Khamis, 6 Februari 2014

Addin

Addin


Punca Perbicaraan Kes Khir Toyo Ditangguh Lama Tersebar

Posted: 06 Feb 2014 10:35 AM PST

Rayuan terakhir bekas menteri besar Selangor, Dr Mohd Khir Toyo, yang dijadual didengar hari ini di mahkamah tertinggi di negara ini, telah ditangguhkan kepada suatu tarikh yang belum ditetapkan.

Ketua komunikasi korporat Mahkamah Persekutuan Mohd Aizuddin Zolkeply berkata penangguhan itu disebabkan oleh sebab-sebab yang "tidak dapat dielakkan dengan pihak mahkamah".

Berikutan itu, katanya, tarikh untuk mendengar rayuan tersebut akan diputuskan kemudian.

Rayuan itu dijadualkan didengar hari ini selepas Khir didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada tahun 2011 bagi tuduhan rasuah yang berkaitan dengan pembelian dua lot tanah berharga dan sebuah rumah di Shah Alam, semasa menjadi penjawat awam.

Mahkamah telah menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan hartanya dirampas. Bagaimanapun, ia membenar penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menanti rayuan.

Mahkamah Rayuan telah mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi itu tahun lepas. ~mk


Iklan C (ii)





Berita Menggemparkan Dari Kelantan.. Saksikanlah

Posted: 06 Feb 2014 08:54 AM PST


Ketika hubungan PAS dan PKR bergoncang di peringkat nasional, kerajaan negeri Kelantan juga bergoncang hari ini apabila dua kumpulan daripada PKR dan PAS sendiri menyerang kepimpinannya.

Serangan dalaman PAS adalah daripada penyokong Che Ibrahim Mohamed, bekas kadi yang juga Timbalan Pendaftar Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) yang dipecat manakala satu lagi pihak adalah adalah penyokong Penyelia Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Balah Ramlan Mat dari PKR yang juga dipecat daripada jawatannya.‎

Kumpulan penyokong Che Ibrahim membuat demonstrasi hari ini di depan kolej dekat Nilam Puri bersebelahan Masjid Kampung Laut yang bersejarah itu.

Che Ibrahim adalah penyokong utama Datuk Husam Musa yang keempat dipecat oleh pentadbiran kerajaan negeri Kelantan yang baru.

Sebelum ini, Asrul Afendi (Pegawai IT KGT Sdn Bhd yang juga pegawai akhbar Husam), Khir Zahri Abdul Ghani (Pengurus Tabung Tok Kenali), Fauzi Mohamad (Pengurus Besar PMBK Sawit) serta beberapa lagi kakitangan kerajaan negeri serta anak syarikatnya dipecat.

Che Ibrahim hari ini menyerahkan kembali cek daripada KIAS yang diberikan sebagai pampasan sebagai tanda protes.

Penyokong Che Ibrahim menamakan secara langsung Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Mohamad Amar sebagai pihak yang tidak disenangi mereka dalam krisis ini.

Che Ibrahim ketika dihubungi The Malaysian Insider berkata, beliau akan memfailkan kes ini kepada Mahkamah Perusahaan jika ia tidak diselesaikan dengan baik.

"Ini adalah kes antara saya dengan Nik Amar dan saya tidak akan berdiam diri," katanya.

Semalam, dalam kenyataannya kepada media, Nik Amar menafikan beliau adalah dalang di sebalik pemecatan Che Ibrahim kerana beliau hanya melaksanakan keputusan Lembaga Pengarah KIAS.

Beliau adalah Pengerusi Lembaga KIAS yang menandatangani surat pemecatan Che Ibrahim mulai 1 Februari 2014 lalu.

KIAS adalah kolej yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri.

Sebuah lagi kumpulan adalah 50 orang penyokong PKR dari Jeli yang menyerbu rumah Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakub di Tumpat malam kelmarin setelah pemecatan Ramlan Mat.

Bekas calon Kuala Balah dalam pilihan raya lalu itu dilantik menjadi penyelia DUN kira-kira tujuh bulan lalu tetapi secara tiba-tiba pelantikannya ditarik balik sebelum cukup tempoh setahun.

Penyelia DUN adalah pegawai kerajaan negeri yang dilantik untuk menguruskan kawasan DUN yang dimenangi oleh pembangkang iaitu Barisan Nasional (BN) di Kelantan.

Ia setaraf dengan wakil rakyat untuk kawasan berkenaan.

Pemecatan Ramlan menjadi sensitif kepada hubungan PAS dan PKR kerana sesetengah pemimpin PAS di Kelantan menganggap kehadiran PKR tidak penting di Kelantan.

Dalam pilihan raya umum yang lalu, kesemua calon Pakatan Rakyat (PR) daripada PKR kalah di Kelantan.

Namun menurut pemerhati politik Kelantan, penyokong PKR memainkan peranan penting untuk memastikan kemenangan calon PAS terutama di kerusi-kerusi marginal.

Selepas Pilihan Raya Umum ke-13 lalu, Husam tidak dilantik sebagai Exco kerajaan negeri Kelantan selepas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak lagi menjadi menteri besar.

Sejak itu, satu persatu penyokong beliau diberhentikan selain beliau sendiri.

Anak-anak syarikat yang selama ini ditubuh dan diketuai beliau juga diambil pihak lain.

Berikutan itu, tawaran kerajaan negeri kepada beliau untuk mengetuai dua anak syarikat ditolak oleh Husam sendiri.

Tidak seperti yang lain, Che Ibrahim tidak mendiamkan diri selepas beliau dipecat.

Beliau menulis dalam akaun Facebook di samping membuat protes bersama penyokongnnya hari ini secara terbuka. ~tmi

Iklan C (ii)




Wow!! Tawaran Tampar Teresa Kok Dinaikkan Lagi..

Posted: 06 Feb 2014 07:28 AM PST


Majlis Jemaah NGO Islam Malaysia berkata, tawaran bagi menampar Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok kini dinaikkan daripada RM500 ke RM1,200 kerana pemimpin DAP itu dikatakan kurang ajar dan mencabar kedudukan orang Melayu.

Menurut Seketariat Majlis Permuafakatan Ummah Malaysia Zulkfli Sharif, tawaran dibuat itu terbuka kepada semua warganegara Malaysia agar penghinaan yang seringkali dibuat Kok menerima pembalasan.

"Tawaran ini terbuka kepada semua. Maksudnya, siapa sahaja yang dapat menampar Teresa Kok dengan disertakan gambar sebagai bukti, kita akan beri ganjaran sebanyak RM1,200," kata Zulkifli kepada The Malaysian Insider apabila dihubungi di Kuala Lumpur.

"Pada mulanya memang kita hanya tawarkan RM500, namun ganjaran itu dinaikkan sebanyak RM1200 hasil sumbangan ahli kita."

Beliau juga tidak menolak kemungkinan jumlah ganjaran tersebut akan meningkat sekiranya ada lagi individu menampilkan diri memberi sumbangan.

Tambahnya, gerakan itu juga tidak menetapkan sebarang tarikh tamat kepada peserta yang ingin menyertai pertandingan tersebut.

"Kita tidak ada tarikh tamat, bila-bila masa sahaja sehingga isu ini reda dan bagi siapa yang berjaya mendapatkan gambar bukti tampar pemimpin tersebut maka boleh hantar ke pejabat kita," katanya.

Terdahulu kira-kira 50 individu menggelarkan diri mereka "Majlis Jemaah NGO Islam Malaysia" bertindak menyembelih dua ekor ayam dan melumur darahnya pada kain rentang yang tertera gambar pemimpin Cina DAP dan PKR sebagai bantahan terhadap penghinaan pemimpin berkenaan kepada majoriti masyarakat Melayu beragama Islam.

Pemimpin yang wajahnya terdapat pada kain rentang itu adalah Kok, Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dari DAP dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machang Bubuk Lee Khai Loon dari PKR.

Perhimpunan yang dinamakan "Bantahan penghinaan terhadap kepimpinan Melayu, Yang di-Pertuan Agong, dan agama Islam serta maruah Melayu" oleh segelintir ahli politik yang didakwa cauvinis Cina diadakan berhampiran Jalan Tun Perak berdekatan Puduraya, Kuala Lumpur petang ini.

Antara sepanduk yang dinaikkan adalah gambar wajah Kok berbadan ayam selain tulisan berbunyi "Reward atau ganjaran RM500, menghina Islam, azan sembahyang, mencaci Melayu (Melayu sial) tampar dan amik gambar sebagai bukti siapa cepat dia dapat hanya seorang pemenang sahaja."

Setiausaha Agung Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia itu berkata, tindakan mereka itu juga turut disokong kaum Cina lain yang menentang perbuatan pemimpin DAP itu.

"Beliau ialah rakan kita Sunny Goh iaitu Pengerusi Perhubungan Hal Ehwal Masyarakat Cina bagi Pertubuhan Kebajikan Insan Bakti Malaysia (Perkib). Beliau juga tidak suka dengan perbuatan pemimpin pembangkang yang sebangsa dengannya," katanya.

Zulkifli berkata lagi, beliau tidak takut sekiranya Kok membuat laporan polis ke atas pertubuhannya sambil menggesa pihak berkuasa juga mengambil tindakan ke atas perbuatan biadap ahli parlimen itu.

"Kita serius dengan tawaran ini, tidak main-main. Ini adalah akibat kerana mulut celupar beliau. Kita mahu beri amaran supaya kelak ahli parlimen itu lebih berhati-hati dalam perbuatannya dan polis kena siasat betul jangan kerana beliau ahli parlimen maka dilepaskan," katanya. ~tmi

Iklan C (ii)




Tiada ulasan: