Isnin, 27 Januari 2014

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


[EDISI CUAI] Padah Tinggal Anak Dalam Kereta

Posted: 27 Jan 2014 12:15 AM PST

Rembau – Tindakan seorang pemandu meninggalkan dua anaknya dalam kereta mengundang padah, apabila kenderaan itu bergerak dan merempuh sebuah kereta serta pemiliknya, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 10.50 pagi itu di pekan Kota, dekat sini, dua kanak-kanak berusia lingkungan 2 hingga 4 tahun dikatakan ditinggalkan bapanya dalam kereta di sebuahpetak tempat meletak kereta dengan enjin kereta masih dihidupkan, dan salah seorang kanak-kanak terbabit sedang leka bermain di stereng.

Bagaimanapun, secara tiba-tiba kereta itu bergerak ke hadapan sebelum merempuh sisi belakang sebuah kereta jenis sama milik seorang peniaga kuih di gerai berdekatan.

Rempuhan turut mengenai peniaga terbabit, Salimah Arshad, 63, yang ketika itu selesai berniaga dan sedang mengemas gerainya.

Akibat rempuhan itu, Salimah yang cedera dikejarkan ke Klinik 1Malaysia, di sini, sebelum dihantar ke Hospital Tampin untuk rawatanlanjut.

Menantu Salimah, Norliza Omar, 41, berkata, ketika kejadian, dia berada di gerai kuih dan terkejut mendengar bunyi hentaman kuat.

Menurutnya, dia segera memandang kereta yang merempuh itu dan melihat dua kanak-kanak berkenaan sedang memegang stereng. Norliza berkata, ketika kejadian, kereta ibu mertuanya diletakkan secara melintang untuk memasukkan khemah gerai ke dalam kereta.

"Ketika itu, ibu mertua saya baru saja mahu masuk ke tempat duduk pemandu.

Bayangkan, ibu mertua saya tercampak ke pagar. Mujur tak tercucuk pada pagar dawai.

Keretanya juga sudah kemek sedikit akibat rempuhan itu," katanya yang kesal dengan kecuaian pemandu kereta berkenaan meninggalkan anaknya sesuka hati dalam kereta tanpa pengawasan.

Sementara itu, seorang peniaga kedai runcit, Ziyauudeen Mansoor Sahib, 34, berkata, sebaik saja melihat mangsa sudah tercampak, mereka bergegas membantu menyelamatkannya.

"Saya membantu mengangkat mangsa. Mujur ada kakitangan Telekom Malaysia (TM) yang membantu membawa masuk mangsa ke dalam van syarikat untuk di hantar ke klinik," katanya.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, berdasarkan laporan dibuat, pemandu berusia 30-an itu mendakwa kejadian berlaku disebabkan dia tidak menekan brek tangan dengan sempurna.

"Bagaimanapun, polis akan buat siasatan menyeluruh berhubung kejadian ini," katanya. -SH

Kain Rentang Provokasi: Polis Perlu Tangkap Segera Siapa Melakukannya

Posted: 26 Jan 2014 08:10 PM PST

Misteri Kain Rentang Provokasi

KAIN rentang ini digantung di beberapa lokasi di Pulau Pinang iaitu di Gereja Assumptions Conception, Lebuh Farquhar; Gereja St John Britto, Sg Pinang; Gereja Immaculate Conception, Lorong Maktab, Pulau Tikus; Victory Lutheran Church, Lorong Delima 7; dan Island Glade, Gelugor.

Membaca ayat-ayat yang tertera pada kain rentang tersebut pasti menimbulkan kemarahan umat Islam dan pada bila-bila masa boleh mencetuskan ketegangan.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menuduh kain rentang tersebut digantung oleh anasir jahat di luar gereja di negeri itu yang mahu penganut Kristian dan umat Islam bermusuhan.

"These extremist n racist bigot must not succeed," katanya dalam laman Twitternya yang turut menyebut laporan polis mengenai kain rentang itu telah dibuat oleh salah sebuah gereja.

Kata Guan Eng lagi, pihak gereja sangat kesal dengan perbuatan tersebut.

Sementara itu Sin Chew Daily dan beberapa portal berita melaporkan Ketua Pemuda Gerakan Pulau Pinang, Hng Chee Wey mengutuk pihak tidak bertanggungjawab yang memasang kain rentang dengan perkataan berbaur provokatif di beberapa gereja di Pulau Pinang.

Sambil menggambarkan tindakan itu sebagai bermain api, Chee Wey berkata, perbuatan memasang kain rentang tersebut dapat menimbulkan konflik antara agama di negara ini.

"Sekiranya kita mencintai Malaysia, maka semua pihak harus berhenti daripada melakukan tindakan tidak bijak seperti ini.

"Jika tidak, perpaduan negara pasti akan terjejas dan rakyat jelata akan menjadi mangsanya," katanya dalam kenyataan yang dipetik Sin Chew Daily.

Umno Pulau Pinang menyifatkan tindakan menggantung kain rentang berbaur provokasi berhubung kalimah Allah di beberapa kawasan di Pulau Pinang hari ini adalah cubaan untuk mewujudkan keresahan dan ketegangan antara agama di negeri ini.

Sambil mengecam tindakan pihak tidak bertanggungjawab itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Datuk Zainal Abidin Osman berkata pihaknya percaya kain rentang itu adalah tindakan provokatif paling tinggi dan sangat biadap.

Polis Pulau Pinang menyifatkan tindakan pihak tertentu memasang kain rentang yang tertera kalimah Allah sebagai provokasi melampau bagi membangkitkan kemarahan umat Islam.

Sambil menafikan penglibatan pihak gereja dalam perbuatan tidak bertanggungjawab tersebut, Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, pihaknya percaya pemasangan kain rentang itu bertujuan mewujudkan provokasi pihak-pihak tertentu terhadap isu berkenaan.

Katanya, polis sedang menyiasat kejadian tersebut dan rondaan akan dipergiatkan di kawasan-kawasan terlibat khususnya di bandar raya Georgetown yang mempunyai kira-kira 40 buah gereja.

Abdul Rahim berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 4 (1) (A) Akta Hasutan.

"Kita minta semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu ini dan memberi ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan," ujarnya.

ULASAN GB

Oleh kerana laporan polis sudah dibuat, maka menjadi tanggungjawab pihak polis untuk melakukan siasatan serterusnya menangkap pembikin dan penggantung kain rentang provokatif berkenaan.

Ia terlalu merbahaya. Seakan-akan mahu menimbulkan suasana perang di antara penagnut agama Islam dan Kristian di negara ini.

GB tidak mahu membuat spekulasi tetapi GB percaya ada pihak yang melempar batu sembunyi tangan.

Umum mengetahui selama ini melalui tulisan-tulisan di laman sosial dan demo-demo melampau, kumpulan mana sebenarnya yang menimbulkan provokasi dan api perkauman di negara ini.

Polis perlu bertindak tegas, adil dan telus di dalam siasatan insiden berkenaan demi menjaga kredibiliti dan integriti polis.

[VIDEO] Suspek Buang Bayi Dirakam CCTV Diburu

Posted: 26 Jan 2014 04:40 PM PST


Kangar – Polis Perlis memburu suspek yang dipercayai dalang dalam kejadian buang bayi di Masjid Alwi di sini Khamis lalu.

Imej suspek dirakam pada kamera litar tertutup CCTV masjid berkenaan dan kini diteliti polis.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin mengesahkan perkara itu dan kini memburu dua suspek termasuk wanita di dalam video.

Pihaknya memohon bantuan orang ramai yang mengenali suspek wanita yang dirakam itu agar menghubungi balai terdekat.

Sebelum kejadian dua suspek yang juga pasangan remaja lelaki dan wanita dikesan menumpang di masjid berkenaan.

Imej salah seorang daripada mereka dirakam pada CCTV masjid. -HM



Buang bayi di masjid

KANGAR - Bayi perempuan yang cukup sifat ditemui mati di dalam tandas lelaki di Masjid Syed Alwi, di sini pagi semalam.

Lebih menyedihkan, dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mayat bayi berkenaan ditemui seorang pegawai tentera dalam keadaan tidak berpakaian mahupun selimut.

Menurut pengawal keselamatan masjid, Mohd Nazreen Mohd Ramli, 25, sebaik sahaja pegawai tentera tersebut memberitahu mengenai mayat itu, dia segera ke tandas untuk melihatnya.

"Bayi itu sudah cukup sifat dan keadaannya bersih, cuma tali pusat belum dipotong," katanya ketika ditemui di masjid berkenaan, semalam.

Mereka kemudiannya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar untuk membuat laporan.

Mohd Nazreen memberitahu mayat bayi itu berkemungkinan diletakkan pada waktu subuh semasa orang ramai sedang menunaikan solat.

Menurutnya, pada kira-kira jam 9.30 malam kelmarin, sememangnya ada pasangan yang mendakwa sebagai suami isteri mahu menumpang tidur di masjid berkenaan.

"Saya tak syak apa-apa apabila melihat mereka membawa beg pakaian serta kelihatan letih.

"Hanya yang wanita saya benarkan tidur di dalam masjid manakala lelaki itu tidur di luar. Kemudian, lebih kurang jam 6.50 pagi saya lihat mereka keluar berjalan kaki," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Kangar Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin berkata bayi itu dipercayai dilahirkan dalam usia kandungan antara tujuh atau lapan bulan.

Kata Abdul Rahman bayi perempuan itu berkemungkinan dilahirkan di tempat lain sebelum ditinggalkan di dalam tandas berkenaan.

"Hasil laporan bedah siasat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) mendapati bayi tersebut meninggal dunia sebelum dilahirkan.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan jalan membuang mayat secara sulit," jelas beliau.
-SH (24/1/14)


Tiada ulasan: