Sabtu, 1 Mac 2014

.

.


Abdul Hadi, pilihan raya kecil Kajang membawa mesej besar

Posted: 28 Feb 2014 06:55 PM PST

ULASAN                                                                                               

Malam tadi buat pertama kali Presiden Pas, Abdul Hadi Awang turun ke gelanggang pilihan raya kecil di Kajang dalam rangka memastikan Pakatan Rakyat menerusi Anwar Ibrahim akan menang dengan majoriti besar bagi melonjakan sokongan rakyat untuk PR ke Putrajaya.

Hadi PRK Kajang penting.
Kehadiran Abdul Hadi itu secara automatik menolak suara-suara sumbang termasuk di kalangan anggota Pas sendiri yang menganggap pilihan raya itu tidak perlu dan membazir. Saya tidak kira kehadiran Abdul Hadi itu hanya sebagai pemanis mulut saja, tetapi ia adalah komitmen serius Pas dalam pilihan raya berkenaan.

Berucap melancarkan jentera pilihan raya pemuda PR, di Taman Mesra Kajang malam tadi, Abdul Hadi berkata pilihan raya kecil Kajang besar makna dan ertinya untuk menyampaikan beberapa mesej kepada kerajaan BN.

Mesej pertama, bahawa demokrasi bukan sahaja setakat memberi peluang kepada pengundi memilih pemimpin, tetapi ia juga merupakan untuk melihat sejauh mana media massa berfungsi mengikut lunas-lunas demokrasi.

"Media harus diberi kebebasan dan hak demokrasi seluas-luasnya tanpa batas dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka serta memaknakan erti demokrasi," katanya.

Apa yang hendak ditekankan oleh Abdul Hadi setiap pilihan raya atau sistem demokrasi yang diagung-agungkan itu biarlah berjalan betul, tidak tempang, barulah ianya boleh diikhtirafkan sistem ini sempurna dan kerajaan yang dipilih menerusinya merupakan sebuah kerajaan yang halal.

Beliau menarik perhatian dalam hal ini, memandangkan banyak berlaku kecacatan dalam demokrasi dan pilihan raya, yang dimana beliau sering menganologinya sebagai 'bermain' di atas padang yang tidak sama rata.

Mesej kedua, pilihan raya Kajang adalah untuk melonjakkan sokongan rakyat kepada PR bagi persiapan ke Putrajaya. Bagi beliau pilihan raya kecil Kajang bukan main-main tetapi sesuatu yang serius dan perlu didokong.

Katanya, peluang dan harapan Pakatan Rakyat cerah untuk ke Putrajaya berpandukan kepada keputusan pilihan raya umum lepas dimana lebih 50% undi popular diraih oleh Pakatan Rakyat.

Kejayaan itu katanya menjelaskan bahawa Pakatan Rakyat berjaya memecan sempadan perkauman yang dibina oleh BN untuk mengukuhkan kedudukannya. "Kawasan bandar campuran dimenangi oleh Pakatan Rakyat ini membuktikan kita berjaya memecan sempadan perkauman," tegasnya.

Mesej ke tiga, pilihan raya kecil Kajang itu untuk menghumbankan kerajaan yang tahu berjanji tetapi tidak melaksanakannya. Memang dalam pilhan raya lalu BN membuat pelbagai janji molok-molok untuk mempengaruhi rakyat tetapi tidak ditepati.

Misalnya janji untuk tidak menaikkan harga minya, tetapi selepas pilihan raya subsidi minyak ditarik balik menyebabkan harga minya naik. Begitu juga dengan barangan dan keperluan lain seperti gula, kadar takrif eletetrik dan sebagainya semuanya naik.

Jadi kegagalan kerajaan menunai janji itu perlu dihantar melalui pilihan raya kecil berkenaan.

Berdasarkan kepada beberapa mesej dan tujuan itu, kata Abdul Hadi pilihan raya itu perlu didepani dengan bersungguh dan jentera pilihan raya hendaklah sampai masej ini kepada pengundi di Kajang. [wm.kl.10:54 am 01/03/14]

Faekah harus jelaskan anasir hendak ganggu MoU?

Posted: 28 Feb 2014 04:38 PM PST

SEBUKA MATA                                                                                    

Faekah perlu sebutkan siapakah anasir luar itu.
Bekas Setiausaha Politik MB Selangor, Faekah Husin yang dinaikkan pangkat menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Incorporate (MBI) mengakui pengambilalihan ekuiti empat syarikat konsensi air di Selangor tidak diberi tahu kepada semua pemimpin Pakatan Rakyat disebabkan ketidakpastian perjanjian itu sebelum ianya dimuktamadkan.

Faekah juga mengatakan persefahaman (MoU) itu ditandatangani dalam keadaan mengejut dan tergesa-gesa.

Beliau yang dilantik untuk menjadi perunding penstrukturan semula air itu, mengatakan ia tidak diberi tahu kepada sesiapa kerana ada anasir luar yang akan menganggu penstrukturan air itu yang sangat diperlukan oleh rakyat Selangor.

Penjelasan Faekah itu menimbulkan tanda tanya dan menyebabkan tuduhan mengatakan persefahaman (MoU) itu kerajaan Selangor tertipu atau terperangkap menjadi lebih kuat dan benar lagi.

Persoalan timbul, kenapa perkara begitu penting yang membabitkan soal maruah kerajaan Selangor dipermainkan semudah itu. Apakah alasan dan logiknya maka setiap perundingan yang dilakukan tidak dikhabar kepada mana-mana pihak berwajib termasuk pemimpin Pakatan Rakyat.

Pemimpin Pakatan Rakyat perlu mengetahui kerana apa-apa juga risiko yang timbul dari apa yang berlaku itu tertanggung di atas bahu mereka? Apakah Faekah merasakan dia lebih berkuasa setelah dilantik menjadi perunding urusan berkenaan? Cukupkah kalau perlantikan itu dibuat atas kepercayaan Khalid semata-mata tanpa dibawa kepada pihak pengurusan parti?

Faekah tidak boleh memutuskan perkara itu hanya di antara dia dengan Abdul Khalid Ibrahim saja. Pemimpin lain termasuk Pas, DAP perlu mengetahuinya kerana kerajaan Selangor adalah sebuah kerajaan pakatan dan bukan diuruskan secara korporat oleh Khalid.

Bolehkah dikatakan di sini dengan pengakuan dibuat itu, Faekah sudah melakukan penyalahgunaan kuasa atau dalam bahasa lebih teruk lagi pengkhianatan? Beliau turut bersubahat dan dipertanggungjawab jika persefahaman itu menimbul masalah lebih rumit sehingga menyebabkan kredibiliti kerajaan terjejas?

Benar masalah air kritikal dan persefahaman itu juga membolehkan kerajaan Selangor mengurus sendiri hal ehwal air. Tetapi apabila pencapaian persefahaman itu dibuat menjadi tanda tanya menyebabkan nawaitu yang baik itu tidak akan menjadi perkara penting lagi. Ketidaklicinan pemuktamadannya akan menjadi persoalan.

Dengan pengakuan Faekah itu, sama ada persefahaman itu merugikan atau menguntungkan menjelaskan beliau gagal bertindak sebagai perunding yang jujur dan bertanggungjawab kepada majikannya, iaitu kerajaan Selangor.

Daripada penjelasan Faekah itu, bahawa tanda tangani persefahaman itu dalam keadana tergesa-gesa maka jelas kerajaan Selangor terperangkap. Mohd Najib Razak dan Muhyiddin Yassin yang ikut hadir pada majlis tanda tangan itu inginkan political mileage untuk pilihan raya kecil Kajang membayangkan apa yang berlaku di sebaliknya.

Faekah juga ada menjelaskan proses perundingan sehingga termeterainya persefahaman itu adalah kerana mengelakkan ianya diketahui anasir luar yang boleh menganggu perundingan itu. Siapakah anasir luar yang dimaksudkan itu. Kalau ada anasir luar apakah tidak ada anasir dalam yang lebih bahaya? Sebab anasir adalah orang ataupun kumpulan yang jahat. Faekah harus menjelaskan dan tidak menggantungkan persoalan itu sehingga boleh menimbulkan fitnah.

Seorang pegawai yang berintergriti, tegas dan juga harus tidak menyembunyikan apa-apa yang sepatutnya diberitahu bagi mengelak timbul pelbagai tanda tanya. Dan kalau beliau gagal menuntaskan perkara ini maka beliau wajar berundur dari jawatan yang dipegang itu kerana jawatan itu adalah kepunyaan kerajaan (PR). [wm.kl.8:28 am 01/03/14]

Tiada ulasan: