Selasa, 11 Mac 2014

DUNIACACAMARBA

DUNIACACAMARBA


Tentera Malaysia Dakwa Berjaya Kesan MH370 di Selat Melaka

Posted: 11 Mar 2014 07:04 AM PDT


[TMI] Dalam perkembangan yang memeranjatkan, tentera Malaysia mendedahkan mereka mengesan pesawat MH370 milik Malaysian Airlines yang hilang menerusi radar ketika pesawat yang masih hilang itu merentasi Selat Melaka, jauh dari di mana ia melakukan komunikasi terakhir dengan menara kawalan trafik awam di teluk Thailand.

Sumber tentera mengesahkan kepada Reuters Boeing 777-200ER dengan 239 penumpang bertukar laluan dan menuju ke sebelah lain semenanjung Malaysia.

"Ia mengubah laluan selepas Kota Baru dan mengambil altitud lebih rendah. Ia terbang ke Selat Melaka," kata pegawai tentera, yang diberi taklimat mengenai siasatan itu, kepada Reuters.

Selat Melaka, salah satu laluan perkapalan yang paling sibuk di dunia, berada di pantai barat Malaysia.

Syarikat penerbangan itu berkata, pada Sabtu lalu, pesawat yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal terputus hubungan selepas Kota Baru, bandar di pantai timur Malaysia.

Akhbar Berita Harian yang pertama melaporkan perkembangan itu, memetik Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud, sebagai berkata mereka menjejak isyarat itu ke Pulau Perak, pantai barat negara.

"Kali terakhir pesawat itu boleh dikesan oleh menara kawalan ialah berhampiran Pulau Perak, iaitu di Selat Melaka pada 2.40 pagi.

"Selepas itu, isyarat daripada pesawat itu hilang," katanya.

Secara kebetulan, kenyataan pertama Malaysian Airlines mengenai kehilangan pesawat itu pada Sabtu menyatakan menara kawalan terputus hubungan dengan pesawat berkenaan pada 2.40 pagi tetapi ia kemudian dibetulkan kepada 1.30 pagi.

Ia juga dilaporkan bahawa unit kawalan dan pengawasan udara Singapura turut mendapati ada isyarat MH370 "berpatah balik sebelum ia dilaporkan berada pada ketinggian 1,000 daripada altitud asal di 10,000 meter".

Ramai yang melaporkan pesawat itu, Boeing 777-200ER hilang kira-kira jam 1.30 pagi ketika terbang di atas Laut China Selatan di antara pantai timur Malaysia dan selatan pantai Vietnam.

Pesawat itu dilaporkan hilang daripada radar dan lokasi terakhir yang diketahui ialah 065515 Utara (longitude) dan 1033443 Timur (latitude).

Keadaan itu disokong dengan laporan polis yang dibuat beberapa penduduk di pantai timur yang mendakwa mereka terlihat cahaya besar dan kapal terbang terbang terbang rendah 1,000 meter dari aras laut di Kota Baru, Kelantan.

Bagaimanapun, pihak berkuasa mencari dan menyelamat (SAR) gagal menemui petanda pesawat itu berada di dalam air di Laut China Selatan.

Indikasi yang menunjukkan MH370 mungkin berpatah balik mendorong operasi SAR diperluas ke Selat Melaka dan Laut Andaman.

Operasi mencari pesawat hilang itu membabitkan pasukan tentera dan pihak berkuasa dari Australia, China, Thailand, Indonesia, Singapura, Vietnam, Filipina dan Amerika Syarikat selain Malaysia.

Hari ini adalah hari keempat operasi SAR dijalankan. – 11 Mac, 2014.



[Video Wajib Tonton] Temu Ramah dengan Kapten Noruddin Abd Majid tentang Pesawat dan Kapten MH370

Posted: 11 Mar 2014 06:22 AM PDT






MH370 'Hilang' Kerana Kuasa Tuhan 

[SH] SHAH ALAM - Misi mencari dan menyelamat pesawat Malaysia Airlines Boeing 777-200 penerbangan MH370 ke Beijing yang dilaporkan hilang dari radar Sabtu lalu telah masuk hari ketiga. 

Namun, sehingga jam 11 malam, masih tiada sebarang petanda yang menunjukkan perkembangan positif terhadap misi tersebut. 

Segala teknologi dan peralatan canggih dari seluruh dunia telah dikerahkan dalam misi itu tetapi masih tiada hasil setakat ini. 

Melihat kepada kegagalan sains moden dalam mengesan lokasi MH370, bekas ketua juruterbang 777 MAS, Kapten Noruddin Abd Majid tidak menolak kehilangan pesawat berkenaan adalah kerana kuasa tuhan. 

"Dunia berada pada tahap teknologi yang tertinggi di mana seseorang berjalan di lorong pun dapat dilihat daripada angkasa dan dapat diketahui identitinya. 

"Apa pun yang berlaku, sebagai orang beriman, ini adalah ketentuanNYA. Ini bukan pertama kali berlaku di mana pesawat hilang daripada udara,"katanya yang dipetik pada laporan sebuah TV, hari ini. 

Mengulas lanjut, beliau menyentuh tentang kehilangan pesawat itu dari radar pada ketinggian 35,000 kaki secara tiba-tiba. 

"Satu dunia sudah melihat di mana sebuah kapal terbang yang berada pada ketinggian 35,000 kaki dengan kelajuan 855 kilometer (km) sejam dan kalau tak silap 14.5 km seminit melepasi pantai timur semenanjung dan baru saja hendak memasuki ruang udara Vietnam, hilang secara tiba-tiba. 

"Berdasarkan kenyataan (pihak berkuasa), sebelum masuk ruang udara Vietnam, dalam kawalan positif dengan Air Traffic Control (ATC), pesawat tiba-tiba hilang terus dari skrin radar. Tidak ada kesan langsung. 

"Ini mengelirukan dan satu perkara ajaib yang kita kena terima. Dunia kena terima," katanya. 

Ketika ditanya soal tindakan yang boleh dilakukan, beliau berkata doa adalah senjatanya. 

"Doa daripada orang-orang soleh yang dekat dgn ALLAH dan juga keluarga kerana mereka sedang beremosi. ALLAH melihatnya," katanya. 

Dalam pada itu, beliau menolak kemungkinan pesawat itu meletup di udara, ekoran tiada petanda ataupun serpihan yang ditemui selepas tiga hari operasi mencari dilancarkan. 

"Kalau meletup sekalipun di udara, mesti ada serpihan. Pasti. Kerana pesawat ini terlalu besar. Enjinya adalah paling besar di dunia, sama saiz dengan badan Boeing 737. 

"Tapi tak ada petanda. Tak ada serpihan. Tak ada tanda pada bacaan radar, jadi, tidak mungkin," katanya. 

Beliau terlibat dalam operasi membawa pesawat Boeing 777-200 itu ke Malaysia pada tahun 2002. - 10/3/14





[Video] Skuad Gempur BN, Jangan Gelak!!!!

Posted: 11 Mar 2014 06:13 AM PDT




P/s: Lawak.

Jika pencacai ini bertindak keterlaluan, kita harap pihak polis tidak hanya memandang atau terlepas pandang.

MH370: Mula-mula 5 Beg, Kemudian Tiada, Selepas Itu 4 Beg? Siapa yang Betul?

Posted: 11 Mar 2014 06:03 AM PDT


[AA] KUALA LUMPUR: Misteri kehilangan pesawat Boeing 777 MH370 milik Penerbangan Malaysia (MAS) tambah mengelirukan dengan jumlah sebenar penumpang yang tidak menaiki penerbangan berkenaan.

Pada awalnya, pihak MAS membuat kenyataan bahawa terdapat lima beg dikeluarkan dari pesawat MH370 kerana tidak diketahui siapa pemiliknya.

Disebabkan kenyataan tersebut, ramai tertanya-tanya adakah lima beg yang dibawa keluar membawa maksud lima penumpang tidak menaiki pesawat MH370.

Yang diketahui cuma seorang penumpang tidak menaiki pesawat iaitu pelajar Universiti Tsinghua di Beijing, Jessica Yee Wai Ching kerana tersilap tarikh.

Hari keempat operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan, hari yang sama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menegaskan hasil siasatan yang dijalankan oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM), kesemua penumpang menaiki pesawat.

"Saya, kami (PDRM) sendiri yang membuat siasatan dan tidak ada penumpang yang tidak menaiki pesawat itu," katanya pada sidang media yang diadakan di Hotel Sama-Sama, Sepang, hari ini.

Lebih kurang dua jam selepas Khalid membuat kenyataan tersebut, MAS mengeluarkan kenyataan hanya empat penumpang yang mempunyai tiket sah tidak muncul untuk daftar masuk.

Pesawat MH370 yang sepatutnya mendarat di Beijing pukul 6.30 pagi Sabtu dilaporkan hilang dari radar kira-kira pukul 2.40 pagi. -11/3/14


Berkaitan:

MAS Tingkah IGP: Empat Penumpang Tidak Muncul

[Bernama] Malaysia Airlines (MAS) hari ini menafikan laporan bahawa lima penumpang telah mendaftar masuk namun tidak menaiki pesawat penerbangannya ke Beijing yang hilang Sabtu lepas.

MAS dalam kenyataan menjelaskan terdapat empat penumpang yang tidak muncul untuk mendaftar masuk bagi penerbangan MH370 meskipun mereka telah membuat tempahan untuk perjalanan itu.

"Meskipun begitu, isu mengeluarkan bagasi tanpa penumpang tidak timbul, kerana empat penumpang berkenaan tidak mendaftar untuk penerbangan itu," katanya.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini menafikan dakwaan kewujudan lima penumpang berkenaan dan berkata semua penumpang yang mendaftar masuk telah menaiki pesawat berkenaan.

Semalam, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata bagasi lima penumpang yang telah mendaftar masuk namun tidak menaiki pesawat telah dikeluarkan daripada pesawat dan didapati 'bersih'.

Pada Sabtu, pesawat MAS penerbangan MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing bersama 227 penumpang (termasuk dua bayi) dan 12 anak kapal itu hilang kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 pagi.

Ia dijadualkan mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama. -11/3/14


P/s: Dunia sedang menyaksikan orang-orang ini mengurus krisis MH370.



Empat Senario Kehilangan MH370 - Pakar

Posted: 11 Mar 2014 12:29 AM PDT



[TMI] Boeing 777, salah satu jenis pesawat dunia yang hebat dan canggih, kini hilang di kawasan sibuk tetapi tiada seorang pun tahu bagaimana dan mengapa.

Dalam laporan hari ini, CNN mendapatkan maklum balas pakar ke atas misteri yang menyelubungi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 sama ada ia berpunca daripada bom atau kegagalan mekanikal atau dirampas.

Kehilangan MH370 menimbulkan kebingungan selepas tiba-tiba lesap di perairan antara Malaysia dengan Vietnam pada Sabtu ketika sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

"Sukar dipercayai persoalan tersebut masih belum terjawab selepas tiga hari pesawat Boeing 777-200ER hilang. Ia membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal. Tiga persoalan itu kemungkinan yang diramal pakar dan spekulasi tentang kemungkinan tersebut dijelaskan secara berhati-hati," kata laporan yang dipetik daripada CNN.

Agensi berita dunia itu memberikan empat senorio yang diperkatakan oleh pakar, serta beberapa fakta berkaitan:

1. Senario: Bom? Atau "ujian saringan"?

Fakta: Dua pasport hilang dikaitkan dengan dua individu yang membeli tiket penerbangan.

Analisis: Senario ini memberi gambaran kemungkinan seseorang dalam senarai pengganas menaiki pesawat dan meletupkan pesawat. Bagaimanapun, pasport yang hilang tidak bermakna pesawat tersebut adalah sasaran sebenar.

Ia boleh jadi, kata Ketua Penyiasat Jabatan Pengangkutan Amerika Syarikat, Mar Schiavo, memberi gambaran pengganas mungkin melakukan ujian saringan untuk tujuan serangan pada masa depan. Schiavo juga berkata, "Ia juga mungkin kegiatan jenayah yang biasa berlaku," kerana "terdapat banyak pasport hilang" digunakan oleh pelancong seluruh dunia.

Fakta: Sehingga sekarang, tiada serpihan daripada pesawat yang boleh dikaitkan dengan Boeing 777 menunjukkan ia berpunca daripada letupan bom.

Analisis: Apabila bekas Naib Pengerusi Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan, Robert Francis mendengar mengenai berita kehilangan MH370, fikirannya tertumpu kepada : "Tidak semena-mena pesawat meletup dan tiada isyarat. Tiada apa-apa." Kehilangan pesawat daripada radar tanpa isyarat menurut Francis dianggap "sesuatu tidak pernah berlaku yang mungkin boleh berlaku."

Bagaimana pula dengan teknologi satelit? Mungkinkah data daripada satelit orbit menunjukkan pancaran atau haba panas infra-merah daripada letupan? Sukar berlaku, kata pakar satelit Brian Weeden, yang menghabiskan bertahun-tahun menjejak objek angkasa lepas di orbit untuk Tentera Udara Amerika Syarikat.

Terdapat berdozen satelit kerajaan dan persendirian di orbit bumi, yang boleh melihat ke bumi daripada jarak 300 kilometer ke 1,500 kilometer (antara 185 ke 930 batu). Mungkin salah satu daripadanya secara tidak sengaja menghala pada masa yang sama dan lokasi sama menangkap imej pancaran letupan.

Bagaimanapun, terdapat juga kemungkinan lain, kata Weeden, di mana satelit rahsia Amerikan Syarikat yang berlegar 22,000 di orbit angkasa lepas sempat mengambil bukti insiden tersebut. Satelit ini berada di orbit geosegerak.

Secara berkumpulan, ia boleh memantau secara maya seluruh pelosok bumi. "Kami tahu misi mereka adalah untuk menjejak misil balistik yang dilancarkan menerusi haba," kata Weeden yang ketika ini menjadi penasihat teknikal bagi Secure World Foundation. "Kami tidak tahu sama ada ia cukup sensitif untuk menjejak sesuatu seperti letupan bom, jika itulah yang berlaku."

Terdapat satu lagi persoalan, adakah kerajaan berasa berat untuk mengeluarkan imej sedemikian bimbang mendedahkan kemampuan sistem satelit rahsia tersebut.

2. Senario: Rampasan?

Fakta: Sebelum ia hilang, data radar menunjukkan pesawat cuba berpatah balik ke Kuala Lumpur. Adakah itu petunjuk perampas mengarahkan pesawat menukar laluan.

Analisis: Sehingga kini, tiada laporan menunjukkan anak kapal menghantar sebarang isyarat rampasan berlaku.

3. Senario: Kegagalan mekanikal?

Peta: Kuala Lumpur dan Beijing

Fakta: Kegagalan menemui serpihan menunjukkan terdapat kemungkinan juruterbang terpaksa mendarat atas air tanpa sempat menekan brek dan akhirnya tenggelam ke dalam dasar laut.

Analisis: Jika itu yang berlaku, mengapa tiada sebarang isyarat kecemasan? Pesawat ini tidak boleh melakukan aksi pelik tetapi ia mempunyai keupayaan meluncur lebih 100 batu dan mendarat atas air tanpa kedua-dua enjin berfungsi, kata bekas juruterbang Keith Wolzinger, yang sekarang bekerja sebagai penasihat penerbangan Spectrum Group.

Ketika mengendalikan pesawat meluncur, terdapat kemungkinan besar juruterbang sempat menghantar isyarat SOS.

Fakta: Pesawat hilang MH370 pernah tercabut sayap hujung sebelum ini, tetapi dibaiki Boeing dan selamat untuk terbang, kata CEO Malaysia Airlines, Ahmad Jauhari Yahya pada Ahad lalu.

Analisis: "Apa-apa kerosakan sebelum ini ke atas pesawat, walaupun dibaiki mengikut piawaian... ia sebenarnya adalah bentuk amaran bahaya," kata Wolzinger. Pakar bersetuju Boeing 777 antara paling selamat di dunia dan boleh diyakini.

Semasa ia dibangunkan, ia menjalani ujian paling lasak dalam sejarah dunia penerbangan. "Saya berbincang dengan rakan," kata Wolzinger. "Kami bingung dengan insiden ini." Pesawat Boeing 777 memiliki enjin paling berkuasa tinggi dan diuji dengan teliti di dunia. "Keyakinan ke atas enjin pesawat secara umumnya tidak dapat disangkal," kata beliau. "Ini pesawat paling selamat."

4. Senario: Kesilapan juruterbang

Fakta: Sehingga kini, tidak terdapat isyarat menunjukkan kesilapan juruterbang menyumbang kepada kehilangan pesawat.

Analisis: Beberapa pakar penerbangan membuat perbandingan dengan kemalangan 370 Air France 447 pada 2009. Semua 228 penumpang dan anak kapal meninggal dunia selepas pesawat terhempas akibat ribut di Atlantik dalam perjalanan dari Brazil ke Paris.

Selepas pencarian selama dua tahun yang menelan belanja banyak di pelosok lautan, bangkai pesawat dua enjin berkembar Airbus A330 akhirnya ditemui dan peti rakaman suara serta data juga ditemui. Penyiasat Perancis menyalahkan kru kapal kerana gagal memahami "keadaan tegang ketika itu dan tidak mengambil sebarang langkah pemulihan".

Tapi, tidak seperti 447. cuaca dilaporkan baik sepanjang perjalanan MH370 dan tidak wujud sebarang ancaman.

Penerbangan Asiana Airlines 217, juga menggunakan Boeing 777, mendarat pendek di landasan pada Julai lalu di Lapangan Antarabangsa San Francisco. Tiga terbunuh dan 180 lagi cedera.

Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan mengenalpasti kebergantungan juruterbang kepada sistem pemanduan auto sebagai penyumbang insiden tersebut, bagaimanapun laporan akhir belum lagi dikeluarkan. – 11 Mac, 2014.


Karpal Kekal MP Selagi Tidak Disabitkan Bersalah oleh Mahkamah Persekutuan

Posted: 11 Mar 2014 12:27 AM PDT


SPR: Karpal Kekal Jawatan MP Jika Patuhi Syarat

[SH] KAJANG – Pengerusi DAP, Karpal Singh masih boleh menjalankan tugas sebagai ahli Parlimen selagi Mahkamah Persekutuan belum memutuskan beliau bersalah, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas status Karpal sebaik disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana mengeluarkan perkataan berbaur hasutan terhadap Sultan Perak pada 2009 dan dihukum denda sebanyak RM4,000

Menurut Abdul Aziz, jika mengikut undang-undang Akta Kesalahan Pilihan Raya dan Perlembagaan Malaysia, mana-mana individu yang didapati bersalah serta dihukum denda melebihi RM2,000 serta setahun penjara, maka akan terlucut kelayakannya sebagai ahli Parlimen.

"Dalam kes Karpal, kalau ikutkan undang-undang tersebut, beliau sudah hilang jawatannya.

"Namun, keputusan itu diputuskan oleh Mahkamah Tinggi. Beliau (Karpal) masih boleh buat rayuan di Mahkamah Rayuan dan seterusnya di Mahkamah Persekutuan.

"Selagi mana beliau belum disabitkan bersalah oleh Mahkamah Persekutuan, beliau masih boleh menjalankan tugas beliau sebagai ahli Parlimen seperti biasa," katanya. - MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI/11/3/14


[Video] Aksi "Raja Bomoh Sedunia Nujum VIP" Menilik Lokasi MH370

Posted: 10 Mar 2014 11:14 PM PDT





Berkaitan:

Bekas Mufti Tegur Guna Bomoh Cari MH370

[MK] Bekas mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menegur penggunaan aktiviti perbomohan untuk mencari pesawat MH370 yang hilang ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing Sabtu lalu.

Sambil menyifatkan langkah itu sebagai "satu kerja bodoh", Asri berkata, langkah "khurafat dan tahyul" itu tidak boleh diterima sama sekali kerana ia tidak dapat diterima akal waras.

"Ini tahyul, khurafat, kerja bodoh dan tidak waras. Agama tidak dapat terima (langkah ini). Dengan buat begitu, dia (bomoh) beri gambaran salah pada ajaran Islam.

"Dia seolah ambil kesempatan. Siapa yang membawanya (untuk tujuan itu), amat malang dan memalukan," kata Dr Mohd Asri (kiri) yang juga pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) itu.

Bernama semalam melaporkan, kehilangan MH370 mendapat perhatian "Raja Bomoh Sedunia Nujum VIP" Ibrahim Mat Zin yang mendakwa dijemput seorang pegawai tertinggi negara ke KLIA bagi menggunakan ilmu tradisional dan solat hajat.

Ibrahim berkata, beliau menggunakan bubu mata pancing dan teropong yang diperbuat daripada buluh untuk meminta dan berdoa supaya melepaskan mangsa agar dapat dijumpai secepat mungkin.

Berpengalaman selama 50 tahun, Ibrahim menjadi popular melalui perkhidmatan kejadian Highland Tower runtuh, pencarian mayat semasa banjir Kuala Dipang, Kampar Perak dan kes pembunuhan seorang ahli politik oleh Mona Fendy.

Bercakap kepada Malaysiakini hari ini, Asri menegaskan, dalam Islam, tiada sesiapa yang mengetahui perkara ghaib kerana ia di luar pengetahuan manusia.

"Tiada siapa boleh buat kuasa tuhan. Kalau boleh, sudah tentu Nabi Muhammad menjampi semua penentangnya supaya terima Islam.

"Kuasa-kuasa ghaib ini kalau berlaku menggunakan perantara syaitan. Mungkin (hasilnya) jadi, tapi ia bukan ajaran Islam," katanya. - 11/3/14


Keluarga Berang BALING Botol Air ke Arah Pekerja MAS

Posted: 10 Mar 2014 11:08 PM PDT

Sekadar hiasan. Foto: Malay Mail

[MK] Anggota keluarga kepada warganegara China dalam pesawat MH370 dilapor membaling empat petugas Malaysia Airlines (MAS) dengan botol air di Beijing.

Ia berlaku apabila pekerja syarikat penerbangan itu tidak dapat memberi maklumat terkini berhubung pesawat hilang itu, laporNew York Times.

"Semua orang Malaysia penipu!" jerit seorang lelaki dalam bahasa Cina sambil menambah, "Kamu tahu apa maksud penipu?"

"Berita dia dalam bahasa Inggeris," jerit lelaki China itu kepada seorang pekerja lain yang bertindak sebagai penterjemah.

Seramai 138 warganegara China dalam pesawat itu. -11/3/14


Adakah MH370 Berpatah Balik ke Arah Subang?

Posted: 10 Mar 2014 11:05 PM PDT


[MK] Pihak berkuasa kini melihat kemungkinan sama ada pesawat MH370 cuba berpatah balik ke arah Lapangan Terbang Subang.

Malaysia Airlines (MAS) berkata, pasukan mencari dan menyelamat meluaskan skop mereka melebihi laluannya.

"Fokus sekarang pada Semenanjung Barat Malaysia dan Selat Melaka.

"Kesemua sisi diperhatikan. Kami tidak akan menolak sebarang kemungkinan," kata MAS dalam kenyataan.

Misi itu dibantu pelbagai negara seperti Australia, China, Thailand, Indonesia, Singapura, Vietnam, Filipina dan Amerika Syarikat.

Setakat ini, sembilan pesawat dan 24 kapal dikerahkan bagi menjayakan misi itu. -11/3/14



Karpal Didenda RM4 000, Hilang Kerusi Bukit Gelugor?

Posted: 10 Mar 2014 11:02 PM PDT



[TMI] Pengerusi DAP Karpal Singh dijatuhkan hukuman denda RM4,000 dan bakal kehilangan kerusi Parlimen Bukit Gelugor yang dimenanginya dalam pilihan raya umum lepas.

Karpal yang berkerusi roda adalah pemimpin tertinggi kedua Pakatan Rakyat (PR) yang dijatuhkan hukuman minggu ini selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dijatuhkan hukuman bersalah Jumaat lalu kerana meliwat.

Karpal akan merayu kepada Mahkamah Rayuan.

Di bawah Perlembagaan Persekutuan, wakil rakyat boleh kehilangan kerusinya jika didenda lebih RM2,000 atau penjara lebih setahun.

Ketika proses rayuan pagi tadi, peguam beliau, Gobind Singh memohon agar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tidak menjatuhkan hukuman penjara ke atas beliau kerana kesihatan serta kedudukannya sebagai ahli Parlimen.

Peguam Gobind Singh berkata, jika beliau dijatuhkan hukuman penjara dan denda melebih RM2,000, Karpal akan kehilangan haknya sebagai ahli Parlimen.

Sehubungan itu beliau mencadangkan mahkamah menjatuhkan hukuman denda di bawah RM2,000.

Namun begitu timbalan pendakwaraya Noorin Badaruddin berkata, hukuman yang menjadi pengajaran termasuk penjara perlu dikenakan.

Katanya, tindakan Karpal telah membuka jalan kepada pihak lain untuk tidak menghormati institusi raja dan Raja-Raja Melayu.

Pada 21 Februari, Karpal yang berkerusi roda didapati bersalah kerana menghamburkan perkataan hasutan ke arah Sultan Perak ketika krisis perlembagaan 2009.

Hakim Mahkamah Tinggi, Azman Abdullah berkata, pihak pembela gagal mewujudkan keraguan munasabah ke atas kes pendakwaan.

Peguam Gobind Singh memohon agar hukuman dijatuhkan pada 11 Mac agar pihaknya boleh mempersiapkan mitigasi untuk mendapatkan hukuman yang lebih ringan.

Karpal yang juga pengerusi DAP berhadapan dengan hukuman sehingga maksimun RM5,000 denda atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi beliau, walaupun Karpal berpengalaman lebih 45 tahun sebagai peguam, ia bukan isu.

Sebagai ahli Parlimen, beliau perlu menunjukkan contoh yang baik.

Pemimpin PR memenuhi ruang mahkamah hari ini sambil menunggu keputusan hukuman dijatuhkan mahkamah.

Antaranya penasihat DAP Lim Kit Siang, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali yang hadir memberikan sokongan moral kepada Karpal. – V Anbalagan/ 11 Mac, 2014.



Budak 10 Tahun Dicabul Rakan Sekelas, Cedera di Kemaluan

Posted: 10 Mar 2014 07:26 PM PDT

Sekadar hiasan.
Kesal Sekolah Lambat Maklum Anak Dicabul

[SH] IPOH - Seorang bapa mendakwa kesal kerana lewat dimaklumkan mengenai insiden anak perempuannya dicabul rakan sekelas di sebuah sekolah di sini yang berlaku Isnin lalu.

Dia yang hanya ingin dikenali sebagai Zaini, 39, berkata, dia hanya mengetahui insiden menimpa kanak-kanak berusia 10 tahun itu selepas diberitahu guru sekolah anaknya kelmarin.

Menurutnya, sebaik sahaja mengetahui kejadian menimpa anak sulungnya itu dia segera membawa murid tahun empat terbabit ke klinik kesihatan berhampiran sebelum diarahkan untuk ke wad kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan lanjut.

"Bagaimanapun, pihak hospital menyarankan saya untuk membuat laporan polis terlebih dahulu. Selepas selesai membuat laporan, saya membawa anak saya ke hospital semula.

"Pemeriksaan ke atas anak saya mendapati dia hanya mengalami sedikit luka di kemaluannya.

"Sebenarnya saya kesal dan kecewa kerana pihak sekolah tidak memaklumkan perkara itu lebih awal sedangkan keluarga kanak-kanak lelaki yang melakukan perbuatan tersebut diberitahu pada hari kejadian," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Zaini berkata, kini anaknya perlu tinggal di hospital sehingga Isnin ini kerana mereka perlu menunggu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mengambil tindakan seterusnya berhubung kejadian tersebut.

"Sebenarnya, saya berharap agar anak dapat keluar daripada wad secepat mungkin memandangkan saya sendiri tidak mampu menjaganya dengan baik atas masalah kesihatan yang serius.

"Saya sendiri mengalami masalah kencing manis dan jantung serta perlu mengambil ubat mengikut masa ditetapkan," katanya.

Menurutnya, dia menerima bantuan JKM dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akibat ketidakupayaannya untuk bekerja sejak tahun 2005.

Katanya, dia bingung memikirkan bil hospital yang terus meningkat sekiranya anaknya terus ditempatkan di wad memandangkan doktor memberitahu anaknya tidak perlu lagi menjalankan rawatan.

"Saya harap pihak JKM dapat menyelesaikan masalah ini segera bagi membela nasib anak sulung saya ini," katanya yang turut mempunyai tiga anak lain berusia antara lapan bulan hingga sembilan tahun. -9/3/14



Ibu, Teman Lelaki Didakwa Bunuh Anak

Posted: 10 Mar 2014 06:34 PM PDT



[Bernama] TELUK INTAN – Seorang ibu bersama teman lelakinya hari ini didakwa di Mahkamah Majistret di sini terhadap pertuduhan membunuh anak perempuannya berusia dua tahun enam bulan pada Isnin lepas.

Fiera Syafieqa Shamsudin, 20, dan Amir Hassan Bakri, 26, didakwa membunuh Nur Ain Ariana Abdullah, di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sri Perkasa pada 4.30 petang, 3 Mac lepas.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Fairuz Abidah Ismail kedua-dua tertuduh mengangguk faham namun tiada pengakuan direkodkan.

Mahkamah menetapkan kes itu disebut semula 9 April.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Hidayah Ismail manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam. – 10/3/14


Ular PATUK Payu Dara

Posted: 10 Mar 2014 06:11 PM PDT


[HM] Fife (Scotland): Seorang wanita terkejut besar apabila mendapati seekor ular mematuk payudaranya ketika baru bangun tidur.

Caroline Griffin, 49 berkata dia dipatuk ketika cuba menghalau reptilia berkenaan dari katilnya 

"Saya bimbang ular itu berbisa dan saya mungkin mati," katanya. 

Ibu empat anak itu mendapati ular sepanjang 1.2 meter dari jenis California kingsnake berada di dadanya sebaik menurunkan selimut.

"Pada mulanya saya menyangka anak saya mahu mengenakan saya, tetapi saya mula ketakutan apabila melihat reptilia itu bergerak.

"Saya menjerit sekuat hati dan ular itu terus mematuk payudara saya," katanya. - AFP/11/3/14


Pencarian MH370 Kini dari Sumatera ke Hong Kong

Posted: 10 Mar 2014 06:03 PM PDT



[TMI] Pencarian hari ini diluaskan kepada lebih 500,000 batu nautika persegi dari pantai Sumatera ke Hong Kong untuk mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 selepas gagal mencarinya sejak tiga hari lalu apabila pesawat komersil itu hilang.

Armada kapal tentera laut dan kira-kira tiga dozen kapal terbang akan memantau kedua-dua laut dan sempadan hutan Malaysia-Thailand untuk mencari Boeing 777-200ER yang membawa 239 orang penumpang itu.

Satu perkara yang diketahui pasukan penyelamat adalah pesawat tersebut tidak mungkin masih berada di udara kerana ia hanya mempunyai baki minyak selama 7.5 jam semasa hilang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing awal Sabtu lalu.


Pasukan penyelamat cuba untuk mencari pesawat penumpang yang mempunyai sayap selebar 200 kaki, menggunakan data untuk mengesan radar dan mencari bagi mengesan bangkai pesawat, lapor Bloomberg malam tadi.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (DCA) mengatakan semalam serpihan yang dijumpai dan tompokan minyak bukan daripada pesawat hilang MH370.

Pakar dari Amerika Syarikat mengatakan 72 jam terawal penting bagi penumpang untuk terselamat daripada pesawat terhempas akan tetapi pihak berkuasa masih terus berharap kerana masih belum ada bukti kukuh MH370 terhempas ke dalam laut.

Misi mencari dan menyelamat

"Ia masih satu misi mencari dan menyelamat," kata Ketua Pengarah DCA, Datuk Azharuddin Abdul Rahman kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang malam tadi.

"Malangnya, tuan-tuan dan puan-puan, kita masih belum menemui apa-apa objek daripada pesawat tersebut, apa lagi pesawat tersebut," katanya dalam satu taklimat sebelum itu.

Beliau mengumumkan peluasan kawasan pencarian selepas pasukan mencari dan menyelamat antarabangsa gagal mendapat apa-apa petanda mengenai pesawat tersebut.

Pihak berkuasa menghantar kapal untuk menyiasat laporan serpihan ditemui di selatan Hong Kong akan tetapi mereka hanya akan mengetahui pada Selasa jika ia mempunyai kaitan dengan MH370.

Laporan kemalangan pesawat semenjak 1970an menunjukkan, jika pesawat terhempas di laut dalam, ia boleh dicari oleh kapal selam kawalan jauh atau pakar sudah mempunyai cukup maklumat untuk mengetahui apa yang sebenarnya berlaku.

"Kita mempunyai keupayaan," kata Ronald Schleede, bekas penyiasat U.S. National Transportation Safety Board dalam satu wawancara bersama Bloomberg.

"Saya rasa mereka akan menjumpainya."

Dalam kes pesawat MAS, kawasan perairan terlibat berkemungkinan sedalam 50 meter, lapor Bloomberg berbanding 3,900 meter dalam kes pesawat Air France di mana bangkai ditemui dan dikeluarkan hampir dua tahun selepas jet A330 hilang.

Teknologi untuk misi menyelamat

Sementara isyarat daripada transponder Boeing 777 dilihat gagal berfungsi, agensi tempatan kebiasaannya akan dapat mengesan pesawat itu, kata Paul Hayes, pakar keselamatan Ascend yang berpengkalan di London.

"Kita mengandaikan pihak pertahanan udara Malaysia akan memantau laluan udara dan mereka harus diarahkan untuk melihat perkara ini," katanya.

Mata arah atau "beacon" kecemasan daripada apa yang digelar kotak hitam pesawat boleh menjadi alat lain yang berpotensi.

"Penyiasat mengatakan mereka tidak mendengar isyarat daripada data penerbangan dan perakam suara, mungkin ia disebabkan kawasan pencarian kini sukar untuk didefinasikan," kata Hayes.

Honeywell International Inc. membuat kotak hitam untuk kebanyakan Boeing 777, tetapi pegawai syarikat tersebut di Asia enggan memberikan komen sama ada pesawat Malaysia itu menggunakan peralatan mereka.

Perakam kebiasaannya mula menghantar isyarat jika pesawat pecah atau terhempas ke laut dengan isyarat mampu bertahan selama 30 hari sehingga bekalan tenaga habis, lapor Bloomberg.

Pencari juga menggunakan pembesar suara dalam laut untuk membantu pencarian kotak hitam itu dengan paralatan Honeywell yang boleh menggeluarkan isyarat sehingga 4.5 km ke dalam, mengikut laporan syarikat tersebut pada 2009 semasa penyiasatan kehilangan Air France A330 di Lautan Atlantik dalam perjalanan dari Rio de Janeiro ke Paris.

Perakam juga dibuat dengan kemampuan ketahanan 3,400 kali daripada kesan graviti, menyebabkan kotak tersebut mampu bertahan daripada pecah dalam pesawat.

Namun pada saat ini, sukar untuk mengetahui jika pesawat meletup di udara atau pecah selepas terhempas ke laut, walaupun usaha mencari bangkai pesawat masih hampa, kata Hayes.

Misi pencarian panjang

Pesawat Malaysia Airlines berlepas dari Kuala Lumpur pada 12.41 pagi pada Sabtu dengan 227 penumpang dan 12 anak kapal ke Beijing. Ia masih belum tiba ke destinasi.

Semenjak itu, pasukan pencari daripada Vietnam, China, Singapura, Indonesia, Amerika Syarikat, Thailand, Australia dan New Zealand bekerja bersama-sama pasukan Malaysia untuk mengesan pesawat di Teluk Thailand, sebahagian daripada Laut China Selatan yang merangkumi beberapa negara Asia Tenggara.

Tumpuan kini beralih ke Lautan Andaman, berhampiran sempadan Thailand, selepas data radar mengatakan pesawat mungkin berpatah balik ke Kuala Lumpur.

Akan tetapi juruterbang tidak memberikan isyarat kepada pihak berkuasa beliau akan berpatah balik, kata Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya pada hujung minggu.

Selepas MH370 hilang, pesawat pencari terbang ke lautan luas dari 7.00 pagi sehingga 7.00 malam di Teluk Thailand sementara kapal laut terus mencari sepanjang malam. Tiada apa yang ditemui.

Pasport curi

CNN melaporkan adalah membingungkan pesawat hilang tidak boleh dikesan. Menambahkan lagi misteri apabila terdapat laporan sekurang-kurangnya dua orang penumpang menggunakan pasport curi daripada warga Austria dan Itali.

Kedua-dua penumpang yang menggunakan pasport tersebut membeli tiket penerbangan secara bersama.

Azharuddin mengatakan semalam kajian daripada kamera keselamatan KLIA mendapati dua orang yang menggunakan pasport curi itu "tidak kelihatan seperti lelaki Asia".

Urusan perjalanan dua penumpang dengan identiti palsu dalam pesawat MH370 MAS yang hilang ketika menuju ke Beijing dari Kuala Lumpur dibuat di Pattaya, Thailand dan dibayar secara tunai, menurut akhbar British Financial Times.

Interpol mengatakan pada Ahad mereka sedang menyiasat kes ini.

Misteri pasport ini menimbulkan kebimbangan tentang kemungkinan terorisme akan tetapi pihak berkuasa mengatakan terlalu awal untuk membuat kesimpulan sebegitu. – 11 Mac, 2014.

Pencarian kini diperluaskan kepada lebih 500,000 batu nautika. - Gambar ihsan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, 11 Mac, 2014.

Tiada ulasan: