DIALOG RAKYAT |
- MCA tetap mahu Kajang, selar KJ
- Siapa yang beruntung jika isu Allah ini memporak perandakan negara?
- Jika Anwar Jadi MB Selangor, Peluang BN Lebih Tipis Dalam PRU 14
- Anwar mahu temui pengkritik beri penjelasan
- Nik Aziz muak laporan 'manipulasi demokrasi'
- Anwar: Bertanding di Kajang bukan turun pangkat
- PM jumpa penyokong malam ini, bendung pemberontakan parti
- Enam agenda pastikan Pemuda PAS di hadapan - Suhaizan
- Mat Sabu: PAS tak akan boikot kempen di Kajang
- Cerita letupan kuari, sekolah tak ada jalan masuk dll di Tawau
- Dun Kajang: Jangan buat kenyataan bersifat spekulatif
- Syukur, saudara kita tak perlu bakar rumah
- Pengosongan DUN Kajang: Fahami agenda disebaliknya
- Syukurlah pemimpin dunia turun Kajang
- Azmin cabar PM lawan Anwar
- Anwar kunci selesai masalah dalaman PKR
- NIk Aziz cabar Umno-BN tidak letak calon PRK Kajang
- PRK Kajang : BN tandus pemimpin berwibawa lawan PKR
- Kajang: Pemuda Umno bayangkan calon bukan MCA
- 'Saya hanya akan berhenti dengan keputusan sendiri'
- Dakwa aktivis Turun, kerajaan tutup kritikan terhadap dasar BN
- GERAMM sambut baik cadangan piawai kod etika kewartawanan
- Anwar: Selangor asas Pakatan Rakyat tawan Putrajaya
MCA tetap mahu Kajang, selar KJ Posted: 29 Jan 2014 05:06 AM PST MALAYSIAKINIMCA akan tetapi mewakili BN di Kajang dan Pemudanya hari ini mengingatkan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin supaya tetap menghormati semangat kebersamaan dalam gabungan 14 parti itu. "Kita mempunyai matlamat sama, tetapi (Khairy) tidak patut secara terbuka berkata ia tidak akan mengikut formula lama (pemilihan calon)," kata Ketua Pemuda MCA Chong Sin Woon. "Dia (Khairy) jelas kata (Kajang) tidak semestinya akan ditandingi oleh MCA," kata Chong dalam sidang media hari ini. Pemuda Umno semalam mahukan BN memilih calon terbaik berdepan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang dan ia tidak semestinya daripada MCA. Justeru, ketua pergerakan itu Khairy Jamaluddin berharap BN tidak terikat dengan formula lama antara komponennya di DUN itu. | |||
Siapa yang beruntung jika isu Allah ini memporak perandakan negara? Posted: 29 Jan 2014 04:53 AM PST Dua butir 'Molotov Cocktails' telah dilemparkan kedalam kawasan gereja dijalan Farquhar di Pulau Pinang pagi tadi dan ini adalah satu kejadian yang sangat menakutkan kepada siapa yang ada agamanya dan yang menghormati undang-undang serta memahami keadaan hidup dalam negara berbilang kaum dan agama. Telah dikatakan tindakan dua orang diatas motorsikal membaling 'Molotov cocktails' ialah kerana rentangan kain digereja yang menggunakan nama Allah itu. Negara ini seolah-olah sudah tiada undang-undang lagi dan seolah-olah kita tidak ada kerajaan yang memimpin kita lagi. Kita sekarang bukan sahaja tidak ada siapa yang mentadbir kita, rakyat yang ramai pun sudah tidak mengindahkan hidup beragama dan bermasyarakat berbilang kaum. Tiada siapa yang takut dengan undang-undang semata-mata telah dibudayakan dalam kepimpinan kerajaan yang undang-undang itu hanya untuk siapa yang hendak dipersalahkan sahaja. Siapa yang melakukan kerja hina ini wajar ditahan dan dihadapkan dihadapan pengadilan Mahkamah dengan serta merta kerana kejadian ini boleh merebak dan akan tidak dapat dikawal lagi. Ramai diantara kita tidak mempunyai tempat lain untuk berpindah. 'Di mana bumi dipijak disitulah langit yang kita junjung'. Rakyat ada hak untuk hidup aman. Kenapa politik begitu zalim terhadap rakyat kerana isu yang menyebabkan kejadian ini adalah isu politik dan bukannya agama. Ia bukan isu agama kerana Allah itu adalah Tuhan semesta alam dan nama Tuhan ini telah diguna pakai dimana-mana diseluruh dunia ini. Kenapa isu ini menjadi besar dinegara ini pun tiada siapa yang boleh menentukan penyebabnya selain dari isu politik. Sebelum kita berjuang untuk agama elok masing-masing bertanya kepada diri sendiri, adakah kita sebenarnya memahami tentang agama yang kita masing-masing anuti sekarang ini. Bagi mereka yang benar beragama dengan sesungguhnya keadaan ini tidak akan berlaku kerana jika masing-masing beragama kita akan hidup dalam keadaan tenang dan sejuk jiwa. Blog ini pernah mencadangkan supaya dihimpunkan semua alim ulamak fiqh dan tasawuf yang muktabar dari seluruh dunia untuk membantu usaha kita menjaga keamanan dalam masyarakat berbilang kaum dan agama ini. Jangan pula dianggap tindakan itu merupakan tindakan kuasa luar masuk campur dalam negara kita, kerana agama tidak mempunyai sempadan geografi atau politiknya. Agama itu universal dan jika dilakukan himpunan untuk menyelesaikan masalah ini ia adalah satu tindakan yang proaktif bagi kerajaan hari ini. Keadaan ini tidak boleh dibiarkan berlaku dengan sewenang-wenangnya tanpa tindakan mencegahnya. Diharap tidak ada pihak yang sengajakan membesarkan isu ini untuk digunakan untuk politik sesuatu pihak kerana sejarah negara ini membuktikan yang setengah pihak amat menyukai keadaan ini berlaku untuk menjadikan alasan untuk memperkuatkan kedudukan politik mereka. Ada pemimpin negara ini yang berkuasa disebabkan keadaan yang tidak menentu dan merbahaya dan keadaan merbahaya ini mungkin sengaja dilakukan untuk tujuan dan matlamat itu. Apa yang berlaku di Pulau Pinang semalam, 'accountability' nya wajar diambil tindakan oleh Kementerian dan Menteri yang bertanggungjawab tentang keselamatan negara. Jika ia gagal diselesaikan dengan secepat yang mungkin, Menteri yang bertanggungjawab mesti mengambil 'accountability' terhadap apa yang berlaku ini. Jika Menteri dan Kementerian yang bertanggungjawab tidak mahu mengambil 'accountability' ini maka seluruh kerajaan wajar meletakkan jawatan kerana isu ini perlu diambil alih oleh orang lain. Pemimpin itu wajar yang tidak dipersepsikan sebagai pemimpin yang tidak selalu menggunakan sentimen perkauman dan agamanya tanpa hala tuju. Sementara itu orang ramai yang terkejut dengan kejadian ini berharap pihak Polis akan dapat menjalankan penyiasatan dan membawa pelaku jahat itu kemuka pengadilan secepat yang mungkin. Kita mahu tahu siapa dalang disebalik kejadian ini. Itu sebabnya saya selalu berkata jika kita dipimpin oleh mereka yang 'desperate' untuk mengekalkan kuasa dan berhadapan pula dengan mereka yang 'desperate' untuk mengambil alih kuasa itu, pasti akan membawa negara ke kancah yang aib seperti ini. Mangsanya bukan pihak lain tetapi kita rakyat yang ramai-ramai ini. tetapi akhirnya kita akan tahu juga siapa dan pihak mana yang mendapat keuntungan daripada isu yang sangat sensitif ini. | |||
Jika Anwar Jadi MB Selangor, Peluang BN Lebih Tipis Dalam PRU 14 Posted: 29 Jan 2014 04:49 AM PST shahbudindotcom.Sementara kedudukan Najib Razak sebagai Perdana Menteri sedang dipertikai dan diasak agar segera berundur bagi mengelakkan BN menerima kekalahan dalam PRU 14 nanti, Anwar Ibrahim nyata telah mengambil langkah yang jauh lebih ke depan dengan kemungkinan besar menjadikan dirinya sebagai Menteri Besar Selangor yang baru menggantikan Khalid Ibrahim. Sejak akhbar The Star mendedahkan kemungkinan Khalid Ibrahim meletakkan jawatan pada Rabu ini bagi memberi laluan kepada Anwar Ibrahim memgambil tempatnya, atmosfera politik negara agak kalut seketika dengan perbincangan pro dan kontra mengenai perkara itu. Walaupun Anwar dan Khalid masing-masing menafikan perkara itu dan menganggapnya hanya khabar angin semata-mata tetapi dengan keluarnya berita perletakan jawatan ADUN Kajang, Lee Chin Cheh menjelang jam 5.00 petang, semakin ramai yang meyakini perletakan itu adalah semata-mata untuk memberi laluan Anwar Ibrahim bertanding di kawasan itu dan seterusnya menjadi MB Selangor. Dengan kemenangan besar Lee dalam pilihanraya umum lalu iaitu majoriti 6,824 undi, jika Anwar bertanding dalam pilihanraya kecil yang mesti diadakan dalam tempoh 60 hari, tentulah tiada masalah besar untuk beliau mencipta kemenangan di kawasan itu. Lebih-lebih lagi dengan keyakinan bahawa Anwar bakal menjadi MB Selangor, tidak mustahil kemenangan yang lebih besar mampu dicapainya. Langkah Anwar mengambil alih jawatan MB Selangor ini tidak diragui lagi adalah langkah bijaknya dalam menyelesaikan krisis di Selangor yang melibatkan antara Khalid Ibrahim dengan Azmin Ali. Dengan Anwar menjadi MB Selangor, ia adalah jalan tengah yang mendamaikan antara kedua-dua kumpulan itu sehingga pilihanraya akan datang dan Khalid serta Azmin juga tentunya tiada halangan terhadapnya. Tidak dinafikan bahawa krisis Khalid dengan Azmin, jika dibiarkan berlarutan bukan saja boleh menjejaskan peluang PR mengekalkan kemenangan di Selangor dalam pilihanraya umum akan datang, bahkan tidak mustahil selepas pilihanraya umum akan datang jumlah kerusi kemenangan PKR makin berkurangan dan ini tentunya memberi lebih peluang kepada ADUN Pas pula untuk menduduki kerusi MB Selangor. Namun dengan Anwar menjadi MB Selangor, tidak saja ketegangan kumpulan Khalid dan Azmin dapat diredakan, malah juga menyebabkab tiada lagi keributan dalam Pakatan Rakyat dalam penentuan jawatan MB Selangor selepas ini. Seperti yang diakui, Pas dan DAP tentunya akan memberi sokongan penuh kepada Anwar Ibrahim dalam perhitungan ini. Dalam masa yang sama, dengan melonjakkan isu beliau bakal mengisi jawatan MB Selangor, isu perceraian Nurul Izzah yang cuba dimanipulasikan oleh pihak-pihak tertentu untuk memberi gambaran buruk terhadap imej anaknya, dengan sendirinya telah menemui jalan matinya. Selepas ini, semua orang hanya akan memperkatakan tentang Anwar saja dan melupakan Nurul Izzah. Dengan menjadi MB Selangor selama empat tahun menjelang pilihanraya umum akan datang, kedudukan Anwar dan Pakatan Rakyat secara realitinya akan bertambah kukuh lagi di mata rakyat jika beliau berjaya mentadbir negeri itu dengan jayanya dalam tempoh tersebut. Dengan pengalaman sebagai penasihat ekonomi negeri Selangor dan kedudukan rizab Selangor yang kukuh iaitu hampir RM3 bilion serta Selangor sendiri sebagai negeri yang paling maju, Anwar rasanya tidak menghadapi banyak masalah untuk mencipta lebih banyak kejayaan dan kejutan untuk negeri itu. Jika itu dapat dilakukan, kedudukan sebagai MB Selangor akan menjadi laluan lebih selesa menuju Putrajaya. Dalam masa yang sama, selain kedudukan Anwar dan Pakatan Rakyat akan bertambah kukuh menuju laluan ke Putrajaya setelah menjadi MB Selangor nanti, Noh Omar juga bolehlah melupakan hasratnya untuk menawan negeri itu dalam pilihanraya umum nanti dan sebaiknya mulai merangka surat persaraannya daripada arena politik. Yang paling menarik dengan Anwar menjadi MB Selangor ini ialah berkenaan kedudukan Najib sebagai Perdana Menteri. Sementara beliau sedang dipertikaikan dengan pelbagai isu seperti kenaikan harga barang, kos sara hidup, kalimah Allah dan sebagainya, dalam masa yang sama tekanan supaya beliau berundur juga semakin kuat kedengaran. Beberapa blogger pro UMNO dan Mahathir seperti Outsyed The Box, Apanama, Unspinners dan Kadir Jasin sedang mempertingkatkan tekanan agar Najib berundur dan memberi bayangan bahawa BN akan tewas jika beliau terus kekal sebagai PM. Terbaru pula, bekas Menteri Kewangan, Daim Zainuddin sudah mula mengkritik Najib secara terbuka dengan menggariskan beberapa kelemahannya serta turut meramalkan BN akan tumbang jika pilihanraya diadakan dalam suasana seperti sekarang ini. Terdapat juga maklumat yang mengatakan dalam beberapa perjumpaan dengan kumpulan tertentu, Mahathir juga turut mengkritik Najib secara agak lantang dan tanpa segan silu. Maklumat lain pula menyebut, seiring dengan pendirian Mahathir bersetuju dengan pandangan Daim, bekas PM itu juga dikatakan sudah tidak lagi memberi sokongannya kepada Najib. Bersama dengan tekanan dan asakan yang semakin kuat itu, bertambah kukuhnya kedudukan Anwar dengan menjadi MB Selangor pula, tidak dapat tidak, kedudukan Najib pastinya kian terhimpit. Dengan menjadi Ketua Pembangkang dan kuasa sebagai MB Selangor dalam masa yang sama, aura Anwar dan kestabilan Pakatan Rakyat dalam menghadapi BN dalam PRU 14 juga turut meningkat. Ini akan menjadikan tekanan daripada dalam UMNO terhadap Najib turut meningkat. Menunggu Najib berubah, menjadi lebih tegas dan menyelesaikan semua isu berbangkit, mungkin hanya tindakan membuang masa. Tindakan terbaik pastinya memaksa beliau berundur dan digantikan dengan pemimpin lain. Hanya dengan pengunduran Najib dalam kadar yang lebih segera mungkin memberi sedikit peluang kepada BN dalam pilihanraya umum nanti. | |||
Anwar mahu temui pengkritik beri penjelasan Posted: 29 Jan 2014 04:42 AM PST MALAYSIAKINI Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau akan menemui pengkritiknya, termasuk peguam Datuk S Ambiga, rakan Pakatan Rakyat dan mungkin BERSIH 2.0, berikutan hasratnya untuk bertanding kerusi DUN Kajang. Anwar mengakui keprihatinan tersebut adalah adil serta merasakan beliau berhutang penjelasan kepada mereka dan rakyat. "Mereka ingin mendengar dari saya mengapa saya mengambil keputusan untuk bertanding. Saya terima kritikan rakan-rakan dan lain-lain yang menuntut saya jelaskan. Ambiga juga mahu saya berikan penjelasan dan itu adalah adil. "Saya akan bertemu dan menjelaskan kepada mereka, termasuk penduduk Kajang," katanya dalam satu sidang akhbar hari ini di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya. Malam tadi Ambiga berkata PKR berhutang penjelasan kepada rakyat berikutan peletakan jawatan secara mendadak ADUN Kajang dari PKR, Lee Chin Cheh pada hari Isnin dan Anwar akan bertanding di kerusi tersebut. BERSIH 2.0 juga mengeluarkan kenyataan keras mengecam tindakan PKR itu sebagai mengkhianati kepercayaan pengundi. | |||
Nik Aziz muak laporan 'manipulasi demokrasi' Posted: 29 Jan 2014 04:40 AM PST MALAYSIAKINI Datuk Nik Aziz Nik Mat hari ini menyuarakan rasa "muak" dengan laporan akhbar Umno yang mentafsirkan pengosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kajang sebagai "manipulasi demokrasi". Mursyidul am PAS itu bagaimanapun menjelaskan tidak tahu tentang strategi atau isu yang berlaku di sebalik pengosongan itu dan menunggu jawapan penjelasan PKR yang menurutnya tentu mempunyai sebab tertentu. "Saya suka mencabar Umno dan BN, jika mereka berpandangan pengosongan kerusi di DUN Kajang itu satu pembaziran dan penghinaan terhadap proses demokrasi, jangan sekali-kali mereka meletakkan calon di dalam pilihan raya kecil itu nanti," katanya. Dalam kenyataannya di Facebook hari ini, beliau mengingatkan tentang pertukaran kerajaan di Perak pada 2009 yang didakwanya membelakangkan demokrasi dan rampasan kerajaan melalui pintu belakang. "Umno jangan berlagak baik sedangkan dosa-dosa mereka di Perak masih segar dalam ingatan," kata bekas menteri besar Kelantan itu. Beliau juga berkata, sikap PAS berhubung perkembangan terbaru ini wajar diputuskan oleh presiden PAS selaku kuasa eksekutif parti berdasarkan pertimbangan semasa. | |||
Anwar: Bertanding di Kajang bukan turun pangkat Posted: 29 Jan 2014 04:37 AM PST Keputusan bertanding pilihan raya kecil (PRK) Kajang bukan bermakna turun pangkat tetapi Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan dirinya sebagai contoh seorang pemimpin yang hebat. Anwar yang memegang jawatan Ketua Umum PKR serta Ketua Pembangkang berkata, seorang pemimpin yang sentiasa berada di atas adalah sesuatu yang tidak bagus. "Pemimpin hebat, dia boleh besar boleh turun. "Kalau dia rasa dia di atas saja tak bagus," jawab Anwar apabila ditanya sama ada keputusan bertanding di Kajang menunjukkan pangkat yang disandangnya ketika ini jatuh memandangkan statusnya sebagai pemimpin utama PKR dan Pakatan Rakyat (PR). Anwar berkata keputusan meletaknya di Kajang adalah kerana desakan daripada parti dan bukan kerana mengejar kedudukan. "Ia cadangan dikemukakan pimpinan. "Saya kata, kalau betul nak DUN (kerusi Dewan Undangan Negeri), saya ada pilihan pada 2008 dan 2013, kalau saya nak. Tapi tentunya ada pertimbangan, desakan dan keadaan yang memaksa sehingga saya ambil keputusan ini," kata Anwar apabila ditanya mengapa PKR tidak meletakkan calon lebih muda di Kajang | |||
PM jumpa penyokong malam ini, bendung pemberontakan parti Posted: 29 Jan 2014 04:33 AM PST Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak malam ini memulakan langkah untuk mempertahankan diri daripada serangan pengkritik yang tidak henti-henti menyerangnya sejak bulan lalu selepas pemilihan Umno pada Oktober. The Malaysian Insider difahamkan bahawa presiden Umno itu akan mengadakan pertemuan dengan ketua bahagian, pemberi pendapat dalam parti dan penyokongnya untuk menangani kritikan yang dilemparkan terhadap kepimpinannya oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Daim Zainuddin dan beberapa veteran parti yang lain. Najib dijangka menggariskan apa yang beliau percaya sebagai motif di sebalik semua serangan di ruang siber, hampir serupa dengan kempen yang akhirnya menyebabkan Tun Abdullah Badawi melepaskan jawatannya pada 2009. Susulan daripada taklimat tertutup itu, pengikut setia Najib dijangka turun ke akar umbi dan menyebarkan pesanan PM untuk terus berjuang dan jangan menghiraukan sebarang kritikan. Taklimat itu adalah tanda yang menunjukkan Najib dan barisan penasihat akhirnya menerima hakikat bahawa serangan bertubi-tubi dan berterusan terhadapnya adalah perkara yang serius serta memberi kesan terhadap pegangan kuasanya. Najib dilantik sebagai presiden Umno bagi penggal kedua selepas menang tanpa bertanding dalam pemilihan parti dan hampir semua orangnya berada dalam Majlis Tertinggi Umno, tetapi itu tidak menghentikan kritikan yang menggunung mengenai kepimpinannya. Tetapi, tidak ada bahaya yang mendesak menunjukkan Najib akan kehilangan kuasanya dalam parti atau Parlimen, walaupun wujudnya spekulasi menyatakan pengkritiknya mahu beliau meletakkan jawatan sebelum akhir tahun ini. Mandat Najib sebagai presiden parti adalah sehingga 2016 manakala kerajaan pemerintah Barisan Nasional ada sehingga 2018 sebelum penggal tamat. Langkah berdiam diri yang diambilnya terhadap serangan dalam parti dan di alam siber dilihat sebagai tanda kelemahan, hampir serupa dengan sikap "senyap bergaya" Abdullah ketika bekas perdana menteri itu dikutuk dan dilabelkan sebagai "Slumberjack". Orang kuat Najib yang juga Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor mengarahkan pengkritik menggunakan saluran dalam parti untuk menyuarakan kegusaran dan tidak puas hati masing-masing. Secara jelas pesanan itu ditujukan kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir yang sebelum itu mengeluarkan kenyataan potongan subsidi Najib akan memberi kesan kepada sokongan terhadap BN pada pilihan raya akan datang. Bapa Mukhriz, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga mengkritik BN di bawah pentadbiran Najib dengan berkata gabungan itu lemah dan kerajaan sepatutnya memotong perbelanjaan, bukan subsidi. Daim, bekas penasihat ekonomi kerajaan dan menteri kewangan, dalam satu mesyuarat tertutup di Umno Merbok, 10 hari lalu, turut berkata BN boleh kehilangan kerajaan jika pilihan raya diadakan pada waktu sekarang dengan polisi semasa BN terkini. Perdana menteri juga menjadi bahan lawak di alam siber berhubung kenyataannya yang meminta rakyat bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan apabila berlaku kejatuhan harga, bukan hanya tahu menyalahkan kerajaan ketika harga naik. Sumber dalam Pejabat Perdana Menteri berkata pembantu khas Najib menuduh adiknya, ketua CIMB, Datuk Seri Nazir Razak berniat "jahat, serangan tertutup" terhadap abangnya menerusi artikel yang disiarkan sempena mengingati pemergian ayah mereka, Tun Abdul Razak Hussein ke rahmatullah pada 1976. Dalam artikel yang disiarkan oleh The Malaysian Insider dan dua media lain, Nazir memuji allahyarham bapanya yang memegang sifat integriti dan langkah berjimat dan berkata, pemimpin negara patut kembali ke pangkal jalan untuk membangunkan negara. Najib yang mula memegang tampuk kuasa pada April 2009 berjanji untuk berubah dan melaksanakan liberalisasi menerusi landasan 1Malaysia dan berkata, zaman "kerajaan tahu yang terbaik" sudah berlalu. Tetapi, perubahan yang dilaungkannya menyebabkan BN kalah lebih banyak kerusi dalam Pilihan Raya Umum ke-13 dan ekonomi Malaysia merudum dengan ramalan global agak suram sehingga memaksa Najib memotong subsidi dan memperkenalkan cukai penggunaan untuk memastikan kadar kewangan yang positif. Potongan subsidi dan gaji minimum mandatori serta peningkatan kos sara hidup datang serentak bersama serangan terhadap perdana menteri yang sering melakukan lawatan ke luar negara dan kegagalannya mengawal perbelanjaan awam. Selepas teruk dikritik, Najib mengumumkan 11 langkah untuk berjimat tetapi pengkritik berkata, ia terlalu sedikit dan sudah terlambat hingga memerlukan Dr Mahathir kembali ke Putrajaya untuk memulihkan nasib Malaysia. | |||
Enam agenda pastikan Pemuda PAS di hadapan - Suhaizan Posted: 29 Jan 2014 04:18 AM PST KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Malaysia menggariskan enam fokus bagi memastikan mereka terus berada dihadapan dalam persada politik tanah air. Ketuanya, Suhaizan Kaiat berkata, beliau menyedari bahawa Pemuda PAS dilihat kurang berkesan dalam mendepani isu rakyat dan penyelesaian kepada perkara itu menjadi fokus utama. "Kita mahu Pemuda PAS menguruskan isu-isu rakyat dengan lebih konsisten dan berkesan dan ini bertujuan agar pemuda lebih mendepani isu tersebut dan menyelesaikannya sehingga peringkat akhir," jelasnya dalam satu temubual bersama Harakah dan Harakahdaily. Kedua, Pemuda PAS juga ujarnya akan meneruskan agenda yang dibuat pemimpin sesi sebelumnya. "Pemuda juga akan memberi fokus kepada pengundi Melayu terutamanya golongan muda, yang memerlukan satu mekanisme dan menggerakkan agenda bersepadu dalam urusan tersebut. "Dalam urusan membabitkan pengundi muda kita telah menubuhkan Jabatan Pendidikan politik," sambung beliau. Menurut Suhaizan, pemuda juga akan menjadikan pendekatan dakwah baru sebagai agenda penting mereka. Katanya, pemuda akan menerokai dimensi dakwah baru dengan konsep yang lebih kreatif dan berkesan, dan bagi tujuan itu Lajnah Dakwah dan Penerangan dipisahkan untuk gerak kerja yang lebih fokus. Menurut beliau, melalui penekanan ini pendakwahan yang dijalankan adalah bertujuan untuk memberi penerangan tentang Islam kepaada masyarakat pelbagai kaum yang mengamalkan konsep santai. "Pemuda juga menetapkan konsep tarbiyah dan perkaderan, ini merupakan perkara paing asas dalam parti, generasi baru yang memerlukan sentuhan yang lebih dinamik. "Perkaderan, memang kita melahirkan ramai pertugas-pertugas tetapi itu hanya meliputi peringkat bawah dan hanya di dalam parti, mulai sekarang kita akan memberi fokus di mana pemuda akan melahirkan pemimpin yang bukan sahaja berwibawa di peringkat parti tetap juga di peringkat nasional. Selain itu katanya, pemuda juga memberi tumpuan kepada sistem pengurusan yang lebih sistematik di semua peringkat. "Kita perlu ada satu mekanisme yang yang betul serta rangka kerja yang lebih selaras bagi tujuan kerja yang lebih efisyen," kata beliau lagi. Turut serta pada sesi temubual itu ialah Setiausaha Dewan Pemuda PAS Malaysia Mohd Nasaie Ismail. | |||
Mat Sabu: PAS tak akan boikot kempen di Kajang Posted: 29 Jan 2014 03:40 AM PST MALAYSIAKINITimbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata parti itu tidak akan memboikot kempen Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil (PRK) DUN Kajang. Beliau menegaskan demikian walaupun mengakui pandangan keras PAS Selangor dan Dewan Pemudanya semalam, yang mengkritik tindakan PKR mengosongkan kerusi tersebut untuk memberi laluan kepada PRK. Bercakap dalam satu sidang akhbar bersama dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, Mohamad berkata PAS tidak akan memboikot PRK tersebut dan akan menyokong PKR. Anwar yang juga ketua umum PKR akan dicalonkan bertanding kerusi DUN Kajang berikutan peletakan jawatan mengejutkan penyandangnya, Lee Chin Cheh dua hari lepas. | |||
Cerita letupan kuari, sekolah tak ada jalan masuk dll di Tawau Posted: 29 Jan 2014 03:34 AM PST
Pagi Ahad, 19 Januari. Hari kedua saya di Tawau. Dua panggilan Yang Dipertua PAS kawasan, Mohamad Husain, tidak sempat dijawab. Sejak awal pagi, kami agak terkejar-kejar membuat tinjauan ringkas, menyelongkar isu-isu rakyat di lapangan, yang belum didedahkan secara menyeluruh oleh media. Saya dan wartawan Arif Atan tiba agak lewat di lokasi, Pasti Nurul Hannani, Jalan Kuhara. (Rupanya Pasti di Tawau -- antara yang terbaik pengurusannya di Malaysia -- mendapat sambutan hebat ibu bapa, termasuk keluarga penyokong dan pemimpin Umno). Pengarang Berita, Wan Nordin Wan Yaacob sampai lebih awal. Majlis jamuan dan meraikan bekas tahanan ISA, bertempat sudah bermula. Saya terpaksa berhati-hati menuruni cerun di jalan masuk depan Pasti. Dua anak muda dengan sopan cuba memapah saya. Terasa macam orang tua kurang upaya! Bekas tahanan dua kali dikurung di Kamunting, Ustaz Nazri Dollah, baru memulakan ucapan, menekankan teladan unggul Rasulullah s.a.w. Saya perlu meredakan kepenatan di barisan kerusi paling belakang sebelum bersama Nazri dan Mohamad di atas pentas, Wajah jernih anak-anak kecil yang pernah berkunjung ke Pejabat Harakah menggamit perhatian saya. Begitu juga para isteri yang dulunya berwajah suram. Sekilas, saya dapat mengesan mereka kini dalam mood berbeda. Alhamdulillah. Memang kunjungan kali ini bukan lagi waktu untuk berduka atau bercerita kisah sedih. Sebaliknya tanda simbolik menguburkan akta rimba penuh kezaliman yang memisahkan keluarga pejuang. Dan turut mahu dibenamkan ialah ketakburan elit penguasa serta kesombongan pencacai, khususnya anggota Cawangan Khas (SB). "Saya kira selepas ISA dimansuhkan dua tahun lalu dan semua tahanan dibebaskan minggu lepas, maka ini mungkin kunjungan terakhir ke Tawau, ditambah pula keuzuran badan," ujar saya dalam mukadimah forum membariskan bekas tahanan berkongsi pengalaman. "Rupanya, tidak. Dan saya terlewat sampai ini pun kerana terpaksa menyusun jadual melihat sendiri banyak projek sakit dan isu-isu rakyat di Tawau, seperti penyelewengan pembinaan Sekolah Menengah Titingan, dan paling mengejutkan insiden batu besar kuari meranapkan 12 rumah di Kampung Tanjung Batu Kukusan. Dahsyat sungguh! "Insya-Allah, walaupun ISA sudah berkubur, saya dan rakan-rakan Harakah akan datang lagi ke Tawau," kata saya, disambut ketawa kecil hadirin. Seawal pagi hujung minggu itu (walaupun sudah dianggap lewat dalam kiraan jam di Sabah) kami menjejaki projek pembinaan Sek Men Kebangsaan Titingan, Tawau, yang hampir siap dan sepatutnya sudah mula beroperasi tahun lalu. Malam sebelumnya, kami dibawa menikmati juadah makanan laut yang segar dan enak, di sebuah restoran berdekatan, Sri Titingan, memaksa saya melanggar diet diabetis, jantung dan kegagalan buah pinggang. Saya perhatikan kawasan sekolah dipagar sepenuhnya. Kami ditemani Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, juga Yang Dipertua PAS Kalabakan, Ahmad Dullah. Ahmad yang murah dengan senyuman dan kerap berjenaka itu seperti keberatan membenarkan saya menyelit melalui "lorong tikus". Saya terpaksa mengempiskan perut dan menahan nafas untuk meloloskan diri. "Dah jauh ke sini, haji, takkan tersekat nak masuk ke dalam, kot," saya bersuara perlahan, ketawa kecil, sambil bertongkat mengimbangi badan agar tidak tersepit. Saya lebih risaukan benda-benda tajam yang boleh melukakan dan berisiko tinggi kepada pengidap diabetik. Memang mengejutkan. Bangunan sekolah yang menelan kos RM40 juta itu boleh dikatakan siap sepenuhnya tetapi kini terbiar sepi. Lalang hampir separas pinggang. Banyak peralatan, termasuk pendingin hawa telah dicuri. Hatta pintu dewan besar pun tanggal, lesap. Apatah lagi jeriji besi yang boleh dijual di pasaran gelap dengan mudah. Pelik bin ajaib juga memikirkan punca masalah bagaimana bangunan sekolah yang siap tidak dapat dimanfaatkan. (Tapi, bukankah tiada yang aneh di negara tercinta ini, segalanya serba mungkin dan tiada yang mustahil, 'kan?) (Gambar:Tersepit semasa menyelit melalui "lorong tikus" untuk meninjau pembinaan sekolah menengah titingan, tawau, yang menyimpan penuh misteri ... Sekolah ini sepatutnya sudah boleh digunakan tahun lepas tetapi kini naik semak samun dan dipagar rapat.) Difahamkan tiada jalan masuk ke sekolah baru ini. Soalnya, bagaimana projek boleh diluluskan tanpa dibereskan kemudahan paling asas terlebih dahulu? Mungkinkah -- untuk kesekian kali -- rasuah atau elemen seumpamanya. sepertimana pernah menyebabkan banyak lagi projek sebelum ini terbengkalai atau roboh kemudiannya, terutama di bawah Kementerian Pendidikan? Soalan-soalan itu sebenarnya tidak lagi menimbulkan tandatanya, malah sudah ada jawapan "sejak azali" lagi! Ya, pemerintahan Umno-BN tidak dapat dicerai-tanggal daripada korupsi, kronisme, salahguna kuasa atau sekurang-kurangnya pembaziran melampau. Lebih aneh lagi apabila khabarnya Putrajaya telah dimaklumkan bahawa pelajar-pelajar sudah berpindah ke sekolah baru itu. Belum lega dengan kejutan itu, kami dibawa ke sekolah tumpang, di kawasan setinggan berhampiran, yang terpaksa menampung pelajar sekolah terbengkalai tersebut. Melihat situasi di sekeliling, saya dapat membayangkan risiko tinggi yang menunggu, antaranya banjir dan kebakaran. Sementara menunggu hidangan juadah nasi Arab di majlis meraikan bekas tahanan ISA, seorang guru membisikkan kepada saya: "Bukan hanya sekolah Titingan yang terbengkalai, banyak lagi projek sakit di Tawau ini." Dia menyebut nama dua sekolah menengah itu, Kubota dan Kinabutan, yang kemudiannya kami lawati esok hari, bersama Mohamad Husain. Secara peribadi saya tidak begitu kaget dengan perkampungan setinggan atau penempatan di atas air di Tawau. Semasa di Sandakan beberapa bulan lalu, saya perhatikan situasi di sana lebih sesak dan menyedihkan. Begitu juga dengan keadaan anak-anak kecil yang berkeliaran di pasar. Saya lebih terdorong dan rasa bertanggungjawab untuk mengangkat isu kuari di Kampung Kukusan. Melihat sendiri bongkah batu sebesar rumah, yang meranapkan 12 kediaman, cukup menggerunkan. Berdepan "lembaga" batu sebesar itu, yang jatuh bagaikan peluru selepas puncak bukit diletupkan, pada April 2013, saya bukan saja terkejut tetapi sekali gus api kemarahan memuncak. Bukankah aktiviti pengkuarian terpaksa melalui prosedur yang cukup ketat, khususnya daripada Jabatan Alam Sekitar, yang memerlukan laporan EIA dan persiapan kawalan risiko kecemasan yang diluluskan Jabatan Bomba dan Penyelamat serta pihak polis? Bukan saja impak gegaran, bau, bunyi bising dan habuk yang diambil berat, malah prioriti paling atas adalah aspek keselamatan, bukan hanya terhad kepada manusia tetapi juga binatang. (Gambar:Nah! Inilah bongkah batu yang mengelongsor jatuh dari atas bukit di Kg Kukusan, Tawau, menghempap 11 rumah ...) Difahamkan kawasan kuari juga hendaklah dilanskap dengan tumbungan rendang yang dapat menghalang pandangan visual penduduk terdekat. Selain itu, operasi kuari hendaklah dihentikan serta merta jika terdapat sebarang aduan pencemarfan atau gegaran atau batu terbang (flyrock) daripada penduduk sekitar. Dan sebagai rakyat biasa, saya rasa terhina dengan sikap rakus dan memandang rendah keselamatan orang awam, konspirasi ahli perniagaan tamak bersama elit pemerintah takbur. Sama sekali anda tidak boleh mempercayainya apabila letupan kuari sedahsyat itu, yang memuntahkan bongkah batu pejal yang masih tersergam, namun ia masih belum berjaya menghentikan operasinya. "Inilah bukti kerja jahat kapitalis rakus yang mahu mengorek segala khazanah bumi tanpa menghiraukan keselamatan orang awam," Arif Atan meluahkan rasa hati semasa kami masih berkereta menuju jalan masuk ke Kg Kukusan atau lebih popular dengan sebutan Besi Buruk. (gambar:Kg Kukusan, Tawau, 19 Januari 2013, projek peletupan batu kuari yang langsung tidak mengendahkan keselamatan orang kampung .. 11 rumah hancur dilenyek batu sebesar itu ... Dan lebih mengejutkan semasa saya berkunjung ke lokasi, masih ada gegaran kuat daripada pemecahan batu di atas bukit sana ...) "Rasuah dan korupsi akan menghanguskan segalanya," pintas saya. "Dan inilah peranan media bebas seperti Harakah. Kita harus turun selalu ke Sabah. Banyak cerita misteri yang belum kita borek tersimpan di sini," saya seakan berkhutbah. Dari bawah, saya mendengar dengan jelas gegaran di atas bukit, dan melihat kilauan pancaran cahaya daripada mesin pengorek yang terus digerakkan. Malah, seorang wanita, penduduk kampung, menunjukkan salinan pemberitahuan, bertarikh 20 Januari 2014, daripada pengurusan Kukusan Kuari Tawau bahawa "peletupan bom batu" akan dijalankan pada jam 1.30 petang, 21 Januari. Petaka apa yang masih ditunggu, bukan saja untuk menghentikan serta merta operasi kuari itu, tetapi juga untuk membentuk satu siasatan terperinci bagi mengenal pasti akar kepada kejadian ngeri yang masih menghantui penduduk itu? Selama tiga hari di Tawau, saya cukup terkesan dengan personaliti hebat rakan-rakan PAS, tidak terkecuali Muslimat, yang banyak membantu dan ringan tulang, termasuk bersama isteri saya, Siti Hawa Samsam menyediakan juadah nasi Arab untuk jamuan meraikan bekas tahanan ISA. Dan saya tentu sekali tidak dapat melupakan sosok tubuh "Uncle Jefferey", 68, atau nama sebenar Kideng ak Benang, seorang lelaki Iban yang tabah dan cekal. Ungkapan kata yang dituturkannya cukup menarik dan membekas. Beliau bijak menyusun madah dan mampu membangkitkan semangat. Bertemu mata dengannya, mencuri masa kerja beliau sebagai pengawal keselamatan selepas dipaksa meninggalkan kerjaya sebagai petani berjaya, dan berbicara tentang kemusnahan kawasan bercucuk tanam dan penempatan yang diterokainya sejak 1978, begitu menyentuh hati. Satu lagi testimoni tentang kerakusan pemerintah merampas tanah yang diusahakan titik peluh rakyat. Saya rasa terkilan kerana tidak sempat mengunjungi kampungnya bagi menyaksikan sendiri proses kezaliman yang tidak pernah terhenti. "Bukankah pelik apabila kita, manusia, sebagai makhluk Tuhan yang paling indah telah diusir lebih hina berbanding binatang. "Saya sendiri pernah katakan kepada pihak perhutanan Sabah, gajah, dan binatang liar dalam hutan kamu jaga, pelihara. Sedangkan manusia seperti kami dan sama seperti kamu juga, ciptaan Tuhan yang begitu indah, tapi tidak difikirkan hak sesama manusia, diusir tanpa memberi pilihan," ujarnya lembut tetapi nampak tegas. Jefferey seterusnya menceritakan perancangan beliau dan rakan-rakannya untuk kembali ke kawasan penempatan mereka yang telah dimusnah dan dirampas: ""Kami akan kembali ke sana 10 April ini. Setiap tahun sejak empat tahun lalu kami berdoa di sana. "Saya minta kepada Tuhan supaya Tuhan memberi kebijaksanaan, melembutkan hati mereka agar mengembalikan hak rakyat yang mereka rampas. Langkah saya tidak terhenti begitu saja. Setiap tahun kami berdoa begitu. Perjuangan kami belum selesai," tambahnya penuh yakin. Benar, saya tidak perlu menunggu lama untuk mengkagumi watak lelaki ini. Ikuti kisah menarik Jefferey, bekas ketua cawangan Umno dan seorang yang boleh dianggap bertaraf paderi, juga pelanggan tetap Harakah yang tidak pernah absen mengikuti ruangan kuliah Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Tok Guru Abdul Hadi Awang, dalam Harakah akan datang. | |||
Dun Kajang: Jangan buat kenyataan bersifat spekulatif Posted: 29 Jan 2014 02:58 AM PST KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali mengingatkan para pemimpin dan ahli-ahli PAS supaya tidak membuat sebarang kenyataan bersifat spekulatif berhubung isu kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Kajang dan isu kedudukan Menteri Besar Selangor. Menurut beliau, sehingga kini PAS dan Pakatan Rakyat tidak pernah membincangkan isu berkaitan kedudukan Menteri Besar Selangor malah apa yang dibincangkan hanyalah tentang kekosongan Dun Kajang ekoran tindakan Adun daripada PKR yang meletakkan jawatan. "Secara amalan yang berlaku dalam Pakatan Rakyat, mana-mana kerusi yang dikosongkan atas apa juga sebab sekalipun, calon yang akan mengisi kekosongan itu adalah daripada parti yang bertanding di kawasan itu sebelumnya. "Oleh kerana Dun Kajang pada pilihan raya umum lalu ditandingi oleh calon PKR, maka calon yang dipilih untuk mengisi kekosongan itu mestilah daripada PKR," tegas beliau. Menurut Mustafa, siapa pun calon yang dicadangkan oleh PKR untuk mengisi kekosongan itu akan disokong oleh parti-parti komponen Pakatan Rakyat seperti amalan yang berlaku sebelum ini. Sehubungan itu, beliau sekali lagi mengingatkan para pemimpin dan ahli-ahli PAS agar mematuhi keputusan yang telah dicapai secara konsensus oleh Pakatan Rakyat bagi pilihan raya kecil (PRK) Dun Kajang dan tidak membuat sebarang kenyataan mahupun ulasan berunsur spekulatif berhubung kedudukan Menteri Besar Selangor. Speaker Dun Selangor, Hannah Yeoh Isnin lalu mengumumkan perletakan jawatan Adun Kajang, Lee Chin Cheh dalam satu surat yang diterimanya pada hari yang sama. Semalam, Pakatan Rakyat mengumumkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipilih untuk bertanding pada PRK Dun Kajang. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat 5 Februari ini bagi membincangkan tarikh dan persiapan PRK tersebut. | |||
Syukur, saudara kita tak perlu bakar rumah Posted: 29 Jan 2014 02:53 AM PST Ketika seorang hamba Allah yang miskin dari Sura, Dungun terpaksa menjalani kehidupan merempat selama 10 tahun dengan menempati rumah yang lebih layak digelar kandang kambing, ia menyerlahkan bagaimana rendahnya tahap keprihatinan pihak berwajib dengan realiti sebenar kehidupan rakyat. Biasa kita dengar orang uzur tunggu bantuan, sampai mati tak sempat rasa. Jangan terkejut kalau saya maklumkan di kawasan Jabi ada hamba Allah yang tinggal di sebuah rumah dengan keadaan yang sangat uzur bertaraf sebuah dangau tunggu durian, berkali-kali minta bantuan rumah PPRT tetapi hampa. Akhirnya ada orang nasihatkan kalau nak bantuan mudah, baik bakar rumah uzur tu. Apabila rumahnya 'terbakar', barulah beliau mendapat bantuan rumah kebajikan. Saya tak salahkan beliau atas tindakannya menyebabkan rumah sendiri terbakar kerana Umno mengajar rakyat supaya jadi penipu untuk mendapatkan hak mereka. Kenapa saya tak percaya bahawa rumah tersebut terbakar? Sebabnya bila saya pergi mengunjungi keluarga malang ini selepas kebakaran ini berlaku, didapati keseluruhan barang-barang dalam rumah dapat diselamatkan termasuklah pinggang dan kerusi buruk. Logiknya dengan rumah kayu uzur seperti itu, api yang marak hanya mengambil masa beberapa minit untuk memusnahkan keseluruhan strukturnya. Maknanya tuan rumah telah sedia kemaskan semua barang-barang, dikeluarkan dari rumah kemudian barulah rumahnya 'terbakar'. Siapa yang salah dalam hal ini? Syukur kepada Allah kerana saudara kita di Dungun ini tak perlu bakar rumah sendiri untuk mendapatkan bantuan sebuah rumah atas keprihatinan PAS Dun Sura tampil menghulurkan bantuan membina sebuah rumah sebagai tempat berlindung bagi mereka. Bagaimana dalam masa yang sama, boleh ada rumah PPRT yang dijadikan markas BN semasa Pilihanraya Umum ke 13 lalu. Ada juga rumah PPRT yang disewa oleh tuan asalnya disebabkan beliau sendiri telah sedia memiliki rumah yang selesa untuk didiami. Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) diwujudkan bagi membantu golongan berpendapatan rendah seperti nelayan, petani dan keluarga miskin yang tidak mempunyai rumah atau tinggal di rumah usang (daif) tetapi mempunyai tanah untuk memiliki rumah sendiri yang sempurna dan selesa. Harga pembiayaan di bawah akan diberikan subsidi sebanyak satu pertiga (1/3) daripada kos pembiayaan oleh Kerajaan sementara dua per tiga (2/3) lagi adalah pinjaman tanpa faedah yang berlandaskan konsep qardhul hassan. Pemohon mestilah warganegara Malaysia, berumur 18 hingga 65 tahun, berpendapatan kasar seisi rumah tidak melebihi RM1,500 sebulan, tidak mempunyai rumah sendiri atau mempunyai rumah yang usang serta tidak sempurna. Mempunyai tanah atau tapak yang bersesuaian. Berkahwin atau, ibu / bapa tunggal yang mempunyai tanggungan. Saya senaraikan syarat-syarat di atas ini yang dipetik dari sebuah laman web pihak berwajib yang menguruskan program PPRT ini dengan cuba meneliti dan mendalami kalau-kalau ada di antara syarat-syarat tersebut yang tidak memenuhi kelayakan sehingga ada saudara kita yang tak bernasib baik seperti contoh di atas tadi terpaksa menunggu sehingga 10 tahun atau terpaksa bakar rumah sendiri barulah dikategorikan layak terima bantuan! Bantuan atau sumbangan yang disasarkan untuk orang ramai yang memerlukan tetapi sekadar berlegar di kalangan kroni adalah sifir cara Umno bekerja. Sebab itulah Mat Said sendiri pernah merungut apabila kurma dan air zam-zam sumbangan Ramadhan berlonggok di rumah Pengerusi JKKK merangkap ketua cawangan Umno sekaligus mengagalkan cita-cita Mat Said untuk melihat botol air zam-zam yang terpampang wajahnya sampai ke setiap pintu rumah rakyat Terengganu. Minta maaf, Exco Kebajikan Terengganu jangan pula jawab, "Dun Sura tu kawasan PAS!" Umno adalah Umno dulu, kini dan selamanya. Penulis adalah Ketua Lajnah Kebajikan PAS Terengganu. | |||
Pengosongan DUN Kajang: Fahami agenda disebaliknya Posted: 29 Jan 2014 02:37 AM PST Oleh Mohd Sayuti Omar Seperti berbelah bagi dan pro kontra saja pendangan terhadap tindakan PKR mengemukakan pelan untuk meredakan pergolakan dalaman parti berkenaan yang turut membabitkan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor. Kalau kita bijak siasah dan ikhlas bersahabat, pelan dilakukan PKR itu cukup simple dan gampang untuk difahami. Pelan tersebut untuk membolehkan Anwar Ibrahim bertanding di DUN 25 Kajang bagi memungkin beliau dilantik menjadi Menteri Besar Selangor. Itu saja intisarinya. Ada pun kenapa sebab dan puncanya juga mudah untuk diarifi. Poses untuk menurunkan Khalid secara manual (anak beranak) bagi digantikan dengan Mohamed Azmin Ali gagal kerana sebab-sebab sedia maklum. Bertolak dari situ masalah didalam PKR berlarutan dan perlu kepada pelan penuh tektikal. Saking hebatnya masalah dalam PKR, hanya diketahui oleh parti itu sahaja. PKR dan tentunya Anwar dan seluruh kepimpinanya bimbang dengan putaran perkembangan yang berlaku. Yang jelas masalahnya, perbalahan di antara Pengerusi PKR Selangor, Mohamed Azmin Ali dengan Abdul Khalid Ibrahim sudah memuncak dan tidak mungkin dapat dikawal lagi. Kedua-dua pihak berdegil, Azmin berhajat juga untuk merasai jawatan MB, atas alasan untuk memaknakan jawatan MB itu kepada parti. Bagi Azmin jawatan dianugerahkan parti perlu dipulangkan kepada ahli parti? Khalid dikatakan tidak memainkan peranan kedua belah pihak, rakyat dan parti, dan ini menimbulkan kegelisahan di kalangan orang parti. Manakala Khalid pula bersikeras dan merasa syok setelah dilindungi oleh kuasa tertentu, termasuk oleh seorang 'Emelda tanpa Marcos' yang bertakhta di pejabatnya. Khalid telah menjadi teruna yang baru mendapat dara menerusi jawatan berkenaan menyebabkan sukar beliau untuk turun selepas naik! Anwar sendiri selaku Ketua Umum PKR sudah serabut perut dengan apa yang berlaku. Klimeksnya Anwar dikatakan pernah menghempas fail di meja kerana isu Khalid itu. Jadi penyelesaian terbaik diambil oleh parti itu ialah dengan pelan strategi yang sudah dibuat itu. Pelan itu sesungguhnya tidak mengecewakan Khalid dan tidak juga menggembirakan Azmin. Win win situation. Justeru semua pihak kena faham terhadap apa yang berlaku dan menghormati konsensus yang dibuat mengenai hal itu. Paling utama ialah rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat, PAS dan DAP. Tampaknya DAP tidak ada masalah apa-apa. Sebagai parti yang berdisplin tinggi, berkedudukan, tahu menghormati politik dan rakan, DAP reda dan rela. DAP tahu mengukur baju dibadan sendiri dan bersikap qana'ah dalam hal ini. Walaupun Lim Guag Eng dalam reaksi kepada apa yang berlaku membayangkan rasa kekecewaanya kerana dia tidak diberitahu perkembangan politik di Selangor itu, tetapi Setiausaha Agung DAP itu akur. Bapaknya Lim Kit Siang hadir semasa Khalid membuat pengumuman Anwar akan bertanding di DUN Kajang. Kiat Siang berada di sebelah Anwar Ibrahim. Dan kita percaya Guan Eng juga patuh dan hormat dengan keputusan diambil PKR. Malangnya yang sikit ada problem ialah PAS. Ada beberapa kerat pemimpin PAS menyuarakan nada sumbang dengan pelan berkenaan. Tidak kisah kalau suku sakat Umno yang jadi problem dan membuat berbagai komen buruk serta meraban dengan pelan itu. Sudah lumrah kalau Umno bersikap begitu tidak bersetuju apa saja dibuat pembangkang dan sebaliknya. Begitu juga 'no probelem' kalau pemerhati politik, penganalisa bertaraf sarjana dan NGO membuat komen masing-masing, kerana kita sudah tahu mengenai persepsi dan kebencian mereka kepada Anwar selama ini. NGO yang hari-hari berkumul dengan air liur Dr Mahathir Mohamad pasti tidak bersetuju. Seantero dunia tahu macam mana sikap Mahathir kepada Anwar. Tetapi malamg apabila nada sumbang keluar dari kerongkong PAS. Ada macam-macam nada kedengaran. Kononnya perkara itu tidak dirunding dengan PAS, membazir, menyusahkan rakyat dan sebagainya. Ada juga yang mengatakan tindakan itu sebagai mengkankungkan rakyat. Ewah.. Saya tidak mahu bertanya panjang mengenai hal ini kepada sesetengah orang PAS yang lidahnya perlu diasah dengan batu politik itu. Apakah mereka akan melenting kalau hal dan maksud sama berlaku ke atas mereka? Katakanlah Timbalan Musrsydul Am, Dr Haron Din yang ditunjuki untuk jadi MB Selangor dan memerlukan seorang wakil rakyat PAS mengosongkan kerusi; katakanlah, Saari Sungip di Hulu Kelang melepaskan kerusi. Apakah mereka akan melenting dan marah dengan tindakan itu sebagai anti demokrasi, mengkhianati rakyat, membazirkan wang negara, mengkangkungkan rakyat dan sebagainya? Apakah akan terjadi demikian? Saya yakin dunia PAS akan senyap sunyi. Mereka yang lidah masih kena diasah dengan batu politik akan diam membisu. Serta merta juga pelan seperti itu akan dianggap munasbaah, baik, tepat dan menurut kehendak-kehendak ajaran Islam serta terafdal. Maka akan dicuplikanlah ayat-ayat Quran dan Hadith untuk menghalalkan tindakan itu. Pasti. Kenapa begitu? Jujurlah degan diri sendiri dan dengan kawan-kawan dalam Pakatan. Kalau kita boleh terima orang kita (pemimpin) yang terlibat dalam hal-hal seperti itu, mengapa tidak dengan Anwar dan orang lain. Terus terang saya katakan, mereka yang tidak suka bukan kerana mereka jujur dan suci terhadap demokrasi. Mereka tidak suka kerana ada faktor dan elemen lain. Boleh dipersoalkan apakah benar PAS mengamalkan demokasi dan menghormati kepada kebenaran dan hak-hak sepatutnya? Saya ambil contoh apa yang berlaku dalam kerajaan PAS Kelantan dan dalam parti itu. Saya mengambil Kelantan sebagai kerana Kelantan dianggap sebagai negeri kubu PAS yang dianggap sudah masak dengan Islam dan titik baris siasah Islam. Apakah disana wujud keadilan sejati? Kerajaan Kelantan dan PAS harus menjurai keadilan dan kebenaran sebagai latar balakang kepada kerajaan PAS. Tetapi apakah yang dilakukan oleh PAS Kelatan kepada pemimpinnya sendiri Husam Musa? Atau bagaimanakah PAS Kelantan melayani kehadiran rakan mereka PKR di negeri berkenaan? Pembalansan PAS kepada Husam Musa dan juga bentuk layanan serta dolak dalih pemimpin PAS Kelantan boleh dijadikan iktibar untuk melihat rupa diri sesetengah orang PAS khasnya yang lidah politik mereka masih tumpul. Apa berlaku dalam geluk politik kerajaan PAS Kelantan itulah cerminan hati PAS sebenarnya. Mengenai pelan transisi yang diambil PKR itu semua pihak kena menghormatinya. Ia juga perlu direnungi dan menggali lebih jauh maknanya dari apa yang ada dibirai kepala. Ada orang menuduh ia adalah sikap gelojoh Anwar dan kegilaan kuasa untuk menjadi MB. Bagi saya tanggapan itu meleset dan gagal membaca peta politik yang dilakarkan oleh Anwar. Kesediaan Anwar untuk memimpin Selamgor itu (kalau diizinkan Allah), bukan saja meredakan persengketaan politik di antara Azmin dengan Khalid. Azmin dan Khalid bukan agenda Anwar. Tetapi Anwar mempunyai tujuan lebat hebat dan besar dari itu. Sebagai seorang bertaraf negarawan Anwar bukan seperti Inchek Ibrahim Ali, yang berjuang di sekitar perut dan tembolok saja. Anwar ada agenda lebih jauh dari itu untuk kemanan negara demi rakyat dan bukan peribadi. Malanglah sesetengah pemerhati dan tokoh politik dalam melihat agenda dan pelan berkenaan, masih berpusat kepada sentimen peribadi. Masih melihat dengan rupa huduh terhadap Anwar kerana menyakini fitnah yang ditabur oleh Mahathir Mohamad dan Umno. Apalah sangat jawatan MB Selangor buat orang seperti Anwar? Lagipun cita-cita dan impian Anwar bukan menjadi MB, tetapi untuk jadi perdana menteri. Tidakkah jawatan perdana menteri itu akan menjadi titian baginya dan Pakatan Rakyat ke Putrajaya. Mungkin ada yang mengira mustahil dan tidak masuk akal. Memanglah mereka yang otak kemetot tidak mudah untuk menyakininya. Sepatah kata-kata dan ulasan Khalid dalam memberi justifikasi pelan berkenaan, adalah benar dan betul. Kata Khalid keperluan Anwar untuk memimpin Selangor bagi persiapan Pakatan Rakyat menuju ke Putrajaya. Manakala Pengarah Stretegi PKR Rafizi Ramli pula bermadah pelan berkenaan adalah untuk menyelamatkan Najib Razak yang kini sedang dikerjakan orang tertentu dalam Umno. Tidak perlu diulas dan diperlebarkan rancangan ini, anda semua ada otak fikirlah mengenai kemunasabahannya. Dan jika gagal juga untuk memahaminya asahlah otak anda dengan batu politik http://msomelayu.blogspot.com | |||
Syukurlah pemimpin dunia turun Kajang Posted: 29 Jan 2014 02:34 AM PST KAJANG - Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali hari ini berpandangan penduduk di sini harus bersyukur kerana pemimpin bertaraf dunia seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim sanggup turun untuk bertanding di Dun tersebut. Menurut Azmin, yang juga merupakan Ahli Parlimen Gombak, ketokohan ketua pembangkang itu bukan sahaja dikagumi di Malaysia malah di seantero dunia. Oleh itu, kesanggupan Anwar untuk bertanding di Dun tersebut merupakan satu 'anugerah' untuk penduduk Kajang. "Bukan Anwar kemaruk untuk jadi Adun. "... dia pemimpin besar, bukan setakat pimpinan di Malaysia, sebaliknya dia pemimpin bertaraf dunia. "Anwar bukan sahaja milik Selangor dan Malaysia, tetapi negara-negara Islam di Timur Tengah juga perlu kepimpinan beliau (Anwar)," katanya dalam majlis taklimat PKR sempena PRK Dun Kajang, di Dewan Orang Ramai Sungai Sekamat, di sini. Kelmarin, Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Hannah Yeoh mengumumkan peletakan jawatan Lee Chin Cheh. Kekosongan kerusi itu akan dipertahankan oleh Anwar yang diumumkan sebagai calon PKR semalam. | |||
Posted: 29 Jan 2014 02:26 AM PST KAJANG - [VIDEO] Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali hari ini mencabar Barisan Nasional (BN) untuk meletakkan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai calon di Dun ini bagi menentang Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Menurutnya, presiden Umno itu adalah calon paling sesuai untuk mencabar Anwar kerana kedua-duanya mempunyai kredibiliti, selain kedua-duanya tokoh tertinggi negara. "Umno-BN kalau berani turun Kajang. "Jangan letak calon daripada MCA, MIC,Gerakan tetapi letaklah perdana menteri iaitu daripada Umno. "Kita makan satay Kajang, lepas itu lawan habis-habisan," katanya dalam majlis taklimat PKR sempena PRK Dun Kajang, di Dewan Orang Ramai Sungai Sekamat, di sini. Majlis tersebut turut dihadiri oleh Ahli Majlis tertinggi PR. Kelmarin, Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Hannah Yeoh mengumumkan peletakan jawatan Lee Chin Cheh. Berikutan kekosongan kerusi itu, mesyuarat pimpinan PR memutuskan untuk meletakkan Anwar sebagai calon yang akan mewakili gabungan parti itu. | |||
Anwar kunci selesai masalah dalaman PKR Posted: 29 Jan 2014 02:25 AM PST SHAH ALAM – Penganalisis politik melihat penamaan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon pilihan raya kecil Dun Kajang adalah tepat dan dianggap sebagai kunci kepada penyelesaian masalah dalaman PKR di Selangor. Pensyarah Sains Politik dan Kajian Politik Malaysia dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Madya Dr Shaharuddin Badaruddin berpendapat jika tokoh lain diletakkan sebagai calon, peluang untuk menyelesaikan masalah tersebut mungkin tiada. "Ia penyelesaian kepada kemuncak masalah. Jadi pada saya, apabila Anwar dinamakan (sebagai calon) ini merupakan proses penyelesaian masalah dalaman PKR. "Kalau misalnya tokoh lain yang ditampilkan dalam konteks persaingan politik ini, mungkin masalah dalaman itu tidak dapat diselesaikan," katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini. Katanya, Anwar adalah kunci penyelesaian masalah dalaman sementara buat PKR. "Ya (Anwar kunci selesai masalah)... untuk sementara. Penyelesaian sementara. Ini kita lihat dalam konteks politik PKR di Selangor kerana PKR itu peneraju di Selangor. "Jika tidak diselesaikan secepat mungkin, ia akan menimbulkan masalah kepada kerajaan Selangor sendiri. sebelum ini berjangkit kepada kerajaan Selangor, lebih baik selesaikan dalam konteks PKR dahulu," katanya. Mengulas lanjut, beliau menyifatkan jika Anwar diterima di Kajang yang kebanyakannya didominasi kaum Cina, bermakna trend politik yang baru harus dilihat dalam negara ini. "Bagi saya begitu (Anwar calon terbaik di Dun Kajang)... dalam penyelesaian masalah yang berlaku dalam PKR itu sendiri. "Selalunya Kajang ini diwakili oleh masyarakat Cina. Kita lihat pula sekarang ini apabila orang Melayu ditampilkan dalam masyarakat yang marginal, adakah warna kulit itu bukan satu unsur besar dalam politik Malaysia? "Jika Melayu wakili kawasan kaum Cina, maknanya satu trend politik baru kita harus lihat dalam konteks Malaysia," katanya. Kerusi Dun Kajang bakal dipertandingkan semula selepas penyandangnya, Lee Chin Cheh meletakkan jawatannya sebagai Adun petang Isnin lalu. Pencalonan Anwar itu diumumkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di ibu pejabat PKR semalam. Pengumuman itu menguatkan khabar angin yang bertiup kencang mendakwa Anwar akan mengambil alih jawatan menteri besar Selangor sekali gus meredakan pertelingkahan antara Abdul Khalid dengan Azmin di negeri itu. | |||
NIk Aziz cabar Umno-BN tidak letak calon PRK Kajang Posted: 29 Jan 2014 02:17 AM PST SELANGOR KINI KUALA LUMPUR: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mencabar Umno-BN supaya tidak meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang jika mereka berpandangan pengosongan kerusi itu satu pembaziran dan penghinaan terhadap proses demokrasi. Beliau yang dipetik daripada Harakah Daily berkata, laporan akhbar pro-Umno bahawa langkah mengosongkan kerusi terbabit adalah cubaan memanipulasi demokrasi sangat memualkan kerana langkah Umno merampas Kerajaan Perak pada tahun 2009 lebih menjijikkan. "Barangkali Umno lupa, langkah mereka di Perak pada tahun 2009 itulah langkah yang benar-benar jijik dengan membelakangkan terus demokrasi dan merampas kerajaan melalui pintu belakang. Umno jangan berlagak baik kerana dosa mereka di Perak masih segar dalam ingatan. "Saya suka mencabar Umno dan Barisan Nasional, jika mereka berpandangan pengosongan kerusi di DUN Kajang itu satu pembaziran dan penghinaan terhadap proses demokrasi, jangan sekali-kali mereka meletakkan calon di dalam PRK itu nanti," katanya dalam kenyataan di laman Facebook. Beliau berkata, sudah pasti PKR mempunyaisebab tertentu sehingga langkah terbabit terpaksa dilakukan dan PAS menunggu penjelasan berhubung perkara itu. "Ramai yang menghubungi saya untuk bertanyakan pandangan berkenaan isu DUN Kajang yang dikosongkan wakil rakyatnya. Saya tidak tahu menahu berkenaan strategi atau isu yang berlaku sehingga membawa kepada pengosongan terbabit. "Justeru, saya perlu menunggu penjelasan daripada PKR sendiri yang pasti mempunyai sebab tertentu sehingga langkah ini terpaksa dilakukan. Dalam hal ini, sikap PAS tentunya lebih wajar diputuskan Presiden PAS selaku kuasa eksekutif di dalam parti berdasarkan pertimbangan semasa," katanya. Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semalam mengumumkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon parti itu pada PRK DUN Kajang. Kerusi Dun Kajang kosong berikutan perletakan jawatan ADUNnya, Lee Chin Cheh yang diisytiharkan Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Hannah Yeoh kelmarin. | |||
PRK Kajang : BN tandus pemimpin berwibawa lawan PKR Posted: 29 Jan 2014 02:14 AM PST Oleh : NAEEM RAFFI SHAH ALAM: Barisan Nasional (BN) ketandusan calon berwibawa mahupun calon boleh menang untuk ditempatkan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kajang. Kebanyakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Rakyat (PR) Selangor daripada PKR, DAP dan PAS memberikan kenyataan berhubung calon yang boleh dijadikan 'ayam tambatan' oleh BN untuk menandingi Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. ADUN Taman Medan (PKR), Haniza Talha, berkata senario yang dihadapi kepimpinan BN hari ini sama seperti senario pencarian calon parti itu di Selangor ketika Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu. "Ini antara kesan yang mereka (BN) harus terima. Mereka tidak pernah membuka ruang untuk golongan muda menjadi pelapis. Lihat sahaja PRU-13 lalu, calon BN kebanyakannya lama dan berulang kali diletakkan untuk bertanding. "Berbeza dengan PR yang mempunyai ramai calon muda dengan pelbagai latar belakang dan kredabiliti yang bagus," katanya ketika dihubungi Selangor Kini, di sini, hari ini. Katanya, BN tidak mempunyai pilihan sebaliknya perlu lebih kental mengharungi jalan sukar dalam mencari calon boleh menang mendepani pencabarnya, Anwar. ADUN Bukit Gasing (DAP), Rajiv Rishyakaran, berkata BN sememangnya tidak mendapat tempat di kawasan bandar khususnya Selangor. Beliau berkata, kepercayaan dan keyakinan rakyat hari ini semakin menjalar hebat kepada PR, sekali gus menolak kepimpinan BN. "Bukan BN tidak mempunyai calon. Persoalannya adakah rakyat khususnya di wilayah bandar masih menaruh keyakinan menggunung dan percaya kepada kepimpinan BN. "Kita sedia maklum, ramai calon BN yang dahulunya bertanding di kawasan bandar, lari ke luar bandar dan kampung kerana mereka sendiri sedar bahawa sambutan rakyat terhadap BN hambar," katanya. Sementara itu, ADUN Paya Jaras (PAS), Khairuddin Othman mencadangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri menjadi calon di PRK DUN Kajang jika pencarian calon di kalangan BN menemui jalan buntu. "Kalau Najib berani, apa salahnya mencuba nasib di Kajang. Ia mungkin lucu tetapi tidak mustahil jika beliau (Najib) benar-benar berani untuk bertembung satu lawan satu dengan Anwar. "Mungkin peluang yang sama boleh dipertimbangkan (Datuk Seri) Noh Omar. Mana tahu beliau mahu mengukur adakah masih mempunyai pengaruh di Selangor," katanya.-NFN- | |||
Kajang: Pemuda Umno bayangkan calon bukan MCA Posted: 28 Jan 2014 04:18 PM PST MALAYSIAKINIPemuda Umno mahukan pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak memilih calon terbaik berdepan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang dan ia tidak semestinya daripada MCA. Justeru, ketua pergerakan itu Khairy Jamaluddin berharap BN tidak terikat dengan formula lama antara komponennya di DUN itu. "Kalau kita bertanding kita letak calon terbaik tak kira daripada parti mana. "Saya tidak kata (calon) MCA tak boleh tapi kita tengok kepada calon. Kalau calon MCA tidak ada, kita beri kepada orang lain.... Beri kita calon yang terbaik," katanya. Sementara itu, Khairy juga mengumumkan bahawa keputusan supaya BN meletakkan calon dipersetujui dalam mesyuarat mereka petang ini. Katanya, walaupun sedar pengosongan kerusi itu sebahagian daripada permainan politik Anwar, BN akan menyertainya bagi menjunjung prinsip demokrasi dan menyerahkan pilihan kepada rakyat. Penyertaan BN dalam pilihan raya kecil itu bagi menghantar mesej kepada Anwar supaya tidak mempermainkan amanah rakyat "jika hendak menyelesaikan masalah dalaman parti atau mahu capai cita-cita peribadi", tambah Khairy. "Pemuda berpendapat dalam pilihan raya, jika ada kekosongan, wajib bertanding. Dalam hal ini, jelas, amanah rakyat dan pengundi dipermainkan dan perlu nyatakan bantahan dengan apa yang berlaku," katanya. Sementara itu, mengulas ancaman Pemuda PAS yang mahu memboikot kempen pilihan raya kawasan itu, Khairy berkata ia membuktikan sokongan terhadap Anwar tidak lagi padu. "Tapi itu kita ketepikan. Kalau ada kekosongan kita setuju untuk bertanding," katanya. | |||
'Saya hanya akan berhenti dengan keputusan sendiri' Posted: 28 Jan 2014 04:15 PM PST KEADILAN DAILYMenteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau hanya akan berhenti dengan kemahuan beliau sendiri. Beliau yang memegang kerusi panas itu berkata beliau tidak akan meletakkan jawatan kerana tekanan atau desakan dari sesiapa pun. "Jika saya berhenti, ia keputusan saya sendiri. Itu sahaja," kata beliau dalam temuramah bersama Malaysiakini hari ini. Beliau memberi komen kemungkinan jawatan beliau bakal digantikan oleh ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bakal bertanding di pilihan raya kecil DUN Kajang tidak lama lagi. Menurut Khalid (kanan) beliau hanya membuat keputusan sekiranya sampai masa yang sesuai dan sehingga kini, tiada perbincangan mengenai pertukaran menteri besar. Beliau menyifatkan tekanan dan desakan dari semua pihak termasuk parti beliau sendiri hanya merupakan sebahagian dari asam garam dunia dan perjuangan politik beliau. "Tekanan adalah perkara kecil saya fikirkan. Orang tanya bagaimana saya tidak gila dengan semua tekanan ini. Saya jawab 'turun naik' adalah sebahagian hidup. Saya bermula di pasaran saham," kata beliau. Bagaimanapun Khalid berkata beliau mungkin memberi laluan dan mengundur diri sekiranya diminta oleh Anwar sendiri. "Saya akan (berhenti) jika perlu. Tapi jika saya tak rasa perlu (berhenti), dua perkara akan berlaku. Jika saya tak boleh nak ubah saya berhenti. Jika saya boleh, saya akan teruskan (kerja politik)," kata beliau. Pengunduran Lee tak dirancang Bekas ADUN Kajang Lee Chin Cheh meletakkan jawatan semalam, dikatakan memberi laluan kepada Anwar untuk menjadi ADUN negeri itu. Khalid hari ini turut mengumumkan pencalonan Anwar untuk bertanding bersama pimpinan Pakatan Rakyat Beliau berkata, keputusan dibuat bagi memastikan "Selangor terus menjadi asas kukuh buat Pakatan Rakyat bagi mengambil alih Putrajaya". Pengumuman itu menguatkan lagi desas-desus Anwar (kiri) akan mengambil alih jawatan menteri besar daripada Khalid bagi menyelesaikan pertelingkahan antara Khalid dan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali di negeri itu. Ditanya tentang perkara tersebut, Anwar berkata "ia hanya spekulasi" dan beliau mahu menumpukan perhatian kepada pilihan raya kecil akan datang. Khalid turut mengatakan perkara itu sebenarnya dalam perancangan cuma peletakan jawatan Lee tidak dirancang. "Ia bukannya dirancang sejak Mei 2013. Ada perbincanganlah, penilaian politik dan perbincangan (mengenai Anwar bertanding). | |||
Dakwa aktivis Turun, kerajaan tutup kritikan terhadap dasar BN Posted: 28 Jan 2014 04:05 PM PST KEADILAN DAILYKUALA LUMPUR: Pendakwaan terhadap peserta himpunan Turun adalah langkah menutup kritikan rakyat terhadap dasar ekonomi kerajaan yang pincang, kata Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Penyelaras Suaram, R Thevarajan berkata, Akta Perhimpunan Aman 2012 digunakan untuk menutup mulut rakyat dan mengekalkan kepentingan kuasa sedia ada yang menjadi sebab utama kenaikan kos sara hidup. "Pengajur perhimpunan Turun adalah mangsa terbaru selepas pendakwaan terpilih terhadap aktivis dan pembangkang yang mengadakan bantahan terhadap dasar kerajaan sebelum ini," kata Thevarajan. Beliau turut mempersoalkan tindakan polis menyiasat penganjur himpunan Turun, sedangkan ia berlangsung aman. "Semua perhimpunan patut dibenarkan selagi penganjuran berlangsung secara aman. "Perhimpunan Turun membantah kenaikan harga barang dan kos sara hidup pada malam tahun baru dan berlangsung aman tanpa apa-apa insiden yang tidak diingini," kata Thevarajan. Justeru tegasnya, tindakan polis itu bercanggah dengan Perkara 20 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) dan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang menjamin kebebasan untuk berhimpun secara aman "Mengapa perlu polis mendakwa pengajur sekarang? soalnya. | |||
GERAMM sambut baik cadangan piawai kod etika kewartawanan Posted: 28 Jan 2014 04:04 PM PST KEADILAN DAILY KUALA LUMPUR : Gerakan Media Marah (GERAMM) menyokong langkah pengamal media dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengadakan dialog baru-baru ini untuk mewujudkan piawaian kod etika kewartawanan negara. "Dengan adanya kod etika bersama ini, media-media dan wartawan-wartawan juga akan sentiasa beringat pada sumpah profesionalisme mereka untuk berlaku adil kepada semua pihak. "Jika menjadi kenyataan, piawaian bersama kod etika ini untuk semua organisasi media dan wartawan Malaysia akan menjadi sumber rujukan semua pihak, termasuk pengguna media, parti-parti politik, kerajaan dan anggota masyarakat," kenyataan media GERAMM dipetik. Pada 23 Januari lalu, satu pertemuan diantara pengamal media yang mewakili organisasi masing-masing dibuat dengan Suhakam. Antara perkara yang diberi penekanan ialah tuntutan mengamalkan etika kewartawanan yang dianggap piawaian dunia demi memberikan liputan berimbang dan adil kepada semua. Menurut GERAMM, kewujudan piawaian kod etika kewartawanan ini membolehkan rakyat Malaysia merujuknya sebagai landasan menilai laporan-kewibawaan laporan media di negara ini. "Dengan itu masyarakat juga boleh memilih media-media yang dianggap beretika, adil dan berimbang," tegas kenyataan GERAMM. Dalam pada itu, GERAMM turut menyeru kepada semua organisasi media dan wartawan agar menyokong usaha mewujudkan kod etika kewartawanan yang piawai sebagai rujukan. "Gerakan Media Marah (GERAMM) juga menggesa Suhakam menyiasat beberapa lagi kes pencabulan hak kebebasan media di negara ini misalnya dakwaan sekatan berita BBC berkenaan isu kangkung," tegas kenyataan tersebut. | |||
Anwar: Selangor asas Pakatan Rakyat tawan Putrajaya Posted: 28 Jan 2014 03:58 PM PST KEADILAN DAILYPETALING JAYA : Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Selangor menjadi landasan penting dalam usaha Pakatan Rakyat menawan Putrajaya. Justeru katanya, ketiga-tiga parti akan memberi tumpuan kepada gerak kerja pilihan raya kecil DUN Kajang yang bakal berlangsung. "Keputusan kita bersama untuk memastikan pimpinan Pakatan Rakyat seluruhnya bergerak menjadikan Selangor sebagai asas kuat "(Kita menyokong prestasi baik kerajaan negeri Selangor sekarang untuk menjadi landasan penting membuktikan keupayaan kita untuk mengambilalih Putrajaya," kata Anwar. Ketika ditanya wartawan mengenai spekulasi mengambilalih jawatan Menteri Besar Selangor, Anwar berkata Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kekal dengan jawatannya. "Setakat ini keputsan kita (Pakatan Rakyat) saya minta Tan Sri Khalid Ibrahim meneruskan kerja, sementara kita boleh tumpu kepada piliha raya kecil DUN Kajang," kata Anwar. Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan penghargaan kepada bekas Adun Kajang, Lee Chin Cheh atas khidmatnya. "Kita ucap terima kasih kepada Lee Chin Cheh yang berkhidmat dengan baik. Beliau berundur untuk memberi ruang untuk kita tingkat usaha di Selangor," kata Anwar. |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan