DUNIACACAMARBA |
- Empat BERSALAH Rogol Jurugambar
- Buaya Betina MATI Ketika Mengawan
- Pelakon Lucah Terseksa Selepas Identiti Terdedah
- Chef Wan Persenda Penemuan Objek yang Dikatakan Pesawat MH370
- Rogol Wanita Indonesia: Tiga Anggota Polis Diperintah Bela Diri
- Wanita Pulang daripada Umrah Dakwa Nampak Bangkai MH370 di Laut Andaman
- Kronologi Kehilangan MH370
Empat BERSALAH Rogol Jurugambar Posted: 21 Mar 2014 01:51 AM PDT [HM] Mumbai: Mahkamah semalam menyabitkan empat lelaki terhadap tuduhan merogol beramai-ramai seorang jurugambar ketika mangsa melakukan tugasannya tahun lalu. Hakim Shalini Phansalkar Joshi berkata, tertuduh didapati bersalah melakukan hubungan seks secara paksa. Shalini juga menetapkan hari ini untuk menentukan apakah hukuman yang bakal dikenakan terhadap semua empat Mohammed Salim Ansari, Siraj Rehmat Khan, Vijay Mohan Jadhav dan Mohammed Kasim Hafeez Shaikh dituduh merogol jurugambar berusia 22 tahun pada Ogos tahun lalu. Kejadian berlaku di sebuah kilang tinggal berhampiran bandar raya Mumbai. Ketika kejadian, mangsa sedang bertugas bersama seorang rakan lelaki. Tertuduh berusia antara 18 hingga 27 tahun dan mungkin berdepan hukuman penjara seumur hidup. Selain merogol, empat lelaki terbabit juga didapati bersalah atas beberapa tuduhan lain termasuk, melakukan seks luar tabii. Kejadian itu mencetuskan kemarahan orang ramai di bandar raya terbabit yang selama ini dianggap lebih selamat untuk wanita berbanding New Delhi. Tiga daripada mereka - Jadhav, Ansari dan Shaikh - turut didapati bersalah dalam perbicaraan yang sama kerana merogol seorang operator telefon yang berusia 18 tahun sebulan sebelum itu. -AFP/21/3/14 | ||
Buaya Betina MATI Ketika Mengawan Posted: 21 Mar 2014 01:19 AM PDT
[HM] The Hague: Seekor buaya betina daripada spesis terancam mati kelemasan di sebuah zoo di Belanda semalam ketika mengawan dengan seekor lagi buaya jantan "dominan." Menurut pengurusan zoo berkenaan, buaya betina itu tidak dapat menanggung tabiat mengawan ganas pasangannya yang dominan. Kata jurucakap zoo itu, tubuh buaya air tawar berkenaan ditekan dengan kuat menggunakan mulut buaya jantan sebagai langkah menunjukkan penguasaannya. "Buaya betina dilihat menerima saja perlakuan itu tetapi akhirnya dia tidak boleh benafas dan mati dengan kesan gigitan di seluruh badannya, terutama di bahagian leher," katanya. Dianggarkan, ketika ini hanya ada kira-kira 2,500 ekor spesis False Gavial yang masih hidup di seluruh dunia. Habitat asal buaya berkenaan adalah di Malaysia, selatan Myanmar, Borneo, Jawa dan Sumatera. Zoo berkenaan sudah lama mempunyai buaya jantan dan betina dari spesis itu namun ia tidak pernah mengawan. Justeru, kata jurucakap zoo berkenaan, mereka mengambil langkah memperkenalkan buaya jantan itu kepada seekor buaya betina untuk tujuan pembiakan. "Kami tidak menyangka ia berakhir dengan tragedi," katanya dalam satu kenyataan. Secara semula jadi, buaya false gavial jantan boleh mengawan dengan beberapa buaya betina dalam masa yang sama. Hanya 10 zoo di eropah mempunyai buaya dari spesis itu. - AFP/21/3/14 | ||
Pelakon Lucah Terseksa Selepas Identiti Terdedah Posted: 21 Mar 2014 12:41 AM PDT [HM] Durham: Seorang siswi Universiti Duke memang menjangkakan orang ramai akan membencinya sebagai pelakon filem lucah, tetapi dia tidak pernah bersedia menghadapi kebencian sehingga ada yang sanggup mengancam nyawanya. Malah, kata Belle Knox, 19, sesetengah pihak juga memuat naik butiran keluarganya di Internet dan mengugut untuk merogol atau membunuhnya. "Ia sangat dahsyat. "Keselamatan saya sekeluarga benar-benar terancam," katanya. Sejak dua bulan lalu, kerjaya Knox dalam bidang pornografi menggemparkan sekolahnya di Durham, North Carolina hingga satu tahap dia tidak boleh menghadiri majlis terbuka. Kata Belle, keadaannya sangat memalukannya. Kadang-kadang, katanya, ada lelaki mabuk akan menjerit kepadanya: "Kau bintang porno!" manakala golongan wanita pula memandangnya dengan sinis. Walaupun tidak pernah mendedahkan nama sebenarnya, Belle berkata, provasinya seakan diceroboh apabila ada orang memuat naik identiti lengkapnya di Internet. "Ia sangat teruk dan menakutkan betapa taksubnya mereka. "Mereka memandang saya seolah-olah saya sangat jijik," katanya ketika ditemui media. Kesulitan hidup Belle bermula di sebuah parti apabila seorang lelaki yang pernah melihat aksinya dalam filem lucah mendedahkan rahsianya. - Agensi/21/3/14 | ||
Chef Wan Persenda Penemuan Objek yang Dikatakan Pesawat MH370 Posted: 21 Mar 2014 12:38 AM PDT [AA] KUALA LUMPUR: Chef selebriti, Datuk Chef Wan hari ini mempersenda insiden kehilangan pesawat MH370 menerusi akaun Instagramnya di @chefwan58. Dalam entri terbarunya, Che Wan bergambar bersama sekeping objek yang dikatakannya sebahagian daripada pintu pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu. Dalam nada berjenaka yang tidak kena tempat, Chef Wan menyatakan objek tersebut merupakan sebahagian daripada pintu tandas di sebuah rumah di pantai Morib. Perth merupakan lokasi di mana dua objek yang dikatakan petunjuk terbaik dalam menyelesaikan misteri kehilangan pesawat MH370. Entri tersebut telah pun dipadamkan olehnya setelah menerima 701 likes dan dikecam oleh pengikut akaun Instagramnya itu. Tanpa memikirkan sensitiviti 239 penumpang dan anak kapal pesawat itu, tindakan Chef Wan dianggap keterlaluan lebih-lebih lagi apabila ia dilakukan oleh personaliti yang dipandang tinggi dalam bidang masakan tempatan dan dunia. Che Wan merupakan Duta Ikon Pelancongan dan Duta Masakan Malaysia. Februari lalu, Chef Wan telah mengkritik hidangan nasi lemak yang disediakan oleh Malaysia Airlines sebagai 'nasi lemak telanjang'. Operasi mencari dan menyelamat pesawat MH370 kini masuk hari ke-14 dan misi SAR diteruskan di selatan Lautan Hindi di barat daya Perth. - 21/3/14 | ||
Rogol Wanita Indonesia: Tiga Anggota Polis Diperintah Bela Diri Posted: 21 Mar 2014 12:25 AM PDT [Bernama] Mahkamah Sesyen di Butterworth hari ini memerintahkan tiga anggota polis membela diri atas tuduhan merogol dan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap seorang wanita warga Indonesia pada November 2012. Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap ketiga-tiga tertuduh dan menetapkan 9 Mei ini untuk membela diri. Koperal Nik Sin Mat Lazim, 34, Konstabel Remy Anak Dana, 26, dan Konstabel Syahiran Romli, 22, dituduh merogol seorang wanita warga Indonesia di Bilik 4, Berek Balai Polis Perai di sini antara 6.40 pagi hingga 7.30 pagi pada 9 November 2012. Bagi pertuduhan rogol, mereka didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan. Ketiga-tiga mereka juga didakwa melakukan persetubuhan luar tabii terhadap wanita itu pada tarikh, waktu dan tempat yang sama dan didakwa mengikut Seksyen 377(C) kanun sama memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan. Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Muna Mohd Jaafar dan Maziah Mansur. Nik Sin dan Remy diwakili peguam Abdul Roni Rahman manakala Syahiran diwakili peguam R.S.N. Rayer. – Bernama, Mac 21, 2014 | ||
Wanita Pulang daripada Umrah Dakwa Nampak Bangkai MH370 di Laut Andaman Posted: 20 Mar 2014 08:44 PM PDT [TMI] Seorang wanita rakyat Malaysia yang baru pulang daripada menunaikan ibadah umrah di tanah suci Mekah mendakwa melihat bangkai sebuah pesawat yang besar berwarna perak di perairan Laut Andaman, dipercayai penerbangan Malaysia Airlines MH370 yang hilang pada 8 Mac, ketika pesawat yang dinaikinya melintasi kawasan berkenaan pada pagi hari sama. Raja Dalelah Raja Latife, 53, berkata ketika dia menyaksikan objek besar yang sebahagian daripada badan yang didakwa sebagai pesawat itu tenggelam dan sebahagian lagi timbul, beliau memaklumkan kepada ramai pihak di dalam penerbangan berkenaan tetapi tidak diendahkan. Raja Dalelah berkata dia menaiki pesawat Penerbangan Saudi SV2058 yang berlepas dari Jeddah pada jam 3.30 pagi waktu Arab Saudi (8.30 pagi waktu Malaysia) dan ketika pesawat itu melintasi bandar Chennai di India dan memasuki ruang udara Laut Andaman, dia melihat menerusi tingkap pesawatnya satu objek besar menyerupai pesawat terdampar di atas laut. "Saya nampak macam kapal terbang.Sepanjang perjalanan pulang saya sentiasa melihat ke luar kerana saya tidak dapat tidur langsung dan ketika lawatan saya ke Beijing dua tahun lalu juga tidak dapat tidur di dalam pesawat dan sentiasa berjaga," kata ibu kepada 10 orang anak itu dipetik daripada portal Mstar Online. Raja Dalelah, yang berasal dari Kota Tinggi, Johor menambah, sewaktu dia terlihat objek besar berwarna perak yang seakan-akan sebuah pesawat di atas lautan itu, skrin televisyen di hadapannya menunjukkan yang mereka sedang melintasi Laut Andaman. "Sebelum itu saya nampak beberapa buah kapal dan kemudian pulau-pulau kecil dan selepas itulah saya ternampak objek berwarna perak di atas air. Saya mengejutkan rakan saya di sebelah untuk melihat apa yang saya saksikan tetapi malangnya mereka mentertawakan saya," katanya. Raja Dalelah, bagaimanapun yakin apa yang disaksikannya itu adalah bangkai sebuah pesawat yang besar. "Buat apa saya hendak bercakap bohong saya baru sahaja balik dari umrah," katanya. Hanya pada 14 Mac lalu dia membuat laporan polis akan apa yang didakwa disaksikannya itu dengan harapan akan ada pihak yang mengambil apa yang dikatakannya itu secara serius. Malah Raja Dalelah masih boleh menjelaskan apa yang disaksikannya itu secara terperinci. Katanya, pesawat yang dilihatnya itu separuh terapung dan sebahagian besar lagi badan pesawat itu berada di dalam air dengan keadaannya yang senget sebelah. "Saya melihat jam pada waktu itu menunjukkan pukul 9.30 pagi (2.30 petang waktu Malaysia)," kata beliau. Raja Dalelah berkata, apabila tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 4 petang dia menceritakan apa yang disaksikannya itu kepada anaknya. "Pada waktu itulah mereka memberitahu saya yang pesawat MAS MH370 hilang dan sedang dicari. "Menantu saya seorang pegawai polis yakin yang saya menyaksikan sebuah pesawat yang terhempas dan meminta saya supaya membuat laporan polis," katanya sambil menambah "anak-anak saya yang lain khuatir yang saya mungkin akan ditahan kerana membuat laporan palsu kerana pada awalnya semua orang berkata yang pesawat itu kali terakhir dilihat di Laut China Selatan." Tetapi katanya, sekarang sesiapa yang mendengar ceritanya sudah mula percaya selepas pesawat itu disahkan berpatah balik dan hilang di sebelah barat dan bukannya Laut China Selatan. Bagaimanapun seorang juruterbang berkata, dalam penerbangan jarak jauh seperti dari Jeddah dan Kuala Lumpur, paras ketinggian sesebuah pesawat adalah pada 35,000 kaki. "Ini bermakna kedudukan pesawat dari permukaan bumi adalah pada jarak lebih kurang tujuh batu. Pada jarak sejauh ini tidak ada siapa pun dapat melihat dengan jelas apa-apa objek di permukaan bumi atau pun di atas air," kata juruterbang itu yang enggan namanya disiarkan, seperti dilaporkan Mstar. Pesawat Boeing 777-200 ER ketika hilang membawa 239 penumpang termasuk anak kapal dalam perjalanan ke Beijing, China. Hari ini masuk hari ke 14 pesawat MH370 itu dicari dengan bantuan daripada 26 negara. – 21 Mac, 2014. | ||
Posted: 20 Mar 2014 07:29 PM PDT [Bernama] KUALA LUMPUR - Misteri kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370, yang masuk hari ke-13 hari ini, mungkin terungkai tidak lama lagi. Petunjuk terbaharu ialah dua objek yang dikesan menerusi imej satelit Australia di bahagian selatan Lautan Hindi, dilaporkan mungkin serpihan pesawat yang hilang pada 8 Mac bersama-sama 239 orang di dalamnya. Yang berikut kronologi insiden kehilangan MH370: * 8 Mac - Pesawat MH370, jenis Boeing 777-200, membawa 239 penumpang dan anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12.41 pagi dan dijadual mendarat di Beijing, China pada 6.30 pagi hari yang sama. * 8 Mac - Pesawat MH370 dilaporkan hilang daripada radar awam Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) pada 1.30 pagi 120 batu nautika di timur perairan Kota Baharu, Kelantan. * 8 Mac - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerak pada 5.30 pagi melibatkan 15 pesawat TUDM, termasuk empat Hercules C130, sebuah CN 235, empat EC 725, dua helikopter Augusta serta enam kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan tiga kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM). * 8 Mac - Kenyataan media Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS Ahmad Jauhari Yahya pada 7.30 pagi mengesahkan kehilangan pesawat itu dan kesemua keluarga penumpang dimaklumkan; pecahan kerakyatan penumpang MH370 iaitu 38 rakyat Malaysia, 153 rakyat China, Indonesia (12), Australia (7), Perancis (3), Amerika Syarikat (3), New Zealand (2), Ukraine (2), Kanada (2), Rusia (1), Itali (1), Taiwan (1), Belanda (1) dan Austria (1). * 9 Mac - Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata kawasan pencarian diperluas di Laut China Selatan dan Selat Melaka. * 9 Mac - Ketua Pengarah DCA Datuk Azharuddin Abdul Rahman mengesahkan hanya dua penumpang yang menggunakan pasport palsu Itali dan Austria, menaiki pesawat MH370. * 10 Mac - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berikrar kerajaan akan melakukan yang terbaik dalam operasi mencari dan menyelamat MH370. * 10 Mac - APMM menerima keputusan ujian sampel tompokan minyak yang ditemui di perairan Vietnam, yang negatif minyak pesawat dan disahkan sebagai minyak bagi kapal kargo. * 11 Mac - Misteri dua penumpang terjawab apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan ibu pejabat Interpol mendedahkan identiti mereka iaitu warga Iran yang dikenali sebagai Pouria Nour Mohammad Mehrdad, 19, dan Delavar Seyed Mohammad Erza, 29. Kedua-dua mereka disahkan tidak mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas dan dipercayai cuba berhijrah ke Eropah. * 12 Mac - Hishammuddin memperjelas beberapa isu termasuk ada sedikit kemungkinan MH370 melewati Selat Melaka, kerjasama dengan pakar penerbangan luar negara dan semua orang yang mendaftar dalam penerbangan MH370 menaiki pesawat. Empat penumpang tidak muncul semasa mendaftar. Mereka diganti dengan penumpang daripada senarai menunggu. Penumpang berkenaan menaiki pesawat. Tiada bagasi yang tidak dimuatkan. Dua lelaki rakyat Iran, yang memasuki dan meninggalkan Malaysia menaiki pesawat MH370, menggunakan pasport yang sama. * 13 Mac - Hishammuddin menafikan dakwaan bahawa pesawat itu mungkin terbang kira-kira empat sejam selepas ia hilang dari skrin radar. * 13 Mac - China menyatakan bahawa tiada bukti objek terapung yang dikesan satelit di Laut China Selatan pada Ahad mempunyai hubung kait dengan pesawat MAS yang hilang. Pihak berkuasa China juga berkata berlaku kesilapan ketika mengeluarkan imej itu. * 14 Mac - Pencarian diperluas sehingga ke Lautan Hindi. Armada Ketujuh Tentera Laut Amerika Syarikat USS Kidd tiba di Selat Melaka untuk membantu pencarian. * 14 Mac - Pihak berkuasa mengkaji empat hingga lima kemungkinan bagaimana transponder pesawat ditutup. * 15 Mac - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak dapat mengesahkan laporan kemungkinan pesawat dirampas. Najib berkata komunikasi terakhir pesawat dengan satelit dikesan di satu daripada dua koridor; koridor utara merentangi kawasan dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan ke bahagian utara Thailand atau koridor selatan yang merentangi kawasan dari Indonesia ke bahagian selatan Lautan Hindi. Najib berkata operasi mencari dan menyelamat di Laut China Selatan ditamatkan. * 16 Mac - Hishammuddin berkata tiada sebarang tuntutan dibuat berhubung kehilangan pesawat. * 16 Mac - Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata insiden kehilangan MH370 disiasat mengikut Seksyen 130(C) Kanun Keseksaan bagi kesalahan merampas, keganasan dan sabotaj, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 dan Akta Kesalahan Penerbangan 2003. * 16 Mac - Polis mengambil simulator penerbangan dari rumah juruterbang MH370 Kapten Zaharie Ahmad Shah. * 17 Mac - Hishammuddin berkata operasi pencarian multinasional membabitkan 26 negara di koridor utara dan selatan bermula. * 18 Mac - Hishammuddin berkata tiga juta orang mungkin terbabit dalam usaha mencari pesawat itu dengan dibantu pengusaha satelit DigitalGlobe. * 19 Mac - Hishammuddin menafikan laporan bahawa pesawat itu dilihat terbang rendah di ruang udara Maldives. * 20 Mac - Perdana Menteri Australia Tony Abbot menghubungi Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak pada 10 pagi untuk memaklumkan bahawa objek yang dikesan satelit negara itu mungkin ada kaitan dengan pesawat yang hilang Satelit Australian Maritime Safety Authority (AMSA) mengesan imej dua objek di bahagian selatan Lautan Hindi terletak kira-kira 2,500 kilometer barat daya Perth. Hishammuddin berkata operasi pencarian pesawat itu diteruskan dan objek yang dikesan di Australia akan ditentukan sama ada sebahagian daripada MH370. - 21/3/14 |
You are subscribed to email updates from DUNIACACAMARBA (DCM) To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan