Anak Sungai Derhaka |
- Bukan Latihan... Tapi betul-betul Polis mabuk rupanya...
- Bukan Polis mabuk betul-betul.. tapi latihan..
- Perkahwinan Mewah anaknya ini untuk jimatkan kos kata Menteri..
- Selepas Mahathir, Khairy pula bidas keborosan Najib...
Bukan Latihan... Tapi betul-betul Polis mabuk rupanya... Posted: 12 Jan 2014 08:30 AM PST Individu yang disangkakan sebagai seorang anggota Polis yang mempertahankan gambar dua anggota Polis yang dirakam tertidur kerana mabuk dengan mengatakan itu hanya latihan, rupa-rupanya hanya menipu.. Ini kerana empat keping gambar yang tersebar itu menunjukkan dua orang dalam pakaian seragam polis sedang nyenyak, dengan seorang daripadanya memegang tin minuman keras telah disahkan benar oleh Ketua Polis Selangor. Dalam kereta polis itu juga kelihatan senjata api yang diletakkan di tempat duduk bahagian belakang kenderaan tersebut... lihat gambarnya di ( SINI ) Nordin Mansor yang memberi komen di laman Facebook Suara Rakyat yang dipercayai seorang anggota polis menjelaskan bahawa situasi berkenaan adalah latihan bagi menggambarkan kesalahan dalam waktu kerja. Dakwaan beliau itu menimbulkan persoalan ramai jika ianya latihan mengapa perlu diadakan ditepi jalan dan pada waktu malam pula? Dan ada pula yang mengaharapkan jika perkara itu benar adalah satu latihan diharap pihak Polis tidak akan mengadakan latihan kesalahan rogol pula.. Bagaimanapun penipuan Nordin Mansor itu terbongkar bilamana Ketua Polis Selangor Dato Mohd Shukri Bin Dahlan dalam satu kenyataannya melalui laman Facebook Polis Selangor kedua-dua identiti anggota tersebut telah dikenal pasti . Menurut beliau kedua-dua anggota terbabit telah ditukarkan serta merta tempat penugasan dan siasatan lanjut berkaitan insiden itu sedang dijalankan. "Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius terhadap kesalahan yang dilakukan oleh mana-mana anggota yang didapati mengabaikan tanggungjawab menjaga keselamatan masyarakat." tegasnya. Tambah beliau lagi "PDRM juga tidak akan melindungi dan berkompromi dengan pegawai dan anggota yang telah melakukan kesalahan yang boleh menjejaskan imej pasukan." Rentetan dari itu orang ramai diminta menyalurkan maklumat kepada PDRM sekiranya mendapati mana-mana pegawai dan anggota polis yang melakukan kesalahan dan tidak berintegriti.
| ||
Bukan Polis mabuk betul-betul.. tapi latihan.. Posted: 12 Jan 2014 05:56 AM PST Gempar apabila di laman-laman media sosial tersebar gambar dua anggota polis peronda yang dipercayai mabuk dirakam tertidur dalam kereta peronda yang diberhentikan di bahu jalan. Empat keping gambar yang disebarkan itu menunjukkan dua orang dalam pakaian seragam polis sedang nyenyak, dengan seorang daripadanya memegang tin minuman keras. Dalam kereta polis itu juga kelihatan senjata api yang diletakkan di tempat duduk bahagian belakang kenderaan tersebut. Selain itu, Sinar Harian Online juga mendapati sumber turut memuatkan gambar nombor pendaftaran kenderaan polis tersebut. Namun setelah diselidiki, ternyata gambar-gambar tersebut adalah aksi lakonan semula anggota polis. Seorang pengguna Facebook, Nordin Mansor yang memberi komen di laman Facebook Suara Rakyat turut menafikan anggota polis dalam gambar tersebut benar-benar mabuk. Nordin yang juga dipercayai seorang anggota polis menjelaskan bahawa situasi berkenaan adalah latihan bagi menggambarkan kesalahan dalam waktu kerja. Sinar Harian Online akan mendapatkan komen Ketua Polis Negara mengenai penyebaran gambar berkenaan ~ Sinar Harian .. Ada pihak mendakwa gambar ini mula disebarkan melalui WhatApps.. siapalah yang bengong sangat pi upload gambar macam ni dalam WhatApp? Nasib baik ada yang sudi menjelaskan kisah sebenar disebalik gambar-gambar yang tersebar tu.. kalau tidak semakin tercalarlah imej Polis... Baca apa kata Ketua Polis Sengaor tentang laporan ini di SINI | ||
Perkahwinan Mewah anaknya ini untuk jimatkan kos kata Menteri.. Posted: 11 Jan 2014 08:22 PM PST Ia digelar "perkahwinan paling hebat tahun ini" kerana kemewahannya, tetapi Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempertahankan dan berkata majlis perkahwinan serta resepsi makan malam mewah anak perempuannya diadakan di Kuala Lumpur sebagai perbelanjaan berhemah ketika Putrajaya mengambil langkah penjimatan. Anak perempuan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu, Nina Sabrina berkahwin dengan selebriti yang juga pereka fesyen Indonesia, Jovian Mandagie menerusi majlis perkahwinan mewah termasuk majlis akad nikah di bangunan bekas Istana Negara serta kenduri dua hari di sebuah hotel lima bintang di Kuala Lumpur, yang dihadiri oleh golongan raja, selebriti, ahli politik dan pembesar negara. "Untuk mengurangkan kos, saya meminta menantu saya untuk mengadakannya di KL. Jika ia dibuat di Jakarta, keluarga dan saudara-mara saya perlu terbang ke sana dan akibatnya, saya perlu menanggung kos yang lebih untuk tiket penerbangan dan penginapan. "Jadi itulah sebabnya majlis diadakan selama dua hari - satu untuk keluarga saya, dan satu lagi untuk besan saya. Tetapi tanpa mengetahui faktanya, saya diserang," kata Ismail kepada The Malaysian Insider, sambil menambah bahawa majlis resepsi di kampungnya di Temerloh, Pahang dilakukan secara gotong- royong iaitu semua orang menyumbang tenaga untuk membantu. Bagaimanapun, menteri itu enggan mendedahkan kos perkahwinan itu. "Tiada siapa di Malaysia mengisytiharkan perbelanjaan perkahwinan anak mereka, adakah saya perlu?" katanya. Majlis perkahwinan anaknya turut menampilkan barisan penyanyi terkenal Malaysia termasuk Datuk Jamal Abdilah dan diva Indonesia, Ruth Sahanaya bagi menghiburkan tetamu dengan lagu mereka. Dipersoalkan kerana menggunakan bekas istana negara untuk majlis akad nikah, di mana sewa adalah RM25,000 untuk lapan jam, Ismail Sabri berkata, menantunya menerima "pakej yang baik" sebagai balasan untuk publisiti. "Ia adalah majlis perkahwinan pertama diadakan di sana. Beliau adalah seorang pereka terkenal dan perkahwinan ini menjana banyak liputan, termasuk program Mahligai Cinta di TV3. Jadi ini adalah iklan yang baik untuk Istana Negara bagi pakej perkahwinan yang mereka akan tawarkan," katanya. Awal minggu ini, rakan sekerja Ismail, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dikritik kerana menganjurkan parti "hari jadi" mewah di sebuah hotel lima bintang di Kuala Lumpur yang tetamunya mendakwa ia menjadi majlis sambutan Tahun Baru. Beberapa penulis blog pro- Umno juga mempersoalkan atas keperluan apa Jabatan Perdana Menteri mempunyai dua jet VIP selepas ia mendedahkan bahawa Putrajaya menghabiskan RM180 juta untuk mengekal dan mengendalikan jet kerajaan untuk perjalanan rasmi pada 2012. Perkahwinan, ditambah pula dengan parti mewah Ahmad Zahid dan juga pembelian kereta Mercedes mewah oleh kerajaan negeri Pulau Pinang untuk Ketua Menteri, Lim Guan Eng datang ketika kebanyakan rakyat Malaysia merungut tentang kenaikan harga tarif elektrik, makanan, bahan api dan kos persekolahan. Harga bahan api, gula, ais dan tarif elektrik naik selepas Putrajaya mengurangkan subsidi manakala tambang pengangkutan awam akan meningkat tahun ini. Cukai barangan dan perkhidmatan (GST) juga akan diperkenalkan pada 2015. Perbelanjaan kerajaan melonjak dengan bajet tahun ini sehingga RM264.2 bilion berbanding RM251.6 bilion tahun lepas di tengah-tengah kebimbangan bahawa Putrajaya tidak mengurangkan perbelanjaannya walaupun meminta orang ramai untuk berbuat demikian. Rakyat juga mencemuh pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 30 Disember bahawa Putrajaya akan melaksanakan 11 langkah penjimatan untuk mengurangkan perbelanjaan pada 2014. Pakar ekonomi Najib, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar menasihatkan pengguna agar berbelanja dengan bijak dan mencari alternatif bagi menampung kos sara hidup. Bekas pegawai bank itu berkata, rakyat Malaysia perlu berjimat cermat dan hidup mengikut kemampuan mereka. "Saya pergi ke pasar setiap minggu. Saya tahu bahawa harga keperluan asas adalah tinggi, tetapi pengguna mempunyai pilihan dalam membelanjakan wang mereka," katanya. Lagi gambar sila lihat di SINI | ||
Selepas Mahathir, Khairy pula bidas keborosan Najib... Posted: 11 Jan 2014 07:23 PM PST Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyokong bekas perdana menteri paling lama Tun Dr Mahathir Mohamad supaya Putrajaya terlebih dahulu perlu berjimat selepas memotong subsidi, susulan kenaikan harga barang dan tarif elekrik. Ketua Pemuda Umno itu berkata, teguran yang dilontarkan oleh Dr Mahathir perlu diambil kira memandangkan beliau mempunyai pengalaman luas sebagai bekas perdana menteri. "Isu dia tegur kenaikan harga, desak kerajaan kena berjimat. "Saya faham hinggakan kerajaan terpaksa naikkan tarif (elektrik). Kita kena tunjukkan terlebih dahulu penjimatan dalam kerajaan," katanya yang dipetik daripada akhbar Berita Harian, hari ini. Dr Mahathir tidak bersetuju dengan keputusan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak menaikkan harga barang keperluan dalam meningkatkan pendapatan negara. Beliau berkata, kerajaan sewajarnya mengurangkan kos dan menggunakan konsep 'cost down' bagi mengurangkan pembaziran. "Kita faham kerajaan memerlukan lebih wang tetapi itu tidak bermakna peningkatan seperti yang diumumkan. "Adalah lebih baik mengurangkan kos, mengekal atau mengurangkan harga. Perkara sama boleh dilakukan kerajaan," katanya dalam tulisan di blognya Che Det baru-baru ini. Dr Mahathir berkata, kerajaan juga harus mengambil langkah penjimatan dengan merujuk semula ketirisan yang berlaku menerusi Laporan Ketua Audit Negara. Malah, Dr Mahathir secara sinis menyindir Najib dalam isu pesawat peribadi. Tahun lalu, Jabatan Perdana Menteri memberitahu Parlimen bahawa Putrajaya kini memiliki sekurang-kurangnya tujuh kapal terbang, termasuk jet kelas perniagaan Boeing. Kapal terbang itu digunakan oleh VVIP termasuk Yang di-Pertuan Agong dan perdana menteri. Ia termasuk Falcon, Global Express, jet kelas perniagaan Boeing, Blackhawk, 2 Augusta dan Fokker F28. Tahun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim memberitahu Parlimen, Putrajaya membelanjakan RM14.95 juta untuk petrol dan RM160.08 juta untuk pengendalian semua jet itu. "Kerajaan sekarang lebih kaya berbanding masa saya dahulu. Mungkin sebab itu mereka membuat penambahbaikan," kata Dr Mahathir. Khairy menyifatkan pandangan Dr Mahathir adalah selari dengannya dalam isu penjimatan. "Kita kena dengar pengalaman beliau, jangan terlepas pandang. "Beliau cakap pasal penjimatan ekonomi, pandangan itu sama," kata Khairy. Khairy juga menyatakan kesediaan supaya gaji menteri dalam Kabinet dipotong. Harga bahan api, gula dan tarif elektrik naik selepas Putrajaya memotong subsidi manakala tambang pengangkutan awam akan meningkat pada tahun ini. Cukai barangan dan perkhidmatan (GST) juga akan diperkenalkan pada 2015. Perbelanjaan kerajaan melonjak dengan bajet tahun ini sehingga RM264.2 bilion berbanding tahun lalu RM251.6 bilion di tengah-tengah kebimbangan bahawa Putrajaya tidak mengurangkan perbelanjaan walaupun meminta orang ramai untuk berbuat demikian. Rakyat juga mencemuh pengumuman Najib baru-baru ini untuk melaksanakan 11 langkah penjimatan untuk mengurangkan perbelanjaan pada 2014. Pakar ekonomi Najib, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar menasihatkan pengguna untuk berbelanja dengan bijak dan mencari alternatif. Bekas pegawai bank itu berkata, rakyat Malaysia perlu berjimat cermat dan hidup mengikut kemampuan mereka. "Saya pergi ke pasar setiap minggu. Saya tahu harga barangan keperluan asas tinggi, tetapi pengguna mempunyai pilihan dalam membelanjakan wang mereka," katanya dalam satu laporan berita. ~ The Malaysian Insider |
You are subscribed to email updates from Anak Sungai Derhaka To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan