DIALOG RAKYAT |
- Sudah terlambat Dr Mahathir kritik Najib
- Shafee: Rayuan tolak permohonan kedua Anwar 28 Jan
- Kali keempat suruh saya buka tudung - Marinatasha
- NGO: KPF jual ekuiti terlalu rendah
- Parodi sindir PERKASA si pembela kangkung
- Seorang Lagi "Blogger Kangkung" Dilaporkan Kepada Polis
- Mahkamah benar permohonan bantahan awal petisyen pilihan raya Ahmad Zahid
- Dr Ling gelar peguam negara bodoh dalam isu PKFZ
- Shamsul: Rekod Anwar di kedutaan Jepun tiada isu, kenapa dihalang?
- Rafizi ke Hong Kong selepas Tahun Baru Cina siasat akaun AG
- “SPR terus persempadanan semula & tambah kerusi, Bersih turun jalan raya”
- Dasar Automotif Nasional 2014 tak turunkan harga kereta
- Malaysia tidak tunaikan janji pembaharuan, kata badan hak asasi antarabangsa
- PM ke-4 ditumbangkan Dr M?
- Pengusaha bas sekolah tersepit, mohon k'jaan tambah subsidi
- Kalimah: Khalid sedia debat dengan Noh tanpa syarat
- Bajet Kolej Felda akan dipotong?
- Lelaki parah ditembak 3 das di Nibong Tebal
- Kalimah Allah: Najib ada rujuk Majlis Fatwa?
- Anifah: Tak sangka saya begitu berkuasa
- Tak benar penamatan tugas Azmin dibatal
- AMK bakar, pijak poster Jepun
- [DEMO MELAMPAU UMNO] BN Akan Hilang Deposit Di Lebih Banyak Kerusi - Mat Sabu
- Zizan Razak Nafi Bercumbuan Dengan Emma Maembong
- 77 Kereta Musnah Kebakaran Bengkel Di Selayang
Sudah terlambat Dr Mahathir kritik Najib Posted: 21 Jan 2014 07:24 AM PST SUKA atau tidak, sama ada diturunkan atau turun dengan sendiri, Najib Razak akan menyertai Abdullah Badawi dalam senarai Perdana Menteri terburuk dalam sejarah negara ini. Jika diwujudkan juga kategori Perdana Menteri paling tidak memberikan apa-apa sumbangan, maka senarai tersebut juga turut mengandungi mereka sebagai dua entri tunggal. Dalam sejarah politik Malaysia, tidak ada Perdana Menteri yang tidak dikritik oleh pembangkang. Fungsi pembangkang adalah untuk tujuan 'semak dan imbang' dan itulah yang dilakukan oleh semua parti pembangkang sejak pilihan raya umum (PRU) pertama lagi. Namun apabila seseorang Perdana Menteri bukan sahaja dikritik oleh pembangkang tetapi turut mendapat kecaman dari majoriti rakyat termasuk dari mereka yang menyokong dan mengundi parti kerajaan sendiri, maka orang tersebut (bukannya tokoh) sesungguhnya tidak layak menjadi pemimpin politik dan apatah lagi menjadi seorang Perdana Menteri. Lebih buruk lagi ialah apabila seseorang Perdana Menteri dikecam dan dibalun oleh seorang bekas Perdana Menteri sebagaimana Dr. Mahathir Mohamad mengecam Pak Lah kerana gagal menunjukkan sebarang prestasi dan sama sekali tidak bijak dalam mengurus tadbir negara. Tentu sekali Pak Lah merupakan orang pertama diabadikan dalam senarai disebut itu. Kini bakal menyertainya tentulah tidak lain dan tidak bukan dari Najib Razak. Lupakan tentang kangkung. Bolehkah sesiapa menamakan 10 manfaat yang telah diberikan oleh Najib kepada rakyat dan negara. Jika tak boleh sepuluh, mungkin boleh beri lima. Rasanya lima pun susah. Tapi sekiranya hendak disebut kelemahan dan mudarat kepada rakyat akibat keputusan yang dibuat atau tidak dibuat oleh Najib, rasanya bila-bila masa sahaja seseorang rakyat Malaysia yang waras boleh menyebut sepuluh, atau malah lebih dari itu. Tidak dapat dipastikan apakah sifat atau perwatakan 'menjanjikan' yang dilihat oleh Dr. Mahathir ke atas Najib ketika meninggalkan wasiat kepada Pak Lah ketika mana mengambil alih jawatan Perdana Menteri. Dr. Mahathir mahukan Najib ditabalkan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan mahukan Pak Lah menduduki pejabat utama Putrajaya untuk satu penggal sebelum menyerahkan pejabat tersebut kepada Najib. Juga tidak dapat dipastikan juga dalam kesibukan membuat komen itu dan ini dan memfalsafahkan itu dan ini, Dr. Mahathir sedar atau tidak betapa hirarki dan tradisi penyokongan ke atas seseorang dalam Umno lebih banyak bersifat mengampu dari menilai kemampuan dan daya kepimpinan seseorang secara hakiki. Jika dilihat sejarah penglibatan baik Pak Lah dan Najib dalam kerajaan (dan juga dalam Pemuda Umno dalam kes Najib) apakah ciri-ciri kepimpinan menyerlah yang telah dicatatkan oleh mereka berdua? Tidak perlulah dibincangkan betapa tradisi mengampu yang sebati dalam Umno kini merosakkan bukan sahaja parti itu sendiri, malah juga orang Melayu, rakyat dan negara Malaysia. Sayang Dr. Mahathir tidak nampak hal seperti ini walaupun telah menjadi Presiden parti tersebut selama lebih dua dekad. Sekira nampak sekalipun, ia adalah sebagai satu 'afterthought' atau difikiran setelah sesuatu yang buruk berlaku. Dalam lain perkataan sudah terlambat. Akhir-akhir ini sudah mula kedengaran suara Dr. Mahathir mengkritik Najib sama ada selaku seorang Perdana Menteri mahupun sebagai seorang Menteri Kewangan. Walaupun mantan Perdana Menteri itu sudah melakukan hal demikian secara lebih sederhana sejak 2011 lagi, namun sejak akhir-akhirnya kritikan beliau semakin lantang apabila Najib gagal memperolehi prestasi lebih baik dari Pak Lah dalam PRU lalu, dan apabila Najib gagal mengawal ekonomi negara dan pelbagai lagi. Dr. Mahathir sering memetik kata-kata novelis Sepanyol George Santayana, "Mereka yang gagal belajar dari sejarah akan berkali-kali dihukum oleh sejarah". Persoalannya mengapakah beliau sendiri tidak pernah mahu mempelajari dari sejarahnya sendiri bermula dari perlantikan Musa Hitam selaku Timbalan Perdana Menteri? Bukankah apa yang berlaku kini dan Malaysia terpaksa diterajui oleh dua Perdana Menteri terburuk secara berturut-turut adalah akibat dari kegagalan Dr.Mahathir belajar dari sejarah? | |||
Shafee: Rayuan tolak permohonan kedua Anwar 28 Jan Posted: 21 Jan 2014 07:22 AM PST PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini menetapkan 28 Jan untuk mendengar rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung penolakan Mahkamah Rayuan terhadap permohonan keduanya bagi membatalkan kelayakan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah untuk tampil sebagai ketua pendakwa dalam rayuan pendakwa terhadap pembebasannya (Anwar) dari tuduhan liwat. Muhammad Shafee berkata beliau menerima notis dari pejabat pendaftar Mahkamah Persekutuan minggu lepas memberitahunya tentang tarikh itu. Pada 20 Dis tahun lepas, panel tiga anggota Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Aziah Ali, sebulat suara menolak permohonan Anwar supaya dibatalkan kelayakan Muhammad Shafee sebagai ketua pendakwa dan memutuskan bahawa pelantikannya mengikut undang-undang. Anwar, 66, memfail permohonan kedua untuk tujuan yang sama dengan menggunakan maklumat dari akuan bersumpah bekas ketua CID Kuala Lumpur Datuk Mat Zain Ibrahim bagi menyokong permohonan itu. Permohonan pertamanya ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 17 Sept tahun lepas, berikutan itu beliau merayu di Mahkamah Persekutuan, tetapi juga ditolak. Pada 9 Jan tahun lepas, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Anwar atas tuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, 26, di sebuah unit kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara antara 3.10 ptg dan 4.30 ptg pada 26 Jun, 2008. Muhammad Shafee, seorang peguam kanan, dilantik oleh Peguam Negara dengan kuasa di bawah Seksyen 376 (3) Kanun Prosedur Jenayah (CPC) dan Artikel 145 (3) Perlembagaan Persekutuan bagi mengendali rayuan di Mahkamah Rayuan. – Bernama | |||
Kali keempat suruh saya buka tudung - Marinatasha Posted: 21 Jan 2014 07:20 AM PST MUHAMMAD FAIZAL KUALA LUMPUR: Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) menggesa mana-mana pihak yang menjemput artis wanita untuk membuat persembahan perlu menghormati hak mereka yang berhijab. Presidennya, Datuk Freddie Fernandez memberitahu mereka yang mempertikaikan hak tersebut merupakan satu pencabulan hak asasi serta tidak peka dengan hak kaum dan agama. Jelasnya lagi, kejadian yang menimpa penyanyi Marinatasha Isnariah Mustapar yang telah dihalang mengadakan persembahan kerana berhijab tidak seharusnya berlaku apatah lagi negara ini telah mencapai kemerdekaan lebih 50 tahun. Kata beliau, pihaknya telah menerima laporan rasmi daripada Marianatasha apabila beliau telah dihalang dari melakukan persembahan di satu majlis keramaian anjuran sebuah syarikat atas alasan kerana berhijab. "Ini merupakan satu pencabulan hak asasi serta tidak peka kepada sensitiviti masyarakat Islam, ia tidak sepatutnya berlaku apatah lagi kita telah merdeka lebih 50 tahun. "Beliau membuat persembahan yang merupakan kerjayanya dan berhijab mengikut apa yang dituntut oleh agama Islam, sepatutnya kita perlu peka dalam hal ini," jelasnya dalam sidang media di sebuah restoran di Bukit Damansara. Freddie menegaskan isu ini akan menjadi lebih parah seandainya ia dimanupulasikan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan boleh menimbulkan prasangka di kalangan anggota masyarakat pelbagai kaum dan agama. "Tindakan memperlekehkan seseorang individu di atas sebab-sebab yang tidak munasabah sebegini amatlah dikesali dan pastinya memberi impak yang amat negetif jika ianya dipanjangkan. "Semua pihak disarankan mempelajari dan meraikan perbezaan fahaman dan warna kulit demi mewujudkan sebuah masyarakat yang harmoni dan aman. "Karyawan menawarkan jalan penyelesaian atas konfliks yang berlaku agar perkara ini dapat diredakan secepat yang mungkin," sambungnya. Sementara itu, Marinatasha turut kesal dengan apa yang berlaku dan ia merupakan insiden keempat ke atas dirinya yang menyuruh beliau membuka tudung jika mahu membuat persembahan. "Saya kesal dengan apa yang berlaku, suatu yang amat memalukan, tapi ini bukan kali pertama berlaku dan ia merupakan kali keempat berlaku sebelum ini sudah ada yang suruh saya buka tudung jika ingin menyanyi. "Dalam industri tidak sepatutnya berlaku sedemikian, wanita yang berhijab juga mempunyai hak mereka dan sepatutnya hak itu dihormati. "Saya harap agar ia tidak berlaku lagi terhadap wanita berhijab dan insiden ini perlu menadi pengajaran kepada pihak-pihak lain," jelasnya. Beliau yang sepatutnya mengadakan persembahan pada majlis makan malam tahunan CASTMET pada 18 Januari lalu telah diarahkan turun dari pentas ketika ingin memulakan persembahan olah Pengarah Kewangan CASTMET, Shannon Yong dengan alasan beliau berhijab. Selain itu juga, beliau turut dimarahi oleh Shannon kerana terus mengadakan persembahan setelah dijemput oleh rakan artis lain yang turut bersimpati atas apa yang berlaku terhadap dirinya. | |||
NGO: KPF jual ekuiti terlalu rendah Posted: 21 Jan 2014 07:15 AM PST MALAYSIAKINIPenjualan 51 peratus ekuiti Koperasi Permodalan Felda (KPF) dalam Felda Holding Berhad (FHB) kepada Felda Global Venture (FGV) bernilai RM2.2 bilion didakwa terlalu rendah. Penasihat ekonomi Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (ANAK) Dr Rosli Yaakob berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat agung perwakilan khas KPF pada 27 Oktober lalu. Katanya, KPF hanya dibayar RM2.2 bilion (RM19.61 sesaham) untuk menjual kepentingannya tetapi Felda dibayar RM5.6 bilion (RM52.1 sesaham) untuk 49 peratus kepentingan. "Sekiranya dibayar pada harga yang sama (RM52.1 sesaham), KPF sepatutnya dibayar RM6.3 bilion, bermakna KPF dikurang bayar sebanyak RM4.1 bilion. "Ini bermakna KPF dibayar hanya 37.6 peratus daripada nilai munasabah 51 peratus kepentingan dalam FHB. "Kenapakah harta yang sama dari segala aspeknya tetapi harga amat jauh berbeza?" soalnya dalam sidang media hari ini. Dr Rosli juga berkata, jumlah RM2.2 bilion harga paling murah jika dibandingkan dengan penilaian empat firma penyelidikan. Katanya, TA Securities, Kenanga Research, CIMB dan firma perakuanan EY menganggarkan nilainya antara RM2.3 bilion hingga RM4.081 bilion. "Harga RM2.2 bilion yang diluluskan oleh perwakilan memberi tanggapan bahawa wujud kemungkinan berlakunya konspirasi untuk shortchange KPF," kata Dr Rosli. Turut hadir dalam sidang media itu Presiden ANAK Mazlan Aliman. Malaysiakini telah menghubungi KPF tetapi masih belum mendapat penjelasan berhubung perkara itu. | |||
Parodi sindir PERKASA si pembela kangkung Posted: 21 Jan 2014 07:13 AM PST MALAYSIAKINISelepas kenyataan 'kangkung' Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjadi bahan lawak jenaka, kini tiba giliran NGO pendesak Melayu PERKASA dijadikan subjek lelucon ketawa. Ini kerana pertubuhan Melayu itu memberi amaran bahawa lawak mengenai sayur itu mungkin boleh mengundang peristiwa 13 Mei semula. Dalam video yang dimuatnaik ke Youtube oleh kumpulan lawak popteevee pada 15 Januari lalu, nama Perkasa digunakan untuk singkatan "Persatuan Kangkung 1Malaysia". Video berdurasi 6 minit mempersembahkan antara lain seorang lelaki dengan misai palsunya menerangkan bahawa Perkasa bukan kumpulan ekstrem tetapi satu gerakan untuk mempertahankan hak kangkung. "Kangkung ini sayur yang istimewa... Sekarang ini dah ada sayur-sayur pendatang (seperti) saleri, brokoli. "Macam mana pulak hak mereka lebih penting dari hak kangkung?" soal lelaki itu, dengan jelas merujuk NGO Perkasa yang sering memperjuangkan hak istimewa Melayu. Pelakon itu juga membidas kenaikan harga sayuran lain berbanding harga kangkung yang turun. "Sudah lama sangat kangkung terpinggir di negara ini. Salad-salad semuanya menyebabkan kami sesat dihujung jalan. Kita perlu balik ke pangkal jalan," katanya. | |||
Seorang Lagi "Blogger Kangkung" Dilaporkan Kepada Polis Posted: 21 Jan 2014 07:03 AM PST KELAB GREENBOCKaitkan DAP dengan isu tudung untuk bakar sentimen kaum KUALA LUMPUR: Tindakan tidak bertanggung jawab seorang blogger pro-Umno yang cuba mengaitkan DAP dengan isu seorang guru mualaf yang diarah membuka tudung oleh pihak pengurusan sekolah mendorong Setiausaha Politik Ahli Parlimen Gelang Patah, Dyana Sofya Mohd Daud membuat laporan polis semalam. Kenyataan provokasi, menghasut dan berniat jahat itu telah dikeluarkan blogger dikenali Azmy Awang Kelana Jaya di laman web azmyawangklanajaya.blogspot.com. Menurut Dyana, tajuk artikel "DAP Makin Kuat di Johor, Islam Makin Dipijak: Guru Mualaf Dipaksa Buka Tudung" tiada kena mengena dengan artikel yang ditulis blogger tersebut. Tulisan itu, ujar Dyana merujuk isu seorang guru mualaf di Johor yang diarah membuka tudung oleh Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Nan Ya. "Kenyataan yang dikeluarkan oleh blogger Azmy Klana Jaya berniat jahat dan menghasut, untuk membangkitkan pemusuhan di antara golongan masyarakat, di samping memburukkan parti DAP yang tiada kena mengena dalam hal ini," tegas beliau. Pada 17 Januari lalu, Pengerusi Lembaga Pengurusan SJKC Nan Ya, Pang Ah Ngang dan Guru Besar, Chiew Swee Tuan telah meminta maaf secara terbuka kepada guru mualaf tersebut dalam satu majlis di Dewan Terbuka Kampung Johor Lama. Guru terbabit, Choi Yi Shan, 25, yang masih merahsiakan nama Islamnya telah memaafkan Pengerusi dan Guru Besar tersebut. "DAP mengambil pendirian bahawa semua rakyat Malaysia mempunyai hak kebebasan beragama seiring dengan Perkara 11, Perlembagaan Persekutuan. "Saya membuat laporan ini demi kepentingan orang awam dan tindakan diambil secepat mungkin kerana kenyataan itu boleh memberikan kesan tidak baik kepada masyarakat berbilang kaum khususnya di Johor," jelas Dyana. Turut sama mengiringi Dyana untuk membuat laporan polis ialah Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Senai, Wong Shu Qi, Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor, Mazlan Aliman dan para penyokong Pakatan Rakyat. Dyana dalam kenyataan medianya kesal kerana masih ada pihak tidak bertanggungjawab cuba melakukan provokasi perkauman. Beliau bagaimanapun yakin rakyat Malaysia sudah matang dan tidak akan termakan dengan provokasi perkauman yang hanya menguntungkan sesetengah pihak. "Dimanakah semangat Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman yang mementingkan semangat kebersamaan dan toleransi sejak kita merdeka lagi?" soal Dyana. Mengulas isu yang sama, Teo yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan terkejut dengan tindakan blogger pro-Umno itu dan mengecam tindakan tidak bertanggungjawab 'tentera siber' Umno dalam mengaitkan DAP dengan isu guru mualaf yang dipaksa membuka tudung. "Ketika pertama kali membaca berita guru muslim berusia 25 tahun di SJKC Nan Ya, Kota Tinggi diarah membuka tudung jika mahu terus mengajar di sekolah itu oleh salah seorang ahli lembaga pengarah sekolah; saya telah mengeluarkan kenyataan segera mengutuk tindakan tersebut dan menggesa beliau memohon maaf kepada guru tersebut tanpa berlengah-lengah," tegas Teo. Beliau menegaskan bahawa DAP menjunjung prinsip bahawa setiap rakyat mempunyai kebebasan untuk mengamalkan agama anutan mereka. "Sebenarnya ini bukan pertama kali Umno cuba meletakkan kesalahan kepada DAP apabila wujud kenyataan berunsur diskriminasi atau insiden berbau perkauman di Johor. "Pada pertengahan tahun lalu apabila seorang guru berbangsa Cina didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur perkauman, terdapat sepanduk bertulis "DAP Johor SokongCikgu Poh; Melayu Bodoh Puk*m*k" digantung di beberapa tempat," ujarnya kesal. Menurut Teo, adalah jelas bahawa DAP menjadi sasaran mudah Umno dan tektik ini akan digunakan berulang kali bagi memesongkan kemarahan umum terhadap kegagalan kerajaan BN menyelesaikan masalah kenaikan harga barangan. "Kami ingin mengingatkan Umno bahawa 'kamu boleh menipu semua manusia pada sebahagian masa dan sebahagian manusia pada semua masa, tetapi kamu tidak boleh menipu semua manusia pada semua masa'," ujar Teo memetik kata-kata Presiden Amerika Syarikat, Abraham Lincoln. -HD | |||
Mahkamah benar permohonan bantahan awal petisyen pilihan raya Ahmad Zahid Posted: 21 Jan 2014 06:54 AM PST Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (gambar) hari ini dibenar membangkitkan bantahan awal petisyen pilihan raya yang difailkan PKR untuk membatalkan keputusan bagi kerusi Parlimen Bagan Datoh pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13). Hakim Pilihan Raya Datuk Hasnah Mohammed Hashim membuat keputusan itu selepas menolak permohonan untuk menentang permohonan Ahmad Zahid bagi membangkitkan bantahan awal, yang difailkan calon PKR Madhi Hasan dan pengundi Azmi Sulaiman. Mahkamah menetapkan esok untuk mendengar bantahan awal Ahmad Zahid itu yang juga anggota Parlimen Bagan Datoh. Hakim dalam keputusannya berkata Mahkamah Persekutuan, semasa rayuan berhubung petisyen pilihan raya, tidak menetapkan isu yang dibangkitkan dalam bantahan awal Ahmad Zahid, sehubungan itu mahkamah membenarkan permohonan bantahan awal menteri itu. Hasnah membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan peguam Syed Faisal Syed Abdullah yang mewakili Ahmad Zahid manakala Edmund Bon mewakili kedua-dua pempetisyen (Madhi dan Azmi). Pada 23 Disember 2013, Mahkamah Persekutuan memerintahkan petisyen pilihan raya yang difailkan kedua-dua pempetisyen itu diremit semula ke Mahkamah Pilihan Raya untuk mendengar merit kes. Mahkamah Persekutuan membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan petisyen pilihan raya yang difailkan PKR. PKR memfailkan rayuan itu di Mahkamah Persekutuan selepas Mahkamah Pilihan Raya di Ipoh menolak petisyen itu. Ahmad Zahid calon Barisan Nasional memperoleh majoriti 2,108 undi mengalahkan calon PKR, Madhi pada PRU13 bagi kerusi Parlimen Bagan Datoh. - Bernama, | |||
Dr Ling gelar peguam negara bodoh dalam isu PKFZ Posted: 21 Jan 2014 06:49 AM PST Bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik yang dibebaskan atas dakwaan menipu Kabinet berhubung pembelian tanah untuk Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) menggelar peguam negara bodoh. Dr Ling berkata, Kabinet sebenarnya membuat keputusan yang betul untuk membeli tanah bagi projek tersebut. "Dalam hal ini hanya peguam negara yang beranggapan keputusan itu salah, mereka adalah bodoh," katanya pada satu sidang media di Kajang, hari ini. Baru-baru ini Peguam Negara,Tan Sri Abdul Gani Patail gagal dalam dakwaan ke atas Dr Ling dan seorang lagi bekas menteri pengangkutan, Tan Sri Chan Kong Choy dalam kes penipuan terhadap kerajaan dalam pembelian tanah PKFZ. Dr Ling adalah menteri pengangkutan dari 1986 hingga 2003 mengatakan harga tanah PKFZ kini sudah meningkat dan melihat kembali pembelian tanah ketika itu, ia adalah sesuatu yang menguntungkan. "Tanah dijual kepada PKFZ dengan harga RM21 kaki persegi dan itu adalah harga jualan. Hari ini, ia berharga di antara RM70 dan RM80 kaki persegi. Itu sudah menunjukkan keuntungan," katanya. Dr Ling juga menggesa media menemuramah pihak pengurusan PKFZ tentang bagaimana ia berjaya sekarang. Ini merupakan kali kedua Dr Ling menyerang Abdul Gani selepas minggu lepas. Dr Ling dalam temuramah bersama akhbar berbahasa Cina minggu lepas menuduh Peguam Negara memandang rendah pemimpin Cina yang pernah menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. Bekas presiden MCA itu mengatakan beliau cuba untuk hidup seperti biasa selepas menjalani perbicaraan yang beliau anggap sebagai "kesilapan pendakwaan" akan tetapi mengakui sudah hilang kepercayaan terhadap sistem perundangan negara. Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang hadir ke mahkamah untuk memberi keterangan dalam kes Dr Ling mengatakan beliau tidak pernah ditipu oleh bekas menteri pengangkutan itu. | |||
Shamsul: Rekod Anwar di kedutaan Jepun tiada isu, kenapa dihalang? Posted: 21 Jan 2014 06:46 AM PST KEADILAN DAILYKUALA LUMPUR : Sekatan kerajaan Jepun terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim memasuki negara itu mengejutkan, kerana rekod pejabat Ketua Umum KEADILAN itu menunjukkan tiada isu yang boleh menyebabkan beliau dihalang, kata Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Shamsul Iskandar Mohd Akin. "Untuk rekod, pada tahun 2011 dan 2012, Datuk Seri Anwar ada memasuki Jepun tanpa halangan. "Namun kenapa beliau dihalang dari memasuki Jepun pada 19 Januari lalu," kata Shamsul ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan memorandum bantahan di kedutaan Jepun di Jalan Tun Razak, hari ini. Justeru, Shamsul menggesa jawapan munasabah dari kedutaan Jepun kerana menyenaraihitam nama Ketua Pembangkang yang mendapat jemputan rasmi untuk membentangkan kertas kerja untuk Yayasan Nippon. Jepun juga telah memansuhkan permohonan visa oleh rakyat Malaysia ke negara itu semenjak Julai 2013 "AMK dan KEADILAN meminta kedutaan Jepun segera menyiasat insiden tersebut dan memberi penjelasan menyeluruh selain membuat permohonan maaf," kata Shamsul yang juga merupakan ahli parlimen Bukit Katil. | |||
Rafizi ke Hong Kong selepas Tahun Baru Cina siasat akaun AG Posted: 21 Jan 2014 06:44 AM PST Fiza Halim KUALA LUMPUR : Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli akan ke Hong Kong selepas perayaan Tahun Baru Cina bagi menyiasat akaun peguam negara, Tan Sri Abdul Gani Patail. Menurutnya, beliau akan tetap ke negara itu walaupun belum menerima surat kebenaran daripada Gani yang dihantarnya pada 19 Disember tahun lalu. "Saya akan ke sana selepas perayaan tahun baru cina memandangkan sekarang penduduk Hong Kong sibuk membuat persiapan tahun baru cina. Saya akan cari masa yang sesuai ke Hong Kong," kata Rafizi kepada Keadilandaily. Katanya, sebelum berlepas ke Hong Kong, beliau perlu membuat temujanji terlebih dulu dengan beberapa jabatan dan individu yang berkaitan. Pada 17 Disember lepas, Rafizi menerima pelawaan Gani yang memberi kebenaran kepada beliau untuk memeriksa akaun banknya di mana-mana negara, termasuk Hong Kong. Isu ini timbul setelah dakwaan peguam kanan Umno, Tan Sri Shafee Abdullah yang mengaitkan Gani Patail dengan kes sogokan wang dalam isu pertindihan Pulau Batu Puteh. Pengakuan itu seperti terkandung dalam akuan bersumpah bekas pegawai polis, Datuk Mat Zain Ibrahim. Mengulas lanjut, Rafizi berkata, setakat ini tiada tindakan oleh Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyiasat dakwaan salahguna kuasa dilakukan Gani dalam kes berkenaan. "Tidak ada tindakan yang dimaklumkan oleh pihak SPRM dan Polis kepada kita. Tiada kes disiasat dan isu ini diam begitu sahaja," ujar Ahli Parlimen Pandan itu lagi. Menurutnya lagi, tindakan beliau ke Hong Kong bukan gimik semata-mata dan salah laku Gani adalah berasaskan kepada kenyataan banyak pihak termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. "Kita hanya memberi tindak balas bahawa peguam negara dikaitkan dengan kes sogokan wang dalam isu pertindihan Pulau Batu Putih," ujarnya. | |||
“SPR terus persempadanan semula & tambah kerusi, Bersih turun jalan raya” Posted: 21 Jan 2014 06:40 AM PST KEADILAN DAILYKUALA LUMPUR : Pengerusi Bersih, Maria Chin Abdullah berkata, sekiranya SPR masih meneruskan rancangan persempadanan semula dan penambahan kerusi dengan tidak mengikut undang-undang dan perlembagaan, Bersih akan membuat momilisasi besar-besar dan turun ke jalan raya. Demikian kata Maria dalam temubual eksklusif bersama Suara Keadilan ketika ditanya mengenai rancangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengadakan persempadanan semula dan penambahan kerusi Parlimen. Kata Maria, SPR pernah membuat penambahan kerusi sebanyak dua kali, iaitu pada tahun 2003 dan 2005. "Pada tahun 2003 berlaku penambahan kerusi Parlimen di Dewan Rakyat dari 199 kerusi kepada 219 kerusi. Manakala pada tahun 2005, dari 219 kerusi kepada 222 kerusi "SPR menambah kerusi parlimen tanpa mengubah Perlembagaan. SPR tambah jumlah kerusi dahulu, kemudian barulah pinda Perlembagaan! "Ini salah. Sudah dua kali mereka ubah kawasan pilihan raya dan tambah kerusi. Dua kali SPR terlepas tanpa bantahan rakyat. "Kali ini, jika SPR teruskan cadangan penambahan kerusi kita akan bantah untuk hentikan," kata Maria kepada Suara Keadilan. Menjangkakan langkah itu bakal dilakukan SPR dalam tempoh dua tahun, Bersih kini bersiap sedia termasuk mengambil tindakan undang-undang bersesuai termasuk injunksi mahkamah untuk menghalang persempadanan semula dan tambahan kerusi di Parlimen. "Selepas rundingan (consultation), bantahan awam, perbahasan di Dewan Rakyat dan tindakan undang-undang, namun jika SPR masih mahu teruskan rancangan ini, Bersih akan turun ke jalan raya," tegas Maria. Temubual eksklusif bersama Maria Chin boleh diperolehi dengan mendapat akhbar Suara Keadilan edisi 157 yang kini berada di pasaran sekarang. Untuk tempahan sila hubungi talian 03-92211045 atau faks ke 03-92212045. Akhbar Suara Keadilan diterbitkan setiap minggu, 32 muka surat penuh dengan maklumat, pendedahan dan laporan aktiviti Parti KEADILAN Rakyat selain isu-isu politik di seluruh negara. Sebarang pemakluman program dan kenyataan media, boleh menghubungi kami melalui emel skeadilan@gmail.com. | |||
Dasar Automotif Nasional 2014 tak turunkan harga kereta Posted: 21 Jan 2014 06:35 AM PST KEADILAN DAILYKeengganan Barisan Nasional melaksanakan beberapa reformasi dasar yang penting berhubung industri automotif negara akan terus mengekalkan harga kereta di Malaysia pada kadar antara yang termahal di dunia. Pengumuman Dasar Automotif Nasional 2014 (NAP2014) semalam tidak sedikit pun menyentuh beberapa perkara pokok yang selama ini menyebabkan harga kereta di Malaysia begitu tinggi, iaitu: 1. Pengenaan cukai eksais yang begitu tinggi terhadap setiap pembelian kereta di antara 85% hingga 110% 2. Pelaksanaan dasar permit mengimport (AP) yang tidak telus yang telah mengkayakan kroni tertentu 3. Pemberian rebat cukai eksais yang tidak telus sehingga menyembunyikan struktur kos yang ditanggung oleh industri automotif, ini memberi ruang kepada manipulasi margin keuntungan dalam rantaian pembuatan dan penjualan kereta Barisan Nasional terus enggan memotong cukai eksais yang begitu tinggi dengan alasan kedudukan kewangan negara tidak mengizinkan. Kenyataan Dato' Seri Mustapha Mohamad, Menteri Industri dan Perdagangan Antarabangsa (MITI) mengiyakan bulat-bulat kritikan terhadap Barisan Nasional selama ini bahawa pengurusan kewangannya yang lemah telah menyebabkan rakyat terpaksa menanggung pelbagai cukai langsung dan tidak langsung yang tinggi, termasuk cukai eksais kereta. Pengumuman pemberian rebat dan potongan cukai eksais bagi model dipasang di Malaysia (CKD) terpilih tidak akan menurunkan harga kereta secara keseluruhannya kerana ia hanya melibatkan segmen kereta yang kecil. Tanpa potongan cukai eksais yang melibatkan keseluruhan industry automotif, langkah-langkah terpencil yang hanya melibatkan beberapa jenis kenderaan sahaja adalah tidak lebih dari gimik (gimmick) untuk meredakan kemarahan rakyat. Malah, penerusan sistem pemberian rebat sedia ada yang tidak telus dan bergantung kepada budi bicara Menteri akan terus menyembunyikan struktur kos industri automotif dari difahami rakyat. Apabila tidak ada satu kadar tetap cukai eksais yang dibayar oleh pengguna kerana ia bergantung kepada jumlah rebat cukai eksais yang diberikan atas budi bicara Menteri, boleh berlaku manipulasi harga jualan kereta yang memberi margin keuntungan yang tinggi kepada pengedar/pembuat kereta. Oleh sebab itulah, KEADILAN berkali-kali mendesak supaya sistem cukai eksais sedia ada dihapuskan sama sekali untuk mengurangkan harga kereta serta-merta apabila pengguna tidak lagi menanggung cukai dan boleh membandingkan harga kereta secara telus dan kompetitif. Kami juga terus membidas pendekatan Barisan Nasional yang tetap mewar-warkan kononnya harga kereta telah turun apabila beberapa model baru kereta yang diperkenalkan di pasaran pada harga yang kononnya lebih rendah. Tindakan ini cuba menipu rakyat kerana perbezaan harga dari model lama atau sedia ada yang diperkenalkan bukanlah satu bentuk penurunan harga kereta yang kekal merentasi industri (non-permanent across the board price reduction). Malah, ada beberapa model yang diperkenalkan dengan diskaun merupakan model lama yang kos pembangunannya sudah pun diperolehi oleh syarikat kereta, lalu membolehkan model itu dijual pada harga yang lebih rendah. Rakyat menuntut janji Barisan Nasional untuk menurunkan harga kereta secara keseluruhan melibatkan semua model kereta merentasi industri seperti yang diutarakan oleh Pakatan Rakyat. Untuk menunaikan janji ini, hanya ada satu cara iaitu pemotongan atau penghapusan cukai eksais ke atas kereta secara keseluruhan dan bukannya dihadkan kepada model tertentu seperti yang diumumkan semalam. Kami juga kecewa dengan dolak-dalih baru yang diberikan oleh Barisan Nasional untuk terus mengekalkan sistem AP dengan alasan lebih banyak kajian yang diperlukan. Ini tidak lebih dari alasan untuk terus membenarkan golongan tertentu yang rapat dengan Barisan Nasional mendapat keuntungan atas angin sedangkan rakyat terus terbeban dengan harga kereta yang tinggi. Sepatutnya, Dato' Seri Mustapha Mohamad sebagai menteri yang bertanggungjawab membuat kajian yang secukupnya terlebih dahulu sebelum memasukkan janji untuk menurunkan harga kereta di dalam akujanji Barisan Nasional dalam PRU13. Pendekatan berjanji terlebih dahulu dan kemudiannya membeli masa dengan mengumumkan kajian demi kajian adalah satu helah Barisan Nasional yang semakin kerap diamalkan akhir-akhir ini untuk kegagalan mereka mengotakan janji-janji PRU13. RAFIZI RAMLI Pengarah Strategi Ahli Parlimen Pandan NIK NAZMI NIK AHMAD Timbalan Speaker Selangor | |||
Malaysia tidak tunaikan janji pembaharuan, kata badan hak asasi antarabangsa Posted: 21 Jan 2014 06:27 AM PST Badan pemantau hak asasi manusia antarabangsa Human Right Watch (HRW) hari ini membidas Putrajaya kerana berpatah balik daripada janji pembaharuan yang dibuat sebelum pilihan raya 5 Mei tahun lalu. Dalam World Report 2014 yang dikeluarkan hari ini, kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak tidak menunaikan janjinya apabila meminda kembali beberapa undang-undang yang menindas dan menekan. "Malaysia pada 2013 menyaksikan 'dua kisah Najib', menjanjikan pembaharuan undang-undang sebelum pilihan raya dan mengembalikan undang-undang menindas selepas itu," kata timbalan pengarah HRW Asia, Phil Robertson (gambar) dalam satu kenyataan media hari ini. Dalam pada itu, HRW juga mendakwa kerajaan BN menafikan hak asas rakyat Malaysia semasa berlangsung pilihan raya Mei lalu. "Sejak Mei tahun lepas, kerajaan melanggar hak asas, menyekat kebebasan bersuara dan membuat pendakwaan ke atas aktivis yang menganjurkan protes aman," katanya lagi. Laporan tersebut memetik Pindaan terhadap Akta Pencegahan Jenayah (PCA) yang diluluskan Oktober tahun lalu oleh pentadbiran Najib sebagai undang-undang menindas. HRW juga menegaskan pindaan undang-undang kontrovesi itu membenarkan penahanan tanpa bicara dan mengehadkan asas untuk merayu serta mengembalikan beberapa amalan salah guna yang menyamai undang-undang drakonian lain seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Ordinan Darurat (EO). Selain itu, Najib juga tidak menunaikan janjinya apabila masih menggunakan Akta Hasutan untuk mendakwa aktivis dan pemimpin pembangkang walaupun sebelum ini berjanji undang-undang tersebut akan dihapuskan. HRW turut mengecam pendakwaan kes Liwat II melibatkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disifatkannya sebagai sengaja direka dan bermotifkan politik. Kedegilan kerajaan Malaysia menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) bagi memantau Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga menyebabkan HRW mempersoalkan ketelusan dan integriti agensi tersebut ketika kes kematian dalam tahanan dilaporkan setiap tahun. HRW juga membidas sikap kerajaan Malaysia yang mendiskriminasi kumpulan komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT). HRW juga menggesa Malaysia selaku anggota dalam Suruhanjaya Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Hak Asasi Manusia (UNCHR) meratifikasi lebih banyak lagi konvensyen hak asasi manusia antarabangsa memandangkan setakat ini hanya empat sahaja yang ditandatangani. "Kerajaan Malaysia membalas keputusan buruk dalam pilihan raya yang diperoleh mereka dengan mengabaikan hak asasi daripada menghormatinya," kata Robertson lagi. Robertson juga mendesak agar kerajaan Malaysia meneruskan pembaharuan dan melindungi hak asas rakyat Malaysia termasuk pembangkang dan aktivis | |||
Posted: 20 Jan 2014 10:38 PM PST Oleh LIEW CHIN TONG TATKALA Singapura bersiap sedia menyambut zaman pasca Lee Kuan Yew, berdepan dengan senario di mana susuk tubuh Harry Lee semakin uzur, secara ironinya Malaysia pula berkemungkinan menyambut kedatangan satu zaman yang didominasi Tun Dr Mahathir Mohamad. Secara peribadi saya meramalkan bahawa seandainya PM Najib Razak tidak menyerang balas, menjana pembaharuan yang menyeluruh, maka beliau mungkin menjadi Perdana Menteri keempat yang dijatuhkan Dr Mahathir, menyusul langkah Tunku Abdul Rahman, Tun Hussein Onn dan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Biar kita imbas bagaimana Abdullah ditumbangkan Mahathir. Abdullah mengambil alih tampuk kuasa dengan menonjolkan imej "Saya bukan Mahathir", didukung dengan suara rakyat. "Bukan- Mahathir" bermaksud, lebih demokratik, lebih bebas, dan lebih lemah-lembut dari segi politik, malah kurang kronisme dari segi ekonomi. Namun demikian, dengan cepat Abdullah terjerumus ke dalam kancah, sehingga gagal membebaskan diri daripada lumpur. Abdullah terjebak dengan "Sindrom Gorbachev" selepas PRU11 pada tahun 2004, diselubungi kekhuatiran bahawa kuasa boleh terlucut daripada tangannya seandainya menggerakkan pembaharuan yang mendadak. Akhirnya terlalu ramai muka-muka dari puak konservatif dirangkum ke dalam Kabinetnya, sehingga gagal memenuhi harapan reformasi daripada kalangan rakyat. Lebih-lebih lagi, pemikir dan penasihat yang seharusnya menjana pembaharuan di sisinya pula dengan cepat terjebak ke dalam pertikaian amalan rasuah, lantas hilang keabsahan dari segi politik. Mahathir menyerang kerajaan Abdullah buat kali pertama pada Jun 2005, dan menyerang Abdullah secara peribadi pada Jun 2006. Yang selebihnya tercatat sebagai sejarah. Saya perlu menambah mengapa Mahathir dikatakan memainkan peranan untuk menjatuhkan Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein Onn, secara ringkas dalam ruang yang sekecil ini. Kita sedia maklum Mahathir dipecat daripada Umno selepas tragedi 13 Mei 1969, lantaran suratnya untuk mendesak agar Tunku berundur. Meskipun Mahathir mendakwa surat itu adalah sulit, salinannya tersebar luas diedarkan di sekitar Kuala Lumpur, dalam universiti dan kampung Melayu. Mahathir mempersalahkan Tunku kerana tunduk kepada orang Cina. Tafsiran Mahathir terhadap isu tragedi 13 Mei akhirnya diterjemahkan dalam hujah dan dasar rasmi kerajaan. Tunku berundur pada tahun 1970. Dalam kes Hussein Onn pula, Mahathir adalah dalang yang menyokong Sulaiman Ahmad (atau "Sulaiman Palestin") untuk mencabar Hussein Onn dalam pemilihan Umno pada tahun 1978, sungguhpun ramai yang menganggap bahawa Harun Idris memainkan peranan di sebalik percaturan tersebut ketika itu. Buat kali pertama sejak penubuhannya Umno menyaksikan pertandingan jawatan Presiden, dan calon ini berjaya meraih kira-kira 20% undi. Tujuannya bukan untuk menewaskan Hussein Onn tetapi untuk menghakis kredibilitinya. Jelas, Mahathir adalah pihak yang menerima manfaat selepas Hussein Onn berundur. Mahathir diasak dari kiri dan kanan, terutamanya oleh Menteri Dalam Negeri ketika itu, Ghazali Shafie, sejak menjadi timbalan Hussein Onn. Malah Mahathir dituduh sebagai "ejen komunis". Tiga hari sebelum Mahathir mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, setiausaha politiknya Siddiq Mohamed Ghouse ditahan di bawah ISA atas tuduhan "ejen KGB"! Sememangnya Mahathir tidak sabar-sabar untuk menamatkan zaman Hussein Onn. Sejarah berulang. Padahal kita tahu bahawa Mahathir tidak berpuas hati dengan kerajaan pimpinan Najib sebelum PRU13 pada tahun 2013. Namun, Mahathir tetap berkempen untuk Umno kerana ingin memakbulkan impiannya agar anaknya Mukhriz Mahathir dinobatkan sebagai Menteri Besar Kedah. Kini, Mahathir tidak terikat dengan apa-apa selepas kekalahan Mukhriz dalam pemilihan Umno pada November 2013. Dari apa yang diamati sepanjang tempoh dua minggu pertama pada tahun 2014, nampaknya Mahathir telah bersedia untuk "menukarkan" Perdana Menteri. Kemungkinan Najib gagal mengubah nasib dirinya. Masalah dengan Najib adalah beliau kurang ikhlas dalam pembaharuan, malah langkahnya tidak setanding Abdullah. Jikalau kita imbas kembali, ramai yang menganggap bahawa Abdullah adalah golongan demokrat yang mempunyai keikhlasan untuk membawa pembaharuan, tetapi tidak berkeupayaan dari segi pelaksanaan. Dari segi hubungan etnik, walaupun menyaksikan kebangkitan golongan sayap kanan pada zaman Abdullah, tetapi beliau masih dilihat berhasrat untuk memupuk integrasi kaum, cuma momentumnya terlalu lemah. Dari segi rasuah, ramai yang menuduh kerajaan korup ketika zaman Abdullah. Namun, kita rasa "Abdullah tidaklah sampai ke tahap sebegitu" apabila melihat kemewahan dan keborosan pasangan suami isteri Najib dan Rosmah Mansor. Najib perlu memenangi undi di pertengahan dalam politik seandainya mahu menyelamatkan dirinya. Najib perlu menangkis puak konservatif, memandang berat keperitan rakyat jelata, mengasingkan dirinya daripada Mahathirisme. Jika tidak, Najib bakal menjadi PM keempat yang dijatuhkan Mahathir, dan Malaysia akan menyaksikan kembalinya Mahathirisme. >> Liew Chin Tong adalah ahli Parlimen Kluang, merangkap Pengarah Biro Pendidikan Politik DAP. Beliau boleh dihubungi di supportlct@ liewchintong.com | |||
Pengusaha bas sekolah tersepit, mohon k'jaan tambah subsidi Posted: 20 Jan 2014 10:35 PM PST KUALA LUMPUR: Rata-rata pengusaha bas sekolah melahirkan merasa tersepit dengan keadaan yang menimpa mereka antara beban kos yang terpaksa ditanggung dan rungutan oleh ibu bapa. Seorang pengusaha bas sekolah yang hanya mahu dikenali sebagai Along berkata, beliau tidak mempunyai pilihan lain selain menaikkan tambang bas bermula sesi persekolahan awal tahun ini ekoran peningkatan kos operasi. Menurutnya, tambang baru yang dikenakan kepada setiap pelajar adalah RM40 sebulan berbanding sebelum ini yang hanya RM35. "Memang tidak dinafikan, ibu bapa merungut kata mahal. Saya faham sebab saya sendiri pun ada anak-anak sekolah. "Tapi apa boleh buat. Saya juga terpaksa menanggung kos operasi yang meninggkat dari tahun-tahun sebelum ini ekoran harga diesel dan alat ganti meningkat," katanya ketika ditemui Harakahdaily. Along berkata, pihak pengusaha bas sekolah sebelum ini pernah mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) berhubung isu kenaikan tambang tersebut. Namun rancangan itu ditangguhkan dahulu kerana ekoran bantahan dari pihak ibu bapa. Tambah Along, apa yang diharapkan adalah pihak kerajaan sendiri membantu pengusaha bas sekolah sepertinya dengan menaikkan subsidi diesel bagi meringankan beban mereka. "Dulu ketika harga diesel RM1.80 seliter, kami dapat subsidi beli dengan harga RM1.60 seliter. "Namun selepas harga diesel naik 20 sen menjadi RM2 seliter lepas pilihan raya lalu, kami juga terpaksa beli dengan harga RM1.80 iaitu naik 20 sen dari sebelumnya," katanya sambil menambah kos bahan bakar sahaja bagi dua buah bas dan sebuah van miliknya adalah RM800 seminggu. "Kita sudah banyak kali mohon kepada kerajaan subaya subsidi ini dinaikkan supaya kita boleh 'cut cost' operasi dan menimbang untuk tidak menaikkan tambang pelajar. "Tapi sehingga kini nampaknya tak ada jalan untuk kerajaan tunaikan permintaan kita itu," katanya dalam nada kesal. Ujarnya lagi, sebagi pemandu bas sekolah, tugas mereka bukan sahaja mengambil dan menghantar pelajar, malah turut memikul amanah menjaga keselamatan pelajar berkenaan supaya selamat sampai ke sekolah dan pulang ke rumah juga dengan selamat. | |||
Kalimah: Khalid sedia debat dengan Noh tanpa syarat Posted: 20 Jan 2014 10:26 PM PST KUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Khalid Abdul Samad menyatakan kesudian untuk berdebat dengan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar dalam isu kalimah Allah. Sebelum ini, Noh pada Majlis Perasmian Sambutan Maulidur Rasul anjuran Umno Bahagian Sungai Besar, di Sekin Hotel Sekinchan mencabar mana-mana pemimpin Pakatan Rakyat (PR) untuk berdebat isu kalimah Allah dari sudut perundangan. Khalid melalui akaun twitter memberitahu beliau bersetuju dengan debat tersebut tanpa apa-apa syarat. "Sinar Harian beritahu Noh Omar cabar saya debat isu Kalimah Allah. Sinar Harian akan anjur. Lai, lai saya jawab. Xyah apa2 syarat, stuju je," jelas beliau melalui akaun twitter. Khalid yang ketika dihubungi harakahdaily memberitahu beliau telah dihubungi Sinar Harian bagi memaklumkan program tersebut yang akan diadakah pada 27 Januari (Isnin) jam 2.30 petang. Namun, jelas beliau program tersebut akan diadakan secara tertutup dan hanya yang dijemput sahaja dibenarkan hadir. "Saya telah dihubungi oleh pihak Sinar Harian berhubung dengan program tersebut, ia akan diadakan pada 27 Januari (Isnin) pada jam 2.30 petang. "Program itu diadakan secara tertutup dan mereka yang mendapat jemputan sahaja yang dibenarkan hadir," jelasnya. Beliau yang telah menyatakan kesudiannya untuk berdebat dengan Pengerusi Umno Selangor dan hanya menunggu surat jemputan rasmi daripada pihak penganjur. "Secara lisan saya bersetuju untuk berdebat dengan Noh, sekarang hanya menunggu surat jemputan rasmi sahaja. "Dalam pada itu saya berharap Noh tidak akan menarik diri pada saat-saat akhir, kita telah lihat sebelum ini pemimpin Umno hanya berani mencabar tetapi di saat akhir mereka tarik diri dan harap Noh tidak seperti rakan-rakan mereka yang lain," ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Shah Alam. Noh dalam kenyataannya turut mencadangkan debat tersebut itu nanti perlu dianjurkan badan bebas seperti dikendalikan Sinar Harian dalam siri wacana yang dianjurkan akhbar itu sebelum ini. | |||
Bajet Kolej Felda akan dipotong? Posted: 20 Jan 2014 10:21 PM PST HAZAYANI ZAKARIA KUALA LUMPUR: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) menerima maklumat dalaman Felda bahawa bajet untuk Kolej Felda akan dipotong bermula tahun ini. Pengerusinya, Mazlan Aliman berkata, berdasarkan sumber dari dalam Felda, bajet untuk Kolej Felda hanya akan diberikan sebanyak RM5 juta daripada 16 hingga 17 juta yang diperuntukkan setiap tahun. Kolej Felda terdapat di empat lokasi iaitu di Kelana Jaya di Selangor, Trolak di Perak, Mempagar di Pahang dan Felda Raja Alias di Negeri Sembilan. Kolej Felda ditubuhkan pada 1998 untuk menyediakan ruang pengajian dan mengatasi masalah keciciran dalam pendidikan kepada anak-anak Felda. "Jika benar pemotongan bajet akan dibuat, bajet untuk empat Kolej Felda hanya tinggal RM5 juta. "Dakwaan pemotongan bajet ini merupakan petunjuk ke arah penutupan Kolej Felda," kata beliau pada sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini hari ini. Mazlan berkata, pihaknya sedang menunggu keputusan daripada pihak lembaga pengarah Felda yang akan bermesyuarat dalam masa terdekat berhubung perkara ini. Tambah beliau juga, empat kolej Felda tidak dapat menampung jumlah anak peneroka di 11 Felda di seluruh negara. "Kolej Felda sudah tidak dapat menampung peningkatan jumlah pelajar dari kalangan anak Felda. "Kolej hanya ada empat sedangkan ada 11 Wilayah Felda. Maksudnya Felda kena tambah tujuh lagi kolej," katanya. Menurut Mazlan juga, beliau juga menerima maklumat bahawa bantuan RM1,000 kepada anak Felda yang akan melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi tidak lagi diberikan. "Apabila mereka pergi ke pejabat Felda untuk mengambil bantuan, kakitangan kata tiada lagi peruntukan. "Kalau dulu, prosedur cukup mudah. Mereka isi borang dan terus dapat duit. Sekarang macam-macam alasan diberikan," katanya. Katanya, perkara-perkara ini merupakan kesan daripada penyenaraian Felda di Felda Global Ventures (FGV). "Sejauh mana koomitmen Felda terhadap peningkatan keupayaan pendidikan? "Antara kertas cadangan yang dibentangkan apabila disenaraikan dalam FGV, pembangunan sosial akan dikorbankan. Inilah akibatnya sekarang," katanya. | |||
Lelaki parah ditembak 3 das di Nibong Tebal Posted: 20 Jan 2014 10:20 PM PST MALAYSIAKINISeorang lelaki berusia 40 tahun cedera parah selepas ditembak oleh seorang lelaki yang menaiki kereta di hadapan sebuah rumah di Taman Sintar Indah, Jawi, di Nibong Tebal, semalam. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah berkata dalam kejadian pukul 5.20 petang itu, mangsa bersama rakannya berumur 33 tahun dipercayai sedang menunggu seseorang di hadapan rumah berkenaan sebelum sebuah kereta dinaiki dua lelaki berhenti berhampiran mereka. "Seorang daripada lelaki di dalam kereta jenis Proton Wira itu melepaskan tembakan ke arah mangsa yang mana dua das tembakan mengenai bahu dan satu di kaki kiri mangsa, bagaimanapun rakannya terselamat. "Kejadian itu berlaku dengan pantas dan sebaik suspek melepaskan tembakan mereka terus memecut kenderaan itu," katanya kepada pemberita di tempat kejadian di Nibong Tebal. Katanya mangsa yang mengalami kecederaan parah dihantar ke Hospital Sungai Bakap untuk rawatan dan dia dilaporkan dalam keadaan stabil. Mazlan berkata berdasarkan siasatan awal, dua suspek yang menaiki kereta itu dipercayai mengekori mangsa dan rakannya sebelum bertindak menembak mangsa di hadapan rumah itu. "Pemeriksaan di lokasi kejadian turut menemui tiga kelongsong peluru," katanya. Mazlan berkata mangsa dan rakannya itu yang berasal dari Banting, Selangor dipercayai baru tiba di Pulau Pinang pagi ini bagi menguruskan beberapa urusan. Katanya siasatan lanjut masih dijalankan dan setakat ini polis menahan seorang lelaki iaitu rakan mangsa yang bersamanya di tempat kejadian berikutan keterangan yang diberikan mengelirukan dan diragui. "Berdasarkan maklumat kita, rakan mangsa yang ditahan itu mempunyai tiga rekod jenayah lampau membabitkan pemalsuan dokumen, curi kenderaan dan dadah," katanya.-Bernama | |||
Kalimah Allah: Najib ada rujuk Majlis Fatwa? Posted: 20 Jan 2014 10:17 PM PST MALAYSIAKINIPAS menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak agar menjelaskan jika Majlis Fatwa Kebangsaan dirujuk sewaktu beliau membenarkan kalimah Allah diguna penganut Kristian Sabah dan Sarawak. Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar menggesa Najib menjelaskan perkara itu susulan titah Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah tentang hak eksklusif penggunaan kalimah itu oleh penganut Islam. "Saya minta Najib nyatakan pendirian mengenai isu kalimah Allah ini. Apakah dia nak membatalkan kebenaran penggunaan kalimah Allah kepada penganut Kristian di Sabah dan Sarawak atau sebaliknya? "Saya nak tahu apakah tindakan Najib membenarkan penggunaan kalimah Allah itu dirujuk dahulu kepada Majlis Fatwa Kebangsaan, Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu," katanya seperti dilaporkan Sinar Harian hari ini. Beliau berkata demikian, memandangkan kerajaan menerusi Penyelesaian 10 Perkara membenarkan kalimah Allah digunakan penganut Kristian di Sabah dan Sarawak. | |||
Anifah: Tak sangka saya begitu berkuasa Posted: 20 Jan 2014 10:16 PM PST MALAYSIAKINIKerajaan Malaysia tidak ada kena mengena dengan keputusan kerajaan Jepun menghalang pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim memasuki negara itu, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman. Beliau berkata setiap negara mempunyai hak kedaulatan untuk menghalang sesiapa sahaja yang mereka fikirkan tidak diingini daripada memasuki negara mereka atas apa jua sebab. "Dan selalunya, mereka tidak perlu memberi penjelasan mengenai keputusan yang diambil itu," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur, semalam. Dalam kenyataannya semalam, Anwar berkata beliau dihalang memasuki Jepun sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita pada 6.45 pagi Ahad dan diminta menaiki pesawat pertama yang berlepas pulang atau menghadapi tindakan pengusiran. Anifah menyifatkan dakwaan 'ada tangan tersembunyi' yang mungkin memainkan peranan dalam keputusan kerajaan Jepun itu sebagai sesuatu "yang tidak masuk akal" kerana sepanjang pengetahuannya, beliau tidak mempunyai kedudukan untuk mempengaruhi negara seperti Jepun supaya menyekat mana-mana individu daripada memasuki negara itu. "Sebenarnya, saya berasa sungguh bertuah kerana selama ini saya sendiri tidak pernah tahu bahawa saya begitu berkuasa hingga boleh mempengaruhi kerajaan Jepun," sindir Anifah ketika mengulas gesaan Anwar supaya Kementerian Luar memberi penjelasan mengenai peranannya dalam perkara itu. Anifah berkata Kedutaan Malaysia di Tokyo dimaklumkan bahawa keputusan kerajaan Jepun itu dibuat mengikut peruntukan Akta Kawalan Imigresen dan Pengiktirafan Orang Pelarian, Seksyen II, Perkara 5(iv) yang menyebut: "Seseorang yang disabitkan kesalahan melanggar mana-mana undang-undang atau peraturan Jepun, atau mana-mana negara lain, dan dijatuhi hukuman penjara dengan dikenakan perintah bekerja atau tidak bekerja selama setahun atau lebih, atau penalti yang sama dengannya. Bagaimanapun, ini tidak terpakai terhadap mereka yang disabitkan dalam kesalahan politik". Anifah juga menyatakan kes di mana Malaysia menghalang seorang ahli politik Australia memasuki negara ini, sebagai contoh beliau mempunyai prerogatif untuk tidak memberi sebarang penjelasan kepada rakan sejawatannya dari Australia berhubung tindakan itu. Beliau juga mengulas kes sepasang suami isteri Malaysia yang kini ditahan di Sweden kerana didakwa memukul tangan seorang daripada empat anak mereka. "Kami telah berbincang dengan pegawai kebajikan di Sweden. Tiga daripada empat pegawai kami berjumpa dengan mereka dan kami meminta supaya anak-anak itu diserahkan kepada, pertama, seorang Muslim, dan kedua, rakyat Malaysia. "Mereka akan menimbang permintaan ini dan kami akan membuat susulan dari semasa ke semasa," kata Anifah. Beliau juga berkata kerajaan Sweden telah melantik penasihat undang-undang untuk pasangan itu. Menurutnya Wisma Putra berusaha sedaya upaya untuk memastikan pihak berkuasa Sweden menyegerakan siasatan itu supaya kes berkenaan dapat diselesaikan secepat mungkin. Menurut laporan berikutan penahanan pasangan itu pada 18 Dis lepas, anak-anak mereka kini diletakkan di bawah jagaan sebuah keluarga Sweden. Dalam pada itu, Anifah mengucapkan takziah kepada keluarga seorang rakyat Malaysia yang terbunuh dalam satu serangan berani mati di sebuah restoran di Kabul, Afghanistan pada petang Jumaat. "Kami amat sedih dengan apa yang berlaku di Afghanistan kerana beliau seorang lelaki budiman, seorang penasihat ekonomi kepada Adam Smith (International) yang memberi nasihat kepada kerajaan Afghanistan," katanya tanpa mendedahkan nama mangsa. Rakyat Malaysia itu, Dr Gnanathurai Nagarajah, ahli ekonomi dan bekas penjawat awam, bertugas sebagai penasihat dasar belanjawan dan pembaharuan dengan badan yang berpejabat di London itu untuk membantu melakukan pembaharuan dalam belanjwan negara Afghanistan. Anifah berkata Wisma Putra dimaklumkan bahawa keluarga mangsa berurusan dengan syarikat itu untuk membawa pulang mayat mangsa ke Malaysia. Sementara itu, beliau mengesahkan tiada rakyat Malaysia dilaporkan cedera dalam kejadian serangan bom terbaru di Bangkok.- Bernama | |||
Tak benar penamatan tugas Azmin dibatal Posted: 20 Jan 2014 10:10 PM PST MALAYSIAKINISelangor tidak pernah mengarahkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menarik balik surat penamatan Azmin Ali sebagai ahli lembaga pengarah syarikat negeri itu pada 8 Januari lalu. Justeru, menurut Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohammed Khusrin Munawi, butiran dalam surat daripada pengurus besarnya ketika itu Datuk Othman Omar tidak benar sama sekali. "Saya ingin menegaskan bahawa dakwaan pengurus besar PKNS dalam surat yang bertarikh 16 Januari 2014 itu adalah tidak benar. Menurut Khusrin, surat itu antaranya menyatakan, surat penamatan tugas Azmin ditarik semula dan dianggap batal. Dalam kenyataannya hari ini, Khusrin berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat exco esok dan PKNS diminta tidak mengeluarkan sebarang kenyataan bagi mengelakkan kekeliruan. Sementara itu, katanya lagi, siasatan dalaman sedang dijalankan ke atas Othman dan Setiausaha Eksekutif Kerja PKNS Norita Mohd Sidek bagi merungkai perkara sebenar di sebalik isu itu. "Saya meminta kepada semua pihak supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan khabar angin yang tidak sahih berkenaan isu ini sehingga siasatan dalaman selesai dijalankan dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan membuat keputusan," katanya. Sementara itu, Khusrin juga menegur banyak laporan media yang membuat spekulasi dan melaporkan berita tanpa merujuk fakta yang sahih berkenaan isu itu sejak kebelakangan ini. | |||
Posted: 20 Jan 2014 10:05 PM PST MALAYSIAKINIPemuda PKR (AMK) hari ini menghantar memorandum bantahan ke kedutaan Jepun di Kuala Lumpur berhubung sekatan yang dikenakan ke atas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim memasuki negara itu pada 19 Januari lalu. Ketuanya Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, mereka menuntut kedutaan Jepun menjelaskan perkara tersebut dan menyatakan permohonan maaf kepada Anwar kerana telah bertindak sebegitu. Tambahnya lagi, halangan tersebut disifatkan tidak wajar kerana Anwar difahamkan tiada sebarang isu melibatkannya dengan negara itu. "Amat mengejutkan, berdasarkan rekod Anwar tidak ada sebarang isu sebelum ini dengan negara itu sehingga menghalang beliau memasuki Jepun minggu lalu oleh Kedutaan Jepun di Kuala Lumpur. "Kita percaya tindakan kerajaan Jepun itu berlebihan, tiada jaminan dan menyalahi Artikel 13 Hak Asasi Manusia," katanya. Sementara itu, penghantaran memorandum ke kedutaan Jepun itu melibatkan 30 orang peserta bantahan sambil memegang poster yang bertulis "boikot barangan Jepun". Mereka kemudiannya bertindak memijak poster, yang mirip bendera Jepun tersebut, dan membakarnya di hadapan kedutaan itu. Shamsul juga memaklumkan memorandum tersebut diterima oleh wakil kedutaan, Masa Hiro dan dua orang lagi wakil kedutaan itu. | |||
[DEMO MELAMPAU UMNO] BN Akan Hilang Deposit Di Lebih Banyak Kerusi - Mat Sabu Posted: 20 Jan 2014 09:54 PM PST KELAB GREENBOCGeorgetown - BN bukan saja akan kehilangan deposit di kerusi Pengkalan Kota dan Berapit, tetapi percayalah mereka akan hilang lebih banyak deposit di kerusi-kerusi lain dalam Piihan Raya Umum ke-14 yang akan datang. "Bantahan dan demo secara melampau yang dipamerkan oleh ahli mereka di Seberang Jaya dan Bukit Mertajam baru-baru ini akan membuat masyarakat yang cintakan keharmonian benci kepada tindakan sedemikian. "Jika mereka tidak mengubah akhlak dan perangai, saya begitu yakin, banyak lagi kerusi di Pulau Pinang akan hilang dalam PRU akan datang, apabila rakyat telah dapat membuat perbandingan antara kedua-dua pihak, " kata Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu semasa ditemui di Mahkamah Majistret, Butterworth pagi tadi. Beliau yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang juga berkata, rakyat negeri ini sedang memerhatikan setiap gerakan pembangkang di sini. "Apabila menyedari mereka adalah pembangkang, sudah pasti pelbagai tindakan akan diakukan bagi meraih sokongan masyarakat khsususnya umat Islam dan orang Melayu di sini. "Namun begitu dengan paparan tindakan melampau sepertimana demonstrasi kelmarin dan malam kelmarin sudah jelas bentuk kepimpinan yang sebeginikah harus dijadikan pemimpin untuk memimpin masyarakat berbilang kaum dalam negara ini. "Islam adalah agama mulia dan suci yang mesti dibuktikan melalui tindakan oleh umat Islam sendiri. Sekiranya Islam hanya pada anutan dan kepercayaan, tapi tidak diresapkan dalam sanubari ia umpama hiasan yang dilihat indah pada wajah tetapi buruk pada hakikatnya," tambah beliau lagi. Oleh kerana itu, umat Islam mesti buktikan bahawa setiap kekeliruan boleh diselesaikan melalui perbincangan dan mendapat pandangan dari mereka yang ahli dalam sesuatu isu yang diperkatakan.-malaysiagazette ULASAN GB Demikianlah hukum kebenaran dan keadilan. Hukum kebenaran dan keadilan bersifat alamiah, tidak dibatasi dengan warna kulit, bangsa atau agama. Berdemo sampai membelasah orang awam dengan letak undang-undang id tangan sendiri, mengeluarkan kata-kata perkauman adalah sesuatu yang melampaui batas. Setiap yang melampaui batas akan tetap terhukum jua akhirnya. Malah Allah banyak kali menegaskan di dalam Al-Quran Sesungguhnya Dia (Allah) tidak suka orang-orang yang melampau batas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir bimbang dasar "betul tapi tak popular" dalam menangani masalah khususnya kenaikan kos sara hidup rakyat menyebabkan kerajaan sedia ada tumbang pada pilihan raya umum akan datang. | |||
Zizan Razak Nafi Bercumbuan Dengan Emma Maembong Posted: 20 Jan 2014 09:28 PM PST PETALING JAYA: Pelakon dan pelawak Zizan Razak menafikan dia dan aktres Emma Maembong bercumbuan dan bersikap tidak senonoh di dalam kapal terbang ketika penerbangan ke Los Angeles, Amerika Syarikat baru-baru ini. Zizan atau nama sebenarnya, Razizan Razak, 30, berkata, gosip yang ditimbulkan itu tidak masuk akal kerana pemergian mereka ke negara itu turut disertai oleh pengurus dan beberapa krew penggambaran. "Pemergian ke Amerika Syarikat bukan kami berdua sahaja tetapi pengurus dan beberapa krew turut ikut. Takkan saya hendak buat perkara macam itu di hadapan mereka semua. "Isu yang ditimbulkan sebenarnya tiada apa-apa pun dan saya tidak terkejut pun kerana itu adalah lumrah dunia artis," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Isnin. Zizan mengulas laporan sebuah ruangan gosip akhbar mingguan pada Ahad lalu yang melaporkan dia dan Emma tanpa segan silu bercumbuan di atas kapal terbang tanpa menghiraukan penumpang lain yang melihat aksi mereka. Anggota kumpulan Jozan itu ketika dihubungi mStar Online pada pagi Isnin lalu pada mulanya enggan mengulas mengenai isu tersebut kerana tidak mengetahui cerita sebenar dan baharu sahaja pulang ke Malaysia. Dalam pada itu, Zizan berkata, dia tidak mahu menunding jari kepada mana-mana pihak sehingga timbulnya gosip tidak berasas itu kerana ia hanya spekulasi. Malah kata Zizan, dia tidak berkecil hati dengan laporan akhbar tersebut kerana menganggap pihak media hanya menjalankan tugas mereka. "Gosip itu tidak akan timbul sekiranya tiada pihak yang cerita kepada pihak media dan wartawan hanya menjalankan tugas mereka. "Saya juga tidak berani hendak tunding jari kepada mana-mana pihak kerana nama pun gosip dan pada saya ia kedengaran kelakar," ujarnya. Sementara itu, ditanya mengenai reaksi Emma mengenai gosip berkenaan, Zizan berkata, dia belum sempat untuk bercakap dengan pelakon itu dan tidak berhak untuk memberi kenyataan bagi pihaknya. Dalam perkembangan lain, Zizan berkata, percutiannya ke Amerika amat menyeronokkan kerana dia dapat mempelajari pelbagai perkara baharu sepanjang berada di sana. Jelas Zizan, kehidupan masyarakat di negara itu yang sentiasa pantas cukup mengagumkannya selain pemandangan indah meninggalkan pengalaman manis buatnya. | |||
77 Kereta Musnah Kebakaran Bengkel Di Selayang Posted: 20 Jan 2014 09:21 PM PST MSTAR ONLINE KUALA LUMPUR: Sebanyak 77 kereta musnah manakala 25 berjaya diselamatkan dalam kebakaran sebuah bengkel di Batu 8, Selayang, dekat sini malam Isnin. Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohamad Sani Harul berkata dalam kejadian pada kira-kira 8 malam yang melibatkan empat unit kedai termasuk bengkel berkenaan, pihaknya menerima panggilan pada 8.08 dan tiba lima minit kemudian. "Pihak bomba berjaya mengawal kebakaran kira-kira sejam kemudian. Punca sebenar kejadian dan jumlah kerugian masih disiasat," katanya ketika dihubungi Bernama. Beliau berkata sebanyak 12 pegawai dan anggota membabitkan dua jentera dari Balai Bomba Selayang dan Gombak dikejarkan ke lokasi kejadian. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan. |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan