Sabtu, 25 Januari 2014

DUNIACACAMARBA

DUNIACACAMARBA


Budak 13 Tahun Diculik dan Diperkosa Sekumpulan Lelaki

Posted: 25 Jan 2014 12:11 AM PST


[SH] PARIT BUNTAR - Seorang gadis berusia 13 tahun menempuh detik hitam apabila diculik dan dirogol empat lelaki di sebuah rumah kosong di Jalan Abdul Raof, di sini, ketika pergi ke kedai runcit pada 15 Januari lalu.

Ketika kejadian, remaja berkenaan dalam perjalanan ke sebuah kedai runcit yang terletak beberapa meter dari rumahnya.

Kumpulan lelaki itu kemudian meninggalkan mangsa di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, mangsa ditemui rakannya tidak memakai selipar dan pakaiannya berlumpur sebelum dibawa balik ke rumah kakaknya.

"Mangsa pengsan sebaik sahaja tiba di rumah dan keluarganya membawa mangsa ke Hospital Parit Buntar.

"Selepas sedar, remaja itu menceritakan telah dikejar empat lelaki ketika menuju ke sebuah kedai runcit pada kira-kira jam 7.50 malam, hari kejadian.

"Mangsa mendakwa diculik dan dibawa ke sebuah rumah kosong berhampiran premis cuci kereta dan dirogol kumpulan lelaki terbabit," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian, di sini.

Mat Fauzi berkata, polis menerima laporan daripada kakak mangsa kira-kira jam 8 malam.

Menurutnya, siasatan polis di tempat kejadian menemui sekeping papan mempunyai kesan darah dan ia dihantar ke Jabatan Kimia untuk siasatan.

"Hasil tinjauan polis di lokasi kejadian mendapati kawasan di situ agak semak, sunyi dan gelap. Rumah terdekat terletak pada jarak 20 meter," katanya.

Mat Fauzi berkata, seorang suspek dikenal pasti dan ditahan membantu siasatan kes itu.

"Suspek berumur 22 tahun ditahan dan merupakan penduduk tempatan,"katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan atas kesalahan merogol dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan hukuman sebat. - KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN/25/1/14


Pengurus Restoran Bersalah Rogol Gadis Bawah Umur yang Dikahwininya Kemudian

Posted: 24 Jan 2014 05:51 PM PST


[Bernama] KOTA KINABALU – Mahkamah Sesyen di sini hari ini mendapati pengurus restoran, Riduan Masmud, bersalah kerana merogol seorang gadis bawah umur yang kemudian dikahwininya.

Bagaimanapun Hakim Ummu Khaltom Abd Samad menetapkan Isnin depan untuk menjatuhkan hukuman terhadap Riduan.

Ummu Khaltom berkata hukuman ditangguhkan sementara meneliti hujahan bertulis daripada kedua-dua pihak.

Riduan, 40, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan merogol pelajar perempuan berumur lingkungan 12 tahun sekitar 9 pagi hingga 10 pagi di dalam sebuah kereta di tepi jalan dekat kawasan Air Terjun Kionsom di Inanam pada 18 Feb tahun lepas.

Dia berdepan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan.

Pada 20 Mei tahun lepas, Riduan memberitahu mahkamah dia sudah mengahwini gadis itu.

Bagaimanapun, pada 6 Jun, Jabatan Peguam Negara berkata pendakwaan terhadap pengurus restoran itu akan diteruskan.

Pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharuddin manakala Riduan diwakili peguambela Y.S. Lo dan Timothy Daut.

Hadir selaku peguam pemerhati ialah Mary Lee bagi Kumpulan Daya Tindakan Wanita Sabah (SAWO), Pusat Kesedaran Wanita Pulau Pinang (WCC Pulau Pinang), Sisters in Islam dan Mama Anne of Bukit Harapan, serta peguam Mary Florence Gomez bagi Persatuan Undang-undang Sabah dan Suara Kanak-kanak Malaysia. – 24/1/14


Pelajar Dirogol Tiga Kenalan

Posted: 24 Jan 2014 05:48 PM PST

Sekadar hiasan.

[SH] KOTA BHARU - Malang tidak berbau. Seorang gadis berusia 16 tahun, dirogol bergilir-gilir oleh tiga lelaki yang dikenali, selepas dipaksa menaiki motosikal di Kok Lanas di sini, Rabu lalu.

Mangsa yang merupakan pelajar sebuah sekolah di Kok Lanas, ditahan dua suspek yang menaiki motosikal dengan menghalang jalan mangsa yang ketika itu dalam perjalanan ke sekolah kira-kira jam 7.20 pagi.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, mangsa yang mengenali kedua-dua suspek, dipaksa menaiki motosikal yang ditunggang oleh salah seorang dari mereka.

"Mereka kemudiannya membawa mangsa ke sebuah bangsal di kawasan tali air dan salah seorang suspek bertindak meraba payudara mangsa.

"Perlakuan kedua lelaki itu tidak berhenti di situ, malah membawa mangsa ke rumah kawan mereka yang tinggal berdekatan dan di rumah itu mereka bertindak merogol mangsa bergilir-gilir dalam sebuah bilik di rumah terbabit," katanya kepada media di sini.

Azham berkata, selepas kejadian itu, mangsa berjaya melarikan diri dan pulang ke rumah dan menceritakan kepada bapanya mengenai kejadian dia dirogol oleh ketiga-tiga suspek.

"Bapa mangsa membawanya ke balai polis dan membuat laporan mengenai kejadian itu.

"Buat masa ini, kesemua suspek sudah dikenal pasti dan pihak polis akan membuat tangkapan terhadap suspek untuk tindakan lanjut," katanya.

Kes disiasat di bawah seksyen 376 Kanun Keseksaan (KK) kerana merogol gadis bawah umur. - 25/1/14


'Jangan guna kalimah ALLAH ganti God' -TGNA

Posted: 24 Jan 2014 04:45 PM PST


[SH] KOTA BHARU - Masyarakat bukan Islam di negara ini tidak boleh sesekali menggunakan kalimah ALLAH sebagai menggantikan perkataan God sebagaimana yang terdapat dalam kitab mereka khususnya Bible, tegas Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Menurutnya, perkataan God dalam kitab itu lebih tepat diterjemah kepada perkataan 'tuhan' bukannya ALLAH sebagaimana desakan sesetengah pihak.

"Tetapi yang menjadi masalah sekarang kerana ada orang mahu God diterjemah kepada ALLAH, ini tidak betul, God maknanya Tuhan, ia bukan bermakna ALLAH, ALLAH lain, tuhan lain, tuhan terlalu banyak, ada orang bertuhankan harta.

"Tuhan yang sebenar adalah ALLAH, tetapi God dalam bahasa Inggeris itu tidak boleh diterjemah kepada ALLAH, sebaliknya tuhan. Nama apa tuhan?

"ALLAH nama sebenarnya. Nabi Isa bukan tuhan, Siti Maryam tidak tuhan, (Malaikat) Jibril tidak tuhan, ALLAH itu nama-Nya, sifatNya ada 99, orang tidak boleh kenal ALLAH melainkan melalui nama-nama-Nya," katanya ketika menyampaikan Kuliah Jumaat di Medan Ilmu.


Menurutnya, masyarakat Arab jahiliyah di Makkah menggunakan kalimah ALLAH sebelum kelahiran Nabi Muhammad SAW lagi, malah sekarang orang Cina pun selalu menyebut Alhamdulillah, Insya ALLAH selaligus membuktikan kalimah ALLAH sudah jadi sebutan untuk semua tanpa mengira Islam atau kafir.

Bagaimanapun katanya, walaupun kini kalimah ALLAH itu menjadi lafaz 'biasa' dalam kegiatan seharian masyarakat termasuk orang bukan Islam, namun ia tidak boleh disamakan dengan tuhan yang dirujuk dalam fahaman agama mereka.

Dalam pada itu, Nik Abdul Aziz enggan mengulas lanjut mengenai isu kalimah ALLAH sebaliknya hanya mengulangi sokongannya terhadap keputusan Majlis Syura Ulama Pas pada Januari tahun lalu.

Isu kalimah ALLAH hangat kembali berikutan tuntutan Pengarang The Herald, Paderi Lawrence Andrew yang berkeras mahukan semua gereja Katolik di Selangor menggunakan kalimah ALLAH dalam perhimpunan mingguannya sebelum mengundang kemarahan umat Islam.

Mesyuarat Majlis Syura Ulama Pas pada 13 Januari tahun lalu sebulat suara memutuskan ALLAH adalah kalimah suci iaitu ALLAH Yang Esa, tunggal, tidak beranak dan tidak diperanakkan.

Majlis Syura Ulama ketika itu turut menegaskan bahawa kalimah ALLAH adalah kalimah khusus dan tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa dunia kerana tidak menepati kehendak sebenar kalimah tersebut, begitu juga sebaliknya. - 25/1/14


P/s: Penjelasan yang lebih "direct" daripada kenyataan berlapik Majlis Syura sebelum ini. Kalimah Allah boleh digunakan namun tidak boleh disalahgunakan.


Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib Kembali ke Rahmatullah

Posted: 24 Jan 2014 03:42 PM PST



[HD] KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib kembali ke rahmatullah di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu pada jam 12.05 tengah malam ini.

Demikian dimaklumkan oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali kepada Harakahdaily sebentar tadi.

Katanya, perkara itu dimaklumkan kepada beliau oleh anak Allahyarham.

Sementara itu, Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri memberitahu jenazah Almarhum Ustaz Harun dijangka disolatkan pada jam 10 pagi nanti di Markas Tarbiyah Kubang Lembik, Manir, Kuala Terengganu.

Sehubungan itu, beliau menjemput seluruh ahli PAS agar beramai-ramai hadir mendoakan kebaikan untuk almarhum.

"Moga Allah merahmati roh beliau dan meletakkan beliau bersama roh para nabi, siddiqin, syuhada dan solihin," ujarnya dalam satu kenyataan ringkas kepada Harakahdaily.

Bagi pihak Dewan Ulamak PAS Pusat dan seluruh jawatankuasanya, beliau mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga almarhum. 

"Jasa dan amal perjuangan dakwah almarhum sepanjang berkecimpung dalam gerakan Islam seawal remaja sehingga ke akhir hayat insya Allah diganjari dengan yang terbaik oleh Allah subhanahu wa taala," ujarnya lagi.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Ustaz Satiful Bahri Mamat dan seluruh kepimpinan PAS negeri turut mengucapkan takziah kepada keluarga almarhum, semoga bersabar dan tabah dalam menghadapi dugaan Allah tersebut. - 25/1/14


P/s: Takziah. 

Tiada ulasan: