Ahad, 12 Januari 2014

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


Isu Anggota Polis Bertugas Dalam Keadaan Mabuk

Posted: 12 Jan 2014 07:25 AM PST

TIADA KOMPROMI TERHADAP ANGGOTA BERTUGAS DI BAWAH PENGARUH ALKOHOL

Ekoran penyebaran gambar dua anggota polis yang dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol semasa menjalankan tugas rondaan, kedua-dua identiti anggota tersebut telah dikenal pasti .

Kedua-dua anggota terbabit telah ditukarkan serta merta tempat penugasan dan siasatan lanjut berkaitan insiden itu sedang dijalankan.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius terhadap kesalahan yang dilakukan oleh mana-mana anggota yang didapati mengabaikan tanggungjawab menjaga keselamatan masyarakat.

PDRM juga tidak akan melindungi dan berkompromi dengan pegawai dan anggota yang telah melakukan kesalahan yang boleh menjejaskan imej pasukan.

Orang ramai diminta menyalurkan maklumat kepada PDRM sekiranya mendapati mana-mana pegawai dan anggota polis yang melakukan kesalahan dan tidak berintegriti.

SENIOR DCP DATO' MOHD SHUKRI BIN DAHLAN
KETUA POLIS SELANGOR

Temuramah UTUSAN sempena ulangtahun ke 83 TG Nik Aziz Nik Mat

Posted: 12 Jan 2014 04:54 AM PST

Bersama 'beg plastik', 60 cucu
Nik Abdul Aziz Nik Mat masih bersemangat ketika diwawancara wartawan Mingguan Malaysia, Zaain Zin di rumahnya baru-baru ini.
SEBAIK-baik sahaja menamatkan perkhidmatan sebagai Menteri Besar Kelantan, DATUK NIK ABDUL AZIZ NIK MAT yang juga Mursyidul Am Pas kelihatan agak 'diam' dan tidak lagi berada di bawah 'radar' media massa.

Lebih 20 tahun, tokoh politik negara itu menjadi perhatian rakyat. Setiap kata dan gerak-gerinya menjadi perbualan hangat tambahan pula kenyataan beliau sering menongkah harus. Namun tidak ramai yang mengetahui kisah hidupnya selepas tidak lagi bergelar orang nombor satu di Kelantan.

Justeru, wartawan Mingguan Malaysia, ZAAIN ZIN bersama jurugambar, ROSNI MASRI menjejaki beliau yang menyambut ulang tahun ke 83 pada 10 Januari lalu, untuk mendapatkan kisah kehidupannya hari ini.

Usaha menjejaki tokoh yang sinonim dengan panggilan 'Tok Guru' itu bermula pada awal pagi Khamis lepas di pejabatnya di Institut Pemikiran Tok Guru di Kota Darul Naim, Kota Bharu kerana berdasarkan maklumat beliau sering ke pejabat, namun gagal.

Kemudian, usaha tersebut diteruskan ke Masjid Pulau Melaka kerana di sanalah lokasi yang paling mudah untuk bertemu dengan beliau terutama ketika waktu solat.

Ketika itu solat Zohor, pada mulanya agak hampa kerana tidak kelihatan kelibatnya biarpun solat jemaah telah bermula tetapi sebaik-baik sahaja solat selesai, beliau kelihatan keluar dari pintu sebelah kanan dan dipimpin oleh anaknya, Nik Abduh yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas.

Ketika dipimpin beliau memegang 'beg plastik putih' yang mempunyai saluran kecil ke tubuhnya. Difahamkan beg yang disediakan oleh pihak hospital itu untuk menyalurkan air kencing.

Beliau menyambut kunjungan Mingguan Malaysia dengan penuh berhemah walaupun pada mulanya beliau agak keberatan untuk ditemu bual tetapi akhirnya mempelawa masuk ke dalam rumah.

Sepanjang tempoh 30 minit berada di rumahnya, beliau menceritakan mengenai keadaan kesihatannya yang tidak pernah diketahui umum seperti masalah prostat, bateri untuk menguatkan jantung dan petua menjaga kesihatan.

Malah Tok Guru turut mendedahkan tentang aktiviti mingguan keluarga yang menghimpunkan 10 orang anak dan 60 cucu termasuk cicitnya pada setiap malam Ahad.

Beliau juga menceritakan secara terperinci kehidupannya yang 'tenang' selepas bebas daripada jawatan utama dalam Kerajaan Negeri Kelantan dan pandangannya terhadap kerajaan pimpinan Datuk Ahmad Yakob serta sikap malas membaca dalam kalangan orang Melayu.

MINGGUAN: Apa khabar Tok Guru, nampak ceria.
NIK AZIZ: Ceria sebab ada tetamu. Saya sebenarnya letih. Sekarang mudah letih. Kalau berbual pun letih, tak boleh lama.
Bagaimana keadaan kesihatan Tok Guru secara keseluruhan?
NIK AZIZ: Alhamdulillah. Untuk jantung, baterinya doktor kata buat masa ini, tidak perlu tukar lagi kerana masih molek. Bateri ini kurang bekerja kerana tidak begitu diperlukan memandangkan jantung saya masih gagah. Masalah saya sekarang ini adalah prostat. Masalah prostat ini menyebabkan saya kena bawa 'beg' (untuk menyalurkan air kencing) pergi ke mana-mana. Pada mulanya, doktor mahu memberi beg yang tak perlu bawa ke sana ke sini tetapi saya tidak mahu terima. Payah kalau hendak bergerak. Cuma beg ini saya perlu tukar, caranya sama ada saya pergi ke hospital buat pemeriksaan atau pihak hospital sendiri bawa ke mari seminggu sekali. Kalau hendak sembahyang, susah sikit tetapi tak perlu tukar cuma kena cuci dulu. Tidaklah sampai perlu cuci lima kali sehari. Saya cuci bila perlu, sekurang-sekurangnya sekali sehari. Alhamdulillah, tidak menganggu saya beribadat.
Bagaimana pula dari segi pengambilan makanan?
NIK AZIZ: Petua saya, ikut kata doktor. Dia kata minuman paling baik ialah air kosong, bukan campur macam-macam. Memandangkan saya ada masalah prostat, saya usaha sungguh-sungguh minum sebanyak mungkin air kosong. Tapi kadang-kadang, saya curi-curi minum teh dan kopi. Sebab ada masalah jantung, saya tak boleh makan daging, lemak dan santan. Saya cuma curi-curi makan kuah. Lauk saya biasanya sayur dan ikan bakar sahaja. Sekarang ini, saya hendak sangat makan ubi kayu, saya minta orang rumah tolong cari ubi kayu. Apa boleh buat, mengidam.

Boleh kongsi serba sedikit kehidupan Tok Guru selepas tidak lagi menjadi Menteri Besar?
NIK AZIZ: Tenang sahaja macam biasa. Tidak sibuk, namun kerajaan negeri beri satu institusi untuk saya urus yang dipanggil Institut Pemikiran Tok Guru di Kota Darul Naim, Kota Bharu. Saya ke sana setiap hari. Tetapi kalau kesihatan tidak mengizinkan, saya pergi dua atau tiga hari sekali. Kalau ada temu bual dengan wartawan pun saya akan pergi ke sana.

Bagaimana Tok Guru mengisi masa lapang jika tidak sibuk dengan tugas hakiki?
NIK AZIZ: Saya membaca. Buku saya banyak. Malah, rakan-rakan yang duduk luar negara pun turut kirim macam-macam buku. Masa saya di luar negara, contohnya Kaherah, saya tengok rakyat di sana gemar membaca. Dalam masjid pun orang bawa akhbar. Berbeza dengan orang Melayu, pemalas. Kesedaran untuk membaca tiada. Kita tidak dididik untuk membaca. Anak-anak kecil contohnya, sibuk dengan Internet. Tak pasti salah siapa, ibu bapa atau kementerian, wallahuallam.
Waktu saya mula-mula balik ke Tanah Melayu dulu, kad pengenalan saya hilang di India, jadi saya pergi buat yang baharu, ketika itu di Pejabat Tanah.
Sementara menunggu, saya membaca. Datang seorang rakan, tegur dan kata membaca buat apa? Patut dia bagi semangat, tapi dia perlekeh pula. Masya-Allah, berbeza benar pemikiran kita dengan orang luar. Wartawan sekarang ini, saya fikir perlu buat artikel-artikel yang boleh menimbulkan semangat untuk orang ramai membaca, tidak kiralah macam mana, Internet, Twitter atau Facebook.
Saya juga mengikuti perkembangan semasa menerusi surat khabar, Internet dan lain-lain. Kalau Internet, selalunya anak cuculah. Tak boleh banyak sangat tengok Internet, jadi khayal sampai habis masa saya. Terbongkok-bongkok duduk tengok Internet, bahaya.

Jadi, sekarang Tok Guru ada banyak masa bersama keluarga dan bermain dengan cucu dan cicit?
NIK AZIZ: Cucu ada 60 orang nak main macam mana. Sebenarnya setiap Sabtu malam Ahad, selepas Isyak, saya kerah semua anak cucu datang makan malam. Ini usaha saya untuk mengeratkan hubungan sesama mereka, terutama yang cucu-cucu ini. Dia hendak bertumbuk atau bergomol, itu dia punya pasal tetapi seronok juga sebab rumah jadi riuh.
Setiap dua atau tiga tahun, kami berkumpul ramai-ramai. Macam bulan lepas, kami berkumpul di Pantai Cahaya Bulan (PCB). Masa itu, ada lebih kurang 500 ahli keluarga sebelah arwah ayah saya dari seluruh negara datang.

Apa pendapat Tok Guru tentang kerajaan negeri sekarang yang dipimpin Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob? Ramai yang kurang yakin dengan kebolehannya untuk mentadbir?
NIK AZIZ: Saya minta semua orang Pas sokong beliau kerana beliau jadi timbalan saya sudah bertahun-tahun, semua masalah atau urusan saya khususnya dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) dia yang jawab. Beliau merupakan anak murid saya yang sejati. Segala gerak-geri saya sudah disalin kepada dia. Maka dia tahu apa yang dia buat.
Dari segi dasar atau polisi mana boleh sama, kita kena ikut perkembangan semasa. Dia cara dia, saya cara saya, namun saya beri sokongan sepenuhnya kepada beliau.

Orang kata Menteri Besar sekarang pendiam dan kurang mesra, tak macam Tok Guru?
NIK AZIZ: Itu dia punya pasal. Tidak ada orang yang serupa di atas dunia ini, muka tak serupa, anak saya 10 orang, cucu 60 orang mana ada serupa. DNA, cap jari mana ada serupa, Tidak ada yang serupa, malah Saidina Abu Bakar, Saidina Umar dan lain-lain pun tak serupa. Namun kalau ada yang kurang, saya tetap tegur. Tetapi saya tegur secara berdepan dan seorang diri, bukan ketika bercampur (ramai), kalau tegur masa bercampur ini, orang kata boleh melukakan hati. Jadi, mesti sama-sama seorang (secara empat mata).
Boleh komen sikit mengenai isu kalimah Allah yang masih diperkatakan serta kejadian rampasan Bible di Selangor?
NIK AZIZ: Tidak usah sebut isu kalimah Allah, perkara ini sudah lama kita putuskan, awak rujuk balik Pas Pusat kerana saya beri sokongan penuh apa sahaja keputusan mereka. Kejadian di Selangor (Jabatan Agama Islam Selangor rampas Bible bahasa Melayu yang mengandungi kalimah Allah), itu urusan dia. Urusan negeri, orang kita tidak boleh campur. Macam urusan Kelantan, negeri lain nak campur, itu tak betul.

Akhir sekali, apa pesanan Tok Guru untuk renungan kita bersama?
NIK AZIZ: Saya pegang Kelantan selama 23 tahun, salah satu perkara yang saya ajar kepada rakyat ialah duduk atas dunia ini, kita cari duit biar banyak tetapi bukan setakat dunia sahaja. Di akhirat pun kena jaga. Sembahyang biar banyak, derma biar banyak, ceramah biar banyak, kuliah biar banyak. Biar semua seimbang dunia akhirat.
Saya nak beritahu kamu, wartawan sama macam tok guru. Kalau tok guru mengajar di masjid, wartawan pun sebenarnya mengajar manusia. Jadi, nak ajar macam mana? Ajarlah seperti yang Allah perintahkan, bukan ajar sebagaimana yang sesetengah manusia inginkan sebab nanti di akhirat kosong. Kita sama-sama pimpin manusia ke jalan yang betul. Supaya manusia ini ke syurga, tidak ke neraka.
Tok guru, wartawan, ibu bapa, penulis dan semua pihak perlu bekerja semua sekali supaya dapat bentuk ekonomi begini, sosial begini, pelajaran begini. Saya sudah berapa kali sebut, Pas memerintah negeri ini bukan dengan cara meniru orang putih, tetapi tiru Islam. Nabi Muhammad SAW jadi 'Perdana Menteri' 10 tahun di Madinah. Jadi Imam ketika sembahyang, baginda jadi panglima perang, baginda jadi menteri kewangan, baginda jadi menteri sosial, baginda jadi menteri dalam negeri, baginda jadi menteri luar negeri. Masyarakat dunia ketika itu terima baginda. Kita Melayu kurang bijaklah kalau memperlekehkan baginda.
Nama baginda kita sebut, tapi ajaran baginda kita perlekeh. Kita tolak Islam dan ambil kebangsaan. Bukan di sini sahaja duduk berbalah, di Arab pun berbalah juga tentang perkara ini.

Bagaimana Tok Guru melihat hubungan kerajaan negeri dengan Kerajaan Pusat pada masa ini?
NIK AZIZ: Negara kita ini mengamalkan demokrasi, jadi tidak ada sebab hubungan Pusat dengan negeri renggang. Yang peliknya, 23 tahun saya jadi Menteri Besar, saya tak pernah dapat bercakap dalam radio atau televisyen. Rakyat kita makin cerdik, ramai yang keluar universiti tiap-tiap tahun dan adakalanya, orang itu faham apa yang berlaku. Mana boleh sebuah kerajaan negeri tidak boleh bercakap menerusi radio atau televisyen dengan rakyat sendiri. Perangai Kerajaan Pusat ini, dia nak suruh orang ikut dia sahaja, jangan dengar apa kata pembangkang sedangkan mana boleh manusia hidup tanpa membangkang. Kita dua beradik pun berbalah, suami isteri pun berbalah, sahabat handai pun berbalah, begitu juga rakyat dengan kerajaan.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140112/re_05/Bersama-beg-plastik-60-cucu#ixzz2qBgqnPAY
© Utusan Melayu (M) Bhd

Pengalaman Seorang Jurumandi Mayat

Posted: 12 Jan 2014 03:43 AM PST


Kisah benar ini diceritakan oleh Ustaz Abu Bakar Abdul Aziz. Ia berlaku di kawasan daerah Gombak di mana jurumandi memandikan jenazah yang agak kaya orangnya dan berpengaruh. Begini ceritanya.

Saya telah terlibat dalam pengurusan jenazah lebih daripada 20 tahun. Pelbagai pengalaman telah saya lalui kerana dalam tempoh itu bermacam-macam jenis mayat yang telah saya uruskan. Ada yang meninggal dunia akibat kemalangan, sakit tua, sakit jantung, bunuh diri dan sebagainya. Bagaimanapun, pengalaman menguruskan satu jenazah di sebuah tempat di sempadan Selangor dan Wilayah Persekutuan beberapa tahun yang lalu, telah mendedahkan saya kepada satu kes yang cukup 'istimewa' sepanjang pengalaman saya menguruskan jenazah. Inilah kali pertama saya bertemu dengan satu jenazah yang cukup aneh, menyedihkan, menakutkan dan sekali gus menberikan banyak iktibar.

Peristiwa tersebut berlaku dua hari lagi sebelum pilihanraya di Serkam, Melaka. Nama tempat dan nama orang yang meninggal itu tidaklah dapat saya nyatakan di sini. Ia terjadi secara kebetulan ketika saya diminta oleh anak Allahyarham menguruskan jenazah bapanya. Pada hari itu, saya pergi ke rumah seorang sahabat untuk mengubatkan mata ibunya bagi kali yang terakhir. Niat saya ialah supaya mata ibu tadi sembuh dan boleh membaca Al-Quran. Tetapi apabila saya hendak pulang, anak Allahyarham datang menemui sahabat saya tadi dan bertanya sama ada saya mengurus jenazah atau tidak. Kawan saya kata, "Cubalah tanya dia sendiri." Kawan saya ada memberitahu saya dua bulan yang lepas bahawa saya sahaja yang mengadakan kursus dalam hal menguruskan jenazah. Anak Allahyarham menemui saya. Saya beritahu dia bahawa jenazah tidak elok dibiarkan lama-lama.

Saya terus pergi ke rumahnya. Tapi bila saya hampir sampai ke rumah Allahyarham, saya bau jenazah itu sangat busuk. Baunya cukup pelik dan busuk. Saya telah menguruskan banyak jenazah tetapi tidak pernah saya bertemu dengan mayat yang sebusuk ini. Bila saya tengok wajah Allahyarham, sekali lagi hati saya tersentuh. Saya tengok wajahnya seperti sedang dirundung oleh bermacam-macam perasaaan...takut, cemas, kesal dan bermacam-macam lagi. Wajahnya seperti tidak mendapat nur daripada Allah SWT. Kemudian saya pun ambil kain kafan yang dibeli oleh anak Allahyarham dan saya potong-potongkan. Secara kebetulan pula, di situ ada dua orang yang mengikuti kursus pengurusan jenazah yang pernah saya jalankan. Saya ajak mereka membantu saya dan mereka bersetuju. Tetapi semasa memandikan mayat itu, peristiwa pertama berlaku. Untuk makluman pembaca, apabila memandikan jenazah, badan mayat itu perlu dibangunkan sedikit dan perutnya hendaklah diurut urut untuk membolehkan najis keluar. Maka saya pun urut urutkan perut Allahyarham. Tapi apa yang berlaku pada hari itu amatlah mengejutkan. Allah itu Maha Berkuasa kerana pada hari tersebut, najis tidak keluar daripada dubur mayat tadi tetapi melalui mulutnya. "Lain macam saja ni", fikir saya. Lalu saya ubah sedikit teknik dan posisi mayat itu dan saya urut-urutkan lagi perutnya. Tapi najis itu tetap keluar dari mulutnya. Hati saya berdebar-debar. Apa yang sedang berlaku di depan saya ini? Telah dua kali mulut mayat ini memuntahkan najis. Saya harap ia tidak akan berulang lagi kerana saya mahu mengurut perutnya bagi kali yang terakhir. Tiba-tiba ketentuan Allah berlaku. Bila saya urut perutnya, keluarlah daripada mulut mayat itu najis bersama beberapa ekor ulat yang masih hidup. Ulat itu adalah seperti ulat najis. Warnanya putih. Dari mana datangnya ulat itu, jangan tanya saya.

Allahyarham meninggal dunia akibat diserang sakit jantung dan waktu kematiannya dengan waktu saya menguruskan mayatnya cuma lima jam setengah sahaja jaraknya. Aneh, bagaimana dalam tempoh yang sebegitu singkat mayatnya boleh menjadi sedemikian rupa? Saya lihat wajah anak Allahyarham. Mereka seperti terkejut. Mungkin malu, terperanjat dan aib dengan apa yang berlaku pada bapa mereka. Saya tengok dua orang pembantu tadi, mereka juga terkejut dan panik. Lalu saya bacakan doa untuk mengelakkan badi mayat dan sapukan ke muka mereka. Saya kata kepada mereka, "Inilah ujian Allah kepada kita". Kemudian saya minta salah seorang daripada pembantu tadi memanggil kesemua anak Allahyarham. Allahyarham pada dasarnya seorang yang beruntung kerana mempunyai tujuh orang anak, dan semuanya lelaki. Seorang berada di luar negeri dan enam lagi berada di sini. Bila semua anak Allahyarham masuk, saya marahi meraka. Saya mengingatkan mereka bahawa tanggungjawab saya hanyalah membantu menguruskan jenazah bapa mereka, bukan menguruskan sepenuhnya tanggungjawab tersebut. Sepatutnya sebagai anak, merekalah yang lebih afdal menguruskan jenazah bapa mereka itu, bukannya tok imam, tok bilal, tok siak. Saya kata, mungkin satu masa dahulu ibu mereka sibuk maka Allahyarham pernah memandikan mereka. Itulah jasa dan pengorbanan seorang bapa. Tetapi saya kesal kerana dalam saat-saat begini anak-anak Allahyarham tidak langsung hendak membalas jasa bapa mereka itu.

Saya kemudiannya meminta izin serta bantuan mereka untuk menonggengkan mayat itu. Takdir Allah, apabila ditonggengkan sahaja mayat tersebut, tiba-tiba keluarlah ulat-ulat yang masih hidup. Hampir sebesen banyaknya. Besen itu boleh dianggarkan besar sedikit daripada penutup bilah kipas meja. Subhanallah....suasana menjadi semakin panik. Saya terus bertenang dan berharap tidak berlaku lagi kejadian-kejadian yang lebih ganjil. Selepas itu saya mandikan semula mayat tersebut dan saya ambilkan wuduk. Saya minta anak-anaknya mengambil kain kafan. Saya bawa mayat tersebut ke dalam biliknya dan tidak diizinkan seorang pun melihat upacara itu kecuali waris yang terdekat, sebab saya takut perkara-perkara yang lebih aib akan berlaku.

Takdir Allah jua yang menentukan. Apabila mayat ini diletakkan di atas kain kafan, saya dapati kain kafan itu cukup-cukup memarasi hujung kepala dan kakinya, tidak ada lebih. Maka saya tak boleh nak ikat kepala dan kakinya. Tidak keterlaluan kalau saya katakan bahawa kain kafan itu seperti tidak mahu menerima mayat tadi. Tidak apalah, mungkin saya yang silap semasa memotongnya. Lalu saya ambil baki kain, saya potongkan dan tampungkan di tempat-tempat yang kurang. Memang kain kafan jenazah itu jadi tidak berapa elok, tetapi apa nak buat Itu sahaja yang boleh saya lakukan. Pada masa yang sama saya berdoa kepada Allah, "Ya Allah, jangan Kau hinakan jenazah ini ya Allah, cukuplah sekadar peringatan kepada hambamu ini". Selepas itu saya berikan taklimat tentang sembayang jenazah. Tiga kali taklimat diberikan. Yang hadir cuma 13 orang saja.

Selepas menyembahyangkan jenazah tadi, satu lagi masalah timbul. Jenazah itu tidak dapat dihantarkan ke tanah perkuburan kerana tidak ada kereta jenazah. Saya hubungi JAWI, JAIS, Pusat Islam, DBKL, Polis dan sebagainya, tetapi yang peliknya, mereka juga tidak mempunyai kerata jenazah kerana kereta yang ada sedang digunakan. Dalam keadaan itu, seorang hamba Allah muncul menawarkan bantuan. Lelaki itu meminta saya menunggu sebentar untuk membolehkan dia mengeluarkan van dari garaj rumahnya. Kemudian muncullah sebuah van. Tapi ketika dia sedang mencari tempat untuk meletakkan vannya itu di kawasan rumah Allahyarham, tiba-tiba isterinya keluar. Dengan suara yang tegas dia berkata di khalayak ramai, "Abang, saya tak benarkan kereta saya ini digunakan untuk mengangkat jenazah itu sebab semasa hayatnya dia tidak pernah benarkan kita naik keretanya". Renungkanlah, kalau tidak ada apa-apa sebab, tidak mungkin seorang wanita yang lembut hatinya akan berkata demikian. Jadi saya suruh tuan punya van itu membawa vannya balik.

Selepas itu muncul pula seorang lelaki menawarkan bantuannya. Lelaki itu mendakwa dia adalah anak murid saya. Dia meminta izin daripada saya dalam 10-15 minit untuk membersihkan keretanya itu. Dalam jangka waktu yang ditetapkan itu, muncul kereta tersebut. Tetapi dalam keadaan yang basah kuyup. Kereta yang dimaksudkan itu sebenarnya adalah sebuah lori, dan lori itu digunakan oleh lelaki tadi untuk menjual ayam. Renungkanlah, pernahkan kita melihat satu jenazah dibawa ke kubur dengan lori ayam? Dalam perjalanan menuju ke kawasan perkuburan, saya berpesan kepada dua pembantu tadi supaya ahli masyarakat tidak payah membantu kami menguburkan jenazah tadi. Saya suruh mereka pergi kubur saudara mara dan sahabat mereka, itu lebih baik. Saya tidak mahu mereka melihat apa-apa lagi peristiwa ganjil. Rupanya apa yang saya takutkan itu berlaku sekali lagi - takdir Allah yang terakhir amat memilukan. Bila sampai sahaja jenazah tersebut ke kuburnya, saya perintahkan tiga orang anaknya turun ke dalam liang lahad dan tiga lagi turunkan jenazah. Takdir Allah, apabila jasad jenazah itu mencecah sahaja ke bumi, tiba tiba air hitam yang busuk baunya keluar dari celah-celah bumi yang pada asalnya kering. Hari itu tidak hujan, tetapi dari mana datangnya air itu? Sukar untuk saya menjawabnya. Lalu saya arahkan anak Allahyarham supaya sendaikan jenazah bapa mereka dengan kemas. Saya takut nanti ia akan terlangkup....na'uzubillah. Kalau mayat terlangkup, tidak ada harapan untuk mendapat syafaat Nabi saw.

Papan keranda diturunkan dan kami segera kambus kubur tersebut. Selepas itu kami injak-injakkan tanah supaya mampat dan bila hujan ia tidak mendap. Tapi sungguh menyayukan, saya perhatikan tanah yang diinjak itu menjadi becak. Saya tahu, jenazah berkenaan ditenggelamkan oleh air hitam yang busuk itu. Melihatkan keadaan tersebut, saya arahkan anak-anak Allahyarham supaya berhenti menginjakkan tanah itu. Tinggalkan dalam suku meter, timbus dan bataskan. Ertinya kubur itu tidak dikambus hingga ke permukaan lubangnya, tetapi ia seperti kubur berlubang. Tidak cukup dengan itu, apabila saya hendak membacakan talkin, saya tengok tanah yang diinjak itu ada kesan serapan air. Masya-Allah, dalam sejarah hidup saya, inilah julung-julung kalinya peristiwa seperti itu terjadi. Melihatkan keadaan itu, saya mengambil keputusan untuk menyelesaikan pengebumian secepat mungkin. Sejak sekian lama terlibat dalam pengurusan jenazah, inilah mayat yang saya tidak talkinkan. Saya cuma bacakan tahlil dan doa yang paling ringkas. Setelah itu saya pulang ke rumah Allahyarham dan himpunkan keluarganya. Saya bertanya kepada isteri Allahyarham, apakah yang telah dilakukan oleh Allahyarham semasa hayatnya. Adakah dia pernah menzalimi orang alim, mendapat harta secara merampas, menipu rasuah, memakan harta masjid dan anak yatim? Isteri allahyarham tidak dapat memberikan jawapan. Memikirkan mungkin dia malu untuk memberitahu, saya tinggalkan nombor telefon rumah saya. Tetapi sedihnya, sehingga sekarang tidak seorang pun anak-anak Allahyarham menghubungi saya.

Untuk pengetahuan umum, anak-anak Allahyarham merupakan orang-orang yang berpendidikan tinggi sehingga ada seorang yang beristerikan orang Amerika, seorang dapat isteri orang Australia dan seorang lagi isterinya orang Jepun. Saya bertambah sedih apabila dua orang yang membantu saya menguruskan jenazah tadi menelefon saya. Mereka kata mereka menyesal membantu saya menguruskan jenazah Allahyarham kerana anak-anak Allahyarham telah menjadikan mereka sebagai musuh. Saya bertanya, adakah mereka menceritakan kisah itu kepada masyarakat? Mereka kata 'TIDAK'. Peristiwa ini akan tetap saya ingat sampai bila-bila. Kepada masyarakat, tanyalah diri kita adakah kita mahu peristiwa itu terjadi pada diri kita sendiri, ibu bapa kita, anak kita atau kaum keluarga kita? Adakah kita mahu peristiwa ini berlaku berulang-ulang kali sehingga sampai satu masa nanti di mana masyarakat menganggap peristiwa ini sebagai perkara biasa?

*Sumber dari nur-addin.blogspot.com

Penjelasan Isu ' Bughah ' Oleh Mufti Kelantan

Posted: 11 Jan 2014 09:00 PM PST


Pelajar ditangkap laku seks dalam tandas sekolah

Posted: 11 Jan 2014 08:57 PM PST




Tenom: Kegiatan tidak bermoral sepasang kekasih yang juga pelajar tingkatan dua sekolah menengah di sini, yang melakukan hubungan seks di dalam tandas sekolah, terbongkar apabila perbuatan mereka disedari guru disiplin sekolah terbabit, kelmarin.

Dalam kejadian pada kira-kira jam 10.30 pagi, pelajar masing-masing berusia 14 tahun ditahan ketika berada dalam keadaan tidak terurus di dalam tandas sekolah berkenaan oleh guru disiplin yang kebetulan menyedari perbuatan mereka.


Menurut sumber, kejadian berlaku ketika waktu rehat apabila pelajar lelaki itu memanggil teman wanitanya ke tandas untuk melakukan hubungan seks.

"Secara kebetulan guru disiplin sekolah terbabit yang melakukan rondaan melakukan pemeriksaan di tandas berkenaan sebelum menemui pasangan pelajar itu.


"Hasil soal siasat, pelajar lelaki mengaku baru selesai melakukan seks dengan pelajar perempuan dan memaklumkan ia kali ketiga mereka melakukan hubungan seks di dalam tandas sekolah berkenaan," katanya.


Sumber berkata, pihak sekolah kemudian memaklumkan kejadian itu kepada bapa pelajar perempuan sebelum membuat laporan polis.

"Suspek ditahan dan ditahan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tenom untuk siasatan lanjut," katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tenom Deputi Superintendan Mazlan Lazim ketika dihubungi, mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 376, Kanun Keseksaan atas kesalahan merogol.


Harian Metro difahamkan, tandas lelaki di tingkat tiga sekolah berkenaan jarang digunakan pelajar.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pelajarditangkaplakuseksdalamtandassekolah/Article

Tiada ulasan: