Selasa, 28 Januari 2014

Addin

Addin


Anwar Ibrahim.. Hang Patut Baca Ni!!

Posted: 28 Jan 2014 08:00 AM PST

PAS kesal dengan tindakan bekas Adun Kajang Lee Chin Cheh dari PKR yang meletakkan jawatan tanpa sebab yang munasabah.

Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri berkata, pihaknya menuntut penjelasan munasabah daripada PKR kerana pilihanraya kecil akan mengorbankan banyak masa, tenaga dan harta rakyat.

"Rakyat melihat situasi ini dengan penuh prihatin. "Pergolakan kecil politik Selangor melibatkan jawatan Menteri Besar dan isu PKNS ditambah pula dengan perletakan jawatan ini boleh memualkan rakyat di saat rakyat dibelenggu dengan pelbagai isu negara khususnya melibatkan peningkatan kos hidup," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menyifatkannya sebagai politik picisan, Mohd Khairuddin turut mengingatkan isu ini mampu menggugat keyakinan rakyat kerana Pakatan Rakyat sepatutnya fokus kepada mendedahkan kegagalan kerajaan Barisan Nasional (BN) mengurus ekonomi negara.

Katanya, Pakatan Rakyat perlu menilai semula sejarah Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) yang menyaksikan beberapa wakil rakyat dari PKR melompat dan meninggalkan parti yang telah merugikan dan menggugat keutuhan Pakatan Rakyat.

Manakala sejarah PRU ke-13 pula dimulakan dengan perletakan jawatan Adun.

"Nasihat ini saya lontarkan sebagai peringatan bersama seluruh warga Pakatan Rakyat khususnya para pemimpinnya," katanya.

PAS, parti tupperware?

Sementara itu Ahli Parlimen Temerloh Nasruddin Hassan Tantawi berkata, pihaknya kecewa kerana PKR tidak pernah berbincang dengan PAS mengenai konflik di Selangor sehingga menyebabkan berlakunya pilihan raya kecil Kajang.

"PAS ini apa ? Parti Tupper Ware? Tak bincang sepatah? Tak runding sikit pun? Politik apa ini? Cara dan skil mana digunakan," soalnya

Katanya, PKR tidak sepatutnya mempermainkan amanah rakyat yang berkerja, berjuang dan mengundi bersungguh-sungguh dalam PRU lalu.

"Saat rakyat berhempas pulas mencari sesuap nasi berdepan dengan kos sara hidup yang tinggi, kenaikan harga barang yang melambung.

"Tak pasal-pasal cipta pilihanraya kecil dengan drama realiti perletakan jawatan," katanya.

Manakala Pengarah Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia Mohd Sany Hamzan berkata, pihaknya menuntut penjelasan yang munasabah daripada Lee terhadap perletakan jawatan beliau secara bertulis kepada Ketua Dewan pemuda PAS Malaysia dengan kadar segera.

"Sekiranya penjelasan yang diberikan tidak munasabah maka Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia memberi amaran akan mengeluarkan arahan kepada seluruh jentera pilihanraya pemuda PAS di semua peringkat untuk tidak memberikan kerjasama di dalam Pilihanraya Kecil DUN Kajang nanti sekiranya calon yang ditentukan masih lagi dari kalangan calon PKR," tegasnya.

Beliau menganggap tindakan Lee sebagai satu pengkhianatan amanah yang diberikan rakyat Selangor serta membelakangkan semangat 'syura' di kalangan Pakatan Rakyat Selangor.

Beliau juga kecewa terhadap pimpinan PKR Selangor yang mengamalkan agenda 'politik egois' dan 'besar kepala' dengan membelakangkan PAS dan DAP Selangor di dalam kerja buat mereka di Selangor.

"PKR Selangor berlagak seperti 'boss besar' yang boleh mengambil apa saja tindakan politik yang menguntungkan mereka tanpa persetujuan dan pandangan rakan-rakan parti PAS dan DAP sedangkan PKR Selangor hanyalah 'pemegang saham minoriti' di dalam Kerajaan PR Selangor," katanya. ~fmt

Iklan C (ii)




Rupanya Ini Punca Anwar Bertanding Di Dun Kajang

Posted: 28 Jan 2014 05:29 AM PST

Pemuda PKR (AMK) menegaskan, tiada calon lain yang sesuai mewakili Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang melainkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Berdasarkan pengalaman dan kewibawaan beliau memimpin negara, AMK percaya Anwar adalah calon terbaik untuk bertanding kerusi DUN dan seterusnya diangkat sebagai menteri besar," kata ketuanya Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Katanya, AMK percaya kepimpinan Anwar dapat menggerakkan lebih pantas agenda reformasi di Selangor dan menterjemahkan agenda konsensus nasional.

Dalam kenyataannya semalam, Shamsul berkata, mereka menghormati keputusan Bendahari AMK Lee Chin Cheh yang meletakkan jawatan.

Menurut Shamsul, ia dibuat demi kepentingan negeri dan rakyat serta mengatasi sebarang pertimbangan peribadi.

"Ini membuka ruang untuk PKR dan Pakatan menawarkan pemimpin yang lebih berkaliber dan berpengalaman untuk memimpin negeri Selangor sebagai menteri besar," katanya yang juga anggota Parlimen Bukit Katil.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Hannah Yeoh semalam mengumumkan kekosongan kerusi DUN Kajang ekoran peletakan jawatan Lee.

Undang-undang menetapkan pilihan raya kecil mesti diadakan dalam tempoh 60 hari. ~mk

Iklan C (ii)




Apa Sudah Jadi?? Anwar Bertanding Di DUN Kajang

Posted: 27 Jan 2014 08:33 PM PST


Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan bahawa Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bertanding bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang pada pilihan raya kecil akan datang.


Iklan C (ii)




Kantoi!! MB Terengganu Guna Istana Untuk Melawat Antartika

Posted: 27 Jan 2014 07:47 PM PST

Usaha Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said (gambar) menggunakan nama istana bagi lawatan ke Antartika terbocor apabila Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) menafikan penglibatan mereka dalam ekspedisi berkenaan.

Yayasan berkenaan sebaliknya menuntut Ahmad Said segera membuat permohonan maaf kepada Tuanku Sultan Mizan atas tindakan berkenaan.

"Kita menuntut Ahmad Said memohon maaf kepada YDSM dan menyebutkan siapakah sebenarnya yang menganjurkan lawatan beliau itu dan berapa kos sebenar lawatan itu," kata Adun Batu Burok, Dr Syed Azman Ahmad Nawawi.

YDSM pada Ahad menafikan mereka menjadi penganjur kepada lawatan Ahmad Said ke Antartika.

"Lawatan itu bukan anjuran YDSM dan ia tiada kaitan dengan program yayasan," kata Setiausaha Kerja YDSM, Mohd Azrul Ismail dalam satu kenyataan.

Pejabat Menteri Besar Terengganu mengumumkan lawatan 15 hari pada 16 Januari lalu, atas anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dengan kerjasama YDSM.

Kenyataan itu turut menyebut lawatan kerja berkenaan bertujuan membantu kerajaan dalam menubuhkan pusat kajian bersama Instituto Antarctico Chileno.

"Lawatan ini membantu Malaysia dalam kajian perubahan iklim yang sejak akhir-akhir ini menjadi semakin tidak menentu.

"Lawatan eksplorasi saintifik ini merupakan lawatan susulan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin ke Antartika pada Oktober 2011 dalam usaha melihat lebih banyak universiti tempatan terlibat dalam kajian di sana," kata kenyataan itu.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Yahaya Ali, berkata isu penganjur bukan perkara pokok kerana lawatan ke Antartika itu tidak membawa pulangan.

"Ketika kita ajak rakyat berjimat, menteri besar pula dilihat mahu menghabiskan duit tanpa faedah. Apa faedah rakyat Terengganu terima daripada lawatan ke Artartika. Kita bukan hadapi salji, yang kita hadapi adalah banjir," kata Yahaya kepada The Malaysia Insider.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, berkata dua perkara memerlukan penjelasan daripada kerajaan negeri Terenganu khususnya menteri besar iaitu amanah dan bercakap benar yang sepatutnya menjadi etika setiap pentadbir dan pemerintah.

"Penggunaan dana milik rakyat untuk suatu aktiviti yang dipertikaikan keperluan dan kemunasabahannya mengundang persoalan amanah kerajaan negeri dalam menguruskan harta milik awam," katanya.

Sebelum ini, DAP turut mempertikaikan lawatan kerja Ahmad Said dengan menyifatkan ia sebagai satu "pembaziran besar" yang tidak bertepatan dengan keadaan rakyat yang sering diingatkan untuk "mengikat perut".

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua mempersoalkan rasional di sebalik lawatan 15 hari yang akan diketuai oleh Ahmad Said itu.

"Bagaimana lawatan 15 hari menggunakan kapal persiaran mewah memberi faedah kepada Malaysia? Jika saintis Malaysia terlibat dalam kajian perubahan iklim, mereka boleh mengkaji kesan pembalakan yang berlaku di Malaysia.

"Mengapa kita perlu membelanjakan wang pembayar cukai kepada kajian yang tidak membawa cabaran kompetitif," katanya.

Syed Azman berkata, bukan sekadar lawatan kerja ke Antartika itu mengejutkan, penafian penglibatan YDSN ini lagi mengejutkan rakyat.

"Ini satu pembohongan kepada seluruh rakyat," katanya kepada The Malaysian Insider.

Sehubungan itu, katanya, beliau yakin rakyat Terengganu tidak akan membiarkan pembohongan sebegini didiamkan begitu saja.

"Saya yakin rakyat, tanpa mengira latar belakang politik, tidak akan membiarkan perkara ini begitu saja," kata Syed Azman yang juga AJK PAS Pusat itu.

Kedudukan Ahmad Said sentiasa tidak stabil sejak mula dilantik sebagai menteri besar selepas pilihan raya umum 2008 lalu.

Ini kerana, kepimpinan Umno memilih Datuk Seri Idris Jusoh untuk meneruskan jawatannya sebagai menteri besar namun pihak istana tidak mahukannya.

Selepas beberapa sesi rundingan, akhirnya Ahmad Said yang bersetuju dilantik menjadi menteri besar dalam keadaan menerima bantahan daripada Umno sendiri sehingga pihak istana digelar sebagai "natang" iaitu istilah untuk binatang mengikut loghat Terengganu.

Apabila Tuanku Sultan Mizan dilantik sebagai Yang Dipertuan Agung, satu Dewan Pangkuan Di Raja Terengganu (DPDRT) dibentuk bagi menggantikan baginda kerana anakanda baginda masih terlalu muda untuk menjadi pemangku sultan.

Sehubungan itu, Ahmad Said terpaksa bertanggungjawab bukan kepada seorang raja bahkan sembilan anggota DPDRT dalam mentadbir Terengganu.

Ia menimbulkan pelbagai persepsi kerana banyak projek dan kawasan balak serta lombong terlepas daripada tangan rakyat biasa kepada pihak tertentu.

Selepas pilihan raya umum 5 Mei lalu, kedudukan Ahmad Said semakin tidak stabil berikutan PR hanya kurang dua kerusi untuk menyamai kerusi BN.

Dalam pilihan raya itu, PAS mendapat 14 kerusi manakala PKR mendapat satu kerusi manakala BN pula menguasai majoriti 17 kerusi. ~tmi


Iklan C (ii)




Siapa Punya Angkara Ini?

Posted: 27 Jan 2014 07:07 PM PST


Adun Seri Kembangan yang juga Exco Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Pembangunan Kampung Baharu serta Pemutihan Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah mendakwa akaun twitternya digodam tanpa pengetahuannya.

Perkara itu disedarinya selepas dimaklumkan seorang ahli jawatankuasa parti yang menghantar gambar mempamerkan akaun twitter miliknya dengan satu kenyataan palsu, pagi semalam.

Status bertarikh 9 Januari itu mempamerkan kenyataan beliau menuduh PKR dan Pas tidak mampu menyelesaikan isu berkaitan ahli majlis.

"Saya tidak perasan sehinggalah diberitahu pagi tadi (semalam), saya periksa rekod memang tidak pernah hantar status seperti itu, tak mungkin saya 'tweet' kenyataan seperti dipamer," katanya.

Katanya, beliau tidak tahu apa agenda pihak tidak bertanggungjawab menggunakan dan menggodam akaun laman twitternya.

Beliau akuia kesal dengan apa yang berlaku dan mengutuk tindakan dipercayai untuk mencipta pertelingkahan antara ahli dalam kalangan parti Pakatan Rakyat (PR). ~sinar


Iklan C (ii)




Bekas Adun Kajang Hilang..

Posted: 27 Jan 2014 06:34 PM PST


Bekas Adun Kajang Lee Chin Cheh dari PKR gagal dihubungi susulan sidang media tergempar diadakan Speaker Dun Selangor, Hannah Yeoh, semalam.

Difahamkan, kesemua media cuba mendapatkan komen Chin Cheh bagaimanapun tidak berjaya.

Bagaimana pun lewat malam tadi beliau mengeluarkan kenyataan menerusi Facebook dengan melahirkan penghargaan kepada semua pengundi di Kajang yang memberi peluang kepada beliau sepanjang menjadi wakil rakyat.

"Keputusan kosongkan kerusi demi kepentingan bersama,"katanya. ~sinar


Iklan C (ii)




Panas!! Najib Pinggirkan Nazir Razak?

Posted: 27 Jan 2014 05:48 PM PST

Artikel bertajuk "Mengenang kembali bapa saya, Tun Razak" yang ditulis jurubank terkemuka Datuk Seri Nazir Razak dikatakan menyebabkan kemarahan keluarga perdana menteri dan penyokongnya - dengan kemungkinan akan menyebabkan bos CIMB itu menerima akibatnya.

Menurut kem Datuk Seri Najib Razak, artikel tersebut yang menggambarkan legasi perdana menteri kedua Malaysia ibarat memberikan peluru kepada musuh beliau – kini menyerang dirinya dan isteri daripada pelbagai sudut.

Dalam artikel dikeluarkan sempena ulang tahun ke-38 kematian Tun Abdul Razak Hussein, Nazir meceritakan tentang kualiti yang menyebabkan bapanya dihormati. Sebagai seorang pemegang amanah aset negara, kesederhanaannya adalah lagenda.

Apabila keluarga menemaninya dalam lawatan rasmi kerajaan, Tun Razak memastikan perbelanjaan untuk keluarga daripada poketnya sendiri. Beliau juga terkenal dengan integriti, merupakan hamba kepada rakyat dan kepercayaan diberikan mestilah tidak boleh dikhianati.

Nazir berkata, bapanya sudah melaksanakan "Rakyat Didahulukan", sebelum slogan tersebut kedengaran dan percaya terdapat tempat bagi semua rakyat di bawah matahari Malaysia.

Difahamkan, artikel tersebut dikeluarkan untuk mengingatkan rakyat Malaysia mengenai legasi Razak dan juga mempertahankan nama keluarganya.

Artikel tersebut disukai ramai terutama yang tidak gembira dengan pencapaian Najib sebagai perdana menteri serta membiarkan peningkatan ektremisme kaum dan agama.

Ramai beranggapan artikel tersebut dikeluarkan tepat pada masanya di kala kerajaan berbelanja secara mewah dan sikap angkuh ahli politik pemerintah pada ketika rakyat Malaysia menderita akibat kenaikan kos kehidupan.

Tetapi di Putrajaya, artikel tersebut tidak disukai dan Nazir kini terpinggir daripada koridor kuasa.

Beliau kini tidak menikmati sokongan kerajaan sehingga terpaksa memikirkan pilihan pekerjaannya.

Wujud cakap-cakap mengatakan Nazir dilihat sebagai pengkhianat.

Apa yang pasti, hubungan di antara keluarga Najib dan penyokongnya dengan pengurus bank itu semakin dingin.

Sumber dekat memberitahu The Malaysian Insider terdapat banyak penentangan terhadap artikel tersebut termasuk nada tulisan, masa dikeluarkan dan motif di belakangnya.

Kumpulan Najib berkata, seolah-olah hanya Nazir yang menjaga legasi Razak. Sebagai tambahan mereka berkata, perlu ada kesetiaan kepada keluarga, terutamanya pada waktu sukar.

Dan mesej kepada perdana menteri dihantar melalui artikel disiarkan media tidak dikawal Umno. Artikel bertarikh 14 Januari itu disiarkan The Malaysian Insider, The Star dan Sinar Harian.

Difahamkan Najib dan adiknya bertengkar mengenai artikel tersebut, dan sebuah lagi artikel tentang isu sama disiarkan akhbar milik Umno New Straits Times, dua hari kemudian.

Walaupun diserang penulis blog pro kerajaan berhubung artikel tersebut, Nazir tidak berganjak dan mempercayai beliau mempunyai tanggungjawab kepada keluarganya untuk mengingatkan rakyat Malaysia mengenai legasi ayahnya dan mempertahankannya walau apa pun terjadi. ~tmi

Iklan C (ii)




Pemimpin BN Dakwa Najib Seorang PM Yang Lemah

Posted: 27 Jan 2014 05:14 PM PST

Dua ahli politik Sarawak memberi amaran serangan bom Molotov Cocktail ke atas gereja di Pulau Pinang semalam hanya "permulaan bagi lebih banyak yang akan berlaku" dengan salah seorang berkata insiden tersebut berlaku disebabkan perdana menteri terlalu "lemah".

Menteri Kemajuan Tanah Sarawak, Tan Sri Dr James Masing, yang terkenal dengan kelantangannya berkata, serangan tersebut membimbangkan kerana ia jelas amaran kepada penganut Kristian untuk menghentikan perjuangan menuntut penggunaan kalimah Allah dalam Bible berbahasa Melayu.

"Saya sudah katakan sebelum ini, awan mendung sudah tiba dan ini baru permulaan. Sekarang sudah makin merisaukan dengan laporan keganasan sebegini," kata pemimpin politik Sarawak itu mengulas letupan di luar gereja Pulau Pinang semalam.

Masing berharap keganasan ini tidak akan bertambah buruk sehingga tidak terkawal. ~tmi


Iklan C (ii)




DAP Dan PAS Tidak Sependapat Calon Kerusi DUN Kajang

Posted: 27 Jan 2014 04:59 PM PST

Peletakan jawatan secara mengejut Lee Chin Cheh menyebabkan berlakunya pergolakan politik di Selangor apabila pemimpin DAP dan PAS negeri itu mempunyai pandangan berbeza mengenai calon penggantinya yang mungkin menjadi menteri besar baru.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memberikan penjelasan hari ini berhubung episod terbaru PKR Selangor itu yang sedang dilanda peperangan di antara pengerusi parti, Mohamed Azmin Ali dan menteri besar penggal kedua, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Peletakan jawatan Lee menyebabkan PAS menuntut PKR berbincang dengan rakan komponen Pakatan Rakyat (PR) sebelum membuat keputusan mengenai calon sementara DAP menegaskan PKR boleh memilih sesiapa sahaja.

Kedua-dua parti masing-masing mempunyai 15 kerusi sementara PKR kini hanya mempunyai 13 kerusi selepas Lee meletakkan jawatan semalam. Selangor mempunyai 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) secara keseluruhan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Klang, Saari Sungib, berkata bagi mencari pengganti Lee, PKR tidak seharusnya mengenepikan PAS dan DAP apabila memilih calon.

"Terutamanya apabila calon ini dikatakan akan menjadi menteri besar yang baharu," katanya kepada The Malaysian Insider merujuk kepada spekulasi mengatakan Abdul Khalid akan meletakkan jawatan selepas pilihan raya kecil.

Abdul Khalid yang popular merupakan menteri besar bagi penggal kedua selepas bekas pemimpin korporat itu bertanding pada 2008.

Saari berkata, beliau menghormati keputusan Lee kerana itu adalah haknya untuk meletakkan jawatan sebagai anggota DUN walaupun baru dipilih lapan bulan lalu dan beliau hanya mengetahui berkenaan peletakan jawatan itu melalui kumpulan chat Whatsapp kumpulan penyokong kerajaan negeri (BBC).

Peletakan jawatan Lee disahkan Speaker DUN Selangor, Hannah Yeoh pada satu sidang media di Shah Alam, petang semalam.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, berkata terpulang kepada PKR untuk membuat keputusan mengenai calon.

"PKR boleh letak sesiapa sahaja sebagai calon, termasuk Anwar.

"Mereka boleh pilih calon tanpa persetujuan parti lain, kemudian mereka akan maklumkan kepada PAS dan DAP," katanya kepada The Malaysian Insider.

Kemelut antara Abdul Khalid dan Azmin dikatakan menjadi punca peletakan jawatan Lee bagi membolehkan pemimpin lain bertanding untuk menggantikan Abdul Khalid sebagai menteri besar.

Perbalahan antara kedua-dua pemimpin berkenaan semakin hangat apabila Azmin yang juga timbalan presiden PKR digugurkan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Adun Bukit Antarabangsa itu juga dilihat sering membantah secara terbuka tindakan Abdul Khalid antaranya ialah kenaikan gaji dan elaun untuk Exco dan Adun.

Adun Sekinchan daripada DAP, Ng Sue Lim bagaimanapun enggan mengulas lanjut peletakan jawatan Lee kerana beliau belum dimaklumkan berkenaan perkara itu.

"Saya hormat keputusannya itu, tetapi maklumat lanjut saya belum terima daripada kepimpinan pusat," kata Adun penggal ketiga itu.

Ahli Parlimen Kuala Langat dari PKR, Abdullah Sani Abdul Hamid, berkata pengunduran Lee membuktikan beliau benar-benar pemimpin yang berwibawa untuk memperbaiki keadaan parti itu di Selangor.

"Beliau memaklumkan kepada saya secara peribadi sejak dua minggu lalu.

"Ini soal masa depan parti," katanya ketika dihubungi.

Abdullah Sani berkata, pengunduran Lee itu tidak dilakukan atas desakan mana-mana pihak, sebaliknya ia berlaku atas kerelaan beliau sendiri. ~tmi

Iklan C (ii)




Tiada ulasan: