DIALOG RAKYAT |
- Mahfuz gesa kerajaan beritahu lokasi MH370, tawar diri jadi tebusan
- Izzah: Daily Mail buat dakwaan palsu kaitkan Anwar dengan misteri MH370
- Melayu, MH370 dan bomoh
- MB: Jangan buat spekulasi anak kapal, penumpang MH370
- PR: Kerajaan Pusat khianati MOU air, desak guna WSIA
- Teknologi tidak dapat atasi ketentuan Tuhan
- Dua Anggota Polis Dipenjara 12 Bulan Kerana Rasuah
- Polis Didakwa Siasat Jurutera Penerbangan Naiki Pesawat MH370, Lapor Reuters
- Abdul Khalid: Saya masih relevan
- FMFA 2014: Menteri terlibat sila beri penjelasan
- Tindakan Shariff Omar Sertai PKR Bukan Kejutan
- Pertarungan BN-PKR Rebut Kerusi DUN Balingian
- Protes bantah keputusan kes Anwar 21 Mac
- Kerajaan tidak sensitif bantahan awam terhadap acara hiburan liar
- Talian am MH370 ditukar kepada 03-78841234
- PBS baru guru boleh 'offline'
- MH370 Terbang Dengan Minyak Yang Dirancang, Tiada Minyak Tambahan
- Mengapa Tiba-tiba Jadi Fanatik Sangat Dengan Media Barat?
- India tangguh usaha cari pesawat MH370
- Petugas bawahan MAS terlibat MH370 disiasat
Mahfuz gesa kerajaan beritahu lokasi MH370, tawar diri jadi tebusan Posted: 17 Mar 2014 01:57 AM PDT Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menggesa kerajaan mendedahkan lokasi pesawat Malaysia Airlines MH370 yang dipercayai dirampas supaya ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) dapat dijadikan tebusan sebagai tukaran dengan 239 penumpang dan anak kapal. Beliau yang juga ketua penerangan PAS berkata, mereka mengesyaki rundingan antara kerajaan dengan perampas pesawat itu kini sudah bermula. "Jika (pesawat) itu di sesuatu tempat, beritahu kami di mana, kami bersedia menjadi tebusan untuk ditukarkan dengan 239 penumpang. "Kita bersedia jadi tebusan. Saya minta Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman untuk mengaturkan kita membuat tawaran dengan pihak perampas," kata Mahfuz di Parlimen hari ini. Terdahulu, di Dewan Rakyat Mahfuz bertanya kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengenai kemungkinan dua rakyat Iran yang merupakan antara penumpang MH370 memasuki negara dengan menyamar sebagai pelajar. Mahfuz berkata, apa yang penting ialah keselamatan penumpang dan anak kapal pesawat MH370. "Sekiranya betul pesawat itu dirampas maka sudah tentu ada rundingan yang dilakukan. "Saya menawarkan diri untuk dijadikan sebagai tukaran kepada penumpang dan anak kapal kerana yang penting adalah keselamatan mereka," katanya. Mahfuz juga mempersoalkan sejauh mana kerajaan dapat memastikan bantuan yang diminta kepada 13 negara lain dapat dilakukan tanpa ada unsur mengambil kesempatan. "Kerajaan perlu memberi penjelasan mengenai hal keselamatan dalam negeri apabila meminta bantuan negara lain. "Bagaimana kita mahu memastikan keselamatan sedangkan mereka sudah lihat banyak kelemahan negara, dengan radar dan pasport curi," katanya. Beliau berkata, ia patut dilakukan bagi memastikan tiada elemen sabotaj atau risikan terhadap negara. Sebelum ini media antarabangsa melaporkan Malaysia banyak kali menolak bantuan risikan Interpol bagi membantu menyiasat kehilangan pesawat MH370. Hari ini, kenyataan Kementerian Pengangkutan menyatakan, negara yang menyertai misi mencari dan menyelamat kini bertambah kepada 26 negara, selain Malaysia, negara lain ialah Australia, Bangladesh, Brunei, China, Perancis, India, Indonesia, Jepun, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Laos, Myanmar, New Zealand, Pakistan, Filipina, Rusia, Singapura, Korea Selatan, Thailand, Turkmenistan, UAE, United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS), Uzbekistan dan Vietnam. | |||
Izzah: Daily Mail buat dakwaan palsu kaitkan Anwar dengan misteri MH370 Posted: 17 Mar 2014 01:39 AM PDT Oleh: Afeeqa Afeera KUALA LUMPUR : Dakwaan tabloid Daily Mail yang menyiarkan berita kaitan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan kehilangan pesawat MH370 sebagai akhbar picisan yang banyak melaporkan berita palsu. Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, berkata PKR tidak akan melayan teori konspirasi 'menggila' ini kerana seluruh keutamaan kini tertumpu kepada usaha-usaha mencari dan menyelamat. "Keutamaan kita untuk menyelamatkan pesawat, penumpang dan kemudiannya mencerakinkan apakah tugasan dan urustadbir yang lebih baik termasuklah hubungan antara agensi yang lebih konsisten dan terbuka supaya kita dapat kenalpasti kalau benar dirampas, siapa yang bertanggungjawab dan dihadapkan ke muka pengadilan. "Saya harap kita janganlah mengulangi sesuatu yang amat menyakitkan bila berkait dengan sesorang yang tidak mampu mempertahankan dirinya dan saya harap media Malaysia lebih bertanggungjawab daripada apa yang dilakukan Daily Mail," katanya. Semalam, akhbar tabloid United Kingdom, Daily Mail melaporkan bahawa juruterbang MH370 Kapten Zaharie Ahmad Shah seorang 'fanatik politik' dan 'aktivis sosial yang lantang'. Daily Mail juga melaporkan Zaharie menghadiri keputusan perbicaraan liwat Anwar, beberapa jam sebelum menerbangkan pesawat malang itu. EZY | |||
Posted: 17 Mar 2014 01:37 AM PDT Oleh Ridhuan Tee Abdullah Menggunakan bomoh dan sihir mencari MH370 menjadi bahan ketawa dunia. Rakyat Malaysia di luar negara, termasuk anak-anak saya yang berada di Iskandariah, Mesir, amat malu dengan kejadian ini. Kita sering mendakwa, kita adalah negara Islam contoh. Hari ini, kita sedang ditertawakan kerana percaya kepada perkara khurafat, tahyul dan tidak masuk akal. Persoalannya siapakah yang memanggil bomoh tersebut? Apakah orang tersebut pernah menggunakan khidmat bomoh? Apakah tujuan khidmat bomoh itu digunakan? Jika benarlah 'kesaktian' bomoh tersebut, buatlah di tempat tertutup, bukanlah tempat terbuka sebegitu, hingga menjadi perhatian dunia, dengan alat lucu seperti teropong buluh, tikar, kelapa, labu sayung dan lain-lain. Kejadian ini mengingatkan saya kenapa ajaran sesat berleluasa? Walaupun tidak masuk akal, tetapi ramai yang mempercayainya, terutama kalangan orang Melayu. Bayangkan bagaimana kita boleh mempercayai ada orang mengakui diri dia tuhan, Imam Mahdi, Rasul dan sebagainya. Pengikut Ayah Pin mempercayai Ayah Pin boleh hidup di alam langit. Begitu juga pengikut Harun yang percaya Harun boleh menjadi Tuhan. Ini tidak termasuk orang Jawa yang mengakui Imam Mahdi. Jika ditanya orang kafir sekalipun, walaupun mereka sudah syirik, mereka tidak akan mempercayai perkara tersebut. Dalam isu kehilangan MH370, paling kurang, mereka tampil bermeditasi dan berdoa mengikut cara masing-masing. Penampilan mereka tidak pelik. Sebagai umat Islam, segala tindak-tanduk kita mestilah berteraskan kepada Al-Quran dan sunnah. Apa jua perbuatan yang bercanggah, hendaklah ditolak kerana boleh menjejaskan akidah. Ini termasuk menggunakan khidmat bomoh, dukun, pawang, penilik nasib atau sesiapa jua yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib. Maksud saya, pengetahuan yang tidak dapat diperoleh melalui deria manusia, seperti khabar yang akan datang, isi hati manusia dan peristiwa tersembunyi. Ilmu ini hanya dimiliki oleh Allah dalam firmanNya yang bermaksud:"Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyembah atau memuja yang lain daripada Allah yang tidak mendatangkan manfaat kepadamu dan juga tidak dapat mendatangkan mudarat kepadamu. Oleh itu, sekiranya engkau mengerjakan yang demikian, maka pada saat itu jadilah engkau daripada kalangan orang yang berlaku zalim (terhadap diri sendiri dengan perbuatan syirik itu)." (Surah Yunus: 106) Selain itu, Islam juga melarang umatnya daripada menggunakan sihir kerana Rasulullah bersabda, "Jauhilah tujuh perkara yang merosakkan. Golongan sahabat bertanya, "Apakah tujuh perkara itu? Jawab Baginda:"Mensyirikkan Allah, melakukan sihir, membunuh orang tanpa hak, memakan riba, memakan harta anak yatim, lari dari medan perang dan menuduh perempuan baik melakukan zina." (Hadis riwayat Bukhari) Perlu diingat, umat Islam perlu berhati-hati menggunakan khidmat bomoh supaya tidak terjebak dalam amalan syirik yang akan menjejaskan akidah. Setiap daripada kita diwajibkan berusaha dan berikhtiar serta seterusnya bertawakal kepada-Nya kerana ALLAH saja yang maha berkuasa terhadap segala sesuatu. Saya amat bersyukur ramai kalangan kita yang melakukan solat hajat dan berdoa kepada Allah, mohon petunjuk. Jika di darat tunjukkanlah, jika di laut, timbulkanlah, jika di udara, turunkanlah. Inilah yang sepatutnya dilakukan. Serahkan semua kepada Allah. Kepada orang bukan Islam, ingin saya jelaskan di sini perbuatan berbomoh seperti dilakukan ini bukan sumber daripada ajaran Islam, meskipun ada yang mendakwa ia akan mengikut kaedah Islam. Pandanglah agama Islam daripada sumber agama Islam itu sendiri, bukan daripada perbuatan orang Islam. Ketika saya memeluk Islam pun dahulu, saya mengkaji Islam dan mendalami Islam. Jika ditakdirkan saya melihat perbuatan umat Islam dalam mencari MH370 sebegini, sudah tentu saya tidak jadi memeluk Islam. Kebimbangan saya, jika ditakdirkan bomoh itulah yang akan dapat memberi petunjuk dan menjumpai MH370 itu nanti, semakin ramailah umat Islam yang akan percayai kepada bomoh daripada menumpahkan ketaatan sepenuhnya kepada Allah. Justeru, apa jua yang berlaku dalam pencarian MH370, kita berikhtiar, selebihnya kita serahkan kepada Allah, yang lebih mengetahui hikmah semua kejadian ini. – sinarharian.com.my | |||
MB: Jangan buat spekulasi anak kapal, penumpang MH370 Posted: 17 Mar 2014 01:35 AM PDT SELANGOR KINISHAH ALAM: Kerajaan Selangor berharap rakyat tidak membuat spekulasi terhadap mana-mana anak kapal atau penumpang kerana ia hanya akan menyukarkan keluarga mereka. Sebaliknya, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata rakyat perlu memberi sokongan moral kepada ahli keluarga mereka agar terus tabah dan bersabar menghadapi ujian. "Berdoa agar operasi menyelamat berjalan lancar dengan diselesaikan dengan secepat mungkin," katanya pada kenyataan media, petang ini. Beliau sedih dengan perkembangan terbaru mengenai pesawat Penerbangan Malaysia MH370 yang membawa 239 penumpang termasuk anak kapal disyaki dirampas. "Kita mendoakan keselamatan dan kesejahteraan penumpang serta anak kapal yang terlibat dan berharap misi mencari dan menyelamat semua mangsa berjaya," katanya. Kata Abdul Khalid, kerajaan dan rakyat Selangor juga mengucap terima kasih kepada anggota keselamatan Malaysia dan 13 negara asing yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat. Dalam masa sama, katanya, Kerajaan Selangor meminta semua masjid dan surau di seluruh negeri supaya mengadakan solat hajat mendoakan operasi mencari dan menyelamat berjalan lancar. - FZ | |||
PR: Kerajaan Pusat khianati MOU air, desak guna WSIA Posted: 17 Mar 2014 01:30 AM PDT SELANGOR KINISHAH ALAM,: Pakatan Rakyat (PR) mendakwa Kerajaan Persekutuan mengkhianati Perjanjian Persefahaman (MoU) air yang dibuat dengan Kerajaan Selangor kerana enggan menggunakan Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA) untuk menyelesaikan pertikaian isu pengurusan air negeri ini. Pemimpin Pakatan, Rafizi Ramli, Tony Pua dan Dr Dzulkefly Ahmad dalam satu kenyataan bersama berkata, WSIA perlu digunakan untuk mengambil alih syarikat konsesi air di Selangor. "Ini adalah pengkhianatan ke atas perjanjian yang dibuat dengan kerajaan negeri. Keputusan berpatah balik itu tidak boleh diterima dan mengejutkan," kata mereka dalam satu kenyataan pagi ini. Jumaat lalu, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, ketika ini Putrajaya tidak akan menggunakan WSIA untuk mengambil alih syarikat konsesi air di negeri Selangor. Sehingga kini, tiga konsesi iaitu Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB), Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan Syarikat Pengeluar Air Selangor Holdings (Splash) masih belum bersetuju dengan tawaran pengambilalihan pada harga RM9.65 bilion meskipun MoU telah ditandatangani antara Selangor dan Putrajaya pada 26 Februari lalu. Malah, Dr Maximus sendiri berjanji akan menggunakan WSIA bagi memaksa syarikat konsesi tersebut. "Tawaran ditolak oleh syarikat konsesi ini. Kerajaan pusat gagal menjalankan tanggungjawab mereka untuk mengesa syarikat konsesi menerima tawaran yang dibuat," kata kenyataan itu. Sehubungan itu, Pakatan menggesa kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim supaya tidak memberi kelulusan bagi pembinaan loji rawatan air Langat 2. "Kami akan menggesa kerajaan negeri Selangor, Exco dan Dewan Undangan Negeri untuk menangguhkan baki kelulusan yang diperlukan bagi projek Langat 2. "Tiada keperluan undang-undang untuk kerajaan negeri memenuhi syarat dalam MoU apabila kerajaan pusat gagal menunjukkan komitmen mereka," katanya.EZY | |||
Teknologi tidak dapat atasi ketentuan Tuhan Posted: 17 Mar 2014 01:19 AM PDT Oleh Saodah Abd Rahman Manusia dianugerahkan oleh Allah dengan kebijaksanaan akal fikiran sehingga mereka mampu untuk menerajui angkasa. Kebijaksanaan manusia mengendalikan hal ehwal keduniaan adalah bertepatan dengan fitrah ciptaan mereka iaitu menjadi hamba Allah dan khalifah-Nya di muka bumi. Manusia sepatutnya memahami bahawa kebijaksanaan dan kemajuan teknologi yang dicapai oleh mereka masa kini adalah terbatas dan tertakluk kepada kehendak Ilahi. Apabila kesedaran begini meresap dalam jiwa dan akal fikiran manusia maka setiap apa yang berlaku dalam kehidupan mereka sama ada berkaitan kerugian, kehilangan dan kematian adalah merupakan ketentuan Allah. Konsep kehidupan manusia di dunia ini adalah berusaha untuk mendapatkan sesuatu yang dikehendaki dan juga menyerahkan diri kepada Allah. Jika konsep hidup ini dijadikan amalan kehidupan seharian maka umat Islam tidak bertindak di luar batasan etika orang beriman apabila yang diharapkan itu tidak tercapai atau kecewa. Kehidupan manusia sering diuji oleh Allah dalam pelbagai bentuk kerana jika manusia tidak diuji mereka sering lalai dan leka terhadap Allah. Lumrah kehidupan manusia ialah apabila mereka sering memperolehi kekayaan, kuasa, pengaruh dan kedudukan maka tingkah laku mereka sering tergelincir ke arah yang bertentangan dengan syariah Allah. Dalam era globalisasi umat Islam kurang prihatin terhadap batas akidah dan syriah Islam. Demi kedudukan dan kuasa umat Islam sanggup menggadaikan maruah dan akidah Islam dengan harapan untuk memperkukuhkan kedudukan, kuasa dan pengaruh. Pemikiran dan jiwa umat Islam yang terlalu terpengaruh dengan kemajuan teknologi sering melihat aspek akidah dan syariah sebagai perkara yang remeh-temeh yang tidak perlu dijadikan sebagai batas dalam tindakan dan kelakuan. Kemajuan dan kecanggihan teknologi dalam era globalisasi masa kini menjadikan negara maju terlalu angkuh menguasai ruang angkasa, darat dan lautan. Mereka merasai bahawa dunia ini hak milik mereka dan setiap negara kecil wajib tunduk kepada kemahuan mereka. Ini merupakan realiti yang wujud alam dunia masa kini. Persoalannya, adakah kecanggihan teknologi itu mampu menguasai setiap pelosok dunia dan ruangan udara? Kehilangan pesawat MH370 kepunyaan Malaysia Airlines (MAS) merupakan ujian yang paling bermakna kepada kuasa dunia masa kini untuk menentukan kecanggihan teknologi mereka menguasai dunia. Lautan Hindi dan Lautan China Selatan merupakan medan untuk menguji kecanggihan teknologi yang dimiliki oleh mereka. Malaysia sebagai sebuah negara yang kecil mempunyai kemampuan teknologi yang terbatas. Oleh itu kegagalan dalam mengesan kedudukan pesawat dengan pelbagai usaha tidak sepatutnya dijadikan bahan kecaman. Kegagalan dalam usaha mencari pesawat ini merupakan satu pengajaran kepada umat Islam bahawa bidang ilmu manusia adalah terlalu kecil jika dibandingkan dengan ilmu Allah. Mungkin peristiwa ini boleh memberi pengajaran kepada umat Islam bahawa kecanggihan teknologi bukan boleh menjamin keselamatan manusia secara keseluruhannya. Walaupun pesawat tersebut adalah pengangkutan udara yang tercanggih dan terselamat di dunia maka terdapat faktor lain yang boleh menggugatkan keselamatan nyawa manusia. Faktor tersebut adalah di luar jangkauan dan kawalan manusia yang mana hanya Allah sahaja yang dapat menghalangnya. Sebagai umat Islam peristiwa kehilangan pesawat ini sepatutnya dijadikan bahan renungan bahawa perkara yang ghaib seperti di manakah beradanya pesawat itu hanya diketahui oleh Allah. Jika usaha manusia gagal untuk mencari kedudukan pesawat tersebut walaupun menggunakan teknologi yang canggih maka umat Islam perlu menjadikan peristiwa ini sebagai renungan bahawa kecanggihan teknologi bukan merupakan faktor utama keselamatan nyawa manusia atau alat yang boleh menguasai dunia. Peristiwa ini juga merupakan satu pengajaran kepada kuasa besar bahawa kecanggihan teknologi mereka menguasai ruangan udara dunia dan lautan tidak setanding dengan kuasa Allah merentasi langit dan bumi. Keangkuhan mereka untuk menguasai dunia dengan pelbagai cara sering memperolehi kejayaan dengan begitu pantas sekali tetapi kenapa dalam usaha untuk mencari kedudukan pesawat MH370 yang kurang kecanggihannya jika dibandingkan dengan kapal perang mereka sehingga kini masih gagal dijumpai? Kehilangan pesawat MH370 merupakan hikmah tertentu yang ditakdirkan oleh Allah supaya umat Islam dan manusia keseluruhannya dapat merenung bahawa kuasa manusia adalah kerdil untuk menguasai ruang udara, darat dan lautan. Kehidupan, kematian, kerugian dan kehilangan sesuatu yang disayangi adalah takdir dan ketentuan Ilahi sejak sebelum bumi dan langit diciptakan lagi. Sebagai umat Islam mereka mempunyai kepercayaan yang kukuh bahwa setiap yang hidup akan kembali kepada Allah. Cuma masa dan saat sahaja yang berbeza. Oleh itu pasrah kepada Allah adalah merupakan ciri-ciri orang yang beriman. – utusan.com.my | |||
Dua Anggota Polis Dipenjara 12 Bulan Kerana Rasuah Posted: 17 Mar 2014 01:13 AM PDT Oleh: BERNAMA GEORGE TOWN: Dua anggota polis masing-masing dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini Isnin selepas didapati bersalah terhadap dua pertuduhan menerima rasuah pada 2011. Sarjan Yang Ghazali Abu Hanifah, 58 dan Lans Koperal M. Vathumalai, 52 dari Cawangan Kereta Peronda Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut dituduh meminta suapan RM400 dan menerima rasuah RM400 pada 13 dan 14 Mei 2011. Mereka didakwa meminta dan menerima suapan itu daripada Tan Seong Soon, 41, sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap dua warga China, Fan Qiyan dan Wei Youmei yang bekerja tanpa permit sah. Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan pertama di tempat kerja warga China itu di sebelah premis makanan Loo Yee Fish Spa & Restaurant, Lorong Madras di sini pada 11.20 malam, 13 Mei 2011. Kesalahan kedua pula didakwa dilakukan di tempat sama pada 12.10 malam, 14 Mei 2011. Mereka dituduh menurut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama, iaitu dipenjara 20 tahun atau denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi. Ketika menjatuhkan hukuman itu, Hakim Khairul Anuar Abdul Halim berkata, faktor kedua-dua tertuduh merupakan penjawat awam yang diberi amanah turut diambil kira. Perbuatan tertuduh meminta suapan telah menghancurkan kepercayaan dan menjejaskan integriti pasukan polis, katanya. Mahkamah memerintahkan hukuman berjalan serentak berkuat kuasa pada Isnin. Rosli Ismail yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon mahkamah menangguhkan hukuman penjara terhadap kedua-duanya kerana mahu memfailkan rayuan pada Selasa. Mahkamah menerima permohonan itu namun kedua-dua tertuduh perlu membayar denda pada Isnin dan jika gagal boleh dikenakan hukuman penjara enam bulan. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Ghazali Mohammad Nadzri. | |||
Polis Didakwa Siasat Jurutera Penerbangan Naiki Pesawat MH370, Lapor Reuters Posted: 17 Mar 2014 01:04 AM PDT MSTAR ONLINE KUALA LUMPUR: Polis didakwa menyiasat seorang jurutera penerbangan yang merupakan antara penumpang pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang apabila tumpuan diberikan kepada juruterbang dan sesiapa sahaja yang berada di dalam pesawat itu yang mempunyai pengetahuan teknikal terbang, kata seorang pegawai kanan polis. Jurutera penerbangan, Mohd Khairul Amri Selamat, 29, yang merupakan rakyat Malaysia, diperkatakan di media sosial bahawa beliau bekerja dengan sebuah syarikat penerbangan cater untuk pesawat peribadi. "Ya, kami sedang menyiasat tentang Mohd Khairul dan penumpang lain serta anak kapal. Tumpuan adalah kepada sesiapa sahaja yang mungkin mempunyai kemahiran penerbangan di dalam pesawat itu," kata seorang pegawai kanan polis yang mempunyai maklumat siasatan kepada Reuters. Penyiasat Malaysia menyiasat latar belakang juruterbang, anak kapal dan kakitangan di lapangan terbang yang terlibat dengan pesawat Boeing 777- 200ER yang hilang bagi mendapatkan petunjuk tentang mengapa seseorang di dalam pesawat itu menerbangkan pesawat sejauh beratus-ratus, atau mungkin beribu-ribu batu di luar laluan penerbangannya. Pesawat itu masih belum dijejaki selepas ia hilang lebih seminggu tetapi penyiasat percaya pesawat itu telah diterbangkan ke laluan lain oleh seseorang yang mempunyai pengetahuan mendalam mengenai pesawat dan penerbangan komersial. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu berkata, bukti menunjukkan penerbangan sengaja dilencongkan, yang menyifatkan bahawa ia mengubah laluan penerbangannya jauh ke barat dari laluan sepatutnya iaitu dari Kuala Lumpur ke Beijing. Seorang jurutera penerbangan bertanggungjawab terhadap sistem dalam pesawat bagi memastikan ia berjalan dengan baik dan membuat pembaikan sekiranya perlu. Sebagai seorang jurutera yang pakar dalam pesawat eksekutif, Khairul tidak semestinya mempunyai semua pengetahuan yang diperlukan untuk mengalihkan dan menerbangkan pesawat yang besar. Khairul pernah berkata beliau bekerja untuk sebuah syarikat penerbanghan cater berpangkalan di Switzerland yang dipanggil Execujet Aviation Group, tetapi syarikat itu enggan menyatakan sama ada Khairul masih kakitangan mereka. Dalam gambar yang disiarkan menerusi akaun Facebook milik Khairul pada 2011, beliau memperkenalkan dirinya sebagai pekerja Execujet bagi operasi Malaysia. "Kita tidak boleh mendedahkan apa-apa. Kami mahu melindungi privasi keluarga," kata seorang pegawai syarikat itu di pejabat cawanga Malaysia. Khairul, merupakan bapa kepada seorang anak perempuan, baru-baru ini membeli sebuah rumah di pinggir Kuala Lumpur, dan mempunyai lebih 10 tahun pengalaman sebagai seorang jurutera penerbangan, kata bapanya Selamat Omar kepada Reuters. Selamat bagaimanapun enggan menyatakan sama ada dia percaya anaknya boleh terlibat dalam apa-apa jenayah. Selamat berkata, dia dan ahli keluarga yang lain sepatutnya melawat rumah baru Khairul pada bulan ini. Tetapi Khairul memberitahu bapanya pada Khamis yang Khairul terpaksa pergi kerja di Beijing dan mereka akan mengatur semula pertemuan keluarga itu. Dan ia merupakan perbualan terakhir mereka. "Khairul berjaya dalam kerjayanya dan merupakan anak yang baik. Dia akan datang melawat kami sekurang-kurangnya sebulan sekali," kata Selamat. | |||
Abdul Khalid: Saya masih relevan Posted: 17 Mar 2014 12:58 AM PDT KAJANG - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memberi isyarat kepimpinannya masih relevan dan wajar diteruskan, malah menegaskan tidak akan tunduk kepada desakan meletak jawatan selagi dipilih rakyat. "Saya tidak tipu rakyat Selangor, saya buat kerja kerana ALLAH, rakyat boleh tengok wajah saya ketika bersalam. Saya mohon teruskanlah bersama PR dalam PRK Dun Kajang nanti," katanya yang juga Pengarah PRK N25 Kajang dalam satu ceramah sempena Karnival Usahawan Selangor di Bandar Kajang. Beliau turut mengingatkan pengundi Kajang menyokong calon PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kerana PR berjaya mentadbir Selangor dengan baik. "Kalau saya ada masa bersalaman dengan anda...pandanglah wajah saya. Melalui pandangan itu saya nyatakan kepada rakyat saya buat kerja kerana ALLAH. "Lihat sendiri kejayaan Selangor, kita buktikan melalui angka bukan cakap kosong. "Pada 2007, rizab simpanan kerajaan negeri hanya berjumlah RM500 juta, tapi selepas saya menerajui Selangor, saya berjaya mengumpul sebanyak RM3,000 juta. Alhamdulillah, ini semua rezeki rakyat Selangor," katanya. Abdul Khalid menegaskan, beliau mengamalkan prinsip ketelusan dalam menjalankan tanggungjawab tanpa mengambil kira tujuan untuk mengaut keuntungan semata-mata. "Sebab itulah saya berani berdepan dengan anda semua. Dalam pentadbiran saya, tidak ada satu ahli Exco termasuk menteri besar dapat tanah daripada Kerajaan Negeri Selangor. "Apabila bekerja, kita buat kerja betul-betul. Kalau kita fikir harta kekayaan...lebih baik berhenti, cari kerja lain," katanya. Sebelum ini pelbagai spekulasi timbul mengenai Abdul Khalid, antaranya akar umbi parti dilaporkan tidak berpuas hati dengannya kerana sering membelakangkan parti dalam membuat keputusan berkaitan pentadbiran negeri Selangor. Pencalonan Anwar di Kajang pula, kemudiannya diuar-uarkan dirancang untuk menggantikan Abdul Khalid. Perkara itu kemudian dikukuhkan dengan kenyataan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali yang mendakwa kegagalan Anwar bertanding di Kajang akibat sabitan kes liwat tidak membantutkan langkah parti. Memetik kenyataan Azmin, matlamat utama PRK Kajang itu sengaja diadakan bagi memberi platform kepada Anwar masuk campur pentadbiran negeri Selangor. Azizah bagaimanapun ketika ditanya mengenai perkara itu, enggan mengulas dan menegaskan jawatan bukan keutamaannya. | |||
FMFA 2014: Menteri terlibat sila beri penjelasan Posted: 17 Mar 2014 12:56 AM PDT SHAH ALAM - Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) menggesa agar menteri yang terlibat dalam membenarkan penganjuran acara muzik terbesar, Future Music Festival Asia (FMFA) yang berlangsung sejak Khamis lalu tampil memberi penjelasan. Presidennya, Abdullah Zaik Abd Rahman berkata, persetujuan yang diberikan itu diluar pedoman agama serta adat resam negara ini. "Menteri yang terlibat perlu ada pedoman dalam membuat sesuatu dasar atau keputusan. "Jadi, kepada menteri yang berkenaan sila tampil untuk memberi penjelasan dan bertanggungjawab," katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini. Tambah Abdullah Zaik lagi, penganjuran festival seumpama itu hanya mementingkan keuntungan tanpa memikirkan hukum agama serta kesannya pada akhlak anak muda. "Saya lihat mereka hanya memandang sudut kewangan dan kononnya mahu negara ini menjadi hab hiburan. "Tanpa mengira hukum hakam agama dan kesannya kepada akhlak serta peribadi remaja kita. Yang datang memang dari pelbagai negara tapi saya tak rasa itu akan menaikkan imej negara kita pun," katanya. Ketika ditanya mengenai tiada bantahan dari badan-badan bukan kerajaan (NGO) terutamanya Isma sebelum ini, beliau akui pihaknya tidak mendapat maklumat mengenai penganjuran festival berkenaan. "Saya rasa ramai (NGO) yang tidak tahu. Aktiviti seperti ini dibuat senyap-senyap sebab itu kita tak sempat bantah. Kalau tahu awal, memang kami akan buat bantahan. "Malah logiknya, tidak munasabah festival itu diadakan di mana negara kita sedang dalam keadaan sedih. Macam tak ada perasaan," katanya. Awal pagi Sabtu, enam orang termasuk tiga wanita, meninggal dunia akibat penggunaan dadah selepas mengalami sesak nafas ketika menonton konsert FMFA di Stadium Bukit Jalil. Ekoran kejadian tersebut, persembahan pada hari ketiga konsert itu dibatalkan. | |||
Tindakan Shariff Omar Sertai PKR Bukan Kejutan Posted: 17 Mar 2014 12:49 AM PDT Radhi Razak KAJANG - Tindakan bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Mohd Shariff Omar menyertai PKR bukan satu kejutan. Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata perkara itu sudah dijangkakan berlaku kerana ia telah hangat diuar-uarkan sejak bermulanya Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 lagi. "Ini sudah jangka akan berlaku. Masa PRU lagi dah timbul ura-ura bahawa dia akan masuk (PKR). Ia bukan satu kejutan. "Bagaimanapun, penyertaannya dalam PKR tidak menjejaskan UMNO Pulau Pinang. Kita yakin masih ada lagi pemimpin lain yang lebih berkaliber di sana," katanya kepada pemberita selepas program lawatan penduduk di Kampung Paya dekat Kajang, Sabtu. Shariff dilaporkan mengumumkan menyertai PKR (Parti Keadilan Rakyat) semasa ceramah perdana bersama Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Stadium Kajang, Jumaat. Shariff pernah menjadi timbalan ketua menteri Pulau Pinang dan Anggota Parlimen Tasek Gelugor selama enam penggal. Sementara itu, Shafie berkata pengundi tidak seharusnya mengukur kredibiliti calon berdasarkan ceramah semata-mata sebaliknya haruslah menilai melalui program turun padang yang disertai oleh calon. "Pengundi dapat menilai keperibadian calon melalui program turun padang dan mesra rakyat kerana calon bersemuka dengan pengundi. "Lagipun calon kita (Datin Paduka) Chew Mei Fun sentiasa turun padang berjumpa dengan pengundi di sini bagi memahami masalah mereka dan cuba untuk menyelesaikannya," kata Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah. Beliau berkata calon PKR, Datuk Seri Wan Azizah tidak sepatutnya mengeluarkan manifesto semasa pilihan raya kecil ini kerana negeri Selangor sudah diperintah oleh Pakatan Rakyat. "Beliau (Wan Azizah) keluarkan manifesto bagi janji kepada penduduk untuk buat ini, itu. Negeri ini pun di bawah mereka dan apa lagi mereka mahu janjikan?. "Ini sekali gus membuktikan pengeluaran manifesto oleh mereka menunjukkan kerajaan negeri tidak mampu melaksanakan janji-janji yang dilontarkan oleh mereka semasa pilihan raya umum," katanya. | |||
Pertarungan BN-PKR Rebut Kerusi DUN Balingian Posted: 17 Mar 2014 12:47 AM PDT Foto: Bernama Radhi Razak MUKAH - Pilihan raya kecil bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Balingian, yang kosong berikutan peletakan jawatan Tan Sri Abdul Taib Mahmud sebagai Ketua Menteri Sarawak pada 28 Februari, dijangka menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara BN dan PR. Perjalanan pilihan raya kecil ini akan bermula esok dengan proses penamaan calon bagi mereka yang akan bertanding di kawasan majoriti suku kaum Melanau itu. Pengarah SPR Sarawak Datuk Takun Sunggah berkata tempoh penamaan calon adalah dari pukul 9 hingga 10 pagi dan calon yang ingin mengemukakan borang pencalonan dinasihati membawa bersama wang pertaruhan RM5,000, seorang pencadang dan seorang penyokong. "Kami menjangka semua urusan esok berjalan lancar dan berharap calon yang akan bertanding bagi kerusi ini dapat diumumkan sejurus selepas berakhirnya tempoh penamaan calon," katanya kepada Bernama hari ini. Takun berkata para penyokong calon dinasihati mematuhi arahan polis bagi mengelak berlaku sebarang kejadian tidak diingini. Menteri Tugas-tugas Khas negeri Tan Sri Adenan Satem telah mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sarawak kelima bagi menggantikan Abdul Taib. Semalam, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bekas Pegawai Daerah Dalat Yossibnosh Balo, 47 sebagai calon BN bagi pilihan raya kecil itu. BN bakal bersaing dengan calon dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mengumumkan bekas calon yang tewas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak pada Pilihan Raya Negeri 2011, Abdul Jalil Bujang mewakili parti itu. Dalam pilihan raya negeri 2011, Abdul Taib mengekalkan kerusi Balingian dengan mengalahkan Suriati Abdullah (PR) dan Datuk Salleh Jafaruddin (Bebas) dengan majoriti 5,154 undi. Balingian mempunyai 13,366 pengundi berdaftar, dengan Melanau/Melayu merupakan kumpulan majoriti iaitu sebanyak 7,705 orang atau 57.65 peratus, Iban 3,875 (28.99 peratus), Cina 1,683 (12.59 peratus), Orang Ulu 29 (0.22 peratus) Bidayuh 19 (0.14 peratus) dan kaum lain 55 (0.41 peratus). | |||
Protes bantah keputusan kes Anwar 21 Mac Posted: 16 Mar 2014 06:06 PM PDT Pakatan Rakyat berikrar menganjurkan satu himpunan besar-besaran pada 21 Mac ini bagi membantah keputusan mahkamah dalam kes Liwat II dan kes hasutan MP Gelugor, Karpal Singh. Perkara itu dimaklumkan MP Batu, Tian Chua (kanan) kepada Malaysiakini sewaktu ditemui selepas berceramah di Stadium Kajang, malam tadi. "Kita semua akan berpakaian hitam dan kita mahu beritahu kerajaan, yang kita tak puas hati dengan ketidakadilan," katanya. Himpunan itu yang merupakan sebahagian daripada gelombang Reformasi 2.0 yang diikrarkan Pakatan Rakyat sebelum ini akan diadakan di Stadium Kajang, bermula jam 8 malam, kata Tian lagi. Pakatan Rakyat sebelum ini membantah keputusan penjara lima tahun yang dikenakan Mahkamah Rayuan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didapati bersalah meliwat bekas pembantunya selepas beliau dibebaskan Mahkamah Tinggi pada tahun 2012. Karpal Singh pula didenda RM4,000 selepas didapati bersalah mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan sewaktu mengulas krisis Perlembagaan di Perak pada tahun 2009. Keputusan ke atas Anwar dan Karpal didakwa Pakatan mengandungi elemen campur tangan kerajaan. Ia menyebabkan Anwar tidak dapat bertanding dalam pilihan raya kecil Kajang dan denda terhadap Karpal pula bakal menyebabkan MP itu terpaksa mengosongkan kerusi ahli Parlimennya di Bukit Gelugor. | |||
Kerajaan tidak sensitif bantahan awam terhadap acara hiburan liar Posted: 16 Mar 2014 06:01 PM PDT
Mapim memandang serius insiden 5 anak muda meninggal dunia manakala empat lagi dalam keadaan kritikal kerana didakwa mengambil dadah dan arak berlebihan semasa menghadiri satu konsert di Stadium Bukit Jalil malam tadi, 15 Mac, 2014. Tiga yang lain mati di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM). Semuanya adalah rakyat Malaysia berumur antara 21 dan 28 tahun. Daripada lima tersebut, seorang lelaki Melayu, seorang lelaki India, seorang lelaki Cina dan dua perempuan Melayu berumur antara 19 hingga 27 tahun. Sembilan dilaporkan didakwa mengambil methamphetamine dan pengsan di tempat konsert Future Music Festival Asia 2014 berlangsung di stadium tersebut. Mengikut maklumat perubatan dadah ini sememangnya sering disalah guna dan berpotensi memberi kesan pendarahan di otak jika diambil berlebihan . Kami kesal betapa di kala seluruh negara resah dan cemas serta bersimpati dengan ahli keluarga MH370 yang hilang, negara dikejutkan dengan sikap liar anak muda terlibat dalam konsert yang tidak melambangkan budaya dan akhlak sepatutnya. Pengumuman Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh dipetik sebagai berkata, hari terakhir konsert itu, yang dijadualkan pada malam ini, dibatalkan adalah wajar dan sepatutnya dari awal lagi acara ini tidak harus diizinkan. Kami tidak dapat menerima bagaimana konsert tiga hari itu dilulus yang dijangka menarik lebih 80,000 peminat untuk melihat barisan lebih 70 band dan artis dijadual membuat persembahan pada 13-15 Mac 2014. Bantahan terhadap acara seperti ini sudah sering disuarakan, namun pihak berkuasa selalunya tidak mengambil kira protes yang disuarakan oleh pelbagai kelompok masyarakat. Sikap liberal yang diamalkan oleh pihak berkuasa diambil kesempatan oleh penganjur yang memberi tumpuan untuk mengadakan acara yang menarik golongan generasi muda. Kekhuatiran masyarakat bahawa acara seperti ini akan memberi kesan negatif kepada generasi muda sudah kerap diangkat dan terbukti benar bila berlaku insiden yang tidak diingini. Sehubungan itu, kami menegaskan pihak berkuasa sepatutnya mengambil kira bantahan masyarakat kerana jika kerajaan jujur mewar-warkan rakyat diutamakan, acara seperti ini tidak harus diluluskan. Kami mengesa kerajaan tempatan bersikap tegas untuk membendung sebarang acara liar seperti ini dan tidak tunduk kepada mana-mana pihak atasan terutama orang politik yang sering diperguna oleh penganjur untuk mendapat kelulusan. * Penulis ialah Presiden Mapim | |||
Talian am MH370 ditukar kepada 03-78841234 Posted: 16 Mar 2014 05:53 PM PDT KUALA LUMPUR - Nombor pertanyaan am sekarang 03-78841234 berhubung insiden pesawat MH370 akan bertukar mulai Isnin 12.00 tengah hari. MAS dalam satu kenyataan di sini hari ini menerangkan keluarga penumpang dan kru MH370 boleh memanggil 03-87775770 untuk sebarang pertanyaan. "Nombor ini disediakan khusus untuk keluarga berkenaan saja," menurutnya. Untuk media membuat pertanyaan, mereka boleh hubungi 03-87775698 atau 03-87871276 dan update terbaru mengenai insiden itu, orang ramai boleh layari www.malaysianairlines.com. - Bernama | |||
Posted: 16 Mar 2014 05:52 PM PDT MALAYSIAKINI Kerajaan akan mengumumkan penambahbaikan Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) pada Selasa depan. Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sistem PBS telah pun diperbaiki dan bakal mengurangkan beban kerja guru yang menjadi pertikaian sebelum ini. "Guru-guru tidak lagi perlu ke atas talian untuk memuat naik data tetapi boleh menyimpan secara offline," kata beliau ketika berucap di Sekolah Tinggi Kajang hari ini. "Menurut Muhyiddin penambahbaikan ini adalah hasil kerja beliau yang turun ke bawah untuk mendengar masalah guru-guru yang terkesan. "Maklumat lanjut akan diumumkan 18 Mac ini kata beliau. "Bulan lalu, kementerian Pendidikan telah menggantung implementasi PBS setelah pelbagai rungutan diterima daripada kesatuan guru dan pentadbir sekolah lantaran beban kerja terlampau. PBS diperkenalkan pada 2011 dan memansuhkan peperiksaan tahunan yang selama ini dihadapi pelajar termasuk Penilaian Menengah Rendah dan Ujian Bersepadu Sekolah Rendah. | |||
MH370 Terbang Dengan Minyak Yang Dirancang, Tiada Minyak Tambahan Posted: 16 Mar 2014 05:06 PM PDT Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines (MAS) Ahmad Jauhari Yahya berkata, pesawat itu dibekalkan minyak seperti dijadual dan tiada penambahan dilakukan. "Selalunya, kita tidak muatkan untuk enam jam setengah. Kita akan buat simpanan minyak antara 45 minit hingga ke sejam. Ini dilakukan sekiranya terdapat sebarang lencongan sekiranya Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing tutup. Jadi kita perlu ke lapangan terbang berikutnya yang berdekatan. "Saya berpendapat bahawa pesawat itu dapat mengisi sehingga tujuh jam setengah hingga ke lapan jam," katanya dalam sidang media mengenai perkembangan terbaharu kehilangan pesawat MH370 di sini, Ahad. Kenyataan itu dibuat bagi menjawab persoalan jika kapasiti pesawat MH370 ditambah dari kapasiti yang ditetapkan atau pesawat tersebut telah mendarat di mana-mana lapangan terbang di sepanjang laluannya untuk mengisi minyak. Persoalan itu timbul setelah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mendedahkan dalam sidang media bahawa komunikasi terakhir antara pesawat itu dengan satelit adalah pada 8.11 pagi waktu Malaysia, pada 8 Mac lepas. Pesawat yang membawa 239 penumpang itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama. Ditanya sama ada muatan kargo pesawat itu telah diperiksa, Ahmad Jauhari berkata: "Kami memeriksa manifesto kargo. Ia tidak membawa barangan berbahaya. Muatan barangan sepatutnnya diperiksa dan diimbas mengikut prosedur standard,". Menjawab satu soalan, Ahmad Jauhari mengesahkan bahawa MAS telah menjalankan lakonan semula laluan pesawat MH370 yang hilang. "Kamu melakonkan semula pesawat pada sebuah simulator 777 dan kami mengesahkan, secara dasarnya ia mungkin 777 (MH370)," katanya. | |||
Mengapa Tiba-tiba Jadi Fanatik Sangat Dengan Media Barat? Posted: 16 Mar 2014 04:56 PM PDT KELAB GREENBOCYa, juruterbang ahli PKR, tapi jangan spekulasi' PKR mengaku juruterbang MH 370 merupakan ahli parti itu tetapi meminta semua pihak tidak membuat spekulasi mengaitkan mereka dengan kehilangan penerbangan tersebut. Ketua PKR Cabang Subang Sivarasa Rasiah berkata beliau menang mengenali Kapten Zaharie Ahmad Shah (kiri) sejak beliau menyertai parti tersebut 23 Januari tahun lalu. Bagaimanapun, tambahnya, tidak adil sekiranya pihak media mengaitkan perkara itu dengan parti kerana ia "tidak relevan". Sivarasa merujuk kepada laporan akhbar tabloid Uniter Kingdom Daily Mail semalam yang membuat spekulasi bahawa Zaharie seorang 'fanatik politik' dan 'aktivis sosial yang lantang' "Media tidak sepatutnya membuat sebarang spekulasi. "Akhbar Daily Mail ialah sebuah tabloid, mereka langsung tidak merujuk mana-mana sumber," kata beliau dalam sidang media hari ini. Menurut Sivarasa yang juga ahli parlimen Subang, akhbar tabloid itu mengaitkan Zaharie dengan mengetengahkan dua spekulasi yang tidak disahkan sebagai fakta. Pertama, akhbar itu mendakwa Zaharie hadir ke keputusan kes liwat ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sehari sebelum menerbangkan pesawat. Dan kedua, beliau dilapor lantang bersuara hal-hal sosial walaupun tiada sebarang bukti menunjukkannya. "Beliau (Zaharie) seperti sejuta ahli parti politik di luar sana. "Dua fakta itu digunakan untuk panggil beliau 'political fanatic'. Kesimpulan tak boleh dibuat kerana fakta yang tidak terbukti," kata Sivarasa. Sivarasa turut berkata Zaharie seorang yang disenangi dan baik malah membantu cabang Subang ketika kempen pilihan raya umum dan terlibat dalam acara sosial anjuran cabang berkenaan. Beliau berkata hanya mengetahui Zaharie merupakan juruterbang pesawat malang itu pada hari Ahad minggu lalu dan ada menghubungi keluarga Zaharie untuk menyampaikan kata-kata semangat. "Jika pihak polis mahu berjumpa saya untuk bertanya latar belakang beliau (Zaharie) saya sedia membantu tapi ini bukan soal parti," kata beliau. Tian Chua: Polemik tuding jari Sementara itu Naib Presiden PKR Tian Chua berkata PKR tidak mahu parti terheret dalam polemik dan menuding jari yang dianggap tidak membawa kes ini ke mana-mana. Beliau berkata tumpuan harus diberikan dalam usaha mencari MH370 yang hilang sejak Sabtu lalu itu. "Setakat ini kita harapkan semua pihak terutamanya media dan pihak parti-parti dalam parti pemerintah untuk menghormati keluarga dan penumpang MH370. "Jangan membuat terlalu banyak andaian yang ini akan menjejaskan siasatan dan juga menyinggung perasaan ahli keluarga, bagi kami kita tidak mahu termasuk dalam polemik siapa yang salah dan siapa yang patut bertangggungjawab," kata beliau. -mk
ULASAN GB Tiba-tiba hari ini Malaysia seperti terlalu percaya kepada media barat. Mengapa tiba-tiba muncul teori dan spekulasi yang mengesyaki Kapten Zaharie yang "merampas" pesawat dari media barat kebetulan pula sehari selepas Najib membuat pengumuman mengenai tumpuan siasatan kini kepada kru pesawat. Dikaitkan kononnya Zahari sebagai "fanatik politik" dan menyokong Anwar. Yang anehnya siapa pula memberi maklumat mengenai Zaharie kepada akhbar tabloid Daily Mail berkenaan sehingga mereka lebih tahu daripada rakyat Malaysia sendiri mengenai kehidupan Zaharie dengan begitu terperinci? Dan kisah Zaharie dipanggil tergesa-gesa untuk menerbangkan pesawat MH370 amat menarik perhatian, perkataan tergesa-gesa itu seperti kita pernah terdengar tentang tergesa-gesanya hakim mahkamah mahu mneruskan pendengaran rayuan Kerajaan terhadap kes liwat tempohari....Konotasinya macam hampir serupa, betul tak? Dan kita pernah mendengar pengakuan kerajaan mengupah dan membayar APCO sebagai konsultan... Semacam ada okestra sayup-sayup kedengaran.... Wallahu 'alam. Selepas Kapten Zaharie dengan tergesa-gesa disuruh bawa pesawat, sekarang Kapten itu yang dihempuknya lagi... entah masih hidup atau pun sudah mati... hanya Allah jua Yang maha Mengetahui... Nampaknya Anwar terus dan akan terus diserang lagi, sama macam kes di Lahad Datu dulu. Tiba-tiba saja Anwar dijadikan "mangsa" kononnya ada hubungan dengan Sultan Sulu ketika itu. Lepas pilihanraya, semuanya membisu dan membatu... Penjarakanlah Anwar, wahai Najib jika takut sangat dengannya.... dan nanti rakyat tahu untuk membuat keputusannya... seperti dulu. Anwar akan kembali semula membawa obor bersama rakyat dengan lebih semarak selepas itu. Itu hukum kebenaran dan keadilan. | |||
India tangguh usaha cari pesawat MH370 Posted: 16 Mar 2014 04:39 PM PDT NEW DELHI - India menangguhkan usaha mencari dan menyelamat (SAR) pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang dengan aset operasinya diletak dalam keadaan bersiap sedia. "Pihak berkuasa Malaysia kini memberi petunjuk bahawa berdasarkan siasatan, operasi mencari telah memasuki fasa baharu dan strategi pencarian seterusnya sedang dirangka," menurut Kementerian Pertahanan India dalam satu kenyataan hari ini. India menggunakan enam pesawat, enam kapal dan helikopter untuk mencari pesawat MH370 yang hilang sejak sembilan hari lalu, di sekitar Laut Andaman dan Teluk Benggala. Aset tambahan tentera laut diletak dalam keadaan bersiap siaga. Tentera laut yang mengetuai operasi terus mengekalkan koordinasi dengan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari Pusat Operasi Maritim di New Delhi yang beroperasi 24 jam. "Setakat ini tiada pengesanan dilapor oleh unit yang dikerah untuk mencari di pelbagai kawasan yang ditentukan," kata kementerin itu. - Bernama | |||
Petugas bawahan MAS terlibat MH370 disiasat Posted: 16 Mar 2014 04:35 PM PDT SEPANG - Semua petugas bawahan Malaysia Airlines (MAS), yang terlibat dalam pengendalian pesawat bagi Penerbangan MH370 yang hilang pada 8 Mac telah disoalsiasat oleh polis, kata pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. Beliau berkata ini selain 239 penumpang dan kru pesawat berkenaan. "Pihak berkuasa Malaysia kini memfokus semula siasatan mereka ke atas semua kru dan penumpang MH370, serta semua petugas bawahan yang mengendali pesawat itu," kata Hishammuddin pada satu taklimat akhbar mengenai pencarian pesawat MAS itu di sini hari ini. Beliau berkata, pihak berkuasa Malaysia tidak sedia mengulas teori spekulatif berhubung apa yang menyebabkan penerbangan itu melencong dari laluan asalnya kerana bimbang ini boleh mengganggu siasatan. Awal hari ini dalam satu kenyataan, beliau berkata jurutera MAS, yang ada urusan dengan pesawat itu sebelum ia berlepas, juga disiasat. Mengenai operasi mencari dan menyelamat, Hishammuddin berkata bilangan negara yang terlibat dalam operasi itu kini meningkat dari 14 kepada 25. "Dalam 24 jam lepas, Perdana Menteri telah bercakap dengan Perdana Menteri Bangladesh, Presiden Turkmenistan, Presiden Kazakhstan dan Perdana Menteri India. "Semalam, Kementerian Luar memberi taklimat kepada wakil-wakil dari negara-negara di sepanjang koridor utara dan selatan," kata beliau. Menyentuh soal penyenggaraan pesawat, beliau berkata MAS mengesahkan pesawat itu memang tertakluk kepada program senggaraan yang diperlukan iaitu 'the Boeing Maintenance Planning Document' dan pesawat berkenaan telah diservis sepenuhnya serta layak untuk terbang. Beliau berkata, pengendali rangkaian satelit global, pasukan Inmarsat tiba semalam untuk membantu pasukan penyiasat dari Malaysia, United Kingdom dan Amerika Syarikat. - Bernama |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan