Sabtu, 1 Februari 2014

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


PR Ada Kelebihan Main Banyak Isu, BN Cuma Serang Peribadi Anwar

Posted: 01 Feb 2014 01:17 AM PST

Pakatan Rakyat (PR) dijangka mempunyai kelebihan berbanding Barisan Nasional (BN) daripada segi penggunaan isu yang mampu menambat hati pengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang yang bakal dilangsungkan dalam masa terdekat.

Penganalisis Politik, Dr Maszlee Malik (gambar), berkata antara isu dijangka mampu mempengaruhi pengundi akan dibawa PR dalam PRK terbabit seperti kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat.

"Di pihak PR memang kelebihan ada dengan isu berkisar kos sara hidup seperti kenaikan harga barang, kegagalan BN menunaikan janji sebelum pilihan raya umum tidak menaikan harga barangan keperluan utama atau tarif perkhidmatan tertentu," katanya kepada Selangor Kini, di sini, hari ini.

Dr Maszlee yang juga pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), berkata beliau menjangkakan pengundi Cina di Kajang ketika ini masih kekal dalam mood memilih calon PR sebagai wakil mereka di Dewan Negeri Selangor.

Sementara itu, BN pula pada peringkat awal akan memainkan isu perletakkan jawatan Lee Chin Cheh sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang.

Katanya, isu peletakan jawatan itu secara perlahan akan hilang ekoran penerangan yang dibuat barisan kepimpinan PR.

"Ramai terkejut dengan perletakkan jawatan, tidak kira penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau pengundi biasa di peringkat akar umbi tetapi kita lihat dua tiga hari ini penjelasan oleh Rafizi, Dr Manuaty, Khalid Samad dan kepimpinan PR lain akan meredakan suasana. Jadi isu letak jawatan ini akan hilang.

"Manakala, isu prestasi ADUN lama bukan isu besar sebab bila Anwar bertanding, banyak isu nasional yang timbul," katanya.

Dr Maszlee berkata, BN tidak mempunyai banyak pilihan melainkan menggunakan strategi politik tipikal mereka dengan menyerang peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon PR dalam PRK Kajang itu.

"Tun Mahathir sendiri sudah mula tidak menekankan isu persoalan perletakan jawatan ADUN PKR tetapi main isu peribadi Anwar. Menyerang peribadi Anwar juga bukan isu yang besar sebenarnya tetapi hanya itu sahaja pilihan yang BN ada ketika ini," katanya. -selangorku

PRK Kajang: Mahathir Syor MCA Bertanding Kerana Tahu BN Tetap Kalah

Posted: 31 Jan 2014 08:35 PM PST

PRK Kajang: Rakyat patut abaikan pandangan Dr M

Malaysia sebuah negara bebas. Pembetulan. Malaysia sememangnya sebuah negara yang agak bebas. Oleh itu, Tun Dr Mahathir Mohamad juga bebas menyuarakan pandangannya tentang sesuatu perkara, sama ada tentang cuaca di Kutub Utara ataupun kualiti kepimpinan dalam negara.

Tetapi, Malaysia juga bebas tidak bersetuju atau menolak apa sahaja yang terkeluar daripada mulut beliau. Malah boleh juga menunjukkan rasa tidak senang dengan sikap politik dolak-dalih beliau, hari demi hari tanpa rasa bersalah melupakan permasalahan dalam negara segala-galanya berpunca daripada zaman pemerintahannya.

Walaupun dilihat mengeluh tentang sikap pentingkan diri di kalangan ahli politik Umno dan budaya politik merampas kuasa hari ini, Dr Mahathir berharap kita lupa tentang kekayaan luar biasa menterinya dan rakan sekelilingnya.

Apabila beliau bercakap tidak munasabah penganut Kristian mahu menggunakan kalimah Allah, Dr Mahathir harap kita melupakan kerajaan sekitar lewat 1980-an yang membenarkan peruntukan menggunakan kalimah Allah oleh penganut Kristian dilaksanakan secara pengkuatkuasaan.

Apabila mengeluh tentang bahang perkauman dan agama, Dr Mahathir harap kita lupa dirinya adalah penaung Perkasa, kumpulan pendesak ultra-Melayu yang mempunyai satu matlamat, iaitu memecah-belah negara ini.

Sekarang, bekas perdana menteri paling lama berkhidmat itu memberi pandangan remehnya tentang betapa pentingnya pilihan raya kecil di Kajang. Beliau boleh mempersenda Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kata apa sahaja tentangnya. Tetapi apabila bercakap tidak masuk akal, beliau perlu dihentikan.

Hari ini beliau menggesa pengundi Kajang beri MCA peluang. Kenapa? Kerana menurutnya, parti komponen Barisan Nasional tersebut cuba bangkit selepas prestasi memalukan. Benarkah?

Setiap orang boleh menghidu deria elastik benar dan salah beliau, pertukaran kuasa antara Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan Datuk Seri Liow Tiong Lai kononnya bukti parti tersebut kini berada di landasan terbaik.

Boleh anda bayangkan betapa angkuh dan egonya kedua-dua pemimpin MCA ini cuba mendapat habuan untuk diri mereka walaupun parti mereka gagal memberi khidmat kepada masyarakat?


Liow tidak bermaya manakala Dr Chua ... kurang bercakap mengenai Chua, mungkin lebih baik.

Tetapi Dr Mahathir pula berharap rakyat Malaysia memberi peluang kepada pemimpin yang angkuh ini?

Tetapi ia tidak memeranjatkan rakyat Malaysia mengenai Dr Mahathir. Beliau akan sentiasa bercakap mengenai pandangannya dan menawarkan nasihat yang tidak diminta.

Oleh itu, secara umumnya rakyat Malaysia perlu melakukan perkara bertentangan dengan apa yang beliau mahu.

Lagipun, beliau mempunyai pandangan yang elastik tentang apa yang betul dan salah. -TMI


Dr M: Beri MCA peluang bertanding di Kajang


Memandangkan MCA sedang membuat kemunculan semula, parti itu patut diberi peluang bertanding pada pilihan raya kecil DUN Kajang jika ia mempunyai peluang cerah untuk menang, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mengulas pandangan beberapa pihak bahawa Umno pula patut diberi peluang bertanding di kawasan itu setelah MCA kecundang pada pilihan raya umum lepas, bekas perdana menteri ini berkata terserahlah kepada BN untuk membuat keputusan mengenainya.

Namun, katanya beberapa perkara perlu diberi pertimbangan termasuk komposisi etnik di Kajang.

"Sekiranya orang Cina lebih banyak, maka lebih baiklah kita letak calon Cina juga," kata beliau ketika ditemui pemberita di majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina MCA di Wisma MCA, hari ini.

Kajang mempunyai 39,030 pengundi dengan 48.3 peratus daripadanya Melayu, Cina (40.5 peratus), India (10 peratus) dan kaum lain (1.2 peratus).

Dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2004, MCA memenangi kerusi itu tetapi tewas pada PRU 2008 dan PRU 2013 kepada PKR.

Dalam PRU lepas, calon PKR Lee Chin Cheh memenangi kerusi itu dengan majoriti 6,824 undi dalam pertandingan enam penjuru melibatkan calon MCA Lee Ban Seng serta calon Berjasa dan tiga calon Bebas.

Bagaimanapun, Lee mengosongkan kerusi itu pada Isnin lepas.

Keesokannya, PKR menamakan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calonnya bagi kerusi itu sekiranya pilihan raya kecil diadakan.

Ditanya sama ada BN perlu bertanding dalam pilihan raya kecil Kajang, Dr Mahathir berkata BN tidak pernah berpaling daripada mana-mana pilihan raya dan langkah serupa perlu dikekalkan pada pilihan raya kali ini.

"Kita perlu bertanding, BN bertanding dalam semua pilihan raya sebelum ini," katanya.
- Bernama



BN kalah jika letak calon MCA


SHAH ALAM- Formula meletakkan golongan agamawan sebagai calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kajang tidak boleh diguna pakai BN berikutan komposisi pengundinya yang hampir sama antara Melayu dan Cina.

Pensyarah Sains Sosial Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Dr Mohd Noor Mat Yazid berkata, calon agamawan juga belum mampu mempengaruhi pengundi untuk memberikan kemenangan kepada BN.

"Formula di Permatang Pauh dengan meletakkan calon agamawan semasa pilihan raya lalu mungkin sesuai kerana ia kawasan kampung dengan majoritinya Melayu dan berhasil kerana berjaya kurangkan undi kepada PKR.

"Tapi di Kajang, pengundi Cina khususnya tidak akan mengambil kisah dengan calon agamawan atau tidak langsung memberi undi kepada BN kerana komposisinya 49 peratus Melayu dan 40 peratus Cina," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Sehubungan itu katanya, beliau yakin BN tidak akan memperjudikan calonnya hanya untuk bertanding di PRK Kajang yang tidak akan memberi implikasi yang besar kepada parti itu.

"Kalau ikutkan sejarahnya pun, Pas menang pada tahun 1999, 2004 MCA, manakala bagi 2008 dan 2013, PKR kekal dengan majoriti yang lebih besar.

"Sekalipun kalah, tiada apa kesan kepada Dun Selangor begitu juga kalau menang. Tapi kesannya jadi besar jika PKR berjaya dikalahkan BN dalam PRK ini," kata beliau.

Sementara itu, Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Mansor Mohd Noor berkata beliau yakin BN akan kalah jika meletakkan calon MCA.

"Cina di Kajang sudah pun menolak MCA, lebih baik jika kerusi itu diberikan kepada BN melalui rundingan bagi PRK ini.


"Sekalipun mahu calonkan juga dari MCA, individu itu mesti berintegriti, terkenal dengan budaya korporat yang berjaya selain akademiknya diperakui," katanya.

Mengulas lanjut, katanya jika BN ada calon boleh menang yang mampu menggugat kedudukan Anwar, beliau yakin BN akan beroleh kejayaan.

"BN jika mahu menang PRK ini ia bukan berkisar kepada calon sahaja, tetapi perlu bijak mengambil kesempatan di tengah-tengah kemelut khususnya PKR.

"Ini kerana PKR sudah ketandusan calon yang berwibawa kerana terpaksa diambil alih oleh Anwar sendiri untuk bertanding di PRK Kajang," katanya.
- SH


ULASAN GB

Sifirnya mudah. Baik UMNO atau MCA atau sesiapa juga mewakili BN tidak lagi penting. Semua petunjuk menunjukkan bahawa BN akan tewas di PRK Kajang.

Mahathir gelah menghidunya dan tahu keadaan itu bakal berlaku. Oleh itu beliau mencadangkan supaya yang bertanding di Kajang itu biarlah MCA, bukan UMNO. Alasannya agar MCA membuktikan parti itu dapat melakukan "come-back".

Bagi MCA sendiri, mereka menghadapi masalah besar. Siapa calon yang bakal diketengahkan yang wibawanya menyamai kehebatan Anwar Ibrahim yang sudah pun memngumumkan akan bertanding di DUN Kajang?

Tetapi, bagi MCA menang atau kalah tak jadi soal. Yang penting dapat masuk bertanding mewakili BN kerana MCA mengharapkan habuan besar yang bakal turun bersama-sama dengan satu-satu pilihanraya kecil. MCA terkenal sebagai parti orang-orang Cina kaya, parti jutawan Cina, parti taikun. Ini peluang untuk masyuk. "Money, money,money"! Kalau BN tak bertanding maka tertutuplah peluang mereka untuk menyebat mana yang dapat. Kita bakal saksikan lori bergerak MCA ala K-Pop di Kajang nanti(?)

"Coming back"? Lupakanlah! PRU13 membuktikan masyarakat bandar telah menolak BN. Belum ada sesuatu yang konstruktif yang BN lakukan untuk mendapatkan semula sokongan masyarakat bandar. Begitulah Kajang. Apatah lagi di dalam keadaan hari ini dimana PR mempunyai lebih banyak isu untuk diketengahkan di dalam PRK itu nanti.

Salah satu pukulan maut yang tak akan terjawab oleh BN ialah kangkung. Kangkung tetap bergemadi sepanjang tempoh PRK Kajang!

Mahathir Terkedu Apabila Rancangannya Untuk Jatuhkan Najib Terbongkar

Posted: 31 Jan 2014 04:20 PM PST


Pembabitan Mahathir jatuhkan Najib bukan perkara pelik

SHAH ALAM, 31 JAN: Pembabitan Tun Mahathir Mohamed dalam gerakan menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak bukan sesuatu yang menghairankan kerana sejarah membuktikan perkara sama pernah berlaku ketika era bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam.

Penulis buku politik, Shahbudin Husin, berkata tindakan menjatuhkan pemimpin yang tidak sebulu dengannya adalah perkara biasa bagi Mahathir, bahkan membuat penafian juga sudah sebati dalam gerak kerja politiknya selama ini.

Beliau berkata, perkara sama turut menimpa beberapa bekas pemimpin terkemuka Umno sebelum ini antaranya Tun Ghafar Baba, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Abdullah Ahmad Badawi selepas disingkirkan Mahathir.

Ketika hubungan tidak mesranya dengan Musa dihidu ramai pada awal 1980-an dulu, Mahathir beberapa kali menafikannya, bahkan beliau juga kerap menunjukkan sifat mesranya di depan umum dengan bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

"Begitu juga dengan Anwar apabila beliau sering menafikan hubungan renggang mereka dan berulang kali menegaskan Anwar adalah penggantinya,bahkan sehari sebelum pemecatan Anwar ,pada 2 September 1998, beliau sekali lagi menafikan hubungan mereka bermasalah.

"Namun ,akhirnya Anwar bukan saja dipecat, bahkan juga dimalu, diaibkan dan dihantar ke penjara seperti tidak pernah bersahabat baik serta duduk makan semeja sebelum itu. Tetapi itulah Mahathir, apa yang dinafikan selalu yang dilakukannya," katanya di dalam blog.

Shahbudin berkata, gerakan untuk menggulingkan Najib yang dikaitkan dengan Mahathir bukan lagi rahsia Umno berikutan beberapa blogger pro-bekas Perdana Menteri Malaysia keempat itu semakin giat meningkatkan serangan dan kritikan terhadap Najib.

Beliau berkata, desakan supaya Najib segera berundur daripada jawatannya sebagai Perdana Menteri adalah bagi mengelakkan Barisan Nasional (BN) hilang kuasa dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti.

Katanya, selain Datuk A Kadir Jasin; bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin juga secara terbuka mengkritik kelemahan Najib, sambil mengingatkan bahawa BN akan tumbang jika pilihan raya akan datang diadakan dalam suasana seperti yang ada kini.

"Kritikan terbuka Daim segera dikaitkan dengan Mahathir berikutan mereka mempunyai hubungan rapat yang kekal sehingga ke hari ini dan dikatakan selalu bertemu untuk berbincang berkenaan isu politik semasa.


"Walaupun menafikan berada di belakang gerakan mahu menjatuhkan Najib, beliau pada masa sama mulai kritis terhadap Najib dengan mengkritik sikap bermewah kerajaan dan menyokong kenyataan Daim dengan menyatakan pandangan bekas Menteri Kewangan itu ada asas dan kebenarannya.

"Mahathir juga seperti menyindir Perdana Menteri bahawa pemimpin sekarang lebih mengutamakan mencari kekayaan berbanding memberi khidmat kepada rakyat. Siapa pemimpin sekarang yang ghairah mencari kekayaan kalau bukan Najib dan keluarganya?" katanya. -selangorku


PM jumpa penyokong malam ini, bendung pemberontakan parti


The Malaysian Insider difahamkan bahawa presiden Umno itu akan mengadakan pertemuan dengan ketua bahagian, pemberi pendapat dalam parti dan penyokongnya untuk menangani kritikan yang dilemparkan terhadap kepimpinannya oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Daim Zainuddin dan beberapa veteran parti yang lain.

Najib dijangka menggariskan apa yang beliau percaya sebagai motif di sebalik semua serangan di ruang siber, hampir serupa dengan kempen yang akhirnya menyebabkan Tun Abdullah Badawi melepaskan jawatannya pada 2009.

Susulan daripada taklimat tertutup itu, pengikut setia Najib dijangka turun ke akar umbi dan menyebarkan pesanan PM untuk terus berjuang dan jangan menghiraukan sebarang kritikan.

Taklimat itu adalah tanda yang menunjukkan Najib dan barisan penasihat akhirnya menerima hakikat bahawa serangan bertubi-tubi dan berterusan terhadapnya adalah perkara yang serius serta memberi kesan terhadap pegangan kuasanya.

Najib dilantik sebagai presiden Umno bagi penggal kedua selepas menang tanpa bertanding dalam pemilihan parti dan hampir semua orangnya berada dalam Majlis Tertinggi Umno, tetapi itu tidak menghentikan kritikan yang menggunung mengenai kepimpinannya.

Tetapi, tidak ada bahaya yang mendesak menunjukkan Najib akan kehilangan kuasanya dalam parti atau Parlimen, walaupun wujudnya spekulasi menyatakan pengkritiknya mahu beliau meletakkan jawatan sebelum akhir tahun ini.

Mandat Najib sebagai presiden parti adalah sehingga 2016 manakala kerajaan pemerintah Barisan Nasional ada sehingga 2018 sebelum penggal tamat.

Langkah berdiam diri yang diambilnya terhadap serangan dalam parti dan di alam siber dilihat sebagai tanda kelemahan, hampir serupa dengan sikap "senyap bergaya" Abdullah ketika bekas perdana menteri itu dikutuk dan dilabelkan sebagai "Slumberjack".

Orang kuat Najib yang juga Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor mengarahkan pengkritik menggunakan saluran dalam parti untuk menyuarakan kegusaran dan tidak puas hati masing-masing.

Secara jelas pesanan itu ditujukan kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir yang sebelum itu mengeluarkan kenyataan potongan subsidi Najib akan memberi kesan kepada sokongan terhadap BN pada pilihan raya akan datang.

Bapa Mukhriz, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga mengkritik BN di bawah pentadbiran Najib dengan berkata gabungan itu lemah dan kerajaan sepatutnya memotong perbelanjaan, bukan subsidi.

Daim, bekas penasihat ekonomi kerajaan dan menteri kewangan, dalam satu mesyuarat tertutup di Umno Merbok, 10 hari lalu, turut berkata BN boleh kehilangan kerajaan jika pilihan raya diadakan pada waktu sekarang dengan polisi semasa BN terkini.


Perdana menteri juga menjadi bahan lawak di alam siber berhubung kenyataannya yang meminta rakyat bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan apabila berlaku kejatuhan harga, bukan hanya tahu menyalahkan kerajaan ketika harga naik.

Sumber dalam Pejabat Perdana Menteri berkata pembantu khas Najib menuduh adiknya, ketua CIMB, Datuk Seri Nazir Razak berniat "jahat, serangan tertutup" terhadap abangnya menerusi artikel yang disiarkan sempena mengingati pemergian ayah mereka, Tun Abdul Razak Hussein ke rahmatullah pada 1976.

Dalam artikel yang disiarkan oleh The Malaysian Insider dan dua media lain, Nazir memuji allahyarham bapanya yang memegang sifat integriti dan langkah berjimat dan berkata, pemimpin negara patut kembali ke pangkal jalan untuk membangunkan negara.

Najib yang mula memegang tampuk kuasa pada April 2009 berjanji untuk berubah dan melaksanakan liberalisasi menerusi landasan 1Malaysia dan berkata, zaman "kerajaan tahu yang terbaik" sudah berlalu.

Tetapi, perubahan yang dilaungkannya menyebabkan BN kalah lebih banyak kerusi dalam Pilihan Raya Umum ke-13 dan ekonomi Malaysia merudum dengan ramalan global agak suram sehingga memaksa Najib memotong subsidi dan memperkenalkan cukai penggunaan untuk memastikan kadar kewangan yang positif.

Potongan subsidi dan gaji minimum mandatori serta peningkatan kos sara hidup datang serentak bersama serangan terhadap perdana menteri yang sering melakukan lawatan ke luar negara dan kegagalannya mengawal perbelanjaan awam.

Selepas teruk dikritik, Najib mengumumkan 11 langkah untuk berjimat tetapi pengkritik berkata, ia terlalu sedikit dan sudah terlambat hingga memerlukan Dr Mahathir kembali ke Putrajaya untuk memulihkan nasib Malaysia.
-TMI



Mahathir nafi di belakang usaha jatuhkan Najib


Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan beliau di belakang usaha menggulingkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, seperti didakwa Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli. Rafizi berkata, tindakan meletakkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di Kajang bagi mengekang kemaraan BN di Selangor jika perdana menteri sekarang dijatuhkan oleh kuasa dalaman Umno. Dakwa Rafizi, gerakan menjatuhkan Najib sudah menjadi rahsia umum, yang digerakkan "kem Mahathir" dalam Umno. "Itu tafsiran dia (Rafizi). Sebenarnya usaha nak jatuhkan kerajaan sedia ada bermula daripada masa saya jadi PM pun. "Memanglah parti lawan tugas lain tak ada melainkan jatuhkan pemerintah, untuk jadi pemerintah," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemubual menerusi program "Dalam Radar Khas" terbitan Bernama Radio24, di ibu negara petang ini. -mk


ULASAN GB

Mahathir kini berada dipenghujung usia. Menghabiskan sisa-sisa umurnya membantu survival politik anaknya agar terus dapat berlansung setelah berjaya menjadi MB Kedah.

Apabila rahsianya mahu menjatuhkan Najib terbongkar, dibongkar oleh Rafizi bahawa beliau kini sedang berusaha untuk jatuhkan Najib, beliau agak terkedu dan lantas cuba menafikannya, namun penafiannya tidak utuh dan kukuh.

Umum mengetahui, sejarahnya membuktikan Musa Hitam, Abd Ghafar Baba, Anwar Ibrahim dan Abdullah Ahmad Badawi - kesemuanya jatuh hasil dari permainan manusia licik yang bernama Mahathir ini.

Apbila Mukhriz tewas untuk merebut jawatan salah satu Naib presiden UMNO, pada ketika itu beliau menyindir program transformasi Najib dan menganggap program transformasi Najibtidak berjaya kerana UMNO masih mahu mengekalkan muka-muka lama.

Bagi Pakatan Rakyat, kedua-duanya samada Najib atau Mahathir - adalah perosak besar kepada negara. Mahathir yang terkenal dengan sistem pemerintahan "ISA" dan kukubesinya manakala Najib terkenal dengan pemborosan melampau dan ketirisannya, menyebabkan rakyat hidup dalam kesengsaraan. PRK Kajang adalah jawapannya untuk permulaan menghentikan legasi pemerintahan BN di negara ini.

Tiada ulasan: