Ahad, 16 Februari 2014

.

.


Kreativiti orang Vietnam boleh dibawa balik

Posted: 15 Feb 2014 08:21 PM PST

MENJENGUK VIETNAM                                                                    
Siti 4 dan akhir

Kolek atau perahu kecil sedang menunggu tetamu.
Kemajuan atau pembangunan bagi sesebuah negeri itu bukan bergantung kepada modal semula jadi yang dimiliki sesebuah negeri itu seperti; balak, bahan logam; emas, biji timah, bijih besi atau alam semula jadi yang menakjubkan. Ia bergantung juga kepada sejauh mana daya kreatif dan komitmen para pemimpinnya.

Kalau sesebuah negeri itu mempunyai modal semula jadi itu, tetapi pemimpinnya kering idea bagaimana untuk menjanakannya, ia tidak akan memberi apa-apa manfaat. Sia-sia sajalah apa-apa yang dianugerahkan itu.

Terdapat negara yang tidak memiliki aset semula jadi, tetapi maju dan berjaya kerana pemimpinnya komited dan mampu mengeluarkan berbagai idea atau rajin menciplak apa-apa yang disaksi dan dirasai dari mana-mana ceruk rantau yang dikunjunginya.

Sungai ini kalut bagaikan sebuah jalan raya.
Contoh paling hampir dengan negara kita, ialah Temasik atau Singapura.

Negara itu tidak mempunyai apa-apa aset semula jadi atau mereka bukan negara pengeluar. Mereka tidak ada komoditi laksana sawit, getah, timah atau minyak seperti negara kita.

Dari satu segi kedudukan dan pencapaian ekonominya lebih baik dari negara kita. Tetapi kenapa mereka maju dan berjaya. Kenapa? Jawabanya kerana pemimpin dan rakyat mereka berdaya kreatif, inovatif dan pandai mengambil kesempatan dari keadaan yang ada.

Kegiatannya macam sebuah pesta air.
Singapura hanya ada pelabuhan bebas sahaja. Ia menjadi pelabuhan perdagangan, tempat pendaratan barang dagangan dari Eropah, China, Indocina, India serta lain-lain negara. Singapura hanya mengutik komisyen sahaja. Kebijaksanaan pemimpin Singapura ialah menyediakan prasarana pelabuhan yang canggih.

Mengambil kira apa yang berlaku di Singapura itu membuktikan sejauh mana kemampuan berfikir dan daya kreativiti itu penting.

Satu selikuh yang memerlukan kemahiran mengayuh.
Hakikat ini berlaku di Vietnam negara berfahaman komunis yang dianggap tertutup dan kolot oleh negara berfahaman kapitalis dan sosialis. Tetapi apa yang jelas, rakyat negara itu kreatif dalam menggunakan bahan atau pun modal tempatan untuk menambahkan tabung ekonomi mereka.

Hal ini terbukti, misalnya macam mana mereka memanfaatkan Sungai Mekong sebagai daya tarikan pelancong dan sekaligus aktiviti pelancongan yang diusahakan bagi menambah ekonomi rakyat setempat.

Dari pengkalan berakhir di pengkalan bot untuk pulang.
Sungai Mekong yang sepanjang 4,350 km bukan saja memiliki 3,000 jenis khazanah di dasarnya yang boleh dimanfaatkan, tetapi ada ruang dan celah lain yang boleh dijadikan sumber pendapatan. Asalnya rakyat rajin dan mahu berfikir. Rakyat Vietnam benar-benar menggunakan kewujudan sungai Mekong untuk kepentingan hidup mereka.

Perahu akan menghantar penumpang ke bot.
Kita akan terpengun melihat kerajinan dan daya kreativiti rakyat VIetnam dalam memanfaatkan sungai berkenaan untuk menjana ekonomi mereka. Setiap sudut dan ruang yang ada di Sungai Mekong tidak dibazirkan oleh penduduk Vietnam. Kita juga akan teruja dengan daya kreativiti mereka.

Misalnya sebuah anak sungai kecil yang membelah sebuah pulau di muara sungai Mekong dijadikan daya tarikan pelancong menarik. Kawasan yang dipenuhi dengan pohon nipah itu dijadikan kawasan hilir mudik pelacong dari pulau itu ke muara Sungai Mekong sepanjang kira 1 km. Setiap hari difahamkan ratusan pelancong akan berkunjung ke situ dan menikmati aktiviti pelancongan di sediakan.

Di sini, disediakan ratusan perahu kecil. Pelancong yang terbiasa dengan kehidupan dalam kota batu akan terpegun sampai di sini.  Pemandangan semula jadi di kiri kanan, di mana dipenuhi dengan pokok nipah semak samun lain serta pokok buah-buahan benar-benar meruja dan menyenangkan emosi.

Melalui anak sungai ini bagaikan berada dalam sebuah fantasi yang sering kita lihat dalam filem-filem Melayu kalsik. Kalau ingin merasai keaslian sebuah kehidupan tradisi datanglah ke sini.

Semasa berkolek menyusuri sungai itu saya terfikir kepada negeri Kelantan Darunaim. Pemandangan atau suasana seperti di sungai itu juga terdapat di Kelantan, misalnya di Bachok, Pasir Puteh, Pengkalan Chepa atau Tumpat. Suasan atau alam semulajadi begitu di Kelantan tidak kurang juga indahnya. Barang kali boleh difikirkan untuk mewujudkan aktiviti pelancongan sebegitu di Kelantan.

Bila sungai dimajukan dengan aktiviti begitu, persekitaran sungai juga terjaga, bersih dan terurus dengan baik. Ia juga melancarkan laluan air dan ini mengurangkan berlaku 'sebakan' apabila berlaku air pasangan. Bukan itu saja, Kelantan juga mempunyai khazanah alam semulajadi yang indah tetapi terbiat begitu saja. Misalnya di sepanjang sungai Kelantan terdapat banyak jeram atau pun air terjun yang cantik dan indah. Apakah aset ini tidak boleh dimanfaatkan sebagai lokasi pelancdongan.

Mungkin sebuah cruise yang siap dengan restoran boleh diwujudkan untuk menyusuri sungai Kelantan. Kalau pun tidak sampai ke hulu di Kuala Krai mungkin cukup dari Kota Bharu ke Machanag atau Tanah Merah sahaja.

Barang kali elok juga agensi pelancongan negeri Kelantan berkunjung ke Vietnam dan mencuba menaiki kolek di anak sungai Mekong itu kemudian berfikir macam mana untuk membawa balik aktiviti pelancongan itu ke Tumpat, Pengkalan Chepa, Bahok atau Pasir Puteh. Rasanya daripada mengadakan kunjungan ke Dubai, Qattar atau pun Casablanca, Tokyo atau pun New York dan Milan di Italy, baik ke sungai Mekong sahaja. Ia juga dekat dan murah. [wm.kl.12:20 t/hari 16/02/14]

Tiada ulasan: