Khamis, 16 Januari 2014

DUNIACACAMARBA

DUNIACACAMARBA


Dua Remaja Ditahan, Suspek Kes Pembunuhan Tiga Beradik di Kedah November Tahun Lalu

Posted: 16 Jan 2014 12:42 AM PST


[Bernama] ALOR SETAR: Akhirnya dua suspek yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan tiga beradik dari Alor Semela, Jalan Datuk Kumbar di sini tahun lalu ditahan semalam.

Mereka merupakan dua remaja lelaki yang berusia 18 dan 19 tahun yang ditahan di rumah masing-masing di Kampung Gelam berhampiran Jalan Datuk Kumbar antara pukul 5.30 petang hingga 11 malam.

"Kita telah mendapat perintah tahanan reman untuk suspek sehingga 22 Jan ini untuk siasatan lanjut bersabit kes bunuh yang melibatkan tiga beradik pada November tahun lalu," kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, ACP Mohd Nashir Ya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata kedua-duanya yang tidak bekerja ditahan hasil siasatan lanjut pihaknya serta maklumat orang awam.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Kes melibatkan kematian Noor Syafikah Nadia Rusdi, 14, yang mayatnya ditemui di kawasan sawah Alor Senibong kira-kira 3.45 petang pada 30 Nov lalu.

Sementara mayat adik-adiknya Nur Izzati Husna, 12, dan Puteri Nurul Akma, 3, ditemui pula kira-kira 4 petang esoknya di gigi air sungai di Kampung Padang Tani, Langgar kira-kira 3.5 kilometer dari tempat mayat kakak mereka ditemui.

Tiga beradik itu dikatakan keluar dari rumah mereka dengan menaiki sebuah motosikal kira-kira pukul 7.30 malam pada 29 Nov untuk ke rumah seorang rakan Noor Syafikah Nadia di Kampung Gelam yang tidak jauh dari kampung mereka, dan tidak pulang-pulang sehingga mayat mereka ditemui.

Berita awal di sini.

[PANAS] FB Najib Dibanjiri Komen Kangkung

Posted: 15 Jan 2014 10:09 PM PST


[MK] Laman facebook Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pagi ini dilanda dengan begitu banyak komen video yang membicarakan topik 'kangkung'.

Dalam status terkini dalam profail facebook beliau yang berkaitan sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan yang dimuat naik 14 Januari lalu, telah diserang dengan video parodi kangkung.


Sebanyak 1,556 komen dimuat naik sehingga pagi ini, kebanyakannya video parodi menyindir tindakan beliau yang didakwa begitu 'bangga' dapat menurunkan harga pasaran kangkung sehingga dirasakan dapat meringankan beban rakyat.

Antara komen yang begitu ketara menyindir Najib Razak adalah video 'New lenggang kangkung remix ft Najib' yang mana memaparkan klip video Najib berkaraoke dan menari tarian tradisional dalam sebuah majlis rasmi telah diubah dengan mengarapkan beberapa kesan grafik serta berlatarkan lagu Lenggang-lenggang kangkung.

Selain itu, sebuah lagi video 'Kangkung Remix ft Najib' yang dimuat naik dengan video kangkung digabungkan dengan video ucapan Najib dipercayai ketika membahaskan ucapan penurunan harga kangkung.

Selain video parodi, beberapa keping gambar turut menyatakan sindiran rakyat terhadap Najib begitu juga komen-komen yang membahaskan tentang kangkung.

Bagaimanapun, melalui profail Najib terpapar terlalu banyak komen sebegitu sinis menyindir tindakan beliau, telah dimuat naik dalam dua lagi status sebelum itu. - 16/1/14



Pelancong Denmark Berusia 51 Tahun Jadi Mangsa Rogol di India

Posted: 15 Jan 2014 08:43 PM PST

Polis menyiasat lokasi kejadian.

[HM] New Delhi: Seorang pelancong Denmark yang tersesat menjadi mangsa terbaru serangan seksual berkumpulan di India, kata pihak berkuasa semalam.

Mangsa - berusia 51 tahun - dilaporkan sedang mencari jalan kembali ke bilik hotelnya di Paharganj apabila dia gagal dikesan pada Isnin lalu.

Wanita terbabit melancong bersendirian dan tiba di New Delhi pada Isnin lalu.

Sehari kemudian dia pergi melawat sebuah muzium apabila dia tersesat ketika pulang.

Jurucakap polis berkata, mangsa cuba bertanya arah kepada beberapa lelaki tempatan tetapi diperdaya dan dirogol beramai-ramai oleh enam lelaki.

Katanya, kejadian dilaporkan berlaku di tempat yang sangat hampir dengan pusat bandar New Delhi dan sekali lagi menimbulkan tanda tanya mengenai tahap keselamatan wanita di negara yang mempunyai penduduk kedua teramai dunia itu.

Sementara itu Pesuruhjaya Khas Polis, Deepak Mishra berkata, sejumlah suspek sudah ditahan bagi membantu siasatan.

Mishra tidak mendedahkan jumlah tangkapan tetapi media menjangkakan 15 orang sudah disoal siasat.

Katanya, mangsa turut dirompak.

Sementara itu pekerja hotel tempat mangsa menginap berkata, wanita terbabit kelihatan tenang ketika pulang ke hotel kira-kira jam 8.30 malam tetapi memberitahu tentang kejadian berkenaan kepada pelancong lain.

"Dia datang menemui saya di kaunter hotel dan meminta 200 rupee (RM10) untuk membayar tambang teksi kerana dia telah dirompak," katanya.- 16/1/14/AFP



Awas, Perompak Hamper! Orang Ramai Diminta Berhati-Hati - Polis

Posted: 15 Jan 2014 08:38 PM PST

Sekadar hiasan.

[Mstar] PETALING JAYA: Polis telah mengeluarkan amaran berhubung mesej yang disebarkan di internet dan sistem pesanan ringkas yang mendakwa sekumpulan perompak telah pergi ke rumah-rumah kononnya untuk menyampaikan hamper kepada penghuni.

"Kita tidak menerima apa-apa laporan dan boleh mengesahkan bahawa tiada kejadian seperti ini di Kuala Lumpur, " kata Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, ACP Khairi Ahrasa.

Beliau berkata mesej yang tersebar adalah tidak benar tetapi menasihati orang ramai supaya berhati-hati dengan penipuan seperti ini.

"Adalah lebih baik untuk sentiasa berwaspada, terutama pada musim perayaan," katanya.

"Walaupun tiada laporan diterima, kami akan berwaspada dengan kumpulan seperti itu."

Mesej amaran telah tersebar mengenai kumpulan yang memasuki premis-premis persendirian atas alasan menghantar hamper dan kemudiannya merompak penghuni.

Dikatakan bahawa satu daripada kejadian berlaku di Kota Kinabalu pada Mac 2012 di mana 'kumpulan hamper' terbabit merompak seorang kakitangan kerajaan sebanyak RM30,000.

Khabar angin tersebut menyatakan bahawa seorang pembantu rumah membenarkan perompak yang tidak mencurikan itu masuk ke dalam rumah dan kemudian perombak terbabit mengeluarkan pisau dan parang yang disembunyikan di bawah hamper.

Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan MCA Datuk Seri Michael Chong berkata beliau tidak mendengar sebarang kes 'perompak hamper' tetapi mengendalikan satu kes melibatkan penghantaran gas memasak.

Beliau juga memberi amaran kepada orang ramai supaya berhati-hati dengan mereka yang membawa hamper ke rumah.

"Ini mungkin boleh berlaku semasa Tahun Baru Cina, apabila terdapat banyak penghantaran hamper," Chong memberi amaran.

"Saya telah memberitahu pembantu rumah saya supaya tidak membenarkan sesiapa masuk dan meninggalkan hamper di luar rumah."

Pengasas Kempen Kesedaran Jenayah Malaysia Mark Soh berkata dia juga tidak mendengar tentang rompakan ini tetapi menyedari kes-kes yang serupa melibatkan perkhidmatan kurier. - RASHVINJEET S.BEDI dan Farik ZOLKEPLI/ 16/1/14


ISP Laporan Berkaitan 'Kangkung' dan PM 'Disekat'

Posted: 15 Jan 2014 07:39 PM PST


[MK] Laporan BBC mengenai 'kangkung' yang mengaitkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, sudah tidak dapat diakses, dan pakar-pakar teknikal membayangkan puncanya ialah kemungkinan ia telah disekat.

Pada hari Selasa, stesen penyiar British itu telah memetik berita mengenai sendaan orang ramai terhadap kenyataan Najib mengenai harga sayur-sayuran, tetapi warga siber mula melaporkan menghadapi masalah untuk mengakses artikel di lamanwebnya malam tadi.


Mengikut ujian yang dijalankan olehMalaysiakini sendiri, versi desktop laporan BBC itu masih tidak boleh diakses sehingga 8 pagi ini melalui Unifi TM dan Perkhimatan 3G Maxis, manakala perkhidmatan mobile Yes 4G dan Celcom tidak terjejas.

Versi mobile bagi artikel yang sama masih boleh diakses dan begitu juga yang lainnya di lamanweb BBC.

BBC sedang menyiasat perkara itu melalui Twitter, dengan bertanya kepada para pengguna, "Adakah anda berada di Malaysia? Jika ya, adakah anda boleh mengakses cerita kami mengenai kangkung?"

Sementara itu, portal berita Digital News Asia memetik seorang pakar keselamatan dan penyedia bebas penyelesaian IT sebagai berkata semua permintaan untuk mengakses artikel BBC itu sedang digugurkan oleh pembekal perkhidmatan internet (ISP), sekaligus menyekatnya.

"BBC atau mana-mana portal besar yang menggunakan CDN (rangkaian penghantaran kandungan) yang mengendalikan permintaan halaman untuk server mereka - jika server berkenaan terlebih beban, lamanweb utama bbc.co.uk tidak boleh diakses.

"Jika ia telah digodam, seluruh domain tidak akan boleh diakses. Ini sekatan URL khusus, akan hanya boleh dilakukan dengan menapis paket dan memanipulasi rangkaian trafik," @sniiffit dipetik sebagai berkata.

Penapisan seperti ini merupakan satu pelanggaran Bil Jaminan Koridor Raya Multimedia Malaysia, yang menyatakan, antara lain, bahawa kerajaan akan memastikan tiada penapisan Internet.

Laporan M'kini mengenai kangkung juga disekat

Laporan itu juga memetik pengasas bersama Sinar Projek, Khairil Yusof yang mengatakan bahawa ini adalah jenis tapisan terpilih internet yang sama seperti yang dilakukan semasa Pilihan Raya Umum (PRU13).

Beliau merujuk kepada sekatan yang dikenakan terhadap video KiniTV mengenai temubual dengan A Santamil Selvi, balu kepada penyiasat persendirian P Balasubramaniam, mengenai perkara yang berkaitan dengan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu, yang tidak dapat diakses melalui beberapa ISP tempatan, termasuk TM.

"Menurut ujian kami, ia jenis yang sama seperti penapisan yang dilakukan semasa PRU13. Ia bukanlah sesuatu yang baru dan ini mengesahkan bahawa kerajaan masih mewujudkan penapisan dan sedia untuk menggunakannya," katanya dipetik.


Sementara itu, laporan Malaysiakini semalam,'Kangkung -theme protest draws giggles'nampaknya menghadapi masalah yang sama seperti artikel BCC yang disekat itu.

Ia tidak boleh diakses selepas dimuat naik pada jam 9.19 malam, tetapi Malaysiakini telah memuat naik semula laporan yang sama pada jam 7.22 pagi ini dan setakat ini versi baru ini masih belum disekat.

Malaysiakini juga menyiasat mengapa lamanwebnya telah secara misteri tidak boleh diakses secara berkala sepanjang minggu yang lalu. - 16/1/14

Laporan BBC itu boleh dibaca di sini.

Respons SKMM di sini.

Tiada ulasan: