MIMPI SENJA |
Politik buruk golongan ‘kopiah putih’ dalam PAS – Hafiz Ahmad Posted: 31 Jan 2014 05:55 AM PST Baru-baru ini iklim politik Malaysia "panas" dengan peletakan jawatan mengejut Adun Kajang Lee Chin Cheh. Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengumumkan calon Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon bagi menghadapi pilihan raya kecil (PRK) DUN Kajang. Ternyata langkah politik ini mengejutkan rakan politik PKR dalam Pakatan Rakyat (PR), PAS dan DAP. Bermacam-macam komen mengecam tindakan PKR yang disifatkan sebagai membazir duit rakyat kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terpaksa mengadakan pilihan raya kecil yang sudah tentu melibatkan jumlah wang yang banyak. Tanpa merujuk pimpinan PAS pusat, tindakan PKR ini menerima kecaman beberapa kerat golongan "kopiah putih" dalam PAS yang sememangnya menunggu untuk menghentam PKR dan Anwar Ibrahim. Kritikan paling keras datangnya daripada Ketua Penerangan Dewan Ulama, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang mengatakan PKR telah khianat undi rakyat. Ustaz yang baru sahaja dapat anugerah Datuk daripada Sultan Pahang begitu galak menyerang PKR dengan pelbagai kecaman keras walaupun semasa sidang media pengumuman calon dihadiri pimpinan eksekutif tertinggi PAS seperti Naib Presiden Salahuddin Ayub dan Dr Hatta Ramli. Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu juga menyokong penuh pencalonan Anwar Ibrahim dalam PRK Kajang. Tidak ketinggalan menyertai siri kecaman terhadap PKR dan Anwar Ibrahim ialah seorang lagi golongan "kopiah putih" yang juga bekas Pemuda PAS Pusat Nasruddin Tantawi yang mengatakan ini satu kegilaan yang dicipta PKR. PKR berada dalam situasi politik yang sukar ketika ini dan mengharapkan sokongan daripada rakan-rakan komponen PR. Disaat ramai pemimpin bukan "kopiah putih" dalam PAS menyokong tanpa berbelah bahagi kepada PKR, tiba-tiba golongan "kopiah putih" begitu panas hati dan terus mengecam PKR. Malahan DAP juga menyokong penuh tindakan politik PKR di Kajang walaupun pada mulanya juga terkejut tapi DAP tidak menghentam seperti golongan "kopiah putih". Golongan "kopiah putih" yang majoritinya golongan ustaz ini patut malu dengan golongan kafir DAP yang menyokong rakan disaat susah dan senang. Akhlak yang ditunjukkan golongan kafir DAP lebih Islamik daripada akhlak golongan "kopiah putih" ini. Malah golongan yang mendakwa PKR khianat ini juga mengugut mahu jawatan menteri besar diberikan kepada PAS memandangkan PAS mempunyai bilangan kerusi yang lebih berbanding PKR tanpa menyentuh perbuatan khianat tikam belakang kawan geng "kopiah putih" yang meletakkan calon di DUN Kota Damansara. Ugutan ini amat dikesali disaat rakan berada dalam kesusahan tetapi jawatan MB yang didambakan. Politik buruk golongan ini bukan sahaja mengenai PKR Kajang tapi ramai pemimpin PAS yang jujur juga menjadi mangsa politik buruk ini. Lihat sahaja di Kelantan macam mana Naib Presiden PAS yang menang iaitu Husam Musa dipinggirkan di Kelantan malah diturunkan pangkat daripada Timbalan Pesuruhjaya 2 ke Timbalan Pesuruhjaya 3. Adalah pelik Naib Presiden yang menang dalam pemilihan parti tempatnya diganti dengan individu yang kalah. Ini satu penghinaan terhadap jawatan yang dipilih secara demokratik. Saya tidak pasti adakah ini cara pemilihan jawatan parti Islam. Saya secara peribadi berasa simpati nasib yang menimpa Husam Musa. Mat Sabu juga pernah menjadi mangsa golongan "kopiah putih" yang mengaku pendokong ulama semasa beliau bertanding mengekalkan jawatan Timbalan Presiden sehingga beliau mengeluh pemilihan sesi ini yang paling teruk pernah beliau alami. Label Syiah dan liberal jadi peluru untuk menyerang individu tertentu yang dilihat bukan pro-ulama. Selamat maju jaya kepada PR yang akan bertanding dalam PRK Kajang nanti. Diharap tidak ada sebarang sabotaj dalaman daripada kem PR yang akan menjejaskan peluang mengekalkan kerusi DUN Kajang. – 31 Januari, 2014.TMI |
PRK Kajang : Rafizi - Kalau ini permainan PKR, tolaklah kami Posted: 31 Jan 2014 03:40 AM PST PKR sedia ditolak rakyat dalam pilihan raya kecil Kajang sekiranya tindakan mengosongkan kerusi DUN itu bagi memberi laluan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding , dianggap satu keputusan memanipulasi sistem pilihan raya, kata Ketua Strategi PKR, Rafizi Ramli. Menurut Rafizi, ia adalah satu pertimbangan berisiko besar yang perlu diambil demi kepentingan orang ramai, dengan mempertaruhkan orang nombor satu Pakatan Rakyat itu sendiri. "Ada yang kata keputusan ini mempermainkan demokrasi. Tidak. "Kita ambil risiko besar memulangkan keputusan ini kepada rakyat. "Ia demokratik dan ia juga sadistik. "Kita letak orang nombor satu kita dalam tangan pengundi-pengundi Kajang yang marah. "Kita jelaskan dan kita minta maaf. Kalau penerangan dan minta maaf kita ini tidak cukup, Anwar Ibrahim akan dihukum. "Kalau ini permainan PKR yang perlu ditolak, tolaklah kami. Kami tidak memanipulasi sistem seperti yang dilakukan Umno," kata MP Pandan itu di forum 'Anwar: Dari Kajang ke Putrajaya' di ibu negara, semalam. Sebak seketika dengan mata kemerah-merahan sehingga ucapannya tersekat-sekat, Rafizi berkata ia adalah satu keputusan yang menyakitkannya tetapi perlu dilakukan demi tanggungjawab kepada orang ramai. "Ia menyakitkan saya kerana ia adalah idea saya untuk mengheret Anwar Ibrahim ke dalam perkara ini (sebak) dan ia bukan perkara yang mudah. "Namun apabila tanggungjawab ini jatuh di atas bahu anda (sebak), apa lagi yang anda boleh lakukan?" katanya. Apabila kembali tenang, Rafizi menjelaskan langkah itu akan membolehkan Pakatan Rakyat mengekang strategi politik perkauman Umno yang didakwanya semakin galak mengizinkan bibit-bibit ketegangan kaum untuk bercambah seperti demonstrasi-demonstrasi perkauman di Pulau Pinang baru-baru ini. Katanya lagi, insiden-insiden sama juga pernah berlaku di Selangor dan demografi Selangor yang menyerupai Malaysia menuntut kehadiran seorang tokoh politik nasional yang mampu mengendalikan sebarang kemungkinan meletusnya ketegangan di antara kaum. "Ini bukan soal menukar MB semata-mata, ini bukan soal masalah dalaman PKR semata-mata. Ini soal kita perlu berdepan dengan satu serangan politik yang kita perlu bersedia (menghadapinya). "Kita tahu permainan politik dan agama ini perlu dijawab dengan permainan politik juga. "Walaupun kita hormat Tan Sri Khalid (menteri besar Selangor) dan kita hormat kebolehannya mentadbir tapi kita perlu berpijak di bumi yang nyata bahawa Tan Sri Khalid bukan seorang ahli politik yang berkemahiran dan berpengalaman untuk berhadapan politik perkauman dan agama Umno ini," katanya. Sementara itu, Rafizi menjelaskan pengumuman untuk meletakkan Anwar bertanding dilakukan dengan persetujuan penuh Pakatan Rakyat walaupun pada mulanya ia mengejutkan beberapa pimpinan kanan kerajaan, bekas menteri besar Kelantan, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng. Jelasnya, rundingan untuk menyokong langkah itu dibuat secara rahsia dan pada masa sama, PKR juga "tidak menguruskan" bagaimana kerahsiaan itu dikomunikasikan sesama pimpinan parti masing-masing. "Cantiknya langkah taktikal ini adalah kerana ia 'mengejutkan' dan ya, ia mengejutkan ramai orang kerana cara persetujuan itu diolah," katanya. Menurut Rafizi, persetujuan PAS diperolehi pada 24 Januari menerusi Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali sementara persetujuan DAP pula diperolehi pada hari Isnin, 27 Januari sebelum pengumuman itu dibuat Tan Sri Khalid Ibrahim pada 29 Januari. Aktivis sosial, Hishamuddin Rais yang turut menjadi ahli panel, menyokong sepenuhnya langkah itu yang akan membolehkan Anwar menjadi menteri besar Selangor. Menurutnya, Anwar akan boleh turut serta dalam persidangan Raja-Raja Melayu selaku menteri besar Selangor dan bercakap mewakili 52 peratus pengundi yang memilih Pakatan dalam pilihan raya umum yang lalu. "Kalau Lim Guan Eng yang bercakap tentang kalimah Allah dan Tanah Melayu, siapa sahaja yang akan ambil peduli. "Tetapi kalau Anwar Ibrahim yang bercakap tentangnya, ia strategi yang berbeza sama sekali," katanya. Forum malam tadi yang dianjurkan radio internet Radio Bangsar Utama turut dihadiri Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan dimudahcara bekas pengarah eksekutif Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ), Masjaliza Hamzah. - malaysiakini |
You are subscribed to email updates from Mimpi Senja To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan