MIMPI SENJA |
- Boria, gulai daging buat Anwar
- Pembunuhan aktivis Myanmar di Ampang cetus kebimbangan
- PRK Kajang : Zaid diramal hilang deposit
- Guru wanita dipenjara kerana cium murid
- Saya Dipukul Lebih Seribu Kali Setahun - Anak Pasangan Malaysia Di Sweden
- Mahathir memang kuat pemohong ...Mahathir berbohong tentang Kassim Ahmad, kata bekas ketua Persatuan Ulama
- Asteroid Sebesar 3 Padang Bola Lepasi Bumi
- Kassim Ahmad ibarat bongkah ais di permukaan laut
Boria, gulai daging buat Anwar Posted: 19 Feb 2014 10:50 PM PST Andai kata dinobatkan sebagai Menteri Besar Selangor, maka sah dan nyatalah Anwar Ibrahim mencipta sekurang-kurangnya dua sejarah. Selain menempatkan diri dalam politik Selangor sebagai MB pertama bertaraf bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, ada satu lagi perlu perhatian. Anwar merupakan orang luar pertama (bukan anak jati Selangor) dipilih menjadi MB. Ini tidak menghairankan kerana Anwar sudah menetap di negeri ini sejak 1970an, semasa menuntut di Universiti Malaya dan memimpin Abim yang pejabatnya di Lembah Pantai. Bagi orang Pulau Pinang, ia mengujakan dan boleh buat kenduri gulai daging. Manalah tahu kalau ada dicipta sebuah lagu boria khas untuk majlis pelantikan ini. Apa pun dan dalam situasi mana sekalipun, impian Anwar ke Shah Alam semakin dekat. Jika tidak ada sebarang halangan sebaik bergelar YB Kajang awal bulan depan, beliau bakal pula bergelar YAB. Kali pertama memakai gelaran serupa ialah apabila bekas mentornya, Tun Dr Mahathir Mohamad melantiknya sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1993 ekoran peletakan jawatan Pak Ghafar Baba. Isu ini timbul apabila kemelut Khalid Ibrahim dan Azmin Ali, rupa-rupanya ada satu lagi drama politik. Di pentas sama andaian dibuat, Azmin Ali selaku Timbalan Presiden PKR mahukan Khalid dipecat. Ia tak menghairankan kerana perbuatan Khalid menyebabkan Azmin kehilangan jawatan di PKNS. Dari aspek moral ia amat memalukan. Faktor lemah dan gagal mentadbir Selangor mengiringi desakan terhadap MB ini. Ironinya di atas permukaan sebahagian besar penyokong dan ahli PKR menyebelahi Khalid untuk dikekalkan. Manakala hal sama dilihat berasaskan komen daripada regu PKR iaitu Pas dan DAP. Kumpulan yang menentang Khalid melihat usaha membuang MB itu tidaklah sesusah mana. Bagaimanapun jangkaan itu semakin meleset apabila mereka dapati Khalid bukan lagi seperti mereka kenali dulu — tidak tunduk pada sebarang tekanan. Walau terpaksa berdepan dengan Anwar dan PKR, risiko bagi Khalid tak ubah seperti satu pekerjaan. Apakah semangat baru ini kerana Presiden parti, Wan Azizah Wan Ismail berada di belakangnya? Untuk rekod Khalid telah menafikan beliau ada menandatangani surat peletakan jawatan. Ini mendorong spekulasi laluan Anwar, walau bakal bergelar YB Kajang, tidak semudah dijangkakan. Kita lihat dari aspek lain, Sultan Selangor ada hak dan peranan menentukan Selangor perlu seorang MB baru merujuk kepada isu Khalid. Lazimnya Tuanku tidak mencampuri atau menyebelahi urusan politik kepartian. Namun dalam bab jawatan MB, penglibatan istana harus diakui. Ia berlaku semasa BN memerintah Selangor, begitu juga sekarang. Peranan Tuanku tidak perlu dimanipulasikan. Bahkan jika berlaku sebarang konfrontasi puak Anwar akan mengalah. Keadaan ini lebih baik daripada ibarat menyediakan kubur menjelang PRU14 kelak. Sejarah membuktikan konfrontasi dengan istana merugikan orang politik kerana lazimnya rakyat akan menyebelahi istana seperti yang pernah berlaku. Rekod Khalid sejak 2008 perlu diambil kira. Keputusan Anwar memilih Khalid sebagai MB Selangor mengetepikan Azmin mestilah bersebab. Puak korporat selesa dengan pendekatan Khalid lebih business oriented daripada lebih kepada menggunakan pertimbangan berasaskan sifir politik. Oleh itu ramai yakin kemenangan cemerlang Pakatan Rakyat di Selangor dalam PRU ke13 lalu adalah faktor Khalid. Kini perhatian dunia kepada PRK Kajang, yang bermula hujung minggu ini. Pertanyaan popular ialah apakah Anwar masih ada aura seperti bertanding di PRK Permatang Pauh dahulu? Jika pengundi di Kajang memilih beliau sebagai Adun, ini tidak bermakna laluan seterusnya jauh lebih mudah. Ia kerana halangan utama tentu saja, seperti disebut tadi, perkenan pihak istana. PKR harus membekalkan cukup sebab bagi menanggalkan jawatan Khalid serta di tempatnya digantikan dengan Anwar. Kalangan media serta BN Selangor pula nampak hala tuju PKR Selangor selepas PRK Kajang tetapi mereka percaya Khalid juga mempunyai strateginya. Undi tidak percaya terhadap Khalid hanya boleh berlaku jika semua Adun PR sebulat suara. Perpecahan bererti ia menguntungkan Khalid lebih-lebih lagi jika wakil rakyat BN memberikan sokongan padanya. BN Selangor mempunyai sebab tersendiri menyokong Khalid kerana selain anak jati Selangor, beliau adalah MB untuk rakyat Selangor. BN sedar kesukaran tembusi kubu PR adalah kerana rakyat melihat kesungguhan Khalid memajukan negeri ini. Soal sekecil seperti soal pengangkutan sampah hingga isu pembangunan ditangani secara profesional tanpa melibatkan fahaman politik. Justeru cita-cita Anwar untuk jawatan tersebut tidak lebih daripada satu lagi boria politik yang tidak asing untuk rakyat Malaysia.- - 20/2/14 - yusof harun |
Pembunuhan aktivis Myanmar di Ampang cetus kebimbangan Posted: 19 Feb 2014 09:00 PM PST Pembunuhan kejam pejuang demokrasi kelahiran Myanmar di Ampang melahirkan kebimbangan rakyat Myanmar di Malaysia jika ketegangan agama di tanah air mereka merebak ke dalam komuniti mereka yang sangat kecil di sini, kata satu laporan hari ini. Polis berkata, Ko Aung Gyi, penganut agama Buddha dan ahli Persatuan Jenerasi 88 dan Jenerasi Baru - kumpulan yang menonjol dalam memperjuangkan demokrasi di Myanmar ditemui mati pada 4 Februari lalu. Mayat aktivis berusia 43 tahun itu ditemui dalam bonet kereta terbiar. Laporan autopsi menunjukkan kemungkinan dia ditikam di tengkok dan muka dengan pemutar skru, diserang dengan benda berat, kemungkinan batu bata dan ditumbuk beberapa kali. "Saya sangat takut," kata Myat Ko Ko, seorang penganut Buddha yang pernah berdemonstrasi bersama Aung Gyi untuk menuntut demokrasi di Myanmar."Apa yang berlaku kepada Aung Gyi juga boleh berlaku kepada aktivis lain," katanya dipetik oleh Asian Wall Street Journal dalam laporannya semalam. Kematian Aung Gyi berlaku dalam minggu sama dengan kejadian dua ahli politik Buddha dari daerah bergolak Myanmar iaitu Rakhine yang terselamat daripada tembakan ketika melawat Kuala Lumpur, dalam kejadian disifatkan polis sebagai percubaan membunuh. Aye Maung, peguam, dan Aye Thar Aung, Presiden Liga Demokrasi Arakan, kumpulan yang memperjuangkan hak etnik Buddha Rakhine berkata pada sidang media, 'pengganas agama' terlibat dalam cubaan untuk membunuh mereka. Polis Malaysia bagaimanapun tidak memberikan motif atau mengenal pasti orang yang disyaki dalam serangan itu. Polis berkata, tiada bukti sehingga kini yang mengaitkan kedua-dua kejadian itu dan pilis akan menyiasat kedua-dua kejadian itu daripada semua sudut untuk mengenal pasti motif. Kebangkitan sentimen anti-Islam di Myanmar mengganggu perubahan politik, dengan majoriti Buddha melawan minoriti, khasnya di Rakhine yang bersempadan dengan Bangladesh. Lebih 150,000 masih tidak ada tempat tinggal selepas keganasan yang tercetus sehingga memaksa mereka meninggalkan rumah dan tinggal di tempat tinggal sementara, lapor media. Pertempuran merebak ke kawasan lain di negara itu sepanjang tahun lalu, membunuh sekurang-kurangnya 150 mangsa yang kebanyakannya beragama Islam. Pakar keselamatan memberikan amaran ketegangan ini boleh merebak ke kawasan lain di Asia Tenggara, khasnya di Malaysia yang mempunyai majoriti penduduk Islam dan Indonesia yang simpati dengan nasib umat Islam di sana dan membalas dendam. Malaysia sangat terdedah kepada apa yang berlaku ini, kerana mempunyai penduduk Myanmar yang beragama Buddha dan Islam yang ramai, lapor sebuah harian perniagaan. Pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi orang pelarian berkata, 34,368 Rohingya didaftarkan sebagai pelarian di Malaysia, bersama 7,940 etnik Rakhine. Dijangka ribuan rakyat Myanmar berada di Malaysia secara haram atau menunggu didaftarkan sebagai pelarian. Kebanyakan etnik Rakhine adalah Buddha, manakala Rohingya adalah Islam. Aktivis Myanmar beragama Buddha di Malaysia memberitahu The Wall Street Journal, mereka bimbang dengan keselamatan mereka. Manakala umat Islam Myanmar yang tinggal di Malaysia pula bimbang mereka dituduh terlibat dalam serangan itu dan menjadi sasaran keganasan. "Saya belum pernah mendengar Rohingya membunuh aktivis atau ahli politik sepanjang hidup saya," kata Abdul Hamid Musa Ali, Presiden Persatuan Rohingya Malaysia, kumpulan yang menyediakan bantuan kepada Rohingya Muslim di negara ini. "Jika Rohingya ini berani, mereka akan kekal di Rakhine dan berjuang di sana," katanya. Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar bimbang dengan merebaknya ketegangan antara Buddha - Islam di Myanmar. "Kami mengikuti perkembangan di Myanmar secara dekat," kata Khalid. Pada Jun, keganasan yang berlaku di Rakhine menyebabkan empat mati di Malaysia dan 15 lagi cedera, semuanya penganut Buddha Myanmar. San Win, Buddha Myanmar yang tinggal di Malaysia berkata, dia dan Aung Gyi menerima ancaman bunuh selepas itu. San Win berkata, dia dan rakan-rakannya sangat bimbang berikutan pembunuhan rakan-rakannya. Pada Mei lalu, beberapa rakyat Indonesia ditahan kerana didakwa cuba mengebom kedutaan Myanmar di Jakarta. Tertuduh kemudiannya mengaku membuat rancangan itu, dengan berkata mahu membalas dendam dengan pembunuhan yang berlaku ke atas umat Islam di Myanmar. Indonesia mempunyai bilangan umat Islam teramai di dunia. – 20 Februari, 2014. - TMI |
PRK Kajang : Zaid diramal hilang deposit Posted: 19 Feb 2014 08:14 PM PST KUALA TERENGGANU – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim dijangka kehilangan deposit jika beliau benar-benar bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kajang. Pengarah Pilihan Raya Pas Terengganu, Ariffin Deraman berkata, Zaid tidak mempunyai pengaruh besar yang boleh menyebabkan pengundi bertindak memilihnya pada pilihan raya semula itu pada 23 Mac ini. Menurutnya, keputusan Zaid untuk bertanding bagi menghormati mandat rakyat Selangor terhadap kepimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim juga disifatkan tidak kukuh untuk menarik minat pengundi beralih sokongan daripada PR. "Negara kita demokrasi. Sesiapa yang mahu bertanding pun terserah, tetapi kita melihat penyertaan Zaid Ibrahim tidak memberi kesan kepada undi PR sama ada beliau bertanding atau tidak, sama sahaja. Dia masuk pun tiada matlamat apa-apa," katanya kepada Sinar Harian, di sini. Zaid Ibrahim sebelum ini mengumumkan hasrat bertanding sebagai calon Bebas pada PRK Dun Kajang. Melalui tulisan terbaharu dalam laman blognya, Zaid berkata, bertanding sebagai calon bagi kerusi itu akan membolehkannya menyentuh pelbagai isu politik dan ekonomi yang sedang melanda negara. Mengulas lanjut, Ariffin berkata, perkembangan politik ketika ini dilihat tidak memberi ruang kepada calon Bebas untuk menang, sebaliknya pemilih memberi tumpuan kepada parti politik seperti BN dan PR. Berbanding dahulu katanya, calon Bebas mampu menang disebabkan pengaruh yang ada pada seseorang individu. "Tetapi sekarang, keadaan sudah berubah dan pengundi tidak lagi melihat kepada pengaruh individu sebaliknya parti. Kalau dahulu, jika pemimpin BN yang mempunyai pengaruh keluar parti dan bertanding Bebas, dia masih boleh menang khususnya di Semenanjung Malaysia. Kalau di Sabah dan Sarawak saya tidak tahu," katanya. Beliau turut menjelaskan, sekalipun Datuk Seri Anwar Ibrahim menang di kerusi terbabit, belum tentu Ketua Umum PKR itu akan menjadi menteri besar bagi menggantikan yang sedia ada sebagaimana yang heboh di media.- SH 20/2/14 |
Guru wanita dipenjara kerana cium murid Posted: 19 Feb 2014 07:29 PM PST Singapura: Mahkamah republik ini semalam menjatuhkan hukuman penjara enam bulan ke atas seorang guru kerana berkelakuan tidak senonoh termasuk membuat "gigitan cinta" terhadap pelajarnya. Guru wanita berusia 42 tahun itu melakukan perbuatan berkenaan ke atas pelajar lelaki berusia 13 tahun di sekolahnya. Dia yang mengajar sejak 11 tahun lalu dan ibu empat anak sebelum ini mengaku salah atas dua tuduhan serangan seksual terhadap kanak-kanak atau remaja di bawah Akta Kanak-kanak dan Remaja Singapura. Mengikut fail mahkamah, wanita yang dirahsiakan identitinya itu dikatakan mencium mulut dan membuat gigitan cinta pada bahu dan leher pelajar lelaki itu dalam dua kejadian berasingan pada 2012. Dia mengenali pelajar yang berada dalam pasukan bola sepak bersama anak lelakinya dan mula berhubung melalui Facebook kemudiannya melakukan kesalahan itu di taman awam ketika mereka keluar bersama. Ibu pelajar berkenaan membuat laporan polis selepas mengesan tanda gigitan cinta pada leher anaknya. - AFP |
Saya Dipukul Lebih Seribu Kali Setahun - Anak Pasangan Malaysia Di Sweden Posted: 19 Feb 2014 01:23 PM PST Khamis Februari 20, 2014 Oleh QISHIN TARIQ STOCKHOLM: Anak lelaki pasangan Malaysia di Sweden yang dibicarakan atas dakwaan mendera berkata dia dipukul 'lebih seribu kali' dalam masa setahun. Menerusi rakaman video yang dibuat oleh polis Sweden pada Disember lalu, Ammar berkata ibunya Shalwati Nurshal sering memukulnya apabila dia menghentak-hentak kakinya atau menonton video di YouTube dan tidak bersama keluarga untuk makan malam. Shalwati dan suaminya Azizul Raheem Awalluddin iaitu pengarah Tourism Malaysia di Stockholm, dibicarakan pada hari kedua di Mahkamah Daerah Solna di sini atas tuduhan mendera anak-anak mereka. Ammar yang kelihatan gementar pada permulaan video itu bertanya jika ibu bapanya akan mengetahui mengenai temuduga tersebut. "Saya rasa selepas ini ibu bapa saya tidak suka saya, tidak sayang saya. Saya bimbang ibu bapa saya akan pukul jika mereka tahu saya tidak di sekolah," kata Ammar (temuduga telah dijalankan oleh pihak polis semasa waktu sekolah dengan kebenaran penolong guru besar). Ammar menerangkan tiga insiden yang menyebabkan dia dipukul iaitu memasang muzik dengan kuat ketika dia sepatutnya menyiapak kerja rumah; apabila bergaduh dengan kakaknya Aishah semasa hendak ke sekolah dan ketika dia belajar al-Quran dengan ibunya. Shalwati dan Azizul Raheem kelihatan suram semasa menonton temuduga yang dipertontonkan ketika perbicaraan itu dengan Shalwati menggigit bibir dan suaminya menundukkan kepalanya. Apabila ditanya jika adik-beradiknya turut sering dipukul, Ammar mendakwa mereka hanya dipukul kadang-kadang jika dibandingkan dengannya. Walau bagaimanapun, Ammar beberapa kali menyebut bahawa dia 'layak dipukul' kerana menurutnya hukuman itu dibuat kerana tindakan yang sering melakukan kesalahan. Apabila ditanya siapa yang menentukan hak untuk dia dipukul, Ammar berkata dia yang menentukannya sendiri. Perbicaraan disambung pada KhamisKhamis Februari 20, 2014 - mStar 20/2/14 |
Posted: 19 Feb 2014 05:24 AM PST Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad didakwa berbohong apabila berkata para ulama di negara ini gagal melawan Dr Kassim Ahmad dengan hujah, lalu melabelkannya sebagai 'anti-Hadis'. Bekas Presiden Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Ustaz Ahmad Awang berkata, ketika kejadian pertama Kassim membawa teorinya pada tahun 1986, beliaulah ketika itu Pengarah Penyelidikan Pusat Islam (kini Jakim) yang berdepan dengan Kassim. "Atas kapasiti sebagai Yang di-Pertua PUM, kami berdepan dengan Kassim di Masjid Seksyen 16, Petaling Jaya. Beliau meminta kami dengarkan dulu dia bercakap, selepas dia bercakap, masa habis, dan dia pulang ke Pulau Pinang. "Dia berjanji akan bertemu semula. Namun selepas itu, sampai sekarang dia tidak mahu bertemu kami. Ia berakhir dengan dia sahaja yang bercakap dan kami hanya mampu mendengar dan tidak boleh berhujah balas bagi menjawab dakwaan beliau," cerita Ahmad Awang kepada The Malaysian Insider, mengingati kembali kejadian hampir 30 tahun lalu itu. Tidak lama selepas pertemuan itu, katanya, Kassim pergi ke akhbar Watan ketika itu (walaupun berjanji tidak ada sebarang laporan media berkaitan majlis itu) dan memaklumkan akhbar tersebut para ulama gagal berhujah dengan beliau. "Jadi, bukan sahaja Dr Mahathir sahaja yang berbohong dalam hal ini, Kassim Ahmad yang menjadi rakan Mahathir sejak di Universiti Malaya Singapura juga berbohong," kata Ahmad. Dr Mahathir berkata, Kassim sering dilabel anti-Hadis kerana pihak yang menuduhnya gagal berhujah dengannya mengenai isu agama. "Dia dilabelkan sebagai anti-Hadis sebab orang tidak boleh jawab apa yang dia katakan. Kita lihat di sini, label digunakan sebagai alat untuk mematahkan pendapat orang lain," katanya selepas Majlis Pelancaran Kursi Keamanan Global Tun Mahathir di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, kelmarin. Katanya, sama seperti Kassim, beliau juga sering dilabel dengan pelbagai gelaran selepas hujahnya tidak diterima pihak tertentu. "Saya juga dilabel sebagai anti-Cina, dituduh rasis dan macam-macam. Jadi walaupun saya berkata benda yang benar, saya tetap dianggap rasis," katanya. Kassim adalah junior Dr Mahathir di Universiti Malaya Singapura. Kassim juga pelopor Kelab Sosialis UM Singapura yang banyak mengeluarkan kenyataan menggunakan tulisan warna merah. Pada 18 September 1986, Majlis Fatwa Kebangsaan mewartakan fatwa bahawa buku tulisan Kassim bertajuk "Hadith: Satu Penilaian Semula" adalah haram. Fatwa yang dibuat oleh Majlis Fatwa Sabah itu diterima pakai oleh Majlis Fatwa Kebangsaan. Antara lain, fatwa itu menyebut, "Pengarang buku itu termasuk dalam golongan orang yang murtad, sekiranya undang-undang murtad dikuatkuasakan di Negara ini, maka pengarang buku itu wajib dibunuh." Menurut Ahmad Awang, Kassim didakwa anti-Hadis apabila beliau mencadangkan umat Islam hanya merujuk kepada Al Quran semata-mata dan menolak hadis Rasulullah sebagai sumber hukum dalam Islam. Ia bermula apabila beliau selaku Pengarah Penyelidikan Pusat Islam menerima lima buah buku tulisan Rashad Khalifa dari Tucson Arizona, Amerika yang ditahan oleh Jabatan Kastam daripada diserahkan kepada Kassim yang sepatutnya menerima buku-buku itu. Buku-buku itu adalah: 1) Miracle of the Quran: Significance of the Mysterous Alphabets 2) The Computer Speaks: God's Message to the world. 3) Quran: The Final Scripture 4) Quran, Hadith and Islam, dan 5) Authorized English version Translated from the Original. Selepas dikaji, kata Ahmad, ia bertentangan dengan Islam dan Majlis Fatwa Kebangsaan yang bersidang di Johor Bahru pada tahun 1986 yang mengharamkan buku-buku itu. Ahmad yakin, walaupun buku itu berjaya disekat, tetapi Kassim menerima juga buku itu melalui cara lain. "Hampir kesemua teori Kassim Ahmad tentang Hadis datang dari buku-buku ini," kata Ahmad. Ketika memberikan ucapan dalam seminar pemikiran Kassim Ahmad di Putrajaya pada 15 dan 16 Februari lalu, yang dianjurkan Yayasan Kepimpinan Perdana, Kassim berkata, umat Islam sepatutnya menjadikan Al Quran sahaja sebagai sumber rujukannya hukumnnya. Beliau juga berkata, frasa kedua dalam dua kalimah syahadah mendewakan Nabi Muhammad. Beliau juga berkata, rambut bukan aurat wanita. "Menutup rambut dengan bertudung bermakna udara bersih tidak dapat memasuki rambut. Dengan itu rambut menjadi busuk. "Dengan lain perkataan, ia tidak sihat. Anehnya, wanita yang bertudung menganggap diri mereka lebih suci!" kata Kassim dalam ucapannya itu. Ekoran itu, pelbagai pihak membantah Kassim, termasuk badan yang selama ini menyokong Umno, seperti Isma. – 19 Februari, 2014.- TMI |
Asteroid Sebesar 3 Padang Bola Lepasi Bumi Posted: 19 Feb 2014 04:08 AM PST LONDON 19 Feb - Sebuah asteroid yang dianggarkan sebesar tiga padang bola melepasi bumi pada jarak dekat kelmarin, kira-kira setahun selepas sebuah asteroid lain sebelum ini meletup di Russia dan mencederakan 1,200 orang. Slooth Space Camera menjejaki asteroid itu yang melepasi bumi pada kelajuan 43 kilometer sejam bermula jam 2 pagi (GMT), menurut perkhidmatan teleskop robotik itu dalam laman Slooh.com. Kumpulan Astronomi Dubai memaparkan gambar Slooth di langit dalam laluannya yang mudah dilihat, tetapi pergerakannya tidak dapat diambil dalam paparan secara langsung di sebalik pemandangan bintang waktu malam. Asteroid sepanjang 270 meter itu melepasi bumi pada jarak 3.4 juta kilometer, lebih setahun selepas asteroid jatuh ke bumi pada 15 Februari 2013 di Chelyabinsk, Russia. Asteroid itu mencederakan 1,200 orang dan menyebabkan gelombang gegaran yang memecahkan tingkap dan merosakkan bangunan. Pegawai rasmi wilayah Chelyabinsk berhasrat memperingati insiden itu dengan memberikan secebis batu meteorit kepada setiap atlit yang memenangi Olimpik Musim Sejuk 2014 yang memenangi pingat pada Sabtu di Sochi. Namun, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa pada saat-saat akhir berkata, ia boleh dilakukan hanya selepas acara tamat dan berasingan. "Balai cerap paling canggih Slooh di Gunung Teide, Kepulauan Canary, Sepanyol dilitupi ais dan tidak boleh digunakan untuk pencerapan 2000 EM26," kata pengarah teknikal dan penyelidikan Slooh, Paul Cox menerusi paparan langsung laman Slooh. - Reuters |
Kassim Ahmad ibarat bongkah ais di permukaan laut Posted: 19 Feb 2014 02:38 AM PST Pelbagai pihak melahirkan kritikan terhadap kenyataan tidak beradab serta bertentangan dengan prinsip Islam yang dikeluarkan oleh Kassim Ahmad. Kenyataan beliau bukanlah perkara baru, bahkan buku beliau turut diharamkan dan diyakini boleh membawa kerosakan akidah. Pelbagai fatwa serta kecaman telah dilakukan sebelum ini, nampaknya ia tidak berkesan untuk mengubah pendirian dan kefahaman salahnya terhadap ajaran Islam. Melihat latar belakang beliau, pandangannya bukanlah sesuatu yang pelik kerana kejahilan adalah musuh utama manusia, namun tidak menyedari kejahilan adalah lebih besar lagi. Lantaran itu wujudnya istilah seperti jahil murakab, iaitu seseorang yang tidak menyedari bahawa ia tidak mengetahui. Atau dalam bahasa biasa "dia tidak tahu yang dia tidak tahu." Kalaulah ia hanya sekadar Kassim Ahmad, mungkin tidaklah besar sangat untuk diulas dan diberi perhatian. Namun bilamana pemikiran salah ini diterima dan dibahas sebagai suatu pemikiran yang dianggap hebat, maka ia akan menjadi masalah. Ia ibarat bongkah ais di atas permukaan laut, walau yang kelihatan hanya seketul ais yang kecil, namun di bawahnya jauh lebih besar dari apa yang dilihat. Apa perlu dibuat? Pihak berkuasa agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) khususnya, dan majlis agama Islam negeri mesti melihat isu ini secara serius untuk diatasi. Sekadar mengeluarkan fatwa sahaja tanpa tindakan hanya akan menjadikan ia satu bahan ketawa masyarakat. Kalau ajaran al-Arqam diburu sehingga akar umbinya, maka sepatutnya ajaran yang menyimpang ini juga mesti diatasi. Saya melihat serangan dan kecaman tidak akan menyelesaikan masalah. Kefahaman salah beliau perlu diperbetulkan melalui perbincangan dan diskusi yang penuh hikmah. Memang pelik pemikiran beliau, akan tetapi ia bukanlah sesuatu yang sukar untuk diatasi. Ambil contoh gesaan beliau agar al-Quran ditafsir semula, dan pentafsirannya mestilah berdasarkan al-Quran sahaja, bukan Hadis dan bukan pandangan para sahabat atau para alim ulama. Persoalannya, kalau beliau menolak Hadis, bagaimana beliau boleh beriman dengan al-Quran kerana al-Quran diturunkan kepada Rasulullah dan Baginda membacakan al-Quran ini? Umpamanya, di dalam al-Quran, Allah memerintahkan sujud, bagaimana kita nak tahu cara perbuatan sujud tersebut kalau bukan melalui cara yang ditunjukkan Rasullulah? Demikian juga puasa, zakat dan seluruh ajaran al-Quran. Kalaulah Rasulullah bukan pentafsir kepada al-Quran, apakah kita lebih layak mentafsirnya? Kassim Ahmad, dan orang-orang Islam yang lain yang jelas dilihat keliru perlu dipanggil, diperbetulkan dan diberi kefahaman sebenar terhadap kekeliruan tersebut. Seandainya beliau telah dipanggil dan diberi penjelasan, maka jangan pula ada penganjur yang merasai hebat pemikiran salah beliau sehingga sanggup menganjurkan wacana pemikiran beliau. Lebih dukacita beberapa orang mufti dan pemimpin agama yang biasa cepat mengeluarkan pandangan yang melibatkan pembangkang terus diam membisu tidak mengeluarkan kenyataan kecaman sebagaimana biasa. Apakah ini membuktikan politik melebihi segalanya termasuk isu akidah bagi mereka ini? Wallahu a'lam. Yang dikhuatiri PAS ialah tindakan mereka yang sudi membisu dalam hal ini akan dilihat oleh orang yang jahil bahawa apa yang disebut Kassim Ahmad boleh diterima. JAKIM perlu memanggil penganjur dan mendapatkan keterangan, bahkan pihak berwajib perlu bertindak kerana pelbagai pihak telah membuat laporan polis untuk tindakan seterusnya. DATUK TUAN IBRAHIM TUAN MAN naib presiden PAS dan pengerusi lujnah dakwah PAS. |
You are subscribed to email updates from Mimpi Senja To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan