DIALOG RAKYAT |
- Mengapa Anwar diseksa begitu rupa? Oleh Wan Hamidi Hamid
- ‘Lap air mata, teruskan perjuangan’ – Wan Azizah
- Tangisan kita bertimpa timpa
- BN laksana konspirasi jahat, dendam terhadap Anwar
- Pas bersama Anwar hingga kezaliman runtuh – Hadi Awang
- Umno BN tetap akan kalah di Kajang- Anwar
- Pakatan tak goyah, PRK Kajang jadi mahkamah rakyat- Anthony loke
- Rafizi: PKR sudah fikir 1001 jalan untuk Kajang
- 'Dua kes lagi saya boleh saman pembangkang'
- Konvesyen PR diselebungi kesedihan
- Pakatan putus calon PRK Kajang hari ini
- Contohi keakraban Guan Eng-Mat Sabu - Hannah Yeoh
- Anak saudara Ketua Polis Kuching penumpang MH370
- Akhirnya Anwar Dihalang Daripada Menjadi MB Selangor
- PBB bimbang sabitan kes hasutan terhadap Karpal
- PKR isytihar Reformasi 2.0, gesa kejatuhan BN
- Kumpulan hak asasi kecam penganiayaan Anwar
- Pakatan boikot sidang Parlimen 11 Mac
- Vietnam sahkan pesawat MAS terjunam ke dalam laut
- Kapten Zaharie Ahmad Shah juruterbang pesawat MAS yang hilang
- Pesawat MAS bawa 239 penumpang ke Beijing dilapor hilang
- Hukuman ke atas Anwar berperikemanusiaan, kata Ibrahim Ali
Mengapa Anwar diseksa begitu rupa? Oleh Wan Hamidi Hamid Posted: 08 Mar 2014 04:42 AM PST APABILA 'Langkah Kajang' diumumkan sebagai penjelasan mengapa Anwar Ibrahim perlu bertanding dalam pilihanraya kecil Kajang, ada yang menyokong dan ada yang membantah, dan ada pula yang keliru. Seperti mana yang dijelaskan oleh Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli, langkah itu merupakan usaha mempertahankan Selangor daripada komplot UMNO merampas kuasa, dan seterusnya menjadi platform Pakatan Rakyat menuju ke Putrajaya. Banyak suara sumbang kedengaran di kalangan Pakatan Rakyat, khususnya dari PKR sendiri, yang tak puas hati, marah dan geram dengan keputusan Anwar. Semua tahu ia bermula dengan sesuatu yang tak kena dengan Menteri Besar Selangor Khalid Ibrahim dan saingan politiknya Pengerusi PKR Selangor Azmin Ali merangkap orang nombor dua parti itu. Lee Chin Cheh meletak jawatan sebagai Adun Kajang pada 27 Januari. Pada 5 Februari, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 23 Mac sebagai hari mengundi. Sewaktu kalangan Pakatan masih berbalah tentang Langkah Kajang, tiba-tiba Mahkamah pada 28 Februari menetapkan 6 dan 7 Mac untuk mendengar rayuan terhadap pembebasan Anwar dalam kes Liwat II. Semalam, pada 7 Mac, Mahkamah Rayuan mendapati Anwar bersalah. Dengan itu, Anwar yang sudah bebas daripada tuduhan pada 9 Januari 2012 oleh Mahkamah Tinggi kini dianggap bersalah pula atas tuduhan tersebut. Semalam juga, Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 5 tahun terhadap Anwar. Sepatutnya Selasa ini, 11 Mac, Anwar akan mengemukakan borang pencalonan PRK Kajang. Kini keputusan Mahkamah menghalang Anwar daripada bertanding. Jadi Anwar tak boleh bertanding dan tak boleh menang, dan tentunya tak boleh menjadi Menteri Besar Selangor; dan pastinya menyukarkan jalan ke arah Putrajaya. Inikah yang dimahukan oleh segelintir dari kalangan Pakatan Rakyat? Ketika kalangan Pakatan sedang berbalah dahulu, pimpinan Barisan Nasioanl amat bimbang dengan Langkah Kajang. Sewaktu kalangan Pakatan beradu-domba, pimpinan BN mula mengorak langkah. Ini bererti BN benar-benar takut dengan Langkah Kajang. Mereka bimbang kemungkinan Anwar akan mengorak langkah menuju Putrajaya. Kerana ia bererti berakhirnya era BN. Kerana itu Anwar perlu dikorbankan demi mempertahankan kuasa UMNO-BN. Kerana itu Anwar berterusan menjadi mangsa konspirasi BN yang menyeksa kehidupan politik dan keluarga beliau. Sayangnya masih ada segelintir kalangan Pakatan yang tak nampak, tak sedar dan mungkin tak peduli semua ini. Mungkin hati mereka berada di tempat lain. – Roketkini.com | ||||
‘Lap air mata, teruskan perjuangan’ – Wan Azizah Posted: 08 Mar 2014 04:34 AM PST SHAH ALAM,: "Lap air mata, teruskan perjuangan," begitulah kata-kata Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mengulas hukuman lima tahun penjara ke atas suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Konvensyen Pakatan Rakyat kelima di Setia Alam Convention Centre, Shah Alam pagi tadi. Beliau juga menggesa semua pimpinan dan perwakilan agar bersatu padu dan menjadikan keputusan itu sebagai penguat semangat untuk meneruskan perjuangan. "Tuhan akan uji kita setakat mana iltizam (dan ketabahan) kita. "Itizam dan semangat kitalah yang membawa kita ke sini dan meneruskan perjuangan," katanya lagi diiringi tepukan hadirin. – Roketkini.com | ||||
Posted: 08 Mar 2014 04:30 AM PST
Sebelum negara terkejut dengan laporan sebuah pesawat Boieng 222-100 milik MAS (MH 370) dilaporkan hilang dari kawalan dan sehingga kini tidak dapat ditentukan nasibnya, negara terlebih dahulu terkejut dengan keputusan drastik Hakim Mahkamah Rayuan yang menjatuhkan hukuman lima tahun penjara ke atas Anwar Ibrahim kerana dakwaan meliwat. Malaysia menerima dua bencana dalam tempoh tidak sampai 12 jam. Hukuman ke atas Anwar itu ditangisi oleh rakyat Malaysia. Ia dirasai oleh semua rakyat yang mengharapkan wujudnya keadilan dan kebenaran dalam proses perundangan negara ini dan tidak ada campur tangan mahkamah ke atas apa-apa kes atau apa lagi menjadikan mahkamah sebagai senjata untuk memenjarakan musuh politik.
Rata-rata marah dan kecewa dengan keputusan mahkamah itu. Masing-masing menganggap ianya sebagai satu penghinaan kepada rakyat dan negara. Keputusan itu seakan mempermainkan hati rakyat kerana ia dibuat tidak berdasarkan prinsip keadilan sebenar dan proses perundangan yang telus. Yang marah dan terkilan bukan saja keluarga Anwar dan pimpinan PKR khas, tetapi orang ramai baik dari dalam negeri maupun di luar negara. Sebaik orang ramai mendapat maklumat itu mereka menyumpah dan memaki hamun ketiga-tiga hakim yang membuat keputusan, Balia, Aziah dan Mohd Zawawi. Tidak lupa juga yang menjadi sasaran kemarahan dan maki hamun ialah ketua Pendakwa Raya Shafee Abdullah. Bagaimana pun bagi mereka yang fasih politik dan tahu akan sepak terajang politik pula menyatakan kesal kepada pemimpin kerajaan yang terlibat dengan keputusan berkenaan terutamanya Najib Razak. Mereka membuat andaian bahawa keputusan yang dibuat petang semalam adalah bukan keputusan yang realistik berdasarkan fakta dan budibicara mahkamah, tetapi keputusan yang diagendakan dan dimonitor. Perasaan marah dan kesal itu bukan sangat kerana Anwar akan dikirimkan ke penjara tetapi adalah kepada proses tindakan itu diambil yang menampakkan sangat ia menyalah gunakan kuasa mahkamah. Rakyat tidak akan menangis dan bangkit menyatakan simpati kepada Anwar kalau proses perbicaraan itu berjalan di atas lunas-lunas undang-undang sebenarnya. Begitu juga dengan kes 15 tahun lepas, rakyat tidak kesal Anwar dipenjara atas kesalahan dilakukan tetapi biarlah ia berdasarkan prinsip undang-undang. Beberapa keganjilan berlaku di sepanjang mahkamah menguruskan kes rayuan liwat II itu. Mulanya tarikh pendengaran rayuan telah ditetapkan pada April, tetapi diubah (percepatkan) kepada 6 dan 7 Mac. Dipercayai pengubahan tarikh ini memandangkan ia ada kena mengena pilihan raya kecil Kajang 23 Mac dan hari penamaan calonnya 11 Mac yang akan disertai Anwar, Jelas di sini mahkamah digunakan untuk menyekat Anwar daripada menjadi calon di Kajang. Tujuan penyekatan itu ialah bagi menghalang Anwar menjadi Adun Kajang kemudian dilantik menjadi MB Selangor seperti diura-urakan menerusi Kajang Move. Pasti kalau tidak kerana adanya pilihan raya berkenaan, mungkin tarikh pendengaran rayuan itu kekal pada April. Ertinya keputusan dibuat itu dalam keadaan terdesak sehinggalah terpaksa melanggar beberapa kebiasaan yang tidak pernah dilakukan oleh mahkamah, seperti bersidang sehingga selepas waktu pejabat dan keputusan dibuat pada hari sama. Selalunya keputusan dibuat pada hari lain. Seperkara lagi bukti menunjukkan ada usaha untuk menghalang Anwar bertanding apabila tarikh pilihan raya kecil Kajang itu diperlambatkan. Biasanya apabila ada sesuatu kekosongan kerusi, SPR akan menetapkan pilihan raya paling lama dalam masa sebulan setengah selepas ianya didapati kosong. Bagaimana pun tidak dengan Dun Kajang ini. Ia diperlambatkan sehingga genap tempoh 60 hari. Jadi di sini memperlihatkan SPR sudah sepakat dengan mahkamah atas niat dan tujuan yang satu iaitu menghalang Anwar Ibrahim. Di sini jelas mahkamah digunakan untuk menafikan hak Anwar mara dalam kerjaya politiknya dan sekaligus menghancurkan harapan rakyat untuk melihat perubahan dalam pentadbiran negara ini. Ia juga memberi petunjuk bahawa musuhnya, kerajaan UBN sangat takut kepada kemaraannya yang makin mendapat sokongan rakyat. Di dalam blog, facebook, twitter semua orang menyatakan kemarahan mereka dengan berbagai cara dan perkataan. Masing-masing tidak dapat menerima keputusan yang dibuat oleh tiga Hakim Mahkamah Rayuan itu dan juga ketua pendakwa raya Shafee Abdullah. Gambar hakim-hakim dan pendakwa raya berkenaan dimasukkan ke dalam facebook dibiarkan dikutuk beramai-ramai. Tindakan ini menjelaskan kemarahan dan kebencian rakyat terhadap apa yang berlaku. Ledakan kemarahan rakyat ini terbukti apabila malam tadi lebih 5,000 orang terdiri golongan muda telah berhimpunan di Bilik Gerakan Besar PKR di Kampung Sikamat, Kajang walaupun notis mengenai himpunan itu singkat dan menerusi Facebook saja. Kehadiran anak muda yang simpati kepada nasib Anwar dan marah dengan keputusan mahkamah itu menjelaskan semangat mereka bersama Anwar tidak padam. Tindakan diluar dugaan mahkamah itu telah mengundang kemarahan dan membangkit semangat mereka untuk terus menentang ketidakadilan dan kezaliman kerajaan kepada Anwar khasnya dan pembangkang amnya. Adalah silap kalau para konspirator yang ingin menyekat Anwar ke dalam penjara dengan tindakan mahkamah itu. Perhitungan dibuat itu menjadi sebaliknya, umpama senjata memakan diri sendiri. Kehadiran begitu ramai anak-anak muda malam tadi yang sedia untuk membela Anwar dan demokrasi memberi satu pukulan kepada pihak kerajaan. Kerajaan atau Najib telah mencetus peluang baru untuk rakyat mengutuk dan membuat serangan ke atasnya. Himpunan malam tadi juga yang tujuannya memberi penjelasan berhubung nasib Anwar dalam pilihan raya Kajang ia bertukar menjadi program mengistyharkan Reformasi Ke-2. Timbalan Presiden PKR Mohamad Azmin Ali, sambil mengkritik Najib atas apa yang berlaku telah mengistyharkan Reformasi Ke-2 sudah bermula. Azmin menegaskan sudah sampai masanya untuk rakyat menggunakan jalan raya untuk menegakkan kebenaran setelah secara yang dihalalkan perlembagaan diperolok-olokkan. Azmin juga malam tadi tidak dapat menyembunyikan rasa marah dan emosinya kepada Najib dengan menyifatkan Najib adalah haiwan ternakan Mahathir dan Daim Zaunuddin. "Najib adalah haiwan ternakan Mahathir Mohamad dan Daim Zainuddin," demikian kata Azmin disambut oleh sorakan dan tepukan dan laungan reformasi. Azmin yakin keputusan mahkamah rayuan itu yang mengenakan lima tahun penjara ke atas Anwar adalah atas kehendak Mahathir dan Daim. Pendeknya peristiwa petang semalam mengguriskan hati rakyat negara ini. Dan seperti dinyatakan diawal tadi, saat gelora kemarahan dan kesedihan apa yang menimpa Anwar belum lerai, tiba-tiba pagi tadi rakyat negara ini dikejutkan pula dengan kejadian kehilangan pesawat MH 370 yang membawa 227 orang penumpang. Mana-mana pemimpin Umno yang waktu ini berhimpun di Janda Baik dalam satu retreat bagi meraikan kejayaan memenjarakan Anwar menerusi mahkamah, sebelum suka hilai tawa mereka berakhir, tiba-tiba mereka dikejutkan pula dengan kehilangan sebuah pesawat milik negara MH370? Kedua peristiwa dan tragedi yang berlaku dalam tempoh tidak sampai 12 jam itu seharusnya direnungi dan dijadikan iktibar. Tuhan sungguh adil di samping ada keriaan tetapi terselit kedukaan. | ||||
BN laksana konspirasi jahat, dendam terhadap Anwar Posted: 08 Mar 2014 04:19 AM PST KEADILAN DAILYKUALA LUMPUR : Keputusan mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 5 tahun ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan konspirasi jahat Umno BN untuk mematikan karier politik ketua pembangkang itu. Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Selangor, Azmizam Zaman Huri berkata, keputusan itu dibuat kurang seminggu daripada tarikh penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil DUN N25 Kajang yang akan ditandingi Anwar. "Jelas Umno BN berjaya melaksanakan konspirasi jahat mereka untuk membalas dendam terhadap Anwar Ibrahim dan mematikan karier politik beliau. "AMK Selangor mengutuk sekeras-kerasnya rancangan penuh tipu muslihat ini kerana keputusan penghakiman dibuat dalam keadaan tergesa-gesa dan singkat. "Mahkamah juga banyak menolak permohonan pembelaan yang dibuat seolah-olah telah bersedia menjatuhkan hukuman yang zalim ini," katanya dalam satu kenyataan media Katanya, keputusan tersebut pastinya akan mendapat kritikan antarabangsa serta mencetuskan kebangkitan baru di kalangan rakyat terutama anak muda. "Anak muda tidak akan membiarkan mereka ditindas oleh pembodohan seperti ini. Umno Barisan Nasional juga harus bersedia menerima tentangan lebih hebat dari rakyat," katanya menegaskan jentera AMK Selangor sedang digerakkan untuk menyedarkan rakyat tentang perkembangan kes itu. "Jika seorang lelaki yang pernah bergelar Timbalan Perdana Menteri boleh dizalimi begini, tidak mustahil rakyat terbanyak akan menerima layanan lebih buruk dari Umno Barisan Nasional semata-mata untuk kekal berkuasa," ujarnya. | ||||
Pas bersama Anwar hingga kezaliman runtuh – Hadi Awang Posted: 08 Mar 2014 04:18 AM PST KEADILAN DAILYKUALA LUMPUR : Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata parti itu kesal dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang tergesa-tergesa menjatuhkan hukum bersalah terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim. Abdul Hadi berkata Pas dan rakyat bertegas bahawa keadilan mesti ditegakkan dengan telus dan bermaruah serta dilihat ditegakkan dengan teliti, cermat dan adil mengikut prinsip undang-undang yang bebas. "Apatah lagi sekiranya kita merujuk kepada sistem keadilan perundangan Islam yang menekankan bahawa sedikit sahaja keraguan dalam proses perbicaraan itu sudah cukup untuk membebaskan seseorang yang didakwa. "Prinsip keadilan sebegini tidak dapat dilihat dalam kes yang menimpa Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ini dengan sendirinya akan berterusan menghakis keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan dalam negara kita ini," katanya dalam satu kenyataan yang disiar Malaysiakini. Beliau juga berkata Pas berkongsi kekecewaan itu dengan anggota keluarga Anwar terutama isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah dalam menghadapi ujian yang sangat berat ini. "Pas akan terus memberikan segala bentuk sokongan kepada beliau dan ahli-ahli KEADILAN, serta seluruh penyokong Pakatan Rakyat dalam meneruskan rayuannya ke Mahkamah Persekutuan sehingga keadilan dapat ditegakkan dan kezaliman dapat diruntuhkan," katanya. | ||||
Umno BN tetap akan kalah di Kajang- Anwar Posted: 08 Mar 2014 04:16 AM PST Oleh: Lyn Nasir SHAH ALAM 8 MAC: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Umno BN tetap akan tewas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) N25 DUN Kajang, meskipun beliau tidak dapatbertanding susulan keputusan mahkamah rayuan mensabitkan beliau bersalah dalam kes Fitnah 2. Katanya, strategi kerajaan untuk mensabitkan beliau bersalah jelas dilihat ekoran keputusan tergesa-gesa mahkamah rayuan. Sementara Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pula menetapkan tempoh yang lama untuk PRK Kajang selepas kerusi itu dikosongkan. Manakala peguam beliau, Karpal Singh pula didapati bersalah oleh mahkamah pada Februari lalu atas kesalahan menghasut di bawah Akta Hasutan. "Jelas kita nampak mereka gunakan mahkamah untuk perkara sebegini, tapi Umno BN tetap akan tewas di kajang." jelasnya dalam sidang media selepas perasmian Konvensyen Pakatan Rakyat kali ke 5 di Shah Alam, hari ini. Mengulas lanjut, beliau berkata tindakan tersebut tidak mampu meraih undi penduduk kajang, sebaliknya mengundang kemarahan rakyat seluruhnya. "Ini bukan soal saya atau Karpal, tapi saya menyeru kepada rakyat semua untuk bangkit menuntut keadilan dan tolak penindasan," tegasnya | ||||
Pakatan tak goyah, PRK Kajang jadi mahkamah rakyat- Anthony loke Posted: 08 Mar 2014 04:12 AM PST Oleh: Azuan Ab Rahman SHAH ALAM : Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke berkata, cubaan Umno Barisan Nasional untuk memenjarakan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan sama sekali melemahkan Pakatan Rakyat. Katanya, tindakan mahkamah rayuan menjatuhkan hukuman penjara 5 tahun ke atas Anwar jelas bertujuan untuk menyekat ketua umum KEADILAN itu daripada bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kajang. Bagaimanapun katanya, usaha itu tidak akan menggoyahkan Pakatan Rakyat, sebaliknya akan mengukuhkan lagi perpaduan antara parti dalam gabungan itu. " Jangan BN ingat penjarakan Anwar dapat lemahkan pakatan, kita tidak akan berkubur, tetapi akan jadi semakin kuat. " Lihat sahaja hikmah dari peristiwa tahun 98, Kezaliman yang berlaku terhadap Anwar telah berjaya membawa PAS dan DAP duduk semeja bersama PKR," tegas Anthony dalam konvenysen Pakatan Rakyat kali ke lima yang diadakan di Shah Alam hari ini. Justeru, beliau menyeru rakyat bangkit menolak kerajaan Barisan Nasional dengan menjadikan PRK Kajang ini sebagai referendum dan hukuman daripada rakyat ke atas mereka. "Jadikan PRK Kajang sebagai Mahkamah Rakyat untuk kita jatuhkan hukuman kepala Barisan Nasional," tegasnya. | ||||
Rafizi: PKR sudah fikir 1001 jalan untuk Kajang Posted: 08 Mar 2014 04:10 AM PST SHAH ALAM - Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli menyatakan PR mempunyai pelbagai strategi untuk melawan Umno-BN pada PRK Dun Kajang, 23 Mac ini walaupun calon parti pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dapat bertanding. Menurutnya, PKR telah memikirkan '1001 jalan' bagi mengatasi masalah tersebut tatkala Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim disabitkan bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan. "Saya tanya kamu (peserta konvensyen) sekiranya kamu disekat di satu-satu jalan, adakah kamu terus lari balik ke rumah, atau cari alternatif jalan lain. "Bagi saya kalau kita kena sekat di satu-satu jalan, kita ikut jalan lain... ini samalah perihalnya dengan situasi di Kajang. "Sebab kalau hendak ke Kajang ada banyak cara, kalau disekat jalan lebuh raya kita ikut jalan kampung, kalau jalan tidak ada, kita naik helikopter," katanya ketika konvensyen Pakatan Rakyat kali ke-5 di Pusat Konvensyen Setia Alam, di sini, hari ini. Tambah Rafizi, pihaknya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan 'Langkah Kajang' bergerak sepertimana yang telah direncanakan sebelum ini. "Kita akan bergerak seperti biasa, sebab kalau kamu (BN) dekat kami dengan cara Anwar ditahan, kami ada cara lain," tegasnya. Konvensyen PR kali ke-5 ini membawa moto Pakatan Membela Rakyat. Turut hadir dalam konvensyen ini pemimpin daripada Pas dan DAP. | ||||
'Dua kes lagi saya boleh saman pembangkang' Posted: 08 Mar 2014 04:07 AM PST KUALA TERENGGANU – "Dua kes lagi yang saya boleh saman pembangkang bila-bila masa sahaja iaitu kes berkaitan lawatan kerja saya ke Antartika yang dikatakan membawa bersama Exco dan saya dikatakan pergi melancong ke sana," kata Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said. Menurut Ahmad, isu mengenai lawatan kerjanya selama 15 hari ke benua itu sengaja digembar-gemburkan pembangkang tanpa bukti kukuh bagi memburukkan reputasinya. "Mereka kata saya turut membawa Exco ke sana, mana ada bukti? Satu kes lagi mereka kata saya ke sana untuk melancong dan menghabiskan wang rakyat, mana ada orang ke tempat sebegitu untuk melancong? "Pada saya, pembangkang sudah kehabisan modal untuk mencari kesalahan kerajaan sehingga setiap perancangan dan pembangunan yang dilaksanakan mendapat komentar negatif walaupun tiada fakta kukuh," katanya pada sidang media selepas menyerahkan surat serahan pemilikan dan kunci rumah kepada 92 penerima Rumah Pangsa Mampu Milik (RPMM) Taman Batin Perdana, Seberang Takir, kelmarin. Ahmad turut menegaskan, pembangkang hanya bijak menggembar-gemburkan cerita, menghukum terlebih dahulu tanpa menyerahkan kepada pihak berkenaan untuk menyiasat. "Kalau kata projek yang kerajaan buat ada penyelewengan, buat laporan kepada pihak berkuasa, tunggu siasatan selesai barulah menghukum. "Ini tidak, belum apa-apa lagi dah keluarkan kenyataan media tanpa sebarang bukti. Akhirnya, kita saman dia," katanya. Ahmad berkata demikian ketika diminta mengulas kes saman yang dimenanginya ke atas Adun Batu Buruk, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dan tiga lagi atas dakwaan memfitnah berhubung pembelian uniform sekolah bernilai RM30 juta, tiga tahun lalu. | ||||
Konvesyen PR diselebungi kesedihan Posted: 08 Mar 2014 04:04 AM PST SHAH ALAM- "Konvensyen hari ini agak suram selepas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim disabitkan kesalahan semalam," demikian menurut Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika memberi ucapan alu-aluan sempena konvensyen PR kali ke-5 di Pusat Konvensyen Setia Alam hari ini. Menurut Abdul Khalid, keputusan tersebut sangat mengejutkan,namun, PR tetap bersemangat untuk meneruskan perjuangan mereka walaupun tanpa Anwar disisi mereka nanti. "Petang semalam, satu keputusan yang sangat mengejutkan berlaku. "Oleh itu, pada hari ini konvensyen kita agak 'dipatahkan' dengan keputusan tersebut. "Tetapi bagi pihak PR, kita akan teruskan perjuangan walau terpaksa menghadapi onak dan badai," katanya. Konvensyen PR kali ke-5 ini membawa moto Pakatan Membela Rakyat. Turut hadir dalam konvensyen ini Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu. Anwar semalam telah disabitkan bersalah oleh Mahkamah Rayuan, terhadap tuduhan meliwat pembantu peribadinya,Mohd Saiful Bukhari Azlan, enam tahun lalu. Panel tiga hakim sebulat suara mengumumkan keputusan itu selepas dua hari mendengar hujahan pendakwa raya dan peguam bela. Korum yang dipengerusikan Datuk Balia Yusof Wahi turut dianggotai Datuk Aziah Ali dan Datuk Mohd Zawawi Salleh membenarkan rayuan pihak pendakwa raya dan mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang sebelum ini melepas dan membebaskan Anwar daripada tuduhan itu. Pihak pendakwaan kemudiannya memfailkan rayuan berhubung keputusan itu dengan melantik Tan Sri Muhammad Shaefee Abdullah mengetuai pihak pendakwa raya. Sementara itu, Mahkamah Rayuan membenarkan penangguhan hukuman ke atas Anwar yang dijatuhi lima tahun penjara selepas didapati bersalah meliwat bekas pembantunya. Mahkamah membenarkan permohonan peguam Karpal Singh, yang mewakili Anwar untuk menangguhkanpelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayua di Mahkamah Persekutuan. Mahkamah turut membenarkan Anwar untuk menangguhkan bayaran jaminan sebanyak RM10,000 sebelum jam 11 pagi, Isnin ini. | ||||
Pakatan putus calon PRK Kajang hari ini Posted: 08 Mar 2014 02:17 AM PST HAZAYANI ZAKARIA SHAH ALAM: Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat tengah hari ini akan memutuskan calon pengganti Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang. Menurut Anwar, senarai akhir calon akan dibincang pada hari ini dan pengumuman calon akan dibuat pada masa terdekat. Difahamkan, terdapat 12 nama yang disenarai pendek untuk menggantikan beliau. "Pakatan Rakyat akan bermesyuarat sebentar lagi untuk menentukan calon kita di Kajang. "Soal calon, kita ada calon muda, orang lama dan bergantung kepada sentimen orang Kajang dan kita akan bincangkan dalam mesyuarat," kata beliau pada sidang media di Setia City Convention Centre, dekat sini hari ini bersempena Konvensyen Pakatan Rakyat Kali Ke-5. Beliau turut menegaskan, Umno BN sekali lagi menggunakan mahkamah untuk menghalang kemenangan Pakatan Rakyat di Kajang. "Trend yang sama digunakan oleh Umno BN iaitu menggunakan mahkamah menghalang saya bertanding di Kajang kerana mereka tidak yakin akan menang di kajang," katanya yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen. Sementara itu, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi AWang kesal apabila undang-undang Islam tidak digunakan sepenuhnya di Malaysia. "Mahkamah Syariah di Malaysia tidak boleh mengendalikan kes liwat, kes rasuah dan jenayah sebaliknya hanya mengendalikan kes nikah kahwin dan harta pusaka sahaja. "Ini sangat mengecewakan kerana Islam merupakan agama yang hebat tetapi tidak ditonjolkan kehebatannya," tegasnya. Beliau turut menyeru semua rakyat bersatu hati menegakkan keadilan di Malaysia. | ||||
Contohi keakraban Guan Eng-Mat Sabu - Hannah Yeoh Posted: 08 Mar 2014 02:11 AM PST SHAH ALAM: Adun Subang Jaya dari DAP, Hannah Yeoh mahu pemimpin dan ahli Pakatan Rakyat di pelbagai peringkat mencontohi keakraban antara Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dengan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu. Berucap di Konvensyen Pakatan Rakyat di Setia City Convention Centre, Setia Alam hari ini, Speker Dewan Negeri Selangor itu juga berkata, kekuatan hubungan seperti itu penting untuk perpaduan dalam Pakatan Rakyat lebih-lebih lagi berdepan serangan perkauman Umno BN. "BN laga-lagakan Pakatan Rakyat dengan main sentimen perkauman. Semua lapangan pemimpin dan ahli parti perlu jalin hubungan erat sesama kita. "Jangan bergantung kepada pemimpin tinggi sahaja sepeti Lim Guan Eng dengan Mohamad Sabu, kita di akar umbi juga perlu mencontohi mereka," katanya. Beliau turut mengingatkan kepada pimpinan Pakatan Rakyat, khsusunya di Selangor tidak perlu terikut-ikut rentak Umno. Katanya, Pakatan Rakyat Selangor mempunyai mandat lebih dua pertiga pada Pilihan Raya Umum lalu dan memiliki sokongan kuat dari rakyat untuk terus membuat perubahan. "Jangan biarkan kita ikut tari Umno, biar kita yang pukul dan Umno yang menari," kata beliau. Dalam pada itu beliau turut melahirkan ucapan terima kasih kepada PAS yang menunjukkan sikap persahabatan sejati dan menghormati hubungan antara kaum. Beliau merujuk kepada kenyataan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Dr Mujahid Yusof dalam satu tulisan di media. "Terima kasih kepada YB Mujahid yang menghulurkan tangan persahabatan kepada golongan minoriti," katanya lagi. | ||||
Anak saudara Ketua Polis Kuching penumpang MH370 Posted: 08 Mar 2014 02:08 AM PST KUCHING: Anak saudara Ketua Polis Daerah Kuching ACP Roslan Bek Ahmad disahkan antara 227 penumpang yang menaiki pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang dilapor hilang awal hari ini. Roslan ketika dihubungi Bernama berkata perkara itu dimaklumkan oleh kakaknya Rohani yang tinggal di Shah Alam, Selangor. "Saya diberitahu oleh kakak saya bahawa anak saudara saya bernama Suhaili Mustafa antara penumpang dalam pesawat MAS yang hilang itu. Mohon doakan semoga semuanya selamat," katanya. Menurut Roslan beliau akan Kuala Lumpur petang ini bagi menemani kakaknya yang juga ibu tunggal selepas kematian suami. "Saya ambil cuti kecemasan dan balik ke Kuala Lumpur petang ini untuk memberi sokongan moral kepada kakak dan bantu apa yang patut," katanya sambil menambah kakaknya kini berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi menunggu perkembangan terkini. Menurutnya sepanjang ketiadaan beliau tugas akan dipangku oleh Timbalannya Supt Fauzilan Abdul Aziz. Penerbangan MH370 ke Beijing itu yang membawa 227 penumpang dari 14 negara selain 12 anak kapal dilapor terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Subang pada 2.40 pagi tadi ketika berada di antara ruang udara Malaysia dan Vietnam. Pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 pagi dan dijadual mendarat di Beijing pada 6.30 pagi. - Bernama | ||||
Akhirnya Anwar Dihalang Daripada Menjadi MB Selangor Posted: 08 Mar 2014 02:02 AM PST Sebagaimana yang diduga oleh kebanyakan orang, Mahkamah Rayuan akhirnya menerima rayuan pihak pendakwa dan mendapati Anwar Ibrahim bersalah atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Saiful Bukhari Azlan. Beliau dikemudiannya dijatuhkan hukuman penjara selama lima tahun dan mahkamah juga menerima rayuan peguambela Anwar untuk menangguhkan sementara hukuman sehingga proses seterusnya dibawa ke Mahkamah Persekutuan pula. Selain menerima rayuan untuk menangguhkan hukuman, Mahkamah Rayuan juga bermurah hati dengan membenarkan jaminan sebanyak RM10 ribu boleh dibayar sehingga jam 11 pagi Isnin, 10 Mac. Ini bermakna keputusan mahkamah yang bersidang sehingga jam 7 malam hari ini mengelakkan Anwar daripada dipenjara dan boleh pulang ke rumah serta menjalankan aktiviti politiknya seperti biasa. Apa yang tidak boleh dilakukannya dengan keputusan mahkamah ini hanyalah daripada menjadi calon pilihanraya kecil Kajang yang penamaan calonnya pada 11 Mac ini. Dengan tidak boleh menjadi calon di Kajang, bermakna Anwar juga tidak boleh menjadi Menteri Besar Selangor sebagaimana yang dirancangnya. Khalid Ibrahim nampaknya akan terus kekal sebagai Menteri Besar dan Zaid Ibrahim yang berhasrat bertanding sebagai calon Bebas untuk mempertahankan Khalid juga secara automatik tidak perlu lagi meneruskan hasratnya. Mahkamah Rayuan telah membantu Zaid menjimatkan wangnya kali ini. Bagaimanapun, oleh kerana sabitan kesalahan ini ditangguhkan sehingga rayuan ke Mahkamah Persekutuan yang tidak diketahui bila tarikhnya, mungkin dua tahun atau tiga tahun daripada sekarang, keputusan Mahkamah Rayuan ini tidak memberi apa-apa kesan kepada kedudukan Anwar sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh dan Ketua Pembangkang. Anwar akan terus menjadi Ketua Pembangkang dan Ahli Parlimen Permatang Pauh tanpa sebarang gangguan, malah sebagaimana yang dijadualkan juga, beliau akan membahaskan titah ucapan Yang Dipertuan Agong pada Selasa, 11 Mac ini tanpa sebarang gangguan atau berkejar dengan masa. Beliau hanya tidak boleh mengemukakan kertas pencalonannya sebagai calon PKR di Kajang pada Selasa ini dan seterusnya langkah KajangMove yang dirancang untuk menobatkannya sebagai Menteri Besar Selangor telah pun melanggar tembok. Tembok itu tidak lain dibina melalui keputusan Mahkamah Rayuan hari ini yang tentunya juga dengan penuh kesedaran dan pengetahuan pemegang kuasa di Putrajaya. Sebagaimana yang disebutkan dalam posting terdahulu, inilah sebenarnya muslihat mengapa tarikh penamaan calon di Kajang ini begitu lewat ditetapkan tarikhnya oleh SPR. Dengan ini, terbuktilah apa yang sebenarnya ditakuti ialah jika Anwar menjadi Menteri Besar Selangor. UMNO dan BN sebenarnya menyedari dengan kedudukan dan jawatan sebagai Menteri Besar akan melancarkan lagi perjalanan Anwar dan PR menawan Putrajaya dalam pilihanraya akan datang nanti. Mahathir tidak menyembunyikan kebimbangannya mengenai langkah Anwar itu. Beliau menyifatkan dengan menjadi Menteri Besar dan berjaya membuktikan kepimpinannya di negeri paling kaya itu, ia akan menjadi tangga yang bakal memudahkan lagi usaha bekas Timbalan Perdana Menteri itu menguasai Putrajaya. Najib pula, walaupun tidak banyak mengomel mengenai langkah Anwar ini, tetapi kebimbangannya dapat difahami berdasarkan sambutan rakyat terhadap perkara ini. Lebih-lebih lagi, mereka dalam UMNO amat faham kebijaksanaan Anwar membina pengaruh dan meningkatkan sokongan jika mempunyai jawatan dalam kerajaan. Lihat saja bagaimana sejarahnya dalam UMNO, dengan jawatan Menteri Kewangannya dulu beliau mampu merebut jawatan Timbalan Presiden UMNO pada 1993 meskipun ketika itu Tun Ghafar dilindungi oleh kouta pencalonan, undi bonus serta kelebihan sebagai penyandang jawatan. Keputusan Mahkamah Rayuan hari ini yang dimulai dengan tarikh penamaan calon dilewatkan, penetapan tarikh bicara yang tergesa-gesa dengan meminta peguambela Karpal Singh meluangkan masa antara 7 hingga 10 Mac, kesediaan mahkamah bersidang sehingga waktu maghrib dan kemudian bersikap baik hati dengan membenarkan wang jaminan dibayar sehingga jam 11 pagi hari Isnin, jelas dan tidak lain adalah semata-mata untuk menghalang Anwar daripada menjadi ADUN Kajang dan seterusnya Menteri Besar Selangor. Hanya itu matlamat dan tujuannya. Tiada yang lain. Noktah. Menang atau kalah di Kajang tidak lagi penting bagi Najib dan BN. Berapa undi yang bakal diperolehi oleh calon BN, Chew Mei Fun turut tidak penting. Siapa calon PKR yang bakal menggantikan Anwar juga tidak lagi mustahak kepada Najib dan BN. Dengan dapat menghalang Anwar daripada menjadi Menteri Besar, Najib dan BN sekurang-kurangnya dapat bernafas lega dalam tempoh tiga atau empat tahun sebelum tibanya PRU 14. Itulah yang penting dari segala yang penting dan malam ini Najib mungkin menikmati tidur malamnya yang paling lena. Dengan keputusan ini juga, Najib mempunyai jalan untuk memulihkan semula hubungannya dengan Mahathir dan Daim yang semakin kerap mengkritiknya sejak kebelakangan ini. Dan sekiranya dengan langkah menghukum Anwar ini tidak juga berupaya memulihkan imej dan keyakinan rakyat terhadap kepimpinannya, malah mungkin membuatkan rakyat lebih kuat bangkit untuk melakukan perubahan, sekurang-kurangnya tempoh yang masih panjang sebelum PRU 14 sambil Anwar dinafikan daripada berpaut dengan kuasa, boleh digunakan untuk memikir helah serta perancangan lain pula. Dalam jangka pendek dan sederhana, Najib dan BN memang terlihat selamat dengan keputusan mahkamah ini tetapi ia bukanlah jaminan mutlak untuk membolehkan BN berkuasa selama-lamanya. Manusia merancang, Tuhan pun merancang tetapi perancangan Tuhanlah yang akhirnya menang. | ||||
PBB bimbang sabitan kes hasutan terhadap Karpal Posted: 08 Mar 2014 01:57 AM PST MALAYSIAKINI Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Hak Asasi Manusia menggesa kerajaan Malaysia supaya menyemak semula sabitan terhadap Pengerusi DAP Karpal Singh atas kesalahan menghasut dan memansuhkan Akta Hasutan seperti yang dijanjikan dua tahun lalu. Sambil menyuarakan "kebimbangan yang serius", jurucakapnya, Rupert Colville berkata, Akta Hasutan itu tidak konsisten dengan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa dan melanggar kebebasan bersuara. Menurutnya lagi, sebagai seorang peguam, Karpal mesti berupaya untuk menunaikan kewajipannya "tanpa ugutan, sekatan dan campurtangan tidak wajar dalam apa jua bentuk". "(Peguam) sepatutnya berhak untuk menyatakan pandangan dalam kapasiti profesional mereka mengenai perkara-perkara berkaitan undang-undang, " kata Colville dalam satu kenyataan semalam. "Kami menggesa kerajaan Malaysia untuk menyemak semula sabitan ke atas Karpal dan untuk memansuhkan Akta Hasutan - sesuatu yang perdana menteri telah, pada tahun 2012, secara terbuka berjanji untuk melakukannya". Hukuman Karpal Selasa depan Pada bulan Julai 2012, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan kerajaan akan memansuhkan akta itu dan menggantikannya dengan Akta Keharmonian Nasional, tetapi tiada apa-apa dibuat sejak itu. Karpal telah disabitkan atas tuduhan hasutan kerana berkata dalam satu sidang akhbar bahawa keputusan sultan Perak untuk memecat menteri besar ketika itu, Datuk Seri Nizar Jamaluddin boleh dicabar di mahkamah. Pihak pendakwa berhujah bahawa kata-kata beliau mempunyai kecenderungan untuk mewujudkan kebencian terhadap sultan. Ahli parlimen veteran itu berdepan dengan hukuman denda sehingga RM5,000 atau hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya. Karpal akan hilang kelayakan sebagai ahli parlimen jika denda itu melebihi RM2,000 dan dia dihukum penjara lebih daripada satu tahun. Hukuman ke atasnya akan diumumkan pada 11 Mac. | ||||
PKR isytihar Reformasi 2.0, gesa kejatuhan BN Posted: 08 Mar 2014 01:55 AM PST MALAYSIAKINI dikemaskini Beberapa jam selepas Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim disabitkan atas tuduhan liwat dan dijatuhkan lima tahun penjara, para penyokongnya berhimpun di Kajang menggesa kejatuhan BN. Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali mengisytiharkan permulaan Reformasi 2.0 di hadapan 500 orang di pusat gerakan pilihan raya parti itu di Kampung Sungai Sekamat, Kajang. Beliau bertanya kepada hadiran sama ada mahu berjuang melalui pilihan raya atau turun ke jalanan, dan mereka bersorak tanda bersetuju. "Walaupun kita menang dengan 52 peratus undi, tapi mereka masih berkuasa," katanya. Azmin berkata Majlis Presiden Pakatan Rakyat akan membuat keputusan esok sama ada untuk turun ke jalanan. "Jika kita umumkan esok jam 9 malam di Dataran Merdeka, adakah anda bersedia? Jika kita umumkan esok jam 3 petang di Jalan Tuanku Abdul Rahman, adakah anda bersedia?" tanya Azmin dengan disambut oleh hadirin. Anwar, yang mula berucap sejurus selepas jam 11 malam, mengulangi desakan untuk gelombang kedua reformasi ketika jumlah hadirin meningkat kepada lebih 1,000 orang. "Ini adalah permulaan gelombang baru reformasi. Gelombang kedua ini tidak akan berakhir sehingga kita menawan Putrajaya," katanya. Mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman ke atas Anwar dan membenarkan beliau diikatjamin RM10,000. Pakatan pembangkang telah mengumumkan bahawa konvensyen Pakatan Rakyat di Shah Alam esok akan bertukar menjadi satu perhimpunan ekoran sabitan ke atas Anwar. Malah, tambah Anwar, belum pun apa-apa berlaku, ketua polis negara telah pun memberi amaran. Bagaimanapun, beliau memberi jaminan perhimpunan esok akan berjalan dengan aman. Anwar metuduh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak menggunakan mahkamah untuk mensabitkannya dalam usaha untuk menggagalkan Serampang Kajang. Sabitan Anwar telah menghilang kelayakannya untuk bertanding tetapi pemimpin pembangkang itu menggesa pengundi Kajang menyatakan pendirian mereka dengan membuat BN hilang deposit dalam pilihan raya kecil pada 23 Mac. Hari ini, kata Anwar, beliau telah disabitkan dan pada 11 Mac, pengerusi DAP, Karpal Singh pula akan dihukum atas dakwaan menghasut. "Kita mesti mempertahankan kepimpinan kita," katanya. Antara yang hadir pada malam ini ialah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (kiri dalam gambar), MP DAP Seremban, Anthony Loke dan MP PAS Shah Alam, Khalid Samad. Turut hadir ialah bekas menteri besar Selangor Tan Sri Muhammad MuhdTaib. '12 calon disenarai pendek' Serentak dengan itu, lebih 2,000 orang berhimpun di Stadium Kajang untuk menunjukkan perpaduan. Sebahagian daripada mereka berkumpul di situ selepas timbul kekeliruan berhubung lokasi sebenar perhimpunan Anwar malam ini. Dalam sidang akhbar kemudiannya, Anwar mengesahkan kepimpinan Pakatan akan membuat keputusan sama ada untuk melancarkan protes berterusan seperti Black 505 rali. "Kita akan membuat keputusan esok," katanya. Bagi calon penggantinya, Anwar berkata PKR telah menyenarai pendek 12 nama yang berpotensi. Katanya keputusan untuk memilih calon pengganti itu akan dibuat esok atau selewat-lewatnya pada hari Isnin. | ||||
Kumpulan hak asasi kecam penganiayaan Anwar Posted: 08 Mar 2014 01:42 AM PST MALAYSIAKINI Aktivis hak asasi manusia antarabangsa dan tempatan mengutuk keputusan Mahkamah Rayuan mensabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas tuduhan liwat II dan dijatuhkan hukuman lima tahun penjara. Presiden Persekutuan Antarabangsa Hak Asasi Manusia, Karim Lahidji mendakwa penganiayaan kehakiman yang berterusan terhadap Anwar itu merupakan satu titik hitam dalam badan kehakiman Malaysia. "Sabitan Anwar yang mengejutkan semalam adalah bab terbaru dendam politik parti pemerintah terhadapnya yang telah berlaku selama sejak lebih daripada 15 tahun," kata Karim dalam satu kenyataan bersama dengan NGO hak asasi manusia yang berpangkalan di Malaysia, Suaram. Mahkamah Rayuan di Putrajaya petang semalam membenarkan rayuan pendakwa terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan Anwar atas tuduhan liwat II pada tahun 2012. Mahkamah menjatuhkan hukuman lima tahun penjara ke atasnya. Homoseksual adalah dilarang di Malaysia. Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan hukuman dan Anwar dikenakan ikatjamin RM10,000 sementara menunggu rayuan kepada Mahkamah Persekutuan. Beliau didapati bersalah meliwat bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan pada 26 Jun 2008. | ||||
Pakatan boikot sidang Parlimen 11 Mac Posted: 08 Mar 2014 01:36 AM PST MALAYSIAKINI Pakatan Rakyat hari ini memutuskan untuk tidak menghadiri sidang Parlimen pada 11 Mac ini sebagai tanda bantahan terhadap salah guna badan kehakiman dan solidariti untuk Karpal Singh yang dituduh bawah Akta Hasutan. Kenyataan bersama dari ketiga-tiga setiausaha agung parti anggota Pakatan, memaklumkan bahawa ahli parlimen Pakatan juga akan bersama calon mereka pada hari penamaan calon pilihan raya kecil DUN Kajang, yang berlangsung pada hari yang sama. Bagaimanapun, mereka menyatakan ahli Parlimen Pakatan akan menghadiri majlis perasmian sidang Parlimen dan Titah Yang di-Pertuan Agong yang akan berlangsung sehari sebelum itu. Ketetapan tersebut diputuskan oleh Majlis Presiden Pakatan Rakyat hari ini. "Tindakan mahkamah mengenakan hukuman penjara lima tahun ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan keputusan yang bakal dikenakan terhadap Karpal Singh di bawah Akta Hasutan merupakan bukti terang bagaimana Umno-Barisan Nasional terus menyalah guna institusi kehakiman. "Umno-Barisan Nasional tidak pernah belajar daripada hukuman rakyat bermula sejak peristiwa 1998, justeru mereka mengulangi kesilapan tersebut ke atas kedua-dua pemimpin Pakatan Rakyat ini," kata mereka dalam satu kenyataan tersebut. Semalam Mahkamah Rayuan memutuskan Anwar yang juga ketua umum PKR bersalah dalam kes liwat II dan dihukum penjara lima tahun dan dikenakan ikatjamin RM10,000. Manakala pada 21 Februari lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan Karpal bersalah membuat kenyataan hasutan terhadap Sultan Azlan Shah dalam isu pertukaran menteri besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin lima tahun lalu. Karpal, 74, didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun dan denda RM5,000 atau kedua-duanya. Jika hukuman itu dijatuhkan, beliau secara automatik akan kehilangan kerusi Parlimennya. Dalam kenyataan bersama itu, mereka Berkata enam tahun selepas 8 Mac 2008, Umno-BN kehilangan sokongan rakyat dan Pakatan muncul sebagai kuasa mengancam hegemoni mereka. Kata mereka, walaupun Umno-BN terus hilang sokongan, namun keangkuhan dan kedegilan parti itu berterusan, melalui keengganan mereka melakukan reformasi tulen ke atas institusi penting negara termasuklah institusi kehakiman. "Hal ini kerana ianya satu-satunya jalan yang menjamin kelangsungan Umno-BN untuk kekal berkuasa. "Kami yakin pengorbanan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan sia-sia. "Pengorbanan ini akan membuka mata rakyat, menyemarakkan semangat dan melonjakkan sokongan segenap lapisan masyarakat untuk bersama Pakatan Rakyat demi melakukan perubahan," katanya.. | ||||
Vietnam sahkan pesawat MAS terjunam ke dalam laut Posted: 08 Mar 2014 01:33 AM PST Pihak berkuasa di Vietnam mengesahkan bahawa pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang dilaporkan hilang dalam perjalanan ke Beijing pagi tadi telah terhempas di Laut Cina Selatan, menurut sebuah akhbar Vietnam. Laporan akhbar Tuoi Tre memetik admiral tentera laut Ngo Van Phat sebagai berkata radar tentera mengesan pesawat yang membawa 239 penumpang itu terhempas ke dalam laut, 153 batu selatan Pulau Phu Quok. Sementara itu, Ketua Eksekutif Malaysian Airlines, Ahmad Jauhari Yahya dalam sidang media pagi tadi berkata penumpang dan anak kapal dalam pesawat malang itu terdiri daripada 14 warganegara berbeza. Mereka termasuk warganegara 152 orang rakyat China, Malaysia (38), Indonesia (12), Australia (7), Perancis (3), U.S (3), New Zealand (2), Kanada (2), Ukraine (2), Russia (1), Itali (1), Belanda (1), Taiwan (1) dan Austria (1). Bercakap pada pemberita di sidang media di Sama-Sama Hotel di Sepang, Ahmad berkata kenyataan rasmi hanya dikeluarkan pada 8.30 pagi memandangkan pesawat tersebut masih mempunyai baki minyak mencukupi untuk terbang sehingga waktu ini. "MAS sahkan pesawat MH370 hilang perhubungan dengan pusat kawalan udara Subang pada 2.40 pagi. Bagaimanapun, ia memiliki baki minyak mencukupi untuk terbang ke Beijing," kata Ahmad. Beliau juga berkata spekulasi mengatakan pesawat yang berkongsi kod bersama China Southern Airlines telah mendarat di Nanning masih belum dapat disahkan. Pesawat Boeing 777-200 tersebut berlepas dari Malaysia pada 12.41 pagi dan sepatutnya di Beijing pada 6.30 pagi tadi (waktu China), tetapi hilang pada 2.40 pagi. "Pesawat MH370 dikendalikan oleh Kapten Zaharie Ahmad Shah berusia 53 tahun yang mempunyai jumlah jam penerbangan lebih 18,365 jam. "Pegawai pertama adalah Fariq Ab Rahman berusia 27 tahun yang mempunyai jumlah penerbangan 2,763 jam," kata Ahmad. Beliau berkata Zaharie sudah berkhidmat dengan MAS pada 1981 dan Fariq pula pada 2007. Ahmad mengesahkan sudah menghubungi pihak berkuasa Vietnam untuk meminta bantuan bagi mencari pesawat MH370, yang berusia 11 tahun dan 10 bulan itu. Ketika ditanya sama ada MAS akan menyekat penerbangan pesawat Boeing 777-200, Ahmad berkata ia bergantung jika terdapat bukti kegagalan teknikal. Malah, pengeluar pesawat tersebut masih belum membuat sebarang cadangan, tambah beliau. Sebelum itu, MAS menghubungi ahli keluarga terdekat dan anak kapal pesawat MH370 selepas ia terputus hubungan dengan menara kawalan udara awal pagi ini. Sementara itu, Pemangku Menteri Pengangkuan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, menerusi akaun Twitter, menggesa ahli keluarga penumpang dan anak kapal bertenang. "Kepada ahli keluarga penumpang dalam pesawat, bertenang dan dapatkan maklumat yang sahih. Kami akan maklumkan. Doa untuk semua," tulis beliau. MAS berkata ia akan menyediakan laporan terkini dari masa ke semasa. Orang ramai boleh menghubungi 03-7884 1234 untuk sebarang maklumat. Ahli keluarga penumpang dan anak kapal disarankan berkumpul di Bangunan Sokongan Kemudahan di Zon Sokongan Selatan KLIA. Untuk maklumat, hubungi 03-8787 1269. Orang ramai juga boleh menghubungi 03-7884 1234 untuk maklumat lanjut. | ||||
Kapten Zaharie Ahmad Shah juruterbang pesawat MAS yang hilang Posted: 08 Mar 2014 01:28 AM PST Zaharie menyertai MAS pada 1981 dan mempunyai pengalaman terbang 18,365 jam, katanya kepada pemberita. Ahmad Jauhari juga berkata pembantu juruterbang penerbangan MH370 ialah Fariq Ab Hamid, 27. Fariq berpengalaman terbang 2,763 jam dan menyertai MAS pada 2007, katanya. Pesawat Boeing 777-200 yang hilang itu berusia 11 tahun 10 bulan, kata Ahmad Jauhari. Pesawat itu berlepas dari Kuala Lumpur pada 12.41 pagi dan dijadualkan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing pada 6.30 pagi (waktu Beijing). Ia membawa 227 penumpang, dua daripadanya bayi dan 12 kru penerbangan. – Bernama, | ||||
Pesawat MAS bawa 239 penumpang ke Beijing dilapor hilang Posted: 08 Mar 2014 01:26 AM PST Menurut MAS, penerbangan MH370 putus hubungan dengan Pusat Kawalan Udara Subang jam 2.40 pagi ini. Pesawat B777-200 tersebut berlepas daripada Lapangan Terbang Antrabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12.41 tengah malam semalam dan dijangka mendarat pada 6.30 pagi ini. "Penerbangan itu membawa 227 penumpang (termasuk 2 kanak-kanak), dan 12 anak kapal," kata MAS dalam kenyataannya. "Malaysia Airlines sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa yang sudah mengaktifkan pasukan mencari dan menyelamat bagi mengesan pesawat itu," tambahnya. Sementara itu, Reuters memetik laporan agensi berita Xinhua berkata hubungan radar dengan pesawat tersebut dikesan hilang ketika ia di ruang udara dikawal Vietnam awal pagi hari ini. Pesawat itu dilaporkan tidak memasuki ruang udara China dan tidak melakukan sebarang komunikasi dengan pihak kawalan udara. MAS berkata pihaknya akan memberitahu perkembangan terkini tentang situasi tersebut. Orang awam boleh menghubungi 03-7884 1234 untuk sebarang maklumat. Dalam kenyataannya, MAS berkata ahli keluarga penumpang boleh hadir ke Bangunan Sokongan Fasiliti di Zon Selatan Sokongan KLIA. Untuk petunjuk jalan sila hubungi 03 8787 1269 | ||||
Hukuman ke atas Anwar berperikemanusiaan, kata Ibrahim Ali Posted: 08 Mar 2014 01:19 AM PST Kumpulan pendesak Melayu, Perkasa menyifatkan hukuman ke atas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai berperikemanusiaan. Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berkata hukuman penjara lima tahun ke atas Anwar adalah ringan berbanding hukuman maksimum yang sepatutnya dikenakan ke atas ketua umum PKR tersebut. "Anwar bernasib baik, hakim terlalu berperikemanusiaan. "Apabila Anwar didapati bersalah, hukumannya lima tahun penjara sahaja manakala had hukuman sampai 20 tahun dan sebatan," kata Ibrahim dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insider. Anwar semalam dijatuhkan hukuman lima tahun penjara oleh Mahkamah Rayuan kerana didapati bersalah meliwat pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008. Bagaimanapun, Hakim Datuk Balia Yusof Wahi yang mengetuai panel tiga hakim dalam kes itu menerima permohonan Anwar untuk penangguhan hukuman sementara menunggu rayuan dengan jaminan RM10,000. Ibrahim yang juga pernah ditahan bersama Anwar di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1974 berkata ketua umum PKR itu bukan pemimpin luar biasa dan menggesa rakyat pandang ke depan. "Saya adalah rakan setahanan Anwar di kem tahanan Kemunting, Taiping 1974-1976 (1976) merayu agar rakyat Malaysia pandang ke depan demi masa depan rakyat dan negara. "Individu tidak penting, yang hidup pun akan mati," kata beliau. Ibrahim menganggap Anwar sebagai tragedi kepada negara. "Beliau adalah 'tragedi' kepada Malaysia. Ramai orang susah kerana beliau bukan memberi kesenangan." Anwar dituduh meliwat Saiful di sebuah unit kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008. |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan