DIALOG RAKYAT |
- Bob Lokman lebih sebulan berumah di hospital
- Janganlah Sampai Penyokong Jamil Khir Buat Laporan Polis Terhadap Harussani...
- Tiada sebab SPAD bergembira sekarang,pengangkutan awam masih belum memuaskan
- Kalimah Allah:Kenapa PAS Memilih Laluan Salah Dan Seronok Di Perangkap?
- Ariel Sharon dilapor mati
- Dakwa polis terlibat ubah wang haram RM6 juta- SAMM
- Kondo mewah: Keluarga Najib kebal daripada siasatan SPRM
- Ismail Sabri dakwa perkahwinan mewah anaknya buat di KL untuk jimat kos
- Nik Aziz seru sokongan penuh kepada penggantinya
- MCA tiada hak kritik enakmen yang diluluskan dulu, kata DAP
- Mufti dengan fahaman bughahnya
- Jawapan kepada kenaikan harga telur
- Penduduk protes jalan rosak teruk
- Khairy setuju cadangan Tun M, kerajaan perlu berjimat dahulu
- Ketika Umno sibuk program mewah, PAS potong 20% gaji Adunnya
- Konsep ‘Bughah’ dari perspektif fuqaha’ & implikasi kepada masyarakat
- BN tabur kebencian dan ketakutan untuk elak bincang isu rakyat
- Pakar: Kenaikan kos sara hidup, ramai berdepan masalah hutang dan muflis
- Bantah kenaikan harga barangan, 1 juta tandatangan disasar
- 25 premis di Kota Kinabalu rosak ditembak
- Harussani, siapa itu kerajaan?
- Protes kebebasan akhbar aman, mengapa nak disiasat?
Bob Lokman lebih sebulan berumah di hospital Posted: 11 Jan 2014 11:57 PM PST Hujan masih menitik perlahan usai ceramah bob Lokman untuk 130 orang peserta motivasi pelajar sempena cuti sekolah di Tahfiz An Nur Kampung Desa Jaya, Setiu Terengganu. Nafas Bob kelihatan tersekat-sekat dan kelihatan wajahnya agak pucat, 360 darjah tiba-tiba sosok selebriti itu berubah berbanding semasa beliau beraksi di hadapan peserta motivasi. Ceramah motivasi Bob bukan sahaja menyebabkan peserta menjadi terkesima, berselang dengan riuh rendah ketawa, malah menarik perhatian masyarakat awam sekitar yang juga tumpang mendengar perkongsian pengalaman Bob. "Mengapa abang Bob...enta ok ke?" Saya melontar soalan apabila melihat dia bersendirian dalam temaram cahaya di luar surau tahfiz. Kelihatan dia menggosok bahagian dada, matanya memandang kosong ke hadapan. Tetamu lain sedang menjamu selera tetapi Bob enggaan menjamah makan malam yang disediakan. "Ana terlebih minum air hari ini dan ini tidak baik untuk paru-paru ana...tak apa ana dah makan petang tadi sebelum program," balas Bob perlahan, menolak dengan hormat jemputan kudapan pihak penganjur. Pulang daripada program di Terengganu, beliau dimasukkan ke Hospital Sungai Buluh kerana komplikasi paru-paru dan jantung. Teman-teman aktivis terus menziarahi Bob dan berita keuzuran anak seni ini dengan pantas berjangkit di alam siber. Bob atau nama sebenarnya Mohd Hakim bin Lokman bin Ahmad bin Yusuf al Kenali dengan nekad telah meninggalkan kerlipan industri hiburan dan menyertai PAS dalam himpunan 30k Pemuda Pas di Alor Setar. Namanya tetap menggunguli pentas ceramah PAS, berbekal bakat dalam bidang pengacaraan yang puluhan tahun diceburi beliau. Bob adalah alumni Maahad Hamidiah Kajang, pernah membesar di Pondok Tok Kenali kubang kerian, juga merupakan cicit Tok Kenali dan cucu Tuan Guru Haji Ahmad Bangkok. Bakat berdakwah ada dalam darahnya dan beliau juga merupakan anak saudara Almarhum Ustaz Mawardi Ahmad, bekas Adun Lundang. Beliau semenjak berhijrah daripada alam selebriti terus menjadi pentaksub ilmu, menghadiri majlis ilmu, berusrah serta turun menjelajahi negara untuk berkongsi pengalaman. Bob juga berusaha menarik kawan-kawan artis untuk menyokong PAS seterusnya berhijrah ke alam fitrah. Rumah beliau di Sungai Buluh sering menjadi tempat berusrah serta majlis silaturrahim. Semenjak Bob jatuh sakit, aktivitinya terhenti dan sedikit sebanyak kondisi ekonominya juga terjejas. Biaya hospital UiTM juga melepasi ratusan ringgit setiap hari dan kita sebenarnya tidak cukup hanya melontar simpati. Isteri Bob tidak bekerja dan saya terkenangkan Bob yang turut berjualan kacang semasa beliau berceramah. Saya merayu teman-teman aktivis untuk menjenguk Bob dan membantu meringankan beban beliau kerana sewaktu jasadnya sihat kita memanfaatkan bakat dan popularitinya. "Bob...lepas ini kalau keluar hospital, kena ambil masa berehat," saya memberikan cadangan sambil memandang tepat wajahnya yang agak pucat di katil hospital. "Oh, keluar hospital ana nak terus berjuang," tukas Bob pantas dan saya tidak melihatnya bercanda, kerana itulah Bob yang saya kenal dalam medan amal Islami ini. Kerana kekurangan rehat dan jadual yang padat juga menyumbang kepada sakit yang dialami Bob Lokman. Moga Bob sembuh dan akan kembali beraksi menarik anak-anak muda kepada perjuangan Islam. Mata saya juga melirik kepada anak-anak bujang Bob yang bergilir menyuap makanan pada ayah mereka yang penyayang. Untuk teman- teman yang ingin menghulurkan bantuan kepada Bob Lokman, boleh disalurkan ke akaun isteri beliau, Relawati Daud: Public Bank 4416206406 | |||
Janganlah Sampai Penyokong Jamil Khir Buat Laporan Polis Terhadap Harussani... Posted: 11 Jan 2014 11:30 PM PST shahbudindotcom Setelah semalam tersebar khabar angin mengenai perletakan jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Hasan Malek sehingga sekumpulan Pemuda UMNO yang diketuai oleh anaknya sendiri membuat laporan polis kerana menganggapnya fitnah yang mengaibkan, hari ini seorang lagi menteri diminta meletakkan jawatan. Kali ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Jamil Khir Baharom yang bertanggungjawab dalam hal ehwal agama pula menjadi sasaran. Tetapi tidak seperti berita perletakan jawatan Hasan Malek yang dicetuskan oleh pengendali laman sosial pro UMNO, Afiq KL Town, desakan meminta Jamil Khir berundur dilakukan oleh seorang mufti iaitu, Harussani Zakaria. Harussani yang merupakan Mufti Perak di mana sebelum ini telah menggelarkan peserta demontrasi membantah kenaikan harga barang sebagai bughah dan halal darahnya, nyata kecewa dengan pendirian Jamil Khir dalam menangani isu kalimah Allah yang sedang hangat diperkatakan sekarang, khususnya untuk bertindak terhadap pengarang The Herald, Paderi Lawrence Andrew. Bagi Harussani, memandangkan sudah ada keputusan daripada Mahkamah Rayuan yang melarang penggunaan nama Allah oleh penganut agama Kristian tetapi Paderi Lawrenca tetap juga berkeras mahu menggunakan kalimah itu, ia jelas suatu penghinaan dan pendirian Jamil Khir yang secara santai meminta semua pihak bertenang dan menunggu saja keputusan Mahkamah Persekutuan, langsung tidak boleh diterima sama-sekali. Kalau beginilah pendirian seorang menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal agama, lebih baiklah letak jawatan saja, demikian tegas Harussani lagi. Berbanding berita perletakan jawatan Hasan yang hanya tersebar melalui media sosial, Jamil Khir sebaliknya diminta meletakkan jawatan oleh seorang mufti. Sebagaimana Hassan dimangsakan oleh pengendali laman sosial yang pro UMNO, Jamil Khir pula mahu dipencenkan oleh mufti yang pro UMNO. Ini bermakna, gesaan yang meminta Jamil Khir meletakkan jawatan lebih berwibawa daripada apa yang diterima oleh Hasan yang dikatakan sekadar khabar angin untuk tujuan ujikaji saja. Semogalah tidak ada penyokong Jamil Khir yang membuat laporan polis terhadap Harussani sepertimana penyokong Hasan yang terasa difitnah dan diaibkan dengan berita tidak benar itu. Dalam masa yang sama, kumpulan pro UMNO sendiri nampaknya sudah mulai tidak puas hati dengan wibawa dan prestasi menteri-menteri kabinet pilihan Najib ini sehingga mereka bukan saja secara terbuka mendedahkan kelemahan pemimpin mereka sendiri, bahkan seperti sudah tidak dapat menahan sabar dengan akhirnya meminta meletakkan jawatan saja sebagai jalan penyelesaian yang terbaik. Meminta pemimpin yang gagal meletakkan jawatan, sebenarnya bukanlah perkasa asing. Mahathir, Pak Lah dan Najib sering saja diminta meletakkan jawatan kerana dianggap lemah dan gagal menyelesaikan sesuatu isu. Beberapa pemimpin lain juga kerap menerima nasib yang sama. Namun biasanya, gesaan perletakan jawatan ini dilakukan oleh pihak pembangkang sebagai menunjukkan betapa lemahnya pemimpin tersebut, tetapi jika kelompok sendiri yang turut membuat gesaan serupa, ia tentulah kerana pemimpin tersebut sudah terlalu lemah dan tidak diperlukan lagi. Dalam kes Hasan, beliau dianggap menteri yang paling tidak berwibawa dan banyak cakap merapu dalam menguruskan kementeriannya. Beberapa komen dan reaksinya mengenai kenaikan harga barang amat memualkan dan menampakkan Najib telah melakukan kesilapan melantiknya. Juga seolah-olah UMNO kering-kontang dengan pemimpin yang baik dan berwibawa. Tindakan menyebarkan berita mengenai perletakan jawatannnya mungkin lebih bertujuan supaya beliau sedar hakikat dirinya dan tahap liabilitinya kepada UMNO dan kerajaan yang menjadi perbualan ramai ketika ini. Tindakan terpuji ialah seharusnya Hasan menerima baik penyebaran khabar itu dengan berusaha memperbaiki prestasi dirinya, atau jika gagal, berundurlah secara terhormat. Tindakan para penyokongnya, malah diketuai oleh anaknya sendiri, Adly Effendy membuat laporan polis lebih menyerlahkan kelemahan dirinya dan hanya menonjolkan kelompok manakah yang sebenarnya mahu Hasan kekal sebagai menteri kabinet. Berbeza dengan kes Jamil Khir, beliau sebaliknya telah diminta oleh seorang mufti untuk meletakkan jawatan atas tanggapan gagal membela agama Islam, tambahan pula dengan kedudukan Jamil Khir yang berlatar-belakangkan tentera yang seharusnya mempamerkan sikap tegas dan tidak mudah berkompromi. Jika mahu dikira aib dan malu, Jamil Khir jelas lebih malu berbanding Hasan. Sementara berita perletakan jawatan atau gesaan meletakkan jawatan adalah resam dalam dunia politik yang seharusnya diterima dengan fikiran terbuka oleh mana-mana pemimpin, adalah diharapkan juga tidak ada penyokong Jamil Khir yang membuat laporan polis terhadap Harussani semata-mata untuk mempertahankan menteri agama itu. Apa yang seharusnya dilakukan ialah cubalah berubah sikap, menjadi pemimpin yang lebih baik dan sentiasa mempamerkan pretasi. Jika gagal berubah, cuba-cubalah memandang pintu keluar. Dan semoga tiada juga yang menuduh Harussani turut menjadi bungah kerana cuba menjatuhkan pemimpin yang telah dipilih melalui proses pilihanraya yang sah | |||
Tiada sebab SPAD bergembira sekarang,pengangkutan awam masih belum memuaskan Posted: 11 Jan 2014 11:20 PM PST Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sepatutnya menunggu dulu sebelum bergembira di atas peningkatan jumlah pengguna pengangkutan awam di negara ini.Walaupun jumlah ini meningkat pada tahun 2013 berbanding tahun sebelumnya, pengangkutan awam di negara ini masih tidak dapat memenuhi kehendak penumpang, yang mahukan sistem pengangkutan yang boleh dipercayai. Bercakap kepada theantdaily, setiausaha agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA); Datuk Paul Selvaraj menjelaskan yang pengangkutan awam di negara ini belum lagi mencapai tahap "boleh dipercayai dan tersambung". Selvaraj mengulas laporan berita terhadap kenyataan SPAD bahawa semakin ramai penumpang di Lembah Klang bertukar kepada pengangkutan awam, dengan kadar pertukaran meningkat dari 19.6% pada 2012, ke 20.8% pada tahun lepas. SPAD dilaporkan menjelaskan kenaikan ini disebabkan beberapa program kerajaan yang dijalankan SPAD dan pengusaha pengangkutan awam, termasuk 1,388 hentian bas baru atau yang dibaikpulih, 470 bas RapidKL baru, sembilan koridor transit lebuhraya bas, 35 set tambahan empat-gerabak untuk LRT Kelana Jaya dan 37 set tambahan enam-gerabak untuk KTM Komuter. Bagaimanapun Selvaraj belum berpuashati. "Mengikut perancangan mereka sendiri, mereka mensasarkan mendapat sehingga 40% peratusan pengguna pengangkutan awam, seperti yang dirangka dalam Pelan Induk Pengangkutan Awam Darat GKL/Lembah Klang, tetapi mereka gagal memenuhi sasaran ini. "Mereka sepatutnya mensasarkan supaya pengguna di kawasan bandar menjadikan pengangkutan awam sebagai pilihan utama," jelasnya. Tambahnya lagi, SPAD seharusnya faham yang masalahnya bukan hanya boleh diselesaikan dengan menambah gerabak ataupun bas, tetapi melalui sistemnya dahulu. "Bila saya keluar dari rumah, berapa jauhkah saya kena berjalan ke hentian bas? Berapa lama perlu saya menunggu bas? Berapa lama untuk saya tiba ke stesen komuter? Selepas tiba di stesen destinasi, berapa jauh pula jaraknya dari pejabat saya? Adakah sistemnya senang dan boleh dipercayai? Bagaimana saya nak mencari maklumat yang diperlukan?" aju Selvaraj. Dan menurutnya, cara terbaik bagi SPAD mengetahui jawapannya adalah dengan bercakap dengan pengguna sendiri. "SPAD harus meluaskan apa yang mereka tahu mengenai keinginan pengguna, dan mempelajari mengapa mereka tidak menggunakan pengangkutan awam. "Jika saya tak tahu jadual bas dan bagaimana untuk mencari maklumatnya, bagaimana saya nak meyakini sistemnya? Tanpa keyakinan ini, pengguna tak mahu menunggu dan akan memilih untuk menggunakan kenderaan peribadi," tambahnya lagi. Dia berkata, pengangkutan awam tidak sepatutnya dianggap sebagai pilihan golongan kurang berkemampuan, tetapi pilihan utama semua pengguna. "Golongan yang berkemampuan yang sepatutnya meninggalkan kenderaan mereka dan memilih pengangkutan awam." Hujah Selvaraj sukar untuk dinafikan, jika dilihat dari laporan yang menyebut bahawa lebih dari lima juta kereta menggunakan jalan dan lebuhraya di Lembah Klang, sewaktu waktu puncak pagi dan petang. Sebelum ini gabungan ini pernah menyerahkan sebuah memorandum berkenaan kelemahan sistem pengangkutan awam kepada kerajaan. Ia juga mencadangkan beberapa langkah-langkah untuk mengatasi masalah ini, sebagai sebahagian dari perbincangan Belanjawan 2014 yang diadakan tahun lepas. "SPAD mesti mengatasi masalah ini dan mengumumkan langkah-langkah ini kepada orang awam, bukan sahaja tentang berapa banyak bas dan LRT, tetapi juga dari segi capaian dan jadual, dan maklumat ini hendaklah senang diakses. "Keseluruhan sistem mesti diperbaiki, bukan sekadar penambahan jentera dan perkakasan" akhiri Selvaraj. Mesti diingati juga yang kenaikan jumlah pengguna mungkin disebabkan peningkatan jumlah penduduk, dan pengguna-pengguna yang tiada pilihan lain kerana tidak berkemampuan membeli motosikal ataupun kereta.-The Ant Daily | |||
Kalimah Allah:Kenapa PAS Memilih Laluan Salah Dan Seronok Di Perangkap? Posted: 11 Jan 2014 11:08 PM PST "Untuk melihat dengan jelas isu kalimah Allah dan menjawab segala persoalan yang seolah olah menjadi semakin kusut sekarang, kita kena kembali kepada tahun tahun tujuh puluhan dan perlu melihat bukti yang terdapat dalam kata pengantar pada muka surat depan kitab 'bible perjanjian' yang dinamakan sebagai AL Kitab. Dari situ baru kita dapat jawapan apa sebenarnya motif utama yang sedang dimainkan dan siapa sebenarnya yang cuba mencari untung dari isu ini. Kitab 'bible perjanjian' yang menghimpunkan tiga puluh sembilan kitab perjanjian lama dan dua puluh tujuh kitab perjanjian baru diiktiraf oleh seluruh pimpinan gereja, dari muka surat pertama lagi ada tertulis, "projek menterjemahkan al kitab ke dalam bahasa melayu dimulakan pada tahun 1974". Jadi kunci utama telah ada, iaitu kitab bible diterjemahkan ke dalam bahasa melayu secara besar besaran 'mulai tahun 1974'. Jadi jelas di sini isu kalimah Allah dalam bible ini telah ada sejak empat puluh tahun yang lepas. Yang lebih penting untuk kita fahami adalah, penterjemahan ini tidak boleh dilakukan secara sembarangan dan ia tidak boleh diedarkan secara sembarangan kerana ianya bersangkutan dengan perlembagaan negara dan KDN(Kementerian Dalam Negeri). Kenapa ia boleh dibenarkan? Kenapa isu ini senyap selama ini? Kerana, yang membenarkan ianya ditulis dan diedarkan dalam bahasa melayu adalah kerajaan(BN). Ianya senyap kerana kerajaan(pimpinan BN) yang ingin ianya senyap. Sekarang ia menjadi bising dan riuh, kerana (BN) yang hendak ianya diriuhkan. Kerajaan(BN) yang hendak isu ini disebar keseluruh negara. Dalam keadaan kerajaan BN yang lemah dan hilang sokongan rakyat, jelas sekali isu inilah yang baik untuk menjadi serampang enam belas mata bagi BN. Kerana apa saya katakan ianya serampang enam belas mata? Kerana sangat malangnya PAS memilih laluan salah dalam menangani isu ini. PAS nyata sekali seolah olah tidak sedar bahawa isu ini hanya semata mata mainan UMNO untuk menarik sokongan orang melayu terhadap BN dan dalam masa yang sama menghilangkan sokongan melayu terhadap PAS. Dalam masa yang sama juga cuba memecahbelahkan kesepakatan kaum lain dalam Pakatan Rakyat. Ditambah pula ada sesetengah golongan ulama yang langsung tidak sedar dengan jerat UMNO ini, mengulas pula dari sudut yang sangat merugikan PAS sendiri. PAS cuba mengulas dari sudut 'ditelan mati emak diluah mati bapak'. Setengah pemimpin terlalu ingin menjaga kaum bukan Islam hinggakan tidak sedar kata kata akan menghilangkan sokongan kaum melayu. Sementara setengah ulama pula terlalu ingin menjaga kaum melayu hingga mungkin menghilangkan kepercayaan bukan melayu. Saya amik contoh kata kata terbaru ahli parlimen PAS parit buntar:"1.7 juta penganut kristian tidak akan mampu menjadikan Malaysia sebuah negara kristian". Ini sebagai menjawab apa yang ditulis oleh utusan malaysia. Jelas sekali jawapan seperti inilah yang sangat dinantikan oleh BN, supaya ianya dibaca oleh seluruh kaum melayu. Apa yang sangat tidak dapat saya faham adalah, kenapa dalam isu ini PAS seolah menjadi pihak yang diserang. PAS perlu menerangkan macam macam kepada rakyat samada melayu atau bukan melayu. Kenapa ini berlaku dan kenapa pula UMNO menjadi pihak yang menyerang? Padahal semua kesalahan tentang kalimah ALLAH ini terletak di bahu UMNO. UMNOlah yang patut diserang. UMNOlah patut PAS persalahkan. Persoalan ingin memahamkan rakyat tentang hukum yang sepatutnya difahami di dalam Islam..sepatutnya seiring dengan menyatakan "SIAPAKAH YANG BERSALAH DALAM NEGARA KITA TENTANG KALIMAH ALLAH DALAM BIBLE". Isu ini perlu ditekankan. PAS perlu mainkan peranan secara besar besaran bahawa UMNO BN lah yang membenarkannya. UMNO BNlah yang menjadi syaitan yang sebenarnya. Seandainya utusan malaysia menyatakan kristian ingin menjadi agama rasmi negara, maka perlu di'highlight' UMNO BN lah yang membuka jalannya. Rakyat juga perlu diberitahu, bahawa perdana menteri malaysia dari UMNO yang telah menandatangai "perjanjian 10 perkara" pada tahun 2011. Di antara salah satu perjanjian 10 perkara tersebut adalah dibenarkan menggunakan kalimah ALLAH. Jadi pemimpin PAS perlu keluar dari perangkap ini. Sedarkan diri tentang perangkap ini, kemudian sedarkan rakyat siapa sebenarnya dalang disebalik kalimah ALLAH ini. Jangan jadi pihak yang bertahan tetapi jadilah pihak yang menyerang. Nescaya nanti UMNO akan dapati senjata akan makan tuan. | |||
Posted: 11 Jan 2014 11:06 PM PST BAITULMAQDIS: Selepas mengalami koma panjang selama lapan tahun, bekas Perdana Menteri regim Israel, Ariel Sharon meninggal dunia di sebuah hospital berhampiran Tel Aviv pada usia 85 tahun. Agensi berita AFP yang memetik kenyataan pejabat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu bagaimanapun melaporkan, tiada pengesahan dari Hospitam Sheba, tempat Sharon dirawat tentang kematian bekas pemimpin entiti Israel itu namun seorang jurucakap hospital berkata, satu kenyataan rasmi akan diberikan pada jam 3 petang (waktu tempatan). Sharon berada dalam keadaan koma sejak 4 Januari 2006 selepas mengalami strok. Keadaan beliau dilaporkan semakin parah sejak 1 Januari lalu apabila mengalami masalah buah pinggang yang serius selepas menjalani pembedahan | |||
Dakwa polis terlibat ubah wang haram RM6 juta- SAMM Posted: 11 Jan 2014 09:53 PM PST Oleh: Sidiqin Omar KUALA LUMPUR : Pegawai kanan polis termasuk yang berpangkat 'Datuk' mesti dihadapkan ke mahkamah sebaik disabit terlibat dengan sindiket pengubahan wang haram, kata Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin. Menurutnya, tindakan memindahkan anggota dan pegawai terlibat tidak akan memperbaiki keadaan sekiranya mereka tidak didakwa. "Jika tiada dakwaan, polis hanya melindungi kesalahan pasukan mereka sendiri. Jangan hanya dakwa polis pangkat rendah, tapi tak berani untuk dakwa mereka di peringkat atasan. "Jika tiada tindakan drastik, jangan salahkan rakyat yang berterusan mempunyai persepsi buruk terhadap institusi polis. Rakyat Malaysia kini sukar untuk meletakkan kepercayaan," kata CheguBard. Portal The Malaysian Insider 7 Januari lalu melaporkan kira-kira 60 anggota polis disiasat pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ekoran terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram. Terdahulu, SPRM pada 26 Disember lalu mengesahkan seorang pegawai kanan polis bergelar 'Datuk' antara yang memberi kenyataan berkaitan kes pengubahan wang haram bernilai RM6 juta. Pada November 2013, dilaporkan tiga pegawai berpangkat timbalan penguasa, penolong penguasa dan sarjan ditangkap secara berasingan oleh SPRM. Semasa tangkapan mereka menemui RM500,00 tunai, jam Rolex dan barang kemas. Susulan itu, dua pegawai yang ditahan dipindahkan ke Johor dan Negeri Sembilan dengan salah seorang daripada mereka terlibat dengan penggubahan wang haram bernilai RM1.7 juta, manakala yang lain RM4.3 juta. Dalam pada itu Chegu Bard berkata, anggota polis berpangkat rendah perlu menyatakan pendirian menegur kepimpinan polis yang terlibat dengan rasuah dan sindiket jenayah. "Kamu (anggota bawahan) sedang dizalimi dan dipergunakan. Mesti tampil untuk kembalikan maruah PDRM dan baiki pandangan umum terhadap pasukan keselamatan," kata CheguBard. | |||
Kondo mewah: Keluarga Najib kebal daripada siasatan SPRM Posted: 11 Jan 2014 09:51 PM PST Oleh: Basyar Abkadir KUALA LUMPUR : Keluarga Datuk Seri Najib Razak akan terus kebal daripada siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya suruhanjaya itu masih diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri. Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia, Badrul Hisham Shaharin berkata demikian ketika mengulas isu kekayaan melampau anak Datin Seri Rosmah Mansor yang dilapor membeli satu unit kondominium mewah berharga RM110 juta (USD33.5 juta) di New York. "SPRM sekarang berada di bawah (Jabatan) Perdana Menteri. Bagaimana ia nak menyiasat keluarga perdana menteri yang rasuah, sedang perlantikan ketuanya pun berada di tangan Perdana Menteri," katanya ketika dihubungi. Badrul atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard, berkata, ini bukan kali pertama isu berkaitan keluarga Perdana Menteri itu didedahkan dan diketahui umum. "Dahulu sebelum PRU 13 saya ada dedahkan tentang isu mengenai stesyen jana kuasa IPP di Prai yang melibatkan Riza Shahriz. Sebelum ini didedahkan juga isu pembelian cincin RM 24 juta Rosmah Mansor, dan tiada penafian yang dilakukan oleh beliau (Rosmah). "Sampai sekarang SPRM masih tiada respon terhadap pendedahan yang dilakukan," katanya sambil menggesa agar SPRM mengambil tindakan. Riza Shahriz Abdul Aziz, anak lelaki Datin Seri Rosmah Mansor daripada perkahwinan terdahulu, dilapor membeli hartanah di West 63rd Street di Park Laurel, New York, menurut laman web Sarawak Report. Laporan itu memetik laman web syarikat hartanah New York, The Real Deal, yang menyatakan Riza membeli hartanah dengan tujuh bilik pada 19 November tahun lalu. Satu laporan New York Times menyebut unit penthouse itu yang terletak di Central Park West, dibeli Riza menerusi syarikat dengan liabiliti terhad dikenali sebagai Park Laurel Acquisition. Riza, memulakan kerjaya perbankannya sebaik tamat pengajian di London School of Economics pada 2000. Laporan Sarawak Report menyebut Riza pernah bekerja dengan firma perunding KPMG sehingga 2 | |||
Ismail Sabri dakwa perkahwinan mewah anaknya buat di KL untuk jimat kos Posted: 11 Jan 2014 09:49 PM PST Ia digelar "perkahwinan paling hebat tahun ini" kerana kemewahannya, tetapi Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (gambar) mempertahankan dan berkata majlis perkahwinan serta resepsi makan malam mewah anak perempuannya diadakan di Kuala Lumpur sebagai perbelanjaan berhemah ketika Putrajaya mengambil langkah penjimatan. Anak perempuan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu, Nina Sabrina berkahwin dengan selebriti yang juga pereka fesyen Indonesia, Jovian Mandagie menerusi majlis perkahwinan mewah termasuk majlis akad nikah di bangunan bekas Istana Negara serta kenduri dua hari di sebuah hotel lima bintang di Kuala Lumpur, yang dihadiri oleh golongan raja, selebriti, ahli politik dan pembesar negara. "Untuk mengurangkan kos, saya meminta menantu saya untuk mengadakannya di KL. Jika ia dibuat di Jakarta, keluarga dan saudara-mara saya perlu terbang ke sana dan akibatnya, saya perlu menanggung kos yang lebih untuk tiket penerbangan dan penginapan. "Jadi itulah sebabnya majlis diadakan selama dua hari - satu untuk keluarga saya, dan satu lagi untuk besan saya. Tetapi tanpa mengetahui faktanya, saya diserang," kata Ismail kepada The Malaysian Insider, sambil menambah bahawa majlis resepsi di kampungnya di Temerloh, Pahang dilakukan secara gotong- royong iaitu semua orang menyumbang tenaga untuk membantu. Bagaimanapun, menteri itu enggan mendedahkan kos perkahwinan itu. "Tiada siapa di Malaysia mengisytiharkan perbelanjaan perkahwinan anak mereka, adakah saya perlu?" katanya. Majlis perkahwinan anaknya turut menampilkan barisan penyanyi terkenal Malaysia termasuk Datuk Jamal Abdilah dan diva Indonesia, Ruth Sahanaya bagi menghiburkan tetamu dengan lagu mereka. Dipersoalkan kerana menggunakan bekas istana negara untuk majlis akad nikah, di mana sewa adalah RM25,000 untuk lapan jam, Ismail Sabri berkata, menantunya menerima "pakej yang baik" sebagai balasan untuk publisiti. "Ia adalah majlis perkahwinan pertama diadakan di sana. Beliau adalah seorang pereka terkenal dan perkahwinan ini menjana banyak liputan, termasuk program Mahligai Cinta di TV3. Jadi ini adalah iklan yang baik untuk Istana Negara bagi pakej perkahwinan yang mereka akan tawarkan," katanya. Awal minggu ini, rakan sekerja Ismail, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dikritik kerana menganjurkan parti "hari jadi" mewah di sebuah hotel lima bintang di Kuala Lumpur yang tetamunya mendakwa ia menjadi majlis sambutan Tahun Baru. Beberapa penulis blog pro- Umno juga mempersoalkan atas keperluan apa Jabatan Perdana Menteri mempunyai dua jet VIP selepas ia mendedahkan bahawa Putrajaya menghabiskan RM180 juta untuk mengekal dan mengendalikan jet kerajaan untuk perjalanan rasmi pada 2012. Perkahwinan, ditambah pula dengan parti mewah Ahmad Zahid dan juga pembelian kereta Mercedes mewah oleh kerajaan negeri Pulau Pinang untuk Ketua Menteri, Lim Guan Eng datang ketika kebanyakan rakyat Malaysia merungut tentang kenaikan harga tarif elektrik, makanan, bahan api dan kos persekolahan. Harga bahan api, gula, ais dan tarif elektrik naik selepas Putrajaya mengurangkan subsidi manakala tambang pengangkutan awam akan meningkat tahun ini. Cukai barangan dan perkhidmatan (GST) juga akan diperkenalkan pada 2015. Perbelanjaan kerajaan melonjak dengan bajet tahun ini sehingga RM264.2 bilion berbanding RM251.6 bilion tahun lepas di tengah-tengah kebimbangan bahawa Putrajaya tidak mengurangkan perbelanjaannya walaupun meminta orang ramai untuk berbuat demikian. Rakyat juga mencemuh pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 30 Disember bahawa Putrajaya akan melaksanakan 11 langkah penjimatan untuk mengurangkan perbelanjaan pada 2014. Pakar ekonomi Najib, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar menasihatkan pengguna agar berbelanja dengan bijak dan mencari alternatif bagi menampung kos sara hidup. Bekas pegawai bank itu berkata, rakyat Malaysia perlu berjimat cermat dan hidup mengikut kemampuan mereka. "Saya pergi ke pasar setiap minggu. Saya tahu bahawa harga keperluan asas adalah tinggi, tetapi pengguna mempunyai pilihan dalam membelanjakan wang mereka," katanya. | |||
Nik Aziz seru sokongan penuh kepada penggantinya Posted: 11 Jan 2014 09:42 PM PST Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta semua ahli PAS memberikan sokongan penuh kepada pengganti beliau Datuk Ahmad Yakub yang kini menjadi Menteri Besar Kelantan. "Beliau merupakan anak murid saya yang sejati. Segala gerak-geri saya sudah disalin kepada dia. Maka dia tahu apa yang dia buat," katanya mengenai Ahmad yang menggantikan beliau, dipetik daripada Utusan Malaysia. Nik Aziz menjadi menteri besar Kelantan selama 23 tahun. Ketika pentadbirannya, Kelantan berbangga kerana tidak ada seorang pun pemimpinnya yang bersalah kerana rasuah dan salah guna kuasa. Ramai termasuk beliau yang cuba difitnah tetapi dibersihkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysian (SPRM) yang dikawal Putrajaya. Dalam wawancara itu, Nik Aziz meminta semua ahli PAS menyokong pengganti beliau kerana Ahmad menjadi timbalannya sudah lama dan semua masalah serta urusan khususnya dalam Dewan Undangan Negeri (DUN), beliau yang jawab. "Daripada segi dasar atau polisi mana boleh sama, kita kena ikut perkembangan semasa. Dia cara dia, saya cara saya, namun saya beri sokongan sepenuhnya kepada beliau," kata Nik Aziz dalam wawancara itu. Nik Aziz yang kini berumur 83 tahun pada 10 Januari lalu terpaksa hidup dengan beg plastik putih yang mempunyai saluran kecil ke tubuhnya. Difahamkan beg yang disediakan oleh hospital itu untuk menyalurkan air kencing, lapor Utusan. Ketika ditanya, bagaimana kesihatan beliau, Nik Aziz berkata:"Alhamdulillah." "Untuk jantung, baterinya doktor kata buat masa ini, tidak perlu tukar lagi kerana masih molek. Bateri ini kurang bekerja kerana tidak begitu diperlukan memandangkan jantung saya masih gagah. "Masalah saya sekarang ini adalah prostat. Masalah prostat ini menyebabkan saya kena bawa beg (untuk menyalurkan air kencing) pergi ke mana-mana," katanya. Beg itu, katanya, perlu ditukar seminggu sekali di hospital atau doktor yang bertugas datang ke rumahnya. "Kalau hendak sembahyang, susah sikit tetapi tidak perlu tukar cuma kena cuci dulu. Tidaklah sampai perlu cuci lima kali sehari. Saya cuci bila perlu, sekurang-sekurangnya sekali sehari. Alhamdulillah, tidak menganggu saya beribadat," kata ulama yang sangat dihormati itu. | |||
MCA tiada hak kritik enakmen yang diluluskan dulu, kata DAP Posted: 11 Jan 2014 09:37 PM PST THE MALAYIAN INSIDER DAP menyifatkan MCA tidak mempunyai hak moral untuk mengkritik pendekatan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mengendalikan cara Persatuan Bible Malaysia (PBM) diserbu. Ini kerana MCA adalah pihak yang bersama-sama dengan Umno di dalam Dewan Negeri Selangor meluluskan Enakmen 1988 Agama Bukan Islam di Selangor (Kawalan penyebaran ke atas Muslim) yang diguna untuk menyerbu PBM. Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua berkata, MCA tidak mempunyai hak moral langsung untuk mengkritik kerajaan Pakatan Rakyat Selangor yang mencuba sedaya upada untuk menyelesaikan masalah berbangkit daripada tindakan MCA yang menyokong enakmen itu pada 1988. Melalui enakmen 1988 itu, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyerbu PBM dan merampas lebih 300 Bible berbahasa Malaysia Alkitab dan Bup Kudus dalam bahasa Iban yang mengandungi perkataan Allah. "Lebih teruk lagi, MCA bersama Umno ketika itu meluluskan Seksyen 11 dan 12 dalam enakmen sama yang memberikan kuasa kepada "pegawai berautoriti" untuk merampas sebarang bukti berkaitan dan boleh menangkap tanpa waran mana-mana orang disyaki melakukan kesalahan itu," kata ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu. Pada 3 Januari lalu, sekumpulan penguatkuasa Jais dengan diiringi dua anggota polis menyerbu pejabat PBM di Damansara Kim. Mereka merampas lebih 300 naskah Bible dan Bup Kudus manakala dua ahli PBM dibawa ke Balai Polis Damansara. Jais berkata, mereka bertindak mengikut Enakmen 1988 Agama Bukan Islam di Selangor (Kawalan penyebaran ke atas Muslim). Sehubungan itu, MCA mengutuk tindakan Jais dan mempertikaikan cara kerajaan negeri Selangor pimpinan Khalid dalam mengendalikan kes itu. Sultan Selangor sebelum ini mengeluarkan perintah yang melarang orang bukan Islam menggunakan perkataan Allah. Bagaimanapun, pakar perlembagaan, Dr Aziz Bari berkata, sebarang perintah atau fatwa daripada Sultan mengenai agama tidak boleh dilaksanakan ke atas bukan Islam. | |||
Mufti dengan fahaman bughahnya Posted: 11 Jan 2014 09:35 PM PST Pandangan rasmi Jabatan Agama Islam Kedah terhadap 14 orang Memali yang terbunuh bersama Ibrahim Libya yang menentang ISA adalah bughah. Maksudnya menderhaka. Ia mesti menderhaka kepada Istana/kerajaan. Hukuman kepada penderhaka ialah bunuh atau antara Yahudi yang derhaka kepada perjanjian Madinah dengan Rasulullah SAW, ada yang perintah keluar dari wilayah Islam itu tanpa harta bendanya kecuali bekalan melapik perut untuk perjalanan ke tempat barunya. Jika orang Memali itu bughah ke semuanya tentu dikukum mengikut hukum bughah seperti yang disebut oleh Mufti Perak, bukan sekadar yang terbunuh itu saja. Yang menjadi lawak atas tohmah bungah itu Sultan Kedah, Yang Dipertuan Agong sekarang berangkat menziarahi pusara as-Syahid Ibrahim Libya dan rakan-rakannya. Ulil Amri tentu tidak mencemar duli ke kubur bughah. Di mana kita hendak letak maruah Jabatan Agama? Sekarang Mufti Harussani dari Perak pula menghukum bughah terhadap penunjuk rasa terhadap kos sara hidup yang melambung kerana mereka dikatakan mahu menggulingkan kerajaan. Hukumnya darah mereka halal. Adakah sabit tunjuk perasaan sedemikian sebagai bughah sekalipun motif dan agendanya menggulingkan kerajaan? Adakah penunjuk rasa di Thailand yang menentang Perdana Menteri wanitanya dari terus berkuasa sudah bughah? Apa juga tema dan slogan unjuk rasa adalah dihalalkan oleh demokrasi dan diiktiraf oleh PBB. Mohamad Sabu, orang penting unjuk itu menolak ia mahu menggulingkan kerajaan. Unjuk rasa itu bagi membantah tanpa senjata tentang kenaikan kos rasa hidup yang melangit itu. Sekalipun ia permulaan kepada penggulingan kerajaan dalam PRU14 nanti, ia adalah proses penggulingan mengikut perlembagaan dan lunas demokrasi. Mana ada tunjuk perasaan terhadap kerajaan dikira bughah dan didakwa di mahkamah selain dari di Mesir terhadap Ikhwanul Muslimin. Tindakan itupun bukan bughah tetapi justeru gerakan keganasan. Gerakan mengguling kerajaan tidak disebut-sebut dan diwarwarkan dalam unjuk rasa seperti malam tahun baru itu. Tiada dipapar dalam kain rentang. Orang yang sungguh hendak merampas kuasa bergerak dalam diam-diam. Tiba-tiba berlaku saja penggulingan. Orang ramai tahu melalui siaran TV dan radio. Biasanya yang buat kerja ini pempn-pemimpin tentera atau orang yang mendapat sokongan tentera. Dr Mahathir tidak sukakan PM Abdullah Badawi dulu berpakat dengan orang-orang Umno yang dekat dengan PM itu. Mereka tidak runding dengan orang lain-lain. Mereka sesama Umno sepakat menggulingkannya dengan mendesaknya berundur. Gerakan itu tidak dikatakan bughah. Walaupun kerja itu sudah macam bughah tetapi dari segi politik, ia biasa dilakukan oleh parti-parti yang memerintah. Ia buat cara diam-diam dulu dalam parti dan kemudian baru kerajaan dipaksa berndur. Menggulingkan biasanya orang buat dalam tempoh yang segera supaya kerajaan yang ada tidak sedar. Tetapi kalau dihebohkan dalam ceramah dan kain rentang, ia bukannya sungguh-sungguh mengguling kerjaan. Ia hendak meributkan saja. Tidak apa yang mereka buat untuk menjadikan kerajaan dalam waktu yang sesengkatnya. Mufti Perak itu tiada pengalaman politik. Bagaimana rupa bughah dan bagaimana gendang-gendang saja. Perak dihormati umum kerana kehabatan Raja Mudanya. Pandangannya mengkagumkan ramai orang. Baginda berjaya mengatasi kehebatan Ayahanda baginda. Ayahanda baginda adalah Ketua Hakim pertama dalam dunia jadi Sultan atau Raja. Pandangannya sangat dihajati. Tetapi cara baginda menghadapi penggulingan Datuk Seri Nizar sebagai Menteri Besar Perak, menyebabkan kebijaksanaan itu tidak menggambarkan wibawa Ketua Hakim. Maka yang menonjol di kalangan raja-raja ia Raja Muda. Ia mengkagum dan membanggakan. Tiba-tiba dengan penonjolan Muftinya, tidak seimbang dengan kehebatan Raja Muda. Raja Muda menjulang ke angkasa. Mufti boleh menyamai lawak Abu Nawas dengan fahaman bughahnya.. | |||
Jawapan kepada kenaikan harga telur Posted: 11 Jan 2014 09:31 PM PST Oleh Harris Nasril Telur sudah naik harga. Di sini dikumpulkan cadangan oleh Malaysian Facebookers yang boleh digunakan oleh menteri apabila ditanya wartawan. 1. "Kalau telur mahal, tanam sendiri!" 2. "Kalau telur mahal, makan telur sendiri." 3. "Kalau telur ayam mahal, bertelur sendiri." 4. "Kalau telur mahal, rakyat digalakkan untuk bertelur sendiri." 5. "Kita akan tubuhkan makmal 1 telur, bagi mengkaji kenaikan harga telur." 6. "Kita akan cari jalan terbaik untuk menelurkan telur untuk rakyat demi menyeimbangkan kembali harga telur di pasaran." 7. "Kalau telur ayam mahal, jangan makan telur, makan sayur." 8. "Kalau telur ayam mahal, jangan salahkan menteri! Saya bukan bela ayam. Itupun korang ejek aku menteri ayam. Yang bela ayam itu pengusaha telur ayam." 9. "Kami akan melancarkan BT1M : Bantuan Telur 1 Malaysia, supaya semua rakyat berpendapatan rendah dapat menikmati harga telur yang lebih murah." 10. "Rakyat diminta membela ayam supaya dapat menghasilkan telur." 11. "Kerajaan akan mewujudkan PTPTN (Perbadanan Tabung Pinjaman Telur Nasional) bagi membantu permasalahan harga telur di pasaran. Bagaimanapun, demi kelangsungan ekonomi telur negara, kerajaan hanya akan membantu dalam bentuk pinjaman yang wajib dibayar dalam bentuk bunga telur. Sesiapa yang tidak menjelaskan bayaran bunga akan disenaraihitamkan, dan tidak boleh ke luar negara." 12. "Bersabarlah. Ini semua ketetapan peneluran." - Fatelur Bahri. 13. "Saya sudah print out semua jawapan untuk persoalan ini. Wartawan boleh pilih mana-mana di atas." 14. "Harga telur ayam di Malaysia masih rendah jika di bandingkan dengan harga telur di negara Uganda." | |||
Penduduk protes jalan rosak teruk Posted: 11 Jan 2014 09:24 PM PST Penduduk Taman Po Hing di Sandakan kata rakyat diabaikan. KOTA KINABALU : Sekumpulan penduduk di Batu Sapi mengadakan protes mengenai jalan semakin teruk hingga sukar dilalui. "Di mana wakil rakyat kami! Di mana sudah janji pilihan raya Barisan Nasional!," demikianlah dinyatakan oleh penduduk Taman Po Hing di Sandakan. Lebih dari 20 penduduk telah berhimpun di hadapan taman perumahan pada hari Sabtu untuk mendesak kerajaan supaya mengambil perhatian segera berhubung keadaan sebahagian jalan berkenaan yang rosak teruk. Mereka turut memaparkan keluhan tanda rasa kekecewaan dengan keadaan jalan berlubang-lubang di mana kerosakannya bukan sahaja menyukarkan kenderaan kecil untuk melalui tetapi turut mendatangkan bahaya kepada pengguna jalanraya apabila jalan itu terutama pada waktu malam atau musim tengkujuh sekarang ini. "Duit projek didahulukan, rakyat diabaikan", "Rali Dakar peringkat Batu Sapi", "Jalan Batu Sapi sama juga dengan jalan di estet" adalah antara yang tertulis di kad-kad yang dipegang oleh mereka ketika mengadakan protes itu. Penduduk taman berkenaan meminta kerajaan untuk mencari jalan penyelesaian dengan sebeberapa segera memandangkan kerosakan pada jalan sepanjang 500 meter terutama sekali di hadapan Taman Po Hing semakin hari semakin teruk. "Kami harap pembaikan dapat dilakukan secepat yang mungkin kerana kerosakannya semakin sukar untuk dilalui disebabkan keadaan jalan yang berlubang di sana-sini," kata seorang penduduk Yunizam Yusof, 26 tahun, "Apa yang kami mahu ialah ada usaha membaiki agar kerosakan tidak menular. Pengguna jalan meminta supaya ada perhatian dan tindakan segera agar kerosakan tidaklah teruk sebegini," tegas beliau. Cuba lihat keadaan jalan ini yang begitu teruk. Mana ada orang sanggup untuk melalui jalan yang rosak seperti ini apatah lagi pada waktu malam memandangkan kerosakan jalan berkenaan mampu mengundang bahaya, kata Yunizam. Beliau merayu kepada pemimpin-pemimpin serta kerajaan untuk mendengar rintihan seluruh penduduk di Batu Sapi yang tidak lagi sanggup melihat kerosakan semakin teruk ini. | |||
Khairy setuju cadangan Tun M, kerajaan perlu berjimat dahulu Posted: 11 Jan 2014 09:22 PM PST Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyokong bekas perdana menteri paling lama Tun Dr Mahathir Mohamad supaya Putrajaya terlebih dahulu perlu berjimat selepas memotong subsidi, susulan kenaikan harga barang dan tarif elekrik. Ketua Pemuda Umno itu berkata, teguran yang dilontarkan oleh Dr Mahathir perlu diambil kira memandangkan beliau mempunyai pengalaman luas sebagai bekas perdana menteri. "Isu dia tegur kenaikan harga, desak kerajaan kena berjimat. "Saya faham hinggakan kerajaan terpaksa naikkan tarif (elektrik). Kita kena tunjukkan terlebih dahulu penjimatan dalam kerajaan," kata Khairy yang dipetik berkata dalam akhbar Berita Minggu hari ini. Dr Mahathir tidak bersetuju dengan keputusan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak menaikkan harga barang keperluan dalam meningkatkan pendapatan negara. Beliau berkata, kerajaan sewajarnya mengurangkan kos dan menggunakan konsep 'cost down' bagi mengurangkan pembaziran. "Kita faham kerajaan memerlukan lebih wang tetapi itu tidak bermakna peningkatan seperti yang diumumkan. "Adalah lebih baik mengurangkan kos, mengekal atau mengurangkan harga. Perkara sama boleh dilakukan kerajaan," katanya dalam tulisan di blognya Che Det baru-baru ini. Dr Mahathir berkata, kerajaan juga harus mengambil langkah penjimatan dengan merujuk semula ketirisan yang berlaku menerusi Laporan Ketua Audit Negara. Malah, Dr Mahathir secara sinis menyindir Najib dalam isu pesawat peribadi. Tahun lalu, Jabatan Perdana Menteri memberitahu Parlimen bahawa Putrajaya kini memiliki sekurang-kurangnya tujuh kapal terbang, termasuk jet kelas perniagaan Boeing. Kapal terbang itu digunakan oleh VVIP termasuk Yang di-Pertuan Agong dan perdana menteri. Ia termasuk Falcon, Global Express, jet kelas perniagaan Boeing, Blackhawk, 2 Augusta dan Fokker F28. Tahun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim memberitahu Parlimen, Putrajaya membelanjakan RM14.95 juta untuk petrol dan RM160.08 juta untuk pengendalian semua jet itu. "Kerajaan sekarang lebih kaya berbanding masa saya dahulu. Mungkin sebab itu mereka membuat penambahbaikan," kata Dr Mahathir. Khairy menyifatkan pandangan Dr Mahathir adalah selari dengannya dalam isu penjimatan. "Kita kena dengar pengalaman beliau, jangan terlepas pandang. "Beliau cakap pasal penjimatan ekonomi, pandangan itu sama," kata Khairy. Khairy juga menyatakan kesediaan supaya gaji menteri dalam Kabinet dipotong. Harga bahan api, gula dan tarif elektrik naik selepas Putrajaya memotong subsidi manakala tambang pengangkutan awam akan meningkat pada tahun ini. Cukai barangan dan perkhidmatan (GST) juga akan diperkenalkan pada 2015. Perbelanjaan kerajaan melonjak dengan bajet tahun ini sehingga RM264.2 bilion berbanding tahun lalu RM251.6 bilion di tengah-tengah kebimbangan bahawa Putrajaya tidak mengurangkan perbelanjaan walaupun meminta orang ramai untuk berbuat demikian. Rakyat juga mencemuh pengumuman Najib baru-baru ini untuk melaksanakan 11 langkah penjimatan untuk mengurangkan perbelanjaan pada 2014. Pakar ekonomi Najib, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar menasihatkan pengguna untuk berbelanja dengan bijak dan mencari alternatif. Bekas pegawai bank itu berkata, rakyat Malaysia perlu berjimat cermat dan hidup mengikut kemampuan mereka. "Saya pergi ke pasar setiap minggu. Saya tahu harga barangan keperluan asas tinggi, tetapi pengguna mempunyai pilihan dalam membelanjakan wang mereka," katanya dalam satu laporan berita. – | |||
Ketika Umno sibuk program mewah, PAS potong 20% gaji Adunnya Posted: 11 Jan 2014 09:18 PM PST THE MALAYSIAN INSIDER Ketika pimpinan Umno di peringkat pusat terus dengan acara mewah mereka, kerajaan Kelantan akan terus mengekalkan dasar pemotongan elaun 20% Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari PAS untuk dikumpulkan sebagai dana khas bagi membantu rakyat di peringkat akar umbi. Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakub, berkata langkah itu diambil bagi membantu golongan berpendapatan rendah yang berhadapan dengan krisis kenaikan harga barang. Beliau berkata, dana yang dikumpulkan itu akan disalurkan mengikut keperluan dalam program khidmat masyarakat dan tidak akan digunakan untuk menjalankan program parti. "Kita tidak akan mengambil walaupun satu sen wang yang dipotong daripada elaun wakil rakyat untuk kegiatan parti kerana sudah diamanah dibelanjakan bagi kepentingan rakyat. Bagi urusan kepartian wakil rakyat sendiri perlu mencari sumber kewangan yang lain. "Dasar pemotongan elaun yang dilaksanakan di bawah pimpinan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan terus kita kekalkan," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan pelancaran Pusat Kaunseling Baitul Rahmat di Kelantan, lapor Utusan Malaysia semalam. Baitul Rahmat menawarkan pelbagai perkhidmatan antaranya kaunseling individu, kelompok dan rumah tangga dan memberi perkhidmatan rawatan tradisional secara Islam. Ahmad berkata, pengurusan kerajaan negeri memusatkan perhatian yang serius terhadap langkah berkesan membendung pembaziran wang dan fenomena kenaikan harga barangan keperluan. "Kenaikan harga barangan dan kes jenayah adalah cabaran utama kepemimpinan kerajaan negeri yang perlu ditangani secara bersama demi kesejahteraan sejagat. "Saya akui kesukaran dan kepayahan terpaksa ditempuh dengan tabah kerana kerajaan negeri tidak memiliki sumber kewangan yang banyak. "Langkah saya menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tempoh hari adalah bertujuan membela hak rakyat daripada aspek kebajikan," katanya. Katanya, jika ada masalah yang berkaitan dan perlu penyelesaian, kerajaan negeri dan kerajaan pusat akan mencapai kata putus untuk diselesaikan secara bersama melalui pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan Ketua Setiausaha Negara. – | |||
Konsep ‘Bughah’ dari perspektif fuqaha’ & implikasi kepada masyarakat Posted: 11 Jan 2014 04:20 PM PST Oleh Dr Muhammad Nur Manuty MUFTI Perak, Tan Sri Harusani Zakaria, sekali lagi mengejutkan rakyat Malaysia apabila beliau mengeluarkan satu fatwa kontroversi pada awal Januari, 2014 lalu. Fatwa tersebut menyatakan bahawa para peserta demonstrasi pada malam 31 Disember yang ikut serta bersama dengan orang ramai yang telah berhimpun menyambut kedatangan Tahun Baru 2014 sebagai "bughah" (pemberontak). Justeru itu, beliau berkata bahawa "darah mereka adalah halal." Sesungguhnya fatwa tersebut telah mengundang pelbagai reaksi hangat. Banyak pihak merasa dukacita, resah dan gelisah dengan fatwa Tan Sri Harusani. Implikasinya sangat serius. Sesungguhnya fatwa Mufti Perak itu terlalu keras bunyinya, sehingga para demonstran boleh dikategorikan sebagai "pengganas." Kita bersetuju dengan pendapat pelbagai pihak di negara ini bahawa jika tidak diambil langkah tegas oleh pihak berkuasa, fatwa tersebut boleh mengundang pelbagai kesan negatif yang berkemungkinan menjejaskan ketenteraman orang-orang awam. Apabila seorang mufti berbicara pada khalayak ramai; apa lagi dengan kedudukannya sebagai seorang mufti terkanan yang telah berkhidmat lebih dari 30 tahun, maka ia dilihat oleh orang awam sebagai satu fatwa rasmi yang boleh dipegang. Konsep Bughah Dari Perspektif Fuqaha' Menurut Imam Taqiyuddin Abi Bakr Muhammad al-Husainiyy, pengarang Kitab Kifayatul Akhyar, perkataan bughah dalam istilah syara' adalah merujuk kepada segolongan umat Islam yang melawan dan menderhaka kepada ulil amri (pemerintah), iaitu pemerintah/kerajaan yang adil yang menjalankan hukum-hukum syari'at Islam (Kifayatul Akhyar, Jilid 2, ms. 122). Sementara itu pula Tuan Haji Said Haji Ibrahim berpendapat bahawa " .. Dalam ilmu ketatanegaraan Islam, bughah ialah perbuatan sekumpulan dan segolongan umat Islam yang memberontak untuk menentang dan menderhaka kepada ulil amri. Ini dinamakan "jarimah siasiyyah" (Kanun Jenayah Islam, 1996, Kuala Lumpur, 1996, ms. 151). Di samping itu Jenayah dalam politik tidak boleh berlaku kecuali Jika tindakan golongan pemberontak mempunyai tujuan yang jelas untuk menggulingkan Ketua Negara atau tidak mahu lagi mematuhi arahan pemerintahan; didapati sebab-sebab mereka memberontak dan menetang dasar pemerintah, sekalipun sebab-sebab yang mereka kemukakan itu merupakan sebab yang paling lemah; telah berlaku penderhakaan dan pemberontakan yang merupakan perang saudara dalam negara, selepas mereka itu mengadakan persiapan senjata dan pertahanan. (Kanun Jenayah Islam, ms. 153) Dalam sesebuah negara yang berpaksi kepada hukum-hukum Islam, "penderhaka" yang wajib diperangi adalah tertakluk dengan syarat-syarat berikut: Mereka yang telah mempunyai kekuatan dan yang telah berterus terang secara terbuka menentang pemerintah/kerajaan yang adil; Mereka yang telah keluar dari tadbiran ulil amri, dan telah membentuk pemerintah/kerajaan yang baru; Terdapat di kalangan mereka kekeliruan faham di mana mereka menganggap bahawa mereka boleh keluar dari kawalan dan tadbiran imam (pemerintah); setelah diajak berunding dengan bijaksana sebagaimana yang telah dilakukan oleh Sayyidina 'Ali Bin Abu Talib, Khalifah Islam Keempat terhadap pemberontak-pemberontak dalam Perang Jamal di Siffin dan kumpulan Khawarij: Mereka telah mengadakan keganasan dalam negara seperti membakar, membunuh dan sebagainya. (Kanun Jenayah Islam, ms. 154). Persoalannya sekarang, adakah fatwa Mufti Perak itu mempunyai sandaran shara' yang kukuh serta mengikut manhaj pengistinbatan hukum yang sah? Dalam menjawab soalan ini, ternyata Tan Sri Harusani telah menyalahgunakan penggunaan ayat 9, Surah al-Hujurat yang dikemukannya sebagai hujah qat'iyy. Firman Allah (SWT): "Dan jika ada dua golongan dari orang-orang mukmin berperang maka damaikanlah antara keduanya. Jika salah satu dari kedua golongan berbuat aniaya terhadap golongan yang lain maka perangalilah golongan yang berbuat aniaya itu sehingga golongan itu kembali, kepada perintah Allah: jika golongan itu telah (kembali kepada perintah Allah), maka damaikanlah antara keduanya denga adil dan berlaku adillah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil (Surah al-Hujurat: 9). Dalam hemat kita, kumpulan demonstran itu tidak boleh dikategorikan sebagai pemberontak kerana hujah-hujah berikut: Mereka tidak terlibat dalam "peperangan" (iqtital) yang membawa kepada pembunuhan sesama mukmin seperti yang disebut di dalam ayat 9, Surah al-Hujurat; Penganjur demonstrasi tidak membuat apa apa perisytiharan rasmi untuk tidak mentaati Seri Paduka Yang Di Pertuan Agong; Para demonstran keluar secara aman sekadar mahu "unjuk rasa" kerana marah dan kecewa dengan kegagalam pemerintah gagal mengawal harga barang naik secara mendadak mutakhir ini; Para demonstran tidak memiliki apa apa senjata; Mufti Perak sendiri tidak turun berunding untuk memberi nasihat kepeda pemimpin-pemimpin demonstrasi supaya mereka meletakkan senjata (sekiranya benar ada senjata) atau memberhentikan demonstrasi. Mengenai persiapan senjata, pandangan Profesor Dr Wahbah al-Zuhaili, ilmuan fiqh ternama, menyatakan bahawa kesahihan bagi seseorang atau kumpulan dapat diistilahkan sebagai "bughah" hanya dengan kewujudan senjata yang banyak sehingga pihak pemerintah terpaksa membekalkan senjata dengan banyak untuk tujuan mempetahankan diri. Justeru, banyak wang dan persiapan ketenteraan yang diperlukan bagi menghadapi pemberontak.(Wahbah al-Zuhaili, Tafsir al-Munir, Damsyiq: 2007, Jilid 13, ms, 571) Dalam hubungan ini, Mufti Perak telah menampakkan kegopohannya dalam pembuatan fatwa. Beliau sewajarnya mengemukakan beberapa dalil syara' dengan panduan nas-nas qat'iy di dalam al-Qur'an, al-Sunnah dan lain-lain sumber ilmiah yang muktabar. Tan Sri Harusani sewajarnya berbincang dahulu dengan pelbagai pihak terutama dengan Ahli Ahli Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, Ahli Ahli jawatankuasa Fatwa Syar'iyyah Negeri Perak dan lain-lain pegawai di Jabatan Mufti Perak. Walau bagaimanapun, fatwa Mufti Perak jelas tidak merujuk kepada para ulama/ilmuan lain. Islam menganjurkan amalan syura demi mendapatkan muwafakat terbaik dan dapat keberkatan dari Allah SWT. Al-Qur'an mencatatkan: "Sedang urusan mereka diputuskan dengan mesyuarah" (Surah Assyura: 38). Oleh kerana hujah-hujah yang dikemukakan tidak kuat, maka jalan keluar yang terbaik bukan untuk mempertahankan fatwa tersebut; seperti yang disebut oleh Tan Sri Harusani dalam akhbar Sinar pada awal Januari lalu. Mufti Perak sewajarnya mempraktiskan perintah Junjungan Muhammad (SAAS) seperti yang disebut dalam sebuah hadis sahih: "Katakan perkara baik atau diam." Selain itu, kegopohan fatwa Mufti Perak jelas menunjukkan beliau hanya bersandar kepada maklumat yang belum dapat dipastikan kesahihannya. Maklumat yang diterima dari media perdana di negara ini perlu disaring sebelum dapat diterima pakai. Allah SWT berfirman: "Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatan itu." (Surah al-Hujurat: 6). Sejak fatwa tersebut disiarkan di dalam media, ia telah menimbulkan reaksi pasif masyarakat terhadap institusi mufti. Statusnya sebagai pembimbing umat mulai dipersoalkan keabsahannya. Bagi masyarakat Islam yang tidak memahami ajaran Islam, fatwa tersebut menimbulkan ketakutan terhadap agama Islam dan bukannya keinginan untuk mendampinginya. Islam dari segi jauharnya adalah agama yang sangat menekankan wujudnya kedamaian, keamanan dan kesejehteraan sesama insan. Fatwa yang menyebut "darah mereka adalah halal" membawa konotasi bahawa nyawa manusia begitu murah harganya walhal memelihara nyawa adalah sebahagian dari tujuan utama dalam maqasid syari'ah (objektif syari'ah). Mengenai kehormatan diri bagi sesorang manusia tidak dibunuh dengan sewenang-wenang, Allah SWT berfirman: "..barangsiapa yang membunuh seorang manusia, bukan kerana orang itu (membunuh) orang lain, atau bukan kerana membuat kerusakan di muka bumi, maka seakan akan dia telah membunuh manusia seluruhnya." (Surah al-Ma'idah: 52). Dalam konteks zaman yang serba mencabar, Tan Sri Harusani selaku seorang mufti dan lain lain penjawat jawatan mufti di negara ini wajar memertingkatkan kewibaan (al-ahliyyah) mereka sebagai seorang mufti yang benar-benar berotoriti dan berfungsi dengan berkesan dalam pembuatan hukum. Dalam hubungan ini, barangkali ada baiknya untuk para mufti merujuk sebuah karya penting al-Qardawi yang berjudul al-Fatawa al-Shazzah (Fatwa-fatwa Janggal) (Kahirah: Dar as-Shuruq, 2010). Dalam buku ini, antara lain, beliau menyebut bahawa seorang mufti jangan terjebak dalam pembuatan pembuatan fatwa-fatwa yang janggal (shazzl). Yang dimaksudkan dengan fatwa-fatwa janggal ialah fatwa fatwa-fatwa yang terkeluar daripada manhaj yang digunakan pakai secara komprehensif oleh para fuqaha' dalam pembuatan hukum sejak beberapa abad lalu. Dalam hubungan ini, satu lagi perkara yang wajar diambil oleh para mufti menurut al-Qardawi iaitu sikap tidak tergesa-tergesa mengeluarkan fatwa dan bergegas pula memberikan jawapan kepada setiap soalan. Para fuqaha' pada zaman silam jarang sekali menghasilkan fatwa-fatwa yang janggal. al-Qardawi menegur sikap pasif sebahagian mufti kerana "mengalamun diri kononya menguasai ilmu dalam semua perkara, tetapi kurang meraikan kewara'an, suka menjawab soalan soalan yang paling kusut, walhal Sayyidina 'Umar al-Khattab menunjukkan satu sikap terpuji sebagai seorang pemimpin dan sekaligus seorang yang punya otoriti dalam agama Islam yang menghayati amalan syura dengan lain-lain sahabat yang diistilah sebagai ahli Badar bagi menyelesaikan soalan-soalan syara' yang sukar dan sulit, maka beliau akan menghimpun semua kepada Sayyidina ahli Badar." (al-Qardawi, al-Fatawa al-shazzah, Kahirah: 2010, ms. 8). (Yang dimaksudkan dengan Ahli Badar adalah para peneraju awal Islam yang terdiri dari para sahabat yang berjuang mengeakkan Islam dan sekaligus mereka juga adalah ilmuan-ilmuan yang berotriti dalam ha ehwal slam).Demikianlah ketelitiannya seorang sahabat utama Junjungan Muhammad (s.a.w.) dalam memutuskan kedudukan hukum. Fatwa juga boleh menjadi janggal (shazz) apabila sesuatu fatwa dibuat oleh orang yang bukan ahlinya. Al-Qardawi menyatakan bahawa seorang mufti itu pada hakikatnya bertanggungjawab sebagai seorang nabi (yaqumu maqam al-nabiyy) dalam usaha menerangkan kepada orang ramai hukum hakam dan pengajaran Islam. Justeru, seorang mufti tidak dibenarkan untuk mengeluarkan satu fatwa yang berkaitan dengan makhluk ciptaan-Nya, menguraikan halal dan haram, perkara yang disyara'kan atau tidak disyara'kan, kebaikan dan keburukan kecuali setelah memenuhi syarat-syarat kelayakan untuk menjadi seorang mufti. Oleh yang demikian, bagi seorang mufti yang punya credential atau thiqqah, harus mempunyai penguasaan ilmunya dalam disiplin al-Qur'an dan al-Sunnah, penguasaan bahasa 'Arab, ilmu usul al-fiqh dan maqasid shari'ah, qias dan 'ilal (sebab), ijma' dan ilmu khtilaf adalah penting untuk menjamin pengistanbatan hukum yang tidak dapat digugat oleh sesiapa Selain penguasaan ilmu-ilmu Islam warisan (al-turath) dan kontemporari (al-mu'asar), bagi seorang mufti, ia hendaklah mempunyai rasa takut terhadap Allah (swt), iltizam dengan hukum-hukum-Nya serta berakhlak mulia. (al-Qardawi: ms.26). Imam Shafi'yy (r.h) dalam satu pandangan yang dipetik oleh al-Khatib al-Baghdadi dalam Kitab al-Faqih wa al-Mutafaqqih berkata: "Seseorang itu tidak boleh memberi fatwa dalam agama Allah kecuali mereka menguasai Kitab Allah dengan penguasaan ilmu nasikh dan mansukh, muhkam dan mutashabih, ta'wil dan tanzil, makkiy dan madaniyy, penguasaan hadis dalam segala kategori, pengusaan bahasa Arab, sya'ir sya'ir Arab, ilmu ikhtilaf dan tidak kurang pentingnya, mufti mesti memiliki "al-malakah" (bakat semula jadi).(al-Qardawi, ms.128). Selanjutnya, dalam era perkembangan pesat ilmu pengetahuan, maka tidak wajar bagi seorang mufti mengandaikan dirinya tahu segala jenis ilmu. Walhal al-Qur'an membicarakan tentang tabii manusia yang tidak diberi keupayaan oleh Allah SWT mengetahui semua jenis ilmu. Allah SWT berfirman: "..dan tidaklah kamu diberi pengetahuan melainkan sedikit." (Surah al-Isra': 85). Lihat sahaja amalan para sahabat Rasulallah (s.a.w) dalam pembuatan sesuatu hukum. Lazimnya mereka berhenti sejenak untuk memberi jawapan. Antara amalan terpuji mereka ialah kesukaan bertanya pendapat lain-lain sahabat. Al-Qardawi meminta para mufti banyak menelaah pelbagai rujukan sebelum membuat fatwa halal atau haram. Meskipun seorang mufti itu sudah membuat rujukan muktabar, tetapi dalam hal khusus yang menyangkut dengan keperluan berlakuknya keringanan (rukhsah) untuk seseorang ataupun kelompok, maka pandangan-pandangan alternatif boleh dijadikan hujah. (al-Qardawi, al-Fatawa as-Shazzah, ms. 133). Seperti yang disebut pada awal makalah ini, fatwa Tan Sri Harusani bercitra keras (shadid). Hari ini, selain al-Qardawi, semakin ramai ulama dan cendekiawan Muslim seperti Syaikh Taha Jabir al-'ilwaniyy, Dr Wahbah al-Zuhaili, Dr.Muhammad al-Zuhaili, Syaikh Rashid Ghannoushi, Dr.Hassan al-Turabi, Syaikh Ahmad al-Raysuni, Dr Jamal 'Atiyyah dan lain-lain begitu memprihatinkan kepentingan ilmu fiqh dan fatwa yang dikeluarkan dapat dibina diatas prinsip "al-taysir" (membuka ruang yang lebih mudah), bukan bersifat "ta'sir" (menimbulkan lebih banyak kesukaran). Al-Qardawi menggesa para fuqaha pada zaman ini mempraktiskan prinsip "al-taysir fil fatwa wa tabsyir fi al-da'wah" (mengintai ruang-ruang yang mempermudahkan sesuatu dapat berlaku dalam pembuatan fatwa serta menceriakan sebaran Islam). Dalam pembuatan fatwa, al-Qardawi menyarankan para fuqaha' perlu menggunakan prinsip al-istislah dan al-istihsan jika tidak terdapat nas-nas qat'iyy. (al-Qardawi, al-Wasatiyyah al-Islam, Kahirah: 2008, ms. 45). Inilah manhaj Nabawi dan para sahabah. Junjungan Muhammad (s.a.w) bersabda menurut riwayat Sayyidina Anas (r.a): "Kamu hendaklah memudahkan segala sesuatu dan jangan menyulitkan, ceriakan dan jangan menakutkan). Juga, sebuah lagi lagi hadis sahih dari Junjungan Muhammad (s.a.w) yang berbunyi: "Sesungguhnya aku diutuskan dengan agama hanif yang penuh dengan kesucian." Firman Allah SWT: "Allah menghendakki kemudahan bagimu, dan tidak kesukaran bagimu." (Surah al-Baqarah: 185). Persoalan penting yang perlu kita ajukan, mengapa prinsip tersebut diperlukan dalam masyarakat dunia pada hari ini? Dalam hubungan ini, al-Qardawi memberikan beberapa rasional tentang keperluannya. Antaranya, syari'at Islam dibina diatas prinsip keringanan, menolak kesukaran, berciri rahmah dan bertolak ansur (samahah). Sehubungan itu, para mufti dikehendakki memahami tabi'i peredaran zaman dan suasana persekitaran yang sentiasa berubah. Prinsip kemantapan (al-thawabit) dan keanjalan (al-mutaghayyirat) sangat penting difahami secara berimbangan. Hakikatnya manusia moden sedang berhadapan dengan pelbagai pelbagi masalah baru yang lebih rencam dan rumit dari zaman silam. Al-Qardawi memberikan contoh tentang kedudukan bagi seorang murtad yang wajar dikenakan hukuman ringan dengan hanya bertaubat. Demikianlah juga dengan perbuatan minum arak. Hukuman ta'zir sudah memadai. (al-Qardawi, Khitabuna fi al-'Asr al-'Aulamah, ms. 137) Institusi mufti di negara ini berperanan penting untuk membentuk fikrah Islam dalam kalangan rakyat dengan menggunakan pendekatan prinsip wasatiyyah. Para mufti hendaklah mempamerkan hokum-hukum Islam yang realistik dengan mengaplikasikan fiqh al-waqi' (fiqh realiti) semaksimum yang mungkin. Sebagai contoh, peranan Majlis Islam Eropah menampakkan satu kemajuan besar di bidang fatwa. Para fuqaha' di benua Eropah telah berjaya megeluarkan fatwa-fatwa penting yang bersifat "solving problem" dengan menggunakan pendekatan maqasid syari'ah (objektif syari'ah) dan 'illah (sebab) dalam sesuatu hukum. Jadi, pembuatan fatwa berjalan secara tabii, bukan menunggu berlakunya sesuatu masalah. Adalah jelas bahawa faktur utama yang menyebabkan kejayaan pembuatan fatwa di Eropah itu ialah kerana para fuqaha' disana dapat menggabungkan ilmu warisan Islam (at-turath) dengan ilmu keislaman semasa (al-mu'asar). Selain itu, mereka juga proaktif dengan wacana-wacana ilmu. Jadi, fatwa tidak menjadi jumud dan boleh dipersoalkan sehingga dijadikan mainan orang sebagai "fatwa songsang". Di Malaysia, kekerapan wacana ilmiah bagi mendapatkan pendapat pendapat baru (fikrat 'ul mustajiddat) sangat kurang walhal para mufti amat perlu menghambat maklumat-maklumat terbaru. Kita melihat para mufti acap kali memberi respon secara sepontan dalam sesuatu permasalahan agama terutama yang berkaitan dengan persoalan aqidah dah dan hukum. Selain pendekatan legalistik, para mufti sewajarnya serius mengambil pedekatan mendidik daripada menghukum. Pendekatan legalistik tanpa diikut serta dengan proses pembinaan ilmu di dalam masyarakat, akan hanya menimbulkan lebih banyak kekeliruan dan akhirnya perpecahan masyarakat semakin berlaku dengan meluas. Inilah kesan buruk yang sedang kita rasai sekarang. Kecenderungan mengambil pendekatan keras (al-tanatu') akan hanya mengundang kebinasaan. Inilah pesan Junjungan Muhammad (saas) keatas umatnya. Sabda Baginda: "Binasalah orang orang yang bersangatan dalam membuat sesuatu perkara." (Hadis sahih). Maknanya ketaksuban kepada satu pemikiran tanpa menggunakan hujah-hujjah yang kuat, membwa padah yang buruk. Beberapa pendekatan fiqh seperti yang disarankan oleh al-Qardawi wajar digunapakai dalam pembuatan hukum pada masa kini dan mendatang. Sesungguhnya kegunaan pelbagai pendekatan fiqh iaitu fiqh al-awlawiyyat (fiqh menurut senarai keutamaan), fiqh al-muwazanah (fiqh perimbangan), fiqh al-maqasid al-syari'ah (fiqh maqasid), fiqh al-taghyiir (fiqh perubahan), fiqh al-waqi' (fiqh realiti) dan fiqhat-ta'addudiyyah (Fiqh Kepelbagian) dapat memperkuat hujahan fatwa baru dalam isu-isu yang kompleks, antaranya, dalam subjek ketatanegaraan. Rumusannya, fatwa Tan Sri Harusani tidak dapat dikategorikan sebagai multzam (boleh dipakai).Yang jelas, fatwa tersebut lebih bersifat peribadi. Sewajarnya, ia perlu dirujuk kepada Majlis Fatwa kebangsaan kerana isu yang dibahaskan adalah merupakan persoalan-persolan penting iaitu pemberontak dan penghalalan darah mereka. Justeru, ia perlu dirungkai secara rasional dengan merai'kan segala prinsip dan menggunakan manhaj syara' yang komprehensif. Proses pembuatan hukum akan hanya berkesan jika ia dilakukan secara jama'i (berjamaah) bukan lagi fardi (individu). Walluh'alam wa Rabbuna 'l Musta'an. * Dr Muhammad Nur Manuty ialah bekas Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR dan kini menyandang jawatan sebagai Ketua Penerangan PKR | |||
BN tabur kebencian dan ketakutan untuk elak bincang isu rakyat Posted: 11 Jan 2014 04:12 PM PST Oleh: Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss PERKARA yang berkaitan Institusi Agama, Bangsa dan seperti termaktub di dalam Perlembagaan Negara iaitu Institusi DiRaja sering menjadi perbincangan rakyat atau forum dalam masyarakat dan menjadi topik penting di dalam media cetak mahupun media sosial. Ketiga-tiga institusi ini amat penting dan ia adalah pegangan penting setiap rakyat walaupun mereka tidak memegang semua institusi tersebut dalam amalan harian mereka. Saya terpanggil melahirkan ketakjuban terutamanya kerana Malaysia menjadikan ketiga-tiga elemen ini termaktub di dalam Perlembagaan untuk memerintah dan kepada mana-mana parti yang akan menang mesti memegang ketiga-tiga institusi ini. Ini termasuklah kini di negeri Kelantan, Pulau Pinang, Selangor dan sebelum ini di Kedah, Perak serta Terengganu tidak pernah menolak ketiga-tiga institusi ini ketika memerintah negeri tersebut. Kini ada orang bercakap tentang persepsi kerana ia cukup terkesan jika bijak dan pandai bermain 'catur' kepada ketiga-tiga institusi tersebut walaupun tidak memegang secara telus dan ikhlas walaupun telah memerintah berkali-kali. Ujian penting sekarang, walaupun 'dilihat' cakna kepada ketiga-tiga institusi tersebut tetapi sebenarnya ia lebih kepada menjaga 'kuasa' sahaja tanpa memahami realiti sebenar akan kepentingannya. Kalau bercakap tentang agama, banyak pihak akan menunjukkan bahawa mereka sayangkan agama sedangkan mereka jugalah yang 'memainkan' agama dalam satu ketika itu. Dan kini jika bercakap tentang bangsa, terpaksa membentuk satu kelompok atau kumpulan yang menggunakan atas nama bangsa bagi 'mempertahankan' bangsa mereka walaupun mereka juga menindas bangsa mereka sendiri dalam masa yang sama. Dan terpenting juga bila bercakap tentang Institusi DiRaja, merekalah 'juara' mempertahankan institusi ini dan sangguh menjadi 'johan' di dalam media seolah-olah ada pihak yang akan menghapuskan institusi penting ini. Malangnya, ia hanya seketika sahaja kerana ingin membina persepsi dan mengubah pemikiran masyarakat untuk 'lalai' dan 'leka' dengan 'ubat' pelali dengan melupakan perkara-perkara di keliling mereka ketika itu. Disebabkan itu, saya cukup bimbang pihak yang ingin mengekalkan 'kuasa' mereka sanggup melakukan apa sahaja dan membenarkan beberapa tindakan 'tidak halal' untuk membangkitkan sentimen dan mengalih perasaan masyarakat. 'Halalnya' perbuatan mereka ini akan 'menidurkan' masyarakat dengan benda-benda lain di keliling mereka seperti bebanan harian dan kesusahan ketika itu tanpa ada perubahan dan terus merana. Kepada 'sang' pemerintah, ini adalah 'peluru' pelali yang akan sentiasa dimain-mainkan dan didendang sebagai penghibur seharian supaya mereka tidak akan bersuara dan membantah perilaku yang tidak seiring dengan matlamat memerintah kepada sebuah Kerajaan. Akhirnya rakyat yang 'dipaksa' menanggung rugi dan 'terpaksa' berkorban bagi pemerintah sedangkan pemerintah tidak 'susah' pun dalam masa yang sama ketika itu. Tahniah kepada 'sang' pemerintah yang pandai dan bijak membina persepsi serta berstrategi bagi 'melalaikan' rakyat dengan 'ubat-ubatan' yang menutup mulut dan memekakkan telinga mereka untuk berkata benar dan betul jika pemerintah tidak adil dan menipu. Saya harap rakyat sedar dan tidak terperangkap dengan tipu daya ini yang turut 'merancuni' pemikiran rakyat untuk melahirkan 'kebencian' dan ketakutan! Penulis adalah Penolong Setiausaha Agung PAS Pusat, Pengerusi Lajnah Antarabangsa Dewan Pemuda PAS Malaysia dan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Perak. | |||
Pakar: Kenaikan kos sara hidup, ramai berdepan masalah hutang dan muflis Posted: 11 Jan 2014 04:10 PM PST SELANGORKINI SHAH ALAM : Kesan kenaikan harga barang yang meningkatkan kos sara hidup bakal menyebabkan semakin ramai rakyat berdepan masalah hutang yang kronik. Ketua Jabatan Pengurusan Sumber dan Pengajian Pengguna, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohamad Fazli Sabri berkata, perkara itu berlaku kerana hutang untuk menampung kekurangan atau ketidakcukupan pendapatan kesan daripada kenaikan harga barangan. Kata beliau, peningkatan yang berlaku ini sudah pastinya akan menyebabkan pengguna bandar terutama dalam kalangan berpendapatan sederhana rendah dan rendah (miskin bandar) rasa terbeban. "Pendapatan yang diperoleh terpaksa dibelanjakan bagi memenuhi keperluan perbelanjaan semasa yang semakin meningkat dan menyebabkan keadaan ketidakcukupan pendapatan berlaku. "Ada dalam kalangan mereka yang tidak mampu terpaksa memikirkan bagaimana hutang atau pinjaman sedia ada perlu dijelaskan," kata beliau dipetik Sinar Harian. Beliau berkata kesan daripada itu, ada dalam kalangan pengguna yang akan mengambil jalan mudah dengan membuat pinjaman daripada sumber terlarang seperti syarikat pemberi pinjaman wang yang tidak sah atau berlesen bagi menampung kekurangan atau ketidakcukupan pendapatan. "Malah, ada yang sanggup berhutang dengan ceti haram atau 'Ah long'. Ini akan menyebabkan mereka terdedah kepada ancaman keselamatan diri dan keluarga," katanya. Sebelum ini, Ketua ekonomi RAM Holdings, Dr Yeah Kim Leng berkata jumlah rakyat negara ini yang bakal muflis meningkat akibat pemotongan subsidi gula, minyak serta kenaikan tarif elektrik dan barangan rumah lain yang secara langsung menaikkan kos kehidupan. Dalam laporan akhbar Singapura, Straits Times baru-baru ini, terdapat lebih 60 rakyat yang diisytiharkan muflis setiap hari sehingga September, iaitu naik daripada 53 sehari pada 2012.EZY | |||
Bantah kenaikan harga barangan, 1 juta tandatangan disasar Posted: 11 Jan 2014 04:06 PM PST OLEH: AFIX REDZUAN SHAH ALAM: Jingga 13 melancarkan kempen siri jelajah mengumpul satu juta tandatangan rakyat Malaysia, Bantah Barang Naik (BN) sebagai tanda protes kenaikan berantai yang dilakukan Kerajaan Barisan Nasional (BN) Inisiatif ini dilakukan atas keprihatinan terhadap kesusahan rakyat ditambah dengan kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Hassan Malek yang menyatakan kementerian tidak menerima banyak aduan berhubung kenaikan harga barangan. Timbalan Koordinator Jingga 13, Amizudin Ahmat, berkata siri jelajah ini bermula hari ini di Shah Alam dan esok di Banting serta akan menjelajah ke seluruh negara selama tiga bulan. Siri jelajah ini dijangka tamat pada penghujung Mac 2014 di Sabah. "Kempen ini bertujuan untuk mendapatkan sokongan rakyat yang tidak bersetuju dengan kenaikan kos sara hidup yang semakin menekan. "Tandatangan yang berjaya dikumpulkan nanti akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri KPDNKK sebagai tanda protes rakyat terhadap kenaikan kos sara hidup," katanya. Selain kempen yang dilancarkan di hadapan Kompleks PKNS, rakyat juga boleh mengemukakan bantahan secara online di laman sesawang http://change.org/en-GB/petitions/rakyat-malaysia-bantah-barang-naik. Sempena kempen ini juga, Jingga 13 menjual baju t-shirt khas yang boleh dibeli di lokasi jelajah dengan harga RM20 ataupun secara online pada harga RM30 termasuk pos di laman blog jingga13malaysia.blogspot.com untuk mengisi tabung Jingga 13. Sementara itu Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani yang turut hadir menyatakan, rakyat perlu membantah kenaikan ini dengan tidak mendiamkan diri apabila ditekan Kerajaan BN. Katanya kerajaan tidak seharusnya menyalahkan orang lain dalam isu kenaikan harga barang kerana mereka sendiri telah gagal mengurus tadbir negara. "Program bantah ini adalah tugas wajib rakyat Malaysia yang berdaulat, yang mempunyai sumber lebih RM226 billion, yang diseksakan dengan barangan naik. Yang nak ditarik semua subsidi. "Watak dan peranan kerajaan pada hari ini adalah menyalahkan orang lain untuk mengaut hasil untung. Ini tidak boleh berlaku. Bayangkan cukai dibiarkan bermaharajalela seperti GST misalnya. "Isunya Kerajaan BN gagal mengawal selia dan urus tadbir negara," kata beliau.EZY | |||
25 premis di Kota Kinabalu rosak ditembak Posted: 11 Jan 2014 04:02 PM PST MALAYSIAKINIKira-kira 25 premis sekitar bandar raya ini mengalami kerosakan termasuk cermin pecah apabila sekumpulan enam remaja yang menaiki tiga kenderaan melepaskan tembakan malam tadi. Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Jauteh Dikun berkata kejadian bermula 11.45 malam itu melibatkan 13 premis perniagaan di Karamunsing, sembilan di Luyang dan tiga bank di Inanam. "Kejadian selama sejam itu menyasarkan premis bank, hotel, pusat kecantikan, pusat hiburan, pejabat dan restoran makanan segera," katanya pada sidang akhbar di Kota Kinabalu hari ini. Beliau berkata siasatan awal menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati kejadian itu dilakukan sekumpulan enam remaja menggunakan senapang angin berpelurukan guli. "Kesemua premis terlibat mengalami kerosakan seperti cermin pecah dan kesan lubang pada bahagian pintu dan dinding kaca. Pemeriksaan awal menemukan tiga biji guli yang dipercayai digunakan sebagai peluru senapang angin itu," katanya. Jauteh berkata rakaman CCTV itu juga menunjukkan dua daripada kenderaan yang digunakan sekumpulan remaja terbabit dalam kejadian itu adalah pacuan empat roda. Beliau menyifatkan kejadian yang dilakukan secara serentak itu adalah 'perbuatan sekumpulan remaja nakal' yang bertujuan menimbulkan kerisauan di kalangan masyarakat umum. Tiada kecederaan dilaporkan. Juateh turut menafikan kejadian itu mempunyai kaitan dengan perbicaraan 30 individu yang didakwa melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong serta terbabit dalam pelbagai kegiatan keganasan di Sabah awal tahun lepas, yang sedang berlangsung di Penjara Sabah. Polis masih mengesan identiti kesemua suspek menerusi rakaman beberapa kamera litar tertutup, katanya. Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai terutama penduduk di sekitar bandar raya ini agar tidak panik dengan kejadian itu. Jauteh juga meminta orang ramai yang melihat sebarang kegiatan mencurigakan atau jenayah terutama melibatkan senapang angin supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Karamunsing melalui hotline 088-221191 atau menghubungi beliau di talian 019-8039520.- Bernama | |||
Harussani, siapa itu kerajaan? Posted: 11 Jan 2014 03:45 PM PST RIZUAN ABDUL HAMID ALUMNUSAda kritikan yang bersifat ad rem (to the point) yang menyanggah pendapat Tan Sri Harussani Zakaria terhadap perhimpunan TURUN, yang dikatakan sebagai bughah (pemberontak) dan 'halal darah'. Selaksa kritikan dihamburkan terhadap mufti Perak itu. Tetapi ada juga kritikan yang bersifat ad hominem (to the man) yang bertujuan untuk menjatuhkan keperibadian beliau. Saya kesal dan bersimpati terhadap beliau dalam perkara ini dan ia tidak sepatutnya terjadi. Namun begitu Harussani masih tekal mempertahankan pendapatnya. Kapasiti Harussani sebagai seorang mufti juga membuatkan orang awam keliru bahawa hukum bughah itu adalah bertaraf fatwa. Tetapi sefaham saya, ia bukannya fatwa dan sekadar pendapat peribadi beliau. Ini kerana sesuatu fatwa mestilah proses istinbat yang teliti dan bukan sekadar pendapat melulu yang berdasarkan berita di televisyen atau naskah suratkhabar. Namun begitu, saya melihat Harussani juga keliru dengan pendapatnya tentang bughah. Pertamanya ialah tentang tindakan yang sebagaimana yang dikatakan sebagai bughah? Apakah mereka yang berhimpun aman tanpa senjata itu boleh dikatakan sebagai berbahaya? Apakah mereka yang berhimpun itu menentang kesemua undang-undang negara? Perkara ini telah banyak dibincangkan oleh mereka yang telah terlebih dahulu menegur pendapat Harussani. Antara kitab klasik & realiti semasa Apa yang ingin saya bincangkan di sini yakni isu kedua, ialah alasan atau sebab musabab Harussani mengeluarkan pendapat bughah. Ini kerana menurut beliau himpunan tersebut bertujuan menggulingkan kerajaan. Persoalan utama yang saya kira perlu diselesaikan dalam perkara ini ialah bahawa siapa itu kerajaan? Dalam menentukan letak duduk isu ini, para agamawan perlu membandingkan dan menyesuaikan maksud kerajaan yang dinyatakan di dalam kitab-kitab klasik Islam dengan kerajaan yang wujud pada hari ini. Segala apa yang tertulis di dalam kitab-kitab klasik Islam tidak boleh diambil secara bulat-bulat kerana suasana politik telah berubah. Jika pada zaman dahulu sosok khalifah dan para menterinya diiktiraf sebagai kerajaan, namun sesuaikah pentafsiran itu terhadap bentuk kerajaan sekarang? Apakah perdana menteri dan kabinetnya layak dikatakan sebagai kerajaan secara keseluruhannya? Oleh kerana sistem pemerintahan Malaysia berasaskan sistem parlimen ala Westminster, maka perdana menteri cenderung dianggap sebagai ketua kerajaan manakala Yang Di-Pertuan Agong adalah ketua negara. Tetapi sebenarnya dari sudut perundangan, istilah ketua kerajaan terhadap perdana menteri cuma bersifat de facto. Jika tidak silap pada pengetahuan saya, gelaran perdana menteri sebagai ketua kerajaan tidak pernah dicatatkan secara rasmi di dalam Perlembagaan Persekutuan. Ia cuma persetujuan berbentuk konvensyen sahaja. Yang dicatatkan cuma kedudukan perdana menteri sebagai ketua jemaah menteri atau kabinet. Sekadar itu sahaja. Kerajaan Britain, pentadbiran Amerika Kedudukan Agong sebagai ketua negara secara de jure tetap menunjukkan bahawa baginda adalah ketua kerajaan yang sebenar-benarnya. Oleh kerana itu juga kerajaan yang memerintah dinamakan sebagai – Kerajaan Seri Paduka Baginda, yakni kerajaan Agong. Maka taat-setia atau baiah rakyat tetap tertumpah kepada Agong dan bukannya perdana menteri. Cuma dalam urusan kerajaan, Agong bertindak atas nasihat perdana menteri dan pengaruh perdana menteri adalah amat besar. Tetapi Agong tetap mempunyai kuasa-kuasa tertentu yang telah diperuntukkan. Pembahagian komponen di dalam Kerajaan Persekutuan Malaysia boleh dirujuk melalui Perlembagaan Persekutuan pada Bahagian IV. Bawah prinsip pembahagian kuasa, maka Kerajaan Malaysia boleh ditafsirkan sebagai terdiri daripada komponen berikut; 1. Ketua utama negara (Agong). 2. Majlis Raja-raja. 3. Badan Eksekutif (perdana menteri dan kabinetnya). 4. Badan Perundangan Persekutuan (Ahli-ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara). 5. Tatacara Perundangan (Kehakiman atau Perundangan). Oleh kerana sistem politik Malaysia bersifat British-centric rakyat sering mentafsirkan badan eksekutif sebagai kerajaan walhal badan eksekutif adalah cuma sebahagian daripada komponen kerajaan. Badan eksekutif di England dan Britain dipanggil sebagai government disebabkan istilah governance. Ini kerana badan eksekutiflah yang mengurus tadbir negara. Di Amerika Syarikat pula, perbezaannya lebih jelas. Badan dksekutif dinamakan sebagai administration (pentadbiran) manakala istilah kerajaan pula dirujuk terhadap kesemua badan yang berperanan dalam pemerintahan negara, termasuklah badan eksekutif dan badan perundangan atau kehakiman. Tak tentang Agong Maka saya tetap percaya bahawa peserta 'himpunan TURUN' pada tempoh hari bukan bertujuan untuk menggulingkan Kerajaan Malaysia atau mana-mana pihak. Tetapi sekalipun mereka ingin menggulingkan kerajaan, maka siapa yang mereka maksudkan? Maka persoalan saya terhadap Harussani: Apakah menjatuhkan badan eksekutif yakni perdana menteri dan menteri kabinetnya adalah sama seperti maksud bughah seperti yang tercatat di dalam kitab-kitab klasik Islam? Mereka tidak menentang Agong, Majlis Raja-raja, badan perundangan persekutuan dan badan kehakiman. Mereka tidak menentang kerajaan secara keseluruhannya dalam erti kata yang sebenar. Jika menentang badan eksekutif disamakan dengan menentang kerajaan dan natijahnya perlakuan itu ditafsirkan sebagai khianat, maka bagaimana pula jika seorang sultan yang memecat menteri besarnya yakni ketua badan eksekutif negeri? Sultan itu kerajaan atau menteri besar dan barisan exconya yang kerajaan? Dalam hal yang berkaitan, apakah Agong itu kerajaan atau perdana menteri dan kabinetnya yang kerajaan? Saya merasakan bahawa Harussani keliru dalam mengeluarkan pendapatnya. Pendapat tersebut gagal mengimbangi keilmuan kitab-kitab klasik Islam dan bentuk kerajaan moden pada hari ini. Sesungguhnya kitab-kitab klasik Islam karangan para ulama terdahulu tidak melakukan kesilapan. Kesilapan itu berlaku pada pentafsiran sesetengah daripada kita yang gagal untuk menyesuaikannya terhadap semangat zaman. Jangan mengkhianati keilmuan para ulama terdahulu. RIZUAN ABDUL HAMID ALUMNUS Akademi Pak Sako 'Tulis.Ubah.Dunia.' | |||
Protes kebebasan akhbar aman, mengapa nak disiasat? Posted: 11 Jan 2014 03:42 PM PST MALAYSIAKINIGerakan Media Marah (Geramm) menggesa polis agar tidak menggunakan alasan teknikal remeh dan longgar untuk menyiasat himpunan Protes Pensel Merah pada 4 Januari lalu. Dalam kenyataan hari ini, Geramm menegaskan alasan ketiadaan notis sepuluh hari sebelum himpunan itu berlangsung hanyalah bersifat "prosedural" (tatatcara) kerana ia berlangsung secara aman. "Alasan polis ini, kami ulang, hanyalah hujah teknikal yang remeh dan longgar selepas perhimpunan itu berlangsung secara aman, tertib dan lancar. "Malah, anggota-anggota polis juga ditempatkan di lokasi perhimpunan bagi memantau keadaan dan dapat mengesahkan keadaan aman ini," kata Geramm yang ditubuhkan susulan penggantungan mingguan The Heat oleh Kementerian Dalam Negeri Disember lalu. Perikatan longgar wartawan, aktivis media dan pekerja media itu juga menegaskan yang himpunan itu tidak bertujuan mengundang kemarahan mana-mana pihak. "Ucapan, slogan dan tindakan kami pada perhimpunan Protes Pensel Merah juga tiada unsur provokasi kepada sesiapa. "Oleh itu, Geramm beranggapan siasatan polis nanti (jika ada) tidak relevan dan kami langsung tidak ada niat di sepanjang kempen ini menimbulkan konflik dengan kerajaan, syarikat media dan orang ramai," katanya. Pada masa sama, Geramm memaklumkan pihaknya akan terus menganjurkan program dalam bentuk siri dialog dan forum sehingga sambutan Hari Kebebasan Akhbar Sedunia pada 3 Mei depan. "Kumpulan-kumpulan yang berminat untuk berdialog dan memahami isu-isu kebebasan media dialu-alukan menghubungi kami," kata Geramm. Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar semalam menegaskan pihaknya akan menyiasat semua demonstrasi yang didakwa tidak mengikut Akta Perhimpunan Aman, termasuklah perhimpunan 'Protes Pensel Merah' yang dianjurkan Geramm pada 4 Januari lalu. |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan