DIALOG RAKYAT |
- Gara-gara difitnah Husam dapat RM360,000
- Persidangan DUN Selangor ditunda dari Mac ke April
- Mengapa saya elak berbalah dengan Anwar, terhangat
- Menolak 'kegersangan' idea Kassim Ahmad
- Bangkai ayam, cat merah disimbah di pejabat Teresa
- Isteri Rayu Herman Tino Tidak Malukan Diri Tanding DUN Kajang
- Erra Fazira Minta Jangan Tanya Punca Rumah Tangga Retak
- Harga jatuh: Pemuda PAS bertemu penoreh getah
- PBS: Kenapa tidak martabat tokoh pendidikan kita
- Komando VAT69 bertegas pasukannya patuhi arahan operasi
- Rakyat Malaysia Sumbang US$20,000 Untuk Pelarian Palestin
- Keadaan Banjir Di Beaufort Semakin Pulih
Gara-gara difitnah Husam dapat RM360,000 Posted: 18 Feb 2014 09:59 PM PST Bekas Exco kanan Kelantan Husam Musa sekali menang dalam kes samannya terhadap media massa yang memfitnah kononnya beliau telah melakukan penyelewengan dan salah guna kuasa semasa beliau memegang jawatan Exco pada tahun 2008. Kali ini giliran The New Straits Time Press Sdn. Bhd telah diperintah oleh Hakim Mahkamah Sivil Kuala Lumpur Su Geok Yiam membayar ganti rugi kepada Husam sebanyak RM350,000 sebagai ganti rugi am, gatirugi teladan dan ganti rugi teruk. Selain itu hakim berkenaan juga memerintah membayar RM10,000 kepada Husam bagi bicara ganti rugi dan faedah tindakan pemfailan tindakan tersebut. NST merupakan defendan ketiga. Dua lagi defendan disaman Husam telah membuat pengakuan maaf secara terbuka. Kemenangan itu membuktikan bahawa Husam tidak seperti mana yang dilaporkan oleh akhbar berkenaan. Sebelum ini Husam yang menghadapi serangan media massa untuk membunuh kerjayanya menyebabkan beliau mengambil tindakan mahkamah dan menang serta menerima sejumlah bayaran ganti rugi Mungkin orang menganggap Husam beruntung kerana mendapat bayaran itu, tetapi apa yang lebih penting kepadanya ialah mahkamah telah membuktikan tuduhan yang dibuat ke atasnya tidak benar sama sekali |
Persidangan DUN Selangor ditunda dari Mac ke April Posted: 18 Feb 2014 09:56 PM PST KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Negeri Selangor yang dijadualkan bersidang pada 17 hingga 28 Mac 2014 telah ditunda ke 7 hingga 18 April 2014. Surat rasmi pemberitahuan makluman penundaan tarikh tersebut dikeluarkan pada 17 Febuari oleh Pejabat Dewan Negeri Selangor yang ditandatangani oleh Setiausaha Bahagian (Dewan/MMKN) Elya Marini Darmin bagi pihak Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor. Pemberitahuan Pindaan Tarikh Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Ketiga Belas Tahun 2014 yang diedarkan kepada setiap Adun Selangor bagaimanapun tidak dinyatakan sebab penundaan dibuat. Selangor juga berdepan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang yang akan diadakan pada 23 Mac ini seperti yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Pilihan raya tersebut diadakan berikutan peletakkan jawatan bekas Adun Kajang Lee Chin Cheh pada 27 Januari lalu |
Mengapa saya elak berbalah dengan Anwar, terhangat Posted: 18 Feb 2014 09:52 PM PST KUALA LUMPUR: Tulisan penulis veteran, Subky Latif bertajuk "Mengapa saya elak berbalah dengan Anwar?" menjadi artikel paling diminati para pembaca Facebook dan Twitter Harakahdaily bagi minggu ke-7, 2014. Artikel tersebut mengalahkan tulisan Dr Muhaimin Sulam bertajuk "Usah diperli, biarkan mereka berselawat" dan berita "Pemenang MTV Europe Music Awards 2006 peluk Islam" yang menduduki tempat kedua dan ketiga. Berikut ialah 10 artikel terhangat Harakahdaily bagi minggu 9.2-15.2, 2014. |
Menolak 'kegersangan' idea Kassim Ahmad Posted: 18 Feb 2014 09:50 PM PST DR MASZLEE MALIKPenolakan secara pukal sunnah dan hadis Nabi Muhammad SAW di atas alasan ia bukan dari Tuhan merupakan penafian terhadap isi kandungan al-Quran yang banyak menyeru kepada mentaati, mengikuti tauladan dan mencontohi baginda dalam segenap kehidupan Muslim. Ini jelas mempamerkan kegersangan si penutur tentang tradisi al-Quran itu sendiri yang telah diwarisi semenjak al-Quran itu diturunkan di Mekah lagi. Ia juga menonjolkan kejahilan sang penolak sunnah kepada persoalan tradisi keilmuan Islam sama ada di zaman periwayatan lisan pada awalnya mahupun di zaman penulisan ilmu. Ini merupakan salah satu dari akibat menafikan peranan autoriti dan metodologi yang sahih dan diperakui zaman berzaman dalam menyikapi al-Quran dan agama Islam itu sendiri. Penerimaan autoriti berteraskan metod yang sahih dalam tradisi keilmuan Islam tidak akan mewujudkan kelompok kepaderian seperti yang didakwa. Penerimaan autoriti berteraskan metod yang sahih dalam tradisi keilmuan Islam tidak akan mewujudkan kelompok kepaderian seperti yang didakwa. Malah sepanjang sejarah Islam tidak wujud konotasi institusi mahupun kerangka pengamalan kepaderian seperti zaman kegelapan Kristian Eropah. Apa yang wujud ialah penerimaan autoriti dan metodologi yang sahih telah melahirkan ramai sarjana, cerdik pandai dan tokoh ilmu dari pelbagai bangsa di dalam segenap bidang keilmuan berkaitan al-Quran dan hadis. Malah sistem periwayatan hadith dan sunnah serta penjagaan dan penyelidikannya merupakan sesuatu yang unik yang bertujuan demi menjaga ketulenan agama yang tidak terdapat dalam tradisi keilmuan agama agama lain. Tidak keterlaluan jika dikatakan yang terhasil dari tradisi keilmuan Islam juga adalah jutaan koleksi kajian ilmiah, penyelidikan, kesarjanaan dan juga ratusan ribu jilid karya-karya agung di perpustakaan yang bukan hanya diiktiraf oleh kaum Muslimin sahaja nilai keilmuannya, malah oleh mereka yang bukan Islam. Malah sunnah dan hadis yang disikapi sebagai sumber epistemologi ilmu yang primier bersama al-Quran telah menjadi dinamo kepada revolusi ilmu di dalam sejarah umat Islam sehingga hari ini. Penolakan secara tidak bermetod terhadap hadis dan sunnah serta segala yang berkaitan dengannya hanyalah usaha menghancurkan peradaban keilmuan Islam yang telah terbina selama lebih seribu empat ratus tahun lamanya. Bahkan ia juga merupakan satu pukulan untuk mencacatkan wajah dan nilai substantif Islam itu sendiri seraya menafikan lebih dari separuh kandungan agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW sepertimana yang diwarisi dari para sahabat, tabiin selepas mereka dan juga tabi' tabiin yang mengikuti metod yang sahih yang mereka pelajari dari Nabi Muhammad SAW itu sendiri. (*) DR MASZLEE MALIK pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) |
Bangkai ayam, cat merah disimbah di pejabat Teresa Posted: 18 Feb 2014 09:41 PM PST MALAYSIAKINICat merah telah disimbah di tangga ke pusat perkhidmatan Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok. Seekor bangkai ayam dan gambar Teresa juga ditemui seorang kakitangannya yang tiba di pejabat kira-kira jam 9 pagi ini. Ketika dihubungi, Teresa merujuk kepada gambar tersebut dan berkata: "Ini pasti disasarkan kepada saya" Beliau akan mengadakan sidang akhbar di pejabatnya pada jam 10.30 pagi ini. |
Isteri Rayu Herman Tino Tidak Malukan Diri Tanding DUN Kajang Posted: 18 Feb 2014 09:36 PM PST PETALING JAYA: Isteri kepada penyanyi Herman Tino iaitu Noraini Ibnu berharap agar suaminya tidak meneruskan hasrat untuk bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang pada 23 Mac depan. Noraini yang juga Ketua Unit Penerbitan Radio, RTM berkata, dia tidak bersetuju dengan hasrat Herman memandangkan suaminya itu tidak mempunyai wang untuk bertanding sebaliknya akan dihina dan diketawakan oleh masyarakat. "Saya terima Herman sebagai suami kerana dia seorang penyanyi, bukannya ahli politik. Dia bukannya ada wang yang banyak untuk 'melayan' perkara-perkara politik macam itu. "Saya tidak suka dia 'membakar diri' dan menerangi yang lain, sedangkan tuanya nanti tidak ada siapa yang peduli. "Sebagai isteri, saya tidak senang apabila tindak tanduknya diketawakan dan dihina pula," katanya menerusi kiriman mesej melalui aplikasi 'WhatsApp' kepada mStar Online di sini pada Selasa. Herman Tino atau nama sebenarnya Masrun Tamsi, 60, menyatakan minat untuk bertanding pada pilihan raya kecil DUN Kajang selepas memperkenalkan hashtag #Herman4Kajang di Twitter miliknya untuk melihat reaksi orang ramai mengenai hasratnya itu. Penyanyi yang popular dengan lagu Yale Yale dan Pelita Dalam Kabus itu adalah antara lima calon yang setakat ini telah menyatakan minat untuk bertanding di kerusi DUN berkenaan. Herman sebelum ini pernah mencuba nasibnya bertanding atas tiket Bebas menerusi kerusi Parlimen Tanjong Karang pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13) dan tewas di tangan calon Barisan Nasional iaitu Datuk Seri Noh Omar. Penyanyi itu memperoleh deposit RM10,000 untuk bertanding kerusi tersebut selepas dua rakannya menggadai dua buah kereta. Sementara itu, Noraini menambah, dia lebih senang jika Herman kekal dengan kerjayanya sebagai seorang penyanyi dan tidak kisah sekiranya pendapatan yang diperoleh sekadar cukup makan sahaja. "Saya tidak suka tertekan dengan situasi sebegini dan berharap tidak perlu untuk berselisih faham dengan perkara yang saya tidak suka. "Tolonglah Encik Herman, jangan susahkan orang Kajang dan kawan-kawan," tuturnya. |
Erra Fazira Minta Jangan Tanya Punca Rumah Tangga Retak Posted: 18 Feb 2014 09:32 PM PST SHAH ALAM: Pelakon dan penyanyi Erra Fazira meminta agar tidak lagi ditanya apakah punca keretakan rumah tangganya dengan Engku Emran sehingga membawa kepada perceraian mereka pada Selasa. Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chik, 40, berkata, segala spekulasi mengenai rumah tangganya yang tersebar sejak dua tahun lalu telah terjawab dengan penceraian tersebut. "Segala spekulasi yang timbul sebelum ini sudah pun terjawab jadi jangan tanya saya lagi mengenainya," kata Erra ketika ditemui sejurus selesai kes berkenaan di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, Selasa. Erra dan Engku Emran Engku Zainal Abidin, 39, sah bercerai dengan talak satu kira-kira pukul 12.50 tengah hari Selasa yang dilafazkan di hadapan Hakim Syarie, Mohammad Adib Husain. Pelakon itu kelihatan tenang manakala Engku Emran sebak ketika melakukan lafaz tersebut. Dalam pada itu, Erra menegaskan penceraian berlaku secara baik atas persetujuan kedua-dua belah pihak selain mengambil kira kepentingan anak mereka, Engku Aleesya, yang kini berusia lima tahun. Jelas Erra, mereka telah berbincang dengan mendalam sebelum mengambil keputusan untuk berpisah. "Penceraian ini adalah secara baik dan Alhamdulillah ia selesai tanpa sebarang masalah," katanya. Bagaimanapun, Erra enggan mengulas mengenai keputusan memberi hak penjagaan anak kepada bekas suaminya. Pasangan itu berkahwin pada 25 Oktober 2007. Keretakan hubungan pasangan itu mula mendapat perhatian sejak dua tahun lalu apabila Erra dan Engku Emran dikatakan tidak lagi tinggal sebumbung selain lelaki itu dikatakan sudah berkahwin dengan wanita lain tetapi dinafikannya. Terdahulu Erra pernah berkahwin dengan penyanyi Yusry Abdul Halim pada 15 Jun 2003 tetapi perkahwinan itu hanya bertahan selama tiga tahun tanpa dikurniakan cahaya mata. |
Harga jatuh: Pemuda PAS bertemu penoreh getah Posted: 18 Feb 2014 09:26 PM PST KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Malaysia akan mula turun padang untuk bertemu dengan penoreh-penoreh getah di seluruh negara memandangkan kerajaan tidak mengambil sebarang tindakan untuk menyelesaikan kemelut kejatuhan harga getah. Setiausahanya, Mohd Nasaie Ismail (gambar) berkata, Rabu dan Khamis minggu ini lawatan pertama akan diketuai oleh Ketua Pemuda, Suhaizan Kaiat ke Padang Terap dan Baling, Kedah. "Pemuda PAS juga akan menyertai demonstrasi penoreh-penoreh getah Kuala Nerang di Pekan Naka petang Rabu ini," ujarnya kepada Harakahdaily. Menurutnya, tujuan program turun padang itu adalah untuk menyelami kehidupan penoreh getah yang tertekan akibat kejatuhan harga komoditi tersebut di samping memberi sokongan kepada gerakan penoreh getah untuk memberi tekanan kepada kerajaan supaya bertindak membantu penoreh getah yang susah di seluruh negara. Jelasnya, Pemuda PAS akan bertemu penoreh getah di kebun dan rumah mereka dan berdialog dengan mereka bagi mendapatkan maklumat yang tepat dan terkini sebelum mengambil tindakan seterusnya. "Kita ingin mengingatkan kepada kerajaan, atas faktor apa sekalipun harga komoditi ini jatuh, kerajaan tetap mempunyai tanggungjawab untuk menyelamatkan kehidupan rakyat tersebut," katanya. Apatah lagi, kata beliau ianya berlaku di tengah kenaikan kos sara hidup yang berpunca daripada pihak kerajaan sendiri. |
PBS: Kenapa tidak martabat tokoh pendidikan kita Posted: 18 Feb 2014 09:25 PM PST KUALA LUMPUR: Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) menyatakan sokongan penuh terhadap himpunan para guru yang bakal diadakan Sabtu ini terhadap sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS). "Sistem PBS ini dilihat seolah-olah tidak mempunyai hala tuju yang jelas dan menyebabkan para guru terpaksa membebankan dan menumpukan kerja-kerja teknikal seperti memasukkan penilaian maklumat pelajar secara online sehingga lewat pagi," kata pengerusinya, Mohd Bukhairy Sofian (gambar) dalam kenyataan kepada Harakahdaily. Akhirnya, ujar beliau guru-guru tidak lagi dapat menumpukan pengajaran kepada para pelajar kerana menumpukan kerja itu. Tambahnya, tekanan itu bukan sahaja dirasai oleh guru yang lama telah mengajar,bahkan turut dirasai mahasiswa yang tamat pengajian dan berkhidmat sebagai guru. Katanya lagi, SMM turut mempersoal mengapa kerajaan mengambil sistem pendidikan yang direka oleh orang luar yang tidak tahu keadaan pendidikan di Malaysia, bahkan memperuntukkan sejumlah yang besar untuk sistem itu. "Kita patut memartabatkan pemikir-pemikir yang ada dari dalam negara kita untuk membincangkan pendidikan dalam negara sendiri," ujarnya. Katanya, keberadaan tokoh-tokoh pendidikan dalam negara harus dimanfaatkan. "Kita bukan tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan terhadap sistem ini, cuma jangan jadikan pelajar sekolah bahan eksperimen terhadap sistem ini. Ini adalah soal masa depan pelajar," ujarnya yang juga Naib Presiden Gamis. Beliau berkata, rundingan dan perbincangan terhadap sistem ini perlu melibatkan semua wakil pihak yang terbabit sama ada kementerian, guru, ibu bapa dan mahasiswa. Sehubungan itu, ujar beliau SMM menyatakan sokongan dan mengajak mahasiswa dalam bidang apa-apa sahaja termasuk pendidikan dan perguruan untuk terlibat sama di atas himpunan itu dan berharap kerajaan tidak memandang remeh isu PBS demi mendidik generasi yang berguna di masa hadapan. |
Komando VAT69 bertegas pasukannya patuhi arahan operasi Posted: 18 Feb 2014 09:21 PM PST HARAKAHDAILY KOTA KINABALU: Seorang komando VAT69 mempertahankan pendiriannya bahawa pasukan VAT69 mematuhi arahan pegawai tinggi mereka semasa operasi pengusiran membabitkan enam penceroboh ditembak mati di Kg Tanjung Batu, Lahad Datu. DSP Hakemal Hawari memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa pasukan itu sentiasa mematuhi arahan dan taklimat pegawai tinggi mereka sebelum memulakan operasi. Semasa pemeriksaan balas oleh peguam Datuk N.Sivananthan, Hakemal berkata beliau akan membuat pembetulan ke atas anggota pasukannya jika mereka bertindak secara tidak bertanggungjawab semasa menjalankan tugasan. Sivananthan: Adakah anda bersetuju bahawa sebagai pegawai pemerintah, menjadi tanggungjawab kamu untuk memastikan bahawa semua pegawai dan anggota mematuhi arahan pegawai tinggi sebelum tugasan kamu di Kg Tanjung Batu? Hakemal: Bersetuju. Beliau menjelaskan bahawa arahan diberi oleh ketuanya Datuk Abdul Rashid Harun ialah bahawa jika pasukan itu terserempak dengan penceroboh di Kg Tanjung Batu, mereka dikehendaki menangkap penceroboh jika penceroboh mahu menyerah diri atau bertindak balas jika penceroboh melepaskan tembakan terhadap mereka. Hakemal menarik perhatian bahawa pasukannya akan melepaskan tembakan jika mereka ditembak atau jika nyawa mereka terancam. Saksi kelapan itu juga bersetuju dengan andaian Sivananthan bahawa semasa operasi pengusiran penceroboh di Kg Tanjung Batu, tiada senjata api dijumpai daripada mana-mana enam penceroboh yang ditembak mati. Hakemal berkata beliau tidak memeriksa mayat keenam-enam mereka. Kepada soalan sama ada beliau ada menemui mayat penceroboh yang ditembak mati selepas operasi pengusiran di Kg Tanduo, Hakemal berkata ya, walaupun beliau tidak pasti jumlahnya tetapi lebih daripada 10 mayat. "Saya tak pasti berapa jumlahnya, Saya juga tak pasti pakaian mereka sebab mayat itu bertindih," katanya pada perbicaraan 30 individu yang dituduh melancarkan kegiatan pengganas di Sabah tahun lepas. Terdahulu, Hakemal bersetuju dengan andaian Sivanathan bahawa Sektor A hingga E di Kg Tanduo pada dasarnya ditubuhkan untuk meliputi lokasi penceroboh tersebut. Beliau memberitahu mahkamah bahawa 161 komando VAT69 dikerah di kelima-lima sektor di Kg Tanduo. Semasa pemeriksaan semula oleh Tan Sri Abdul Gani Patail mengapa dia tidak memeriksa enam mayat itu pada masa itu, Hakemal berkata pada waktu itu apa yang penting adalah keselamatan nyawanya dan anggota kumpulannya. Dua puluh dua daripada 30 tertuduh termasuk dua rakyat Malaysia, menghadapi pertuduhan secara bersama melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong dan menjadi anggota kumpulan pengganas. Seorang daripada mereka menghadapi dua pertuduhan tambahan merekrut anggota bagi kumpulan pengganas dan melindungi individu-individu yang dipercayai anggota kumpulan pengganas. Dalam pada itu, lima daripada lapan tertuduh menghadapi pertuduhan menjadi anggota kumpulan pengganas sementara seorang lagi, wanita Malaysia, dituduh melindungi individu-individu yang dipercayai anggota kumpulan pengganas. Dua lagi menghadapi pertuduhan cuba melindungi individu-individu dipercayai anggota kumpulan pengganas. Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 Feb dan 10 April tahun lepas. Perbicaraan di hadapan Hakim Stephen Chung, bersambung hari ini. Perbicaraan berlangsung di Jabatan Penjara Sabah. - Bernama |
Rakyat Malaysia Sumbang US$20,000 Untuk Pelarian Palestin Posted: 18 Feb 2014 09:18 PM PST MSTAR ONLINE KUALA LUMPUR: Yayasan Keamanan Global Perdana (PGPF) telah mengumpul derma berjumlah hingga US$20,000 (RM66,000) untuk membantu mengurangkan penderitaan pelarian Palestin di Lubnan. Sumbangan itu diserahkan Duta Malaysia ke Lubnan, Ilango Karuppannan, bagi pihak PGPF, kepada Kassem Mohammad Aina, yang menerimanya bagi pihak Institusi Penjagaan Sosial dan Latihan Vokasional Kebangsaan Lubnan pada satu majlis di kedutaan itu di Beirut, hari ini. Kedutaan itu dalam kenyataan kepada Bernama berkata derma itu dikumpul oleh PGPG daripada rakyat Malaysia melalui sumbangan orang ramai untuk mengurangkan penderitaan pelarian Palestin dari Syria di Lubnan. PGPF ditubuhkan bekas perdana menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang bertujuan memupuk keamanan global. BERNAMA |
Keadaan Banjir Di Beaufort Semakin Pulih Posted: 18 Feb 2014 09:15 PM PST MSTAR ONLINE BEAUFORT: Keadaan banjir di daerah ini semakin pulih apabila mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan menurun kepada 1,766 orang pada Rabu daripada 1,871 orang petang pada Selasa. Menurut jurucakap Bilik Gerakan Banjir Beaufort berkata setakat 9 pagi Rabu, empat pusat pemindahan masih dibuka iaitu Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beaufort III, Dewan Baru Beaufort, Dewan Kampung Kukut dan Dewan SMK Gadong. Paras air Sungai Padas kembali normal dan tiada bacaan dibuat setelah bacaan terakhir semalam pada 8.26 meter berbanding sebelum ini pernah mencecah 9.20 meter yang melebihi paras bahaya 8.70 meter, kata jurucakap itu ketika dihubungi Bernama. Dua pusat pemindahan Dewan Sri Dayang Lumadan dan surau Kampung Sungai Bukau ditutup pada Selasa. - BERNAMA |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan