. |
- Lojing yang indah dan hebat dimata?
- Mengapa Tokguru Nik Aziz menangis?
- Tujuh Cabang Keadilan Kelantan berebut ketua
Lojing yang indah dan hebat dimata? Posted: 31 Mar 2014 03:05 AM PDT CATATAN PERJALANAN
Pemandangan alam semula jadi yang segar di beberapa buah kampung Orang Asli, Post Broke, Kampung Raja dan lain hinggalah ke simpang ke Kuala Betis di Gua Musang mendamaikan. Alam flora dan fuana semulajadi masih kekal menjadikan keamanan yang dinikmati di negara ini bertambah-tambah. Apa lagi angin dari tanah tinggi Lojing yang ketinggi 2,000 meter dari paras laut berhembus dari lereng-lereng banjaran Titiwangsa menyegar dan melegakan nafas. Kesejutan deruan anginnya cukup membolehkan kita tidak memerlukan penghawa dingin dalam kereta. Jarak dari Simpang Pulai ke Gua Musang sekitar 110 km, keadaan jalan yang lawas dan terelak kesibukan dan jam memakan masa kira-kira 1 jam 15 minit. Agak lama saya tidak melalui tanah tinggi Lojing ini. Kali terakhir ialah kira-kira empat tahun lalu, sebelum pilihan raya umum ke-13. Kerja-kerja pembotakan dan menarah bukit bukau di Lojing pernah menjadi isu hangat. Ia dikaitkan dengan kegagalan kerjaaan Kelantan dalam melihara alam sekitar. Disebabkan kebimbang kerana berlaku pencerobohan menyebabkan Lojing diawasi secermatnya di pembentukannya sebagai daerah kecil Lojing dilaksanakan pada tahun 2005.
Satu dokumentari khas mengenai pembotokkan tanah tinggi Lojing disediakan. Ia memberi gambaran kerakusan pihak berkuasa kerajaan Kelantan. Video dan foto stil disebarkan dalam internet. Apa yang ditunjuki oleh gambar-gambar itu suatu hakikat yang tidak dapat dinafikan. Memang banyak bukit bukau di Lojing digondolkan. Malang sedikit pendedahan itu tidak begitu tepat dan berasas fakta jitu menyebabkan ia dilihat semata-mata kerana ingin memburukkan kepimpinan kerajaan Pas Kelantan yang ketika itu dibawah pimpinan Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Masih saya ingat, seorang bekas Exco pernah menjawab isu yang dibangkitkan itu. Menurutnya pembotakan memang berlaku di tanah tinggi Lojing untuk tujuan pembangunan. Penarahan bukit bukau untuk tujuan industeri pertanian tidak dapat dielakkan. Tetapi yang penting pembugaran alam semujadi itu masih mematuhui piwaian yang ditentukan termasuk Penilaian Alam Sekitar (EIA).
Sebagai rekod, tanah tinggi Lojing mula diusik pada zaman kerajaan Kelantan dibawah UBN lagi. Dari tahun 1985 seluas 3,978.98 hektar telah dibugar menerui beberapa agensi kerajaan. Antaranya ialah PKINK, Yakin, KADA dan dua buah syarikat Multi Syestem dan Jasa Benar. Manakala sejak tahun 1990 hingga tahun 2008 dizaman Pas memerintah, kerajaan Kelantan memberi lesen kepada 22 buah syarikat pembalakan dan juga pertanian. Pembugaran oleh syarikat-syarikat yang diberi lesen masih mengikut peraturan yang ditetapkan. Hanya kalau ada pun pencerobohan ialah oleh peladang sayur yang tamak dan tidak tahu tata rakyat meluaskan kawasan mereka tanpa merujuk kepada pejabat tanah. Pembangunan masih terpelihara, ini terbukti bila mana tidak banyak syarikat yang dikenakan tindakan kerana melanggar peraturan telah ditetapkan. Dalam kata lain suasana dan pembangunan di Lojing masih terkawal dan mengikut lunas-lunas pembangunan alam yang dikanunkan. Berertinya, kerajaan Kelantan baik dizaman Nik Aziz membawa ke zaman Ahmad Yaakub mengawasi pembangunan di tanah tinggi Lojing itu sesuai dengan pembangunan yang dituntut oleh undang adat dan agama juga. Manakala ternyata apa dijelaskan bkas exco dulu itu benar. Hari ini bukit bukau yang berbanjaran di pinggir jalan Lojing ke Gua Musang yang dulu gongol kini sudah tidak botak lagi. Ibarat kepala yang rambutnya dicukur kini ia sudah tumbuh kembali. Menghijau. Kawasan yang dulu 'lebut' dan terang kini dipenuhi dengan ribuah kehemaah atau cnopy sayur-sayuran. Bagaimana kelihatan bukit-bukit yang kelihatan botak kini adalah bukit yang baru ditarah. Sungguh merujakan saya tatkala melewati sepanjnag jalan di Lojing. Ia mengenangkan saya kepada apa yang disaksikan di Arafah pada musim haji, dimana Arafah dipenuhi dengan khemah jemaah. Suasana memutih, dikiri kanan dan jalan hingga ke puncak bukit, menjulung rasa bangga di dalam hati. Loijing kini benar-benar sudah menjadi kawasan perindusterian sayur mayur menyamai Cameron Hinghland. Di samping hati merasa bangga dengan pemandangan itu, kerana ia menggambarkan kehebatan Kelantan dalam industeri pertanian, di dalam hati tertanya-tanya siapakah yang memiliki semua perkebunan itu? Apakah ianya kepunyaan rakyat Kelantan atau pun rakyat asing? Kalau ia kepunyaan rakyat Kelantan berapakah nisbahnya berbanding dengan syarikat-syarikat asing? Dan apakah agensi kerajaan yang menjadi penjana kewangan untuk negeri seperti Kompleks Pertanian Kelantan (KPK), PKINK atau Yakin dan lain-lain turut memilik aset di tanah tinggi itu? Pertanyaan ini menuntut satu penjelasan yang tidak perlu dijawab. Sekiranya agensi kerajaan ataupun syarikat-syarikat GLC Kelantan turut memilik aset dengan apa yang ada di tanah tinggi Lojing itu, amatlah berbesar hati kita semua selaku rakyat Kelantan. Tetapi kalau ia adalah milik orang asing dan kerajaan hanya mengutik hasil tidak seberapa, jadilah pembangunan dan kemakmuran dilihat di tanah tinggi Lojing itu tidak membawa banyak erti. Kita hanya akan dapat melihat keindahan dan kehebatannya, tatakala melalui lenggang lenguk sepanjang jalan ke Lojing, tetapi tidak dapat merasai hasil kemakmuran. Maka apa yang ada di Lojing itu tak lebih dan tidak kurang sebuah pemandangan panorama indah sebuah lukisan minyak dalam kanvas, ia boleh dilihat tetapi tidak boleh disentuh dan rasa. [wm.kl.5:43 pm 31/03/14] | ||||||||
Mengapa Tokguru Nik Aziz menangis? Posted: 30 Mar 2014 06:10 AM PDT MENYELIT RASA Secara relatifnya seseorang yang tinggi tahap keimananya dia senantiasa merasakan dirinya berdosa dengan Allah. Dia akan menginsafi akan kelemahan dirinya, maka dia terus beristighfar kepada Allah sebanyak mungkin agar Allah memaafi dosa-dosanya baik kecil atau besar, sedar atau tidak. Itulah tahap seorang bertaraf waliyullah.
"Maafkan segala kesilapan saya selama saya pimpin Kelantan," demikian rayu Nik Aziz diselai tangisan memilukan. Beliau juga mengaitkan sakit yang dihadapi kini mungkin kerana kifarat Allah ke atasnya. "Ni sakit saya mungkin Allah nak kifarat dosa saya atas apa kesalahan yang saya buat selama pimpin Kelantan." Tokguru kini keuzuran kerana menanggung sakit prostat sehinggakan terpaksa membawa beg plastik untuk ke mana-mana. Pernyataan ikhlas Tokguru itu sungguh menyayu dan menyebakkan hati. Kita merasakan betapa humble dan rendahnya diri beliau sebagai seorang hamba Allah. Siapa yang berani mengatakan dia ada kesalahan selama memerintah Kelantan? Kalau pun ada ia adalah kelaziman dihadapi penguasa seperti beliau. Beliau tidak perlu menyesali kerana kehebatan syiar Islam yang dibawanya mengkagumkan semua orang. Penampilan dirinya sebagai murrabi dan pemimpin disanjung semua lapisan masyarakat tanpa mengira warna kulit, anutan agama dan bangsa. Beliau dikagumi oleh semua orang. Yang mencium tangannya tanda hormat, bukan saja orang Melayu tetapi India, Cina dan Siam juga. Tentunya orang akan beranggapan tidak perlu beliau membuat apologetik begitu dan sedih atas apa dilakukan. Tetapi itulah Tokguruku Nik Aziz yang tetap merasakan dirinya sebagai tidak maksum bila-bila masa. Jawatan, penghormatan dan status tinggi yang didudukinya tidak pernah mengasingkan dia menjadi seorang yang sombong dan ego. Dia tetap menganggap dirinya sebagai abdi Allah. Inilah kemuliaan beliau kepada saya. Saya merasakan permohonan diselai tangisan itu bukan penyesalan berat baginya, tetapi ia membawa maksud lain. Tangisan dan pengakuan ikhlas itu adalah simbolik yang perlu ditafsirkan secara mendalam. Tangisan dan pengakuan itu kena diterjemahkan oleh setiap orang, khasnya mereka yang mengakui sayang dan kasih kepadanya. Bukan rakyat Kelantan tetapi para pemimpin Pas Kelantan khususnya. Apakah beliau menangis setelah menyedari apa yang pernah diberitahu (diingatkan) kepadanya selama ini telah menjadi kenyataan? Atau ada keputusan-keputusan berhubung politik yang tidak tepat dibuatnya? Mungkin nasihat-nasihat politik dan juga urusan pentadbiran yang diberitahu sebelum ini, semasa beliau jadi MB, tetapi tidak sempat ditangani dengan jaya telah meninggalkan kesan jiwa buatnya. Atau pun apa yang beliau harapkan selepas meninggal Kota Darulnaim tidak kesampaian? Itukah puncanya maka Tokguru menangis? Mereka yang bersamanya serta menghayati pentadbirannya selama 22 tahun, tahu apa yang menyentuh hati dan perasaanya. Orang luar dan rakyat Kelantan tidak dapat meneka apakah yang memilukan hati sehingga air jernihnya gugur ke tikar didalam masjid kecualilah mereka yang mengelilingi hidupnya? Pasti Ahmad Yaakuh, Mohd Amar Nik Abdulllah, Husam Musa dan lain-lain memahami erti tangisan Tokguru itu. Kalau tangisan itu bersifat peribadi, Tokguru boleh menangis didalam kamar khalwatnya bersendirian. Dia boleh bermunajaknya kepada Tuhan secara senyap. Tetapi apabila dia menangis di hadapan umum, selepas solat Subuh, sudah pasti tangisan itu untuk diterjemah oleh semua orang. Elok mereka yang mengambil alih pemerintahan daripadanya memahami dan mentafsirkan erti tangisan tokguru itu. Ustaz Ahmad Yaakub dan segenap pimpinan kerajaan dan parti kini kena menganalisa apa yang berlaku. Ambillah setitik air mata tokguru dan kajilah dalam makmal hati masing-masing. Ada sesuatu yang sangat mengilankan kalau sebab musabab mengapa tokguru menangis Sabtu lalu itu tidak dapat difahami. Jangan biarkan Tokguru menangis lagi kalau kita semua sayangnya. Sudah cukup kita menyeksanya. Setitik airmatanya perlu dilunasi. Tidak mungkin tokguru akan menyebut satu persatu apa yang menjadi kekesalan atau apa yang tidak memuaskan hatinya. Tidak! Tetapi kita semualah kena arif dan menghayati serta menganalisa akan erti tangisan itu. Tangisan tokguru seperti juga kata-katanya mempunyai mantik paling dalam hanya jauhari memahami manikam maksud dan natijahnya. Sekiranya kita semua gagal menghentikan sendu dan aliran air mata tokguru, khasnya penggantinya dan barisan pemimpin dalam kerajaan dan parti kini, maka semua orang berdosa apa lagi sekiranya tangisan tokguru itu disebabkan kelemahan kepimpinan kerajaan dan partinya. Maka pemegang amanat hari ini adalah penanggungjawabnya kepada setiap titis air mata tokguru yang gugur ke lantai masjid. Fahamilah tangisan tokguru dan jangan ianya dianggap sebagai air mata seorang insan yang sudah berada di hujung senja yang merindui kematian. Hati togkuru tidak tersentuh sekiranya tiada apa-apa yang menyentuh hatinya. Hentilah tangisan tok guru dengan semua pihak bermuhasabah diri masing-masing. Keriangan kepada tokguru ialah dengan berpadunya pimpinan Pas dan kerajaan di Kelantan akan utuh selama-lamanya. [wm.kl.8:47 30/03/14] | ||||||||
Tujuh Cabang Keadilan Kelantan berebut ketua Posted: 30 Mar 2014 04:13 AM PDT PERKEMBANGAN PKR
Antara cabang akan melibatkan pertanding ialah Kota Bharu, dimana ketua sekarang Abdul Halim Harun akan ditentang oleh Ketua AMK Kelantan Azihan Che Seman, ketua cabang Jeli, Mat Sulaiman pula akan ditentang oleh Ramlan Mat, ketua cabang Kuala Krai, Roslan Putih akan ditentang oleh Halimah. Lain-lain cabang akan menyaksikan perlawanan, Pasir Puteh, ketua sekarang Mohd Noor Sidik ini akan ditentang oleh Ismail Mohamad manakala ketua cabang Gua Musang pula akan berlaku perlawanan di antara Shah Amiruddin dengan Penyelia Dun Paloh Noraini Hussein yang juga ketua cabang Rantau Panjang.
Cabang-cabang yang juga kemungkinan berlaku perlawanan ialah Tanah Merah. Ketuanya Amran Abdul Ghani dikatakan tidak berminat untuk memimpin cabang Tanah Merah. Besar kemungkinan jawatan itu akan direbut oleh pemuka baru Dr Hafiz Rizal Amran dengan timbalan sekarang Cikgu Khalid. Di Tumpat kemungkinan ketua cabang akan disandang oleh bekas calon Pengkalan Kubur, Shahrum Ibrahim apabila bekas ketua AMK Kelantan Zamaksari berharat untuk memasuki Tumpat tetapi tidak berjaya kerana perpindahan keahliannya dari Pengkalan Chepa ke Tumpat tidak diluluskan. Di Machang juga akan berlaku perebutan. Belum pasti siapakah akan bertanding merebut jawatan di Machang. Ada beberapa nama berpotensi antaranya Rosli, Hishon dan penyelia parlimen Machanng kini.
Hanya dua cabang yang dirasakan tidak menghadapi apa-apa perlawanan terutamanya untuk jawatan ketua cabang iaitu, Ketereh dan Pasir Mas. Kedudukan Abdul Aziz Kadir di Ketereh dan Dr Wan Suhami Wan Daud di Pasir Mas selamat setakat ini. Perkembangan Keadilan Kelantan menjelang kongres nasional melibatkan pemilihan pemimpin ini memandakan parti berkenaan masih bersemangat dan berpotensi untuk bergerak seiringan dengan Pas. Sekiranya Keadilan sudah mengheret dada di Kelantan seperti dakwaan sesetengah pihak, sudah tentu tidak berlaku kekalutan dalam pemilihan peringkat cabang. Pertandingan selain menujukan kurangnya semangat bermusyawarah ia juga menunjukkan kehebatan sesebuah parti itu. [wm.kl.7:06 pm 30/03/14] |
You are subscribed to email updates from . To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan