Kelab Greenboc |
- Pengerusi PIBG Buat Kenyataan Palsu Mengenai Edaran Bible Di PP
- Sayu - Warkah Mohon Maaf Daripada Ammar Buat Ibu
- Lempar Babi Di Majid Kerja Siapa Sebenarnya?
- [BONGKAR] PRK Kajang - Myanmar Sudah Mariiii!!
- Fitnah "Larangan Khutbah Jumaat" - Pemuda PAS & DAP Buat Laporan Polis
Pengerusi PIBG Buat Kenyataan Palsu Mengenai Edaran Bible Di PP Posted: 20 Feb 2014 01:08 AM PST Laporan guru tangkap pengedar Bible Melayu adalah palsu, kata exco agama Di kala keributan pelbagai isu panas antara agama yang berlaku di Pulau Pinang, laporan sebuah akhbar bahawa seorang guru menangkap tiga lelaki kerana mengedarkan Bible berbahasa Melayu kepada anak Melayu di negeri itu dipercayai hanya laporan palsu yang tidak berlaku sebenarnya. Exco kerajaan negeri Pulau Pinang, Abdul Malik Kassim, berkata laporan itu bukan sahaja mengelirukan malah menimbulkan persoalan kerana difahamkan tiada laporan polis dibuat oleh pihak terbabit. Pihak polis juga tidak menerima penyerahan tangkapan suspek oleh mana-mana pihak berhubung pengedaran Bible Melayu kepada pelajar Islam ini. Laporan ini adalah rentetan provokasi melampau dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini di Pulau Pinang. Provokasi kain rentang, serangan bom api di gereja, di balai polis, kononnya pengedaran bible Melayu, kononnya ancaman ke atas masjid dan terkini penodaan masjid Cherok Tok Kun dengan daging dipercayai khinzir adalah serangan provokasi bentuk baru. "Semuanya bermotif jahat," kata Malik dalam kenyataan medianya hari ini. Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah, berkata polis tidak menerima penyerahan tangkapan suspek oleh mana-mana pihak berhubung dengan pengedaran Bible Melayu kepada pelajar Islam. Malah, katanya, pihak berkenaan enggan memberikan kerjasama dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JHEAIPP) yang turun padang menyiasat insiden itu. "Ini menimbulkan keraguan tentang kesahihah insiden itu seperti dilaporkan akhbar berkenaan 16 Februari lalu," katanya. Exco Agama Pulau Pinang berkata Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Haji Zainal Abidin, Nor Amin Ahmad, yang bertanggungjawab atas kenyataan media itu difahamkan mempunyai kecenderungan fahaman politik yang berbeza dengan kerajaan negeri. "Siasatan pihak saya pula mendapati wartawan berkenaan mula menghidu kisah itu melalui laman Facebook Nor Amin, lalu menghubungi beliau. "Nor Amin mengakui kepada wartawan berkenaan beliau hanya mendengar kisah itu daripada seorang 'guru misteri,' yang kini sedang dijejaki polis," kata Malik. Tinjauannya mendapati Nor Amin memadamkan kisah itu daripada akaun Facebooknya. "Saya menyeru pihak berkenaan bekerjasama dengan tampil mengemukakan bukti dan laporan, agar pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan terperinci," katanya. Malik berkata, golongan pelampau sama ada pelampau kaum, lebih-lebih lagi pelampau agama tidak ada tempat dalam masyarakat. Katanya, ia perlu dibanteras sebelum benihnya tumbuh dan menjalar seluruh negara. Beliau berkata, pada masa kini golongan pelampau dan perosak dilihat cuba menganggu gugat keharmonian rakyat dengan provokasi fitnah berbaur perkauman dan agama. Sebelum PRU13, Pulau Pinang dijadikan sasaran peserta demonstrasi pro Umno/BN yang hampir saban minggu cuba menyalakan api perkauman dan agama. Namun, ia ditolak melalui undi popular rakyat sebanyak 68% yang memberi mandat kepada kerajaan Pakatan Rakyat (PR). Kini strategi itu seolah-olah diubah dengan pendekatan yang berbeza namun matlamatnya yang sama. "Kita yakin golongan perosak dan pelampau itu akan meneruskan agenda mereka lebih-lebih lagi ia seolah-olah direstui pihak tertentu," kata Malik dalam kenyataannya. Malik berkata, dakwaan bahawa kerajaan PR Pulau Pinang sedang merancang untuk mengharamkan khutbah Jumaat juga berkaitan dengan usaha menimbulkan keresahan antara agama dan kaum di negara ini. "Ia fitnah yang begitu meloyakan kerana khutbah Jumaat adalah sebahagian rukun sah solat Jumaat. Mengharamkan khutbah Jumaat seumpama mengharamkan solat Jumaat dan menutup masjid. Hanya mereka tidak waras akan mengeluarkan tohmahan sebegitu," kata Malik. Sebelum PRU lalu, pihak pelampau menghebohkan kononnya Pulau Pinang mengharamkan laungan azan. Fitnah itu termakan oleh sebahagian rakyat luar Pulau Pinang. "Semua fitnah yang menjengkelkan itu langsung tidak berasas dan bermotif jahat," kata Khalid. Malik berkata, kerajaan negeri sentiasa yakin bahawa saling menghormati, keharmonian dan keamanan dalam masyarakat yang pelbagai adalah asas untuk membina sebuah 'Pulau Pinang Baru.' Ia boleh dicapai apabila kita meraikan keunikan dan perbezaan sesama kita, bukannya melalui provokasi oleh pelampau kaum dan agama. Katanya, rakyat juga perlu tolak provokasi melampau oleh golongan pelampau. -TMI
|
Sayu - Warkah Mohon Maaf Daripada Ammar Buat Ibu Posted: 20 Feb 2014 12:45 AM PST Surat permohonan maaf yang dihantar oleh anak lelaki pasangan suami isteri rakyat Malaysia di Sweden yang berusia 12 tahun itu, menyentuh hati ramai orang terutamanya Shalwati Norshal. Azizul Raheem Awalludin , yang menjadi pegawai Pelancongan Malaysia di Sweden, dan isterinya, Shalwati Norshal , didakwa secara berasingan di Solna daerah mahkamah hari ini dengan pelbagai tuduhan mencederakan empat anak-mereka yang berusia di antara 7 dan 14 tahun. Pegawai Kedutaan Malaysia, adik-beradik Shalwati dan beberapa rakyat Malaysia yang tinggal di sana hadir untuk memberi pasangan itu sokongan moral. Turut hadir adalah Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Mirza Muhammad Tayeb. Warkah Maaf daripada Ammar buat Ibu ” Ibu, saya minta maaf. Disebabkan kemarahan saya, semua perkara ini berlaku. Saya akan sentiasa menyayangi ibu dan tiada apa yang akan mengubah itu. Saya akan sentiasa menyayangi ibu. “ – Ammar ( anak kedua pasangan itu ) Peguam Shalwati iaitu Kristofer Stahre memberitahu mahkamah bahawa surat itu ditemui di rumah pasangan itu di Spanygayagen ketika pemeriksaan di rumah di mana dakwaan memukul dan serangan terhadap kanak-kanak yang dikatakan telah berlaku. Pasangan ini telah dibawa ke mahkamah dalam keadaan bergari. Peguam Shalwati berkata, adalah sukar bagi Ammar untuk bertolak ansur dengan tekanan diminta oleh ibubapanya untuk membantu mereka di rumah, yang menjadikan dia benci kepada ibu bapanya. Tambahnya lagi, Ammar juga merupakan seorang yang suka mencari perhatian dan juga membesar-besarkan cerita. Stahre juga menyerahkan bukti komen yang dibuat oleh Ammar kepada seorang rakan sekelas melalui Skype,mengenai betapa dia membenci ibu bapanya. Sementara itu , Shalwati kelihatan gembira melihat adik-adiknya dan seorang saudara hadir di mahkamah. Dia juga sangat emosi apabila melihat suaminya Azizul , di dalam pakaian berwarna hijau dan bergari. Dua peguam lain , Johan Kallus dan Clara Hjort , turut hadir untuk membuat tuntutan ganti rugi terhadap pasangan itu jika mereka didapati bersalah atas tuduhan yang dikenakan terhadap mereka. Rakaman Video Ammar kepada Polis Menerusi rakaman video yang dibuat oleh polis Sweden pada Disember lalu, Ammar berkata dia dipukul 'lebih seribu kali' dalam masa setahun. Ammar turut mengaku ibunya Shalwati Nurshal sering memukulnya apabila dia menghentak-hentak kakinya atau menonton video di YouTube dan tidak bersama keluarga untuk makan malam. Shalwati dan suaminya Azizul Raheem Awalluddin iaitu pengarah Tourism Malaysia di Stockholm, dibicarakan pada hari kedua di Mahkamah Daerah Solna di sini atas tuduhan mendera anak-anak mereka. Ammar yang kelihatan gementar pada permulaan video itu bertanya jika ibu bapanya akan mengetahui mengenai temuduga tersebut. "Saya rasa selepas ini ibu bapa saya tidak suka saya, tidak sayang saya. Saya bimbang ibu bapa saya akan pukul jika mereka tahu saya tidak di sekolah," kata Ammar (temuduga telah dijalankan oleh pihak polis semasa waktu sekolah dengan kebenaran penolong guru besar). Ammar menerangkan tiga insiden yang menyebabkan dia dipukul iaitu memasang muzik dengan kuat ketika dia sepatutnya menyiapak kerja rumah; apabila bergaduh dengan kakaknya Aishah semasa hendak ke sekolah dan ketika dia belajar al-Quran dengan ibunya. Shalwati dan Azizul Raheem kelihatan suram semasa menonton temuduga yang dipertontonkan ketika perbicaraan itu dengan Shalwati menggigit bibir dan suaminya menundukkan kepalanya. Apabila ditanya jika adik-beradiknya turut sering dipukul, Ammar mendakwa mereka hanya dipukul kadang-kadang jika dibandingkan dengannya. Walau bagaimanapun, Ammar beberapa kali menyebut bahawa dia 'layak dipukul' kerana menurutnya hukuman itu dibuat kerana tindakan yang sering melakukan kesalahan. Apabila ditanya siapa yang menentukan hak untuk dia dipukul, Ammar berkata dia yang menentukannya sendiri. Perbicaraan disambung pada Khamis. Dakwaan Pegawai pendakwaan, Arnell bermula dengan mengemukakan tuduhan terhadap Shalwati , bermula dengan dakwaan menggunakan penyangkut baju , kayu atau penyangkut kot dan pemukul permaidani untuk memukul anak mereka. Beliau juga menggariskan tuduhan terhadap Azizul , termasuk menampar Ammar sehingga jatuh ke lantai dan pukulan pada badannya ketika dia berada di atas lantai. Bagi pertuduhan lain, beliau berkata Azizul memaksa Ammar untuk duduk di satu sudut lebih dari lapan jam tanpa makanan. Gantirugi Kallus membuat tuntutan gantirugi untuk Ammar , dengan tuntutan sebanyak RM49,100 ( Krona Sweden 96,200 ) kerana didakwa melanggar integriti, penderitaan mental dan fizikal Ammar. Bagi anak pasangan itu yang lain, Adam , 11, jumlah tuntutan ganti rugi adalah RM27,500 ( Krona Sweden 54,000), Arif, 7, RM31,600 ( Krona Sweden 62,000 ) dan anak perempuan mereka yang berusia 14 tahun, Aisyah, RM31,600 (Sek 62,000 ). Perbicaraan itu dijangka berlangsung selama 10 hari. Keterangan dalam kes termasuk sembilan jam rakaman polis dengan anak-anak pasangan itu. Selepas rehat waktu tengah hari, mahkamah telah ditunjukkan tiga klip video Arif sedang ditemuramah oleh seorang polis wanita . Nasi sudah menjadi bubur Seperti peribahasa di atas, kes ini semuanya bermula daripada pertembungan budaya serta sikap anak-anak yang sering memberontak. Seperti semuanya sudah terlambat untuk Ammar mengakui kesilapannya. Apapun, kita doakan pasangan Malaysia, Puan Shalwati dan En. Azizul dilepaskan daripada semua pertuduhan. Semoga kes ini menjadi iktibar kepada setiap keluarga di negara ini. -TTO Sumber I, II |
Lempar Babi Di Majid Kerja Siapa Sebenarnya? Posted: 19 Feb 2014 08:25 PM PST Laman Facebook dakwa DAP di belakang kejadian daging babi di masjid Sebuah laman Facebook 'Boikot Barangan Cina DAP' seolah-olah mendakwa ahli parlimen DAP, Steven Sim yang terlibat melontar sekeping daging dipercayai daging babi ke pintu masuk Masjid Cheruk Tok Kun Atas, Ahad lalu. Posting yang bertajuk 'Cina Lontar Daging Babi Depan Pintu Masjid' itu seolah-olah mendakwa Sim terlibat dengan kejadian itu. Ekoran itu, ahli parlimen penggal pertama itu membuat laporan di ibu pejabat polis Seberang Prai Tengah bersama anggota parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari dan exco kerajaan negeri Pulau Pinang, Dr Afif Bahardin. "Kejadian terkini dengan laman Facebook ini satu fitnah dan provokasi," kata Sim dalam kenyataan bersamanya dengan Zairil dan Dr Afif. Ketiga mereka yang merupakan wakil rakyat untuk penggal pertama ini melihat pelbagai kejadian kontroversi yang disifatkan mereka sebagai usaha untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat. Mereka mendesak polis menyekat kejadian sebegitu daripada berulang, atau Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar bertanggungjawab, atau meletakkan jawatan sahaja. "Semua ini mahu menimbulkan kekacauan untuk menjatuhkan kerajaan yang ada. Jelas musuh kerajaan negeri tidak mahu melihat kemajuan di bawah pentadbiran Pakatan, yang selama ini cuba menjaga kebajikan rakyat. "Di bawah Pakatan, peruntukan untuk hal ehwal Islam dan pembangunan meningkat. Oleh kerana mereka sudah kehabisan modal, mereka bertindak dan berkonspirasi untuk menimbulkan kekacauan," kata mereka. Mereka berkata, kejadian ini bertujuan untuk menimbulkan permusuhan antara kaum dan agama di Pulau Pinang. Tetapi mereka yakin rakyat lebih tahu. Sejak pertengahan Januari lalu, dua perhimpunan haram dianjurkan oleh sekumpulan orang Melayu bagi membantah Adun Machang Bubuk, Lee Khai Loon yang menganjurkan program "Saya suka kangkung" yang didakwa cuba menghina Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Sejak itu, setiap minggu akan ada saja kejadian kontroversi yang berlaku di Pulau Pinang. Pada 26 Januari, lima gereja menerima kain rentang misteri yang bertulis "Allah maha besar, Jesus anak Allah" yang digantung di perkarangan gereja mereka. Keesokan harinya, gereja Catholic Assumption dilempar dengan bom api. Para MP juga mendakwa penyembelihan ayam dan ganjaran kepada yang sanggup menampar Teresa Kok oleh sekumpulan NGO Melayu di Kuala Lumpur ekoran klip video "Onederful", dan blog "Negara Pakatan Rakyat" yang mendakwa kerajaan Pulau Pinang mempertimbangkan mengharamkan khutbah Jumaat sebagai contoh lain. "Jika kejadian sebegini berterusan, ketegangan akan meningkat. Polis tidak lagi boleh memandang ringan kes ini. "Kami menuntut Ketua Polis Negara memandang serius perkara ini dan menghentikan mereka daripada menganggu ketenteraman awam. Jika berterusan, KPN sendiri harus bertanggungjawab dan meletakkan jawatan," kata mereka. Timbalan KPN, Datuk Mohd Bakri Zinin yang berada di Pulau Pinang hari ini, berkata polis masih menyiasat kejadian berkaitan dengan masjid dan gereja itu. Katanya, polis akan berbincang dengan pihak pengurusan rumah ibadat untuk menyekat kejadian sebegitu dari berulang di samping meminta orang ramai tampil untuk memberikan maklumat. "Kami sedang berusaha sebaik mungkin untuk memastikan ia tidak berulang. Kami memberikan amaran jangan mainkan sentimen perkauman dan agama ini," katanya. -TMI ULASAN GB GB bersetuju dengan ulasan Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar sebelum ini yang menyatakan bahawa beliau tidak menolak kemungkinan perbuatan itu sengaja dicetuskan golongan selain daripada bukan Islam untuk menimbulkan ketegangan agama. Katanya, tidak logik jika orang bukan Islam yang melakukannya memandangkan kes terdahulu juga menunjukkan babi dilapik dan dibungkus terlebih dahulu sebelum diletakkan di masjid seolah-olah ia haram dipegang golongan berkenaan. "Saya dari dulu asyik berfikir, kenapa orang kafir perlu balut dulu masuk dalam plastik baru lempar. "Kenapa mereka perlu buat begitu, mereka (bukan Islam) boleh pegang dan makan daging itu," katanya. Ditanya adakah beliau menuduh perkara itu dilakukan oleh orang Islam sendiri, beliau bagaimanapun menyerahkan kepada polis membuat siasatan segera dan menghalang sentimen provokasi agama yang sempit ini berulang lagi. "Saya tak kata begitu, kena tanya polis mereka buat siasatan. "Tetapi apa yang memeningkan saya kenapa orang bukan Islam nak buat begitu, lebih baik mereka ambil buat (sup herba) Bah Kut Teh," katanya. Hukum kebenaran dan keadilan akan tetap berjalan. Si bedebah itu akan tetap terdedah. Dia ingat Tuhan itu bodoh dan Tuhan itu buta. Jelas bukan? Apa yang rakyat harapkan ialah siasatan polis yang telus dan tidak gentar untuk mendedahkan kebenaran. Integriti dan kredibiliti polis perlu dipertahankan dengan membawa pesalah ke muka pengadilan without fear or favour. |
[BONGKAR] PRK Kajang - Myanmar Sudah Mariiii!! Posted: 19 Feb 2014 04:25 PM PST Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) hari ini mendedahkan satu perkembangan pelik yang berlaku di Kajang pagi ini. Menurut satu kenyataan rasmi Pengasas SAMM, CheguBard, pasukan pemantauan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) telah mengesan beberapa bas persiaran menurunkan warga asing di hadapan KTM Kajang pagi ini. SAMM mempersoalkan apakah ianya satu kebetulan apabila ribuan warga asing dipercayai warga Myanmar hadir ke Kajang dengan beg besar seolah-olah baru masuk ke negara melalui KLIA. Dalam perkembangan yang sama, adakah kehadiran warga asing ini turut berkaitan dengan kelewatan melampau tarikh pilihanraya kecil yang jatuh pada akhir Mac dengan alasan yang tidak masuk akal, tanya chegubard. SAMM juga tidak menolak kemungkinan kelewatan tarikh PRK ada kaitan, demi persiapan lebih rapi untuk penipuan pilihanraya kecil N25. Usaha SPR untuk menggunakan senarai pemilih yang baru (Mac 2014) juga agak meragukan. Berikut ialah kenyataan penuh chegubard: Kenyataan Media |
Fitnah "Larangan Khutbah Jumaat" - Pemuda PAS & DAP Buat Laporan Polis Posted: 19 Feb 2014 04:30 AM PST Satu laporan polis dibuat berikutan wujudnya khabar angin melalui sebuah laman blog mengenai penguatkuasaan larangan khutbah solat Jumaat di negeri ini. Laporan berkenaan dibuat Pas dan DAP di Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Timur Laut, semalam. Ketua Pemuda DAP Bukit Bendera, Mohd Hariszuan Jaharuddin berkata, laporan berkenaan dibuat terhadap blog Negara Pakatan Rakyat yang didakwa sengaja menimbulkan api perkauman dalam kalangan masyarakat di negeri ini. Menurutnya, kesemua maklumat dan fakta di dalam blog berkenaan adalah salah. "Kami tidak mahu orang ramai mula bergaduh hanya disebabkan khabar angin yang tidak benar ini dan diibaratkan memang sengaja mahu mewujudkan kemarahan orang Islam. "Malah kami mahu individu yang berkenaan bertanggungjawab atas apa yang sudah dilakukannya dengan cuba berkongsi maklumat salah melalui blog," katanya. Beliau berkata, blog berkenaan dijumpai pada Isnin lalu. Melalui blog berkenaan, penulis memaklumkan kerajaan negeri Pulau Pinang mempertimbangkan dengan serius cadangan untuk menghapuskan terus khutbah Jumaat di negeri ini. Sementara itu, Pengerusi Perkasa Balik Pulau, Mohd Rizuad Mohd Azudin akan bersama ahlinya ke Komtar untuk bertemu dengan Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim bagi mendapatkan penjelasan mengenai hal berkenaan esok (19 Februari). Abdul Malik kemudiannya ketika dihubungi menyelar tindakan tidak bertanggungjawab individu yang cuba menabur fitnah berkenaan. "Sebenarnya saya tidak mahu komen kerana jika dilayan fitnah yang tidak masuk akal ini, kita hanya menjadi orang yang tidak siuman, negara komunis pun tidak pernah menutup masjid, apatah lagi kita hendak melarang khutbah Jumaat," katanya. – SH ULASAN GB Semakan ke atas blog berkenaan, sekalipun ia menggunakan tajuk "Negara Pakatan Rakyat", tetapi ia amat meragukan samada ia dikenalikan oleh seorang ahli kepada mana parti komponen Pakatan Rakyat. Beberapa artikel di situ kelihatan seolah-olah menyokong PR, tetapi sebenarnya ia hanya permainan licik untuk memperdaya pembaca. Yang nyata ia adalah blog macai cybertrooper untuk menimbulkan kebencian dan mewujudkan api perkauman di kalangan rakyat di negara ini. |
You are subscribed to email updates from KELAB GREENBOC To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan