MIMPI SENJA |
- Blog salah guna gambar sebagai tertuduh yang dirogol - Sharifah Zarina
- PRK Kajang : Herman Tino berhasrat bertanding di Kajang
- PRK Kajang : PKR Pelik Khairy Sokong Zaid ... Cabar Umno Hantar Calon
- Mahathir, Daim paling takut Anwar masuk Selangor
- Abdul Khalid nafi pengaruhi Zaid Ibrahim bertanding di Kajang
Blog salah guna gambar sebagai tertuduh yang dirogol - Sharifah Zarina Posted: 17 Feb 2014 08:28 PM PST LAMA sudah tidak bersua, namun khabar terkini mengenai penyanyi Sharifah Zarina di sebuah blog hiburan cukup mengejutkan peminat-peminatnya. Pelantun lagu popular Langit Ketujuh itu dikatakan dipenjara atas kesalahan membunuh lelaki yang cuba merogolnya. Bagaimanapun, setelah dihubungi Kosmo!, dia menjelaskan blog berkenaan telah menyalahgunakan gambarnya ke atas artikel yang tiada kaitan langsung dengan dirinya. Artikel tersebut telah disiarkan sekitar bulan Januari lalu, namun Zarina hanya mula mengambil tindakan pada minggu lalu. Penyanyi berusia 32 tahun itu terpaksa mengambil tindakan ke atas blog hiburan berkenaan kerana perkara itu telah memalukan dirinya. Apakah tindakan yang dikenakan Zarina ke atas penulis blog berkenaan? Penyanyi itu turut bercerita mengenai perkembangan terbaharunya yang kini sudah berhijab. Kosmo!: Bagaimanakah Zarina mengetahui artikel yang menyalahgunakan gambar anda itu? SHARIFAH ZARINA: Saya diberitahu oleh anak saudara dan kemudiannya ada beberapa rakan juga memaklumkan perkara itu. Kata mereka, cerita berkenaan sudah meluas di dalam laman Facebook. Apakah perasaan anda apabila mengetahui perkara itu? Sudah tentu saya berasa sakit hati dan malu. Saya paling risaukan anak saya, Athilia Deena yang kini berusia 11 tahun. Apakah perasaannya apabila dia melihat gambar ibunya dan membaca artikel tersebut. Bagaimana juga kalau rakan-rakannya pula membacanya? Saya juga risau kalau keluarga membacanya. Dia tidak beretika kerana menggunakan gambar untuk cerita yang tiada kena mengena langsung, malah cerita tersebut tentang mangsa rogol. Jadi apakah tindakan anda mengenai perkara itu? Saya berbincang dengan peguam. Dia menasihatkan saya membuat laporan polis terlebih dahulu. Saya kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Kampung Subang. Selepas itu, saya berjumpa pula dengan pakar IT untuk mengenalpasti penulis blog berkenaan. Saya tahu menyeluruh mengenai blog berkenaan. Tetapi, saya terpaksa menggunakan medium media untuk memberi pengajaran kepada blog berkenaan supaya tidak mengulangi kesalahan tersebut. Saya beri tempoh selama 14 hari kepada blog berkenaan untuk menarik keluar gambar saya dan tampil membuat permohonan maaf. Bilakah tempoh 14 hari itu berkuat kuasa? Ia telah berkuat kuasa sejak semalam. Apakah tindakan lanjut anda jika blog berkenaan tidak melakukan apa yang diminta oleh anda? Saya akan bawa kes ini ke mahkamah dan segala kos akan ditanggung oleh blog berkenaan. Terkini anda tampil cantik bertudung. Bilakah terbuka hati untuk mengenakan tudung? Sekitar bulan Disember pada cuti sekolah, saya berjalan-jalan dengan keluarga. Saya ada beli beberapa helai tudung. Selepas cuba memakai tudung, saya tidak berasa untuk membukanya. Alhamdulillah, sejak tiga bulan lepas saya mula memakai tudung sepenuhnya. Apakah perasaan anda selepas memakai tudung? Saya rasa lebih tenang. Sebelum ini, saya mengerjakan solat dan juga puasa, tetapi selepas memakai tudung, saya rasa lebih sempurna ibadah saya. Tetapi, saya masih belajar secara perlahan untuk memperbetulkan pemakaian baju saya. Saya kini mula membeli dan mengumpul baju-baju yang lebih menutup aurat. Setelah bertudung, bagaimana pula dengan kerjaya nyanyian anda? Saya masih meneruskan nyanyian kerana ia adalah minat saya. Malah, saya juga sedang sibuk dengan single terbaharu iaitu Mengharap Cinta. Saya juga merancang untuk menghasilkan album kompilasi yang memuatkan lagu-lagu lama dan juga lagu terbaharu saya. Selain itu, apakah perkembangan terbaharu yang ingin dikongsikan kepada peminat? Saya sekarang sedang mengikuti pengajian di Universiti Malaya, Kuala Lumpur dalam jurusan Pendidikan Awal Kanak-Kanak. Saya tertarik dengan jurusan itu kerana ia berkaitan kanak-kanak dan saya juga mempunyai anak. Idea sentiasa mencurah-curah setiap kali saya melakukan tugasan untuk jurusan tersebut. Bagaimanapun, saya hanya mengikuti kelas pengajian pada hari Sabtu sahaja. Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0218&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_02.htm#ixzz2tdEb5cN4 Hakcipta terpelihara |
PRK Kajang : Herman Tino berhasrat bertanding di Kajang Posted: 17 Feb 2014 06:18 PM PST PETALING JAYA: Penyanyi dangdut, Herman Tino telah menyatakan minat untuk bertanding pada pilihan raya kecil DUN Kajang, memulakannya dengan hashtag #Herman4Kajang di Twitter. Beliau yang mengungguli carta pada era 1980-an dengan rentak dangdut telah mencipta #Herman4Kajang bagi mengukur reaksi orang ramai mengenai hasratnya untuk bertanding kerusi itu. Herman berkata, beliau hanya akan bertanding jika rakyat di Kajang memberikan lampu hijau kepadanya. "Saya akan menunggu isyarat dalam talian daripada pengundi di Kajang dalam masa 10 hari akan datang sebelum membuat keputusan muktamad. Saya mestilah mendapatkan kebenaran pengundi di sana kerana saya tinggal di tempat lain iaitu di Tanjung Karang," kata Herman. Beliau adalah antara lima calon yang setakat ini telah menyatakan minat untuk bertanding di kerusi DUN Kajang yang mana PKR telah mencalonkan ketuanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Mereka yang lain adalah bekas pemimpin PKR Datuk Zaid Ibrahim, bekas sekutu Anwar, Datuk S. Nallakaruppan dan peguam Yuktes Vijay. Barisan Nasional masih belum secara rasmi menamakan calonnya. "Saya mahu bertanding di Kajang sebagai tanda protes terhadap percubaan Anwar untuk mengambil alih jawatan menteri besar," kata Herman, atau nama sebenarnya Masrum Tamsi. Herman berkata, sebagai anak Selangor, beliau tidak mahu melihat negeri itu menjadi mangsa permainan politik. "Sudah tiba masanya kita mengatakan tidak kepada pembulian politik. Kita perlukan pemimpin yang berpandangan jauh yang membuat perancangan bagi kepentingan orang ramai, bukannya seseorang yang melakukannya untuk kepentingan politik peribadi," katanya. Herman berkata beliau menentang sebarang percubaan untuk menggantikan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim. "Saya pasti ramai di Selangor berkongsi sentimen yang sama untuk menghalang Anwar, yang merupakan orang luar yang berhasrat mendapatkan jawatan menteri besar," katanya. Herman telah bertanding sebagai calon bebas di kerusi Parlimen Tanjung Karang dalam pilihan raya umum dan disingkirkan dari Umno tahun lepas. - mStar |
PRK Kajang : PKR Pelik Khairy Sokong Zaid ... Cabar Umno Hantar Calon Posted: 17 Feb 2014 05:27 PM PST Kenyataan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin yang menyatakan sokongan kepada Datuk Zaid Ibrahim yang akan bertanding di atas tiket bebas pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang menimbulkan persoalan dan dilihat aneh oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR). Setiausaha Agungnya Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata Khairy telah memberikan sokongan secara segera kepada Zaid tanpa memikirkan bahawa beliau pernah bersama Pakatan Rakyat dan pernah menentang Umno dan Barisan Nasional (BN). "Hanya kerana Zaid buat pengumuman bertanding sebagai calon bebas, mahu menang di Kajang dengan 'tema' untuk mengekalkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar...kan aneh tu? "Ketua Pemuda Umno kemudian sokong bekas pemimpin Umno yang menyertai PKR, ternyata Khairy lupa terus sikap anti-Umno yang diambil oleh Zaid hanya kerana kempennya untuk menyerang Anwar," katanya pada sidang media di sebuah hotel di sini, Isnin. Saifuddin berkata persoalan juga timbul apakah Umno berada di belakang, di sebalik kesediaan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu untuk turun bertanding di Kajang. Menurut beliau, adalah lebih baik jika Umno sendiri yang menghantar calonnya di Kajang daripada menyatakan sokongan kepada calon lain atau kepada Zaid yang jelas bertanding dengan misi bukan untuk kepentingan rakyat. "Saya suka mencabar Ketua Pemuda Umno ini supaya Umno sendiri turun bertanding seperti mana Umno mengambil kerusi MCA di Kuantan dan Wangsa Maju pada pilihan raya lepas, jangan sokong, jangan hantar Zaid," katanya. Dalam pada itu, beliau menganggap isu berkempen awal tidak lagi timbul apabila Khairy sendiri telah turun ke Kajang dan berkempen dari rumah ke rumah pada Ahad. "Khairy juga sudah turun ke 25 buah rumah, PC (sidang media) di kedai mee bandung, saya tak fikir beliau makan angin di 25 buah rumah. "Tak salah bila sesebuah parti politik itu memulakan gerak kerja sesuai dengan persiapan apabila sesebuah kerusi itu kosong," katanya sambil mengalu-alukan kunjungan Khairy ke Kajang. - mStar |
Mahathir, Daim paling takut Anwar masuk Selangor Posted: 17 Feb 2014 04:24 PM PST KAJANG 18 FEB: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir dan sekutu rapatnya, Tun Daim Zainuddin antara individu yang paling takut dan bimbang sekiranya Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyertai pentadbiran Selangor. "Bila dengar sahaja Anwar nak masuk ke Selangor, (Tun) Daim tak senang duduk. Meroyan dia dengar Anwar nak tanding (PRK DUN) Kajang, "(Tun) Dr Mahathir yang sedang tidur (berehat) pun bangun (berkempen) bila tahu Anwar nak masuk Selangor," kata Anwar dalam ceramah kelompok di Padang Pusat Komuniti Kg Sungai Kantan, malam tadi Kata Anwar, sebagai anjakan Pakatan Rakyat ke Putrajaya, Selangor merupakan benteng penting dan negeri contoh dengan meletakkan DUN Kajang sebagai asas permulaan. "Sebab itu dia (BN) cuba main isu kaum dan agama. Sedangkan yang kita sentuh soal dasar dan masalah rakyat. Tapi mereka (BN) mula sahaja kempen, terus berkasar. "Tuduh saya ejen Amerika, dalang 'Ops Lalang'. Sampai MCA pun tumpang sekaki. Kononnya nak tunjuk hero," kata Anwar disambut tepukan hadirin. Justeru, Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia itu mengingatkan kepada pengundi DUN Kajang tidak terperangkap taktik jahat Umno-BN.yang menunggangi media arus perdana yang menyebar maklumat palsu. "Lebih baik kita tumpu kepada isu sebenar. Kalau kita nak layan dan jawab (mereka), membazir waktu," ujar Anwar. Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=59391 |
Abdul Khalid nafi pengaruhi Zaid Ibrahim bertanding di Kajang Posted: 17 Feb 2014 02:41 AM PST Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) menafikan beliau mempengaruhi bekas menteri Kabinet Datuk Zaid Ibrahim supaya bertanding Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang untuk mengekalkan kuasanya sebagai menteri besar. Spekulasi mengatakan Abdul Khalid mempengaruhi Zaid yang merupakan bekas anggota PKR bagi menghalang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil alih jawatan menteri besar Selangor. "Tidak," katanya ketika ditanya pemberita berhubung perkara itu. Zaid yang juga bekas ahli PKR semalam berkata, tujuan beliau bertanding sebagai calon bebas di DUN Kajang adalah untuk menyekat "Langkah Kajang" Ketua Pembangkang dan mengekalkan Abdul Khalid sebagai menteri besar negeri itu. Abdul Khalid bagaimanapun berkata, kenyataan Zaid itu adalah kebebasan politik demokrasi yang mana memperuntukkan kebebasan dalam memberikan pandangan dan pendapat mana-mana individu. "Inilah kita lihat bagaimana politik ini perkara yang memberi kebebasan kepada mereka untuk memberikan pandangan dan juga penglibatan mereka. "Saya baru tahu bahawa politik ini, kita tidak dapat tentukan tindakan kumpulan atau seseorang dari segi untuk bersama dalam pergolakan demokrasi dan politik Malaysia," katanya. Zaid ketika pengumuman berkenaan berkata, dengan menewaskan Anwar dalam PRK Kajang yang dijadualkan 23 Mac depan, masa depan Pakatan Rakyat (PR) Selangor akan dapat diselamatkan. "Kalau saya menang, Anwar kalah. Maka amanlah PR di Selangor," katanya. "Khalid akan terus jadi menteri besar," katanya lagi. Beliau berkata, rancangan Anwar bertanding di kerusi DUN berkenaan adalah untuk menggantikan Abdul Khalid adalah tindakan politik liar dan tidak wajar direstui. "Jika Abdul Khalid dan kepimpinan beliau perlu disingkir biarlah ia dilakukan melalui proses demokrasi yang sihat," kata Zaid kepada pemberita semalam. Tindakan Anwar itu jelasnya akan membawa perpecahan besar kepada PR. "Jika Anwar menang di Kajang dan Abdul Khalid enggan berhenti secara sukarela, maka akan timbul krisis politik dan pentadbiran yang buruk di Selangor. "Malah, jika Anwar menang di Kajang, belum tentu beliau akan diterima menjadi menteri besar oleh Sultan Selangor," katanya, dan menambah rakan komponen PR dari PAS juga belum tentu akan menyokong rancangan Anwar menjadi menteri besar. "Ia boleh selesai jika saya menang kerusi DUN Kajang," katanya. – 17 Februari, 2014. TMI |
You are subscribed to email updates from Mimpi Senja To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan