. |
Dr Wan Azizah mungkin calon PKR di Kajang? Posted: 08 Mar 2014 01:45 AM PST SPEKULASI Ekoran Anwar Ibrahim dijatuhi hukuman lima tahun penjara oleh Hakim Mahkamah Rayuan petang semalam menyebabkan peluang Anwar untuk menyertai pilihan raya kecil Kajang menjadi tanda tanya. Sama ada Anwar dapat bertanding atau tidak belum diputuskan lagi. Pihak PKR dikatakan sedang menyemak undang-undang negeri Selangor bagi memastikan perkara itu.
Dalam menanti semakan undang-undang itu PKR sudah ada pelan B untuk meneruskan pilihan raya berkenaan. Beberapa nama telah dicadangkan agar mengganti Anwar Ibrahim. Antara nama yang disebut-sebut ialah Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli, Mustapa Kamil Ayub atau pun Saifuddin Nasution Ismail. Sebelum ini seakan Rafizi menjadi pilihan utama memandangkan kepada performance beliau sebagai Ahli Parlimen dan juga kegeligaan pandangan beliau mengenai ekonomi. Rafizi dikira layak untuk menjadi Adun ataupun dihantar ke DUN Selangor. Bagaimana selain Rafizi ada nama lain yang kini mula digemakan untuk menjadi pengganti kepada Anwar dan nama ini sedang laris diperkatakan. Beliau dimaksudkan itu ialah Presiden PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail. Wan Azizah dikatakan paling sesuai untuk menjadi calon di Kajang memandangkan suasana dan senario kini. Sekiranya Wan Azizah menjadi calon sudah pasti keperibadian dan statusnya dapat menarik sokongan pengundi Kajang khasnya di kalangan wanita yang simpati dengan nasib diterima suaminya apabila Anwar dijatuhi hukum penjara. Sekiranya Azizah dicalonkan sudah tentulah beliau bukan material untuk dilantik menjadi MB sebagai mengganti Khalid seperti mana dikehendaki Kajang Move sebelum ini. Menurut sumber dalam PKR masih belum memutuskan dan sama Azizah atau siapa calon PKR akan diumumkan secepat-cepatnya pagi Isnin. Dalam pada itu adalah lebih afdal kalau ada tokoh lain yang boleh menjamin kemenangan besar kepada PKR dicari selain Wan Azizah. Pemilihan Wan Azizah akan memberi tafsiran yang PKR seolah-olah parti yang berkisar di sekitar keluarga Anwar sahaja. Disamping memastikan kemenangan, wajar kalau PKR turut memikirkan implikasi lain disebalik itu. [wm.kl.5:44 pm 08/03/14] | ||||
Posted: 08 Mar 2014 01:13 AM PST KESIMPULAN SORE
Hukuman ke atas Anwar itu ditangisi oleh rakyat Malaysia. Ia dirasai oleh semua rakyat yang mengharapkan wujudnya keadilan dan kebenaran dalam proses perundangan negara ini dan tidak ada campur tangan mahkamah ke atas apa-apa kes atau apa lagi menjadikan mahkamah sebagai senjata untuk memenjarakan musuh politik.
Rata-rata marah dan kecewa dengan keputusan mahkamah itu. Masing-masing menganggap ianya sebagai satu penghinaan kepada rakyat dan negara. Keputusan itu seakan mempermainkan hati rakyat kerana ia dibuat tidak berdasarkan prinsip keadilan sebenar dan proses perundangan yang telus. Yang marah dan terkilan bukan saja keluarga Anwar dan pimpinan PKR khas, tetapi orang ramai baik dari dalam negeri maupun di luar negara. Sebaik orang ramai mendapat maklumat itu mereka menyumpah dan memaki hamun ketiga-tiga hakim yang membuat keputusan, Balia, Aziah dan Mohd Zawawi. Tidak lupa juga yang menjadi sasaran kemarahan dan maki hamun ialah ketua Pendakwa Raya Shafee Abdullah. Bagaimana pun bagi mereka yang fasih politik dan tahu akan sepak terajang politik pula menyatakan kesal kepada pemimpin kerajaan yang terlibat dengan keputusan berkenaan terutamanya Najib Razak. Mereka membuat andaian bahawa keputusan yang dibuat petang semalam adalah bukan keputusan yang realistik berdasarkan fakta dan budibicara mahkamah, tetapi keputusan yang diagendakan dan dimonitor. Perasaan marah dan kesal itu bukan sangat kerana Anwar akan dikirimkan ke penjara tetapi adalah kepada proses tindakan itu diambil yang menampakkan sangat ia menyalah gunakan kuasa mahkamah. Rakyat tidak akan menangis dan bangkit menyatakan simpati kepada Anwar kalau proses perbicaraan itu berjalan di atas lunas-lunas undang-undang sebenarnya. Begitu juga dengan kes 15 tahun lepas, rakyat tidak kesal Anwar dipenjara atas kesalahan dilakukan tetapi biarlah ia berdasarkan prinsip undang-undang. Beberapa keganjilan berlaku di sepanjang mahkamah menguruskan kes rayuan liwat II itu. Mulanya tarikh pendengaran rayuan telah ditetapkan pada April, tetapi diubah (percepatkan) kepada 6 dan 7 Mac. Dipercayai pengubahan tarikh ini memandangkan ia ada kena mengena pilihan raya kecil Kajang 23 Mac dan hari penamaan calonnya 11 Mac yang akan disertai Anwar, Jelas di sini mahkamah digunakan untuk menyekat Anwar daripada menjadi calon di Kajang. Tujuan penyekatan itu ialah bagi menghalang Anwar menjadi Adun Kajang kemudian dilantik menjadi MB Selangor seperti diura-urakan menerusi Kajang Move. Pasti kalau tidak kerana adanya pilihan raya berkenaan, mungkin tarikh pendengaran rayuan itu kekal pada April. Ertinya keputusan dibuat itu dalam keadaan terdesak sehinggalah terpaksa melanggar beberapa kebiasaan yang tidak pernah dilakukan oleh mahkamah, seperti bersidang sehingga selepas waktu pejabat dan keputusan dibuat pada hari sama. Selalunya keputusan dibuat pada hari lain. Seperkara lagi bukti menunjukkan ada usaha untuk menghalang Anwar bertanding apabila tarikh pilihan raya kecil Kajang itu diperlambatkan. Biasanya apabila ada sesuatu kekosongan kerusi, SPR akan menetapkan pilihan raya paling lama dalam masa sebulan setengah selepas ianya didapati kosong. Bagaimana pun tidak dengan Dun Kajang ini. Ia diperlambatkan sehingga genap tempoh 60 hari. Jadi di sini memperlihatkan SPR sudah sepakat dengan mahkamah atas niat dan tujuan yang satu iaitu menghalang Anwar Ibrahim. Di sini jelas mahkamah digunakan untuk menafikan hak Anwar mara dalam kerjaya politiknya dan sekaligus menghancurkan harapan rakyat untuk melihat perubahan dalam pentadbiran negara ini. Ia juga memberi petunjuk bahawa musuhnya, kerajaan UBN sangat takut kepada kemaraannya yang makin mendapat sokongan rakyat. Di dalam blog, facebook, twitter semua orang menyatakan kemarahan mereka dengan berbagai cara dan perkataan. Masing-masing tidak dapat menerima keputusan yang dibuat oleh tiga Hakim Mahkamah Rayuan itu dan juga ketua pendakwa raya Shafee Abdullah. Gambar hakim-hakim dan pendakwa raya berkenaan dimasukkan ke dalam facebook dibiarkan dikutuk beramai-ramai. Tindakan ini menjelaskan kemarahan dan kebencian rakyat terhadap apa yang berlaku. Ledakan kemarahan rakyat ini terbukti apabila malam tadi lebih 5,000 orang terdiri golongan muda telah berhimpunan di Bilik Gerakan Besar PKR di Kampung Sikamat, Kajang walaupun notis mengenai himpunan itu singkat dan menerusi Facebook saja. Kehadiran anak muda yang simpati kepada nasib Anwar dan marah dengan keputusan mahkamah itu menjelaskan semangat mereka bersama Anwar tidak padam. Tindakan diluar dugaan mahkamah itu telah mengundang kemarahan dan membangkit semangat mereka untuk terus menentang ketidakadilan dan kezaliman kerajaan kepada Anwar khasnya dan pembangkang amnya. Adalah silap kalau para konspirator yang ingin menyekat Anwar ke dalam penjara dengan tindakan mahkamah itu. Perhitungan dibuat itu menjadi sebaliknya, umpama senjata memakan diri sendiri. Kehadiran begitu ramai anak-anak muda malam tadi yang sedia untuk membela Anwar dan demokrasi memberi satu pukulan kepada pihak kerajaan. Kerajaan atau Najib telah mencetus peluang baru untuk rakyat mengutuk dan membuat serangan ke atasnya. Himpunan malam tadi juga yang tujuannya memberi penjelasan berhubung nasib Anwar dalam pilihan raya Kajang ia bertukar menjadi program mengistyharkan Reformasi Ke-2. Timbalan Presiden PKR Mohamad Azmin Ali, sambil mengkritik Najib atas apa yang berlaku telah mengistyharkan Reformasi Ke-2 sudah bermula. Azmin menegaskan sudah sampai masanya untuk rakyat menggunakan jalan raya untuk menegakkan kebenaran setelah secara yang dihalalkan perlembagaan diperolok-olokkan. Azmin juga malam tadi tidak dapat menyembunyikan rasa marah dan emosinya kepada Najib dengan menyifatkan Najib adalah haiwan ternakan Mahathir dan Daim Zaunuddin. "Najib adalah haiwan ternakan Mahathir Mohamad dan Daim Zainuddin," demikian kata Azmin disambut oleh sorakan dan tepukan dan laungan reformasi. Azmin yakin keputusan mahkamah rayuan itu yang mengenakan lima tahun penjara ke atas Anwar adalah atas kehendak Mahathir dan Daim. Pendeknya peristiwa petang semalam mengguriskan hati rakyat negara ini. Dan seperti dinyatakan diawal tadi, saat gelora kemarahan dan kesedihan apa yang menimpa Anwar belum lerai, tiba-tiba pagi tadi rakyat negara ini dikejutkan pula dengan kejadian kehilangan pesawat MH 370 yang membawa 227 orang penumpang. Mana-mana pemimpin Umno yang waktu ini berhimpun di Janda Baik dalam satu retreat bagi meraikan kejayaan memenjarakan Anwar menerusi mahkamah, sebelum suka hilai tawa mereka berakhir, tiba-tiba mereka dikejutkan pula dengan kehilangan sebuah pesawat milik negara MH370? Kedua peristiwa dan tragedi yang berlaku dalam tempoh tidak sampai 12 jam itu seharusnya direnungi dan dijadikan iktibar. Tuhan sungguh adil di samping ada keriaan tetapi terselit kedukaan. [wm.kl.5:12 pm 08/03/14] |
You are subscribed to email updates from . To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan