Rabu, 19 Februari 2014

DUNIACACAMARBA

DUNIACACAMARBA


Pulau Pinang Tidak Luluskan Kasino

Posted: 18 Feb 2014 08:32 PM PST


Pulau Pinang Tidak Lulus Kasino kerana Banyak Kemudaratan daripada Kebaikan: Guan Eng

[RK] GEORGE TOWN, 18 FEBRUARI: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, kerajaan negeri tidak meluluskan kasino yang lebih banyak kemudaratan berbanding kebaikan sebaliknya meluluskan projek pemangkin ekonomi, termasuk Ikea.

Beliau berkata, walaupun manfaat ekonomi daripada kasino berlipat kali ganda, kesan sosial dan rohani adalah terlalu berat dan tinggi untuk ditanggung masyarakat pelbagai budaya dan majmuk di negeri Pulau Mutiara itu.

"Kerajaan Negeri Pulau Pinang sangat gembira kerana IKEA telah memutuskan untuk membuka kedai pertama mereka di luar Kuala Lumpur iaitu di Batu Kawan, Pulau Pinang.

"Keputusan ini adalah rangsangan keyakinan yang kuat untuk aspirasi Pulau Pinang ke arah bandar antarabangsa dan pintar," katanya dalam kenyataan media di Komtar, semalam.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, projek itu adalah usahasama antara syarikat induknya, Ikano dan sebuah syarikat tempatan akan membangunkan pusat sehenti hijau (green one-stop center) bagi pembuatan termaju, perkhidmatan dan hab logistik; sebuah pusat kecemerlangan pendidikan, lokasi kediaman perdana dan sebagai pusat komersil dan runcit.

Menurutnya, beliau sudah bertemu dengan pasukan teknikal IKEA dan pasukan reka bentuk IKEA daripada Pengurus Projek Pelaburan, Mikael Winqvist; Pengurus Rekaan Serantau, Tim Denoon, dan Penolong Pengurus Pengembangan, Edward Ng.

Penjualan 245 ekar tanah oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) di Batu Kawan bernilai RM484 juta, di mana pusat membeli-belah dijangka akan siap dalam tempoh lima tahun.

Daripada jumlah itu 30 ekar untuk pembangunan kedai utama Ikano iaitu Kedai IKEA dan Fasa 1 pusat membeli-belah, 45 ekar untuk pembangunan fasa 2 pusat membeli-belah; dan 170 ekar untuk projek pembangunan bercampur.
PDC sudah menerima deposit tidak boleh dikembalikan (non-refundable) bernilai RM5 juta.

Setiausaha Agung DAP berkata, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengalu-alukan pelaburan Ikano yang bukan sahaja akan bertindak sebagai enjin pertumbuhan ekonomi tetapi juga meletakkan Batu Kawan di peta antarabangsa sebagai tapak bertaraf dunia bagi pusat komersial industri, peruncitan, pendidikan dan kesihatan serta gaya hidup.-Roketkini.com


P/s: Kerajaan DAP yang dicap anti-Islam enggan melulukskan pembinaan kasino kerana sedar akan kesan negatifnya kepada masyarakat.

Mohon UMNO merasa malu bukan sahaja kepada manusia tetapi kepada Allah.


Chow Yun-Fat Ingin Derma Semua Harta

Posted: 18 Feb 2014 08:04 PM PST



[HM] Hong Kong: Bintang filem aksi terkenal Hong Kong, Chow Yun-fat berhasrat menderma seluruh hartanya bernilai HKD1 bilion (RM425.2 juta) untuk tujuan kebajikan apabila dia meninggal dunia.

Pengumuman itu dilihat akan meningkatkan nama baiknya yang sememangnya terkenal dengan sifat rendah diri dan pemurah. 

"Saya merasakan duit itu bukanlah milik saya. Saya hanya bertanggungjawab menjaganya sementara waktu! Kerana itu saya akan mendermakan semuanya kepada badan kebajikan yang lebih memerlukan," kata Chow.

Pelakon itu menyatakan sejak kecil lagi dia diajar berjimat cermat oleh ibunya.

Kini apabila mencecah usia 58 tahun dan tiada anak untuk dijaga, Chow mahu mendermakan kesemua harta simpanannya sebagai tanda penghargaan kepada masyarakat atas apa yang dia kecapi selama ini.

Bintang yang terkenal di peringkat antarabangsa itu menyifatkan dirinya sama seperti orang biasa dan dia mendapat pujian ramai kerana sering menggunakan pengangkutan awam, tidak memakai pakaian mahal dan menggunakan telefon bimbit yang "ketinggalan zaman" walaupun dia kaya dan dikenali ramai. -19/2/14


P/s: Salut!!!


Dua Lagi Menteri Mahu Undur daripada Kabinet najib?

Posted: 18 Feb 2014 07:08 PM PST



Putrajaya Hanyut, Dorong Menteri Cari Jalan Keluar

[TMI] Dua menteri Umno sudah menunjukkan mereka mahu keluar daripada Kabinet menjelang rombakan pada Jun, membayangkan peningkatan kejengkelan terhadap tanggapan tiada arah tuju dalam kerajaan, kata sumber dalaman parti.

Ia sekurang-kurangnya membabitkan seorang menteri dalam pasukan ekonomi Putrajaya, yang berdepan dengan isu potongan subsidi, konsesi kenderaan import dan rundingan pakatan perdagangan Pacific Rim.

"Mood di Putrajaya muram. Sekurang-kurangnya dua menteri mahu cepat keluar daripada kerajaan Najib," kata seorang ahli politik Umno kepada The Malaysian Insider, merujuk kepada presiden parti dan perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Pencarian untuk menggantikan tempat itu kini bermula tetapi kekurangan bakat. Kita mempunyai sedikit sangat menteri atau ahli politik yang berkelayakan," katanya.

Pasukan ekonomi Najib merangkumi dirinya sendiri sebagai menteri kewangan 1; Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah sebagai menteri kewangan II; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamad; penasihat ekonomi, Datuk Seri Abdul Wahid Omar dan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan.

Ahmad Husni dan Abdul Wahid mendiamkan diri sejak kebelakangan ini selepas Putrajaya membuat keputusan menarik balik kenaikan kadar tol yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila beliau berkata kerajaan akan membayar RM400 juta kepada pemegang konsesi tol sebagai ganti rugi.

Mustapa dan kementeriannya menjadi perhatian kerana masih belum lagi memuktamadkan sistem Permit Import (AP) untuk kenderaan, yang semakin meningkatkan harga, dan kerana masih berbincang dengan rakan kongsi dalam Pacific Rim untuk membentuk Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA).

Perdana menteri masih boleh menambah seorang lagi timbalan menteri dalam Kementerian Kewangan, ruang yang disimpan untuk MCA kerana parti komponen senior Barisan Nasional (BN) itu mengambil keputusan untuk tidak menyertai kerajaan berikutan kekalahan teruk dalam pilihan raya tahun lalu.

Seorang pakar strategi Umno berkata, kemasukan MCA tidak akan memberi kesan besar terhadap kerajaan Najib, yang berdepan dengan perang prasangka lebih besar selepas pemimpin Hindraf, P Waytha Moorthy meletakkan jawatan secara mengejut sebagai timbalan menteri, minggu lalu.

"Kabinet seperti sudah tidak ada calon dan MCA tidak terlalu menonjol, maka kemasukan mereka nanti tidak akan mengubah apa-apa.

"Kerajaan perlu cepat keluar daripada kesuraman ini dan bekerja kuat. Mereka tidak akan kehilangan apa-apa sehingga pilihan raya akan datang," katanya.

Pengkritik berkata, pentadbiran Najib gagal meredakan peningkatan ketegangan perkauman dan agama dalam negara, terutama di Pulau Pinang dan Selangor yang ditadbir oleh pembangkang.

Katanya, polis berjanji untuk bertindak tetapi setakat ini, hanya pemimpin pembangkang yang berdepan dengan cabaran besar.

Najib juga berdepan dengan kritikan daripada parti Umno sendiri, terutama golongan veterannya, yang percaya bahawa perdana menteri perlu melakukan lebih lagi untuk memotong perbelanjaan, bukan semata-mata potong subsidi.

"Kerajaan memerlukan kepimpinan lebih tegas dan lebih memahami apa yang berlaku dalam Malaysia. Mereka kelihatan seperti tidak tahu dan kadang-kadang, nampak tidak peduli.

"Mungkin itu sebabnya mereka mereka berperasaan muram. Mereka tiada arah, tiada petunjuk dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan untuk memastikan Putrajaya terus berkuasa," kata seorang ahli Umno. – 19 Februari, 2014.



Remaja Dihukum Tunjuk Aksi Lucah Depan Ibu

Posted: 18 Feb 2014 06:42 PM PST


[SH] KOTA BHARU - Balasan buat seorang remaja berusia 19 tahun apabila dihukum penjara dua tahun oleh mahkamah majistret di sini, semalam, akibat perlakuan jijik menunjukkan aksi lucah pada ibu sendiri, tahun lalu.

Hukuman diputuskan Majistret, Nik Habri Muhamad ke atas tertuduh, Mohammed Nor Alief Abdul Maleq Ab Manan, selepas dia mengaku bersalah.

Tertuduh didakwa pada tuduhan dengan maksud hendak mengaibkan kehormatan ibunya itu dengan perkataan dan beraksi lucah di hadapan mangsa di bilik tidur sebuah rumah di Taman Intan, Lorong LPP, Lundang di sini, pada jam 8 malam, 20 Disember.

Dia juga dihukum penjara dua tahun selepas mengaku menyebabkan cedera ke atas ibunya yang juga seorang guru berusia 55 tahun itu dengan menggunakan batang kayu penyapu pada jam 6.30 petang, 21 Disember.

Hukuman diarah berkuat kuasa serentak daripada tarikh dia ditahan. Nik Habri dalam keputusannya turut memberi amaran kepada tertuduh bahawa dia akan dikenakan sebat jika perkara sama berulang.

"Perbuatan kamu sangat teruk. Seperti kata pendakwa, tidak tahu apa yang kamu fikirkan sampai sanggup menunjukkan perbuatan yang pelik (lucah) kepada ibu sendiri.

"Kamu wajib meminta maaf dengan ibu kamu. Walaupun dia yang mahukan hukuman penjara ini tetapi dia masih melantik peguam bagi mewakili kamu dan itu bermakna dia masih sayang kamu," katanya.

Tertuduh diwakili peguam bela, Latifah Ariffin yang memohon hukuman penjara minimum dikenakan berikutan tertuduh sudah menunjukkan rasa insaf dan kesal terhadap kesalahan itu dengan mengaku bersalah.

Mohammed Nor Alief Abdul Maleq ditahan pada 21 Disember 2013 dan kali pertama dihadapkan ke mahkamah pada 24 Disember serta berada dalam tahanan sepanjang tempoh tersebut. Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad.

Sinar Harian sebelum ini, melaporkan seorang guru menempuh detik hitam dalam hidupnya apabila menjadi mangsa pukul dan gangguan seksual oleh anak sendiri. Akibatnya, dia mengalami lebam bahagian kiri paha, lengan dan belakang badan. - 19/2/14


Tiada ulasan: