Khamis, 23 Januari 2014

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Bendahari agung MIC diperintah kembalikan RM5.5 juta kepada pakar psikiatri

Posted: 23 Jan 2014 04:06 AM PST

THE MALAYSIAN INSIDER

 
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan Bendahari Agung MIC yang baru dilantik Datuk R. Ramanan mengembalikan RM5.5 juta kepada pakar psikiatri Tan Sri Dr M. Mahadevan yang diterimanya secara menipu daripada Kementerian Pertahanan ketika "membantu Dr Mahadevan untuk mendapatkan balik suatu bayaran empat tahun lepas".

Dalam keputusannya, Pesuruhjaya Kehakiman Lee Heng Cheong berkata beliau bersetuju dengan peguam yang mewakili Dr Mahadevan bahawa Ramanan melakukan salah nyata tipuan kepada plaintif dan menyebabkannya memindahkan wang berkenaan ke dalam akaun peribadi defendan pada 19 Mei, 2010.

Lee juga memutuskan bahawa defendan gagal membuktikan, seperti yang terkandung dalam kenyataan bela dirinya, bahawa wang itu adalah untuk cadangan projek pembangunan bandar di Sungai Petani, Kedah, di atas tanah milik Dr Mahadevan.

Ramanan diperintah mengembalikan wang itu dalam masa 14 hari mulai hari ini, tetapi mahkamah meluluskan permohonannya bagi mendapatkan penangguhan sementara perintah itu sementara menunggu permohonan yang akan dikemukakannya Isnin depan.

Dr Mahadevan, 85, bekas ketua pakar psikiatri kerajaan dan pengasas Persatuan Psikiatri Malaysia, hadir di mahkamah hari ini.

Menurut dokumen mahkamah, plaintif memfailkan tuntutan berjumlah RM26.6 juta daripada Kementerian Pertahanan kerana menggunakan tanah kepunyaan Dr Mahadevan sebagai lapang sasar dari 1968 hingga 1988.

Pada Mei 2010, defendan mengaku kepada plaintif bahawa beliau boleh membantunya mendapatkan tuntutan bayaran berkenaan, dan untuk tujuan itu, beliau memerlukan RM6.5 juta.

Kedua-dua pihak kemudian bersetuju jumlah itu dikurangkan kepada RM5.5 juta.

Dalam penyata tuntutannya, Dr Mahadevan memasukkan sepucuk surat bertarikh April 2010 daripada Kementerian Pertahanan, yang ditunjukkan kepadanya oleh defendan, kononnya yang meluluskan tuntutan itu. – Bernama

MP mahu kos kempen GST didedah

Posted: 23 Jan 2014 03:19 AM PST

MALAYSIAKINI


 
 
 
Ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad mendesak kerajaan mendedahkan kos yang digunakan bagi kempen pelaksaanan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang sebarannya kini meluas dalam pelbagai medium seperti papan tanda jalan dan iklan di televisyen.

Menurutnya kos kempen di seluruh negara itu memerlukan kos yang tinggi dengan menggunakan wang rakyat, sedangkan kempen GST yang berbunyi "cukai turun pendapatan kerajaan bertambah adalah satu pembohongan".

"Kerajaan nak laksanakan GST tidak sebab lain kecuali nak tambah pendapatan kerajaan. Titik. Bagaimana turun cukai boleh tambah pendapatan negara.

"Ini bohong. Berapa (jumlah) guna duit rakyat untuk iklan daripada pasang papan tanda jalan untuk menipu rakyat," katanya dalam sidang media hari ini.

Khalid berkata kerajaan bermain "silap mata" dengan berkata, mengurangkan jumlah peratus pembayaran cukai tetapi sebenarnya melebarkan jumlah pembayar cukai termasuk kepada golongan berpendapatan rendah.

"Yang untung adalah orang kaya. Yang miskin, yang sebelum ini tidak pernah bayar kena bayar.

"Jangan menipu rakyat dengan iklan yang menggunakan duit rakyat bahawa GST tidak membebankan rakyat," katanya.

Mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dilapor bahawa jika tidak melaksanakan cukai itu, negara berdepan dengan bankrap, Khalid berkata kenyataan itu menggambarkan ekonomi negara tenat dan berada diambang bankrap.

"Ia juga menafikan propaganda BN bahawa ekonomi kita adalah baik," katanya sambil menambah hutang negara kita kini mencecah kira-kira RM560 bilion.

Sehubungan itu, Khalid yang juga ahli jawatankuasa PAS pusat berkata Pakatan Rakyat mengadakan siri jelajah ke seluruh negara bagi menjelas isu pelaksanaan GST.

Katanya, beberapa pemimpin termasuk Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli, Dr Dzulkefly Ahmad, Dr Ong Kian Ming dan Dr Rosli Yaakob ditugaskan menjelaskan isu tersebut.

Manfaatkan portal 1Pengguna.com untuk semak harga, kata Najib

Posted: 23 Jan 2014 03:16 AM PST

THE MALAYSIAN INSIDER

 



















Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata orang ramai boleh manfaatkan portal http://1Pengguna.com (gambar) untuk menyemak harga barang harian di seluruh negara.
Beliau berkata demikian dalam laman Twitternya hari ini yang merujuk kepada pautan berita Bernama bertajuk "KPDNKK Sedia Portal 1pengguna Untuk Semak Harga Barang Setiap Hari".

Berita itu memetik kenyataan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang antara lain menyebut kementerian itu membangunkan portal berkenaan bagi membantu pengguna merancang perbelanjaan harian.

Kenyataan itu juga menyebut harga barang keperluan harian yang boleh diakses oleh pengguna antara lain ialah ayam, ikan cencaru, bawang, cili, sayur-sayuran dan santan yang dijual di pasaran mengikut negeri dan kawasan di seluruh negara, dengan harga dikemas kini setiap hari. – Bernama

Apabila mimpi dan ilham menjadi hujah

Posted: 23 Jan 2014 03:12 AM PST

PROF MADYA DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN


Saya tertarik membaca kenyataan seseorang – tidak pasti samada sarcastic ataupun jujur - yang menyatakan sesiapa yang pergi menziarah kubur Rasulullah SAW di Madinah sekarang, baginda tiada di sana. Baginda sibuk hadir dalam majlis-majlis anjuran ustaz-ustaz di Malaysia.

Saya tidak pasti kenapa dia berkata begitu. Namun apa yang saya pasti saya mendengar banyak pihak dengan mudahnya kebelakangan ini mendakwa Nabi SAW yang mulia itu hadir dalam majlis ini dan itu anjuran mereka. Ada yang mendakwa Nabi SAW mengiringinya ke meja kuliahnya. Ada yang mendakwa dia nampak Nabi SAW sedangkan orang lain tidak nampak. Dunia facebook pun meriah dengan cerita-cerita ini.

Ada yang cuba membuktikan kebenaran aliran yang dibawanya, ataupun tarekatnya, ataupun kelebihan majlisnya dengan kehadiran Nabi SAW yang hanya dapat dilihat oleh beberapa orang tertentu sahaja. Hal yang sama pernah didakwa oleh Ashaari al-Arqam dahulu. Bahkan beliau cuba membuktikan kebenarannya itu dengan pelbagai cara, termasuk mimpi tokoh itu dan ini yang membuktikan kesahihan ajaran yang dibawa olehnya.

Bukan Hujah

Dalam Islam, kebenaran itu dibuktikan oleh dalil-dalil dari al-Quran dan al-Sunnah. Segala keputusan ijmak dan kesimpulan qias berjalan berteraskan dua sumber utama itu. Penghujahan berasaskan al-Quran dan al-Sunnah dapat difahami dan dikongsi oleh pihak yang mendengar, yang bersetuju ataupun yang membantah kesimpulan yang dibuat. Namun jika hujah itu berteraskan mimpi ataupun ilham ataupun kasyaf, siapa yang boleh berkongsi perkara yang tidak dilihat oleh orang lain.

Kata Dr Yusuf al-Qaradawi:

    "Di sana ada golongan sufi yang melampaui batas dalam menilai ilham. Bahkan ada di kalangan mereka yang mengiranya sebagai jalan mengetahui kebenaran yang tidak akan silap. Mereka mencerca ulama syariat yang berpegang kepada dalil dan tidak menerima sesuatu dakwaan tanpa bukti daripada hujah yang baik atau akal atau wahyu. Golongan sufi ini mencerca mereka dengan menyatakan mereka ini jumud dengan ilmu zahir. Bagi mereka; ilmu zahir kedudukannya seperti kulit, sedang ulama syariat berpaling daripada ilmu batin yang mana kedudukannya seperti isi". (Al-Qaradawi, Taisir al-Fiqh li al-Muslim al-Mu`asir, m.s. 134. Beirut: Muassasah al-Risalah).

Jika diandaikan mimpi dan ilham itu benar-benar terjadi, siapakah pula yang dapat memastikan itu semua daripada Tuhan, bukan pula bisikan syaitan?! Jika mimpi dan ilham itu oleh para Nabi s.a.w tentu tidak dipertikaikan. Adapun berhujah dengan alasan mimpi orang biasa yang terdedah kepada cakap benar dan bohong, ataupun ditipu oleh syaitan, maka itu bukan bukti kebenaran sesuatu perkara.

Kata Dr Wahbah al-Zuhaili:

    "Adapun ilham, ada kemungkinan ianya daripada Allah, kemungkinan juga ianya daripada syaitan seperti yang dinyatakan oleh firman Allah: (terjemahannya): dan sesungguhnya syaitan-syaitan itu membisikkan kepada pengikut-pengikutnya, supaya mereka membantah (menghasut) kamu. (Surah al-An`am: 121)."

Katanya lagi:

    "Kemungkinan juga ianya adalah bisikan atau percakapan dalam dirinya. Ini seperti yang nyatakan oleh firman Allah : (terjemahannya) Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami mengetahui apa yang dibisikkan oleh dirinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya. (Surah al-Qaf: 16).

Sambungnya lagi:

    "Dengan kemungkinan-kemungkinan ini, ilham tidak boleh menjadi hujah. Berkaitan dengan ini, maka pendapat sebahagian sufi bahawa ilham atau kasyaf adalah hujah yang wajib beramal dengannya di dalam hukum-hakam syarak adalah sesuatu yang batil".( Wahbah al-Zuhaili, Usul al-Fiqh al-Islami, 2/924-925, Beirut: Dar al-Fikr)

Lemah

Tokoh ilmuwan terbilang, pakar Maqasid Syariah yang hebat iaitu al-Imam al-Syatibi (w. 790H) :

    "Selemah-lemah hujah mereka ialah puak yang dalam mengambil amalan agama bersandarkan mimpi-mimpi. Mereka ini berpegang atau meninggalkan sesuatu amalan berdasarkan mimpi-mimpi tersebut. Mereka berkata: "Kami bermimpi lelaki solih tertentu berkata kepada kami: Tinggalkan ini!, buat ini". Ini banyak berlaku kepada mereka yang mengamalkan panduan tasawwuf. Di kalangan mereka ada yang berkata: "Aku melihat Nabi SAW dalam mimpi, baginda berkata kepada sebegini..dan memerintah aku sebegini". Lantas dia pun mengamalkannya dan meninggalkan apa yang ditetapkan oleh syari`at. Ini adalah salah, kerana mimpi selain para nabi tidak boleh menghukum ketetapan syarak, dalam apa keadaan sekalipun. Melainkan setelah dibentangkan kepada hukum-hakam syariat yang ada. Jika dibolehkan, maka ianya diamalkan, jika tidak ianya ditinggalkan". (Al-Syatibi, Al-`Itisam, 198. Beirut: Dar al-Kitab)

Saya sangat suka dengan komentar Ibn Taimiyyah (w. 728H) dalam hal ini. Katanya:

    "Dalam kalangan mereka ada yang melihat empunya kubur datang kepadanya, sedangkan dia telah lama mati. Lalu dia berkata: "Akulah si fulan". Mungkin juga dia berkata : "Kami ketika diletakkan di dalam kubur kami boleh keluar…". Syaitan dalam banyak keadaan menyerupai rupa insan, samada dalam tidur atau jaga. Kadang-kala dia datang kepada sesiapa yang tidak mengetahui dan berkata : "Akulah syeikh si fulan, atau alim si fulan". Kadang kala syaitan berkata : "Aku Abu Bakr, Umar…" Kadang-kala pula dia datang ketika jaga (yaqazah) bukan mimpi lalu berkata : "Aku al-Masih (Isa)" , atau "aku Musa" atau "aku Muhammad".

    Aku (Ibn Taimiyyah) tahu perkara yang seperti ini berlaku dalam berbagai-bagai cara. Maka di sana ada yang mempercayai bahawa para nabi datang dalam jaga (yaqazah) dalam rupa mereka yang asal. Di sana juga ada para syeikh yang zuhud, berilmu, warak dan beragama mempercayai perkara seperti ini. Di kalangan mereka ada yang menyangka bahawa dia apabila datang ke kubur seseorang nabi, maka nabi tersebut akan keluar daripada kuburnya –dalam rupanya yang asal- dan bercakap dengannya. Di kalangan mereka ada yang melihat rupa seseorang syeikh di bahagian dalam Ka'bah, dia berkata: "Aku Ibrahim al-Khalil (Nabi Ibrahim)". Di kalangan mereka ada yang menyangka bahawa Nabi SAW keluar daripada kubur baginda lalu bercakap dengannya. Golongan sufi menjadikan ini sebagai karamahnya. Di kalangan mereka ada yang menyangka bahawa dia jika bertanya orang di dalam kubur nescaya mereka akan menjawabnya".

Sehingga Ibn Taimiyyah menceritakan ada di kalangan mereka yang apabila ada masalah akan datang dan bertanya kepada Nabi SAW, lalu Ibn Taimiyyah menyebut:

    "Sehingga kata Ibn `Abd al-Barr (w. 463H) kepada mereka yang mempercayai sebegini: "Celaka engkau, apakah engkau berpendapat orang ini lebih afdhal daripada al-Sabiqin al-Awwalin (mereka yang awal menganut Islam) dari kalangan Muhajirin dan Ansar?. Apakah ada di kalangan Muhajirin dan Ansar sesiapa yang bertanya Nabi SAW (selepas baginda wafat) dan baginda menjawabnya?!! Sahabah (selepas Nabi s.a.w wafat) telah bercanggah pendapat dalam banyak perkara, adakah mereka bertanya Nabi SAW dan baginda menjawabnya?!!. Ini Fatimah anak baginda yang berselisih pendapat dalam pusaka baginda (isu tanah Fadak dengan Abu Bakar al-Siddiq), adakah beliau bertanya Nabi SAW dan baginda menjawabnya".( Ibn Taimiyyah, Majmu' al-Fatawa, 5/399. Riyadh: Maktab al-`Abikan)

Lebih Mulia?

Malangnya ini yang dipercayai oleh sesetengah pihak, sehingga mereka percaya ada tokoh tertentu boleh berjumpa Nabi SAW bila-bila masa sahaja yang mereka mahu. Kita tahu bahawa selepas kewafatan baginda SAW. telah berlaku pertelingkahan di kalangan sahabah terutama dalam isu pembunuhan `Uthman bin `Affan RA, sehingga membawa perang Jamal dan Siffin. Tiada siapa di kalangan sahabah yang mendakwa mereka akan merujuk perkara ini kepada Nabi SAW di kubur baginda, atau memanggil roh baginda. Bahkan mereka kebanyakannya amat keliru dengan keadaan ketika itu. Kata al-Nawawi (w. 676H):

    "Mazhab Ahl al-Sunnah wa al-Haqq ialah berbaik sangka terhadap para sahabah. Tidak mencampuri pertelingkahan yang berlaku antara mereka. Ahl al-Sunnah mentakwilkan peperangan antara para sahabah dengan menganggap bahawa mereka adalah mujtahidin yang membuat takwilan bukan berniat untuk bermaksiat atau semata-mata kerana dunia. Bahkan setiap golongan sahabah telah beritiqad bahawa merekalah yang benar, sesiapa yang menentang mereka adalah melampau dan wajib diperangi agar kembali kepada perintah Allah..". Tambahnya lagi: "Isu-isu ketika itu mengelirukan sehinggakan kebanyakan sahabah merasa bingung dengannya lalu mengambil keputusan meninggalkan kedua-dua golongan dan tidak berperang serta tidak berkeyakinan tentang siapa yang benar".( Al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim 18/339. Beirut: Dar al-Khair)

Demikian juga apabila Abu Bakr dan `Umar berselisih pendapat mengenai mereka yang enggan membayar zakat di zaman pemerintahan Abi Bakr, tiada seorang dari kalangan mereka berdua yang menyatakan: "Mari kita bertanya RasululLah!!. Ada sesiapa yang lebih afdhal daripada Abu Bakr dan `Umar?!!!.

http://drmaza.com/

Teguran kepada pembaca berita TV

Posted: 23 Jan 2014 03:08 AM PST

SYED ABDULLAH SYED OSMAN


Tidak ramai Pengacara wanita Islam, DJ wanita, Pemberita, Pembaca Berita wanita untuk TV1, TV2, TV3, TV7, TV9 dan lain-lain saluran tidak menutup aurat ketika bersiaran.

Yang anehnya lagi ada pengacara wanita Muslim yang mendedahkan aurat di TV ini akan bercerita tentang agama dan kadangkala berbicara dengan Ustaz atau Ustazah mengenai agama Islam termasuk bab akidah juga dengan selamba memakai pakaian yang tidak sepatutnya dipakai oleh wanita Islam.

Yang menjadi tanda tanya juga mengapa tiada Ustaz atau Ustazah yang dijemput dalam sesuatu program itu menegur atau mengingatkan halal haramnya kepada pengacara tersebut. Macamnana hendak cerita tentang Islam kalau dihadapan kitapun tidak mampu untuk membuat teguran?

Beberapa pelancong daripada negara Timur Tengah agak terkejut juga apabila mendapati negara Malaysia yang kelihatan banyaknya bangunan masjid dan surau ini dan majoriti penduduknya beragama Islam tetapi masih ramai lagi wanita Muslim disini tidak menutup aurat sebagaimana yang diwajibkan dalam agama Islam.

Begitu juga apabila mereka ingin menonton beberapa program tempatan di TV dan mereka dapati kebanyakan pengacara dan Pembaca Beritanya mendedahkan aurat.

Adalah menjadi kewajipan sebagai pemimpin sebuah negara Islam dirantau ini memberikan arahan agar semua Pengacara Wanita Muslim di TV supaya menutup aurat sebagai syarat utama untuk mereka memegang jawatan yang ada hubungkaitnya dengan penampilan dan penonjolan bersabit dengan orang awam.

Jawaban balas Marinatasha terhadap alasan Castmet

Posted: 23 Jan 2014 03:01 AM PST

HARAKAHDAILY


Saya dengan ini menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Pengarah Urusan CASTMET, Tan Keh Wah dan Pengawah Kewangan CASTMET, Yong Pey Ling (Shannon Yong) berhubung insiden saya dimalukan dengan diarahkan turun daripada pentas utama ketika majlis Makan Malam Tahunan CASTMET 2014 di Pusat Konvensyen Sime Darby pada malam Sabtu lalu.

Saya ingin memperbetulkan persepsi awam dan media yang mungkin tersalah anggap dan tersalah lapor insiden berkenaan. Saya mengetengahkah isu rasis dan diskriminasi perkauman yang diperbuat Shannon Yong tidak membenarkan saya menyanyi semata-mata kerana saya bertudung. Jadi tidak timbul isu syarikat berkenaan tidak rasis kepada pekerja-pekerjanya.

Dalam pertemuan selepas sidang media saya, Tan Keh Wah mengundang saya ke pejabat untuk bertanya kepada pekerja yang syarikat beliau tidak rasis. Soalnya bukan layanan dia kepada pekerjanya tetapi layanan Pengarah Kewangannya, Shannon Yong kepada saya.

Saya menghargai keprihatinan yang ditunjukkan oleh CASTMET melalui jawapan mereka kepada media yang kononnya imej saya bertudung tidak bersesuaian dan akan mengundang sensitiviti keagamaan jika saya beraksi pada malam tersebut.

Soalnya adakah mengarahkan saya turun daripada pentas ketika saya akan memulakan persembahan itu tidak bersifat sensitif? Mengapa saya tidak diberitahu hal-hal tersebut ketika hari kejadian? Mengapa semua alasan-alasan ini diberikan selepas sidang akhbar bersama Karyawan dan saya langsung tidak mengetahui mengenainya sebelum ini?

Saya melihat jawapan yang diberikan kepada media adalah untuk mengalihkan perhatian daripada isu sebenar. Ironisnya mereka sanggup membenarkan saya membuat persembahan jika saya tidak bertudung.

Pelbagai alasan yang diberikan adalah saling bercanggah termasuk laporan polis Shannon Yong pada 20 Januari lalu. Sehingga ke hari ini jawapan versi CASTMET tidak disahkan oleh Mohd Solih Toha daripada syarikat pengurusan acara Red On Black dan Nazri daripada band Rufus. Jika terdapat sebarang salah faham antara mereka sekalipun adalah tidak adil untuk saya dijadikan mangsa tindakan rasis sebegini.

Secara konsisten, saya tidak menyalahkan sama sekali syarikat tersebut. Isunya adalah perkataan dan tindakan rasis yang diperbuat oleh Pengarah Kewangannya, Shannon Yong terhadap saya, iaitu menyatakan bahawa saya tidak boleh menyanyi kerana saya bertudung. Ini adalah satu diskrimasi jika dilihat dalam apa keadaan sekalipun.

Kerjaya saya sebagai penyanyi adalah kerjaya profesional. Majlis CASTMET bukanlah persembahan pertama saya. Saya telah berpengalaman mengendalikan acara lebih besar dengan syarikat-syarikat bukan Islam dan mereka tiada sebarang masalah dengan penampilan saya.

Berikut saya sertakan jawapan balas saya bersama beberapa keping gambar acara berkenaan untuk penilaian semua.

Alasan adanya minuman keras

Saya terkejut dengan alasan Pengarah Urusan CASTMET, Tan Keh Wah bahawa keputusan membatalkan penampilan saya kerana majlis menghidangkan minuman keras. Alasan Tan Keh Wah ini adalah perkara baru. Dalam laporan polis Shannon Yong tidak diberikan alasan minuman keras ini dan saya tidak perasaan kemunculan minuman keras kerana lebih setengah daripada tetamu adalah orang Islam.

Malah Tan Keh Wah menyatakan bahawa ianya untuk tujuan menjaga sensitiviti umat Islam. Etika pakaian saya adalah bersesuaian dengan majlis-majlis keraian. Jika mereka sensitif tentang keIslaman saya maka adakah mereka tidak tahu yang tetamu utama ialah Pengerusi CASTMET, Tan Sri Mohd Anuar Mohd Nor juga seorang Islam dan ramai tetamu lain yang berhijab dan berkopiah.

Alasan adanya tarian

Sebagai seorang penyanyi berpengalaman, saya sudah berhadapan dengan pelbagai ragam majlis dan tetamu. Apabila mengambil keputusan berhijab 2 tahun lalu, saya telah menyesuaikan persembahan saya dengan imej saya. Malah saya sendiri menolak tawaran apabila merasakan imej saya tidak bersesuaian.

Alasan perlu menari dan berinteraksi dengan tetamu bukan soalnya. Ketika Zafarina Jamhari atau Farina dari Akademi Fantasia 8 (AF8) membuat persembahan kemudian, dia juga tidak menari bersama tetamu sebagaimana yang didakwa menjadi permintaan CASTMET.

Jika benar ada aksi-aksi sebagaimana yang didakwa yang telah dibuat oleh penyanyi ganti, maka saya minta gambar atau rakaman video didedahkan untuk rakyat Malaysia menilai sendiri acara tersebut. Pada saya, majlis tersebut adalah seperti majlis makan malam syarikat-syarikat korporat lain yang biasa saya tangani.

Alasan adanya kontrak

Shannon Yong dan Tan Keh Wah mendakwa bahawa saya bukanlah penyanyi yang dipersetujui dan tidak berada dalam kontrak asal antara CASTMET dengan pembekal acara. Hakikatnya tiada sebarang kontrak bertulis, sebaliknya band Rufus dipilih kerana band ini membuat persembahan di Cafe Daud yang terletak bersebelahan dengan pejabat CASTMET di Plaza Damas. Band Rufus yang menyediakan penyanyi, pemuzik dan alat muzik pada malam tersebut.

Mohd Solih Toha daripada syarikat pengurusan acara Red On Black telah mengesahkan bahawa persembahan ini adalah secara rundingan terus daripada CASTMET dengan band Rufus. Kontrak saya pula adalah sebagai penyanyi band Rufus untuk persembahan pada malam tersebut.

Tiada sebarang perjanjian hitam putih sebagaimana yang didakwa, termasuk permintaan untuk penyanyi tidak bertudung atau artis AF. Dalam pertemuan semalam, Tan Keh Wah telah menunjukkan kepada saya satu salinan invois yang sekadar menunjukkan butiran band Rufus sahaja. Tiada nama individu diletakkan kecuali nama pengacara majlis Amber Wong. Saya adalah sebahagian daripada band Rufus kerana dipanggil oleh band tersebut untuk menjadi penyanyi utama mereka pada malam itu.

Jika benar dakwaan mereka bahawa sejak awal mereka telah meminta Farina AF8 tetapi mengapa nama Farina sendiri tiada dalam invois seperti mana nama Amber Wong? Malah Farina memberitahu saya bahawa dia baru dihubungi pada hari kejadian secara tiba-tiba beberapa jam sebelum acara bermula. Setelah sampai ke majlis itu barulah dia mengetahui perkara sebenar dan atas rasa simpati kepada saya sebagai mangsa diskriminasi, maka dia menjemput saya menyanyi secara spontan.

Lebih pelik, CASTMET mendakwa saya adalah penyanyi pengganti untuk sesi latihan pada 16 Januari di studio dan sesi raptai pada petang 18 Januari beberapa jam sebelum majlis berlangsung. Adakah saya terlalu bodoh untuk menerima tempahan menyanyi untuk sesi latihan dan sesi raptai tetapi tidak untuk majlis sebenar? Dan mengapa saya tidak diberitahu oleh mana-mana pihak termasuk CASTMET dan wakilnya sebelum insiden tersebut berlaku?

Akhirnya saya melihat jawapan-jawapan CASTMET, sama ada melalui Shannon Yong dan Tan Keh Wah adalah isu-isu baru yang ditimbulkan dan tidak relevan. Tindakan terdesak ini adalah memperlekehkan profesionalisme saya sebagai seorang penyanyi profesional dan seorang pemakai hijab.

Sekian, terima kasih.
Marinatasha Isnariah Mustapar

Isu Marinatasha bukan hanya soal tudung, tapi...

Posted: 23 Jan 2014 02:59 AM PST

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Isu membabitkan artis Marinatasha Isnariah Mustapar yang dihalang membuat persembahan kerana bertudung harus dilihat dalam ruang lingkup yang lebih besar.

Dengan penjelasan oleh syarikat penganjur Castmet Sdn Bhd terhadap tindakan ke atas artis itu, maka isu ini menjadi lebih luas melangkaui isu tudung semata-mata.

Bagi Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Riduan Mohd Nor, penjelasan Casmet semalam menimbulkan persoalan baru.

Katanya, apa jenis hiburan yang mengenakan syarat supaya artis wanita yang membuat persembahan perlu menari bersama tetamu lelaki dan dengan syarat tidak bertudung?

"Persoalan lebih besar adalah bagaimana budaya dan masyarakat di Malaysia membenarkan sesuatu persembahan sehingga seseorang artis wanita dikehendaki berinteraksi dengan penonton dengan menyanyi dan menari bersama mereka, dan kriteria utamanya adalah tidak bertudung.

"Persembahan jenis apakah itu sehingga wanita bertudung dianggap tidak sesuai bagi 'berinteraksi dan bercampur' dengan tetamu?

"Mengapa perlu wanita tidak bertudung dijadikan syarat mengadakan persembahan jika bukan aksi 'nakal' diperlukan supaya penonton atau tetamu tidak merasa malu atau janggal bermesra dengan artis tersebut pada majlis yang diadakan?" soalnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Menurut Riduan, ruang demokrasi di negara ini meletakkan hak asasi seseorang itu sepatutnya dihormati dan seharusnya hak untuk mana-mana artis bertudung untuk membuat persembahan perlu dihormati pihak penganjur.

Apatah lagi katanya, bertudung adalah suatu kewajipan bagi seluruh wanita Islam.

Namun kata Riduan, jika itu syarat sebegitu dikenakan penganjur maka Marinatasha sememangnya tidak sesuai pada majlis yang memerlukan aksi seperti itu.

Tetapi perkara yang lebih penting adalah Castment tidak sepatutnya menganjurkan majlis seperti itu.

"Isu ini membuka lebih banyak pendedahan bahawa terdapat majlis-majlis persembahan yang tidak dipantau dan dikawal oleh pihak berkuasa khususnya Jabatan Agama Islam negeri-negeri.

"Mungkinkah ada pelbagai majlis hiburan lain yang dianjurkan oleh syarikat-syarikat sebagai acara tahunan atau penghargaan kepada tetamunya atau kakitangan mereka sehingga memberi persembahan yang melanggar syariat Islam di negara umat Islam ini," soalnya.

Pengusaha salun kena 60 jahitan dikelar peragut

Posted: 23 Jan 2014 02:57 AM PST

HARAKAHDAILY 


BUTTERWORTH: Seorang pengusaha salun menerima lebih 60 jahitan di lengan kanan, jari tangan kiri dan perut akibat dikelar seorang lelaki yang cuba meragutnya.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 9 malam pada 11 Jan lalu ketika Ang Chin Tin, 56, mahu ke pusat membeli-belah Sunway Carnival di sini untuk membuat cermin mata.

Beliau berkata beliau mahu mengalih keretanya agar lebih dekat dengan pusat membeli-belah berkenaan.

"Ketika masuk ke dalam kereta dan menghidupkan enjin, tiba-tiba seorang lelaki datang dari arah belakang dan menyembur sesuatu pada muka saya sambil mengarahkan saya menyerahkan barang berharga," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau menerima kunjungan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, SAC Mazan Kesah di rumahnya di Taman Arowana di sini sempena Program High Profile Policing.

Ang berkata beliau yang takut telah menjerit dengan kuat dan membuatkan lelaki berkenaan panik dan bertindak mengelarnya beberapa kali pada lengan, jari dan perutnya.

"Lelaki itu tidak sempat mengambil apa-apa dari saya mungkin kerana panik mendengar saya menjerit dan melarikan diri selepas mencederakan saya," katanya.

Beliau berkata beliau yang berlumuran darah cuba memandu keretanya ke hospital dan dalam perjalanan itu turut merempuh sekatan jalan raya sebelum tidak sedarkan diri.

"Saya telah kehilangan banyak darah sehingga menyebabkan saya tidak sedar. Saya hanya sedar ketika menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya dan dimaklumkan oleh pihak polis yang saya telah merempuh sekatan jalan raya sebelum saya dibantu," katanya.

Mazlan berkata pihaknya mendapat beberapa petunjuk baharu berhubung kejadian berkenaan dan usaha memburu suspek sedang giat dijalankan.

"Polis juga minta bantuan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar tampil membantu bagi mempercepatkan siasatan kes berkenaan," katanya. - Bernama

Beri ruang peribadi pada waktu ini - Nurul Izzah

Posted: 23 Jan 2014 02:52 AM PST



HARAKAHDAILY


KUALA LUMPUR: Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar hari ini melahirkan rasa sedih dengan cubaan gangguan oleh pihak tertentu yang menyentuh perkara peribadi beliau.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu menegaskan sedang berusaha gigih untuk memastikan kelangsungan perkahwinan beliau.

Berikut kenyataan ringkas beliau bersama Raja Ahmad Shahrir Raja Salim.

Kami amat sedih dengan cubaan gangguan yang menyentuh perkara peribadi kami apabila kami gigih berusaha untuk memastikan kelangsungan perkahwinan ini.

Keluarga kami menjadi keutamaan.

Kami ucapkan terima kasih kepada semua yang melahirkan keprihatinan, dan kami memohon semua pihak agar diberikan ruang peribadi pada waktu-waktu ini.

Raja Ahmad Shahrir Raja Salim dan Nurul Izzah Anwar

Laporan Khalid letak jawatan MB dinafikan

Posted: 23 Jan 2014 02:49 AM PST

MALAYSIAKINI






Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim hari ini menafikan laporan akhbar berhubung peletakan jawatan beliau daripada kerajaan negeri.

Setiausaha akhbarnya Arfaeza Aziz memberitahu Malaysiakini, laporan itu tidak benar dan Khalid ketika dihubungi sedang menghadiri pemukiman exco kerajaan negeri.

"Laporan itu salah," kata Arfaeza.

Beliau merujuk kepada pesanan ringkas SMS akhbar Sin Chew yang memetik Khalid sebagai meletakkan jawatan dan akan digantikan dengan Timbalan Presiden PKR,Azmin Ali.

Setiausaha politik beliau, Azman Abidin juga menafikan laporan itu.

"Itu tidak benar, tanyalah pada Sin Chew bagaimana timbulnya versi itu," katanya ketika dihubungi.

Khalid Samad: Murtad bukan sebab baca Bible

Posted: 23 Jan 2014 02:47 AM PST

MALAYSIAKINI





Ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad percaya orang Islam terjebak dengan kemurtadan disebabkan "hasil sikap orang Melayu-Islam sendiri yang tidak memberikan contoh fahaman Islam yang baik dan bukan disebabkan mereka membaca Bible".

Perkara tersebut antara perkara yang akan dibahaskannya dalam perdebatan dengan Pengerusi Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar dalam perdebatan hujah bertajuk "Isu Kalimah Allah Dari Perspektif Perundangan" anjuran akhbar Sinar Harian 27 Januari depan.

"Murtad bukan disebabkan membaca Bible tetapi disebabkan penolakan (Islam) hasil sikap daripada orang Melayu Islam itu sendiri.

"Antaranya fatwa seorang mufti yang menyatakan halal darah bagi orang yang menyertai himpunan TURUN.

"Kita sendiri dengar pemuda Melayu berkata 'teruknya Islam, turun sikit darah kita halal... Inilah faktornya. Bukan kerana membaca Bible.

"Orang Melayu yang tidak memberi contoh yang baik mengenai apa ajaran Islam yang sebenarnya," kata Khalid dalam sidang medianya hari ini.

Beliau yang juga ahli jawatankuasa PAS pusat berkata parti itu komited untuk menyatakan mengenai keadilan Islam sebagai "daya penarik bukan daya penolak".

Mengulangi penerimaan cabaran debatnya dengan Noh Omar, Khalid berkata beliau akan berdebat dengan Noh atas tajuk tersebut dan datang ke situ dengan sikap keterbukaan kerana menerimanya tanpa sebarang syarat.

Katanya, tujuannya debar itu nanti bagi membuktikan bahawa kalimah 'Allah' "bukan eksklusif untuk Islam sahaja dan haram untuk bukan Islam".

"Inilah matlamat saya nanti," katanya.

KJ: Kabinet kekal dengan Penyelesaian 10 Perkara

Posted: 23 Jan 2014 02:42 AM PST

MALAYSIAKINI

 
 
 
Mesyuarat jemaah menteri semalam memutuskan yang kerajaan kekal dengan Penyelesaian 10 Perkara dalam isu melibatkan kitab Bible berbahasa Melayu dengan kalimah Allah, kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Menurut Khairy, penyelesaian tersebut adalah jawapan terbaik kepada krisis daripada serbuan dan rampasan kitab Bible bahasa Melayu dengan kalimah Allah oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Menurut ketua pemuda Umno itu, menteri besar Selangor sendiri merujuk JAIS kepada penyelesaian itu sewaktu mengulas tindakan agensi agama negeri itu.

"Posisi kita jelas bahawa Penyelesaian 10 Perkara itu kekal.

"Malah menteri besar Selangor sendiri mengakui Penyelesaian 10 Perkaraitu adalah penyelesaian terbaik apabila merujuk JAIS kepada sepuluh perkara itu," kata Khairy selepas berucap pada majlis makan tengah hari anjuran Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (ASLI) tengah hari tadi.

Justeru kata Khairy, kemelut daripada kontroversi itu perlu diselesaikan oleh negeri Selangor dahulu kerana isu agama tertakluk di bawah urusan negeri.

"Sebab itu kita perlu faham ia adalah serbuan yang dilakukan oleh agensi negeri.

"Untuk membolehkan sebarang perbincangan dilakukan, mereka (Selangor) perlu menyelesaikannya di peringkat negeri dahulu," katanya lagi.

Ditanya jika kerajaan Persekutuan wajar campur tangan dalam perkara tersebut kerana Penyelesaian 10 Perkara adalah inisiatif kerajaan, Khairy berkata ia sukar kerana setiap negeri dan kerajaan Persekutuan mempunyai undang-undang berbeza dalam isu agama.

"Tentulah 10 perkara itu tidak boleh mendahului undang-undang negeri.

"Ia agak sukar kerana negara ini adalah satu persekutuan dan setiap negeri ada undang-undang yang berbeza," katanya.

Kontraktor dakwa cedera dipukul polis dalam tahanan

Posted: 22 Jan 2014 09:40 PM PST

MALAYSIAKINI




Apabila seorang kontraktor dari Kedah datang atas kehendaknya sendiri ke Balai Polis Kubang Pasu untuk membantu siasatan satu kes rogol Disember tahun lepas, dia sedikit pun tidak menjangka akan melalui satu tragedi buruk yang akan menghantuinya seumur hidup.

Zul Hilmi Abdul Rahman, 32, ditahan reman pada hari berikutnya, 12 Disember, dan ditempatkan di dalam lokap, di mana dia mendakwa dipukul dengan kejam oleh tiga anggota polis - dua lelaki dan seorang wanita - selama dua jam dan membiarkannya dalam kesakitan, tanpa rawatan perubatan.

Zul Hilmi hadir di balai polis tersebut pada 11 Disember, selepas diberitahu bahawa polis mahu menemuinya bagi membantu siasatan satu kes rogol tetapi dia sebaliknya ditahan dan disenaraikan suspek.

Dia kemudian mendapat tahu bahawa wanita yang tidak dikenali, telah membuat laporan polis yang mendakwa bahawa sebuah kereta dengan nombor plat keretanya terlibat dalam jenayah itu.

Zul Hilmi berkata dia mahu keadilan kerana mendakwa telah dipukul oleh polis yang didakwanya mahu memaksanya mengaku melakukan jenayah yang tidak dilakukannya.

Dia mendakwa dipukul di bawah kaki dengan batang paip PVC yang tebal dan sebanyak dua kali - 18 dan 16 kali - selama dua jam, pada hari pertama dia ditahan di lokap.

Menurutnya, tangannya diikat dan mereka menumbuk dan menendangnya, menyebabkan kecederaan kepada kaki, bahu kiri, skrotum (bahagian sulit) dan usus besar.

"Saya tidak dapat bernafas," katanya Zul Hilmi yang terbaring di katil dalam kesakitan, dengan isterinya, Nur  Othman di sebelahnya semasa ditemui di rumahnya di Alor Setar malam tadi.

Zul Hilmi berkata akibat kejadian itu pada 12 Disember tahun lepas, dia dan tidak lagi dapat bekerja untuk menyara keluarganya, termasuk ibu bapanya.

Sebelum ini dia memperoleh pendapatan antara RM5,000 hingga RM6,000 sebulan sebagai kontraktor tetapi kini perlu bergantung sepenuhnya pada isterinya, yang bekerja dalam perkhidmatan awam.

Berkahwin dua tahun lalu, pasangan itu belum dikurniakan anak dan diberitahu oleh doktor mereka mungkin menghadapi kesukaran mempunyai anak.

Nur Adzleen, 29, telah membuat dua laporan polis mengenai kejadian itu - pada 12 dan 27 Disember - di Balai Polis Jitra, tetapi menurutnya, belum ada tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa untuk menyiasatnya.

Pada 12 Disember, apabila dibenarkan untuk melihat suaminya, dia terkejut mendapati Zul Hilmi sangat lemah, sesak nafas, dengan kakinyabengkak dan lebam di bahunya.

Zul Hilmi hanya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Hospital Sultan Bahiyah pada 23 Disember, selepas dia dibebaskan dengan jaminan polis.

Beliau menjalani dua pembedahan kerana jangkitan pada buah zakar dan duburnya. Usus besarnya juga turut cedera dan dia memakai beg kolostomi.


Ahli Parlimen PKR Alor Setar, Gooi Hsiao Leung (kanan dalam foto),
yang juga seorang peguam, berkata Zul Hilmi merancang untuk menyaman pihak polis kerana kecederaan yang dialaminya dan kehilangan pendapatan, kerana dia mungkin tidak berupaya seumur hidup.

Ketika ditemui di rumah mangsa, Gooi mendakwa ia merupakan kes paling buruk pernah dilihatnya dan menurutnya, sehingga hari ini, pihak polis tidak datang untuk mengambil kenyataan Zul Hilmi atau isterinya.

Beliau menggesa polis melancarkan siasatan bebas terhadap kes itu serta-merta.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Penolong Pesuruhjaya Mohd Nashir Ya dilaporkan berkata Zul Hilmi pada mulanya ditahan reman bagi membantu siasatan satu kes rogol dan peras ugut kes yang melibatkan seorang pelajar berusia 16 tahun .

Mohd Nashir berkata Zul Hilmi telah dihantar ke Hospital Jitra sebanyak tiga kali - pada 12, 18 dan 22 Disember - untuk pemeriksaan dan akhirnya dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk rawatan dan pembedahan, sebelum dibebaskan dengan jaminan polis pada 23 Disember.

Mohd Nashir dipetik dalam laporan Sinar Harian pada 31 Disember bahawa kertas siasatan telah dibuka berhubung dakwaan keganasan polis semasa dalam tahanan, dan ia dalam siasatan.

Penyanyi bertudung tolak alasan syarikat

Posted: 22 Jan 2014 09:37 PM PST

MALAYSIAKINI

 
 
 
Penyanyi Marinatasha Isnariah Mustafar tetap dengan pendirian beliau didiskriminasikan kerana bertudung oleh seorang pegawai syarikat Castmet Sdn Bhd.

Beliau hari ini menolak kenyataan pengarah Urusan Castmet, Tan Keh Wah dan pengarah kewangan syarikat itu Yong Pey Ling bahawa beliau tidak sesuai dalam majlis itu kerana itu bukan isu utama.

"Isunya adalah perkataan dan tindakan rasis yang diperbuat oleh pengarah kewangannya, Yong terhadap saya, iaitu menyatakan bahawa saya tidak boleh menyanyi kerana saya bertudung.

"Ini adalah satu diskrimasi jika dilihat dalam apa keadaan sekalipun," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Marinatasha mendakwa beliau diarah turun dari pentas oleh Yong ketika mahu melakukan persembahan pada majlis makan malam tahunan Castmet Sabtu lalu.

Beliau mempersoalkan kenapa alasan-alasan itu hanya dibangkitkan selepas sidang akhbar bersama Karyawan Isnin lalu tanpa sebarang pertemuan dengan pihak beliau sendiri.

"Saya melihat jawapan yang diberikan kepada media adalah untuk mengalihkan perhatian daripada isu sebenar.

"Ironisnya mereka sanggup membenarkan saya membuat persembahan jika saya tidak bertudung," katanya.

Beliau juga mendakwa alasan yang diberikan Tan saling bercanggah dengan kenyataan syarikat pengurusan acara Red on Black.

Pegawai Red on Black Mohd Salih Toha berkata ia isu peribadi antara Marinatasha dan Yong kerana walaupun Castmet meminta mereka membekalkan artis untuk acara itu, rundingan akhirnya dibuat secara terus.

Penutupan Pasar Malam TTDI Mengejutkan - Pengunjung

Posted: 22 Jan 2014 09:34 PM PST




Pasar malam TTDI.



PENGUNJUNG tetap pasar malam Taman Tun Dr Ismail terkejut mengenai notis penutupan mengejut pasar malam tersebut oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkuatkuasa 26 Januari ini.

Gambar notis tersebut bertarikh 16 Januari dikeluarkan kepada para peniaga pada Ahad tersebar luas di laman Twitter, malam Ahad.

Notis tersebut menyebut DBKL membuat keputusan itu selepas para peniaga gagal menyelesaikan aduan yang kerap diterima seperti kesesakan lalu lintas dan tahap kebersihan.

Pengunjung pasar malam itu menggunakan Twitter sebagai medium untuk menyatakan rasa tidak puas hati.

"Apa, berita ini mengenai pasar malam TTDI yang akan ditutup!:(((( Saya dapat rasakan zaman kanak-kanak saya telah dicuri! :(((," tweet Rachael Looi.

"Alasan tidak munasabah, kebersihan dan kesesakan lalu lintas," tweet Pankajkumar.

"Pasar malam TTDI ada bihun sup terbaik :( dan ia dijual di sana sejak saya masih kecil. Alasan yang tidak masuk akal untuk menutup pasar malam itu," tweet Katrina von Gazzali.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata DBKL menerima banyak aduan mengenai kelemahan pengurusan pasar malam itu sejak dua tahun lalu.

"Aduan diterima dari penduduk kondominium Sinaran TTDI selain penduduk di kawasan berhampiran.

"DBKL telah mengadakan perbincangan dengan Badan Pengurusan Bersama kondominium terbabit mengenai aduan tersebut tetapi tiada jalan penyelesaian.

"Kawasan itu sesuai untuk pasar malam tetapi ia dibenarkan untuk beroperasi beberapa tahun lalu atas permintaan orang ramai.

"Sekiranya penganjur pasar malam dan Badan Pengurusan Bersama kondominium tersebut dapat mencari jalan penyelesaian, pasar malam itu akan terus beroperasi.

Para pengunjung beratur untuk membeli makanan kegemaran mereka.
 
"Namun, keutamaan kita adalah kebajikan para penduduk.

"Aduan utama adalah mengenai kesesakan lalu lintas, menyukarkan pergerakan keluar masuk penduduk di kondominium tersebut, selain tahap kebersihan," katanya.

Ahmad Phesal menegaskan, DBKL tidak berniat untuk menyukarkan kehidupan para peniaga.

"Walaupun notis penutupan itu sudah dikeluarkan, saya berharap penganjur dan Badan Pengurusan Bersama kondominium terbabit boleh tampil dengan penyelesaian menang-menang," katanya.

Setiausaha Pertubuhan Penduduk TTDI, Margaret Lee berkata, mereka kecewa kerana tidak dimaklumkan sebelum notis itu dikeluarkan.

"Kami ada terdengar khabar angin mengenai penutupan tersebut dan saya ada menulis surat kepada DBKL untuk menjelaskan perkara itu pada awal Januari.

"Maklum balas dar DBKL memberitahu bahawa mereka akan menyiasat perkara itu. Kemudian secara tiba-tiba, para peniaga menerima tamparan hebat dengan pengeluaran notis tersebut.

"Pasar malam itu beroperasi sejak lebih 30 tahun lalu dan penutupan itu akan menjejaskan penduduk dan juga kehidupan para peniaga," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng berkata, beliau akan menulis surat kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bagi meminta penjelasan berhubung arahan penutupan itu dan turut menghantar satu salinan kepada Ahmad Phesal.

"Arahan penutupan itu dikeluarkan tanpa berunding dengan persatuan penduduk di kawasan itu.

"Persatuan penduduk tidak bersetuju dengan keputusan itu. Saya menasihatkan para peniaga supaya meneruskan perniagaan seperti biasa pada Ahad ini sementara menunggu maklum balas daripada Tengku Adnan," katanya.

Sweden Akan Temuduga Pasangan Islam M'sia Sebagai Ibu Bapa Angkat Empat Beradik

Posted: 22 Jan 2014 09:28 PM PST




Anifah Aman.


PETALING JAYA: Pihak berkuasa Sweden akan menemuduga keluarga Islam Malaysia yang akan menjadi sebagai ibu bapa angkat kepada empat anak pasangan yang masih direman.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, Wisma Putra menerusi Kedutaan Malaysia di Sweden telah menyerahkan cadangan beberapa nama dan pihak berkuasa di negara itu akan memutuskannya selepas menemuduga bakal ibu bapa angkat kepada empat beradik berkenaan tidak lama lagi.

"Kita sudah pun menghantar beberapa nama yang dicadangkan sebagai ibu bapa angkat dan pihak berkuasa akan menemuduga pasangan yang merupakan rakyat Malaysia beragama Islam.

"Kita juga ada bertanyakan kepada mereka (pihak berkuasa) untuk mempertimbangkan permintaan saudara-mara kanak-kanak itu untuk mereka pulang ke Malaysia sementara kes ibu bapa mereka sedang diselesaikan.

Bagaimanapun, walaupun pihak berkuasa bersetuju, kepulangan mereka tidak dapat dilakukan dengan segera kerana kesemua beradik itu perlu ditemubual bagi membantu siasatan," katanya kepada The Star.

Azizul Raheem Awalludin, seorang pegawai Tourism Malaysia di Stockholm dan Shalwati Norshal, guru yang bercuti tanpa gaji, ditahan pada 18 Disember lalu dan tahanan reman mereka dilanjutkan sehingga 30 Januari.

Pasangan itu ditahan untuk membantu siasatan kerana didakwa memukul tangan seorang daripada anak mereka yang tidak bersolat.

Anifah berkata, Wisma Putra telah melakukan apa yang diperlukan, termasuk mengeluarkan mesej diplomatik kepada Sweden berhubung perkara tersebut, manakala wakil rasmi dibuat oleh Duta Malaysia ke Sweden kepada pihak berkuasa yang berkaitan di negara itu.

"Kita tahu rakyat kita begitu prihatin terhadap kebajikan keluarga ini dan kesemua beradik berkenaan tetapi mereka tidak sepatutnya mengikut perasaan. Sebarang protes yang dilakukan tidak akan membuatkan kerajaan mengubah undang-undangnya," tambahnya.

Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) menyerahkan memorandum kepada Kedutaan Sweden di sini bagi menyuarakan kebimbangan mereka terhadap empat beradik itu yang berada di bawah penjagaan ibu bapa angkat yang bukan beragama Islam, dan penahanan pasangan rakyat Malaysia tersebut.

Setiausaha akhbar Anifah, Datin Nirvana Jalil Ghani berkata, Wisma Putra telah pun berusaha untuk membantu membebaskan pasangan itu sejak awal lagi kes itu berlaku.

Bagi mengulas kenyataan Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil, Nirvana berkata, para pegawai Wisma Putra telah pun memberi bantuan kepada pasangan raktyat Malysia itu.

Keputusan STAM 2013 Diumum 30 Januari

Posted: 22 Jan 2014 09:17 PM PST

MSTAR ONLINE
 
 
KUALA LUMPUR: Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2013 akan diumumkan pada 30 Januari ini.

Menurut kenyataan Lembaga Peperiksaan pada Khamis, calon yang menduduki peperiksaan itu boleh mendapatkan keputusan mereka di sekolah masing-masing mulai 10 pagi.

"Calon persendirian pula akan dimaklumkan melalui pos atau mereka boleh menghubungi Jabatan Pendidikan Negeri tempat mereka mendaftar dahulu dan pengumuman analisis keputusan STAM 2013 akan diadakan serentak pada hari yang sama pukul 9 pagi di Putrajaya," menurut kenyataan itu.

Sebanyak 8,613 orang calon telah menduduki peperiksaan STAM 2013 di 116 buah pusat peperiksaan di seluruh negara dan daripada jumlah itu, 4,094 adalah calon sekolah Kementerian Pendidikan, Bantuan Kerajaan dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan.

Sebanyak 2,601 adalah calon Sekolah Menengah Agama Negeri, 685 dari SekolahMenengah Agama Rakyat, 1,185 calon persendirian manakala baki 48 calon adalahdari Sekolah Menengah Swasta.
Menurut kenyataan itu, kementerian juga menyediakan perkhidmatan semakan keputusan STAM melalui mySMS 15888 dengan menaip STAM jarakkan taip angka giliran dan hantar ke 15888.

Perkhidmatan itu akan diaktifkan bermula 10 pagi, 30 Jan dan akan ditamatkan pada 11.59 malam, 5 Februari ini. - BERNAMA

Tian Chua Dihukum Penjara Sebulan di bawah Perintah Kawasan Larangan

Posted: 22 Jan 2014 09:11 PM PST

Rakyat News
 
 Radhi Razak


KUALA LUMPUR  - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua hari ini dihukum penjara sebulan dan denda RM1,000 setelah didapati bersalah atas tuduhan melanggar arahan di bawah Perintah Kawasan Larangan, dua tahun lalu.

Hakim Mahmud Abdullah yang membuat keputusan itu di Mahkamah Seksyen di sini mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan peguam bela, Eric Paulsen untuk menangguhkan hukuman penjara.

Tian Chua atau nama sebenarnya Chua Tian Chang, 51, didakwa tidak mematuhi arahan Deputi Superintendan A Rajakopal, untuk beredar dari kawasan yang diisytiharkan sebagai kawasan larangan mengikut Perintah Kawasan-kawasan Larangan 1975.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amirah Mohamed Yusoff, manakala peguam Eric Paulsen mewakili Tian Chua.

Mengikut laporan, Tian Chua dikatakan melakukan kesalahan itu di Pusat Latihan Polis Diraja Malaysia (PULAPOL), Jalan Semarak, jam 2.39 pagi, pada 29 April 2012 dan didakwa mengikut Seksyen 4(2) Akta Kawasan Larangan 1959 (Akta 298), yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Seramai sembilan saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan manakala pembelaan mengemukakan dua saksi.

Isu 'Boo' Rosmah : Penonton Biadap, Tidak Bermoral

Posted: 22 Jan 2014 09:05 PM PST

Rakyat News

Khushrin Lani  


KUALA LUMPUR - Pergerakan Pemuda UMNO mengecam sekeras-kerasnya tindakan tidak bermoral yang ditujukan kepada isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor semasa penyampaian hadiah Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia baru-baru ini.

Menurut Ketua Biro Sosial dan Etiika Pemuda UMNO, Iskandar Jaafar, tindakan menyorak (boo) yang dilakukan oleh segelintir penonton perlawanan akhir tersebut adalah sesuatu yang tidak patut dilakukan terhadap orang kenamaan negara.

"Mereka sanggup "boo" kepada isteri Perdana Menteri Malaysia ketika penyampaian hadiah kejohanan badminton tersebut dan perbuatan ini saya kira tidak layak langsung untuk diketengahkan dalam program-program ataupun keramaian yang melibatkan pemimpin besar negara," katanya kepada pemberita pada sidang media di sini semalam.

Tegasnya, masyarakat Malaysia kini sudah hilang nilai sosial dan etika serta tidak lagi menghormati antara satu sama lain disebabkan oleh perbezaan pandangan politik yang ketara.

"Kalau kita tengok hari ini, pelbagai kegiatan-kegiatan yang dilihat sudah menjuruskan kepada begitu berunsurkan kepentingan peribadi sehingga timbul budaya seperti memfitnah dan mengaibkan serta menyebarkan berita-berita yang tidak tepat dengan perkara sebenarnya yang berlaku."

Disebabkan keadaan itu, Pemuda UMNO melalui biro tersebut sedang membangunkan satu modul baru untuk mempromosikan adat tatasusila yang lebih tinggi khususnya golongan belia.

"Jadi apa yang kita akan laksanakan melalui kerjasama diantara biro-biro dalam Pemuda ini, untuk kita bangunkan satu modul yang mana kita akan kemukakan kepada kumpulan sasaran kita bagi mempromosi tatasusila dan tatalaku yang lebih baik daripada apa yang kita ada pada hari ini."

"Kita sedang membuat draf perancangan program untuk kita bentangkan kepada pimpinan tertinggi Pemuda dan kita juga merancang untuk mengeluarkan satu kapsul dalam bentuk drama pendek dan sebagainya untuk membantu mempromosikan dimana kita akan terlibat secara langsung."

Tambahnya lagi, satu bentuk rakaman cakera padat bagi membantu pucuk pimpinan khususnya diperingkat akar umbi juga akan dikeluarkan dalam mempromosikan adat kesantunan dan hormat menghormati dikalangan ahli parti Melayu terbesar itu.

PKR nafi Azmin ganti Khalid jadi MB

Posted: 22 Jan 2014 09:00 PM PST


 Datuk Saifuddin Nasution Ismail  
Datuk Saifuddin Nasution Ismail


PETALING JAYA - PKR menafikan laporan sebuah akhbar yang mendakwa Timbalan Presidennya, Azmin Ali bakal menggantikan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, melalui mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat pada 15 Januari, isu tersebut tidak dibincangkan.

"Mesyuarat itu tidak membuat keputusan yang bersetuju untuk menggantikan beliau (Khalid).

"Kami memandang serius isi kandungan dan anggapan laporan akhbar itu," katanya pada sidang media, hari ini.

Menurutnya, mesyuarat tersebut membincangkan isu Selangor antaranya kenaikan yuran lesen perniagaan, isu air dan kenaikan elaun.

"Kami hanya bincang isu Selangor. Isu kenaikan yuran lesen perniagaan, penyusunan semula aset air Selangor...berkenaan Projek Langat 2 dan kenaikan elaun.

"Tak bincang (lucut jawatan Menteri Besar). Jadi tak timbul isu Azmin ganti Khalid," katanya.

Namun, beliau akui melalui mesyuarat yang dipengerusikan Azmin itu, ada ahli yang menyuarakan pendirian keras iaitu melucutkan Khalid.

"Ada yang ambil pendirian ekstremis yang membawa kepada pelucutan Khalid. Empat atau lima orang daripada 55 ahli tapi adakah pandangan mereka menjadi keputusan mesyuarat? Tidak.

"Itu lumrah dalam parti (pandangan ekstremis). Tapi ini pertama kali berlaku dalam mesyuarat (ahli menyatakan cadangan keras)," katanya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa Azmin tidak pernah membawa usul agar Khalid dilucutkan jawatannya.

"Masa bincang tentang pelucutan Azmin (PKNS), Azmin pengerusikan mesyuarat itu tapi ketika bincang, beliau keluar dan diambil alih orang lain," katanya lagi.

Anak Taib Mahmud miliki saham 85 syarikat antarabangsa termasuk di California

Posted: 22 Jan 2014 04:32 PM PST

OLEH DIYANA IBRAHIM


Kes perceraian anak Taib Mahmud yang sedang berlangsung di Mahkamah Syariah mendedahkan jumlah aset yang dimiliki keluarga Ketua Menteri Sarawak. 



Kes perceraian anak Taib Mahmud yang sedang berlangsung di Mahkamah Syariah mendedahkan jumlah aset yang dimiliki keluarga Ketua Menteri Sarawak.Selain memiliki pegangan saham dalam 49 buah syarikat yang dianggarkan bernilai lebih daripada RM1 bilion, anak Ketua Menteri Sarawak juga dilaporkan memiliki sebanyak saham dalam 85 syarikat antarabangsa menurut akauntan Edward Heng.

Heng memberitahu kepada Hakim Syarie Muhamad Abdul, saham daripada 85 buah syarikat antarabangsa itu termasuklah hasil pembabitan Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Abdul Taib sebagai pengarah urusan dalam syarikat Sakti International Corporation (SIC) yang berpangkalan di California, Amerika Syarikat.

Heng juga berkata, saham itu kemungkinan juga tidak hanya terhad kepada negara Australia, Kanada, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

"Hasil siasatan, kami telah menerima sebuah dokumen permohonan yang menunjukkan defendan sebagai pemegang saham," katanya kepada hakim di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur hari ini.

"Dokumen itu berdasarkan Akta Perbadanan California Seksyen 307 (b) di mana pihak defendan memegang 200 pegangan saham SIC," katanya.

Bagaimanapun kata Heng, laporan jumlah keseluruhan harta dan aset yang dimiliki bekas suami plaintif itu tidak termasuk dalam jumlah peratus saham syarikat antarabangsa.

Katanya, nilai aset yang tidak dipertimbangkan dalam laporan namun didedahkan mahkamah ialah tujuh buah kenderaan mewah berupa motosikal dan kereta milik defendan.

Antaranya adalah sebuah motosikal model Demar Spark dan bagi kereta pula ialah Buggati EB110, Lamborghini Gallardo Coupe dan Bentley Continental GT (A) .

Terdahulu Heng berkata, nilai saham bagi empat ladang minyak kelapa sawit di Sarawak milik Mahmud Abu Bekir dijangka bernilai RM636 juta dan RM1.05 bilion.

Heng berkata daripada empat syarikat ladang kelapa sawit tersebut tiga daripadanya tidak mempunyai penyata kewangan yang telah diaudit.

"Tiga syarikat yang tidak mempunyai penyata kewangan audit itu dikira mengikut keluasan ekar ladang iaitu hampir 13,000 hektar dimana nilainya antara RM296.85 dan RM 492.22 juta."

Mahmud Abu Bekir juga dikatakan memiliki 59% saham dalam syarikat keempat yang mempunyai penyata audit kewangan iaitu Titanium Management Sdn Bhd.

Heng yang menjadi saksi kepada perbicaraan kes tuntutan harta sepencarian itu berkata, syarikat itu memiliki bangunan korporat Menara Titanium di Kuching dan 11,000 hektra tanah ladang kelapa sawit.

"Bagi aset syarikat tersebut jangkaan nilai yang dipegang oleh defendan antara RM339 juta dan RM563 juta," katanya.

Sementara itu, anak ketua menteri Sarawak itu menafikan pendedahan pegangan 85% saham syarikat antarabangsa yang dibuat oleh akauntan lantikan bekas isterinya, Shanazadalah.

Mahmud Abu Bekir juga turut menafikan bahawa beliau memiliki syarikat ladang kelapa sawit.

"Mana datangnya 85 buah syarikat itu? Ia tidak wujud. Adakah kamu tahu siapa yang mempunyai syarikat tersebut?" katanya ketika ditemui wartawan sejurus selepas perbicaraan ditangguhkan.

Tuntutan harta yang difailkan oleh Shanaz menjadi perhatian umum kerana mendedahkan hasil kekayaan keluarga Ketua Menteri Sarawak.

Hakim kemudiannya menangguhkan perbicaraan sehingga 5 Februari depan

Isu wanita Islam bertudung

Posted: 22 Jan 2014 04:17 PM PST


Oleh Rusni Tajari
 
 
Masih ingatkah kita isu wanita yang memohon kerja di KLCC suatu ketika dahulu? Wanita tersebut tidak mendapat pekerjaan hanya kerana dia bertudung. Dahulu berita ini hangat diperkatakan kerana mendapat liputan media sosial termasuk di Facebook dan akhbar tempatan.

Namun, setelah beberapa lama, seakan menjadi norma masyarakat hari ini, isu yang timbul hanya mendapat reaksi seketika, kemudian tiada langkah proaktif yang diambil. Lalu, isu yang timbul dibiarkan seperti angin lalu.

Kini, isu berhijab timbul lagi apabila seorang guru Cina beragama Islam diarahkan membuka tudung selain diancam keselamatannya. Ini sesuatu yang menyedihkan berlaku di Malaysia iaitu sebuah negara yang menjunjung prinsip demokrasi yang mengangkat jalur kepelbagaian agama dan bangsa, namun masih timbul isu sebegini.

Pada hemat saya, ini satu bentuk diskriminasi hak berhijab bagi seorang wanita Islam. Walaupun berhijab itu tidak termaktub hukumnya dalam perlembagaan Malaysia namun memberikan arahan sebegitu kepada seorang guru Cina Islam adalah sesuatu yang sukar untuk diterima seakan-akan tiada penghormatan pada individu yang ingin mempraktikkan agamanya.

Mungkin undang-undang sekolah itu menyatakan tidak boleh bertudung. Namun itu juga adalah hak seorang individu Islam menunaikan hak sebagai wanita Islam untuk menutup aurat.

Diskriminasi berhijab bukan kes yang pertama di Malaysia, namun jika ia berlaku, pasti senyap sahaja dan tidak ada yang keluar tampil untuk bela nasib mereka. Kalau ada pun hanya di media sosial yang hanya mampu diwar-warkan kepada orang ramai.

Namun kesalahan sering diletakkan kepada yang berhijab. Dalam kes ini, guru itu dipindahkan. Walaupun begitu, saya tidak menolak, secara psikologinya, dalam jangka masa pendek, inilah penyelesaian yang terbaik bagi mengelakkan perselisihan berterusan dalam kalangan individu di sekolah itu.

Tetapi, sampai bila kita harus bersikap begini? Bukankah sifat pendidik itu, mendidik anak-anak negara bangsa saling hormat-menghormati dan mencintai antara satu sama lain? Atau pendidik hari ini mula kehilangan semangat mendidik pelajar menjadi seorang manusia berguna?

Di mana keadilan kita terhadap perkara seperti ini? Di mana suara-suara NGO yang lantang menentang kezaliman atas nama melanggar hak asasi individu? Saya secara peribadi tidak mahu menuding jari pada mana-mana NGO yang memperjuangkan hak wanita. Malah, menyeru agar NGO seperti ini tampil memperjuangkan hak wanita seperti ini. Bukan semata-mata melaung-laungkan persamaan jantina, tetapi juga hak wanita yang ingin mempraktikkan semangat keagamaannya sendiri.

Dasar Automotif Nasional tidak turun harga kereta

Posted: 22 Jan 2014 04:14 PM PST

Oleh: Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad


Keengganan Barisan Nasional melaksanakan beberapa reformasi dasar yang penting berhubung industri automotif negara akan terus mengekalkan harga kereta di Malaysia pada kadar antara yang termahal di dunia.

Pengumuman Dasar Automotif Nasional 2014 (NAP2014) semalam tidak sedikit pun menyentuh beberapa perkara pokok yang selama ini menyebabkan harga kereta di Malaysia begitu tinggi, iaitu:

1. Pengenaan cukai eksais yang begitu tinggi terhadap setiap pembelian kereta di antara 85% hingga 110%

2. Pelaksanaan dasar permit mengimport (AP) yang tidak telus yang telah mengkayakan kroni tertentu

3. Pemberian rebat cukai eksais yang tidak telus sehingga menyembunyikan struktur kos yang ditanggung oleh industri automotif, ini memberi ruang kepada manipulasi margin keuntungan dalam rantaian pembuatan dan penjualan kereta.

Turun Harga kereta 2Barisan Nasional terus enggan memotong cukai eksais yang begitu tinggi dengan alasan kedudukan kewangan negara tidak mengizinkan.

Kenyataan Dato' Seri Mustapha Mohamad, Menteri Industri dan Perdagangan Antarabangsa (MITI) mengiyakan bulat-bulat kritikan terhadap Barisan Nasional selama ini bahawa pengurusan kewangannya yang lemah telah menyebabkan rakyat terpaksa menanggung pelbagai cukai langsung dan tidak langsung yang tinggi, termasuk cukai eksais kereta.

Pengumuman pemberian rebat dan potongan cukai eksais bagi model dipasang di Malaysia (CKD) terpilih tidak akan menurunkan harga kereta secara keseluruhannya kerana ia hanya melibatkan segmen kereta yang kecil.

Tanpa potongan cukai eksais yang melibatkan keseluruhan industry automotif, langkah-langkah terpencil yang hanya melibatkan beberapa jenis kenderaan sahaja adalah tidak lebih dari gimik (gimmick) untuk meredakan kemarahan rakyat.

Malah, penerusan sistem pemberian rebat sedia ada yang tidak telus dan bergantung kepada budi bicara Menteri akan terus menyembunyikan struktur kos industri automotif dari difahami rakyat.

Apabila tidak ada satu kadar tetap cukai eksais yang dibayar oleh pengguna kerana ia bergantung kepada jumlah rebat cukai eksais yang diberikan atas budi bicara Menteri, boleh berlaku manipulasi harga jualan kereta yang memberi margin keuntungan yang tinggi kepada pengedar/pembuat kereta.

Oleh sebab itulah, KEADILAN berkali-kali mendesak supaya sistem cukai eksais sedia ada dihapuskan sama sekali untuk mengurangkan harga kereta serta-merta apabila pengguna tidak lagi menanggung cukai dan boleh membandingkan harga kereta secara telus dan kompetitif.

Kami juga terus membidas pendekatan Barisan Nasional yang tetap mewar-warkan kononnya harga kereta telah turun apabila beberapa model baru kereta yang diperkenalkan di pasaran pada harga yang kononnya lebih rendah.

Tindakan ini cuba menipu rakyat kerana perbezaan harga dari model lama atau sedia ada yang diperkenalkan bukanlah satu bentuk penurunan harga kereta yang kekal merentasi industri (non-permanent across the board price reduction).

Malah, ada beberapa model yang diperkenalkan dengan diskaun merupakan model lama yang kos pembangunannya sudah pun diperolehi oleh syarikat kereta, lalu membolehkan model itu dijual pada harga yang lebih rendah.

Rakyat menuntut janji Barisan Nasional untuk menurunkan harga kereta secara keseluruhan melibatkan semua model kereta merentasi industri seperti yang diutarakan oleh Pakatan Rakyat.

Untuk menunaikan janji ini, hanya ada satu cara iaitu pemotongan atau penghapusan cukai eksais ke atas kereta secara keseluruhan dan bukannya dihadkan kepada model tertentu seperti yang diumumkan semalam.

Kami juga kecewa dengan dolak-dalih baru yang diberikan oleh Barisan Nasional untuk terus mengekalkan sistem AP dengan alasan lebih banyak kajian yang diperlukan.

Ini tidak lebih dari alasan untuk terus membenarkan golongan tertentu yang rapat dengan Barisan Nasional mendapat keuntungan atas angin sedangkan rakyat terus terbeban dengan harga kereta yang tinggi.

Sepatutnya, Dato' Seri Mustapha Mohamad sebagai menteri yang bertanggungjawab membuat kajian yang secukupnya terlebih dahulu sebelum memasukkan janji untuk menurunkan harga kereta di dalam akujanji Barisan Nasional dalam PRU13.

Pendekatan berjanji terlebih dahulu dan kemudiannya membeli masa dengan mengumumkan kajian demi kajian adalah satu helah Barisan Nasional yang semakin kerap diamalkan akhir-akhir ini untuk kegagalan mereka mengotakan janji-janji PRU13.

* Rafizi Ramli adalah Pengarah Strategi Ahli Parlimen Pandan
* Nik Nazmi Nik Ahmad adalah Timbalan Speaker Selangor

Masanya telah tiba untuk rakyat Malaysia mengasingkan patriot dengan pengkhianat

Posted: 22 Jan 2014 04:07 PM PST


13mei

Lim Kit Siang

Kenyataan Media oleh Ketua Parlimen DAP merangkap Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang di Kuala Lumpur pada hari Selasa, 21 Januari 2014:

Masanya telah tiba untuk rakyat Malaysia mengasingkan patriot yang inginkan negara Malaysia yang bersatu, aman, harmoni dan makmur daripada para pengkhianat yang mahu mencetuskan satu lagi 13 Mei dengan menimbulkan kebencian kaum dan agama, serta konflik dan ketegangan melalui penipuan dan fitnah.

Semalam kumpulan ekstremis Perkasa mendakwa bahawa isu kangkung boleh mengakibatkan berulang kembali tragedi rusuhan kaum 13 Mei jika terus dimainkan, sambil turut mendakwa bahawa isu tersebut telah menjadi isu perkauman dan bercanggah dengan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum.

Seorang jurucakap Perkasa berkata ramai yang dilihat tidak menghormati Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam isu ini.

Katanya: "(Peristiwa) 13 Mei kita rasa akan berulang kembali. Ia boleh berulang kembali kalau ada yang mahu ia berlaku. Macam isu kangkung kalau keterlaluan, sampai kata orang 'telunjuk mencucuk mata'. Ia tidak mustahil boleh berlaku."

Bolehkah peristiwa rusuhan 13 Mei 1969 berulang kembali?

Ya, jika elemen pelampau dan kumpulan-kumpulan yang tidak dapat bertoleransi dibiarkan berterusan malah untuk memperhebat kempen menimbulkan kebencian kaum dan agama, ketegangan dan konflik antara kaum dengan menggunakan penipuan dan fitnah tanpa tindakan segera pihak berkuasa bagi menghentikan tindakan mengeluarkan kenyataan yang begitu tidak bertanggungjawab, menghasut, dan membangkitkan kebencian kaum dan agama, ketegangan dam konflik dalam masyarakat majmuk.

Satu contoh hasutan ke arah kebencian kaum dan agama, ketegangan dam konflik adalah protes yang dianjur oleh UMNO Pulau Pinang dan sekutu-sekutunya pada hari Sabtu, yang merupakan gangsterisme politik paling buruk dengan mengugut menggunakan soalan retorik: "Adakah DAP mahu satu lagi 13 Mei" yang turut mengusung bersama slogan dan kain rentang menakut-nakutkan serta bersifat perkauman, malah ada satu dengan warna merah darah dengan kata-kata, ""Kerana mulut pemimpin DAP, 13 Mei 1969 terjadi… Mahu lagi kaa?" dan kain-kain rentang lain bertulis "ABCD – Asal Bukan Cina DAP" dan "DAP musuh Islam".

Ini adalah sangat tidak bertanggungjawab, menghasut, dan membangkitkan kebencian kaum dan agama, ketegangan dam konflik apabila hakikatnya DAP langsung tidak terlibat dalam flash mob kangkung yang dianjurkan Lee Khai Loon, ADUN PKR Machang Bubuk; yang menjadi tajuk protes UMNO Pulau Pinang dan kuncu-kuncunya.

Meskipun protes Saudara Lee boleh dianggap melampau, menyakitkan hati dan tidak sensitif; beliau telah memperjelaskan bahawa ia tidak berniat untuk menghina Perdana Menteri tetapi bertujuan menunjukkan betapa berat beban dan kesusahan yang ditanggung oleh rakyat akibat dari kenaikan harga barang.

Saudara Lee wajar mempertimbangkan untuk meminta maaf, terutamanya kerana ada pihak yang merasakan protes sedemikian sebagai melampau, menyakitkan hati dan tidak sensitif (dan saya termasuk dari kalangan mereka), malah pertimbangan yang lebih penting ialah untuk tidak membenarkan pihak-pihak tidak bertanggungjawab mudah mencari alasan bagi memutarbelit insiden dalam usaha mereka bagi menghasut, serta membangkitkan emosi untuk memperhebat kebencian kaum dan agama, ketegangan dam konflik demi objektif utama untuk mencetuskan satu lagi 13 Mei dalam negara ini.

Anwar Ibrahim betul apabila menyifatkan bahawa flash-mob kangkung Lee Khai Loon menyumbat kankung ke mulut patung berbentik Najib adalah tidak seteruk tarian punggung oleh kumpulan pro-kerajaan yang dianggotai pesara tentera di hadapan ko-koordinator Bersih, Ambiga Sreenevasan pada tahun 2012.

Tarian punggung itu jelas lebih teruk berbanding flash-mob kangkung, tetapi tidak ada pula protes dari UMNO terhadap tarian punggung yang tidak berguna itu!

Saudara Lee harus membuat keputusan sama ada untuk memohon maaf atas insiden terbabit, yang harapnya akan memulakan kitaran berbudi di kalangan pemimpin dan aktivis politik supaya lebih sensitif kepada rasa tersinggung yang bukan sahaja wujud dalam konteks masyarakt pelbagai kaum, pelbagai agama dan pelbagai budaya; malah terhadap situasi politik yang sedang hangat akibat daripada kewujudan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab, berbahaya dan boleh bertindak melulu yang suka menangguk di air keruh termasuk untuk mencetuskan satu lagi 13 Mei demi memuaskan kepentingan politik peribadi jangka pendek mereka.

Begitupun tidak harus ada sebarang alasan untuk protes dan demonstrasi seperti yang dianjurkan UMNO Pulau Pinang pada hari Sabtu untuk membangkit api perkauman dan kebencian agama, serta ketegangan dan konflik menggunakan penipuan dan fitnah.

Masanya telah tiba untuk rakyat Malaysia mengasingkan patriot yang inginkan negara Malaysia yang bersatu, aman, harmoni dan makmur daripada para pengkhianat yang mahu mencetuskan satu lagi 13 Mei dengan menimbulkan kebencian kaum dan agama, serta konflik dan ketegangan.

Suatu pemisah antara patriot dan pengkhianat mesti digariskan demi menyelamatkan Malaysia daripada satu lagi peristiwa 13 Mei.

Patriot bercakap menggunakan bahasa keamanan, keharmonian, perpaduan dan tolerasi di Malaysia; manakala pengkhianat menyebarkan dakyah peperpecahan, konflik, kebencian dan intoleransi.

Seperti 'pencuri menjerit 'pencuri'!' mereka yang mahu menimbulkan satu lagi 13 Mei akan pergi ke segenap ceruk bertanyakan jika orang lain turut mahu mencetuskan satu lagi 13 Mei!

Adakah pemimpin Barisan Nasional bersedia untuk bersama-sama pemimpin Pakatan Rakyat untuk duduk bersidang pagi memastikan kemenangan patriotisme dengan mesej keamanan, keharmonian, perpaduan dan toleransi demi mengatasi pengkhianatan yang menyebarkan dakyah perpecahan, konflik, kebencian dan intoleransi?

Malaysia berada dalam waktu yang luar biasa. Inilah zaman di mana pemimpin politik, tidak kira keanggotaan parti, mesti membuktikan bahawa mereka berada di kalangan patriot yang mahukan Malaysia yang bersatu, harmonis, makmur dan berjaya; serta tidak teragak-agak mahupun menyesal untuk memisahkan diri daripada para pengkhianat yang menyebarkan kebencian kaum dan agama, serta ketegangan dan konflik untuk mencetuskan semula 13 Mei.

Satu ujian untuk menentukan sama ada seseorang itu patriotik atau pengkhianat ialah samada seorang pemimpin politik atau suatu pegerakan itu memadam atau menyemarakkan api kebencian kaum dan agama di negara ini.

Di Selangor, telah wujud kerisauan bahawa nyawa paderi Katolik Father Lawrence Andrew mungkin dalam bahaya seandainya UMNO Selangor meneruskan rancangan 30 roadshow-nya yang memberi fokus kepada Paderi tersebut sebagai penyebab utama orang bukan Islam menggunakan kalimah 'Allah' di negeri tersebut, walhal kenyataan yang dikeluarkan Paderi tersebut adalah berasaskan konsensus komuniti Katolik.

Perdana Menteri dan Kabinet, pada esok hari mesti menghentikan roadshow UMNO Selangor ini yang hanya mungkin mencetuskan syak wasangka, kemarahan dan rasa tidak percaya yang melemahkan keharmonian antara agama dan kesepakatan nasional di dalam negara ini.

PR tolak sertai sambutan Hari Australia tajaan bersama LYNAS

Posted: 22 Jan 2014 04:00 PM PST


pix for lynas najib putar belit

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat (PR) menolak sama sekali jemputan Suruhanjaya Tinggi Australia di Kuala Lumpur untuk menghadiri sambutan Hari Australia, 22 Januari ini.

Setiausaha Antarabangsa DAP Kebangsaan, V Sivakumar; Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Syed Azman Syed Nawawi dan Naib Presiden PKR, Tian Chua dalam kenyataan bersama mereka menyatakan walaupun PR berbesar hati dengan undangan di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) itu, ia perlu ditolak kerana kehadiran LYNAS Malaysia Sdn Bhd sebagai satu daripada penaja.

Menurut mereka, pelawaan itu sebenarnya adalah satu inisiatif besar mengekalkan hubungan baik antara kedua-dua negara, tapi demi prinsip ia tidak wajar disertai.

"PR membuat keputusan untuk tidak menghadiri majlis itu kerana LYNAS menjadi satu daripada penaja sambutan itu.

"Sebilangan besar rakyat Malaysia menganggap LYNAS sebagai kilang pelaburan pemprosesan nadir bumi yang tidak diundang di sini. Jika PR memenuhi jemputan itu, sudah tentu melanggar prinsip kami dan janji pilihan raya lalu.

"LYNAS bermula di Malaysia tanpa mendapat penilaian keperluan, prosedur, kajian lokasi dan hanya beroperasi dengan lesen sementara kerana ia tidak mematuhi piawaian ditetapkan," mengikut kenyataan itu.

Tambah mereka, LYNAS juga tidak mengambil kira sentimen rakyat yang menurunkan sejumlah 1.2 juta tandatangan bantahan terhadap loji pemprosesannya di Pahang.

"Bagaimanapun PR mengucapkan setinggi penghargaan dan selamat maju jaya kepada Suruhanjaya Tinggi Australia dalam sambutan Hari Australia dan Tahun Baru 2014.

"Kami juga berharap Suruhanjaya Tinggi Australia memahami pendirian PR terhadap pencemaran alam sekitar yang tidak bertanggungjawab serta tidak menjadikannya sebagai isu dalam melemahkan persahabatan dan muhibah bersama warga Australia," kata mereka. -Roketkini.com

Tiada ulasan: