Addin |
- Panas!! Peserta Maharaja Lawak Mega Belasah Umno BN Dalam Persembahannya
- Ketika Umno Berjoli, PAS Potong 20% Elaun Adunnya
- Punca Pesawat Cessna Terhempas Di Empangan Batu Tersebar
- Bongkar!! Lagi Menteri Berbelanja Mewah Tak Ingat Dunia..
Panas!! Peserta Maharaja Lawak Mega Belasah Umno BN Dalam Persembahannya Posted: 12 Jan 2014 08:15 AM PST Malam tadi, seperti malam Jumaat sebelumnya, tercegatlah kami sekeluarga di depan televisyen menonton Maharaja Lawak Mega. Hiburan ringan ini sedikit sebanyak melegakan perasaan stress di tempat kerja. Gelak tawa yang terhasil daripada persembahan peserta Maharaja Lawak Mega mampu melampias keletihan sepanjang minggu.Faktanya, kadar hormon stress seperti kortisol dan adrenalin akan cenderung untuk menurun ketika kita ketawa, jadi peluang untuk ketawa ini jangan dilepaskan. Kerana itu juga kita melihat di celah mana-mana sudut dalam laman sosial, "trolling" sering menjadi trending yang besar. Setiap gambar berangkai yang mengajuk kata-kata menteri dan ahli politik atau fatwa songsang mufti sebagai contohnya, pasti membuatkan anda tersenyum. Malah saya percaya setiap kali kita membuka laman sosial Facebook, kita akan ternanti trolling baru merentasi ruangan suapan berita. Benarlah tawa itu penawar duka. Selain peserta Maharaja Lawak Mega, para menteri, para pegawai kanan polis, para mufti dan juga termasuk Perdana Menteri dan timbalannya sering mengeluarkan kenyataan yang mempunyai nilai komidi, lebih-lebih lagi Zahid Hamidi. Di sebalik ajukan yang menggelikan hati, hadir pula komen-komen berani daripada anak muda menokok-nambah rencah bahan tawa. Memperlekeh kenyataan menteri menjadi sesuatu yang sangat cool hari ini, menjadi ikutan dan hiburan di laman sosial. Berbalik kepada hiburan Maharaja Lawak Mega tadi malam, sesuatu yang agak mengejutkan berlaku. Ingin saya mengaku di sini bahawa sejak sekian lama pelawak bernama Nabil selalu menjadi pilihan dan sokongan pihak saya. Bukan kerana beliau sering mempromosi bahaso nogori yang menjadi bahasa hometown saya tetapi kerana kehebatan beliau beraksi seorang diri. Tidak mudah menjayakan standing comedy, tetapi Nabil cukup berjaya dengan usaha yang gigih menjadi penghibur tanahair. Namun bukanlah Nabil yang mengejutkan saya. Kejutan telah dibuat oleh sebuah kumpulan bernama SYJ, mungkin sahaja singkatan daripada nama ahli kumpulan tersebut iaitu Syuk, Yassin dan Jihan. SYJ mengejutkan banyak pihak termasuk mendapat sorakan spontan para penonton, komen juri yang memuji tindakan mereka dan seterusnya mengundang pelbagai komen di laman sosial. Semuanya positif, semuanya menyokong SYJ. Ironinya, daripada persembahan kumpulan SYJ itu, mereka bukan sahaja terselamat daripada tersingkir malah kedudukan dalam carta menunjukkan peningkatan yang mendadak, mereka tidak berada di kedudukan tiga tercorot dalam pertandingan Maharaja Lawak Mega minggu ke sembilan. Kepada sesiapa yang mengikuti siaran Maharaja Lawak Mega, pasti sedar kejutan tersebut dan mungkin bersetuju dengan tindakan mereka. Kumpulan SYJ merupakan satu-satunya kontenden yang sanggup membahayakan kedudukan mereka dalam dunia hiburan apabila menyelitkan jenaka troll kenaikkan harga petrol, dan terus menyindir kerajaan apabila mengumumkan satu-satunya penurunan yang berlaku adalah penurunan dividen ASB (berbanding pelbagai kenaikan yang membebankan rakyat). Difahamkan juga ini bukan kali pertama SYJ menerapkan isu semasa dalam jenaka mereka. Apa yang ditonjolkan oleh kumpulan SYJ malam tadi adalah satu bentuk sokongan kepada rakyat dan gerakan pendesak penurunan kos sara hidup. Harus menjadi kesedaran semua betapa isu kos sara hidup yang melambung adalah isu sebenar, bukan isu pertelingkahan agama. Tindakan SYJ membakar isu ini adalah terpuji dan wajar mendapat sokongan ramai. Tahniah kumpulan SYJ. Walaupun saya peminat Nabil, namun undi saya selepas ini adalah untuk SYJ dan saya yakin ramai di antara kita yang akan ambil keputusan sama. Undi saya adalah untuk mereka yang bersama rakyat, undi saya ialah untuk mereka yang sanggup membawa isu rakyat walaupun sedar tindakan tersebut mengundang "gam" pihak berkepentingan. Penguasa ini tidak perlukan alasan untuk menutup periuk nasi orang seni yang tidak memihak kepada mereka, ini pernah berlaku dan terus berlaku. Kumpulan SYJ menjalankan peranan mereka dengan risikonya tersendiri, maka kita di sini juga harus berperanan menjadi pendesak utama. Jika kita terlepas aksi 50 ribu #RPDM31D, berjanjilah bahawa kita tidak akan melepaskan lagi peluang pada masa akan datang, dengan berani menuntut kos sara hidup diturunkan, atau pemerintah zalim itu dihumban! Semoga kumpulan SYJ menyelitkan lagi isu-isu rakyat dalam jenaka mereka agar ia mampu menyedarkan lebih ramai di luar sana. Saya berdoa agar kumpulan SYJ akan melangkah ke final Maharaja Lawak Mega dan tidak mustahil menjadi juara. Juara rakyat (peoples champ). Penulis adalah aktivis blogger, Pengarah Propaganda Solidariti Anak Muda Malaysia (Samm). |
Ketika Umno Berjoli, PAS Potong 20% Elaun Adunnya Posted: 11 Jan 2014 07:58 PM PST Ketika pimpinan Umno di peringkat pusat terus dengan acara mewah mereka, kerajaan Kelantan akan terus mengekalkan dasar pemotongan elaun 20% Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari PAS untuk dikumpulkan sebagai dana khas bagi membantu rakyat di peringkat akar umbi. Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakub, berkata langkah itu diambil bagi membantu golongan berpendapatan rendah yang berhadapan dengan krisis kenaikan harga barang. Beliau berkata, dana yang dikumpulkan itu akan disalurkan mengikut keperluan dalam program khidmat masyarakat dan tidak akan digunakan untuk menjalankan program parti. "Kita tidak akan mengambil walaupun satu sen wang yang dipotong daripada elaun wakil rakyat untuk kegiatan parti kerana sudah diamanah dibelanjakan bagi kepentingan rakyat. Bagi urusan kepartian wakil rakyat sendiri perlu mencari sumber kewangan yang lain. "Dasar pemotongan elaun yang dilaksanakan di bawah pimpinan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan terus kita kekalkan," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan pelancaran Pusat Kaunseling Baitul Rahmat di Kelantan, lapor Utusan Malaysia semalam. Baitul Rahmat menawarkan pelbagai perkhidmatan antaranya kaunseling individu, kelompok dan rumah tangga dan memberi perkhidmatan rawatan tradisional secara Islam. Ahmad berkata, pengurusan kerajaan negeri memusatkan perhatian yang serius terhadap langkah berkesan membendung pembaziran wang dan fenomena kenaikan harga barangan keperluan. "Kenaikan harga barangan dan kes jenayah adalah cabaran utama kepemimpinan kerajaan negeri yang perlu ditangani secara bersama demi kesejahteraan sejagat. "Saya akui kesukaran dan kepayahan terpaksa ditempuh dengan tabah kerana kerajaan negeri tidak memiliki sumber kewangan yang banyak. "Langkah saya menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tempoh hari adalah bertujuan membela hak rakyat daripada aspek kebajikan," katanya. Katanya, jika ada masalah yang berkaitan dan perlu penyelesaian, kerajaan negeri dan kerajaan pusat akan mencapai kata putus untuk diselesaikan secara bersama melalui pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan Ketua Setiausaha Negara. ~tmi |
Punca Pesawat Cessna Terhempas Di Empangan Batu Tersebar Posted: 11 Jan 2014 07:35 PM PST "Saya sebenarnya nak elak burung tak boleh nak langgar takut terkena kipas sehingga menyebabkan saya gagal mengawal kapal terbang." Saiful berkata, ketika itu, dia bersama rakannya yang juga juruterbang iaitu Syed Haidhar Syed Zulkifli, 24, bertindak sebagai pembantu juruterbang duduk di kerusi hadapan manakala di kerusi penumpang belakang, Shaiful Zafeq Razali, 24, dalam perjalanan balik menuju ke Pangkalan Udara Sungai Besi. Katanya, kejadian itu berlaku terlalu pantas dan ketika itu sukar untuk dia mengenal pasti burung yang cuba dielaknya itu. ~hmetro |
Bongkar!! Lagi Menteri Berbelanja Mewah Tak Ingat Dunia.. Posted: 11 Jan 2014 03:36 PM PST Ia digelar "perkahwinan paling hebat tahun ini" kerana kemewahannya, tetapi Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempertahankan dan berkata majlis perkahwinan serta resepsi makan malam mewah anak perempuannya diadakan di Kuala Lumpur sebagai perbelanjaan berhemah ketika Putrajaya mengambil langkah penjimatan. Anak perempuan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu, Nina Sabrina berkahwin dengan selebriti yang juga pereka fesyen Indonesia, Jovian Mandagie menerusi majlis perkahwinan mewah termasuk majlis akad nikah di bangunan bekas Istana Negara serta kenduri dua hari di sebuah hotel lima bintang di Kuala Lumpur, yang dihadiri oleh golongan raja, selebriti, ahli politik dan pembesar negara. "Untuk mengurangkan kos, saya meminta menantu saya untuk mengadakannya di KL. Jika ia dibuat di Jakarta, keluarga dan saudara-mara saya perlu terbang ke sana dan akibatnya, saya perlu menanggung kos yang lebih untuk tiket penerbangan dan penginapan."Jadi itulah sebabnya majlis diadakan selama dua hari - satu untuk keluarga saya, dan satu lagi untuk besan saya. Tetapi tanpa mengetahui faktanya, saya diserang," kata Ismail kepada The Malaysian Insider, sambil menambah bahawa majlis resepsi di kampungnya di Temerloh, Pahang dilakukan secara gotong- royong iaitu semua orang menyumbang tenaga untuk membantu. Bagaimanapun, menteri itu enggan mendedahkan kos perkahwinan itu."Tiada siapa di Malaysia mengisytiharkan perbelanjaan perkahwinan anak mereka, adakah saya perlu?" katanya. Majlis perkahwinan anaknya turut menampilkan barisan penyanyi terkenal Malaysia termasuk Datuk Jamal Abdilah dan diva Indonesia, Ruth Sahanaya bagi menghiburkan tetamu dengan lagu mereka.Dipersoalkan kerana menggunakan bekas istana negara untuk majlis akad nikah, di mana sewa adalah RM25,000 untuk lapan jam, Ismail Sabri berkata, menantunya menerima "pakej yang baik" sebagai balasan untuk publisiti. "Ia adalah majlis perkahwinan pertama diadakan di sana. Beliau adalah seorang pereka terkenal dan perkahwinan ini menjana banyak liputan, termasuk program Mahligai Cinta di TV3. Jadi ini adalah iklan yang baik untuk Istana Negara bagi pakej perkahwinan yang mereka akan tawarkan," katanya.Awal minggu ini, rakan sekerja Ismail, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dikritik kerana menganjurkan parti "hari jadi" mewah di sebuah hotel lima bintang di Kuala Lumpur yang tetamunya mendakwa ia menjadi majlis sambutan Tahun Baru. Beberapa penulis blog pro- Umno juga mempersoalkan atas keperluan apa Jabatan Perdana Menteri mempunyai dua jet VIP selepas ia mendedahkan bahawa Putrajaya menghabiskan RM180 juta untuk mengekal dan mengendalikan jet kerajaan untuk perjalanan rasmi pada 2012. Perkahwinan, ditambah pula dengan parti mewah Ahmad Zahid dan juga pembelian kereta Mercedes mewah oleh kerajaan negeri Pulau Pinang untuk Ketua Menteri, Lim Guan Eng datang ketika kebanyakan rakyat Malaysia merungut tentang kenaikan harga tarif elektrik, makanan, bahan api dan kos persekolahan. Harga bahan api, gula, ais dan tarif elektrik naik selepas Putrajaya mengurangkan subsidi manakala tambang pengangkutan awam akan meningkat tahun ini. Cukai barangan dan perkhidmatan (GST) juga akan diperkenalkan pada 2015. Perbelanjaan kerajaan melonjak dengan bajet tahun ini sehingga RM264.2 bilion berbanding RM251.6 bilion tahun lepas di tengah-tengah kebimbangan bahawa Putrajaya tidak mengurangkan perbelanjaannya walaupun meminta orang ramai untuk berbuat demikian. Rakyat juga mencemuh pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 30 Disember bahawa Putrajaya akan melaksanakan 11 langkah penjimatan untuk mengurangkan perbelanjaan pada 2014. Pakar ekonomi Najib, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar menasihatkan pengguna agar berbelanja dengan bijak dan mencari alternatif bagi menampung kos sara hidup. Bekas pegawai bank itu berkata, rakyat Malaysia perlu berjimat cermat dan hidup mengikut kemampuan mereka."Saya pergi ke pasar setiap minggu. Saya tahu bahawa harga keperluan asas adalah tinggi, tetapi pengguna mempunyai pilihan dalam membelanjakan wang mereka," katanya. ~tmi |
You are subscribed to email updates from Addin To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan