Rabu, 19 Februari 2014

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


KENYATAAN MEDIA BERKENAAN ISU PUSAT TAHFIZ AMAL DI YAN KEDAH

Posted: 19 Feb 2014 01:15 AM PST

KENYATAAN MEDIA

BERKENAAN ISU PUSAT TAHFIZ AMAL DI YAN KEDAH

Pertamanya Pusat tahfiz Amal Jalan Kuala Kedah Yan Batu 17 ini telah kita kenalpasti bernaung dibawah ajaran Azhar bin Wahab atau kita kenali sebagai ajaran Al-Mansur. Kebanyakan negeri juga telah memfatwakannya sebagai sesat dan menyeleweng termasuk negeri Kedah yang telah memfatwa dan mewartakannya sebagai bercanggah dan menyeleweng dari pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Saya ingin menasihatkan kepada masyarakat agar tidak mudah terpedaya dengan taktik kumpulan ini yang menggunakan nama Pusat Tahfiz Amal bagi membuat jualan dan mengutip derma kerana pada hakikatnya mereka bukan sahaja telah mengeksplotasi kanak-kanak malah turut mencabul hak kanak-kanak tersebut bagi mendapat pendidikan yang sewajarnya. Bagi mereka yang benar-benar ingin membuat amal ataupun berderma, carilah saluran yang diakui sahih kerana dibimbangi derma kita itu nanti akan memberi sumbangan kepada kelangsungan sebuah kumpulan yang menyeleweng dan juga mempergunakan kanak-kanak.

Kita juga mendapati mereka telah memanipulasi para pelajar untuk melakukan kutipan derma dengan berselindung di sebalik menjalankan jualan amal atas dasar kononnya ia merupakan falsafah akademik bagi mempelajari nilai-nilai Islam secara praktikal. Inilah hakikat pembohongan terbesar mereka terhadap agama demi keuntungan peribadi yang mesti kita banteras bersama-sama.
Akal yang waras dapat menilai sejauh mana kebenaran kumpulan ini, mana mungkin seorang penagasas sekolah tahfiz mengamalkan hidup sosial sebegitu, menjadi penyanyi dan mengeluarkan album. Justeru, masyarakat harus sedar dan tidak terus berderma kepada pusat amal ini yang kononnya bagi bagi kutipan derma kanak-kanak agar tidak menjadi kelangsungan kepada kumpulan ini.

Tindakan oleh pihak berkautoriti hanya akan berkesan sekiranya masyarakat bersama-sama tidak menyokong atau menghulurkan bantuan kepada kumpulan ini.

Sekian, terima kasih.

"BERKHIDMAT UNTUK NEGARA"

DATO' HAJI OTHMAN BIN MUSTAPHA
19 Februari 2014

Rujuk Fatwa berkenaan Ajaran Azhar Bin Wahab
Klik - http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-negeri/kedudukan-ajaran-azhar-bin-wahab-pengasas-al-mansur-holdings-sdn-bhd-1

MENGECAM ANCAMAN TERBARU TERHADAP TERESA KOK

Posted: 19 Feb 2014 01:05 AM PST

Saya mengecam serangan terbaru terhadap Teresa Kok yang dibuat menerusi cat merah yang dicurah dan bangkai ayam yang dilemparkan di Pusat Khidmatnya.

Serangan ini berlaku selepas wujud tawaran untuk menampar Teresa daripada sekumpulan NGO tertentu sebagai respon terhadap video Tahun Baru Cina Teresa 'Onederful Malaysia' yang mereka dakwa menghina Islam dan Raja-Raja Melayu.

Jurucakap kumpulan yang sebelum ini mengancam untuk menampar Teresa dan memotong dua ekor ayam di atas gambar pimpinan Pakatan Rakyat mengaku beberapa anggota mereka terlibat di dalam beberapa insiden sebelum ini termasuk isu kepala lembu beberapa tahun yang lepas.

Amatlah sedih apabila kumpulan yang mendakwa mempertahankan Islam mengambil tindakan yang tidak diajar agama kita. Islam mengajar kita menjaga adab kita di dalam berbeza pendapat dan berlaku adil kepada semua insan termasuk bukan Islam.

Saya berharap pihak yang selama ini begitu lantang di dalam mengeluarkan kenyataan terhadap mereka yang membantah tindakan kerajaan dan sebagainya akan turut mengeluarkan pandangan mereka tentang tindakan golongan-golongan ini.

Saya juga menyeru Kerajaan UMNO-BN yang sering bercakap soal wasatiyyah atau kesederhanaan untuk mengambil tindakan terhadap kumpulan ini yang didokong oleh mereka yang rapat dengan UMNO-BN.

NIK NAZMI NIK AHMAD
TIMBALAN SPEAKER DEWAN UNDANGAN NEGERI SELANGOR
AHLI DEWAN UNDANGAN NEGERI SERI SETIA

“ SEMINAR PEMIKIRAN KASSIM AHMAD: SUATU PENILAIAN ”

Posted: 19 Feb 2014 12:30 AM PST

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)


1. JAKIM memandang serius dalam isu yang dibangkitkan dalam" SEMINAR PEMIKIRAN KASSIM AHMAD: SUATU PENILAIAN " pada 15 dan 16 Februari 2014 anjuran Ahli Jawatankuasa Sahabat Pena Pak Kassim di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.

2. Kenyataan-kenyataan daripada para pembentang kertas kerja seminar khususnya berkaitan isu-isu agama adalah seperti yang berikut:

i. Mempertikaikan Dua Kalimah Syahadah dengan menganggap syahadah yang kedua sebagai mendewa-dewakan Nabi Muhammad SAW.

ii. Mempertikaikan rambut sebagai aurat wanita dan memperlekeh wanita yang berhijab.

iii. Mempertikaikan kredibiliti ulama dan menyamakan ulama sebagai kasta paderi

iv. Mempertikaikan hadith sebagai sumber hukum dan menuduh Imam Shafi'e yang memulakan doktrin baru dengan menyatakan hadith sebagai satu sumber hukum sama seperti al-Qur'an

v. Mentafsirkan semula al-Qur'an berdasarkan logik semata-mata dan menolak tafsiran ulama terdahulu

vi. Mengiktiraf Kod 19 oleh Rashad Khalifa sebagai pentafsir al-Qur'an bagi menggantikan hadith

vii. Cadangan membuat surat untuk memohon pihak KDN menarik semula pengharaman buku-buku tulisan Kassim Ahmad

3. Jakim juga ingin menjelaskan bahawa pemikiran dan pandangan yang dikemukakan adalah bercanggah dengan prinsip dan juga sumber hukum dalam ajaran Islam berdasarkan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi asas pegangan masyarakat Islam di Malaysia. Ini adalah berdasarkan kepada sebab-sebab yang berikut:

i. Mengucap Dua kalimah Syahadah merupakan rukun Islam yang pertama bagi setiap Muslim yang mengaku dirinya sebagai orang Islam. Mempertikaikan syahadah boleh menyebabkan seseorang itu terkeluar daripada agama Islam. Justeru, orang yang berbuat demikian wajiblah segera bertaubat.

ii. Ulama telah bersepakat bahawa aurat wanita adalah keseluruhan badannya kecuali muka dan kedua tapak tangannya. Mempertikaikan hukum yang telah disepakati boleh membawa kepada kesesatan.

iii. Ulama adalah pewaris Nabi yang berperanan menyampaikan ajaran Islam dari satu generasi ke satu generasi. Mempertikaikan kredibiliti Ulama muktabar dalam mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah suatu yang bercanggah dengan disiplin ilmu yang diwarisi daripada Sahabat dan Salafus Salih.

iv. Hadith adalah sumber kedua perundangan Islam dan sebagai pentafsir kepada al-Qur'an berdasarkan ijma' ulama.

v. Penafsiran semula al-Qur'an berdasarkan logik akal tidak boleh diterima kerana pentafsiran al-Quran memerlukan disiplin ilmu agama yang telah ditetapkan dalam ajaran Islam.

vi. Teori "Kod 19" oleh Rashad Khalifa yang dipegang oleh Kassim Ahmad mengandungi pelbagai penyelewengan akidah dan tidak wajar digunakan untuk mentafsirkan al-Qur'an

vii. Tindakan untuk menarik semula pengharaman buku-buku tulisan Kassim Ahmad ini adalah tidak wajar kerana ia telah jelas menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar seperti yang telah difatwakan oleh negeri-negeri.

4. Saya telah meminta pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk mengambil tindakan dengan pendekatan yang bersesuaian dalam perkara ini. Disamping itu, saya juga memohon kerjasama dari pihak Jabatan Agama Islam Negeri-negeri dapat memantau dan memberi perhatian terhadap isu ini secara berkesan dan wajar dan mengambil tindakan berdasarkan undang-undang sedia ada sekiranya bersesuaian.

5. Suka saya maklumkan bahawa pihak berkuasa agama negeri telah mengambil tindakan penguatkuasaan dan pewartaan fatwa terhadap bahan-bahan penerbitan yang mengandungi dan menyebarkan fahaman anti hadith yang jelas menyeleweng dari ajaran Islam. Apa-apa jua bentuk penerbitan dan atau publisiti yang bertujuan untuk mengembangkan pemikiran atau fahaman anti hadith adalah dilarang dan perlu disekat kerana ia menyalahi fatwa dan undang-undang lain yang berkaitan.

6. Pihak Jakim dan Jawi juga berhasrat untuk menjemput Dr Kassim Ahmad dan pihak penganjur sebagai satu usaha pihak kami memberikan penjelasan terbaik terhadap dakwaan-dakwaan beliau yang dianggap boleh menjejaskan aqidah umat Islam.

7. Jutseru itu, memandangkan pemikiran Dr Kassim Ahmad ini boleh dikatakan sebagai pemikiran yang salah dan bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah, maka adalah wajar umat Islam di Malaysia menjauhi aliran pemikiran dan doktrin-doktrin palsu yang seumpama ini. Ini adalah kerana perkara ini boleh memberi implikasi besar kepada akidah umat Islam dan menggugat ketenteraman serta menimbulkan keresahan awam.

8. Islam menyeru kepada umatnya agar bersatu padu dan mencegah daripada berpecah belah kerana perpecahan dalam kalangan masyarakat Islam boleh merugikan masyarakat Islam itu sendiri. Ini juga adalah demi untuk membangunkan modal insan yang bertamadun tinggi.

Sekian, terima kasih.

'Saya Yang Menurut Perintah'

DATO' HAJI OTHMAN MUSTAPHA
19 Februari 2014

Penjelasan Jakim terhadap kenyataan Kassim Ahmad

Posted: 19 Feb 2014 12:27 AM PST

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini membuat pendirian bahawa pandangan yang dikemukakan Kassim Ahmad dalam satu seminar di Putrajaya minggu lalu adalah bercanggah dengan perinsip ajaran Islam berdasarkan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi asas pegangan masyarakat Islam di Malaysia.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha berkata pihaknya memandang serius perkara yang dibangkitkan dalam "Seminar Pemikiran Kassim Ahmad: Satu Penilaian" itu.

"Saya telah meminta pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk mengambil tindakan dengan pendekatan yang bersesuaian dalam perkara ini.

"Pihak Jakim dan Jawi juga berhasrat untuk menjemput Dr Kassim Ahmad dan pihak penganjur sebagai satu usaha pihak kami memberikan penjelasan terbaik terhadap dakwaan-dakwaan beliau yang dianggap boleh menjejaskan aqidah umat Islam," kata beliau dalam satu kenyataan.

Tiada ulasan: