Rabu, 22 Januari 2014

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Agong bukan ketua Islam, hanya Nabi Muhammad boleh tentukan undang-undang Islam

Posted: 22 Jan 2014 05:50 AM PST

OLEH MD IZWAN






































Pakar perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari (gambar) berkata, titah Yang di-Pertuan Agong adalah terhad dan  pemerintah tidak berkuasa seperti Nabi Muhammad untuk menentukan undang-undang Islam.

Abdul Aziz berkata, Malaysia tidak mempunyai ketua agama kerana Agong hanya ketua agama di negeri asalnya dan tidak terpakai bagi negeri seperti Kuala Lumpur, Labuan, Putrajaya, Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak yang tidak mempunyai Sultan.

"Kenyataan yang dibuat oleh Agong dalam isu kalimah Allah minggu lalu tidak mempunyai kesan kepada bukan Islam yang menetap di negeri berkenaan," kata bekas pensyarah UIA itu dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Majlis Raja-Raja adalah platform terbaik untuk mewakili pemerintah dalam isu agama namun  bukan semua sultan sependapat dengan Agong dan Sultan Selangor dalam isu kalimah Allah.

Abdul Aziz berkata, resolusi yang dibuat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1986 seperti yang dititah oleh Agong juga tidak terpakai daripada sudut perundangan.

"Ia tidak sah daripada sudut perundangan," katanya.

Katanya, hanya Nabi Muhammad mempunyai kuasa untuk menentukan undang-undang Islam, malah sahabat nabi dan kalifah juga tidak mempunyai kuasa sedemikian.

"Kedudukan sultan jauh berbeza dengan khalifah.

"Dalam mana-mana kes, hanya undang-undang Islam yang terkandung dalam Perlembagaan dan undang-undang relevan boleh dikuatkuasakan," katanya.

Beliau juga sekali lagi mengulangi pendirian bahawa kenyataan Agong tidak memberi kesan kepada bukan Islam kerana Perlembagaan Persekutuan menjamin hak kebebasan beragama.

"Tiada mana-mana pihak berkuasa boleh menyuruh bukan Islam bagaimana mereka wajar mengamalkan agama mereka.

"Malah untuk Muslim, hanya agama tersebut boleh mengatur bagaimana mereka mengamalkan Islam," katanya.

Selain itu, katanya, kenyataan mengenai kalimah Allah tidak mengikat semua Muslim kerana tidak mempunyai asas yang jelas.

"Terdapat  tokoh agama seperti Shaykh Yusuf al-Qaradawi yang mengatakan ia tidak menjadi masalah kepada bukan Islam untuk menggunakan kalimah Allah," katanya.

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Sultan Abdul Halim Muadzam Shah pada hujung minggu lalu memetik keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1986 yang mengatakan sesetengah perkataan termasuk kalimah Allah hanya eksklusif kepada umat Islam, menimbulkan kebimbangan kepada bukan Islam berhubung hak beragama seperti dijamin Perjanjian Malaysia 1963.

Kenyataan Sultan Kedah itu dibacakan ketika berlaku ketegangan di antara umat Islam dan penganut Kristian berhubung penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian yang menggunakan bahasa Melayu di Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nancy Shukri, berkata pada hujung minggu lalu, Putrajaya tetap memberikan komitmen terhada penyelesaian 10-perkara ditandatangani dengan Sabah dan Sarawak yang membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah Allah dalam Bible bahasa Melayu.

Penyelesaian 10-perkara itu diumumkan pada April 2011 untuk menyelesaian isu berhubung penggunaan kalimah Allah dalam Bible berbahasa Melayu oleh majoriti penganut Kristian di Malaysia Timur.

Dalam perjanjian tersebut yang diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala, Bible dalam semua bahasa boleh dicetak atau diimport ke dalam negara.

Turun harga kereta: Realiti atau fantasi

Posted: 22 Jan 2014 05:44 AM PST

MUHAMAD SIDEK


Sebaik membaca tajuk berita "Harga kereta bakal turun lagi" dalam sebuah akhbar pro Umno beberapa hari lalu. Saya tersenyum sinis sendirian. Yang pertama, sejak bila pula harga kereta turun selepas PRU13 lalu – apabila disebut bakal turun lagi! Memang Umno-BN tidak pernah turunkan harga kereta pun. Sepatutnya tajuk berita tersebut hanya berbunyi "Harga kereta bakal turun".

Keduanya, saya berpendapat tiada apa yang menarik daripada pengumuman tersebut. Harga kereta CBU hybrid bakal naik. Dan kerajaan tidak bersedia mengurangkan duti eksais – dan ini bermakna tiada penurunan harga! Yang disebut akan turun secara berperingkat pada 2018 nanti – boleh percaya ke?

Pada masa yang sama tiada satupun pelan yang kukuh dibentangkan bagaimana harga kereta boleh dikurangkan. Sekadar mengadakan sidang akhbar memberitahu harga kereta akan turun beberapa tahun lagi – tanpa pelan yang munasabah – hanyalah retorik untuk menyejukkan kemarahan rakyat ketika kos sara hidup meningkat dengan drastik.

Kerajaan juga tidak menyediakan pelan untuk membantu para peniaga kereta terpakai dan pembeli yang sedia ada. Sepatutnya, jika harga kereta akan diturunkan 2 – 3 tahun akan datang, kerajaan wajar menyediakan pelan kepada peniaga kereta terpakai seperti merendahkan kadar faedah pinjaman kereta terpakai kepada kurang dari 1 peratus mulai sekarang.

Bagi pembeli sekarang dan sebelum penurunan, mereka di beri peluang untuk refinance serta kadar faedah yang rendah supaya semua pihak dapat manfaatnya. Jika tidak, dalam tempoh 2 – 3 akan datang industri automotif mungkin akan terjejas kerana sudah pasti rakyat akan menangguhkan pembelian sehingga baru yang lebih rendah.

Walau bagaimanapun, pengumuman ini tidak memberi apa-apa manfaat langsung kepada rakyat dalam tempoh terdekat kerana yang rakya mahukan ialah realiti bukan fantasi.

Don Mustofa nama anak Ustaz Don

Posted: 22 Jan 2014 05:32 AM PST


Detik manis Ustaz Don - Husna Senyuman bahgia pasangan pengantin baru, Don dan Husna.
 

TEKA-TEKI mengenai nama serta jantina anak pendakwah selebriti agama terkenal, Ustaz Don akhirnya terjawab apabila penceramah itu memperoleh bayi lelaki.

Bayi itu selamat dilahirkan pada Sabtu lalu di Kaherah, Mesir.

Memetik laporan Mstar Online, ahli keluarga Ustaz Don memberitahu, isteri personaliti tersebut, Husna Mohd Zahry, 26, selamat melahirkan bayi lelaki dalam keadaan normal yang diberi nama Don Mustofa.

"Ustaz Don tiba di Mesir dari Malaysia dua hari sebelum isterinya bersalin. Alhamdulillah, anaknya sihat dan mereka gembira dengan kelahiran itu," katanya kepada portal tersebut.

Terdahulu Ustaz Don atau nama sebenarnya Don Daniyal Don Biyajid, 30, dalam Facebook miliknya memuat naik status memaklumkan Husna selamat bersalin pada pukul 4.25 petang Sabtu lalu (waktu Mesir).

Dalam status itu Ustaz Don tidak menyatakan jantina dan nama bayi berkenaan sebaliknya hanya memberitahu bayinya dilahirkan dengan berat 3.5 kilogram.

Beliau turut memaklumkan akan pulang ke Malaysia pada 30 Januari ini.

Insiden Marinatasha: Mana garis panduan hiburan?

Posted: 22 Jan 2014 05:24 AM PST

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Insiden terbaru membabitkan artis Marinatasha Isnariah Mustapar yang dihalang membuat persembahan kerana bertudung menimbulkan kembali persoalan mana garis panduan hiburan untuk diikuti oleh artis dan juga penganjur.

Bagi Dewan Pemuda PAS, insiden ini jika tidak ditangani dengan baik, boleh mencetus kepada salah faham agama.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Perak Akmal Kamarudin berkata, insiden ini menjelaskan betapa perlunya satu garis panduan etika dan syarat hiburan kepada penganjur dan artis yang ingin membuat persembahan.

Ianya penting bagi kedua-dua pihak memahami dan saling menghormati hak masing-masing agar insiden sebegini tidak lagi berulang.

Beliau mencadangkan, antara lain bahawa semua artis wanita muslim dibenar menutup aurat sesuai dengan tuntutan agama.

"Pada masa sama, artis yang beragama Islam tidak dibenarkan membuat persembahan di majlis-majlis yang ada hidangan minuman keras dan unsur-unsur yang tidak sihat.

"Dan setiap program hiburan yang dianjurkan mestilah tidak ada percampuran yang melampau antara lelaki dan perempuan," katanya dalam satu kenyataan.

Pada sidang media semalam, Marinatasha melahirkan rasa kesal beliau dengan tindakan penganjur yang menghalang beliau dari membuat persembahan di satu majlis keramaian 18 Januari lalu atas alasan kerana berhijab.

Menurut penyanyi itu lagi, insiden tersebut adalah yang keempat bagi dirinya apabila diminta membuka tudung jika mahu membuat persembahan.

Sementara itu, syarikat penganjur Castmet Sdn Bhd menjelaskan insiden halangan itu bukan didasari sikap rasis atau diskriminasi, tetapi kerana penyanyi itu bukan artis yang dipersetujui oleh pengurusan majlis.

Ini kerana, perjanjian antara syarikatnya dengan sebuah syarikat pengurusan yang telah melantik kumpulan nyanyian malam itu tidak melibatkan penyanyi wanita bertudung kerana majlis malam itu ada menghidangkan minuman keras.

Dalam pada itu, ketika mengulas lanjut, Akmal berkata pihaknya menyokong sikap artis tersebut yang teguh dengan pendiriannya iaitu kekal bertudung dan mempertahankan haknya sebagai individu muslimah.

Mereka juga menyokong tindakan Presiden Karyawan iaitu Datuk Feddie Fernandez yang sanggup mengetengahkan isu ini walaupun beliau bukan seorang Islam.

Bagaimanapun katanya, kedua-dua pihak wajar untuk bersemuka dan berbincang dengan lebih mesra agar insiden ini tidak mengundang suasana yang tidak elok dalam negara sekiranya dibiarkan berlarutan.

Arab Saudi kagum Kelantan pertahan pendidikan Islam

Posted: 22 Jan 2014 05:23 AM PST



Salmah Mat Husain | Foto Zam 


KOTA BHARU: Kerajaan Arab Saudi kagumi sistem pendidikan agama yang dipertahankan di Kelantan dengan mengutamakan al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w.

Ketua Unit Bahagian Malaysia, Pertubuhan Antarabangsa Bagi Kemukjizatan Al-Quran dan Sunnah, Arab Saudi, Syeikh Ali Mohamad Al Subaiyyil dari Arab Saudi berkata, biar pun sebuah negeri yang kecil namun berusaha mengutamakan pendidikan Islam.

"Saya kagum dengan usaha kerajaan Kelantan memartabatkan al Quran dan pendidikan Islam. Saya berharap ia dapat dipertingkatkan lagi.

"Pendidikan Islam yang diajar turut dilengkapi pemahaman al Quran pastinya akan menyelamatkan manusia daripada penyakit sosial," katanya ketika mengunjungi Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob, di Kota Darulnaim semalam.

Pada kunjungan itu beliau juga menziarahi Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Institut Pemikiran Tok Guru.

Syeikh Ali berkata, Kelantan turut mengunguli dalam bidang pendidikan tahfiz dan sains.

Beliau dalam kunjungan ke Kelantan bagi melihat dari dekat sistem pendidikan Islam di negeri ini.

Beliau turut melawat beberapa sekolah termasuk Sekolah Menengah Ugama (Arab) Madrasah Tarbiah Mardhiah Panchor dan Maahad Muhammadi Perempuan.

Surat terbuka kedua kepada Najib dan Kabinet

Posted: 22 Jan 2014 05:21 AM PST

LIM KIT SIANG


Untuk kali kedua tahun ini, saya mengambil kesempatan daripada zaman teknologi maklumat yang membolehkan maklumat disampaikan sepantas kilat untuk menulis surat terbuka kedua bagi tahun ini kepada Perdana Menteri dan Menteri-menteri Kabinet sebelum Mesyuarat Kabinet bersidang buat kali ketiga bagi tahun 2014.

Anggota-anggota kabinet yang gagal membaca atau mendapat tahu tentang surat terbuka kedua ini sebelum mesyuarat kabinet bermula pagi ini boleh dianggap ketinggalan zaman dan tidak layak menjadi anggota kabinet – mereka sepatutnya dipinggirkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam penyusunan semula kabinet.

Dalam surat terbuka yang pertama kepada Perdana Menteri dan Kabinet sebelum mesyuarat pertama Kabinet pada 8 Januari 2014, saya telah menggesa agar mesyuarat pertama kabinet menyatakan mesej jelas untuk memulihkan kepimpinan dan membetulkan hala tuju negara ke arah membentuk negara Malaysia yang bersatu, harmoni, adil, berdaya saing dan agung.

Dalam surat itu saya telah menyebut secara khusus lima krisis yang perlu diberikan keutamaan dan perhatian segera oleh Kabinet, iaitu:

-       Pertama, krisis pembinaan negara dan perpaduan nasional yang terlihat dengan jelas pada jurang kaum dan keagamaan yang paling lebar dalam sejarah negara – menjejaskan matlamat membentuk Bangsa Malaysia seperti yang disebut dalam Wawasan 2020 dan juga dasar utama Najib sendiri, iaitu 1Malaysia:
-       Kedua, krisis ekonomi yang semakin lebar, disebabkan oleh peningkatan harga yang telah berlaku dan bakal terjadi secara lebih meluas dan akan mencapai kemuncaknya apabila GST sebanyak enam peratus diperkenalkan pada April 2015;
-       Ketiga, krisis rasuah yang tidak menunjukkan ada usaha serius untuk menangani rasuah di peringkat tinggi (grand corruption) dan mengakhiri pembaziran dan salah guna wang rakyat secara besar-besaran.
-       Keempat, krisis kemerosotan tahap pendidikan nasional sehinggakan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri mengelak untuk menyentuh tentang pencapaian buruk Malaysia dalam TIMSS 2011 dan PISA 2012; dan
-       Kelima, krisis keselamatan dan keamanan warga, pelabur, dan pelancong, memandangkan polis belum berubah menjadi sebuah pasukan yang cekap, bebas, dan profesional bertaraf dunia yang menjalankan tugas secara demokratik dan bukan hanya "mempertahankan rejim" sehingga sanggup bertindak melanggar norma-norma hak asasi manusia antarabangsa.

Dua minggu telah berlalu sejak saya menulis surat terbuka pertama kepada Perdana Menteri dan Kabinet.

Malangnya, kerajaan Najib yang tidak berpemimpin, tidak berteraju, serta dalam kebingungan itu terus hanyut tanpa arah sejak dua minggu lalu, tanpa ada sebarang penyelesaian ditawarkan bagi menangani lima krisis yang disebutkan di atas.

Dari banyak segi, keadaan dalam negara semakin buruk sejak dua minggu lalu.

Sebagai contoh, Kabinet belum menegaskan semula Penyelesaian 10 Perkara yang disahkan oleh Kabinet pada April 2011 untuk merungkai kontroversi Alkitab. Kabinet sendiri nampaknya berpecah-belah tentang Penyelesaian 10 Perkara itu apabila Timbalan Perdana Menteri dan beberapa menteri yang lain telah menyimpang daripada Penyelesaian 10 Perkara.

Sejak 10 hari yang lalu pula, Najib dan Kabinet dilanda "tsunami kangkung" sehingga mereka diperolok-olokkan menerusi jenaka, video, satira, komedi, dan lakaran, mencambahkan produk-produk seperti Kangkung Fried Chicken, Burger McKangkung, dan malah merentasi sempadan antarabangsa sehingga "kadar kangkung" menjadi bahan berita dalam BBC, Channel News Asia, Singapore Straits Times, Jakarta Post dll.

"Kangkung" juga menjadi kegilaan dalam Internet dengan tiga video telah mencatatkan 1.2 juta tontonan di YouTube: "kangkung remix feat. Najib" oleh Yuri Wong mencatatkan 735,000 tontonan, video "Ucapan Najib 'kangkung' hangat di alam maya" mencatatkan 410,000 tontonan, manakala The Effing Show #99 "Let Them Eat Kangkung" pula menjadi item paling hangat dalam siri "popteevee" apabila mencatatkan 125,000 tontonan dalam masa lima hari.

Dalam suasana sebegini ancaman "13 Mei" muncul untuk menghasut orang ramai dengan menggunakan isu yang sebenarnya tiada kena-mengena dengan soal kaum dan sebaliknya hanya berkait dengan rasa tidak senang rakyat Malaysia daripada semua kaum, termasuk Melayu, Cina, India, Kadazan, dan Iban melihat keangkuhan dan sikap tidak peduli kerajaan terhadap penderitaan rakyat berikutan kenaikan harga barang.

Salah satu contoh hasutan perkauman dan keagamaan yang berbahaya boleh dilihat pada tunjuk perasaan oleh Umno Pulau Pinang pada hari Sabtu dan Ahad lalu sebagai respons terhadap flash mob "kangkung" yang diadakan oleh wakil rakyat PKR bagi Machang Bubuk Lee Khai Loon di mana kangkung telah disumbat ke mulut potongan kadbod Perdana Menteri.

Umno Pulau Pinang dan sekutu mereka telah menggambarkan protes flash mob kangkung itu sebagai serangan terhadap Perdana Menteri Melayu oleh kaum Cina – suatu gambaran yang menyimpang daripada kebenaran.

Seperti yang disebut Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu: "Saya Melayu tapi saya tidak merasa terhina."

Perbuatan memutar-belit isu kenaikan harga menjadi isu perkauman itu adalah perbuatan yang amat tidak bertanggungjawab dan malah boleh dianggap sebagai perbuatan jenayah.

Sememangnya sebahagian rakyat Malaysia merasa bahawa ada batas-batas yang tidak harus dilangkah dalam sebarang protes, antaranya menghormati jawatan Perdana Menteri, Ketua Pembangkang, Menteri Besar, atau Ketua Menteri agar wacana politik dapat berlangsung secara beradab – dan pandangan ini dianuti oleh rakyat Malaysia daripada semua kaum dan agama.

Ketika saya menyarankan kepada Lee agar mempertimbangkan untuk meminta maaf atas insiden dalam flash mob terbabit yang boleh dianggap tidak menghormati jawatan Perdana Menteri, saya tidak bermaksud bahawa beliau perlu meminta maaf kepada samseng, kerana saya setuju bahawa kita tidak harus tunduk pada ugutan atau sebarang bentuk keganasan.

Saya ditanya sama ada kalangan yang menunjukkan sikap tidak hormat terhadap penyelaras Bersih Ambiga Sreenivasan menerusi "tarian punggung" atau kepada Ketua Menteri Pulau Pinang menerusi kek tahi dan insiden pengkebumian juga perlu meminta maaf. Bagi saya, mereka perlu meminta maaf, namun tidak perlu saya menyatakan sedemikian secara terbuka kerana ia terpulang pada pihak yang melakukan tindakan keji dan tidak selayaknya bagi seseorang warga Malaysia.

Memandangkan Lee telah membuat keputusan, maka elok kita ketepikan perkara tersebut.

Kabinet pada pagi ini perlu memperkatakan soal kempen terancang oleh suatu kelompok yang tidak bertanggungjawab untuk mengapi-apikan semangat perkauman dan keagamaan untuk menimbulkan situasi seperti 13 Mei bagi menggoncang negara seperti yang berlaku pada hujung minggu lalu.

Apakah Kabinet hari ini bersedia untuk mengambil pendirian tegas bagi menghentikan perbuatan mengapi-apikan semangat perkauman dan keagamaan yang bertujuan menimbulkan satu lagi situasi seperti 13 Mei?

Lebih khusus lagi, apakah pemimpin Barisan Nasional bersedia untuk bekerjasama dengan pemimpin Pakatan Rakyat dengan mengadakan Sidang Kemuncak Kepimpinan untuk memastikan insiden 13 Mei tidak berulang di Malaysia dan untuk mencapai kata sepakat tentang lima krisis nasional yang dengan dihadapi untuk negara ini bagi memulihkan keyakinan rakyat dan warga dunia terhadapnya?

Kronologi Penamatan Khidmat Azmin Dalam PKNS

Posted: 22 Jan 2014 05:17 AM PST

MSTAR ONLINE


BERIKUT adalah lampiran kronologi kes penamatan khidmat Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali selaku anggota lembaga pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS.

Lampiran 1
 
Lampiran 2
 
 
Lampiran 3
 
Lampiran 4
 
Kronologi ini dikeluarkan oleh Sekretariat Akhbar Pejabat Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada petang Rabu.

MB Tidak Gugurkan Azmin, Jelas Anwar

Posted: 22 Jan 2014 05:15 AM PST




KUALA LUMPUR: Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan yang Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak pernah memberikan arahan untuk menggugurkan Mohamed Azmin Ali sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Malah, Anwar berkata, keputusan itu juga tidak dibuat atas arahan Abdul Khalid seperti yang didakwa pelbagai pihak.

"Saya dah bincang dengan Khalid dan beliau kata tak mengarahkan (Azmin digugurkan) sama sekali. Melihat kepada kes ini, pengurus besar yang tulis surat, menteri besar tidak ada sebut sedemikian dan tidak ada mengeluarkan arahan berbuat demikian.

"Walaupun ada mesyuarat Exco, pengurus besar syarikat tak boleh menulis surat tanpa arahan dari kerajaan negeri mengenai pengguguran mana-mana ahli lembaga pengarah itu. Arahan hanya boleh dikeluarkan oleh tuan punya syarikat atau setiausaha syarikat, bukan pengurus besar syarikat," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Abdul Khalid yang dilaporkan mengumumkan yang pengguguran Azmin dari jawatan itu masih dikekalkan.

Sebelum ini, Anwar dilihat menyebelahi Azmin dengan berkata pengguguran itu tidak sah mengikut prosedur sebelum tampil dengan kenyataan mempertahankan Abdul Khalid pada Rabu.

K'tan sumbang RM144,000 kepada mangsa kebakaran

Posted: 22 Jan 2014 05:09 AM PST

SALMAH MAT HUSAIN 


RANTAU PANJANG: Seramai 72 mangsa kebakaran di kawasan bebas cukai di sini pada 7 Januari lalu menerima sumbangan daripada kerajaan negeri berjumlah RM144,000.

Pada kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, 72 lot kedai yang dibuat daripada kayu musnah sama sekali. Bagaimanapun kebakaran tersebut tidak memusnahkan sebuah musala yang terletak berhampiran.

Penghulu Bandar Rantau Panjang, Wan Idris Wan Deraman berkata, sehingga kini pelbagai pihak tampil membantu mangsa-mangsa kebakaran terbabit termasuk PAS kawasan yang mewujudkan tabung khas.

"Dan kelmarin Menteri Besar datang menyampaikan bantuan kepada mangsa terlibat.

Selaku penghulu di sini saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua pihak yang turut membantu.

"Ucapan tidak terhingga kepada Menteri Besar, anggota-anggota Exco dan wakil rakyat yang cukup prihatin," katanya di sini.

Bantuan kepada mangsa tersebut disampaikan Ustaz Datuk Ahmad Yakob sempena lawatan kerja ke Rantau Panjang. Hadir sama anggota-anggota Exco, wakil rakyat dan pegawai Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Mas.

Berucap pada program berkenaan Menteri Besar berkata, sumbangan itu diberikan bagi meringankan bebanan yang ditanggung mangsa kebakaran.

Katanya, biar pun bantuan itu tidak dapat menampung kerugian dialami mereka, namun setidak-tidaknya dapat meringankan sedikit bebanan yang ditanggung.

"Kita juga memikir sumbangan dalam bentuk lain bagi membantu mangsa membangunkan semula perniagaan mereka," katanya.

Sementara itu Yang Dipertua PAS Rantau Panjang, Abdul Fatah Harun berkata, pihaknya mewujudkan dana khas bagi membantu mangsa kebaakaran terbabit.

Katanya, orang ramai boleh menderma melalui Tabung Pendidikan, Kemiskinan dan Bencana Alam PAS Rantau Panjang.

Sumbangan boleh disalur melalui Bank Islam dengan nombor akaun 03027010034243. Atau derma boleh disumbangkan terus kepada Pejabat PAS Rantau Panjang.

Siapa pengganti Lee Chong Wei?

Posted: 22 Jan 2014 05:08 AM PST

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Datuk Lee Chong Wei di atas kejayaannya merangkul kejuaraan yang kesepuluh dalam Kejohanan Terbuka Siri Super Malaysia edisi 2014.

Dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Bukit Jalil, Datuk Lee Chong Wei telah menewaskan pemain nombor empat dunia, Tommy Sugiarto dari Indonesia dengan kemenangan 'straight set'.

Kemenangan kali kesepuluh Datuk Lee Chong Wei ini seharusnya menjadi pemangkin kepada pemain-pemain muda di luar sana untuk sama-sama menjejaki apa yang telah dikecapi oleh beliau.

"Kehebatan beliau bukan sahaja sekadar jaguh kampung tetapi merupakan seorang pemain dunia nombor satu," ujar Naib Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Malaysia, Khairil Nizam Khirudin.

Beliau berkata, Ching Wei boleh dianggap sebagai lagenda dan ikon sukan tanah air sebaris dengan tokoh-tokoh atlet lain seperti Datuk Nicol David, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari.

Namun, ujarnya kehebatan manusia sememangnya mempunyai batasannya kerana sampai satu ketika, seseorang itu harus berundur dan memberikan muka-muka baru untuk meneruskan perjuangan.

Begitu juga halnya dengan Datuk Lee Chong Wei, katanya.

Katanya, hasrat untuk persaraannya telah diumum oleh Chong Wei sendiri selepas memenangi kejuaraan kelmarin seharusnya dipandang berat oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Menurutnya, Malaysia mempunyai ramai pelapis baru namun tidak ramai diketengahkan di peringkat dunia, menyebabkan negara ketandusan pemain yang bertaraf dunia.

Beliau berkata, Malaysia seharusnya risau dengan negara-negara yang telah mempunyai pelapis bertaraf dunia yang kian menyengat seperti China, Indonesia, Jepun dan Thailand.

Katanya lagi, ketandusan pemain bukan sahaja pada pemain perseorangan lelaki, malah ianya melibatkan pemain perseorangan wanita dan beregu.

"Lihat sahaja pemain seperti Chen Long dari China, Ratchanok Intanon dari Thailand, mereka adalah dari kumpulan pelapis muda yang kian naik mendapat nama di pentas dunia," ujarnya.

Bahkan, kata beliau mereka juga mampu mengalahkan beberapa nama senior di peringkat antarabangsa.

"Situasi inilah yang nampaknya tidak berlaku di Malaysia. Kita hanya gah dengan satu nama sahaja, dan satu nama ini sahajalah yang dijulang di segenap dunia," katanya lagi.

Khairil Nizam menambah, kehebatan Datuk Lee Chong Wei boleh disifatkan 'one man show' kerana sejak menjadi pemain nombor 1 dunia, Malaysia tidak pernah merangkul kejuaraan Piala Thomas sejak tahun 1992 walhal beliau sudah beberapa kali merangku kejuaraan All England.

Oleh sebab itu, ujar beliau pucuk pimpinan BAM yang kini diterajui oleh Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff harus segera memikirkan sesuatu formula ajaib untuk merangkul kembali piala yang berprestij tersebut setelah ketiadaan Lee Chong Wei.

Dalam masa yang sama, beliau menyarankan program pembangunan sukan belia seperti yang dicadangkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin seharusnya tidak dipandang sepi demi kebaikan dan mutu sukan badminton negara.

"Apakah Malaysia akan berputih mata sekali lagi untuk Kejohanan Piala Thomas 2014 di New Delhi, India? BAM mungkin ada jawapannya," kata beliau lagi.

Artis bertudung pun kena tahu pilih majlis - Aishah

Posted: 22 Jan 2014 05:05 AM PST

HAZAYANI ZAKARIA 


KUALA LUMPUR: Artis berhijab dinasihatkan lebih berhati-hati dan bijak memilih undangan membuat persembahan agar tidak menimbulkan masalah di kemudian hari.

Pengerusi Lajnah Kesenian, Kebudayaan dan Rekreasi Dewan Muslimat PAS Pusat, Wan Aishah Wan Ariffin berkata, pihak penganjur juga perlu membuat pertimbangan sebelum memanggil mana-mana artis membuat persembahan di majlis mereka.

Merujuk kepada insiden membabitkan artis Marinatasha Isnariah Mustapar yang diarah membatalkan persembahan kerana bertudung, Aishah berkata, garis panduan kepada artis bertudung dalam membuat persembahan amat penting.

"Dalam kes Marinatasha, apabila keadaan sekeliling yang tidak sesuai dengan imej artis bertudung, mungkin ada baiknya dia tidak meneruskan persembahan. Pihak penganjur pun adil pilih artis yang sesuai.

"Bagi PAS, lajnah kesenian akan mesyuarat tak lama lagi dan salah satu agenda penting ialah membentuk garis panduan bagi artis-artis wanita berhijab.

"Kita tidak mahu kes begini tidak berulang," katanya kepada Harakahdaily hari ini.

Aishah juga menegaskan, mana-mana pihak termasuk media tidak harus mengheret isu hijab bagi mensensasikan sesuatu isu untuk perhatian pembaca.

"Isu artis berhijab bukan baru. Yang penting adalah penambahbaikan dan wujudkan garis panduan yang terbaik dan mufti dan majlis fatwa sangan memainkan peranan penting.

"Bila ada masalah begini, masing-masing kena hormat dan selesaikan secara profesional dan adil.

"Jangan heret isu hijab untuk sensasikan satu-satu isu bagi menarik perhatian pembaca dan media juga kena bertangungjawab. Silap main isu ia jadi macam main api, membakar semua orang," katanya yang merupakan bekas calon PAS di kerusi Parlimen Jempol pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

Pada sidang media semalam, Marinatasha melahirkan rasa kesal beliau dengan tindakan penganjur yang menghalang beliau dari membuat persembahan di satu majlis keramaian 18 Januari lalu atas alasan kerana berhijab.

Menurut penyanyi itu lagi, insiden tersebut adalah yang keempat bagi dirinya apabila diminta membuka tudung jika mahu membuat persembahan.

Sementara itu, syarikat penganjur Castmet Sdn Bhd menjelaskan insiden halangan itu bukan didasari sikap rasis atau diskriminasi, tetapi kerana penyanyi itu bukan artis yang dipersetujui oleh pengurusan majlis.

Ini kerana, perjanjian antara syarikatnya dengan sebuah syarikat pengurusan yang telah melantik kumpulan nyanyian malam itu tidak melibatkan penyanyi wanita bertudung kerana majlis malam itu ada menghidangkan minuman keras.

Janji projek tebatan banjir sejak RMK-7

Posted: 22 Jan 2014 05:03 AM PST



SALMAH MAT HUSAIN 


KOTA BHARU: Sejak Rancangan Malaysia Ke-7 (RMK-7) projek tebatan banjir di Sungai Golok yang diuar-uarkan kerajaan pusat, malangnya sehingga sekarang belum menjadi kenyataan.

Ekoran itu tebing Sungai Golok di sebelah Rantau Panjang mudah ditenggelami air bah setiap kali berlaku banjir. Malah tebingnya sering runtuh sehingga menyebabkan keluasan sungai melebar ke sebelah Malaysia.

Sedangkan Sungai Golok dijadikan sempadan antarabangsa memisahkan Malaysia dan Thailand. Bagaimanapun tembok batu sudah lama dibina di sebelah Thailand

Sehubungan itu Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob meminta Kerajaan Persekutuan menyegerakan projek pembinaan tebatan banjir di Rantau Panjang bagi mengurangkan limpahan air dari Sungai Golok.

"Tebatan banjir dijangka dapat mengurangkan kos yang terpaksa ditanggung rakyat yang tinggal di pinggir Sungai Golok terutamanya di Rantau Panjang dan Tumpat," katanya selepas mesyuarat Exco, di sini hari ini.

Sebelum ini anggota Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof berkata, sejak akhir tahun lepas sehingga tahun baru sudah beberapa kali air Sungai Golok melimpah. (Gambar atas)

Katanya ekoran banjir menyebabkan kegiatan ekonomi penduduk di kawasan terlibat lumpuh kerana perniagaan di kawasan bebas cukai tidak dapat dijalankan.

Ahmad juga berkata, projek tebatan hendaklah turut meliputi jajahan Jeli memandangkan hulu Sungai Golok bermula di Jeli dan berakhir di Pengkalan Kubur.

"Kita harap kerajaan pusat mempercepatkan projek tersebut demi keselesaan rakyat," ujarnya.

Kerajaan pusat sebelum ini dilihat lebih berminat membina pagar elektronik bagi mencegah kegiatan penyeludupan berbanding projek tebatan banjir.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, pagar elektronik akan dibina bagi menyekat jenayah yang mengundang kerugian besar kepada negara.

Isu Azmin: MB dedah dokumen sulit

Posted: 22 Jan 2014 04:56 AM PST


 Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim  
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim


SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini telah mengarahkan Ketua Setiausaha Sulitnya supaya mendedahkan dokumen-dokumen mengikut kronologi yang berkaitan isu Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Menurut Sekretariat akhbar pejabat menteri besar dokumen-dokumen sulit seperti keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan surat menyurat antara Pejabat Menteri Besar, PKNS dan Setiausaha Kerajaan Negeri ini didedahkan menggunakan kuasa menteri besar yang diperuntukkan mengikut Seksyen 2 (C) Akta Rahsia Rasmi.

"Dokumen ini dikeluarkan untuk membolehkan orang ramai meningkatkan kefahaman dan berhenti membuat spekulasi kerana dikhuatiri menjejaskan siasatan dalaman yang sedang dijalankan oleh kerajaan negeri.

"…Kerajaan Selangor berpegang kepada prinsip pentadbiran yang telus dan bertanggungjawab di mana rakyat berhak diberitahu kedudukan sebenar tentang sesuatu isu," kata sekretariat akhbar Pejabat Menteri Besar tersebut.

Harga barangan: Biar pasaran tentukan?

Posted: 22 Jan 2014 04:54 AM PST


Wan Saiful Wan Jan Wan Saiful Wan Jan


SHAH ALAM – Kesempitan hidup yang dialami rakyat ketika ini adalah rentetan daripada dasar-dasar ekonomi tidak tepat yang diperkenal, sebelum ini.

Ketua Eksekutif Institusi Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (Ideas),Wan Saiful Wan Jan menyifatkan dasar-dasar tersebut mendapat terlalu banyak campur tangan pemimpin negara.

Malah menurutnya, kenaikan harga yang melanda rakyat negara hari ini memang terpaksa dihadapi dan keputusan kerajaan mengurangkan subsidi adalah tepat.

"Apa yang digariskan dalam model ekonomi baru adalah realiti yang terpaksa kita hadapi. Saya rasa ini satu-satunya jalan. Tak banyak jalan lain dah.

"Kesusahan yang kita hadapi sekarang disebabkan oleh dasar-dasar yang agak tidak tepat yang diperkenalkan oleh pemimpin kita sebelum ini, yang terlalu banyak mencampuri urusan ekonomi dan urusan pasaran," katanya kepada Sinar Harian Online dalam satu temu bual eksklusif, hari ini.

Menurutnya, ekoran terlalu lama 'memaksa' harga pasaran barangan kekal pada tahap rendah, hari ini rakyat terpaksa menerima kesannya.

"Sudah sekian lama kita (kerajaan) mengganggu perjalanan sistem pasaran. Katalah harga yang sepatutnya naik perlahan-lahan secara sekata daripada 30 tahun lepas... kita pastikan harga turun pada satu tahap rendah sedangkan ia sepatutnya ada di tahap tinggi sedikit.

"Jadi, daripada 30 tahun lepas, kita biarkan harga itu naik perlahan-lahan, perubahan itu tidak terasa sangat. Tapi sekarang ini, harga paksa kekal di tahap rendah yang sepatutnya tahap tinggi, tiba-tiba naik mendadak. Itu yang membuat kita terasa.

Inilah realitinya. Inilah yang kita terpaksa hadapi," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu bahawa kenaikan harga barangan memang tidak dapat dielakkan berlaku setiap tahun.

Meskipun menyokong pengurangan subsidi, namun beliau kecewa dengan keputusan kerajaan yang memilih untuk mengurangkan subsidi yang memberi kesan kepada rakyat biasa.

"Saya rasa adalah jauh lebih baik kita mengakui kita menghadapi masalah sekarang dan masalah ini disebabkan oleh pemberian subsidi yang berpanjangan.

"Tapi saya agak kecewa juga apabila kerajaan memilih untuk mengurangkan subsidi yang memberi kesan kepada rakyat biasa.

"Bagi saya, sepatutnya kerajaan mengurangkan terlebih dahulu subsidi yang diberikan kepada syarikat-syarikat besar, penjana kuasa dan juga memastikan bahawa proses perbelanjaan kerajaan dilakukan dengan lebih telus dan kompetitif," katanya.

Menyentuh soal penguatkuasaan kawalan harga yang dilancarkan kerajaan, beliau melihat kerajaan perlu memilih dengan jelas sama ada mahu membiarkan pasaran menentukan harga atau sebaliknya.

"Pada saya, penguatkuasaan ini melambangkan sedikit kecelaruan di peringkat kerajaan. Apa sebenarnya yang nak dilakukan oleh kerajaan?

"Kalau nak bagi pasaran, biar pasaran tentukan harga, jangan campur tangan lagi," katanya yang kurang bersetuju dengan siri lawatan menteri-menteri untuk memeriksa harga barangan.

Tiada ulasan: