Selasa, 4 Februari 2014

Biaqpila

Biaqpila


SURAT LETAK JAWATAN PALSU ADUN HUTAN MELINTANG

Posted: 04 Feb 2014 06:10 AM PST


Kesavan tak keluar parti, surat letak jawatan palsu



KUALA LUMPUR, 4 FEB: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hutan Melintang, Perak, S Kesavan tidak meletakkan jawatan dan surat yang disebarkan melalui media sosial adalah palsu, kata Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil.
Fahmi berkata, beliau telah dihubungi Adun Teja, Perak, Chang Lih Kang dan diberitahu maklumat tersebut disebarkan pihak yang tidak bertanggungjawab.
Justeru, satu laporan polis akan dibuat petang ini oleh Kesavan.
Dalam pada itu, Fahmi memberitahu, penyebaran surat tersebut adalah 'operasi hitam' dilakukan pihak tertentu bertujuan mengganggu kelancaran persiapan jentera KEADILAN dalam menghadapi pilihan raya kecil N25 DUN Kajang.
"Apabila dilihat kepada kepala surat, langsung tidak sama dengan kepala surat (yang digunakan) Ahli Dewan Undangan negeri Perak," kata Fahmi.

KD


POLIS SAHKAN TERIMA LAPORAN INSIDEN LARKIN

Posted: 03 Feb 2014 08:47 PM PST

Evaldo tiba di Balai Polis Kuala Terengganu kelmarin untuk membuat laporan polis berhubung insiden yang menimpanya pada aksi Piala FA di Larkin, Johor Bahru Sabtu lepas.

T-TEAM telah membuat laporan polis berhubung insiden yang berlaku dalam terowong menuju ke bilik persalinan pemain sebaik tamat aksi separuh masa pertama kempen Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos di Larkin, Johor Bahru Sabtu lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif T-Team, Abdul Rasid Jusoh ketika mengesahkan perkara tersebut menjelaskan, pihaknya terpaksa bertindak demikian bagi menuntut keadilan.

Dalam insiden di Larkin itu, pemain import skuad The Titans, Elvado Rodrigues dan jurulatih kecergasan, Stefano Impagliazzo didakwa dikasari ketika menuju ke bilik persalinan stadium berkenaan.

Insiden tersebut telah memaksa pasukan berstatus kelab itu mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perlawanan babak kedua atas faktor keselamatan.

Ketika itu, tuan rumah, Johor Darul Takzim (JDT) sedang mendahului perlawanan 2-1.

T-Team pada mulanya enggan membuat laporan polis kerana pengurus pasukan, Rozi Mamat mahu menyerahkan kes itu kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Begitupun, The Titans akhirnya tampil di balai polis Kuala Terengganu dengan memberikan kenyataan pada pukul 9.10 malam kelmarin.

Mengulas lanjut, Rasid menganggap laporan polis itu menjadi pelengkap prosedur dalam aduan rasmi mereka yang akan dikemukakan kepada FAM dalam masa terdekat.

"Kami tidak mahu menghantar laporan kosong kepada FAM. Saya berpendapat laporan polis ini akan melengkapkan laporan kami kepada FAM yang dijadualkan bermesyuarat Khamis ini.

Rasid juga mengesahkan Rodrigues dan Impagliazzo berada dalam keadaan trauma selepas dilaporkan ditumbuk dalam insiden yang berlaku di terowong stadium berkenaan.

Dalam laporan polis tersebut pengadu, Fabio Flor De Azevedo menjelaskan bahawa pada kira-kira pukul 9.40 malam bertempat di terowong menuju ke bilik persalinan stadium berkenaan, tiba-tiba dia telah didatangi seseorang yang menggugutnya.

Menurutnya, selepas itu, CEO T-Team, Abdul Rasid datang menghampirinya dan menariknya ke dalam bilik persalinan.

Akibat daripada kejadian tersebut katanya, dia merasakan keselamatan dirinya terancam dan datang ke Balai Polis Kuala Terengganu untuk membuat laporan.

Sementara itu, polis Terengganu mengesahkan telah menerima empat laporan daripada pasukan bola sepak T-Team berhubung insiden tersebut.

Ketua Polis Negeri, Datuk Jamshah Mustapa berkata pihak pengurusan, dua pemain import serta jurulatih kecergasan, Impagliazzo membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu antara pukul 9 malam dan 12.30 tengah malam kelmarin.

"Kami akan menyiasat dan akan memanggil serta merakamkan percakapan saksi-saksi yang berada di tempat kejadian bagi membantu siasatan," katanya.

Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) pula dalam satu kenyataan media semalam menjelaskan bahawa pihaknya sedia memberi kerjasama kepada polis bagi membantu siasatan.

FAM yang enggan mengulas insiden tersebut hanya akan mengeluarkan kenyataan selepas mengadakan mesyuarat khas pada Khamis ini bagi membincangkan insiden itu.


kosmo



Tiada ulasan: