R Sri Sanjeevan R Sri Sanjeevan


SERI KEMBANGAN – NGO Pasukan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch) mencabar Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mengemukakan bukti yang menunjukkan kadar jenayah di seluruh negara sejak tiga tahun lalu menurun sehingga 27 peratus.

Pengerusinya, R. Sri Sanjeevan mendakwa, statistik jenayah yang dikeluarkan Jabatan Pencegahan dan Pembanteras Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman baru-baru ini diragui kesahihannya berikutan kadar jenayah hari ini semakin membimbangkan.

"Kalau dia kata bahawa kadar indeks jenayah telah menurun sebanyak 27 peratus, saya mencabar untuk mengeluarkan statistik jenayah yang ada menunjukkan penurunan itu.

"Kalau ada (bukti), sila tunjukkan kami dan seterusnya MyWatch sendiri akan mengeluarkan statistik jenayah yang kami ada.

"Sebelum ini saya telah mengeluarkan statistik jenayah iaitu indeks jenayah dalam masa 60 hari dari 1 Januari hingga 28 Februari lalu menunjukkan sebanyak 20,096 kes jenayah telah direkodkan," dakwanya kepada Sinar Harian Online.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan  Pengarah Jabatan Pencegahan dan Pembanterasan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Ayub Yaakob sebelum ini yang mengatakan kadar jenayah di seluruh negara berjaya dikurangkan sebanyak 27 peratus.

Jelas Ayub lagi, kadar itu melebihi sasaran Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) ditetapkan kerajaan iaitu lima peratus setiap tahun, sejak dilancarkan pada 2009.

Dalam pada itu, tambah Sanjeevan lagi, peningkatan jenayah pada hari ini turut kurang diberi perhatian.

"Bila kita sebut soal jenayah, ini bukan soal persepsi, ia adalah soal nyawa dan keselamatan rakyat dan isu yang cukup membimbangkan rakyat pada hari ini.

"PDRM perlu lebih telus dalam menunjukkan statistik jenayah. Kita tidak perlu bertolak ansur dalam statistik ini, kita perlu tegas," katanya lagi.