Selasa, 4 Februari 2014

.

.


Kenyataan Abdul Hadi, kebijaksanaan seorang presiden

Posted: 03 Feb 2014 06:34 PM PST

MENGIRING MENTARI                                                                        

Kebimbangan akan ada pemboikotan oleh sesetengah pihak dari rakan PKR terhadap piliihan raya kecil Kajang tidak berbangkit dan perlu dibimbangi lagi, apabila PAS rakan kongsi PKR malam tadi telah memutuskan akan menyokong pilihan raya tersebut. Kenyataan ini memberi terjemahan jelas, bahawa PAS akan sokong Anwar Ibrahim bertanding di dalam pilihan raya berkenaan dan juga sokong kalau dilantik menjadi MB Selangor.

Perkara ini dijelaskan oleh presiden PAS, Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan selepas bermesyuarat. Dr Mohd Hatta Ramli akan dihantar oleh PAS untuk menjadi kepala menggerakkan pilihan raya itu dan menjamin kemenangan Anwar.

Bagaimana pun penjelasan Abdul Hadi itu tentu tidak akan memuaskan hati sesetengah pihak khasnya dari kalangan PKR apabila beliau menyebut, soal perlantikan MB tidak berbangkit. Ertinya PAS tidak menyatakan persetujuan secara langsung mereka kalau Aanwar diangkat menjadi MB.



Sebenarnya hal ini tidak menjadi masalah. Sememanglah bagi Abdul Hadi beliau tidak perlu membincangkan soal menteri besar. Pertamanya, kerana yang penting ditumpukan kepada pilihan raya itu dulu, sebab kerusi Dun Kajang sudah dikosongkan ertinya pilihan raya pasti diadakan.

Adapun soal MB Selangor memang tidak berbangkit. Kedua, Khalid Ibrahim pun masih belum melepaskan jawatan itu. Khalid masih lagi menjadi MB. Sebagai presiden dan seorang berhemat adalah tidak wajar kalau Abdul Hadi bercakap soal pesakara (MB) sedangkan penjawatnya masih hidup. Mana boleh hendak kebumnyikan orang yang sedang koma?

Demikian juga boleh dianologi, tidak elok bagi beliau dan sesiapa saja yang baru menanam pokok sudah menanda (cup) buah itu dia yang punya dan sebagainya sedang pokok baru ditanam berbunga pun belum lagi. Jangan bergaduh tanda buah itu dan buah ini tetapi akhirnya pokok ditanam mandul nanti diketawakan orang.

Kalaulah semua pihak faham politik dan 'kerenyehan'nya, penjelasan Abdul Hadi itu tidak bercanggah dan meninggal apa-apa kesan negatif pun kepada sesiapa termasuk Anwar. Apabila PAS sudah menyatakan sokongan kepada pilihan raya itu, sudah tentulah PAS juga menyokong apa yang ada disebalik pelan transisi dengan mengadakan pilihan raya itu. Selalunya orang tua tidak bercakap secara terus terang dalam hal-hal agak sulit melainkan berkias kata. (Bukan KIAS Kelantan, tetapi berkias kata).

Masakan Abdul Hadi hanya bertindak menyokong kepala tetapi ekor tidak disokong? Kalau diibarat untuk memelihara ikan PAS dan Abdul Hadi pasti perlulah juga menyokong ekor setelah menyokong kepala. Kerana kalau ambil kepala sahaja ekor tidak ambil sama, nescaya ikan akan mati dan tidak hiduplah si ikan itu.

Bagi saya penjelasan dan kenyataan Abdul Hadi itu satu kenyataan politik yang bijak. Ia tidak menyakitkan sebelah Anwar ia tidak memedihkan disebelahnya (PAS). Itulah fatanah namanya. [wm.kl.10:27 am 04/02/14]

Ribuan dengar penjelasan Anwar di Kajang

Posted: 03 Feb 2014 07:38 AM PST

LAPORAN RENGKAS                                                                           

Orang ramai melimpah ke luar bila dewan penuh.
Serangan bertubi-tubi oleh pelbagai pihak yang taksub kepada Umno atau sedia menjadi alat kepada pemimpin parti Melayu itu terhadap Anwar yang dirancangkan bertanding di DUN Kajang, ternyata tidak berbekas.

Bahkan serangan dan kritikan kepada tindakan Adun PKR mengosongkan kerusi dan mahu meletak ketua pembangkang bertanding di situ oleh para sarjana upahan menerusi tv, juga sia-sia. Sebaliknya serangan dan pembalunan itu memberi daya tarikan untuk orang ramai mengetahui apa yang berlaku.



Serangan ke atas Anwar bertalu-talu sebaik pelan transisi MB yang dikenali Gerakan Kajang itu dimulakan beberapa hari lepas. Ini terbukti malam ini apabila ribuan hadir di Dewan Orang Ramai Taman Mesra Kajang untuk mendengar penjelasan Anwar berhubung pelan berkenaan, sekejap tadi.

Sebaik saja selepas Maghrib orang sudah berpusu-pusu ke situ. Dewan penuh sesak menyebabkan orang ramai hanya berlegar di luar dewan. Beberapa buah khemah disediakan di luar dewan juga penuh. Jalan Sg Sikamat -  Kajang hampir setengah kilometer dipenuhi kereta kiri kanan. Melihat kereta besar dan mewah yang diparking di kiri kanan jalan jelas sambutan dan dokongan terhadap Anwar tidak berubah dan pelan transisi itu disetujui.

Melihat suasana malam ini menjelaskan bahawa Anwar Ibrahim masih popular dan segala bentuk serangan dan cemuhan ke atasnya tidak menghakiskan sokongan terhadapnya. Keadaan ini sudah tentu menjadi pemimpin UBN akan pening kepala kerana apa juga usaha untuk memburukkan Anwar tidak menjadi.

Dalam ucapan tadi, Anwar menjelaskan pelan transisi atau Gerakan Kajang itu bukan kerana hendak memenuhi kehendak nafsunya menjadi MB selepas gagal jadi PM seperti dakwa pihak Umno, tetapi ia untuk menatijahkan perkara lebih penting dari itu demi rakyat.

Antara apa yang menjadi hasratnya Pakatan Rakyat perlu menjadikan Selangor sebagai modal kerajaan Pakatan Rakyat yang akan diyakini rakyat dengan tata tadbiran yang sempurna. Dengan cara itu ia akan menjadi asas baik untuk menyakinkan rakyat menyakini Pakatan Rakyat untuk merampas Putrajaya.

Menurutnya agama menjadi tunggak dalam pengukuhan itu.

"Kita perlu perkukuhkan Selangor untuk Pakatan Rakyat, bila Selangor kukuh PKR, DAP dan Pas juga kukuh," jelasnya.

Dalam masa sama juga katanya semua parti Pakatan Rakyat, Pas, PKR dan DAP perlu memperkuatkan kedudukan untuk mencapai apa dihajati itu. Apa yang dirancangkan bukan saja untuk PKR tetapi untuk Pakatan Rakyat.

"Jadi semua pihak kena turun mendekati rakyat dan merayu undi dari rakyat bila pilihan raya nanti," kata Anwar.

Turut hadir dalam majlis itu ahli Parlimen Hulu Langat Dr Rosli, Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim dan lain-lin. Anwar dalam kesempatan itu memuji pentadbiran Khalid selama enam tahun di Selangor yang berjaya meletakkan Selangor sebagai negeri yang maju dan berjaya mengukuhkan ekonomi negeri itu. [wm.kl.11:37 pm 03/02/14]

Tiada ulasan: