS MH114 Dirempuh Sekumpulan Itik [Bernama] NEW DELHI - INDIA. Sebuah pesawat MAS yang membawa 180 penumpang dan anak kapal terselamat daripada mengalami bencana apabila sekumpulan itik merempuh cermin hadapannya ketika mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan (TIA) pada Jumaat malam. Portal berita Nepal kantipuronline.com. pada Sabtu memetik pihak berkuasa lapangan terbang sebagai berkata kejadian pada pukul 10.45 malam itu menyebabkan hujung Landasan 02 dipenuhi serpihan kaca. Tiada laporan mengenai kecederaan yang dialami mereka yang menaiki pesawat MH-144 dari Kuala Lumpur ke Kathmandu itu. Petugas kokpit pesawat itu bagaimanpun dikatakan tidak segera memaklumkan kejadian tersebut kepada Pengawal Trafik Udara (ATC). Kapten pesawat berkenaan bagaimanapun mengesahkan ia "disyaki melanggar unggas", selepas anak kapal Jet Airways melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa lapangan terbang, kata laporan itu. Juruterbang MAS terbabit dipercayai mungkin dikenakan tindakan kerana tidak segera melaporkan kejadian tersebut. "Kejadian itu terdedah selepas seorang juruterbang Jet Airways, yang mendaratkan pesawatnya beberapa minit selepas pesawat MAS, memaklumkan kepada kami beliau ternampak serpihan kaca berselerak di landasan," kata seorang pegawai ATC yang enggan dikenali. Para pegawai TIA yang membuat pemeriksaan menjumpai sekurang-kurangnya 10 bangkai itik serta kepingan kaca di landasan. Serpihan kaca itu kemudian dibuang dan lapangan terbang tersebut kembali beroperasi 30 minit kemudian. Para pegawai menjumpai dua lagi bangkai itik ketika melakukan pemeriksaan rutin pada pagi Sabtu. "Ini kali pertama kami melihat begitu banyak itik di kawasan lapangan terbang ini," kata seorang pegawai yang mengesyaki unggas itu mungkin itik penghijrah. MAS membatalkan penerbangannya ke Kuala Lumpur yang dijadualkan pada pukul 11 malam Jumaat. Semua penumpang yang menempah penerbangan itu ditempatkan di hotel Soaltee, Annapurna dan Hyatt Regency. Pesawat berkenaan berlepas pulang ke Kuala Lumpur pada pukul 3:30 petang Sabtu setelah dibaiki. Sementara itu, pegawai ATC berkata pengurus besar TIA telah dimaklumkan tentang kejadian tersebut dan beliau mengesyorkan tindakan dikenakan terhadap juruterbang MAS terbabit kerana tidak membuat laporan segera tentang kejadian itu. "Juruterbang berkenaan sepatutnya memaklumkan kejadian itu dengan segera kepada pihak berkuasa lapangan terbang bagi mengelak kejadian tidak diingini," kata pegawai itu. Lebih 75 kejadian pesawat berlanggar dengan unggas ketika berlepas atau mendarat berlaku di TIA sejak 1990. Tiga daripadanya mengakibatkan kerosakan besar terhadap pesawat. Walaupun sebuah pesawat Airbus A300 Thai Airways dan sebuah pesawat Dc-10 Biman Bangladesh terselamat daripada nahas pada 1996 dan 2010, 19 orang maut apabila pesawat Dornier Sita Air terhempas pada September 2012. Sementara itu, di KUALA LUMPUR, MAS hari ini mengesahkan penerbangan MH114nya dari Kuala Lumpur ke Kathmandu pada 21 Mac lepas telah dilanggar oleh sekumpulan unggas semasa menghampiri Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan. Pengurus Perhubungan Media MAS Khairunnisak Dzun Nurin dalam satu kenyataan di sini berkata sebaik sahaja mendarat pesawat itu telah diperiksa oleh jurutera bertugas. Beliau berkata penutup lensa lampu mendarat pesawat itu yang pecah dan bukannya cermin hadapan seperti dilaporkan. "Pesawat itu tidak dibenarkan terbang pada malam itu dan penutup lensa yang pecah itu telah diganti," katanya. -23/3/14 |
You are subscribed to email updates from DUNIACACAMARBA (DCM) To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan