SIASAH |
Politik global 2012: 5 buku pilihan Posted: 15 Jan 2014 04:07 PM PST Tahun 2013 telah menjelaskan lagi dengan lebih terperinci perkembangan sejak 2011 dan 2012, seperti kemerosotan kuasa dan pengaruh Amerika Syarikat secara relatif, atau boleh disifatkan sebagai kemunculan sebuah dunia pasca-Amerika, persaingan dan pertikaian di rantau Asia-Pasifik melibatkan China dan negara sekitar, penyebaran demokrasi oleh AS, perkembangan politik yang disifatkan sebagai kebangkitan Syiah di Asia Barat dan persaingan kuasa-kuasa besar meluaskan pengaruh di negara-negara bekas Soviet. Berikut lima buku yang dipilih sebagai yang paling menjelaskan perkembangan penting politik dunia tersebut, yang merupakan antara isu kritikal politik global dalam era masa kini. Buku-buku ini dipilih berdasarkan nilai kajian dan isu besar politik global semasa yang dikemukakan. 1. Shiism and Politics in the Middle East oleh Laurence Louer, Columbia University Press, 2012. Kajian yang menjelaskan Syiah dan hubungannya - dan juga pemisahannya - dengan politik di Asia Barat. Mengemukakan penjelasan lain isu penguasaan Iran dalam dunia Syiah yang selalu menjadi konsensus dalam perbincangan mengenai isu ini. Menjelaskan sejauh mana - dengan lebih mendalam berbanding The Shia Revival: How Conflicts within Islam Will Shape the Future karya Vali Nasr - Syiah dan Iran dilihat sebagai satu dalam kalangan komuniti Syiah di negara-negara Asia Barat lain dari Lubnan ke Bahrain, termasuk perkembangan terkini berhubung pandangan terhadap ulama rujukan (marja), dan sejauh mana Bahrain yang dikuasai politiknya oleh komuniti Syiah akan menjadi sekutu kuat atau agen kepada Iran. Kajian ini relevan disebabkan isu Syiah yang semakin menjadi topik sentral dalam perkembangan di Asia Barat dan seluruh dunia Islam, isu yang mencetuskan keganasan dan kempen propaganda sektarian, menyentuh peristiwa politik utama yang melanda dunia hari ini, iaitu konflik Syria. 2. Samudra Manthan: Sino-Indian Rivalry in the Indo-Pacific oleh C Raja Mohan, Carnegie Endowment for International Peace, 2012. Buku yang menambahkan karya tentang kebangkitan kuasa ketenteraan China di lautan, daripada Lautan Hindi ke Pasifik, dari perspektif India, kuasa pesaing China. Meneruskan bentuk penilaian seperti dilakukan oleh Robert Kaplan melalui Monsoon: The Indian Ocean and the Future of American Power, dan menggunakan tarikan istilah popular masa kini, Indo-Pasifik - yang dipopularkan kembali oleh kertas putih pertahanan Australia di bawah Perdana Menteri Tony Abbott - yang sebenarnya agak terlalu luas. Buku yang memberi penekanan pada kebangkitan dan potensi ancaman China di rantau Asia-Pasifik. Turut menegaskan peranan penting yang perlu dimainkan oleh AS dalam menangani kebangkitan China dan persaingan India dengan China. Buku yang menyentuh isu politik yang panas pada masa ini, melibatkan kebangkitan ketenteraan China di rantau Asia-Pasifik, dan persaingan kedua-dua kuasa China dan India meningkatkan keupayaan ketenteraan laut lepas. 3. US Foreign Policy and Democracy Promotion: From Theodore Roosevelt to Barack Obama disunting oleh Michael Cox, Timothy J Lynch dan Nicolas Bouchet, Routledge, 2013. Topik penyebaran demokrasi terus menjadi satu isu yang divisif dalam kalangan pemerhati dasar luar AS, dan sering dinilai sebagai helah mengukuhkan penguasaan AS dalam orde dunia. Mengemukakan diskusi meliputi asas falsafah penyebaran demokrasi AS - dan sama ada wujudkah apa yang disebut sebagai "penyebaran demokrasi" itu - dan penilaian rekod presiden yang terlibat dalam meluaskan demokrasi melalui dasar luar mereka, hingga ke presiden terakhir Barack Obama, yang dikait dengan kesedaran di Mesir hingga mendorong protes yang menjatuhkan Presiden Hosni Mubarak. Buku ini membawa diskusi penting topik kritikal dalam era yang mencabar kepada Washington pada masa ini, ketika demokrasi dinilai dengan lebih kritikal berhubung manfaat yang dapat diberikan. Buku yang sangat relevan pada masa ini, pada era penyebaran demokrasi berlaku di seluruh pelusuk dunia dari Afrika Utara hingga ke Asia Tengah dan Asia Tenggara, dengan peranan yang bukan kecil daripada AS dan badan-badan bukan kerajaan AS. 4. No One's World: The West, The Rising Rest, and the Coming Global Turn oleh Charles A Kupchan, Oxford University Press, 2012. Selepas The Post-American World oleh Fareed Zakaria, No One's World, walaupun jauh kurang popular, mengemukakan kajian yang lebih mendalam dan memberikan gambaran lebih jelas berhubung kemunculan dunia pasca-Amerika. Mengemukakan pandangan bahawa dunia pasca-Amerika bukan dunia konsensus Beijing atau konsensus lain yang sering diperkatakan, atau kemunculan hegemon lain sebagai pengganti tetapi satu disensus global, tanpa satu kuasa yang dominan seperti AS masa kini. Seiringan dengan itu, demokrasi liberal yang dilihat sebagai sistem yang sepatutnya menjadi pilihan turut berdepan saingan sistem lain yang dibawa kuasa-kuasa selain AS seperti China dan Brazil. Buku yang memberikan penilaian terhadap masa depan orde liberal antarabangsa, melibatkan aturan kuasa dan sistem urus tadbir ekonomi global (termasuk kedudukan tertinggi dolar AS), yang kini mula kelihatan tercabar oleh kebangkitan kuasa-kuasa lain. Buku ini juga dapat menjelaskan diskusi popular di media mengenai kebangkitan BRICS (Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan) dan terkini, MINT (Mexico, Indonesia, Nigeria dan Turki). 5. Great Games, Local Rules: The New Great Power Contest in Central Asia oleh Alexander Cooley, Oxford University Press, 2012. Tidak seperti banyak kajian lain, Cooley menegaskan peranan tersendiri negara-negara Asia Tengah dalam menghadapi percaturan dan tekanan kuasa-kuasa besar AS, Rusia, dan China. Hal ini antaranya diperhatikan melalui tindakan kerajaan Kyrgyzstan dan Uzbekistan yang menjadi lokasi pangkalan tentera dan direbut oleh kuasa-kuasa AS dan Rusia, pangkalan dan akses yang menjelaskan pengaruh kuasa-kuasa terbabit. Kyrgyzstan mendapat perhatian akibat tindakan berprofil tingginya menuntut sewa lebih tinggi daripada AS untuk kekal di pangkalan udara Manas, dan pada masa sama menerima bantuan Rusia dan berjanji menamatkan kehadiran tentera AS di pangkalan itu. Turut memberi perhatian khusus kepada protes besar-besaran Revolusi Warna, yang bukan sahaja menunjukkan pengaruh luas AS, Barat dan Rusia, tetapi juga kesediaan rejim-rejim Asia Tengah terbabit menyesuaikan strategi menghadapi cabaran pendemokrasian ini. Memperincikan lagi persaingan geopolitik rantau ini, dan turut mengemukakan satu gambaran masa depan pasca-Amerika, melibatkan kredibiliti AS yang berkait dengan tindakan dalam negara. Kajian yang penting untuk mendalami rantau penting yang agak kurang mendapat perhatian ini. - Januari 13, 2014 |
You are subscribed to email updates from SiasahDaily To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan