DIALOG RAKYAT |
- Kes penggubahan wang haram RM6 juta: Pegawai kanan polis dipindahkan
- Ketika rakyat diminta berjimat, menteri buat parti hari jadi mewah
- Kalimah Allah: UMNO Sepatutnya Berdemo Di Depan Seri Perdana
- Kereta rasmi Guan Eng dibeli dengan diskaun 55%
- Kementerian Pendidikan Akan Siasat Kenaikan Harga Di Kantin Sekolah - Idris
- Mercedes: SPRM sambut baik pendirian Guan Eng
- Najib sudah hilang segala-galanya, ubahlah
- Jamaluddin, Ong dan Samy hanya 'habiskan beras negara'
- 'K'jaan gagal bersuara isu demo depan gereja'
- 'Kita cuma halang demo depan gereja'
- Pemilik akaun Facebook minta maaf
- Selepas tidak bersetuju dengan Jais, Utusan lagakan Mujahid dengan PAS
- Siapa Abdullah Hukum?
- Perkasa bantah Hard Rock Cafe di Putrajaya
- Sambut 2014 bukan dengan azam baharu
- Hari di mana pegawai agama mengawal agama lain di Malaysia
- Sekat media, gantung The Heat, demokrasi terbaik di dunia? – Lim Kit Siang
- Lagi Laporan Polis Terhadap Harussani
- Marina Mahathir sertai himpunan pertahan penganut Kristian
- 'Bapa Tuhan Allah' berkumandang di gereja Klang
- Harga barang: K’jaan perlu tegas bukan sekadar beri amaran
- Hard rock di Putrajaya, tarikan atau kehidupan bebas?
- Barang naik, salahkan tangan memangkah BN
- Islam tidak hebat dengan halang agama lain
- TMM 2014: Malaysia Sudah Sedia 'Pukau' Pelancong - Muhyiddin
Kes penggubahan wang haram RM6 juta: Pegawai kanan polis dipindahkan Posted: 05 Jan 2014 03:58 PM PST The Malaysian Insider difahamkan, perpindahan itu bertujuan untuk menghentikan beliau daripada terlibat dengan kerja "barisan hadapan" sehingga siasatan kes rasuah itu selesai. Sumber berkata, pegawai kanan itu dipindahkan serta merta ke Sekretariat Polis, Bukit Aman. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 26 Disember lalu mengesahkan seorang pegawai kanan polis bergelar "datuk" telah memberikan kenyataan berkaitan kes penggubahan wang haram bernilai RM6 juta. Pengarah Siasatan SPRM Datuk Mustafa Ali (gambar) berkata, pegawai polis itu telah memberikan kenyataannya di ibu pejabat suruhanjaya itu di Putrajaya seminggu sebelum itu. "Kami memanggil pegawai kanan polis itu untuk diambil kenyataannya. Dia memberikan kerjasama yang baik dan kami merekodkan kenyataannya. Tiada tangkapan dibuat," katanya. Pegawai itu adalah seorang daripada kira-kira 40 anggota polis yang sedang disiasat kerana penggubahan wang haram yang diperolehi daripada sindiket pelacuran, kata sumber kepada The Malaysian Insider. Adalah difahami SPRM telah memperluaskan siasatan mereka termasuk penggubahan wang haram dan rasuah oleh beberapa dozen polis di seluruh negara. "Mereka disiasat kerana penggubahan wang haram dan sekurang-kurangnya rasuah," kata sumber kepada The Malaysian Insider. "Polis ini boleh didakwa kerana jenayah itu, bergantung kepada bukti nanti," kata sumber itu. Sumber lain memberitahu, penggubahan wang haram melibatkan jutaan ringgit mula disedari selepas satu kejadian tembak menambak dengan penjenayah pada tahun 2013 lalu dimana beberapa gangster yang disyaki ditembak mati di beberapa bandar utama. "Kami menyiasat kaitan antara penggubahan wang haram dengan kejadian tembak menembak itu," kata sumber. Pada November lalu, sebuah akhbar harian melaporkan bahawa tiga pegawai berpangkat timbalan penguasa, penolong penguasa dan sarjan telah ditangkap secara berasingan oleh SPRM dan semasa tangkapan itu, mereka menemui RM500,00 tunai, jam Rolex dan barang kemas. Dua daripada pegawai yang ditahan itu telah dipindahkan ke Johor dan yang ketiga ke Negeri Sembilan, katanya dengan menambah salah seorang daripada mereka terlibat dengan penggubahan wang haram bernilai RM1.7 juta dan yang lain RM4.3 juta. | ||
Ketika rakyat diminta berjimat, menteri buat parti hari jadi mewah Posted: 05 Jan 2014 03:55 PM PST Beberapa menteri terus hidup dalam kemewahan ketika Putrajaya memotong bajet dan meminta rakyat mengetatkan tali pinggang mereka dan berjimat cermat dalam menghadapi kos hidup yang meningkat dan pengurangan subsidi tahun ini. Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menganjurkan parti hari jadi yang "mewah" di sebuah hotel lima bintang dekat Kuala Lumpur semalam yang tetamunya mendakwa menjadi sambutan Tahun Baru. Seorang lagi menteri telah membuat sambutan perkahwinan dua hari untuk anak beliau di satu lagi hotel lima bintang di ibu Kuala Lumpur bulan lepas, diserikan oleh kerabat diraja dan orang kenamaan dan telah dihiburkan oleh penyanyi wanita dari Indonesia. Beberapa penulis blog pro-Umno pula mempertikaikan keperluan Jabatan Perdana Menteri memiliki dua jet VIP selepas ia mendedahkan bahawa Putrajaya menghabiskan RM180 juta untuk mengekal dan mengendalikan jet kerajaan untuk perjalanan rasmi pada tahun 2012. Tetapi majlis makan tengahari semalam yang diadakan selepas Putrajaya mengumumkan 11 langkah untuk mengurangkan perbelanjaan awam, yang melibatkan pemotongan untuk hiburan dan pengangkutan elaun menteri dan pegawai tinggi kerajaan selain daripada membekukan permintaan pengubahsuaian pejabat amat menjolok mata. Menerima maklumat mengenai majlis makan tengahari itu, The Malaysian Insider telah melawat hotel terkenal itu di mana semua tetamu dan yang menyambut ulang tahun berpakaian merah sebagai tema parti itu. Tetamu Ahmad Zahid memenuhi ruang makan di dewan tarian utama hotel ini manakala dia bercampur dengan mereka, termasuk beberapa pegawai kanan kerajaan yang telah dijemput melalui e-mel yang ditunjukkan kepada The Malaysian Insider. Naib Presiden Umno ini tersenyum lebar sambil berjabat tangan dengan semua yang hadir selepas parti berakhir, sementara kereta-kereta mewah dengan pemandu berbaris di depan hotel, menyebabkan lalu lintas tersekat selepas dihentikan oleh Porsche Cayennes hitam dan Toyota Alphards yang diletakkan di tepi jalan. The Malaysian Insider cuba untuk bercakap dengan Ahmad Zahid tetapi dihalang oleh pengawal peribadi beliau dan diminta untuk meninggalkan majlis atau diiring keluar. Tidak diketahui siapakah yang membuat bayaran untuk parti Ahmad Zahid ini, ataupun kenapa tema merah dipilih, tetapi tetamu beliau berpakaian terbaik mereka dengan beg tangan berjenama dan totes di tangan. Tetamu memberitahu The Malaysian Insider bahawa parti itu telah disambut untuk dua hari jadi, Ahmad Zahid dan cucu beliau yang jatuh pada hari yang sama tetapi juga menegaskan bahawa ia adalah sebuah parti Tahun Baru sebagaimana yang terpampang di latar belakang pentas. Jemputan juga telah dihantar melalui e-mel pada hari Jumaat kepada pegawai Kementerian Dalam Negeri yang terpilih. E-mel yang bertajuk "Sambutan Hari Jadi Menteri Dalam Negeri", juga termasuk nota jemputan kepada menteri Kabinet dan ahli Majlis Tertinggi Umno. Parti hari jadi mewah dan perkahwinan mewah anak perempuan menteri hatta kereta baru Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng datang pada ketika kebanyakan rakyat Malaysia merungut tentang kenaikan harga untuk elektrik, makanan, bahan api dan juga kos persekolahan. Harga bahan api, gula dan tarif elektrik naik selepas Putrajaya memotong subsidi manakala tambang pengangkutan awam akan meningkat pada tahun ini. Cukai barangan dan perkhidmatan (GST) juga akan diperkenalkan pada tahun 2015. Perbelanjaan kerajaan melonjak dengan bajet tahun ini sehingga RM264.2 bilion berbanding tahun lepas RM251.6 bilion di tengah-tengah kebimbangan bahawa Putrajaya tidak mengurangkan perbelanjaan walaupun meminta orang ramai untuk berbuat demikian. Rakyat Malaysia juga mencemuh pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa Putrajaya akan melaksanakan 11 langkah-langkah penjimatan untuk mengurangkan perbelanjaan pada tahun 2014. Pakar ekonomi Najib, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar telah pun menasihatkan pengguna untuk berbelanja dengan bijak dan mencari alternatif. Bekas pegawai bank itu berkata rakyat Malaysia perlu berjimat cermat dan hidup mengikut kemampuan mereka. "Saya pergi ke pasar setiap minggu. Saya tahu bahawa harga barangan keperluan asas adalah tinggi, tetapi pengguna mempunyai pilihan dalam apa yang mereka membelanjakan wang mereka," beliau dipetik sebagai berkata dalam laporan berita. | ||
Kalimah Allah: UMNO Sepatutnya Berdemo Di Depan Seri Perdana Posted: 05 Jan 2014 03:45 PM PST shahbudindotcomPepatah orang tua-tua ada menyebut, sesat di tengah jalan, kembalilah ke pangkal jalan. Pepatah ini membawa makna yang cukup mendalam dan signifikan dengan kehidupan seharian kita. Apabila kita sesat di tengah hutan dan hilang punca arah tujuan, jalan paling selamat ialah carilah jalan di mana kita bermula. Dalam kehidupan seharian juga begitu sebenarnya. Apabila kita hilang punca untuk menyelesaikan sesuatu perkara atau masalah, cubalah cari di manakah puncanya. Hanya dengan mengetahui punca dan di mana bermulanya sesuatu masalah itu, barulah sebarang kekusutan dapat dirungkai dan diatasi. Begitu juga dalam isu kalimah Allah yang kembali menghangatkan persekitaran kita sekarang ini. Sekarang ini bukan saja berlaku berbalas-balas kenyataan dalam media untuk mempertahankan pendirian masing-masing, malah sudah merebak sehingga mahu mengadakan demontrasi di depan gereja. Tidak mustahil jika demonstrasi di depan gereja dibenarkan, selepas ini akan berlaku demo di depan masjid oleh bukan Islam pula. Dalam masa yang sama, perasaan curiga-mencurigai mula bercambah dan akan terus menebal antara penganut Islam dan Kristian di negara ini. Walaupun demonstasi yang dirancang oleh UMNO Selangor di depan sebuah gereja di Kelang dibatalkan dan digantikan dengan demonstrasi di padang Kelab Sultan Sulaiman, Kelang dan hanya dihadiri sejumlah kecil daripada beberapa NGO dan kalangan pemimpin UMNO Selangor juga, hakikatnya keharmonian antara Islam dan Kristian sudah tercemar. Berbalas kenyataan, berdemonstrasi dan saling tuduh-menuduh tidak akan menyelesaikan pertikaian mengenai penggunaan nama Allah ini jika punca masalahnya tidak dicari. Jika kita imbas kembali punca pertikaian penggunaan nama Allah ini adalah berpunca daripada kelemahan kerajaan dan sikap dua wajah Najib sendiri dalam menangani isu ini. Hanya kerana kelemahan, tidak tegas dan terlalu terdorong untuk mendapatkan undi daripada penganut Kristian di Sabah dan Sarawak, semua pihak menanggung sengsara dan derita yang berpanjangan. Ketika majalah The Herald dilarang menggunakan nama Allah dalam penerbitannya, dalam masa yang sama Najib, kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri membenarkan pula Bible dalam bahasa Melayu yang turut mengguna-pakai nama Allah untuk diedarkan dan dibaca di kedua-dua negeri itu. Apakah di mata kerajaan Allah di Semenanjung berbeza dengan Allah di Sabah dan Sarawak? Tidak cukup dengan itu, penganut agama Kristian di Sabah dan Sarawak juga dibenarkan menggunakan nama Allah dalam amalan seharian mereka. Sebelum itu, beratus ribu naskhah Bible terkandas kerana disekat oleh KDN, dan memanglah diakui disebabkan kebenaran yang diberi sebelum pilihanraya itulah yang menjadi antara sebab BN terus mendapat sokongan di kedua-dua negeri itu. Dalam penyelesaian 10 Perkara juga terkandung bahawa sementara pengedaran Bible dalam bahasa Melayu di Malaysia Timur adalah dibenarkan tanpa sebarang sekatan, di Malaysia Barat pula ia mestilah mempunyai tanda salib dan perkataan "penerbitan Kristian" yang secara jelasnya menggambarkan tahap tolenransi kerajaan sendiri. Oleh itu, apabila The Herald dilarang menggunakan nama Allah dan keputusan mahkamah juga sehingga ini berpendapat demikian sedangkan di ketika yang sama ada pula kebenaran dan kelonggaran daripada Najib dan kerajaan sendiri terhadap penggunaan nama Allah ini, sudah tentulah kekeliruan akan timbul. Sebelum kita menyalahkan Persatuan Bible Malaysia yang diserbu JAIS kerana didakwa memiliki kitab Bible berbahasa Melayu yang tertulis nama Allah didalamnya, kita haruslah sedar siapakah yang membenar dan meluluskannya? Ketika kelulusan itu diberi Najib adalah Perdana Menteri manakala menteri KDN ketika itu ialah Hishammuddin, sepupu Najib sendiri. Sekarang pula, menteri KDN ialah Zahid Hamidi, kenalan rapat Najib sejak zaman Pemuda UMNO lagi. Begitu juga, sebelum kita mahu mendesak pengarang The Herald agar jangan menggunakan nama Allah, selidiklah dahulu siapakah yang membenarkan penganut Kristian di Sabah dan Sarawak menggunakan nama Allah? Mekipun ada pertikaian tentang penggunaan nama Allah ini di kalangan orang Islam sendiri, tetapi pertelingkahan yang berlaku antara Islam dan Kristian ini adalah berpunca daripada kelemahan, sikap tidak tegas dan pendirian dua wajah Najib dan kerajaan sendiri mengenainya. Sekiranya sejak dari awal masalah ini timbul, Najib dan kerajaan menunjukkan ketegasan dan pendirian yang satu dan tidak dipengaruhi oleh faktor untuk mendapat sokongan di Sabah dan Sarawak manakala di Semenanjung pula lebih untuk menonjolkan sebagai pejuang dan pembela kalimah Allah agar tidak kehilangan undi Melayu, masalah ini tidak akan belarutan sehingga kini. Kepada UMNO, khususnya UMNO Selangor yang terlihat cuba menjadi hero dalam isu ini, beberapa NGO dan sesiapa saja yang mahu mempertahankan kalimah Allah ini dengan berdemontrasi di mana-mana padang atau tanah lapang, mereka sepatutnya melakukannya di depan pejabat Perdana Menteri atau Seri Perdana kerana di situlah bersarang punca masalahnya. Jika tidak cukup, bolehlah juga berdemontasi di depan pejabat KDN atau di depan rumah menterinya yang turut mempunyai saham dalam masalah yang berlaku ini. Tidak guna melalak,menjerit dan berdemontasi di tempat-tempat lain atau menuding jari kepada pihak-pihak lain selagi ketegasan, kelemahan dan sikap dua wajah Najib dalam isu ini tidak diperbetulkan terlebih dahulu. Dalam hal ini, walaupun tidak menyebut Najib sebagai sasarannya, Marina Mahathir yang turun memberi sokongan kepada penganut agama Kristian semata-mata untuk menunjukkan Islam adalah agama perdamaian, turut meluahkan rasa kesalnya dengan berkata, "pemimpin kita tidak harus diam. Mereka harus ada di sini. Mereka sepatutnya menjadi lebih baik daripada kami". Jelas dan tidak dapat disangkal bahawa punca masalah ini adalah Najib bersama sikap lemahnya. Pepatah lama "sesat di tengah jalan, kembalilah ke pangkal jalan" adalah kaedah paling mudah untuk menyelesaikan isu kalimah Allah ini. Negara memerlukan pemimpin yang berani, tegas, tetap pendirian dan tidak mempunyai dua wajah, jika tidak kita akan terus dihadapkan dengan pelbagai isu dan kemelut yang tidak kunjung padam sampai bila-bila. | ||
Kereta rasmi Guan Eng dibeli dengan diskaun 55% Posted: 05 Jan 2014 03:40 PM PST HARAKAHDAILY KUALA LUMPUR: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengalu-alukan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap isu pembelian Mercedes-Benz S300L untuk kegunaan rasmi beliau dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi membantu siasatan. Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan semalam, Guan Eng yakin kerajaan negeri pimpinannya bersih dan beliau tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan. Kereta rasmi untuk kegunaannya itu, jelas Guan Eng dibeli dengan diskaun 55 peratus dan tidak melebihi harga pasaran apatah lagi membazirkan wang rakyat. Sehubungan itu, kerajaan negeri jelasnya telah menjimatkan RM358,954.25 wang negeri hasil daripada diskaun yang diperolehi. Kereta Mercedes Benz S300L model 2012 itu dibeli kerajaan negeri pada harga RM298, 263.75 berbanding harga asal RM657, 218.00. "Saya mengalu-alukan sebarang siasatan yang dicadangkan oleh SPRM seperti yang dilaporkan oleh portal berita Fz.com… Sama ada SPRM akhirnya akan menyiasat atau tidak, kerjasama sepenuhnya akan diberikan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang…" ujarnya. Menurut Guan Eng, pembelian kereta rasmi itu dikendalikan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mokhtar Mohd Jait dengan mematuhi semua prosedur dan undang-undang serta mempunyai dokumen yang sah. Beliau turut membandingkan pembelian kereta rasmi itu dengan kes pembelian 14 kereta Mercedes E200 dengan harga RM 245,000 seunit oleh Kerajaan Negeri Terengganu pada tahun 2008 dengan kos keseluruhan RM 3.43 juta. " Mereka (Kerajaan Terengganu) tidak mendapat diskaun 55 peratus untuk 14 buah kereta Mercedes, tidak seperti diskaun 55 peratus yang diperolehi oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang apabila membeli sebuah kereta Mercedes Benz," ujarnya. Ekoran keghairahan media massa pro-BN mempolemikkan isu pembelian kereta rasmi untuk kegunaan beliau, Guan Eng meminta semua pihak agar meneliti Laporan Ketua Audit Negara 2012 menyatakan wujud pembaziran dan salahlaku wang negara berjumlah RM6.5 bilion membabitkan agensi kerajaan pusat antaranya:
| ||
Kementerian Pendidikan Akan Siasat Kenaikan Harga Di Kantin Sekolah - Idris Posted: 05 Jan 2014 03:32 PM PST MSTAR ONLINE BESUT: Kementerian Pendidikan akan menyiasat dan menyemak harga makanan dan minuman di kantin sekolah di seluruh negara bagi memastikan tiada kenaikan melampau dilakukan pengusaha kantin yang boleh membebankan ibu bapa mahupun pelajar. Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh berkata siasatan itu akan dilakukan satu jawatankuasa yang akan dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tan Sri Abd Ghaffar Mahmud. Bagaimanapun setakat ini, katanya pihak kementerian tidak menerima sebarang aduan atau laporan rasmi daripada pentadbir sekolah mahupun ibu bapa mengenai perkara itu. "Pengusaha kantin sekolah tidak sepatutnya menaikkan harga makanan dan minuman yang dijual atas alasan kenaikan harga beberapa jenis barangan terutamanya gula hingga membebankan pelajar," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Tok Has di sini, Ahad. Dalam perkembangan lain, Idris berkata kementerian akan berusaha mencari jalan terbaik bagi meringankan beban para guru yang tidak berjaya mendapat kelulusan pertukaran balik ke negeri masing-masing sebagaimana keputusan dikeluarkan oleh kementerian baru-baru ini. Katanya, pihak kementerian tidak dapat memenuhi permintaan mereka kerana tiada kekosongan dengan memberikan contoh di Kelantan yang mempunyai kelebihan 30,000 guru manakala di Terengganu dan Kedah pula masing-masing mempunyai kelebihan 10,000 orang. Antara masalah lain ialah ialah mereka yang memohon balik ke negeri-negeri berkenaan tidak memenuhi kekosongan opsyen (aliran) yang diperlukan di negeri berkenaan, katanya. "Mereka memang wajar dibantu tetapi kena ingat kerana masih ramai memohon dari aliran Bahasa Melayu manakala keperluan ialah untuk mengajar Bahasa Inggeris dan dari kalangan yang mengajar Sejarah tetapi keperluan pula untuk mata pelajaran Sains," katanya. Idris berkata satu mesyuarat peringkat kementerian akan diadakan pada pertengahan bulan ini bagi membantu guru yang mempunyai alasan kukuh untuk bertukar seperti ibu atau ayah yang sakit, hendak bersama isteri atau suami yang telah lama tinggal berasingan dan berjauhan dan juga kerana masalah keselamatan atau sakit. Sementara itu, beliau meminta semua Anggota Parlimen, Anggota Dewan Undangan Negeri, Pentadbiran Daerah maupun Pengetua dan Guru Besar memastikan tiada pelajar yang tercicir dari persekolahan kerana faktor miskin. "Sekiranya ada, saya minta pentadbir sekolah segera membuat laporan kepada KPM di samping memaklumkan juga kepada Ahli Parlimen, Adun, Pegawai Daerah dan Pegawai Pendidikan Daerah supaya ia dapat diatasi segera," katanya. - BERNAMA | ||
Mercedes: SPRM sambut baik pendirian Guan Eng Posted: 05 Jan 2014 03:30 PM PST KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengulangi tidak pernah mengeluarkan kenyataan bahawa SPRM sedang menyiasat isu pembelian Mercedes-Benz S300L oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Justeru, SPRM dalam satu kenyataan hari ini menafikan ada menjalankan sebarang siasatan buat masa sekarang. Sementara SPRM menyambut baik pendirian Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang mengalu-alukan sebarang siasatan isu pembelian Mercedes-Benz S300L oleh kerajaan negeri itu, SPRM juga ingin membetulkan kenyataan yang beliau keluarkan semalam. "Dakwaan bahawa tiada tindakan yang diambil oleh SPRM dalam isu dakwaan pembaziran wang rakyat yang melibatkan kerajaan BN, sebagaimana dibentangkan oleh Laporan Ketua Audit Negara 2012, SPRM menegaskan kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang itu tidak benar dan tidak berasas sama sekali," tambah kenyataan itu. Sambil SPRM mengalu-alukan apa jua pandangan konstruktif, SPRM juga berharap Lim Guan Eng meneliti Laporan Tahunan-Laporan Tahunan SPRM dan juga Laporan Tahunan-Laporan Tahunan Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) dikeluarkan sebelum ini, yang turut diedarkan kepada Ahli-Ahli Parlimen. Menurut kenyataan itu, kKedua-dua dokumen ini turut memperincikan tindakan yang telah diambil oleh SPRM ke atas isu-isu berkaitan dengan Laporan Ketua Audit Negara. Kenyataan-kenyataan SPRM, laporan tahunan SPRM dan laporan tahunan JKMR, yang dianggotai Ahli-Ahli Parlimen sendiri, menunjukkan SPRM telah mengambil tindakan wajar secara bebas, telus dan profesional ke atas perkara-perkara yang dibangkitkan oleh Laporan Ketua Audit Negara, termasuk yang terbaru dikeluarkan awal Oktober 2013. Sekurang-kurangnya 15 perkara yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012 telah pun dibuka kertas siasatan dan sedang disiasat. Tambah kenyataan itu, tindakan-tindakan yang diambil, sama ada tuduhan di mahkamah atau khidmat nasihat, dimaklumkan kepada JKMR dan Panel Penilaian Operasi (PPO) dari semasa ke semasa. JKMR, salah sebuah badan bebas yang memantau perjalanan SPRM sejak 2009, turut dianggotai oleh wakil DAP iaitu Dr Tan Seng Giaw. "Sekiranya memerlukan maklumat lanjut mengenai status kes dan tindakan diambil SPRM, YB Lim Guan Eng juga boleh merujuk kepada JKMR menerusi wakil DAP yang menganggotainya," kata kenyataan itu lagi. Justeru, kenyatan itu ingin menegaskan SPRM menjalankan siasatan secara bebas, telus dan profesional mengikut Akta SPRM 2009 dan tidak bertanggungjawab kepada laporan-laporan media yang memetik sumber dan tidak berasas. | ||
Najib sudah hilang segala-galanya, ubahlah Posted: 05 Jan 2014 03:25 PM PST KUALA LUMPUR: Dalam isu kalimah Allah yang menjadi isu perkelahian pada hari ini, terbitnya tidak lain dan tidak bukan kerana 'vacuum' yang besar dan meluas di kalangan kepimpinan negara. "Jika kita mempunyai kepimpinan yang kuat dan dihormati isu ini tidak akan pernah timbul seperti yang kita semua alami sebelum ini," tulis Aspan Alias di dalam blognya. Baginya, isu ini hanya timbul apabila politik negara begitu lemah dan tidak ada tanda-tanda yang Perdana Menteri sendiri boleh menyelesaikannya. Menurutnya, PM Najib seolah-olah tidak memahami atau mengakui yang isu ini adalah lebih besar dari isu ekonomi dan isu-isu lain jika benar-benar hendak melihat kita mendiami negara yang maju dan ternama. "Isu ini jika tidak dapat diselesaikan ia boleh membawa kehancuran kepada fabrik politik negara kita yang kita sayangi ini, tetapi pimpinan kita tidak membuat apa-apa untuk menyelesaikannya mungkin kerana tidak nampak jalan untuk penyelesaiannya," tulisnya lagi. Menurutnya lagi, tetapi yang pastinya ia adalah kerana kelemahan dan ketidak adanya maya kepada barisan kepimpinan kerajaan hari ini. | ||
Jamaluddin, Ong dan Samy hanya 'habiskan beras negara' Posted: 05 Jan 2014 03:23 PM PST HARAKAHDAILY KUALA LUMPUR: Kecenderungan pentadbiran Najib melantik duta khas dan penasihat khas yang menelan perbelanjaan tinggi dan membebankan kewangan negara ditegur Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin (gambar). Dalam satu kenyataan media, Sim mempersoalkan kewajaran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melantik empat duta khas dan 13 penasihat khas yang sebahagiannya bertaraf menteri. Sambil menyifatkan perlantikan itu sebagai "teramai dalam sejarah negara", beliau turut mempertikaikan kewajaran kerajaan melantik Ahli Parlimen Bintulu, Dato' Seri Tiong King Sin sebagai duta khas bertaraf menteri ke Asia Timur seperti diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Shahidan Kassim di Bintulu, baru-baru ini. Negara kini mempunyai beberapa duta khas lantikan politik antaranya Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis yang ditugaskan ke Amerika Syarikat, Dato' Seri Ong Ka Ting (Republik Rakyat China) dan Dato' Seri S Samy Vellu (India Selatan) yang kesemuanya bertaraf menteri. Sim mempertikaikan pelantikan tiga individu terbabit yang tidak memberi pulangan yang ketara kepada negara, malah hasil kerja mereka tidak membawa lonjakan pulangan atas pelaburan (ROI) yang besar kepada negara. "Saya ingin menyeru Perdana Menteri berhenti melantik duta-duta khas yang mahal dan memakan belanja yang besar dengan serta merta. "Perlantik YB Dato Seri Tiong baru-baru ini menimbulkan pelbagai persoalan. Kerajaan BN perlu menjelaskan rasionalnya melantik Duta Khas untuk hal ehwal Asia Timur," ujarnya. Sim menambah, Malaysia mempunyai duta-duta profesional yang berfungsi dengan baik di negara-negara Asia Timur seperti Korea dan Jepun manakala Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berupaya mengendalikan urusan perdagangan dengan negara-negara tersebut. " Apakah tugasan yang dipertanggungjawabkan kepada Duta Khas? Kerajaan BN harus menjelaskan mengapa perlu melantik Duta Khas, sedangkan kita sudah ada menteri perdagangan antarabangsa dan duta besar?" soal beliau. Beliau turut mempersoalkan kelayakan dan kepakaran Tiong sehingga dilantik duta khas dan adakah pelantikan itu satu ganjaran politik? Isu yang paling penting, jelas Sim adalah pelantikan duta khas dan penasihat khas membabitkan kos yang tinggi dan membebankan kewangan negara. Beliau turut membangkitkan jawapan kepada soalannya di Dewan Rakyat apabila kerajaan menjelaskan membayar gaji bulanan RM27,227.20 kepada duta khas yang lebih tinggi daripada gaji menteri. "Oleh kerana mereka berstatus menteri maka mereka juga menikmati elaun dan kebajikan setaraf dengan menteri. Mereka diberi pejabat yang dibiayai kerajaan. "Ada sesetengah duta khas diberi setiausaha kanan, pegawai khas, pembantu khas dan pegawai pengiring PDRM. Mereka juga sentiasa menjelajah ke seluruh dunia. Kesemua ini memakan belanja yang besar," ujarnya. Sim juga menganggar perlantikan duta-duta khas membabitkan kos RM2 juta setahun. Pada sesi sidang Dewan Rakyat lalu, usul yang dibawa Sim untuk memotong gaji duta-duta khas ditolak setelah dibahaskan anggota Dewan. "Dengan keadaan fiskal kewangan yang ketat dan hutang kerajaan pusat yang akan mencecah 55 peratus KDNK, apakah perlu kita berbelanja dalam melantik satu lagi duta khas?" soal beliau. Sim turut mencadangkan Perdana Menteri menambah satu lagi langkah pengurangan kos kerajaan iaitu menghapuskan jawatan duta khas dan penasihat khas di bawah Jabatan Perdana Menteri. Najib baru-baru ini mengumumkan 11 langkah kosmetik untuk mengurangkan perbelanjaan kerajaan sebagai satu langkah 'jimat cermat'. | ||
'K'jaan gagal bersuara isu demo depan gereja' Posted: 05 Jan 2014 05:13 AM PST MALAYSIAKINIAktivis sosial Datuk Marina Mahathir menyelar pemimpin kerajaan yang menurutnya gagar bersuara apabila muncul golongan yang mengancam untuk mengadakan demonstrasi di depan gereja sejak seminggu lalu. Beliau merujuk kepada tindakan kumpulan pendesak Solidariti Ummah Klang yang menuntut agar golongan Kristian menurut larangan kerajaan yang menghalang penganut tersebut dari menggunakan kalimah 'Allah'. Marina pada pagi ini hadir dalam perhimpunan di hadapan gereja Lady of Lourdes di Klang bersama kira-kira 40 orang yang kebanyakan penganut Islam, sebagai tanda solidariti dengan penganut Kristian. Pada masa sama, kumpulan kira-kira 100 orang bersama Solidariti Ummah Klang berhimpun di satu kawasan padang berhampiran. Marina berkata kerajaan enggan menghalang tindakan kumpulan konservatif tersebut yang mengambil pendirian yang bertentangan. "Pemimpin kita tidak harus diam," katanya yang mendakwa menerima banyak aduan berhubung sikap kerajaan dalam isu ini. "Semua orang terkejut, bukan saya seorang. Semuanya bertanya, di mana pemimpin kita? Sebagai pemimpin yang hebat, dia sepatutnya berada di sini, bersama kita," katanya tanpa menamakan mana-mana individu. Ditanya sekiranya beliau merujuk kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, beliau berkata: "Sesiapa saja. Dia sepatutnya ada di sini. Seorang pemimpin sepatutnya lebih baik dari kami." | ||
'Kita cuma halang demo depan gereja' Posted: 05 Jan 2014 05:10 AM PST MALAYSIAKINIPengerusi Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar mempertahankan kehadiran anggota partinya dalam demonstrasi membantah penggunaan kalimah "Allah" oleh Kristian di Klang hari ini walaupun telah mengarahkan ahli Umno Selangor tidak berbuat demikian. Noh berkata arahan beliau semalam hanya meminta ahlinya tidak membuat demonstrasi atau menyertai protes di hadapan gereja. "Umno selangor telah menunaikan janji. Walaupun nak buat bantahan kita tak bagi buat depan gereja. "Kita tak halang (jika) nak buat bantahan. Nak buat kat padang, depan rumah (ketua pengarang The Herald) Lawrence (Andrew), itu hak mereka tapi bukan depan gereja," kata beliau ketika dihubungi Malaysiakini. Bantahan tersebut, yang pada mulanya dijadual untuk diadakan di hadapan Gereja Our Lady of Lourdes dipindahkan ke padang Kelab Sultan Sulaiman, Klang, kira-kira satu kilometer dari situ. 'Tak ancam gereja' Demonstrasi anjuran Sekretariat Solidariti Muslim Klang itu adalah untuk mendesak Andrew memohon maaf dengan tindakan beliau mempertahankan penggunaan nama Allah dalam penerbitan The Herald walaupun pihak berkuasa agama menghalang tindakan tersebut mengikut titah Sultan Selangor. Pihak berkuasa agama Selangor berkeras bahawa kalimah "Allah" hanya boleh digunakan oleh orang Islam. Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) juga telah menyerbu premis Persatuan Bible Malaysia pada 1 Januari lalu dan merampas kitab Injil bahasa Melayu dan Iban yang menggunakan perkataan Allah. Mengulas mengenai kehadiran sekumpulan penganut Islam yang berhimpun bagi mempertahankan gereja tersebut hari ini, Noh seterusnya berkata, Umno Selangor tidak mengeluarkan ancaman ke atas gereja tersebut. "Kita tak halang. Kita bukan nak halang orang sembahyang atau cakap apa-apa bahasa pun, Kita hanya mempersoalkan (penggunaan) perkataan Allah itu," kata beliau. Exco salahkan KDN Tindakan kumpulan disertai anggota Umno itu bagaimanapun tetap dikritik oleh exco hal ehwal agama Islam, Sallehen Mukhyi yang berpendapat, Umno sepatutnya mensasarkan bantahan mereka kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan bukannya ke atas penganut Kristian. "Bible yang tulis kalimah Allah pun kerana KDN sendiri beri keizinan. "Jadi, dia (Umno) boleh demonstrasi di KDN, dan KDN menjadi sumber bawa masuk kalimah itu. Tambahnya, Umno tidak sepatutnya cuba mendapatkan keuntungan politik dari pergeseran ini dengan berdemonstrasi. Sebaliknya, parti itu sepatutnya menunjukkan sifat Muslim yang cintakan keamanan dan harmoni, katanya. "Sepatutnya Umno tak perlu protes. Hanya perlu bincang dalaman dengan pemimpin atau menteri untuk selesaikan isu. Kerajaan persekutuan telah membentangkan penyelesaian 10 perkara sebelum pilihan raya negeri Sarawak 2011 yang antara lainnya menggariskan kalimah "Allah" boleh digunakan di Malaysia Timur dan memerlukan tanda "Untuk Kristian Sahaja" di Semenanjung Malaysia. Bagaimanapun para pemerhati berpendapat kerajaan kini berat hati untuk menyokong penyelesaian 10 perkara itu. | ||
Pemilik akaun Facebook minta maaf Posted: 05 Jan 2014 04:59 AM PST Asmaelz Hadzeny II berkata semua kenyataan dalam laman sosialnya sebelum ini adalah gurauan semata-mata. KUCHING: Pemilik akaun laman Facebook Asmaelz Hadzeny II memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia dan PDRM kerana kenyataannya yang menghasut orang ramai menyertai perhimpunan haram untuk menggulingkan kerajaan. Asmaelz, 25, yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) selepas siasatan polis dari Bukit Aman kelihatan tenang ketika ditemui memberitahu, semua kenyataan dalam laman sosialnya sebelum ini adalah gurauan semata-mata. Menurutnya, beliau tidak menyangka komennya yang mengajak orang ramai menyertai perhimpunan haram sempena tahun baru serta mengugut serangan bom memberikan kesan yang begitu serius kepada diri dan rakyat keseluruhannya. "Saya ingin memohon maaf kepada polis dan rakyat Malaysia berikutan kenyataan nakal yang disiarkan dalam facebook sebelum ini. "Semua komen ini hanya dilakukan sekadar main-main dan suka-suka, tiada niat untuk menghina sesiapa termasuk polis. "Saya menginsafi perbuatan ini dan berjanji tidak akan mengulangi lagi. Perbuatan ini bukan hasutan daripada mana-mana pihak," katanya. Diiringi polis Asmaelz yang diiringi beberapa anggota polis kelihatan tidak terurus dan cuba untuk melarikan diri ketika keluar dari balai ketibaan LTAK apabila menyedari kehadiran media. Dalam pada itu, lelaki yang berasal dari Saratok itu dipercayai berperanan sebagai cyber trooper Parti Keadialan Rakyat (PKR) dan bekerja sebagai koordinator di Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia. Bagaimanapun, Asmaelz bertegas bahawa kenyatan facebooknya yang menghasut membuat rusuhan dan meminta orang ramai membekalkan bom bukan dipengaruhi oleh mana-mana pihak termasuk dari parti pembangkang. "Perkara ini tiada kaitan dengan parti pembangkang. Saya lakukan secara suka-suka ketika itu," tambahnya. | ||
Selepas tidak bersetuju dengan Jais, Utusan lagakan Mujahid dengan PAS Posted: 05 Jan 2014 04:56 AM PST Berikutan kenyaaannya tidak bersetuju dengan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyerbu Pertubuhan Bible Malaysia (BSM), Mingguan Malaysia iaitu versi Ahad Utusan Malaysia bertindak melaga-lagakan Datuk Dr Mujahid Yusof (gambar) dengan pemimpin PAS yang lain. Utusan melaporkan, bekas Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Mohamed Nordin Mohd Nor berpendapat pandangan ahli parlimen PAS itu jauh berbeza dengan bapanya, Yusof Abdullah Ar Rawa yang kini dikatakannya ulama terbilang. Katanya, selaku seorang bekas pemimpin veteran PAS, beliau berasa terkejut dan dukacita melihat pemikiran Mujahid mempertikaikan tindakan Jais merampas Bible mengandungi kalimah Allah yang dilihat bernada liberal. "Pandangan Mujahid itu bercanggah dengan pendirian Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Harun Taib yang menyokong tindakan diambil oleh Jais dalam mempertahankan akidah umat Islam. "Jadi, kita boleh nampak Mujahid seakan-akan membawa pemikiran liberal yang sedang melanda umat Islam di Malaysia pada masa ini," katanya dalam akhbar milik Umno edisi Ahad, Mingguan Malaysia. Mujahid dalam satu kenyataan sebelum ini mengemukakan persoalan kebebasan beragama yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan seolah-olah ia tercemar dengan tindakan Jais yang bercanggah dengan perintah Allah. Katanya, dengan tertera perkataan Allah dalam Bible bukan alasan bagi mengambil tindakan tanpa bukti kukuh terdapat unsur penyebaran dan menggugat akidah tauhid umat Islam. Mohamed Nordin berkata tindakan Mujahid itu tidak menghormati titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mengarahkan semua rakyat khasnya di Selangor akur dan patuh kepada larangan pengunaan kalimah Allah bagi mereka yang bukan beragama Islam. "Saya sendiri amat terkejut dan dukacita kerana pemikiran Mujahid jauh sekali berbeza dengan bapanya, Yusof Abdullah yang merupakan seorang ulama cukup saya hormati." Semalam Utusan berkata, Harun menggesa pihak berkuasa bertindak tegas terhadap pihak yang cuba meminda Enakmen Agama Bukan Islam yang diguna pakai di negara ini. Katanya, kedaulatan dan kesucian Islam mesti dipertahankan dan apa sahaja tuntutan atau desakan pihak tertentu agar enakmen seumpama itu dipinda, tidak perlu dilayan. "Jangan sekali-kali beri muka dan layan tuntutan atau desakan mana-mana pihak yang cuba mencabar kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara ini. "Saya harap pihak berkuasa bertindak tegas terhadap mereka terbabit kerana kita tak sanggup lihat agama Islam terus dipersendakan," katanya kepada Mingguan Malaysia. Mengulas tentang penggunaan kalimah Allah dalam Bible versi bahasa Melayu dan Iban, Harun berkata, di sebalik usaha itu, tersirat motif tertentu iaitu untuk mempersendakan agama Islam semata-mata. "Seperti saya nyatakan sebelum ini, tiada sebab kenapa agama Kristian mahu menggunakan kalimah Allah sedangkan kalimah suci itu hanya hak mutlak agama Islam. "Begitu juga perkataan solat dan zakat. Mereka juga guna perkataan itu sehingga menimbulkan kekeliruan di kalangan umat Islam. Semua ini bertujuan mempersendakan Islam. Kenapa mereka mahu mencampur-aduk agama mereka dengan agama Islam?" katanya. | ||
Posted: 05 Jan 2014 04:46 AM PST Beliau membuka Pudu-Bukit Bintang dan Bukit Nenas selain Sungai Putih Sejarah Kuala Lumpur Setiap kali kita naik LRT dari KL Sentral ke Kelana Jaya, kita akan melintasi stesen Abdullah Hukum. Siapakah Abdullah Hukum (gambar) ?. Ini yang akan kita paparkan dalam siri sejarah Kuala Lumpur yang bermula hari ini. Stesen Abdullah Hukum terletak di Kampung Abdullah Hukum bersebelahan Midvalley. Kampung Abdullah Hukum diberi nama sempena nama Haji Abdullah Hukum bin Abdul Rahim yang lahir pada tahun 1835 di Sumatera. Beliau meninggal dunia di Kuala Lumpur pada tahun 1943. Ini bermakna umur Abdullah Hukum amat panjang, 108 tahun. Haji Abdullah Hukum berketurunan Kerinchi telah berhijrah dari Sumatera ke Semenanjung Tanah Melayu bersama bapanya pada tahun 1850 ketika beliau berusia 15 tahun. Berhampiran Angkasapuri Kuala Lumpur terdapat Kampung Kerinchi yang menunjukkan ramai orang Kerinchi yang menetap di situ. Ketika itu Tanah Melayu didiami oleh ramai penduduk dari Indonesia dari suku kaum Jawa, Bugis, Kerinchi, Minang dan Acheh. Harimau jadian amat terkenal di kalangan orang Kerinchi kononnya ada manusia yang boleh bertukar menjadi harimau. Abdullah Hukum dikatakan turut terlibat secara langsung dalam pembangunan Kuala Lumpur. Beliau adalah ketua yang membuka kawasan Pudu-Bukit Bintang dan membuka kebun di Bukit Nenas selain kawasan Sungai Putih. Pada hari ini Sungai Putih dikenali sebagai Jalan Bangsar. Di sekitar kawasan Sungai Putih terdapat sebuah kampung Melayu yang dinamakan sempena nama beliau, Kampung Abdullah Hukum. Abdullah Hukum adalah seorang juak kepada Raja Mahmud bin Sultan Muhammad, Raja Mahmud adalah waris negeri Selangaor yang pernah menjadi Ahli Majlis Selangor. Panglima Melayu Raja Mahmud dikenali pada zamanya sebagai Tengku Panglima Raja Selangor dan beliau merupakan seorang panglima Melayu yang terulung. Abdullah Hukum selama 90 tahun lebih berada di Selangor dan di Kuala Lumpur dapat merasakan pengalaman hidup dalam dua zaman, zaman pemerintahan Raja-raja Melayu selama dua dekad dan lebih tujuh dekad di bawah pemerintahan British. Beliau dapat melihat perbezaan di zaman pemerintahan British dengan zaman pemerintahan Raja-raja Melayu terutamanya dapat melihat perubahan yang berlaku ke atas masyarakat Melayu dengan jelas khususnya yang berada di Kuala Lumpur. Pada zaman pemerintahan Raja-raja Melayu, Sultan Selangor, Sultan Abdul Samad (1857-1989) serta pembesar dan penghulunya berkuasa penuh di negeri itu. Apabila Kuala Lumpur menjadi maju, bukan sahaja pembesar dan penghulu kehilangan fungsi dan peranan malah nama mereka tidak dikenali lagi oleh generasi hari ini berbanding dengan Yap Ah Loy (1837-1885) yang hanya merupakan seorang imigran dan Kapitan Cina dan bukannya pembesar negeri Selangor. Sebelum kedatangan British (malah sebelum munculnya Yap Ah Loy) sudah pun berdiri kukuh satu struktur pentadbiran tradsional di Selagor di setiap kawasan seperti Hulu Kelang, Gombak dan Cheras di bawah pembesarnya sendiri. Mereka bertanggungjawab sepenuhnya dalam segala urusan yang berlaku di daerah masing-masing. Penduduk Melayu Kuala Lumpur ketika itu tidak ramai dan semakin tersisih apabila kaum imigran terutamanya orang China dibawa masuk ke Tanah Melayu oleh British. Kuala Lumpur pada tahun 1850an amat berbeza dengan Kuala Lumpur pada tahun 1930an. Ketika Abdullah Hukum tiba di Kuala Lumpur pada tahun 1850an, terasa berbeza di zaman 1930an apabila perniagaan mulai dikuasai oleh kaum imigran. Itulah yang merubah wajah Kuala Lumpur apabila pembangunan mula melanda Kuala Lumpur yang merupakan nadi utama Tanah Melayu. | ||
Perkasa bantah Hard Rock Cafe di Putrajaya Posted: 05 Jan 2014 04:33 AM PST Putrajaya dianggap kota Islam tidak wajar dicemari dengan restoran berkonsepkan bar. PETALING JAYA: Pertubuhan Peribumi Perkasa (Perkasa) membantah tindakan Perbadanan Putrajaya membenarkan Hard Rock Cafe (HRC) International membuka cawangannya di sana. Ketua Wira Perkasa Irwan Fahmi Ideris berkata, Putrajaya yang dianggap sebagai kota Islam tidak wajar dicemari dengan satu restoran berkonsepkan bar yang menghidangkan minuman keras secara terbuka dan persembahan hiburan liar. Katanya, pembukaan HRC bukan sahaja bakal menggalakkan keruntuhan moral, tetapi juga tidak bersesuaian dengan fungsi Putrajaya sebagai sebuah pusat pentadbiran kerajaan. "Perbadanan Putrajaya juga wajar mempertimbangkan langkah alternatif untuk menarik pelabur dan pelancong, bukan dengan cara mencari keuntungan segera yang bakal merosakkan kesejahteraan dan moral penduduk setempat," katanya hari ini. Dalam kenyataan bersama Ketua Wira Perkasa Wilayah Persekutuan Zukhairi Md Osman, NGO itu turut mengingatkan Ahli Parlimen Putrajaya, yang juga merupakan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor supaya mengambil tindakan sewajarnya dan tidak mengambil sikap lepas tangan dan tutup mata dalam isu ini. Tegasnya, sekiranya masih ingin membuka cawangan di Putrajaya maka HRC wajib mendapatkan sijil 'Halal' dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). `Tidak ada minuman keras' "Konsep francais perlu ditukar dengan memastikan restorannya tidak menghidangkan minuman keras, tidak menjadikannya sebagai tempat shubahat dan hiburan serta apa-apa juga seumpamanya melainkan ianya hanyalah sekadar tempat menjamu selera semata-mata," katanya. Tambahnya, Putrajaya adalah satu-satunya kota pentadbiran yang dibangunkan oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad dengan mengambil konsep pembinaan kota Madinah apabila masjid dibangunkan terlebih dahulu sebagai asas pembinaan sebelum dikelilingi bangunan lain. "Wira Perkasa Malaysia dengan ini bersolidariti dengan Kelab Che Det Malaysia yang turut membantah pembukaan HRC di Putrajaya meminta umat Islam khususnya penduduk Putrajaya agar turut bersama menyatakan bantahan," katanya. Semalam, Presiden Perbadanan Putrajaya Tan Sri Aseh Che Mat mengumumkan HRC akan dibuka di Menara Ikhlas di Presint 3 dalam tempoh empat bulan. Keputusan itu dibuat selepas mendapat persetujuan tokoh perniagaan terkemuka, Tan Sri Syed Yusof Tun Syed Nasir. Ini merupakan Hard Rock Cafe yang kelima selepas Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Melaka dan Kota Kinabalu. "Ia akan menjadi tarikan baharu di sini termasuk peminat-peminat motosikal Harley Davidson dan juga golongan muda," katanya. | ||
Sambut 2014 bukan dengan azam baharu Posted: 05 Jan 2014 04:30 AM PST TINJAUAN Merdeka Center mendapati populariti PM Dato' Seri Mohd Najib Razak menjunam 10 mata menjadi 52 peratus dalam Disember dan merekodkan tahap paling rendah sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada 3 April 2009. Merdeka Center membuat tinjauan tersebut selepas pengurangan subsidi bahan bakar pada September lalu, pembentangan Bajet 2014 sewaktu kerajaan Umno-BN mengumumkan GST, dan kenyataan tambahan mengenai kenaikan tarif elektrik mulai 1 Januari 2014. Tarif elektrik di Semenanjung Malaysia akan dinaikkan 14.89 peratus atau 4.99 sen setiap kilowat, menjadikan harga baharu untuk sekilowat ialah 38.53 sen. Harga semasa ialah 33.54 sen sekilowat (kwj). Di Sabah dan Labuan pula, kadar baharu naik 16.9 peratus atau 5 sen dari kadar semasa 29.52 sen/ kwj kepada 34.52 sen/kwj. Pemilik hartanah di Kuala Lumpur juga bakal menghadapi kenaikan kadar cukai taksiran mulai Januari 2014 walaupun Menteri Wilayah Persekutuan, Dato' Seri Tengku Adnan Mansor berdolak-dalik. Bukan sahaja pemimpin Pakatan Rakyat dan para penyokongnya membantah kenaikan kos sara hidup. Mereka yang berada dalam kerajaan Umno-BN seperti Pemuda dan Puteri Umno; Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC), Dato' Shahrir Samad, Dato' Saifuddin Abdullah, dan Senator Ezam Mohd Noor turut menentang. Tidak mustahil semua itu hanya "wayang". Pemimpin Umno-BN kerap mencadangkan sesuatu yang mengundang protes rakyat, tetapi kemudian menentangnya untuk menunjukkan mereka prihatin dan dengan itu mendapat pujian. Namun, dari segi lain yang penting dan menarik, bantahan oleh pemimpin dalam kerajaan Umno- BN sendiri menunjukkan betapa lemahnya pentadbiran Najib. Kata Shahrir, kerajaan Umno- BN perlu mengotakan janjinya dalam manifesto PRU13. Perkara utama, kata Ahli Parlimen Johor Bahru itu, ada akujanji khusus untuk mengurangkan kadar tol dalam kawasan tersebut secara berperingkat-peringkat menjelang 2018. Jadi, BBC berharap kerajaan Umno-BN menghalang pemegang konsesi daripada menaikkan kadar tol. Walau bagaimanapun, BBC berdolak-dalik dalam menyatakan sikap mereka atas kenaikan berkenaan kerana kerajaan Umno- BN masih belum mengesahkan perkara tersebut. Tambah Shahrir, ia masih dibincangkan oleh kerajaan Umno- BN dan melihat keadaan semasa, tidak semua anggota BBC yang terdiri daripada Ahli Parlimen dari pelbagai kawasan sehaluan fikiran dalam perkara tersebut kerana bukan semua ada jalan bertol di kawasan masing-masing. Menurutnya lagi, Ahli Parlimen yang mewakili kawasan sekitar Lembah Klang dan kawasan bandar utama lebih terjejas dengan kenaikan kadar tol. Ahli Parlimen yang menentang kenaikan kadar tol berpendapat sedemikian kerana isu pengurangannya menjadi modal untuk menarik sokongan pengundi dalam pilihan raya. Tambahnya, dimaklumi bahawa langkah tidak menaikkan kadar tol bererti akan ada kos yang perlu ditanggung oleh kerajaan Umno-BN. Kadar tol dijangka akan dinaikkan di antara 50 sen hingga RM2 mulai 1 Januari 2014. Ezam menyelar penggubal dasar dalam kerajaan Umno-BN yang menurutnya mengambil langkah mudah menaikkan tarif elektrik untuk menyelesaikan "masalah mereka", tetapi menyeksa rakyat. Kata Ezam, sebuah kerajaan transformasi harus lebih tangkas menangani masalah di samping membela kedudukan rakyat bawahan. Kerajaan transformasi yang bercirikan negara maju, tambahnya, mesti lebih cekap dan canggih mengatasi masalah, bukan menaikkan tarif dan meminta rakyat menanggung beban. Langkah itu, kata Ezam, mengundang kemarahan rakyat kerana ia selari dengan pelbagai peningkatan harga bahan keperluan asas lain. Tambahnya, kerajaan Umno-BN wajar menumpukan usaha membanteras ketirisan, rasuah dan rundingan perjanjian berat sebelah yang terlalu menguntungkan golongan korporat. Menurut Ezam lagi, sebagai anggota Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah SPRM, beliau mahu pembasmian gejala itu menjadi tumpuan utama. Walaupun sukar berbanding keputusan menaikkan tarif elektrik, itulah tanggungjawab kerajaan Umno-BN yang menggelar dirinya kerajaan transformasi. Dengan kenaikan kos sara hidup yang bertindan, maka 2014 akan menjadi "Tahun Demonstrasi", mengatasi kempen "Tahun Melawat Malaysia" dan "Tahun Malaysia Bersalawat". Kedatangannya tidak disambut dengan azam baharu, tetapi beban baharu! Sementelah, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu (Mat Sabu) mengumumkan satu perhimpunan besar-besaran akan diadakan pada 1 Mei 2014 bagi menyatakan bantahan terhadap kenaikan kos sara hidup rakyat. Namun, katanya, "perhimpunan kecil-kecilan" akan tetap diadakan bagi membina momentum menjelang perhimpunan tersebut dengan beliau akan bergerak ke seluruh negara bersama NGO untuk menyeru rakyat turun pada 1 Mei nanti yang kebetulan Hari Pekerja. Tegas Mat Sabu, yang menderita sekarang adalah pekerja awam. Justeru, tambahnya, rakyat wajar membantah kerana negara kita miskin bukan disebabkan tiada hasil, tetapi akibat rasuah dan penyelewengan. Tambah beliau, perkara tersebut perlu ditekankan kepada rakyat. Perhimpunan bantahan telah dimulakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur, 20 Disember lalu atas nama "Tolak GST". Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim telah menyempurnakan pelancarannya. Sementara itu, pemimpin Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun), Azan Safar menegaskan sisasatan polis ke atasnya tidak menghalang dia meneruskan kempen "2014 Tahun Sengsara Rakyat" menerusi perhimpunan besar di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada malam menyambut 2014. Azan, yang dibebaskan polis selepas ditahan selama 20 jam turut mempersoal tindakan berkenaan, serta tuduhan "serkap jarang" ke atasnya kerana didakwa terlibat dalam usaha menggulingkan kerajaan Umno- BN. Katanya, adakah dengan memperjuang hak dan suara rakyat agar bebanan kos sara hidup mereka diturunkan dia digelar penjenayah berat dandiserbu sebagai penjenayah? Tegas Azan, dia menyeru masyarakat turun dan menyatakan sokongan mereka supaya kerajaan Umno-BN tidak memandang remeh beban kos sara hidup rakyat menjelang 2014. Yang kelakar, polis mendakwa perhimpunan pada malam tahun baharu itu bertujuan menggulingkan kerajaan Umno- BN. Walau bagaimanapun, Azan menegaskan bahawa Turun tidak terlibat langsung dengan satu lagi perhimpunan yang dipromosi sebagai "Himpunan Guling Kerajaan" juga pada malam tersebut. Turun, katanya, sentiasa menghormati sistem demokrasi berparlimen di negara ini. | ||
Hari di mana pegawai agama mengawal agama lain di Malaysia Posted: 05 Jan 2014 04:24 AM PST Apakah kaitan seorang Kristian dan peguam selama 33 tahun dengan Islam? Di kebanyakan negara, ia bukan sesuatu yang menarik tetapi Lee Min Choon mendapati Khamis lalu yang pihak berkuasa agama Islam entah bagaimana telah mencampuri urusan agama lain di Malaysia, walaupun Perlembagaan Persekutuan membenarkan kebebasan beragama. Kisahnya sudah diketahui ramai. Pada hari kejadian, presiden Pertubuhan Bible Malaysia (BSM) itu, tidak berdaya untuk menghalang 20 pegawai penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) daripada menyerbu masuk ke premis mereka untuk mencari Bible yang mengandungi perkataan Allah. Walaupun mengetahui bahawa Jais tidak mempunyai bidang kuasa ke atas orang bukan Islam, Lee juga tidak mampu mengelakkan diri daripada ditahan dan dibawa ke balai polis seperti penjenayah biasa. Mereka turut merampas 320 Bible berbahasa Melayu dan Iban. "Sejak mempelajari undang-undang, kami telah diajar bahawa pihak berkuasa Islam hanya mempunyai bidang kuasa ke atas orang Islam. "Tetapi apabila saya melihat tindakan mereka yang memecah masuk ke premis dan merampas harta kami serta menangkap saya, saya benar-benar terkejut dan terperanjat bahawa sesuatu seperti ini boleh berlaku di Malaysia," katanya kepada The Malaysian Insider. Di samping menahan Lee dan merampas Bible, pegawai Jais juga menahan pengurus pejabat BSM Sinclair Wong dan di balai polis berhampiran sebelum melepaskan kedua-duanya dengan jaminan polis. Jais telah mengarahkan Lee hadir di pejabat mereka pada 10 Januari ini. Dalam drama yang berlaku dalam peristiwa selepas pukul 1 tengahari itu, Lee mengimbas semula tindakan seperti samseng sekumpulan 20 pegawai Jais ketika cuba memasuki pejabat BSM secara paksa dengan menolak dan mengetuk pintu utama mereka, yang ditutup untuk pengiraan stok. Tanpa banyak pilihan, dia terpaksa membiarkan mereka masuk atas sebab keselamatan. Lima pegawai Jais dibenarkan masuk, tetapi mereka mula menggeledah dan membuang kotak yang mengandungi Bible tanpa mengambil kira sama sekali bahawa ia adalah kitab suci bagi orang Kristian, kata Lee. Dalam temubual dengan The Malaysian Insider, Lee yang kelihatan keletihan berkata walaupun tahu haknya sebagai seorang peguam, kemahiran undang-undang dan pengetahuan hilang pada hari kejadian itu. "Sebagai seorang bapa yang juga seorang peguam, saya telah memberitahu dua anak saya agar percaya kepada sistem dan undang-undang akan melindungi mereka selagi mereka tidak berbuat apa-apa yang salah, tetapi itu semua rupanya tidak benar," tambah lelaki berusia 58 tahun ini. Tidak berapa lama dahulu, Lee pernah menemui menteri-menteri persekutuan termasuk Datuk Seri Idris Jala dan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dalam isu 10 langkah penyelesaian pada bulan April 2011 . Hakikatnya Bible berbahasa Melayu yang menggunakan kalimah Allah telah wujud sejak 1612, hampir 400 tahun sebelum beberapa negeri di Malaysia termasuk Selangor, mewujudkan enakmen mengharamkan penggunaan perkataan-perkataan tertentu termasuk Allah oleh orang bukan Islam. "10 langkah penyelesaian berkenaan adalah hasil perbincangan pemimpian Kristian termasuk pemimpin kami, Pertubuhan Bible, Idris Jala dan Peguam Negara yang duduk di meja hadapan saya. "Ia telah dipersetujui bahawa Bible berbahasa Melayu boleh diedarkan tanpa sekatan di Malaysia Timur manakala bagi Malaysia Barat ia mesti mempunyai tanda salib dan perkataan 'Penerbitan Kristian' pada kulit buku, di mana kita telah patuhi semuanya," katanya. Lee juga berkata bahawa Bible berkenaan juga diimport dari Indonesia,dan melalui pemeriksaan oleh Kementerian Dalam Negeri di Pelabuhan Klang sebelum dilepaskan untuk kegunaan BSM. "Semua ini berlaku secara aman selama dua tahun sehingga hari yang lalu apabila kita diserbu dan dibawa ke balai polis seperti kebanyakan penjenayah," Lee berkata. Kini, beliau tidak pasti apa yang akan terjadi, dan bimbang akibat serbuan Jais itu boleh pergi jauh, seperti keputusan Mahkamah Rayuan, 14 Oktober lalu yang menganggap bahawa kalimah Allah adalah eksklusif untuk orang Islam. "Anda boleh berada di rumah menghabiskan masa bersama suami anda dan mereka boleh menendang pintu kerana ingin mencari sebuah buku dengan perkataan Allah di dalamnya," katanya. Pada keputusan mahkamah tersebut, Lee berkata, walaupun menteri-menteri kerajaan mengatakan bahawa keputusan itu hanya terhad kepada akhbar mingguan Katolik Herald dan tidak berkaitan dengan Alkitab, beliau cenderung untuk bersetuju dengan peguam yang mengatakan bahawa keputusan itu mempunyai kesan yang jauh lebih luas. "Kita lihat apa yang berlaku dengan Jais, yang seolah-olah berfikir bahawa sejak Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa kalimah Allah milik orang Islam sahaja dan boleh bertindak ke atas mana-mana bukan Islam yang menggunakan perkataan ini kerana menganggap mereka melakukan kesalahan. "Ternyata jangkaan para peguam adalah betul. Mereka boleh melihat kesan buruk daripada keputusan Mahkamah Rayuan itu," katanya. Lee berkata bukti selanjutnya kesan buruk daripada keputusan mahkamah adalah serbuan pada BSM dan penangkapan Wong dan dirinya. "Justeru, melainkan sesuatu dilakukan untuk menangani situasi itu, ia boleh berlaku lagi esok. Jais boleh menendang pintu gereja Ahad ini dan memecah masuk ke dalam rumah untuk mencari Alkitab. Dan mereka mempunyai polis untuk menyediakan penjara bagi memenjarakan semua yang ditahan," katanya. Ditanya sama ada beliau akan pergi ke pejabat Jais pada 10 Januari, Lee lebih senang menyatakan beliau masih belum memikirkannya. Tetapi beliau pasti bahawa jika tidak hadir, pihak polis akan memburunya. "Dokumen jaminan polis mengatakan bahawa kita perlu hadir di mahkamah pada 10 Januari tetapi ia tidak menyatakan secara spesifik mahkamah mana. "Apabila saya bertanya kepada polis, mereka kelihatan tidak tahu dan akhirnya menyuruh saya merujuk kepada Jais," tambah Lee. Lee juga tidak dapat mengatakan apa langkah yang boleh diambil BSM untuk memastikan tidak kejadian Khamis lalu berulang kembali. "Apa yang kita boleh lakukan, kita bergantung pada sistem. Mahkamah Rayuan telah memutuskan mengenai kes kalimah Allah ini dan mereka berkata undang-undang negeri memberikan mereka kuasa ke atas orang bukan Islam. "Bukan Islam tidak terkecuali daripada tindakan Jais. Itulah realitinya," katanya. Lee bimbang jika perkara itu tidak diselesaikan, BSM juga akan dihalang daripada menjalankan objektifnya untuk membekalkan Bible kerana Jais mungkin memerlukan mereka memberikan butir-butir para individu yang mendapatkan Bible Melayu daripada mereka. "Siapa yang mahu mendapatkan Bible Melayu daripada kami jika nama mereka akan dimasukkan dalam pangkalan data Jais," tanya beliau. | ||
Sekat media, gantung The Heat, demokrasi terbaik di dunia? – Lim Kit Siang Posted: 05 Jan 2014 03:14 AM PST Roketkini.com KUALA LUMPUR: Penggantungan akhbar The Heat merupakan bukti kegagalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjadikan Malaysia sebagai negara demokrasi terbaik di dunia. Demikian kata Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang ketika ditemui dalam Protes Pensel Merah, di ibu kota, hari ini. Beliau yang juga bekas wartawan berpendapat, pentadbiran Najib bukan sahaja tidak menghormati demokrasi, malah melanggar segala aspek demokrasi itu sendiri. "Jika benar beliau mahu menjadikan Malaysia negara demokrasi terbaik didunia, mengapa aspek demokrasi itu sendiri tidak dihormati? Batalkan segera penggantungan The Heat. "Dalam isu The Heat, apa yang sepatutnya dilakukan oleh kerajaan dan Najib bukanlah menggantung tapi mengambil perhatian terhadap laporan itu, kemudian mencari jalan memperjelas serta membetulkannya dengan tidak lagi mengamalkan pemborosan. "Jika tidak diperjelas dan perbetul kesalahan sendiri, sampai bila-bila rakyat akan bercakap mengenainya," ujar beliau yang hadir secara bersahaja sebagai tanda solidariti dan tidak berucap sebagaimana kebiasaan protes jalanraya. Katanya, dalam isu kebebasan media, DAP dan Pakatan Rakyat (PR) akan berjuang serta terus mendesak Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya membatalkan segala sekatan. "Kami akan terus desak sekatan kepada media dibatalkan dan mahukan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dimansuhkan serta merta. "Ke mana perginya semangat dan prinsip demokrasi jika media disekat?," soalnya lagi. Tambah Ahli Parlimen DAP Gelang Patah itu, melalui tekanan dan pencabulan terhadap media seperti yang berlaku kini, tidak mustahil kedudukan Malaysia dalam statistik Reporters Without Borders akan semakin menjunam tahun ini. "Saya percaya statistik yang akan dikeluarkan hujung tahun nanti, prestasi negara lebih rendah kedudukannya malah lebih teruk dari Myanmar," katanya. – Roketkini.com | ||
Lagi Laporan Polis Terhadap Harussani Posted: 05 Jan 2014 02:51 AM PST KELAB GREENBOCSatu lagi laporan polis dibuat oleh Jingga13 terhadap Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang melabelkan peserta Himpunan TURUN sebagai 'Penderhaka kepada kerajaan, dihalalkan darah dan bughah (pemberontak)'. Laporan polis dibuat oleh sdr Mohd Nizam bin Che Mohamad Ali, Koordinator Jingga13 Kelantan bertempat di IPD Pasir Puteh, Kelantan kira-kira jam 11.30 pagi tadi. Sebelum ini pada hari kelmarin, Jingga13 telah membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi. Ketua Koordinator JINGGA 13, Fariz Musa dalam laporannya di ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi waktu itu berkata, kenyataan Tan Sri Harussani Zakaria itu berbaur hasutan untuk membunuh. Beliau menggesa Harussani disiasat bawah Seksyen 503 dan 505(c) Kanun Keseksaan atas dakwaan menakutkan secara jenayah dan khianat awam dengan mengapi-apikan golongan tertentu. "Mufti Perak seharusnya sedar perhimpunan itu adalah tanda protes rakyat terhadap tindakan kerajaan Umno-BN menaikkan segala kos sara hidup yang bakal ditanggung rakyat dalam tahun 2014. "Justeru, kenyataan beliau merupakan satu hasutan dan dorongan untuk melakukan keganasan, kecederaan termasuk untuk melakukan pembunuhan terutamanya terhadap mereka yang hadir pada di perhimpunan aman itu," katanya. Beliau merujuk kepada berita "Harussani: Peserta demo 'bughah', halal darah" yang disiarkan Malaysiakini dengan memetik kenyataan asalnya dalam akhbar Berita Harian. Berita Harian telah melaporkan Harussani sebagai berkata, semua peserta perhimpunan pada 31 Disember lalu sepatutnya ditangkap kerana menderhaka kepada kerajaan dan "dihalalkan darah golongan bughah (pemberontak)". Fariz turut menggesa Harussani agar meletakkan jawatan kerana kenyataannya itu mencemarkan nama baik institusi mufti. "Jika Harussani seorang yang waras, beliau sewajarnya meletakkan jawatan sebagai mufti Perak kerana kini dilihat bukan sahaja sebagai boneka kerajaan Umno-BN tetapi memalukan institusi mufti yang seharusnya dihormati dan disegani rakyat," katanya. | ||
Marina Mahathir sertai himpunan pertahan penganut Kristian Posted: 05 Jan 2014 12:31 AM PST MALAYSIAKINISekumpulan penganut Islam menyertai perhimpunan bagi menunjukkan solidariti bersama penganut Kristian di perkarangan sebuah gereja di Klang, susulan rancangan satu kumpulan NGO Islamuntuk membuat bantahan di hadapan rumah ibadat tersebut tersebut hari ini. Turut hadir ke perhimpunan tersebut ialah anak kepada bekas perdana menteri, Datuk Marina Mahathir, yang membawa bunga sambil berdiri di hadapan gereja Our Lady of Lourdes yang sedang mengadakan satu upaca agama Kristian. Ia berikutan ancaman NGO Solidariti Ummah Selangor yang mengumumkan untuk mengadakan bantahan di luar gereja tersebut selepas pengarang penerbitan The Herald, Lawrence Andrew membuat kenyataan menegaskan orang Kristian akan terus menggunakan kalimah Allah. Kumpulan Solidariti Ummah Selangor bagaimanapun mengubah rancangan dan hanya berhimpun di Padang Kelab Sultan Sulaiman bersama kira-kira 100 orang peserta pagi ini, serentak dengan perhimpunan di hadapan gereja tersebut. | ||
'Bapa Tuhan Allah' berkumandang di gereja Klang Posted: 05 Jan 2014 12:21 AM PST MALAYSIAKINIBantahan oleh sekumpulan NGO Islam di padang berhampiran tidak menghalang penganut Kristian mengalunkan puji-pujian kepada 'Allah' dalam satu upacara di sebuah gereja di Klang hari ini. Kalimah 'Allah' itu berkumandang di gereja Our Lady of Lourdes dalam bentuk lagu pujian (hymn) dan doa upacara keagamaan (mass) menggunakan bahasa Melayu. Kira-kira 200 orang yang hadir itu antara lainnya mengulangi pujian "Bapa Tuhan Allah" dan "Tuhan kami yang kudus, Allah" sekurang-kurangnya sebanyak empat kali dalam nyanyian lagu dan juga doa sebelum ucapan utama. Kalimah 'Allah' yang digunakan itu merujuk kepada konsep triniti dalam kepercayaan Kristian. Upacara diketuai paderi Michael Chua itu berlangsung ketika kira-kira 50 orang penganut Islam berhimpun sebagai tanda solidariti di luar gereja. Michael dalam ucapannya mengucapkan penghargaan kepada individu yang hadir terima kasih memberi sokongan dan juga buat para anggota keselamatan yang menjaga keselamatan mereka. Beliau juga berharap agar masyarakat Kristian dapat menjalankan tanggungjawab agama mereka tanpa gangguan. "Ktia terus berdoa spt saituasi aman damai dpt beterusan di Malaysia. "Kita dapat saling hormat menghormati dan umat Kristian ada kebebasan guna bahasa mereka sendiri untuk menyembah Tuhan," kata beliau dalam ucapannya hari ini. | ||
Harga barang: K’jaan perlu tegas bukan sekadar beri amaran Posted: 05 Jan 2014 12:17 AM PST SEREMBAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan diminta mengambil tindakan lebih tegas terhadap pembekal dan 'orang tengah' yang sengaja menaikkan harga barangan dan bukan sekadar member amaran semata-mata. Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana (Ikhlas) Mohd Ridzuan Abdullah berkata kerajaan perlu memantau aktiviti pembekal dan 'orang tengah' yang dikatakan memonopoli rantaian pasaran sehingga mampu menetapkan harga sesuatu barangan tanpa kawalan. Sekiranya masalah ini tidak ditangani dengan segera maka isu kenaikan harga barangan akan terus berpanjangan dan orang ramai akan terus menyalahkan kerajaan, katanya pada sidang media di sini semalam. Beliau menegaskan bahawa peniaga kecil tidak boleh dipersalahkan kerana barangan diperoleh daripada pembekal yang kadang kala akan menaikkan harga sesuka hati. "Sebagai contoh, sekiranya sesuatu barangan itu yang dahulu berharga RM7 dan kemudian pembekal menaikkan menjadi RM10, bagaimana peniaga mahu menjual lebih murah daripada itu? Akhirnya peniaga dan pengguna akan menjadi mangsa dalam masalah ini," katanya. Dalam perkembangan lain, Mohd Ridzuan berkata Ikhlas akan melancarkan satu program pembangunan usahawan dengan bertujuan menggalak penyertaan usahawan Bumiputera menyertai bidang perniagaan. Katanya, pihaknya menyasarkan untuk melahirkan sebanyak 500 usahawan bagi setiap kawasan Parlimen dengan sasaran 111,000 usahawan menjelang 2020. "Program ini meliputi usaha untuk memberi khidmat nasihat, bimbingan meliputi aspek mendapatkan modal serta pengurusan perniagaan secara sistematik dan komprehensif kepada peserta," katanya. - Bernama | ||
Hard rock di Putrajaya, tarikan atau kehidupan bebas? Posted: 05 Jan 2014 12:16 AM PST KUALA LUMPUR: Dengan kedudukan dan imej Putrajaya, selain penduduk dan warga kerjanya adalah majoriti Islam dan Melayu, membenarkan pembukaan Hard Rock adalah suatu penghinaan sebenarnya, tulis Shahbudin Husin. "Apakah Hard Rock sedang diperalatkan untuk memancing anak-anak muda Melayu dan Islam di pusat pentadbiran kerajaan yang selama ini tenang dan damai waktu malamnya supaya beralih kepada kehidupan bebas, tanpa batas dan akses yang yang terbuka kepada minuman keras?" tulis Shahbudin di dalam blognya, semalam sebagaimana di bawah. Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya akan mempunyai satu lagi tarikan, terutama untuk anak-anak muda iaitu pembukaan Hard Rock Cafe di Menara Ikhlas, Presint 3, Putrajaya. Pengumuman mengenai pembukaan Hard Rock Cafe itu diumumkan sendiri oleh Presiden Perbadanan Putrajaya, Aseh Che Mat yang turut memberitahu, ia akan siap dibuka dalam tempoh tiga hingga empat bulan daripada sekarang. Putrajaya adalah pusat pentadbiran kerajaan Malaysia yang senibina bangunannya banyak bercirikan Islam, sesuai dengan kedudukan Malaysia yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi. Lebih dari itu, di Putrajaya juga dibina masjid-masjid yang indah di tepi tasik dan sebuah lagi masjid pula menggunakan sistem penyejukan semulajadi yang menjadi tarikan serta kebanggaan semua. Di Putrajaya, selain sebagai pusat pentadbiran kerajaan, juga terletak kediaman Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan sebahagian besar menteri-menteri kabinet. Kakitangan kerajaan di Putrajaya pula lebih 90 peratus adalah golongan Melayu dan Islam, begitu juga kakitangan kerajaan yang mendiami kuarters kerajaannya. Malah Mahathir Mohamad yang mengasaskan Putrajaya juga mempunyai pejabatnya di Yayasan Kepimpinan Perdana. Imej Melayu dan Islam dengan Putrajaya sebenarnya begitu rapat dan hampir tidak dapat dipisahkan. Selain itu, Putrajaya juga mempunyai beberapa tarikan lain yang sudah cukup menarik seperti tasik buatan, taman-taman, kapal persiaran, jambatan dan sebagainya. Jadi, apa perlunya ada Hard Rock di Putrajaya lagi? Tidak cukupkah tarikan sedia ada untuk Putrajaya sehingga Aseh seperti pendek akal merestui kewujudan Hard Rock itu? Walaupun Hard Rock hanyalah sebuah restoran tetapi ia bukan restoran biasa, ia juga menyajikan hiburan rock dan muzik keras, persembahan artis yang terkinja-kinja dan minuman keras. Sebagaimana empat buah restoran tersebut yang sudah dibuka di negara ini, itulah eleman wajibnya. Tanpa hiburan, muzik tanpa batas, pergaulan bebas dan minuman keras, bukanlah Hard Rock Cafe namanya. Persinggahan mat-mat motor yang menunggang motor besar hanyalah salah satu tarikannya, tetapi tarikan utamanya ialah minuman keras dan hiburan yang mengkhayalkan. Dengan kedudukan dan imej Putrajaya, selain penduduk dan warga kerjanya adalah majoriti Islam dan Melayu, membenarkan pembukaan Hard Rock adalah suatu penghinaan sebenarnya. Apakah Hard Rock sedang diperalatkan untuk memancing anak-anak muda Melayu dan Islam di pusat pentadbiran kerajaan yang selama ini tenang dan damai waktu malamnya supaya beralih kepada kehidupan bebas, tanpa batas dan akses yang yang terbuka kepada minuman keras? Sedarkah Aseh Che Mat yang menjadi Presiden Putrajaya mengenai perkara ini? Apakah Putrajaya sedang cuba dirosakkan secara perlahan-lahan dan kedudukan Najib dan kerajaan yang sudah sedia goyah dengan pelbagai isu dan kontroversi, cuba disabotaj lagi. | ||
Barang naik, salahkan tangan memangkah BN Posted: 05 Jan 2014 12:13 AM PST KUALA LUMPUR: Apabila harga barangan keperluan naik, pemimpin Umno BN dan media Umno cuba menyalahkan peniaga, kata AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad. Katanya, mereka cuba mengalihkan isu untuk dibeban kepada peniaga kerana barang menjadi mahal kononnya beberapa siri tangkapan dan serbuan dilakukan kerana peniaga menaikkan harga barang. "Pada hal peniaga tidak ada pilihan, kerana dengan kenaikan petrol, tol, letrik memberi kesan kepada peniaga dan peningkatan modal. Akhirnya mereka tidak ada pilihan, barang mesti dinaikkan," ujarnya kepada Harakahdaily. Fenomena yang berlaku, kata beliau pengundi BN di dalam PRU13 tidak boleh melepaskan diri kerana mengundi parti itu. "Angkara merekalah menyebabkan telah memberi lesen kepada pemimpin BN yang menaikkan keperluan asas sehingga memberi kesan kepada peningkatan kos walau pun pemimpin BN, terutama yang membodohkan orang Melayu yang tidak bermaklumat kononnya kenaikan harga minyak, tol, elektrik tidak memberi kesan kepada mereka, cuma memberi kesan kepada pengguna yang kaya sahaja," ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang. Menurutnya lagi, malahan mereka diumpan, jangan bimbang, harga barang akan diimbang dengan pemberian BRIM nanti. "Pengundi BN yang separuh sedar termakan dengan hujah tersebut. Sekarang mereka cukup tertekan dengan kenaikan harga barang," ujarnya. | ||
Islam tidak hebat dengan halang agama lain Posted: 05 Jan 2014 12:09 AM PST KUALA LUMPUR: Umat Islam negara ini diingatkan bahawa Islam tidak dilihat hebat hanya apabila umatnya berjaya menyekat dan menghalang usaha pihak lain menyebarkan agama mereka, tegas Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan. Dalam satu kenyataan medianya, Timbalan Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Pusat itu berkata, sebaliknya kehebatan Islam bertolak dari komitmen yang tinggi oleh penganutnya terhadap syiar dan syariat Islam itu sendiri. "Kalaupun tidak berlaku penyebaran agama dan ideologi asing dari Islam, sementara umat Islam pula longgar dan lemah pegangan mereka terhadap syariat Islam, umat Islam tetap akan lemah dan tidak mampu berdiri sebagai umat yang kuat dan berwibawa," ujarnya. Beliau turut memetik kata-kata sahabat Rasulullah s.a.w. yang juga Khalifah ar-Rasyidin ke-2, Saidina Umar al Khattab r.a. bahawa: " Kita (umat Islam) adalah satu golongan yang dikurniakan kekuatan oleh Allah SWT dengan Islam. Maka jika sekiranya kita mencari kekuatan selain daripada kekuatan yang telah dikurniakan oleh Allah SWT, nescaya kita dihina oleh Allah SWT." Sehubungan itu, beliau menyeru umat Islam untuk bangkit berdakwah dan berjuang, melibatkan diri dengan gerakan Islam, membasmi kejahilan dan mendidik serta membimbing masyarakat agar mengamalkan ajaran Islam secara menyeluruh. "Usahlah hanya berbimbang-bimbang pada kemaraan agama lain sedang umat sendiri terumbang- ambing tiada pegangan akidah yang betul dan mantap. " Kalau rumah kita hanya dibina dengan dinding kaca lalu kita risau dan resah setiap kali kenderaan melewati halaman kerana bimbang percikan batu, maka persoalannya sampai bila kita harus resah dan tidak lena tidur? "Alangkah baik jika kita membina rumah berdindingkan batu, pastinya kita rasa selamat dan nyenyak tidur biar pun siapa yang melewati di halaman," ujarnya member kiasan. Ahli Parlimen Temerloh itu mengingatkan umat Islam akan keindahan Islam yang membawa rahmat kepada semua, namun setiap individu dan pemimpin Islam perlu memaparkan qudwah (contoh) yang baik dan bistari. "Tunjukkan akhlak yang mulia bukan kekerasan persis seekor buaya, pamerkan kebijaksanaan bertindak bukan kegelojohan mengatur rentak dan kemukakan kebenaran serta kehebatan hujah bukan berbangga dengan kuasa untuk meredah," tegas beliau. | ||
TMM 2014: Malaysia Sudah Sedia 'Pukau' Pelancong - Muhyiddin Posted: 05 Jan 2014 12:05 AM PST MSTAR ONLINE KUALA LUMPUR: Tahun Melawat Malaysia 2014 (TMM 2014) sudah bersedia menawarkan pengalaman indah dengan pelbagai produk untuk memenuhi keperluan dan citarasa kira-kira 28 juta sasaran pelancong asing dan domestik. Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata selain kekayaan khazanah semula jadi alam flora dan fauna, terdapat juga pelbagai produk dan perkhidmatan pelancongan yang dapat memenuhi selera mana-mana pelancong yang datang ke negara ini. "Ini termasuk produk dan perkhidmatan tambahan di bawah tema penting seperti membeli-belah mewah berpatutan, pengembaraan ekopelancongan, pelancongan kesihatan, keseronokan keluarga, acara-cara bersepadu utama dan pelancongan perniagaan," katanya pada pelancaran TMM 2014 di Dataran Merdeka, malam Sabtu. Majlis berwarna-warni itu turut dihadiri isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz. Muhyiddin berkata TMM 2014 akan bertindak sebagai jambatan persahabatan serta menggalakan pemahaman secara lebih dekat pelbagai budaya dan warisan. Selain manfaat sosio budaya, hasil ketara boleh digariskan daripada perspektif ekonomi dengan harapan untuk menjana pendapatan RM76 bilion, hasil perbelanjaan pelancong pada tahun ini, katanya. Beliau berkata jumlah ini merupakan peningkatan ketara sebanyak RM11 bilion daripada hasil pertukaran mata wang asing. "Setelah digariskan impak besar dalam industri pelancongan, saya berharap ini akan menjadi motivasi dan satu seruan kepada kita semua untuk menawarkan yang terbaik kepada pelancong dalam memastikan TMM 2014 mencapai satu kejayaan luar biasa," kata Muhyiddin. Dalam pada itu, beliau berkata Malaysia berada di landasan betul untuk mencapai matlamat menjadi destinasi pelancongan utama dunia khususnya selepas buku panduan pelancongan Lonely Planet 'Best In Travel 2014' mengiktiraf Malaysia sebagai antara 10 negara yang perlu dikunjungi oleh pelancong daripada dari seluruh dunia. Menurut laporan CNN Travel 2013, Kuala Lumpur menduduki tempat keempat sebagai bandar raya paling popular untuk membeli-belah selepas New York, Tokyo dan London dan tiga pulau dan pantai Pulau Perhentian Kecil, Pantai Juara dan Tanjung Rhu disenaraikan antara 50 Pantai Utama Dunia dalam senarai 100 Pantai Terbaik Dunia. "Di mata dunia, pengiktirafan ini menjadi testimoni Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama," kata Muhyiddin. Beliau meminta semua rakyat Malaysia mengambil tanggungjawab bagi memastikan tetamu asing ke negara ini diberi layan terbaik dengan penuh hormat dan berbudi bahasa. Timbalan Perdana Menteri itu juga memberi jaminan bahawa Malaysia adalah destinasi pelancongan yang selamat dan ini boleh dilihat dengan kepelbagaian kumpulan etnik yang hidup harmoni dengan ikatan persaudaran dan perpaduan yang kukuh. Beliau berkata kerajaan juga telah mengambil langkah bagi memastikan keselamatan pelancong dengan menempatkan anggota polis di kawasan tumpuan pelancong. "Untuk tetamu dan pelancong kami, izinkan saya untuk sekali lagi mengalu-alukan anda untuk meraikan TMM 2014. Biarkan rakyat Malaysia yang mesra dan peramah memukau imaginasi dan hati anda untuk membawa pulang kenangan indah semasa berada di Malaysia," katanya. - BERNAMA |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan