MIMPI SENJA |
Masih bergunakah Perdana Menteri kepada kita? Posted: 09 Jan 2014 09:06 PM PST Kedudukan penyandang jawatan Perdana Menteri paling dipertikaikan ketika ini. Ketika rakyat bergelut dengan bermacam-macam masalah dan kesulitan, di samping isu demi isu yang muncul serta menjadi perdebatan ramai, seorang Perdana Menteri yang seharusnya memainkan peranan meredakan keadaan dan menunjuk jalan penyelesaian lebih banyak membisu dan menghilangkan diri daripada memainkan peranan yang sewajarnya. Ketika rakyat bising dengan kenaikan harga barang dan melakukan demonstrasi bantahan mengenainya, Najib yang menjadi Perdana Menteri lebih selesa menghabiskan masanya bercuti bersama keluarga. Sehingga kini ke mana percutian hujung tahun Najib, sama ada ke Sydney, Los Angelas atau hujung dunia yang lain, masih lagi menjadi misteri. Tapi yang pastinya, ketika rakyat bising, merungut dan digelar bughah, beliau sedang bersenang-lenang di luar negara. Ketika isu kalimah Allah muncul kembali dan menghangatkan pertikaman antara Islam dan Kristian, walaupun beliau ada di dalam negara tetapi keberadaannya tidak memberi erti. Sudah berminggu-minggu isu ini menjadi perdebatan, apa pendirian Najib sebagai Perdana Menteri langsung tidak diketahui. Beliau bukan saja tidak mahu menyatakan pendiriannya, malah tidak mahu bercakap dengan media mengenainya. Begitu juga, walaupun beliau turut mempengerusikan mesyuarat mingguan kabinet ketika isu kalimah Allah ini sedang hangat diperkatakan, kita juga tidak tahu sama ada ia dibincangkan atau tidak. Yang kita tahu, sehingga ini Najib masih membisu mengenai isu Allah ini sedangkan sebahagian punca timbulnya masalah ini adalah daripada tindakannya menyetujuinya formula 10 perkara dengan penganut agama Kristian pada 2010 dahulu. Begitu juga, ketika harga barang naik, kos sara hidup meningkat dan rakyat dipaksa mengikat perut, apa yang kita dengar perbelanjaan kerajaan untuk menampung kehidupan keluarga Perdana Menteri terus bertambah, termasuk bertambahnya jet mewah yang disewa. Hutang negara yang semakin membesar dan hampir mencecah tahap 55 peratus iaitu kategori yang boleh dianggap muflis, ia langsung tidak menzahirkan perubahan kepada gaya hidup, gaya perbelanjaan dan langkah berjimat cermat Perdana Menteri dan kerajaan. Dalam analogi yang mudah, Perdana Menteri adalah umpama nakhoda bagi sebuah kapal. Dalam pelayarannya kapal itu, nakhoda inilah yang semestinya memainkan peranan untuk memastikan perjalanan sentiasa selamat, cukup bekalan makanan, anak-anak kapal terpelihara, tiada kemalangan atau kecederaan apabila ribut dan badai melanda serta menentukan pelbagai perkara lagi. Yang penting, nakhoda mesti tahu peranannya dan sentiasa berperanan ketika saat-saat genting. Tidak dikatakan nakhoda yang baik apabila seseorang nakhoda itu tidak memainkan peranan sepanjang pelayaran sehingga kapal sering terumbang-ambing, dimasuki air dah tidak tentu hala tujunya. Dalam kedudukan Najib yang sering tidak berperanan, membisu dan mendiam diri terhadap berbagai isu yang muncul sedangkan beliau sebagai nakhoda begitu dituntut peranannya, beliau kini tidak ubah seperi nakhoda yang gagal dan tidak berguna. Tindakannya yang tidak mahu bersuara atau takut bersuara di ketika rakyat dibebankan dengan banyak permasalahan menjadikan beliau semakin tidak berperanan di mata rakyat. Negara seolah-olah tiada Perdana Menteri ketika isu kalimah Allah ini hangat diperkatakan. Ia seperti dibiarkan begitu saja tanpa sebarang kawalan dan panduan. Semua orang boleh bercakap, menuduh, mengkritik, menghentam dan melemparkan tuduhan kepada sesiapa saja. Amatlah malang dalam keadaan yang boleh mencetuskan perbalahan bila-bila masa ini, Mahathir terpaksa bersuara dan mengajar Najib seperti menyarankan supaya kerajaan berjimat cermat dan mengurangkan kos serta meminta pihak swasta menyuarakan kebimbangan dalam isu kenaikan kos sara hidup rakyat dan mengembalikan ISA dalam menangani kemelut isu kalimah Allah yang kian memuncak sekarang ini. Ini nyata berbeza ketika era Mahathir dulu. Semua perkara dalam kawalannya dan semua isu yang berbangkit akan mendapat perhatian daripadanya. Tidak pernah, walau sekecil mana sesuatu isu itu yang tidak mendapat perhatian daripadanya. Begitu juga ketika zaman Pak Lah, walaupun beliau dituduh lemah dan tidak sepantas Mahathir tetapi dalam semua isu yang berlaku, suaranya tetap kedengaran. Apabila seorang Perdana Menteri bersuara dan memberi kenyataan dalam sesuatu isu, sekurang-kurangnya petunjuk kepada jalan penyelesaian dapat dilihat. Berbanding sekarang, dalam isu kalimah Allah misalnya, oleh kerana Najib memilih untuk berdiam diri dan membisu, ke arah mana penyelesaiannya masih lagi menjadi kabur dan tidak ketahuan. Semua orang seperti dibiarkan menyalakan api dan mencurahkan minyak. Dalam hal ini, kedudukan Najib sebagai Perdana Menteri atau nakhoda kepada sebuah kapal, hampir tidak ada. Oleh kerana peranan Perdana Menteri lebih terlihat dalam aspek perbelanjaan mewah dan pemborosan sahaja, kelakuannya tidak ubah seperti nakhoda yang asyik tidur ketika kapal sedang belayar tetapi hanya muncul ketika waktu makan sahaja. Sungguh jelek nakhoda seperti itu. Di mata rakyat, itulah kedudukan Najib sekarang. Ada atau tiada beliau, hampir tiada bezanya. Kedudukan Perdana Menteri sebagai nakhoda, penunjuk jalan dan pembimbing dalam meredakan keadaan apabila berlaku krisis, nampaknya sudah tidak berfungsi lagi. Malah dalam banyak keadaan, kedudukan Najib sebagai Perdana Menteri lebih merupakan beban dan masalah kepada rakyat. Sudah ramai yang menyoal, apa gunanya seorang Perdana Menteri kepada kita sekarang ini? Selagi Najib atau yang sefesyen dengannya menjadi nakhoda negara ini, jawatan Perdana Menteri bukan saja tidak memberi manfaat kepada rakyat, malah lebih dianggap beban yang hanya meningkatkan kos saraan semata-mata. - http://shahbudindotcom.blogspot.com/ |
Kekasih Zul Ariffin Sedia Peluk Islam Posted: 09 Jan 2014 10:22 AM PST Jumaat Januari 10, 2014 PETALING JAYA: Pelakon Zul Ariffin memberitahu kekasihnya, Gayatri Su-Lin Pillai, 38, sudah bersedia untuk memeluk agama Islam sebelum kedua-dua mereka disatukan sebagai suami-isteri. Zul, 28, berkata, Gayatri bagaimanapun sedang menanti lampu hijau daripadanya bilakah tarikh sesuai perkahwinan mereka akan dilangsungkan. "Gayatri meminta saya memaklumkan kepadanya lebih awal sekiranya saya sudah bersedia untuk mengambilnya sebagai isteri agar dia boleh buat persediaan awal untuk menjadi seorang mualaf," katanya kepada mStar Online Zul ditemui pada majlis pelancaran drama Qadr dan Panik siaran Astro First di GSC The Gardens di sini pada petang Khamis. Zul berkata, walaupun dia teruja membincangkan soal kahwin tetapi ada kalanya perasaan itu hilang. Bagaimanapun tambah Zul, perasaan itu timbul bukan kerana dia tidak mencintai Gayatri tetapi dia masih risau berikutan keadaan kewangan yang belum kukuh untuk bergelar seorang suami. "Jujur saya katakan, saya sudah bersedia untuk menggalas tanggungjawab sebagai suami dan pada masa sama membimbing Gayatri menjadi seorang wanita Muslimah. Tidak ada masalah untuk itu. "Cuma apa yang saya bimbangkan, kerjaya sebagai pelakon, ada masanya naik dan turun. Risau dengan kedudukan kewangan sendiri selepas berumah tangga kelak. Mujurlah Gayatri faham dengan situasi saya ini," ujarnya yang masih belum mempunyai tarikh untuk pernikahan itu. Zul mengakui bercinta dengan Gayatri yang juga Naib Presiden Astro Shaw, sejak Jun 2012 selepas mereka bekerjasama dalam penggambaran filem Penanggal. Sementara itu, Zul bakal muncul menerusi drama Panik bersama-sama pelakon Nadia Nissa, Naomi Ivana, Dony Alamsyah dan Mike Muliardo menerusi drama Panik yang bakal disiarkan pada 20 Mac ini. - mStar |
You are subscribed to email updates from Mimpi Senja To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan